Category: Jenayah

  • Inspektor antara enam anggota polis Jerantut ditahan minta rasuah RM5,000

    Inspektor antara enam anggota polis Jerantut ditahan minta rasuah RM5,000

    ENAM anggota polis termasuk seorang berpangkat inspektor dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut direman sehingga 11 Mei ini, bagi membantu siasatan berhubung kes meminta rasuah berjumlah RM5,000.

    Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan hari ini berkata perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Temerloh, Mohamed Shah Reza Noor Azman.

    Menurut kenyataan itu kesemua mereka ditahan petang semalam selepas hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Temerloh bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

     Mereka didakwa melakukan perbuatan itu Rabu lepas, apabila dikatakan meminta suapan daripada seorang lelaki bagi menyelesaikan kes serbuan serta penemuan air ketum di rumah lelaki berkenaan.

    Selain inspektor yang berumur 36 tahun, lain-lain anggota polis yang ditahan adalah mereka yang berpangkat Lans Koperal, Koperal dan Sarjan Mejar, yang berumur antara 28 dan 46 tahun, semuanya bertugas di Bahagian Narkotik IPD berkenaan.

  • Polis tahan Jurulatih bola ugut adik ipar

    Polis tahan Jurulatih bola ugut adik ipar

    POLIS menahan seorang jurulatih bola sepak kerana mengugut adik ipar lelaki berkaitan perselisihan faham di kediaman keluarganya di Taman Cheras Indah, Ampang Jaya, kelmarin.

    Mangsa berusia 31 tahun itu pada mulanya datang ke kediaman keluarga mentuanya pada pukul 2 pagi Selasa lalu namun berlaku perselisihan dengan abang iparnya berusia 41 tahun itu.

    Suspek turut bertindak mengugut mangsa dengan pisau menyebabkan dia yang bimbang dengan keselamatan diri kemudian tampil membuat laporan polis.

    Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, bertindak atas maklumat kes ugutan jenayah di sebuah rumah di Taman Cheras Indah, sepasukan Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ampang Jaya membuat tangkapan ke atas suspek di kediaman terbabit.

    “Punca kejadian adalah perselisihan faham dalam keluarga. Pihak polis juga sudah merampas beberapa barang kes disyaki digunakan dalam kes ini.

    “Semakan rekod jenayah lampau dapati suspek mempunyai satu rekod jenayah tidak dikehendaki.

    “Ujian saringan awal air kencing juga dapati negatif di mana suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut,” katanya, lapor Harian Metro.

    Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda, atau dengan kedua-duanya sekali.

  • SPRM bawa pulang individu terlibat kes 1MDB, SRC

    SPRM bawa pulang individu terlibat kes 1MDB, SRC

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya membawa pulang seorang individu yang terlibat dalam siasatan kes 1MDB dan SRC International Sdn Bhd.

    Menurut sumber, individu itu yang disiasat kerana disyaki menerima wang hasil penyelewengan dana 1MDB dan SRC, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 pada pada 3.30 pagi, 3 Mei lepas.

    Sebaik tiba di KLIA2, beliau yang menghilangkan diri sejak 2018 diserahkan notis untuk hadir di ibu pejabat SPRM Putrajaya pada 10 pagi kelmarin.

    Pegawai SPRM merakamkan keterangan beliau dan penggeledahan rumah dilakukan pada hari sama.

    Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.

    Menurut sumber, adalah dipercayai siasatan SPRM mendapati individu itu menerima wang hasil penyelewengan dana 1MDB dan SRC melalui akaun bank sebuah syarikat, yang dikenali sebagai Wright Shaw Limited.

    SPRM sebelum ini menyita akaun bank milik Wright Shaw Limited berjumlah kira-kira USD5.2 juta, dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Komersial Singapura (CAD Singapura).

    Siasatan juga mendapati individu itu menerima wang hasil penyelewengan dana 1MDB melalui Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M).

    Dalam perkembangan berasingan, SPRM pada 26 April berjaya membawa pulang wang dianggarkan berjumlah RM16 juta daripada sebuah syarikat, Totality Limited, milik bekas pengarah eksekutif pembangunan perniagaan 1MDB, Tang Keng Chee.

