Category: Jenayah

  • KPDNHEP banteras aktiviti penyalahgunaan minyak masak bersubsidi

    KPDNHEP banteras aktiviti penyalahgunaan minyak masak bersubsidi

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membanteras aktiviti penyalahgunaan minyak masak bersubsidi peket satu kilogram (kg) selepas menyerbu sebuah rumah kedai di Seri Kembangan, hari ini.

    Timbalan Pengarah Penguat Kuasa Operasi, Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP, Shamsul Nizam Khalil berkata, rumah kedai berkenaan digunakan sebagai stor untuk melakukan aktiviti penyelewengan minyak masak bersubsidi peket satu kg.

    “Tempat itu menjadi stor sebelum dipindahkan ke dalam bekas minyak masak industri. Hasil serbuan menemui sebanyak 5,695 peket minyak masak bersubsidi satu kg untuk diseleweng.

    “Terdapat dua unit tangki fiber berkapasiti 1,000 liter keseluruhannya berjumlah 1,440kg,” katanya melalui kenyataan, hari ini.

    Katanya, sisa plastik minyak masak bersubsidi peket satu kg yang telah digunting dan peralatan untuk pemindahan minyak masak bersubsidi ke dalam tangki fiber industri telah disita.

    Beliau memberitahum, jumlah sitaan dianggarkan bernilai RM26,374.50.

    Tambahnya, hasil risikan mendapati bahawa sindiket telah beroperasi hampir tiga bulan dengan mendapatkan bekalan minyak masak bersubsidi peket satu kg daripada pemborong berlesen.

  • Kebakaran hutan Baitulmuqaddis: 3,100 penduduk dipindahkan, 1,699 hektar kawasan musnah

    Kebakaran hutan Baitulmuqaddis: 3,100 penduduk dipindahkan, 1,699 hektar kawasan musnah

    SEKURANG-KURANGNYA 3,100 penduduk Israel di Baitulmuqaddis meninggalkan kediaman masing-masing semalam apabila kebakaran hutan besar melanda wilayah itu semalam.

    The Jerusalem Post melaporkan, kebakaran besar di lima titik panas berasingan itu setakat ini memusnahkan kawasan seluas 1,699 hektar.

    Bagaimanapun menurut jurucakap bomba, kebakaran itu sudah tidak mengancam kediaman penduduk dan mereka dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pagi ini.

    Kebakaran besar di lima titik panas berasingan di Baitulmuqaddis setakat ini memusnahkan kawasan seluas 1,699 hektar.

    Namun bomba setakat pagi ini masih bergelut memadam kebakaran itu yang mengelilingi Baitulmuqaddis.

    “Kebakaran memusnahkan kawasan seluas 1,699 hektar hampir empat kali ganda dari keluasan yang musnah dalam kebakaran sebelum ini,” kata kenyataan itu, hari ini.

    Katanya, sebanyak 70 pasukan bomba dari sekitar Baitulmuqaddis cuba memadam kebakaran namun masih gagal mengawalnya di beberapa lokasi.

    “Kesemuanya menjadi hitam tiada lagi kawasan hijau,” kata seorang penduduk di Shoeva.

    Kebakaran itu sampai ke pinggir Puat Perubatan Eitanim di Jerusalem Hills memaksa kesemua pesakit dipindahkan.

    Sebanyak dua penduduk dilaporkan hilang akibat kebakaran itu.

    Lebih 2,000 penduduk di Beit Meir, Kesalon, Ramat Raziel and Givat Ye’arim dipindahkan akibat kebakaran itu dan setakat tengah malam tadi mereka masih tidak dibenarkan pulang ke rumah.

    Sementara itu, jurucakap bomba berkata, kebakaran itu berpunca daripada manusia namun masih tidak jelas sama ada ia disengajakan atau sebaliknya.

  • Berjudi sabung ayam, tiga PATI diberkas

    Berjudi sabung ayam, tiga PATI diberkas

    Oleh Rahimi Mohamad

    TIDAK cukup melanggar kedaulatan Malaysia kerana berada di negara ini tanpa dokumen yang sah, tiga pendatang asing tanpa izin (PATI) terus mencabar undang-undang apabila ditangkap bersama-sama 16 ekor ayam yang dipercayai digunakan untuk berjudi sabung ayam.

