Category: Jenayah

  • 21 lagi mayat mangsa pemujaan ditemukan

    21 lagi mayat mangsa pemujaan ditemukan

    POLIS Kenya pada Selasa menemukan 21 lagi mayat dari kubur di bandar Malindi, yang disyaki dijadikan sebagai tempat untuk melakukan aktiviti pemujaan.

    Polis berkata setakat ini 133 mayat telah ditemukan sejak penemuan kubur besar itu di sebidang tanah di hutan Shakahola pada akhir April.

    Kebanyakan mangsa terdiri daripada kanak-kanak, lapor Xinhua.

    Pada April polis menyerbu kawasan milik paderi dikenali Paul Nthenge selepas menerima maklumat daripada orang awam.

    Setiausaha Kabinet di Kementerian Dalam Negeri dan Pentadbiran Negara, Kithure Kindiki berkata proses menggali kubur itu dibuat dengan berhati-hati untuk melindungi maruah dan privasi keluarga mangsa.

    Beliau berkata usaha mencari dan menyelamat sedang dijalankan dengan 65 orang telah diselamatkan dari belukar setakat ini, termasuk dua yang telah diselamatkan sebelum ini.

    Presiden Kenya William Ruto menyifatkan insiden itu sebagai keganasan dan telah mengumumkan pembentukan sebuah suruhanjaya siasatan untuk menyiasat kejadian berkenaan.

  • Dua ekor lembu ditemui mati diracun di Machang

    Dua ekor lembu ditemui mati diracun di Machang

    DUA ekor lembu milik seorang penternak ditemui mati dipercayai akibat diracun di Kampung Pangkal Mak Wan, Machang, Isnin lalu.

    Ketua Polis Daerah Machang, Superitenden Mohd. Adli Mat Daud berkata, penternak lembu menyedari kejadian itu selepas menjumpai biji-biji berwarna putih, dipercayai baja, yang digunakan untuk meracuni ternakannya.

    “Pada Isnin, jam lebih kurang 5.30 petang, pengadu pergi ke tempat ternakan lembu miliknya di kampung tersebut, untuk menghalau lembu-lembunya masuk balik ke dalam kandang.

    “Pada masa sama, dia mendapati dua ekor lembu miliknya dalam keadaan terbaring dan nazak, disyaki setelah memakan buah yang diletak racun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, hasil pemeriksaan di sekitar kawasan berhampiran mendapati, terdapat separuh buah tembikai berada di atas tanah di kawasan kejadian.

    “Turut ditemui biji-biji berwarna putih dalam buah tembikai tersebut, yang dipercayai baja, berkemungkinan menjadi penyebab kematian haiwan itu,” ujar beliau.

    Pihak polis katanya, menerima laporan berkaitan kes khianat terhadap haiwan ternakan itu semalam.

    Mohd. Adli berkata, pegawai veterinar telah menjalankan pemeriksaan dan mengambil beberapa organ dalaman lembu terbabit sebagai sampel untuk dihantar ke jabatan kimia.

    “Kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan,” katanya memetik laporan Astro Awani.

  • Pengurus maut bergaduh selepas menegur payudara besar

    Pengurus maut bergaduh selepas menegur payudara besar

    SEORANG pengurus syarikat maut dalam pergaduhan di tempat letak kereta di Jalan Kenanga, Melaka semalam akibat mengeluarkan perkataan tidak senonoh.

    Ketua Polis Melaka Tengah, Christopher Patit berkata, kejadian dikatakan berlaku antara 4 hingga 4.15 pagi, dengan mangsa berusia 35 tahun itu disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke Hospital Melaka kira-kira 5.20 pagi untuk menerima rawatan.

    Sebelum kejadian kira-kira 2 pagi itu, katanya, mangsa yang dipercayai mabuk selepas berhibur, ke gerai dekat lokasi kejadian untuk makan dan minum bersama rakannya.

    “Selepas makan, berlaku pertengkaran antara mangsa yang juga pengurus syarikat, dengan seorang ahli perniagaan dan pengawal peribadi lelaki terbabit, masing-masing berusia 36 dan 27 tahun.

