Category: Jenayah

  • Sarjan polis wanita patah bahu dilanggar lelaki kejar ibu mentua

    Sarjan polis wanita patah bahu dilanggar lelaki kejar ibu mentua

    SEORANG anggota polis berpangkat sarjan patah bahu kanan selepas dirempuh sebuah kereta dalam kejadian langgar lari di Jalan Dato di Chukai, Kemaman, hari ini.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kemaman, Superitendan Hanyan Ramlan, ketika kejadian, anggota wanita berusia 36 tahun berkenaan dalam perjalanan ke tempat kerja di Bandar Chukai kira-kira pukul 11.30 pagi.

    Namun katanya, sejurus tiba dilokasi kejadian, motosikal mangsa telah bergesel dengan Proton Saga yang dipandu suspek berusia 51 tahun.

    “Ketika kejadian suspek dikatakan sedang mengekori kenderaan yang dipandu ibu mentuanya selepas insiden pertengkaran di antara mereka.

    “Suspek cuba memotong kenderaan dengan memandu secara melulu dan berbahaya kepada pengguna jalan raya yang lain sebelum terlibat dalam kemalangan terbabit,” katanya menurut laporan Astro AWANI.

    Suspek sebelum itu dikatakan telah bertengkar dengan ibu mentuanya, dipercayai disebabkan oleh isu perebutan harta di sebuah rumah di Jalan Dato, dekat Chukai.

    Mengulas lanjut, Hanyan berkata, dalam pertengkaran itu, suspek telah mengeluarkan sebatang kayu dan bertindak mengetuk bonet hadapan serta bumbung kereta ibu mentuanya sehingga kemik.

    “Ibu mentuanya yang ketakutan masuk ke dalam kereta dan memandu ke Balai Polis Chukai untuk mendapatkan pertolongan.

    “Dalam perjalanan, suspek mengekori ibu mentuanya dan cuba memotong dengan cara berbahaya sehingga merempuh motosikal (ditunggang) anggota polis wanita yang datang dari arah bertentangan,” katanya lagi.

    Menurutnya, susulan kejadian itu mangsa telah terjatuh ke atas jalan raya dan menyebabkan kecederaan parah pada bahu kanan dan dikejarkan ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut.

    Sementara itu, Hanyan berkata suspek berjaya ditahan di kawasan Ibok, Kemaman kira-kira pukul 2.15 petang selepas gagal melarikan diri lebih jauh kerana kereta yang dinaikinya rosak dan tersadai di tepi jalan.

    Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu melulu dan merbahaya, Seksyen 427 Kanun Keseksaan melakukan khianat serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu ugutan jenayah.

  • Bayi masih bertali pusat ditemukan berhampiran kilang

    Bayi masih bertali pusat ditemukan berhampiran kilang

    SEORANG bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan ditemukan di atas kayu berhampiran tepi pagar sebuah kilang di Kampung Peramu, di Kuantan hari ini dengan kesan gigitan serangga.

    Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan bayi itu oleh orang awam pada 12.10 tengah hari tadi.

    Beliau berkata bayi berkenaan dijumpai oleh seorang wanita berusia 51 tahun yang memaklumkan terdengar tangisan kira-kira pukul 11.30 pagi sebelum bertindak mencari suara berkenaan.

    “Wanita itu kemudiannya telah menjumpai bayi lelaki yang ditinggalkan lebih kurang 10 meter dari jarak rumah iaitu berhampiran tepi pagar kilang tersebut dan bayi itu diletakkan di atas kayu selain menyatakan bayi tersebut masih mempunyai tali pusat dan badannya dihinggap kerengga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Wan Mohd Zahari berkata wanita itu telah meminta bantuan kenalannya untuk menghubungi polis bagi tindakan lanjut sebelum bayi itu dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk mendapatkan rawatan.