    Warganegara asing dipercayai dari Indonesia berusia 25 hingga 59 tahun itu dicekup polis di sebuah pondok kayu dalam serbuan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi di Felda Bukit Waha, Kota Tinggi semalam.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora, polis telah merampas 13 ekor ayam kampung, tiga ekor ayam laga, wang tunai berjumlah RM488 dan barang-barang yang digunakan sebagai persediaan laga ayam.

    “Kesemua suspek yang tidak mempunyai dokumen perjalanan diri direman selama 14 hari sehingga 28 Ogos untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum denda sehingga RM5,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali.

    Tambah Hussin, kes juga disiasat di bawah Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukan hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya dan boleh dikenakan sebatan tidak lebih daripada enam sebatan, jika sabit kesalahan.

    “Polis khususnya IPD Kota Tinggi akan mempertingkatkan operasi dan pemantauan aktiviti perjudian di kawasan daerah ini dan meminta masyarakat untuk memberi maklumat sekiranya mengesan aktiviti perjudian di kawasan setempat mahupun premis-premis dijadikan pusat perjudian.

    “Kerjasama ini diharap dapat membanteras aktiviti perjudian yang berlaku dalam daerah Kota Tinggi dan pihak polis dapat mengambil tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas dan pantas,” katanya.

  • Dua nelayan diselamatkan, sembilan jam terapung di laut

    Dua nelayan diselamatkan, sembilan jam terapung di laut

    Oleh Abu Ubaidillah Raman

    DUA nelayan tempatan berjaya diselamatkan setelah lebih sembilan jam terapung di laut akibat bot yang dinaiki mereka karam dipukul ombak di perairan Tanjung Sedili, dekat sini malam tadi.

    Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru telah menerima maklumat dari Zon Maritim Tanjung Sedili pada jam 10.45 malam mengenai aduan sebuah bot nelayan tempatan hampir karam di kedudukan 4.3 batu nautika timur laut Tanjung Sedili Kechil.

    Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, bertindak atas aduan, Zon Maritim Tanjung Sedili menghantar Bot Kilat 16 bagi menyelamatkan mangsa.

    “Namun keadaan cuaca buruk menyebabkan bot ronda Maritim Malaysia hampir terbalik akibat dipukul ombak dan menghalang operasi cari lamat.

    “Zon Maritim Tanjung Sedili juga mendapatkan bantuan komuniti nelayan Tanjung Sedili bagi menyelamat mangsa namun usaha tersebut turut gagal akibat cuaca laut yang teruk dan jarak penglihatan yang terhad,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, pada jam 8.30 pagi pihak MRSC Johor Bahru telah menerima maklumat bahawa kedua-dua mangsa telah ditemui 15 sebelum itu oleh bot pancing yang turut menyertai misi pencarian mangsa.

    Mangsa, Abdul Halim, 50, dan Mohd. Nor Rizal, 38, ditemui selamat berpakaian jaket keselamatan lengkap dan berpaut pada pelampung pada kedudukan 4 batu nautika timur laut dari posisi bot mereka yang karam.

    Katanya, menurut laporan awal kejadian, keadaan cuaca yang buruk dan angin kencang telah menyebabkan bot mereka dipukul ombak dan dimasuki air dengan begitu pantas.

    “Kedua-dua mangsa seterusnya telah dibawa ke Klinik Kesihatan Tanjung Sedili untuk pemerikasaan lanjut. Pihak MRSC Johor Bahru juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam Operasi ini.

    “Maritim Malaysia ingin menasihatkan kepada komuniti maritim supaya sentiasa memakai jaket keselamatan sekiranya berada di laut kerana jaket keselamatan mampu untuk menyelamatkan nyawa sekiranya berada dalam kecemasan di laut,” katanya.

  • Bekas banduan ditangkap lagi curi kereta

    Bekas banduan ditangkap lagi curi kereta

    Oleh Rahimi Mohamad

    POLIS melumpuhkan kegiatan mencuri kenderaan didalangi suspek utama yang baru sahaja bebas daripada penjara dalam tiga serbuan berasingan di Kampung Duyong, Taman Seri Duyong dan Taman Kota Laksamana di Melaka.