    “Pertengkaran itu kemudian membawa kepada pergaduhan yang didakwa berpunca daripada mangsa bercakap kepada rakannya, dengan mengatakan wanita bersama ahli perniagaan itu mempunyai payudara besar,” katanya menurut Harian Metro.

    Christopher berkata, pengawal peribadi ahli perniagaan itu yang mendengar percakapan itu, menegur mangsa dan memaklumkan wanita terbabit adalah ‘madamnya’.

    Ujarnya, keadaan menjadi tegang dan berlaku tolak-menolak serta tumbuk-menumbuk antara mangsa, pengawal peribadi dan ahli perniagaan itu.

    “Mangsa yang cedera dan tidak sedarkan diri dibawa ke hospital oleh dua rakannya untuk menerima rawatan, sebelum disahkan meninggal dunia dan hasil bedah siasat mendapati lelaki terbabit meninggal akibat tikaman.”

    Susulan itu, tujuh individu berusia 26 hingga 38 tahun ditahan, termasuk ahli perniagaan itu, teman wanitanya berusia 26 tahun dan pengawal peribadinya, selain senjata dipercayai digunakan dalam pergaduhan, iaitu pisau dan batang besi dirampas.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

  • Lelaki Singapura ditahan kencing di tempat wuduk

    Lelaki Singapura ditahan kencing di tempat wuduk

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki warga emas dipercayai warganegara Singapura mengundang kemarahan orang ramai apabila membuang air kecil di tempat mengambil wuduk di Kompleks Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Johor Bahru, hari ini.

    Kejadian tersebut berjaya dirakam seorang lelaki yang menegur lelaki berkenaan sebelum video perbuatan tular dalam media sosial.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya menerima laporan perbuatan jelik berkenaan pada pukul 4.36 petang.

    “Pihak polis telah membuat tangkapan terhadap lelaki warga asing berusia 69 tahun itu. Hasil siasatan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan saringan air kencing didapati negatif.

    “Permohonan reman akan dibuat pada esok di Mahkamah Sesyen Johor Bahru. Kes disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

    Beliau berkata, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

    “Polis Kontinjen Johor menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan perbuatan yang boleh menimbulkan suasana yang tidak baik dan mengganggu ketenteraman awam,” ujar beliau.

  • Kastam Terengganu rampas 4.7 juta batang rokok seludup

    Kastam Terengganu rampas 4.7 juta batang rokok seludup

    SEJUMLAH 4.7 juta batang rokok seludup pelbagai jenama dianggarkan bernilai hampir RM4 juta termasuk cukai dirampas dalam serbuan di Kampung Pengkalan Gelap di Kuala Terengganu, Sabtu lalu.

    Rampasan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu itu adalah hasil maklumat awam kira-kira pukul 1.30 tengah hari.

    Pengarah JKDM Terengganu, Mohd. Nadzri Ariffin berkata, risikan dijalankan pihaknya selama empat hari membawa kepada aktiviti penyeludupan di lokasi berkenaan.

    “Pihak kastam membuat serbuan di lokasi berkenaan dan berjaya merampas rokok tak berkastam dan kenderaan-kenderaan yang digunakan untuk mengangkut rokok seludup.

    “Namun, ketika pasukan tiba, suspek berjaya melarikan diri ke kawasan belukar nipah berpaya menghala ke sungai dengan meninggalkan semua kenderaan yang digunakan untuk mengangkut barang berkenaan,” katanya dalam sidang media di Pejabat JKDM Terengganu hari ini.

    Katanya, pihak kastam turut menyita dua buah lori dan sebuah bot fiber serta dua buah enjin bernilai RM260,000 dengan rampasan keseluruhan termasuk bernilai RM3.982 juta.

    Mohd. Nadzri berkata, siasatan awal mendapati aktiviti berkenaan didalangi orang tempatan yang membawa masuk rokok-rokok berkenaan dari negara jiran menggunakan bot fiber sebelum dipindahkan ke dalam lori.

    Beliau berkata, rokok berkenaan dipercayai diedarkan untuk pasaran tempatan khususnya pasaran Pantai Timur dan Lembah Klang.