    “Doktor menganggarkan bayi itu dilahirkan kurang tiga jam sebelum ditemukan dan keadaannya kini stabil serta masih menerima rawatan di wad kanak-kanak HTAA,” katanya dan menambah pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat Kuantan sudah dimaklumkan berhubung penemuan bayi itu.

    Sementara itu, beliau berkata siasatan mendapati suspek berkemungkinan telah melahirkan anaknya di lokasi lain dan bertindak menyembunyikan kelahiran dengan membuang bayi itu di tempat kejadian pada awal pagi tadi.

    Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan. – BERNAMA

  • 11 kubur ‘hilang’ batu nisan

    11 kubur ‘hilang’ batu nisan

    SEBANYAK 11 kubur di Tanah Perkuburan Islam Mukim Tebrau di Taman Istimewa, Pandan, Johor Bahru, ‘hilang’ batu nisan dipercayai dicuri oleh individu tidak bertanggungjawab untuk dijual semula.

    Menerusi tinjauan yang dilakukan di tanah perkuburan itu pagi tadi, kebanyakan batu nisan dicuri adalah jenis batu sungai yang harganya mencecah lebih RM450 bagi satu set.

    Penggali kubur Muhammad Izzul Hafiq Ramlan, 29, berkata terdapat beberapa waris yang menemuinya selepas terkejut melihat ketiadaan batu nisan ketika menziarahi kubur pada pagi raya seminggu lepas, sebelum ia tular di laman Facebook, sejak semalam.

    Katanya, perkuburan di tanah wakaf itu tidak dikunci atas permintaan orang ramai terutama waris bagi memudahkan ia untuk diziarahi, sekali gus terdedah kepada pencerobohan.

    “Ada ramai (waris) mengadu ketika ziarah kubur pada pagi raya batu nisan (ahli keluarga) hilang, kita tidak boleh buat apa kerana kubur ini tanah wakaf dan pada waktu malam juga tiada siapa jaga.

    “Kita syak kegiatan ini dilakukan ketika waktu tiada pengebumian, mungkin waktu malam. Kebanyakan batu nisan yang dicuri adalah batu sungai dalam sembilan set, kerana boleh dijual semula dan nama si mati boleh dipotong,” katanya ketika ditemui di tanah perkuburan itu, hari ini.

    Muhammad Izzul Hafiq berkata selain batu sungai, batu nisan putih yang kebiasaannya digunakan dan bernilai RM350 bagi satu set turut dicuri, dan turut menjelaskan kejadian tersebut kali pertama berlaku di tanah perkuburan yang dibuka sejak awal 90-an itu.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) ACP Raub Selamat ketika dihubungi berkata setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan polis berhubung kejadian itu.

    Justeru, beliau menasihati orang ramai terutama waris untuk membuat laporan bagi memudahkan siasatan dilakukan. — BERNAMA

  • ‘Dera budak 4 tahun dengan penyangkut baju hingga mati’

    ‘Dera budak 4 tahun dengan penyangkut baju hingga mati’

    SEPASANG suami isteri dipercayai tergamak mendera anak lelaki mereka berusia empat tahun sehingga meninggal dunia sebelum ditahan polis, semalam.

    Pasangan dalam lingkungan awal 20-an dan 30-an itu disyaki mendera mangsa dengan tangan selain penyangkut baju (hanger).

    Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, mereka ditahan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri kira-kira pukul 1.30 petang Jumaat, di rumah mereka kerana dipercayai terlibat dalam kes dera, seorang kanak-kanak.

    “Bagaimanapun, mangsa yang mengalami kecederaan di kepala, belakang telinga, perut dan kaki disahkan telah meninggal dunia ketika tiba di Unit Kecemasan Hospital Sultanah Aminah (HSA), sekitar 8.20 pagi, pada Jumaat.

    “Hasil tangkapan tersebut, pihak polis telah membuat beberapa rampasan barang lain yang dipercayai digunakan untuk mendera mangsa,” katanya hari ini menurut laporan Sinar Harian.