    Suspek utama berusia 31 tahun itu ditahan di sebuah rumah oleh sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah (Cawangan D4) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah pada pukul 3.10 petang semalam.

    Susulan itu, dua lagi rakan sejenayahnya berusia 46 dan 54 tahun pula masing-masing ditahan tidak lama kemudian.

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, tangkapan tersebut merupakan hasil siasatan satu laporan yang dibuat seorang mangsa mendakwa sebuah kereta jenis Honda Accord SV4 miliknya dicuri.

    “Mangsa mendakwa kereta Honda Accord yang diletakkan di sebuah kilang di Batu Berendam telah hilang dan mengalami kerugian kira-kira RM7,000.

    Pemeriksaan di lokasi turut menjumpai kereta milik mangsa dan beberapa biji tayar yang telah dibuka dipercayai untuk dijual di sekitar negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan.

    Afzanizar berkata, semakan lanjut mendapati, suspek utama merupakan seorang bekas banduan yang baru sahaja dibebaskan daripada penjara dan mempunyai tiga rekod jenayah lampau membabitkan kes curi kenderaan serta enam berkaitan dadah.

    “Suspek dipercayai mula melakukan jenayah sama sejak awal bulan ini dengan bantuan dua ahli yang lain,” jelasnya.

    Kesemua suspek kini direman selama empat hari sehingga 18 Ogos ini bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

  • 3 rentung kereta Toyota Vios terbakar

    3 rentung kereta Toyota Vios terbakar

    TIGA rentung selepas terperangkap dalam kereta jenis Toyota Vios yang terbakar dalam kemalangan di Jalan Masjid Negeri, Jelutong, Pulau Pinang awal pagi tadi.

    Kejadian itu berlaku selepas kenderaan tersebut dipercayai terbabas sebelum melanggar sebatang pokok di lokasi kejadian.

    TIGA rentung selepas terperangkap dalam kereta jenis Toyota Vios yang terbakar dalam kemalangan di Jalan Masjid Negeri, Jelutong, Pulau Pinang awal pagi tadi.

    Menurut jurucakap Pasukan Bomba dan Penyelamat negeri, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 2.55 pagi.

    Katanya, ketika tiba dilokasi kejadian didapati tiga mangsa terperangkap di dalam kenderaan yang terbakar dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan yang hadir ke lokasi.

    “Anggota bomba yang lengkap dengan pakaian peralatan perlindungan diri (PPE) kemudian menjalankan kerja-kerja pemadaman api dan mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan penyelamat (rescue tools).

    “Identiti ketiga-tiga mangsa tidak dapat dikenal pasti kerana rentung dan kenderaan dinaiki termasuk nombor pendaftaran turut hangus sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan.

    Menurutnya, kerja-kerja menyelamat itu dijalankan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak dan tamat sepenuhnya pukul 3.05 pagi.

  • Warga Malaysia di Hatyai ditahan kerana mengurung diri bersama anak

    Warga Malaysia di Hatyai ditahan kerana mengurung diri bersama anak

    SEORANG lelaki warga Malaysia di Hatyai, selatan Thailand, ditahan polis selepas mengurung diri bersama dua orang anaknya dalam sebuah bilik di kediamannya.

    Dalam kejadian pada kira-kira 6 petang, polis baru sahaja beredar daripada rumah kedai dua tingkat yang dihuninya selepas si isteri yang merupakan warga Thai meminta bantuan setelah lelaki itu mengurungnya bersama dua orang anak mereka selama hampir seminggu.

    Ketua Polis Hatyai Pol. Kol. Akrawut Taneerat berkata lelaki yang berusia 43 tahun dari Kuala Lumpur itu dipercayai mengalami ganguan mental dan kini ditahan polis.

    “Isterinya risau perkara yang tidak diingini berlaku, maka beliau sekali lagi membuat laporan polis agar polis bagi menyelamatkan kedua-dua anak lelakinya yang berusia lima dan tujuh tahun,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, hari ini.

    Beliau menambah bahawa polis terpaksa memecahkan pintu untuk membawa keluar kedua-dua anak pasangan itu.

    Semalam, Bernama melaporkan bahawa lelaki itu bertindak mengurung isteri berusia 39 tahun dan dua anak lelakinya dalam rumah hampir seminggu kerana fobia dengan jangkitan COVID-19 yang melonjak di Thailand.