    “Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti pemilik-pemilik kenderaan yang digunakan untuk mengangkut rokok tak berkastam dan pembabitan mereka dalam aktiviti ini.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 kali nilai barang atau RM10,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih daripada 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar atau dipenjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Sivakumar sahkan 5 pegawai dipecat

    Sivakumar sahkan 5 pegawai dipecat

    MENTERI Sumber Manusia, V. Sivakumar mengesahkan lima pegawainya ditamatkan perkhidmatan, sambil menegaskan langkah itu bagi memastikan kementerian dapat berfungsi dengan lancar dan baik.

    “Itu memang berlaku, kita nak pastikan kementerian dapat berfungsi dengan lancar dan baik,” katanya, lapor FMT.

    Beliau berkata demikian selepas merasmikan kemuncak bagi keselamatan dan kesihatan pekerjaan (PKP) bersama syarikat berkaitan kerajaan 2023, hari ini.

    Pada 4 Mei lalu, sumber kementerian memberitahu FMT, kontrak lima pegawainya diberhentikan.

    Sementara itu, seorang lagi pegawai dipindahkan dari Kementerian Sumber Manusia ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

    Bulan lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga pembantu Sivakumar, namun membebaskan mereka selepas perintah reman empat hari tamat 17 April lalu.

    Penahanan mereka dipercayai berhubung siasatan kelulusan kuota pekerja asing.

    Beberapa pihak sebelum ini mendesak Sivakumar bercuti atau meletakkan jawatan selepas beliau dipanggil SPRM untuk memberi keterangan.

    Bagaimanapun, Sivakumar bertegas tidak akan meletak jawatan, sambil menyatakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim juga berpandangan tiada keperluan baginya berbuat demikian.

    Ditanya mengapa mereka dipecat ketika kes itu masih dalam siasatan, Sivakumar enggan menjawab dan terus beredar.

  • Kes buli pelatih TUDM, lebih 10 saksi dipanggil beri keterangan

    Kes buli pelatih TUDM, lebih 10 saksi dipanggil beri keterangan

    POLIS memanggil 10 individu untuk diambil keterangan bagi tujuan siasatan berhubung kes buli lima pelatih Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pangkalan Udara Kuantan pada 12 April lalu.

    Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, selain mangsa pihaknya juga telah memanggil dan mengambil keterangan enam suspek yang didakwa terlibat dalam kes memukul pelatih tersebut.

    “Siasatan berhubung kes tersebut masih berjalan termasuk memanggil sebanyak mungkin saksi dalam kalangan pelatih dan penyelia bagi membantu siasatan.

    “Siasatan dijangka tidak mengambil masa yang lama dan diselesaikan dalam masa terdekat sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perhimpunan khas sempena pertukaran Ketua Polis Pahang di Kuantan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Katanya, setakat ini, semua enam suspek yang didakwa terlibat belum ditahan sebaliknya hanya dipanggil untuk memberi keterangan.

    Siasatan ujar beliau, akan dilakukan melibatkan pelbagai aspek dan jika didapati berlaku elemen jenayah tindakan selanjutnya akan diambil bergantung kepada hasil siasatan termasuk untuk pendakwaan dan sebagainya.

    Media sebelum ini melaporkan lima pelatih kursus TUDM dipukul anggota senior ketika menjalani latihan di Pangkalan Udara Kuantan.
    Kejadian terbongkar selepas keluarga salah seorang mangsa tampil membuat laporan polis sebelum ditularkan di Twitter.

  • Agensi kerajaan tak endah laporan SPRM mengenai salah laku, kata Azam

    Agensi kerajaan tak endah laporan SPRM mengenai salah laku, kata Azam

    ADA antara agensi kerajaan tidak mengendahkan laporan salah laku membabitkan kakitangan mereka walaupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesyorkan tindakan diambil.

    Ketua pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya masih menunggu tindakan susulan daripada agensi kerajaan berhubung lebih 500 laporan salah laku, yang sebahagiannya dikemukakan 12 tahun lalu.