    Dalam pada itu, Rahmat berkata, kedua-dua suspek telah direman di Mahkamah Johor Bahru dan tempoh reman bagi suspek lelaki yang bekerja sebagai pengawal keselamatan adalah selama tujuh hari hari, mulai 29 April hingga 5 Mei manakala suspek wanita yang tidak bekerja merupakan ibu kandung mangsa ditahan selama dua hari mulai 2 April hingga 30 April.

    Katanya, kes di siasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 (Penganiayaan, Pengabaian, Pembuangan atau Pendedahan Kanak-kanak).

    Jika disabit bersalah boleh dihukum penjara tidak lebih 10 tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya.

    Kes masih dalam siasatan untuk mengesan saksi dan bukti-bukti lain.

    Untuk rekod, suspek lelaki merupakan bapa tiri kepada mangsa mempunyai satu rekod jenayah lampau melibatkan kes jenayah.

    Difahamkan, mangsa turut mempunyai seorang adik lelaki berusia enam bulan dan suspek wanita kini hamil dua bulan.

  • Polis Malaysia tahan dua ahli kongsi gelap Taiwan terlibat kes tembak

    Polis Malaysia tahan dua ahli kongsi gelap Taiwan terlibat kes tembak

    DUA warga Taiwan yang dikehendaki kerana disyaki terlibat dengan kes tembakan di negara berkenaan, ditahan pada 20 April lepas di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ketika memasuki Malaysia melalui penerbangan dari Taiwan.

    Kedua-dua suspek juga dipercayai ahli kongsi gelap serta anggota sindiket scammer di Taiwan.

    Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata suspek ditahan susulan waran tangkap yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Taiwan, di samping pasport kedua-dua mereka dibatalkan oleh kerajaan Taiwan, dan tangkapan dibuat di bawah Akta Imigresen 1959/63.

    “Kejayaan ini merupakan hasil kerjasama erat PDRM (Polis Diraja Malaysia) dengan pihak berkuasa Taiwan, dan kolaborasi ini akan diteruskan untuk mengenal pasti rangkaian jenayah berkait kedua-dua suspek di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata kedua-dua suspek telah diserahkan kepada wakil polis Taiwan di KLIA semalam untuk dibawa pulang ke negara asal.

    Acryl Sani berkata PDRM komited dalam menjaga keamanan dan ketenteraman awam.

    “PDRM juga akan mengambil langkah-langkah keselamatan bagi memastikan Malaysia tidak dijadikan negara transit atau destinasi bagi mana-mana pihak yang melanggar undang-undang,” katanya.

    — BERNAMA

  • Polis buru lelaki curi beg dalam Masjid Muhammadi

    Polis buru lelaki curi beg dalam Masjid Muhammadi

    POLIS  sedang memburu seorang lelaki yang dilihat mencuri beg silang seorang jemaah yang sedang bersolat pada waktu Zohor di Masjid Muhammadi di Kota Bharu Rabu lepas, setelah rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan perbuatan itu tular dalam media sosial.

    Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Mohd Rosdi Daud berkata polis menerima laporan berkaitan kejadian itu daripada mangsa yang berusia 25 tahun pada pukul 2.50 petang hari yang sama, dan kerugian dianggarkan RM2,000 termasuk telefon bimbit dan wang tunai RM150.

    “Suspek ketika itu memakai seluar panjang berwarna hitam, berkemeja putih dan berkopiah, dianggarkan berumur sekitar 30-an,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek supaya menghubungi Sarjan Mohd Hafiz Muhammad Khila dengan menelefon 013-9529828 atau 09-7752200, atau hubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.- BERNAMA

  • 9 ditahan seleweng diesel di Bukit Kayu Hitam

    9 ditahan seleweng diesel di Bukit Kayu Hitam

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEMBILAN individu terdiri daripada tiga lelaki tempatan dan enam warganegara Thailand ditahan dalam serbuan dilakukan pihak polis ke atas premis pemborong minyak diesel di Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam, Kedah kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyelewengan barangan kawalan itu.

    Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Mohd. Yusof berkata, kementerian tersebut telah menerima serahan kes tersebut daripada pihak polis kira-kira pukul 1 petang semalam melibatkan sitaan diesel sebanyak 135,760 liter bernilai kira-kira RM291,884.

    Selain itu katanya, sebanyak tujuh lori, 10 unit skid tank, tiga mesin pam minyak, lapan ‘nozzle’ pam, dua unit tangki silnder dan dua unit alat kawalan jauh pintu pagar merupakan antara barangan dirampas.

    “Enam daripada tujuh lori yang disita memiliki nombor plat Thailand. Selain itu, wang tunai berjumlah THB 192,902 (RM25,300) turut dirampas. Mereka yang ditahan berusia antara 20-an hingga 50-an. Nilai keseluruhan barangan yang disita dianggarkan lebih RM1 juta,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Tambahnya, siasatan lanjut kini dijalankan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dibaca bersama peraturan 9 (2) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

    “Jika sabit kesalahan, mana-mana individu perseorangan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama manakala bagi kesalahan kedua, mereka boleh didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

    “Bagi pertubuhan perbadanan pula boleh didenda tidak melebihi RM2 juta untuk kesalahan pertama dan tidak lebih RM5 juta untuk kesalahan kedua,” katanya.

    Menurutnya, KPDN tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yng didapati terlibat dengan sindiket mahu pun aktiviti penyelewengan barang-barang kawalan tersebut.

    Tindakan tegas akan diambil termasuklah mendakwa mereka di mahkamah berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) (Akta 613).

    “Jika disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta 613, mereka yang didapati bersalah boleh dipenjara tidak lebih 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan pada masa kesalahan itu dilakukan, atau RM5 juta, bergantung mana yang lebih tinggi,” katanya.

  • Lelaki ugut baling mercun bom kepada PM direman

    Lelaki ugut baling mercun bom kepada PM direman

    SEORANG lelaki berumur 24 tahun yang mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini.

    Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata penahanan reman itu dilakukan susulan pihaknya telah mengesan satu ciapan yang dimuat naik oleh pemilik akaun Twitter Mat Sekilau/Membalak @apanakdikato.

    Katanya, menerusi ciapan berkenaan ia memaparkan tangkap layar individu yang mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan “Boleh Pasang nanti bang Non Mai klate, Kasi ajar sikit” untuk membaling mercun bom.

    “Kenyataan tersebut dipercayai ditujukan kepada Perdana Menteri.

    “Hasil pemerhatian mendapati sumber asal hantaran tersebut telah dimuat naik oleh suspek di akaun Tiktok @najibnafi99, namun mengikut semakan video tersebut telah dipadam.

    “Semalam, lebih kurang pukul 10.30 malam, tangkapan telah dibuat ke atas suspek di pekarangan Balai Polis Binjai untuk siasatan lanjut.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan hari ini. – BERNAMA

  • 7 pemandu bas di bawah pengaruh dadah berdepan tindakan gantung lesen – JPJ

    7 pemandu bas di bawah pengaruh dadah berdepan tindakan gantung lesen – JPJ

    LESEN memandu tujuh pemandu bas yang dikesan berada di bawah pengaruh dadah sepanjang Ops Bersepadu Hari Raya Aidilfitri (HRA) boleh digantung di bawah Seksyen 36 dan atau Seksyen 56 Akta 333 Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

    Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan berkata, kesemua pemandu berkenaan yang ditahan di beberapa lokasi berasingan termasuk di Pulau Pinang, Melaka, Perak dan Perlis telah diserahkan kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk tindakan lanjut.

    Dalam masa sama, ujar beliau, syarikat bas terlibat juga akan diaudit menerusi Laporan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) JPJ bagi melihat tahap kepatuhan mereka.

