Category: Jenayah

  • SPRM didesak siasat dakwaan rasuah seks babit Exco Melaka

    SPRM didesak siasat dakwaan rasuah seks babit Exco Melaka

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didesak menyiasat berhubung dakwaan rasuah seks membabitkan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), kata Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Melaka, Mohd Zamri Abu Bakar.

    Dakwanya, terdapat banyak bukti didedahkan di Facebook mengaitkan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin membayar sehingga RM15,000 sebulan bagi mendapatkan khidmat seks daripada seorang wanita.

    Beliau mendakwa, bukti gambar, cetakan skrin telefon dan video yang mengaitkan Exco itu dengan skandal rasuah seks itu disiarkan bermula 25 April lalu di Facebook.

    “Bukti-bukti yang dimuat naik menunjukkan Exco terbabit punya hubungan dengan seorang perempuan yang menawarkan khidmat seks bagi mendapat bayaran.

    “Exco itu dikehendaki membayar sehingga RM15,000 sebulan kerana khidmat seks yang diberikan,” katanya, menurut laporan Harian Metro.

    Beliau menyatakannya kepada media selepas menyerahkan laporan di Pejabat SPRM Melaka, hari ini.

    Mohd Zamri berkata, bukti itu juga jelas menunjukkan tindakan kedua-dua watak wanita dan Exco terbabit masing-masing boleh disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 372(1)(f) dan 372(B) Kanun Keseksaan.

    “Dalam pendedahan itu jelas wujud elemen rasuah yang sangat besar apabila wanita itu dikatakan sudahpun memberikan khidmat seks bagi tujuan mendapatkan projek untuk ‘uncle’nya dan watak yang dikatakan Exco itu turut didakwa berjanji memberikan projek demi mendapatkan layanan seks.

    “Ini jelas menyalahi Seksyen 16 dan 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 iaitu meminta/menerima rasuah dan memberi suapan (rasuah seks).

    “Selain itu, salah guna kuasa mengikut Seksyen 23 ASPRM 2009 iaitu menggunakan kedudukan untuk mendapatkan rasuah (layanan seks) dengan menawarkan projek kepada pihak wanita itu,” katanya.

    Beliau berkata, pendedahan skandal rasuah seks itu umpama mencurah garam ke luka rakyat yang hidup dalam keadaan sangat tertekan dengan kos kehidupan.

    Justeru pihaknya, mendesak SPRM membuka kertas siasatan dan memanggil kesemua watak iaitu individu yang membuat pendedahan serta wanita dan Exco yang dimaksudkan.

    Sementara itu, Mohd Zamri berkata, jawapan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang disiarkan media sangat mengecewakan apabila tidak mahu menafikan perkara itu terjadi atau tidak malah menyifatkan ia fitnah yang boleh dikenakan kepada sesiapa saja.

    “Maka timbul persoalan adakah Kerajaan Melaka hari ini tidak kisah mengenai integriti termasuk wujud rasuah seks tetapi akan terus membela dan melindungi pelaku?

    “Semua sangat jelas dan jika SPRM pun gagal bertindak maka sesuatu sangat tidak kena sedang berlaku,” katanya.

  • Padah guna telefon ketika memandu, 2 pemandu bas disaman JPJ

    Padah guna telefon ketika memandu, 2 pemandu bas disaman JPJ

    KEDEGILAN dua pemandu bas ekspres memandu sambil menggunakan telefon bimbit membawa padah apabila disaman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) baru-baru ini.

    Menurut Pengarah JPJ Selangor, Datuk Khairul Khar Yahya, kesalahan itu dikesan ketika penyamaran anggotanya sebagai penumpang ketika pelaksanaan Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2023 pada 17 dan 18 April lalu.

    Beliau berkata, pelbagai kesalahan dikesan iaitu penggunaan telefon bimbit semasa memandu, memandu di lorong kanan secara berterusan, tiada pemandu kedua bagi perjalanan melebihi 300 kilometer (km) atau empat jam berterusan, tatacara kelakuan pemandu dan kesalahan teknikal.

    “Dua pemandu itu masing-masing dikesan ketika dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan, Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu dan Kuala Terengganu ke Shah Alam.

    “JPJ Selangor telah mengambil tindakan saman terhadap dua pemandu berusia lingkungan 40-an itu serta pemilik,” katanya, hari ini.

    Mengulas lanjut, Khairul Khar berkata, kesalahan yang dikesan ke atas bas lain ialah memotong di garisan berkembar, menurunkan penumpang di tempat tidak dibenarkan selain tata kelakuan pemandu.