    Menurut sumber, Tang terlibat dengan 1MDB ketika ia dikenali sebagai Terengganu Investment Authority (TIA) sehingga 2021.

    “Konspirasinya adalah untuk mengelirukan bank dan menyembunyikan fakta tertentu daripada lembaga pengarah 1MDB untuk memindahkan USD700 juta kepada Good Star Ltd, yang didakwa dimiliki oleh Low Taek Jho,” kata sumber itu lagi, lapor FMT.

    SPRM dipercayai telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Tang pada 29 Jun 2018, yang masih tidak dapat dikesan.

    Setakat ini, SPRM berjaya mendapatkan kembali kira-kira 70% daripada aset 1MDB, membabitkan jumlah kira-kira RM28.3 billion.

  • Salah laku: 23 anggota SPRM dikenakan tindakan, berhenti kerja

    Salah laku: 23 anggota SPRM dikenakan tindakan, berhenti kerja

    SERAMAI 23 anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikenakan tindakan tatatertib termasuk diberhentikan kerja kerana terlibat dalam salah laku bagi tempoh 2020 sehingga 2022.

    Pengerusi Jawatankuasa Aduan (JKA) SPRM, Datuk Dr Asariah Mior Shaharuddin berkata, kesalahan tatatertib yang dilakukan oleh anggota termasuk salah laku, cuai, tidak hadir bertugas dan terlibat dengan aktiviti jenayah.

    Beliau berkata, daripada jumlah berkenaan, 10 anggota diberhentikan kerja kerana terlibat dengan aktiviti jenayah dan majoriti daripada yang dikenakan tindakan tatatertib merupakan anggota baharu SPRM yang berkhidmat kurang daripada 10 tahun.

    “Walaupun jumlah yang dikenakan tindakan tatatertib adalah kecil, iaitu 0.3 peratus daripada jumlah keseluruhan anggota SPRM seramai 2,800 orang, namun ia tidak harus dipandang ringan kerana masyarakat menaruh harapan yang tinggi terhadap SPRM.

    “SPRM harus dilihat bersih dan mempunyai anggota yang berintegriti tinggi dan tidak berkompromi dengan sebarang salah laku,” katanya kepada Bernama baru-baru ini di Ibu Pejabat SPRM, di Putrajaya.

    Asariah berkata, JKA yang merupakan satu daripada lima jawatankuasa bebas yang ditubuhkan melalui Akta SPRM 2009, bertanggungjawab untuk memantau cara SPRM mengendalikan aduan yang tidak bersifat jenayah terhadap pegawai-pegawainya.

    Selain itu, katanya, JKA juga bertindak mengenal pasti kelemahan tatacara kerja yang mungkin menimbulkan sebarang aduan dan mencadang syor yang difikirkan sesuai.

    “Sepanjang 14 tahun JKA ditubuhkan sebanyak 31 cadangan penambahbaikan prosedur operasi kerja SPRM telah dikemukakan dan yang terbaru melibatkan kawalan dalaman mengenai keterhutangan kewangan yang serius, kawalan dalaman mengenai kehilangan barang kes dan memperkukuhkan sistem pengurusan aduan dalaman SPRM,” katanya.

    Pada masa yang sama, Asariah berpendapat badan pencegah rasuah itu telah menjalankan peranannya dengan baik bagi memupuk sifat integriti dan tata kelola yang baik dalam diri setiap anggotanya.

    Beliau berkata, SPRM telah mewujudkan Pelan Antirasuah SPRM 2021-2025 dan Kod Etika dan Tatakelakuan SPRM di samping melaksanakan program-program pengukuhan integriti antaranya menubuhkan Cawangan Hal Ehwal Dalaman pada tahun lepas bagi menyiasat kes jenayah melibatkan pegawai SPRM di bawah Akta SPRM 2009.

    “SPRM juga telah mewujudkan Unit Agama dan Kaunseling yang merupakan satu langkah yang baik bagi memberi sokongan kepada anggotanya dari segi moral untuk melaksanakan tugas.

    “Terkini, SPRM juga menunjukkan keseriusan dalam memastikan SPRM bebas daripada dadah dan bahan terlarang seperti ketum melalui Arahan Ketua Pesuruhjaya SPRM. Sebarang pelanggaran boleh dikenakan hukuman tatatertib termasuk buang kerja,” katanya.