    “Tindakan susulan seperti cadangan penggantungan atau pembatalan permit akan turut dikemukakan kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) selepas siasatan selesai dijalankan,” katanya.

    Beliau ditemui pemberita selepas menyertai Ops Motosikal sempena Ops HRA berhampiran tol menuju ke Jambatan Pulau Pinang malam tadi yang turut dihadiri Pengarah JPJ Pulau Pinang, Adenan Md. Isa.

    Dalam pada itu, Lokman mengingatkan pemilik syarikat kenderaan komersial memastikan kenderaan mereka tidak rosak ketika berada di jalan raya kerana boleh mengganggu aliran trafik.

    Ujar beliau, pemilik syarikat kenderaan berkenaan boleh dikenakan tindakan kerana dianggap gagal menyelenggara kenderaan masing-masing dengan baik.

    Sementara itu, mengulas berkenaan operasi malam tadi, Lokman berkata, sebanyak 47 buah motosikal disita atas pelbagai kesalahan termasuk tiada perlindungan insurans, tiada lesen memandu serta beberapa kesalahan teknikal lain.

    Secara keseluruhan pula, jelas beliau sebanyak 71,688 notis atas pelbagai kesalahan telah dikeluarkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987(Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) serta peraturan di bawahnya sepanjang kempen dan Ops Bersepadu HRA dijalankan antara 18 April hingga semalam.

    Beliau berkata, sebanyak 729 buah kenderaan turut disita atas pelbagai kesalahan sepanjang tempoh itu melalui aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan di koridor penguatkuasaan yang melibatkan 291 lokasi ‘point of duty’ (POD) di seluruh negara.

    “Kesemua kesalahan ini telah didaftarkan di dalam sistem mySikap sebagai kesalahan yang tidak boleh dikompaun dan OKS (orang kena saman) perlu hadir ke mahkamah untuk menyelesaikan notis saman,” katanya.

    Dalam perkembangan berkaitan, katanya, JPJ turut menerima sehingga 1,700 aduan daripada orang awam sepanjang Ops HRA itu yang dihantar menerusi aplikasi [email protected] dengan kesalahan tertinggi yang dilaporkan ialah memandu di lorong kecemasan dengan 580 aduan.

  • Suami isteri tular buat aksi ‘wheelie’ serah diri

    Suami isteri tular buat aksi ‘wheelie’ serah diri

    POLIS hari ini menahan sepasang suami isteri di Kelantan selepas usaha mengesan pasangan itu dibuat susulan rakaman video mereka menunggang motosikal sambil membuat aksi ‘wheelie’ tular di media sosial.

    Menurut Ketua Polis Kota Bharu Mohd Rosdi Daud, pasangan berusia 16 dan 17 tahun itu menyerah diri pada pukul 10 pagi tadi di IPD Kota Bharu.

    Beliau berkata, pasangan berkenaan sebelum ini diburu polis selepas video aksi mereka itu yang dirakamkan di Jalan Pasir Puteh, Peringat tular.

    Katanya, mereka pada mulanya menghilangkan diri selama dua hari selepas diburu pihak polis.

    “Mereka kini kini dalam proses permohonan reman pada Jumaat untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Free Malaysia Today.

    Mengulas lanjut Rosdi berkata, pasangan itu dipercayai terlibat dalam aksi menunggang motosikal secara berbahaya yang boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.

    Jika disabitkan kesalahan katanya, mereka boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang daripada RM5,000, tidak lebih daripada RM15,000.

    Polis pada Selasa lalu memburu seorang penunggang motosikal yang membuat aksi ‘wheelie’ sambil membonceng seorang wanita dan tidak memakai topi keledar.

    Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Mat Kasim Karim dalam satu kenyataan berkata, tindakan itu diambil selepas aksi pasangan berkenaan tular di media sosial.

    “Video itu memaparkan pasangan berkenaan lengkap berpakaian baju Melayu dan baju kurung berwarna biru,” katanya.