    Katanya, pemandu diingatkan sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya.

    “Ini demi memastikan keselamatan pemandu dan penumpang selamat tiba ke destinasi dituju,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

  • Empat Mat Rempit ditahan kerana merusuh, pukul polis

    Empat Mat Rempit ditahan kerana merusuh, pukul polis

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG anggota polis dipukul sekumpulan Mat Rempit ketika menjalankan tugasan Op Selamat ke 20 di Kilometer 7 Jalan Kulai-Kota Tinggi di Kulai pada Ahad lalu.

    Mangsa yang berusia 28 tahun luka pada bahagian kaki kanan membuat laporan polis pada pukul 3.04 petang pada hari kejadian.

    Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow berkata, bertindak atas maklumat, empat suspek ditahan dalam dua serbuan berasingan di Kulai dan Johor Bahru, semalam.

    “Sepasukan Pegawai dan Anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai membuat serbuan di dua lokasi berasingan dan menahan empat suspek warga tempatan berusia 23 hingga 39 tahun.

    “Hasil siasatan awal keempat-empat suspek mengaku terbabit dalam kejadian merusuh dan perlumbaan haram.

    “Tiga daripada suspek juga mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan penyalahgunaan dadah dan jenayah,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

    Beng Yeow berkata, semua suspek kini direman selama empat hari bermula hari ini hingga 28 April ini.

    Tambah beliau, kes disiasat dibawah seksyen 186 dan 146 kanun keseksaan.

  • ‘Tinggal janji’, bakal jemaah umrah rugi RM600,000 ditipu agensi

    ‘Tinggal janji’, bakal jemaah umrah rugi RM600,000 ditipu agensi

    BUKAN sahaja tidak dapat menunaikan umrah malah lebih 80 individu terpaksa menanggung kerugian lebih RM600,000 apabila mendakwa ditipu sebuah agensi pelancongan yang menguruskan ibadat itu.

    Semua mangsa sepatutnya menunaikan umrah Disember tahun lalu selepas melunaskan bayaran, namun ditangguhkan.

    Mangsa, Noraini Pauzi, 50, dari Machang, Kelantan berkata, dia sepatutnya menunaikan umrah bersama anaknya dan membayar RM15,200 memandangkan pakej setiap seorang adalah RM7,600.

    “Kami membuat bayaran sejak Oktober tahun lalu, namun sehingga kini wang bakal jemaah tidak dikembalikan.

    “Kami sepatutnya berlepas pada 14 Disember tahun lalu namun seminggu sebelum berlepas, kami dimaklumkan oleh agensi berkenaan umrah kami ditangguhkan susulan Piala Dunia di Qatar,” katanya menurut Berita Harian.

    Katanya, pihak penganjur kemudian menjanjikan akan berlepas pada Februari, namun sekali lagi gagal kerana dimaklumkan terdapat masalah di Makkah, sebelum sekali lagi berjanji untuk penerbangan seterusnya pada Mac.

    “Namun, janji tinggal janji dan hasrat kami untuk menunaikan umrah tidak kesampaian. Apabila kami mendesak untuk mendapatkan semula wang kami, pelbagai alasan diberikan dan sehingga kini masih menunggu wang itu dikembalikan,” katanya.

    Noraini bersama lebih 20 bakal jemaah lain membuat laporan di Balai Polis Kota Bharu.

    Seorang lagi mangsa, Hasliliwani Ab Ghani, 37, turut meluahkan rasa kecewa apabila hasratnya bersama kakak serta abang menunaikan umrah tidak kesampaian.

    “Lebih menyedihkan duit yang kami gunakan adalah duit arwah ibu kerana sebelum meninggal dunia, dia (ibu) berhasrat untuk membawa kami adik beradik menunaikan umrah, namun tidak kesampaian,” katanya.

  • Panggilan video isteri selamatkan kru dirompak di pelantar minyak

    Panggilan video isteri selamatkan kru dirompak di pelantar minyak

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PANGGILAN video isteri berjaya menyelamatkan suami dan rakannya dalam rompakan di sebuah pelantar minyak di Pelabuhan Tanjung Langsat, Kota Tinggi, semalam.

    Pemangku Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 10 malam semasa isterinya sedang membuat panggilan terhadap mangsa.

    Jelasnya, isteri mangsa yang berusia 24 tahun berada di Johor Bahru membuat panggilan video dari rumahnya di Johor Bahru.