    “Jika kami (SPRM) temui unsur-unsur salah laku, menjadi kewajipan kami melaporkannya kepada ketua jabatan (agensi kerajaan),” katanya menurut New Straits Times.

    “Ketua-ketua jabatan kemudian akan melaporkan semula kepada kami, mengesahkan bahawa mereka menerima laporan itu.”

    Beliau berkata, selepas agensi kerajaan mengesahkan laporan itu, jawatankuasa terdiri daripada ketua jabatan terpilih akan dibentuk untuk menyiasat kes terbabit.

    Walaupun kes jenayah akan dibawa ke mahkamah, salah laku akan disemak oleh jawatankuasa, dengan ketua jabatan mempunyai hak memutuskan tindakan terhadap kakitangan mereka selepas siasatan.

    Azam berkata, walaupun pekeliling dikeluarkan kepada semua ketua jabatan berhubung perkara itu, ramai yang memilih untuk tidak mengendahkannya.

    “Ketua jabatan tidak boleh lupa tentang pekeliling itu. Ramai yang tidak mengendahkannya dan kami menghantar surat untuk mengingatkan mereka.

    “Mereka mesti ambil tindakan kerana ia pekeliling daripada ketua setiausaha (negara), bukan daripada saya,” katanya.

  • 4 PATI India berkas ketika seberang Sungai Golok

    4 PATI India berkas ketika seberang Sungai Golok

    EMPAT pendatang asing tanpa izin (PATI) warga India dicekup ketika cuba menyeberangi Sungai Golok untuk memasuki negara ini semalam.

    Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam satu kenyataan memaklumkan, perbuatan tersebut dikesan pada jam 11.40 pagi ketika mereka menggunakan laluan yang tidak sah di sempadan Malaysia-Thailand.

    Jelasnya, kejadian tersebut berlaku di sektor kawasan tanggungjawab Briged Kelapan Infantri Malaysia.

    “Pasukan beroperasi yang sedang melaksanakan Pos Pemerhati telah berjaya menahan empat individu yang telah memasuki negara secara haram dengan menyeberangi Sungai Golok.

    “Hasil pemeriksaan mendapati empat PATI yang ditahan merupakan warganegara India dan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan itu, hari ini.

    Katnya, Semua PATI yang ditahan terdiri daripada seorang wanita dan tiga lelaki berumur antara 25 hingga 39 tahun.

    Turut dirampas adalah tiga telefon bimbit, wang dalam mata wang Malaysia, India dan Thailand dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM4,324.48

    “Kesemua PATI itu diserahkan kepada Balai Polis Bukit Bunga,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Menurut kenyataan itu, pasukan beroperasi akan terus mempertingkatkan rondaan dan kawalan di sempadan bagi mengekang jenayah rentas sempadan khususnya melibatkan PATI.

  • Wanita maut dipercayai dipukul abang kandung

    Wanita maut dipercayai dipukul abang kandung

    SEORANG wanita maut disyaki akibat dipukul abang kandungnya sendiri dalam kejadian di kediaman mereka di Jalan Signal Hill, Kota Kinabalu, Khamis lepas. 

    Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Mohd Zaidi Abdulah berkata mangsa yang berusia 25 tahun itu disahkan meninggal dunia 10.30 malam Sabtu di Hospital Queen Elizabeth II di Kota Kinabalu setelah dua hari menerima rawatan di hospital berkenaan.

    “Mangsa ditemui kira-kira 4.50 petang oleh bapanya dalam keadaan tertiarap dan tidak sedarkan diri dengan kesan luka teruk di bahagian muka. Bapa mangsa mengesyaki anak lelakinya yang memukul mangsa kerana hanya suspek dan mangsa berada di rumah pada ketika itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Zaidi berkata sejurus selepas laporan dibuat, satu tangkapan dilakukan terhadap abang kandung mangsa berusia 26 tahun di rumah berkenaan serta merampas dua bentuk cincin dipercayai digunakan suspek untuk mencederakan mangsa.

    “Hasil saringan ujian air kencing terhadap suspek menunjukkan tiada sebarang kesan pengambilan dadah dan suspek telah ditahan reman selama empat hari sehingga semalam untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan,” katanya.