  • Polis selamatkan pembantu rumah didera pasangan suami isteri

    Polis selamatkan pembantu rumah didera pasangan suami isteri

    POLIS menyelamatkan seorang wanita warga asing yang disyaki menjadi mangsa penderaan pasangan suami isteri di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur  minggu lalu.

    Mangsa berusia 39 tahun itu diselamatkan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, selepas menerima maklumat daripada jiran suspek.

    Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor, berkata jiran mangsa memaklumkan kepada polis pada 23 April lalu, selepas mendakwa pasangan berkenaan mendera pembantu rumah mereka.

    “Siasatan polis mendapati mangsa mengalami kecederaan serius melecur hampir seluruh badan dan lebam pada kedua-dua belah mata dan muka.

    Mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi mendapatkan rawatan dan ditempatkan di rumah perlindungan,” katanya lapor Berita Harian.

    Katanya, mangsa menjadi pembantu rumah pasangan itu selama hampir setahun setengah dan mendakwa kerap dipukul, ditampar serta pernah dicederakan di tangan dengan seterika.

    Amihizam berkata, polis turut merampas barang kes yang dipercayai digunakan suspek untuk mencederakan mangsa untuk membantu siasatan.

    “Suspek akan didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur esok mengikut Kanun Keseksaan dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya.

  • Dua lelaki pembekal harang kemas dirompak, rugi RM1 juta

    Dua lelaki pembekal harang kemas dirompak, rugi RM1 juta

    DUA lelaki dipercayai pembekal barang kemas berdepan detik cemas apabila barangan bernilai lebih RM1 juta yang dibawa mereka dirompak di belakang sebuah kedai emas, di Kuala Pilah  hari ini.

    Pengurus kedai emas itu Noorhasliza Abd Rahman berkata berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premisnya, kejadian yang berlaku kira-kira 11 pagi tadi menunjukkan kedua-dua mangsa yang membawa dua beg telah diserang dua lelaki memakai topeng hitam.

    “Kejadian berlaku di luar premis ini, dua individu itu adalah pembekal barang kemas, memang keadaan panik dan ia merupakan kejadian pertama berlaku di sini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kedainya.

    Noorhasliza berkata laporan polis telah dibuat dan rakaman CCTV itu telah diserahkan untuk siasatan lanjut.

    Katanya, ketika insiden itu semua pekerja berada di dalam kedai melayan beberapa pelanggan.

    Tinjauan pemberita di kawasan itu mendapati kedai emas berkenaan beroperasi seperti biasa dan pihak polis melakukan sekatan jalan raya di beberapa laluan.

    Berdasarkan rakaman berdurasi 34 saat itu, sebuah kereta berwarna perak dilihat berhenti berhampiran mangsa yang baru keluar daripada kereta, sebelum suspek yang memegang senjata kelihatan seperti parang turun lalu menyerang mereka.

    Mangsa dilihat cuba menyelamatkan diri, namun dikejar dan diserang serta suspek merampas beg yang dibawa mereka, sebelum melarikan diri.

    Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof mengesahkan perkara itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan.

    “Maklumat lanjut belum diperoleh daripada Ketua Polis Daerah Kuala Pilah. Kami akan maklumkan (perkembangan) dari semasa ke semasa,” katanya.

    — BERNAMA

  • Pusat sembelih ayam diarah tutup, beroperasi secara kotor, logo halal meragukan

    Pusat sembelih ayam diarah tutup, beroperasi secara kotor, logo halal meragukan

    SEBUAH pusat penyembelihan ayam di Kampung Matahari Naik, Teluk Kumbar, Pulau Pinang diarah tutup buat sementara waktu selepas didapati beroperasi dalam keadaan tidak bersih.

    Penutupan selama dua minggu itu dibuat di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Barat Daya, malam tadi.

    Premis itu diserbu dalam operasi bersepadu yang disertai oleh PKD Barat Daya; pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri; Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang (JPVPP).

    Turut serta dalam operasi itu ialah Bahagian Pengurusan Halal (BHP) di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAINPP); Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta beberapa agensi lain.