    “Sewaktu panggilan dibuat, isteri kru pelantar menyaksikan telefon bimbit suaminya dirampas perompak dan paparan skrin telefon berkenaan bertukar gelap. Wanita terbabit bertindak pantas dengan melaporkan kejadian tersebut kepada MERS999,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Tanjung Sedili di Kota Tinggi hari ini.

    Menurut Saiful Lizan, Maritim Malaysia kemudiannya menghubungi Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) untuk mengesan kedudukan pelantar yang dilaporkan oleh isteri mangsa.

    “Kebetulan isteri kru pelantar itu tahu lokasi suaminya, dengan menyebut pelantar Aurora Produser 1. Anggota kemudiannya menghubungi LPJ untuk mengesan kedudukan pelantar itu.

    “Kami mengarahkan bot peronda yang sedang dalam Ops Pagar Laut untuk membuat tinjauan di pelantar dan memang benar terdapat empat suspek sedang menarik kabel logam ke dalam bot di bawah pelantar terbabit,” katanya.

    Katanya, mangsa masih lagi trauma namun telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam, Pasir Gudang.

    Tambah beliau, kKedua mangsa dilaporkan mengalami kecederaan dan diuruskan oleh ejen perkapalan mereka untuk rawatan.

  • Rompak pelantar minyak: 4 lelaki tempatan termasuk adik-beradik ditahan

    Rompak pelantar minyak: 4 lelaki tempatan termasuk adik-beradik ditahan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan empat lelaki warga tempatan yang merompak pelantar minyak pada kedudukan 0.7 batu nautika timur laut Jeti Tanjung Langsat di Kota Tinggi semalam.

    Empat suspek berkenaan termasuk dua adik beradik diberkas selepas melakukan rompakan berkumpulan antara pukul 12.30 tengah malam kelmarin hingga pukul 4.35 pagi semalam.

    Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada pukul 10.30 malam kelmarin mengenai rompakan di atas pelantar minyak Aurora Producer 1.

    “Sebuah bot ronda Maritim Malaysia telah diarahkan ke lokasi kejadian dan tiba di lokasi pada pukul 12.30 tengah malam dan menemui sebuah bot gentian kaca bersama empat orang berada bawah pelantar terbabit dalam keadaan mencurigakan.

    “Menyedari kehadiran bot ronda Maritim Malaysia, suspek dilihat bertindak cuba menenggelamkan bot gentian kaca.

    “Ekoran tindakan suspek tersebut, bot gentian kaca digunakan suspek telah tenggelam di lokasi dan kesemua empat suspek telah berpaut pada tiang pelantar terbabit sebelum keletihan dan bertindak terjun ke laut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, semua suspek warga tempatan yang berumur diantara 27 tahun hingga 47 tahun telah berjaya diselamatkan oleh bot ronda Maritim Malaysia seterusnya ditahan dan dibawa ke Zon Maritim Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut.

    “Kemudian hasil siasatan awal di pelantar Aurora Producer 1 pihak maritim menemui dua kru warga tempatan berumur 24 tahun dan 32 tahun yang disyaki menjadi mangsa rompakan.

    “Mangsa mengatakan ketika kejadian pelantar dinaiki tiga lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang telah menyerang dan mengikat kaki, tangan dan mulut mangsa sebelum dikurung dalam sebuah kabin di atas pelantar tersebut.

    “Mangsa telah terkurung selama dua jam sebelum berjaya melepaskan ikatan dan bersembunyi bagi menunggu ketibaan pihak berkuasa. Suspek dipercayai cuba mencuri kabel dan perkakasan kerja dan dua buah telefon bimbit milik mangsa telah dilaporkan hilang,” katanya.

    Menurut beliau, jumlah dan barang perkakasan pelantar yang disyaki dicuri masih dalam siasatan.

    Semua suspek katanya, telah direman selama lima hari bagi siasatan di bawah Seksyen 391 Kanun Keseksaan atas kesalahan rompakan berkumpulan.

  • Tiga lagi suspek ditahan kes larikan lelaki depan hotel di Alor Setar

    Tiga lagi suspek ditahan kes larikan lelaki depan hotel di Alor Setar

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Polis menahan tiga lagi individu termasuk seorang wanita berhubung kes melarikan seorang lelaki di depan sebuah hotel, dekat Shahab Perdana, Alor Setar yang tular di media sosial sejak kelmarin.

    Penahanan tiga individu tersebut menjadikan tangkapan keseluruhan seramai empat orang setakat ini setelah seorang suspek berusia 43 tahun terlebih dulu ditahan, awal pagi semalam.

    Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, ketiga-tiga individu berkenaan ditahan di tiga lokasi berasingan antara pukul 7 petang hingga 9 malam tadi.

    “Tiga tangkapan terbaru ini melibatkan seorang wanita berusia 39 tahun serta dua lelaki berumur 42 dan 40 tahun. Kesemua mereka ditahan di Changlun, Jitra dan sekitar Alor Setar.

    “Wanita tersebut didapati positif dadah jenis methamphetamine. Kesemua mereka direman selama enam hari hingga 1 Mei depan,” katanya ketika dihubungi Warta Rakyat , hari ini.

    Sejak kelmarin tular di media sosial klip video berdurasi 41 saat memaparkan mangsa dipaksa menaiki sebuah kereta putih oleh beberapa individu termasuk seorang wanita sambil menjerit kesakitan.

    Mangsa dipercayai merupakan seorang lelaki berusia 27 tahun dengan kejadian itu kemudiannya dilaporkan kepada pihak polis oleh bapanya berusia 46 tahun, setelah dia ditunjukkan klip video kejadian itu oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian.

    Mengulas lanjut Ahmad Shukri berkata, mangsa kini sudah ditemui.

    “Setakat ini siasatan masih berjalan secara menyeluruh termasuk berkaitan motif kejadian,” katanya.

  • Kekejaman dukun ganda wang Mbah Slamet

    Kekejaman dukun ganda wang Mbah Slamet

    PEMBONGKARAN aktiviti bomoh pengganda wang dikenali sebagai Mbah Slamet yang membunuh kira-kira 12 mangsa di Banjarnegara, Jawa Tengah, mengejutkan masyarakat negara itu, baru-baru ini.

    Kompas melaporkan, polis menemukan semua mayat yang ditanam di kawasan tanah di lereng bukit pada kedalaman 0.8 meter (m) sehingga satu meter.

    Berikut adalah kronologi, motif dan jumlah mangsa pembunuhan oleh bomoh pengganda wang:

    • Pembunuhan disyaki dilakukan Slamet Tohari, 45, terbongkar selepas polis Banjarnegara menerima laporan kejadian orang hilang pada 27 Mac lalu.
    • Mangsa dari Sukabumi, Jawa Barat dikesan hilang selepas berkunjung ke Banjarnegara, untuk berjumpa Slamet pada 23 Mac lalu.
    • Sebelum hilang, mangsa sempat menghantar pesanan WhatsApp kepada keluarga meminta mereka mencarinya di rumah Slamet, jika dia tidak dapat dihubungi selepas beberapa hari.
    • Selepas pesanan itu diterima, keluarga tidak menerima sebarang khabar berita daripada mangsa lalu mereka ke rumah Slamet.
    • Keluarga turut membuat laporan polis mengenai kehilangan mangsa dan sepasukan polis ke lokasi untuk menjalankan siasatan.
    • Hasil siasatan, polis mendapati mangsa sudah dibunuh dan mayatnya ditanam.

    Ketua Polis Banjarnegara Hendri Yulianto berkata, mangsa ditanam di kawasan menuju ke hutan di Wanayasa.

    Susulan penemuan mayat mangsa itu, polis turut menemukan beberapa lagi mayat mangsa lain di kawasan berhampiran.

    Media sebelum ini melaporkan, Mbah Slamet yang disyaki membunuh sekurang-kurangnya 10 mangsa sejak 2020 ditahan polis di Jawa Tengah pada 1 April lalu.

    Slamet ditahan di rumahnya di Desa Balun, Wanayasa, Banjarnegara bersama seorang pembantunya yang mempromosikan perkhidmatan penggandaan wang di media sosial.

    Semua mangsa diperdaya Mbah Slamet yang kononnya mampu menggandakan wang daripada 40 juta rupiah (kira-kira RM11,822) kepada lima bilion rupiah (kira-kira RM1.5 juta).

    Kes disiasat di bawah Perkara 340 Kanun Jenayah yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup atau maksimum 20 tahun penjara.

  • Switzerland dakwa dua pengurus Petrosaudi kerana seleweng dana 1MDB

    Switzerland dakwa dua pengurus Petrosaudi kerana seleweng dana 1MDB

    PEJABAT Peguam Negara Switzerland (OAG) telah memfailkan dakwaan terhadap dua pengurus Petrosaudi atas dakwaan mereka membantu menyeleweng AS$1.8 bilion daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi memperkayakan diri dan orang lain.

    Ini berkaitan pemindahan AS$1 bilion pada 2009, dan AS$830 juta lagi antara 2010 dan 2011.