    Sementara itu, Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla Muhammad Ridzuan Abu Yazid berkata lelaki itu kini ditahan di lokap di Balai Polis Hatyai dan dijangka dibawa berjumpa pakar psikiatri esok.

    “Polis Thailand akan menjalankan siasatan lanjut termasuk rekod kemasukannya ke Thailand,” katanya.- BERNAMA 

  • Lelaki maut Toyota Avanza dipandu rempuh plaza tol

    Lelaki maut Toyota Avanza dipandu rempuh plaza tol

    SEORANG lelaki maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza yang dipandunya merempuh tembok plaza tol dalam kejadian di Plaza Tol Kubang Semang, Lebuh Raya Butterworth-Kulim (BKE) arah Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan maut itu pukul 1 petang.

    Kenderaan MPV dipandu mangsa merempuh tembok plaza tol dalam kejadian di Plaza Tol Kubang Semang, Lebuh Raya Butterworth-Kulim (BKE) arah Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

    Menurutnya, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian didapati sebuah Toyota Avanza remuk teruk dengan pemandunya tersepit selepas melanggar tembok tol.

    “Mangsa lelaki yang belum dikenal pasti identiti itu didapati tersepit dan telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

    Menurut beliau,  mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Penanti serta Perai menggunakan peralatan khas pukul 2.43 petang sebelum operasi ditamatkan pada pukul 2.51 petang.

    Difahamkan kejadian tersebut berlaku apabila MPV berkenaan yang dipercayai dipandu laju hilang kawalan sebelum melanggar tembok batu plaza tol terbabit.

  • Penemuan mayat di Pasir Puteh: Polis tahan empat lelaki, buru seorang lagi

    Penemuan mayat di Pasir Puteh: Polis tahan empat lelaki, buru seorang lagi

    POLIS menahan empat individu dan sedang memburu seorang lagi bagi membantu siasatan susulan penemuan mayat seorang lelaki di halaman sebuah rumah di Kampung Chengal Batu, Pasir Puteh pada 1 Ogos lepas.

    Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat dalam kenyataan hari ini memaklumkan lelaki yang diburu bernama Tuan Mohd Ridzwan Tuan Mohamad, 32, atau lebih dikenali sebagai Iwe Telosan.

    Beliau berkata keempat-empat lelaki berusia lingkungan 34 hingga 44 tahun ditahan berhampiran Pasir Puteh antara 4 hingga 10 Ogos lepas dan mereka mengaku berada di lokasi kejadian bersama dengan individu yang sedang diburu.

    “Kempat-empat suspek berkenaan ditahan reman sehingga 17 Ogos ini. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan diminta menghubungi balai polis berhampiran,” katanya.

    Shafien juga berkata hasil bedah siasat mendapati mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala disebabkan hentakan dan kes itu diklasifikasikan sebagai kes bunuh serta disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.- BERNAMA

  • Polis Melaka selamatkan kanak-kanak perempuan mangsa dera

    Polis Melaka selamatkan kanak-kanak perempuan mangsa dera

    SEORANG kanak-kanak perempuan berusia lima tahun diselamatkan polis daripada menjadi mangsa dera oleh ibu kandung dan teman lelakinya di rumahnya di Banda Hilir di sini malam tadi.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka ACP Mohd Sukri Kaman berkata kanak-kanak berkenaan disyaki didera menggunakan tangan dan tali pinggang sebelum diselamatkan pada jam 10.45 malam hasil maklumat orang awam sejam 20 minit sebelum itu.

    Pemeriksaan awal polis ke atas tubuh anak sulung suspek wanita itu mendapati terdapat beberapa kesan kecederaan dipercayai didera dan mangsa dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut, katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, wanita dan teman lelakinya itu mempunyai seorang lagi anak perempuan berusia setahun namun tiada unsur penderaan ditemui pada tubuh kanak-kanak tersebut.

    Mohd Sukri berkata susulan itu, wanita berusia 30 tahun itu ditahan di rumahnya di Bandar Hilir pada 12.45 tengah malam tadi, iaitu kira-kira 30 minit selepas teman lelakinya berusia 38 tahun ditahan di pekarangan Balai Polis Banda Hilir.

    Beliau berkata kedua-dua suspek  direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.- BERNAMA