    Sementara itu, BPH JHEAINPP dalam kenyataan memberitahu, selain beroperasi dalam keadaan tidak bersih, pusat penyembelihan ayam itu juga dikesan melakukan kesalahan ketika mempamerkan logo halal pada papan tanda premis berkenaan.

    “Sehubungan itu, pihak syarikat (pemilik premis) telah diberi notis dan teguran untuk menanggalkan dan membuang logo halal serta perbahasan penandaan halal yang tertera di papan tanda jualan dengan segera.

    “Tindakan (kemudian) telah diambil oleh pihak syarikat,” kata kenyataan itu.

  • SPRM tahan guru besar minta, terima rasuah

    SPRM tahan guru besar minta, terima rasuah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG guru besar sebuah sekolah di Kluang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah berjumlah lebih RM10,000.

    Menurut sumber, suspek lelaki berusia 56 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Cawangan Kluang kira-kira pada pukul 10.30 pagi tadi selepas hadir memberikan keterangan.

    Difahamkan, suspek telah meminta dan menerima wang rasuah daripada seorang pengusaha kantin dari sekolah sama sebagai dorongan untuk memudahkan urusan tuntutan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang dilaksanakan sepanjang tahun lalu.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

    Suspek kemudian dilepaskan dengan jaminan SPRM.

  • Tentera udara siasat dakwaan anggota dibuli

    Tentera udara siasat dakwaan anggota dibuli

    TENTERA Udara Diraja Malaysia (TUDM) menjalankan siasatan dalaman bagi menyiasat dakwaan buli seorang anggota di pusat latihan di Kuantan, Pahang.

    Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata siasatan dalaman dijalankan selepas bapa pelatih berkenaan membuat laporan polis terhadap kejadian menimpa anaknya di pusat latihan tersebut.

    Beliau berkata, polis juga hadir ke pusat latihan berkenaan baru-baru ini untuk menjalankan siasatan dan pihak TUDM turut memberikan kerjasama sepenuhnya.

    “Selain siasatan polis, TUDM juga melakukan siasatan dalaman terhadap laporan berkenaan, TUDM tidak menerima laporan mengenai kejadian buli ini, bapa mangsa hanya membuat laporan polis.

    “Polis akan memastikan kes buli berkenaan disiasat secara menyeluruh dan individu yang didapati bersalah melanggar tatatertib dan prosedur operasi standard bagi setiap anggota yang duduk di pusat latihan dikenakan tindakan sewajarnya,” katanya dalam sidang media di Rumah Terbuka Kementerian Pertahanan dan Kem Kementah di Kuala Lumpur hari ini.

    Terdahulu tular satu perkongsian di media sosial dengan seorang wanita mendakwa adiknya menjadi mangsa buli di sebuah pusat latihan tentera udara.

    Dalam perkongsian berkenaan wanita itu mendakwa adiknya menjadi mangsa penderaan fizikal dan emosi sehingga menyebabkan beliau trauma dan ketakutan.

  • 13 suspek kes pecah rumah diberkas

    13 suspek kes pecah rumah diberkas

    POLIS menahan 13 lelaki kerana disyaki terlibat dengan geng pecah rumah di Selangor sejak Januari hingga April lalu.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, modus operandi kumpulan penjenayah itu adalah memakai topeng dan bersenjatakan parang ketika memecah masuk rumah mangsa.

    Beliau memberitahu, semua suspek ditahan dalam serbuan di Selangor, Melaka dan Johor.

    “Polis turut merampas 14 telefon bimbit, wang tunai RM3,000, sebuah komputer riba dan dua kenderaan milik mangsa.

    “Polis juga merampas dua kereta yang digunakan oleh suspek untuk melakukan jenayah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di Shah Alam hari ini.

    Hussein berkata, kes terbaharu, seramai tiga lelaki disyaki terlibat dalam kes pecah masuk dan melarikan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Harrier di sebuah rumah di Kajang, pada 30 April lalu.

    “Kesemua suspek itu melarikan diri setelah mendapati mangsa berada di rumah tersebut,” katanya.

    Beliau berkata, sebanyak 34 kes pecah rumah dilaporkan di Selangor sejak Januari hingga April lalu.

    “Dengan tertangkapnya 13 suspek ini, kita percaya enam kes pecah rumah berjaya diselesaikan, kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan,” katanya, lapor Sinar Harian.