    Dakwaan di Mahkamah Jenayah Persekutuan Switzerland merujuk kepada episod fasa Good Star dalam skandal 1MDB.

    Siaran akhbar oleh OAG menyatakan bahawa kedua-dua tertuduh telah merancang bersama ahli perniagaan Low Taek Jho yang kini dalam buruan untuk menubuhkan syarikat usaha sama bagi projek palsu di Turkmenistan yang akhirnya akan menipu 1MDB.

    Ini menyebabkan lembaga pengarah 1MDB bersetuju untuk memindahkan AS$1 bilion untuk projek usaha sama itu, yang mana AS$700 juta telah dialihkan ke dalam akaun Switzerland dimiliki Low.

    Daripada AS$700 juta itu, OAG berkata Low memindahkan AS$85 juta kepada seorang tertuduh, dan dia kemudian memindahkan AS$33 juta kepada tertuduh lain.

    Walaupun OAG tidak menamakan tertuduh, ini nampaknya merujuk kepada Tarek Obaid dan Patrick Mahoney..

    Peguam Tan Sri Shafee Abdullah semasa perbicaraan 1MDB mengemukakan dokumen yang menunjukkan Tarek dan Mahoney masing-masing menerima AS$85 juta dan AS$33 juta daripada dana melalui firma Good Star.

    Sementara itu, OAG berkata, baki AS$300 juta daripada pemindahan 1MDB September 2009 telah disalurkan kepada Petrosaudi untuk manfaat syarikat terbabit.

    Selanjutnya, pendakwaan Switzerland juga berkata, kedua-dua tertuduh turut bersubahat membantu Low menipu 1MDB sebanyak AS$830 juta lagi antara Sept 2010 dan Okt 2011 daripada sumber nota Murabahah pinjaman Islam susulan usaha sama palsu itu.

    Menurut OAG, dana yang diterima kedua-duanya digunakan untuk memperoleh hartanah di Switzerland dan London, barang kemas, ekuiti persendirian, untuk membangunkan aktiviti Petrosaudi yang menjana pendapatan besar, serta mengekalkan gaya hidup mewah.

    Sementara itu, dalam rujukan jelas kepada aduan oleh pemberi maklumat Xavier Justo terhadap bos Petrosaudi mengenai ugutan, pemerasan, pemenjaraan palsu dan lain-lain, OAG berkata ia memutuskan untuk tidak meneruskan pendakwaan.

    Ia antara lain memetik bahawa unsur-unsur kesalahan yang dilaporkan tidak dipenuhi, hak untuk memfailkan aduan terbatas pada tempoh masa tertentu, atau perkara yang dilaporkan tidak menimbulkan syak wasangka yang munasabah di bawah undang-undang.

    Bagaimanapun, OAG menyatakan bahawa keputusan ini boleh dirayu kepada Mahkamah Jenayah Persekutuan Switzerland, lapor Malaysiakini.

  • Pengantin baru sehari berkahwin ditahan bersama 9.2kg heroin

    Pengantin baru sehari berkahwin ditahan bersama 9.2kg heroin

    PASANGAN pengantin yang baru sehari melangsungkan perkahwinan ditahan bersama 9.26 kilogram dadah disyaki heroin dalam satu pemeriksaan di Chikus, Langkap, Teluk Intan, pukul 12.23 tengah hari tadi.

    Suspek berusia 23 dan 24 tahun beralamat dari Teluk Intan itu ditahan sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak.

    Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, semasa ditahan, pasangan berkenaan yang melangsungkan perkahwinan semalam berada dalam sebuah kereta di parkir masjid dipercayai sedang menunggu pelanggan.

    “Pemeriksaan dijalankan ke atas kenderaan itu menjumpai sebuah beg pakaian yang di dalamnya mengandungi 20 bungkusan plastik berisi bahan disyaki heroin dianggarkan bernilai RM77,000.

    “Bekalan dadah yang dirampas dipercayai untuk diedarkan ke luar daerah dan boleh digunakan hampir 10,000 penagih,” katanya dalam satu kenyataan di Teluk Intan, hari ini.

    Beliau berkata, siasatan dijalankan mendapati kedua-dua mereka tidak bekerja dan masing-masing mempunyai rekod lampau bersabit kes dadah.

    Katanya, saringan air kencing juga mendapati suami isteri itu positif dadah jenis Methamphetamine.

    “Polis akan mendapatkan perintah reman terhadap pasangan berkenaan esok (Rabu) untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama,” katanya, lapor Sinar Harian.