Category: Jenayah

  • PGA rampas pistol bersama peluru hidup daripada sekumpulan warga asing

    PGA rampas pistol bersama peluru hidup daripada sekumpulan warga asing

    PASUKAN Gerakan Am (PGA) Batalion 18 merampas sepucuk pistol semi auto bersama peluru hidup daripada sekumpulan warga asing yang cuba masuk tanpa kebenaran ke negara ini.

    Ketua Polis Daerah Padang Besar ACP Mohd Shokri Abdullah berkata kira-kira 8 malam pada 10 Mei, anggota PGA yang melakukan Rondaan Op Taring Wawasan Kedah/Perlis telah menahan 12 warga asing di kawasan semak berdekatan dengan pos kawalan sempadan C32 di Chuping.

    “Hasil pemeriksaan lanjut, polis menemukan sarung pistol berwarna hitam, sepucuk pistol jenama Desert Eagle 9mm, satu kelopak peluru dan 16 butir peluru hidup 9mm di dalam sebuah beg sandang seorang daripada suspek lelaki berumur 22 tahun,” katanya kepada pemberita di Padang Besar hari ini.

    Turut hadir Pegawai Pemerintah Batalion 18 PGA Pengkalan Hulu Supt Ramli Wan Salin.

    Mohd Shokri berkata hasil soal siasat, suspek mendakwa bahawa dia telah diminta oleh seorang ejen dari negara jiran untuk membawa senjata api itu ke negara ini.

    Katanya, 12 warga asing yang ditahan itu ialah tujuh lelaki dewasa berumur 22 hingga 48 tahun, tiga wanita (berumur 27 hingga 47 tahun) dan dua kanak-kanak permpuan berumur satu dan sembilan tahun.

    “Kesemua suspek masuk ke negara ini melalui Thailand dan dipandu arah oleh seorang lelaki warga Thailand, mereka masuk ke Malaysia kerana ingin mencari pekerjaan di Padang besar dengan membayar wang sejumlah RM3,000 kepada ejen,” katanya.

    Beliau berkata kesemua suspek ditahan reman selama 14 hari bermula semalam dan hasil semakan mendapati kesemua suspek tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau.

    Mohd Shokri berkata kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan jika sabit kesalahan membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan enam sebatan.

    Katanya, kes itu juga disiasat mengikut Seksyen 8 (A) Akta Senjata Api 1960 yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 dan siasatan juga dilakukan di bawah Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.

  • Nama dikaitkan dengan kes rasuah, pegawai Hamzah lapor polis

    Nama dikaitkan dengan kes rasuah, pegawai Hamzah lapor polis

    SEORANG pegawai ketua pembangkang membuat laporan polis terhadap penyebaran maklumat yang mengaitkan Datuk Seri Hamzah Zainudin dengan kes rasuah.

    Ahmad Ikhwan Fadhli menyifatkan maklumat itu sebagai palsu dan menggesa polis menyiasat ‘konspirasi’ atau ‘campur tangan agensi kerajaan untuk mengaitkan Hamzah.

    Laporan dibuat di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur, menurut Malaysiakini.

    Turut hadir Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

    Hamzah semalam berkata, tindakan memetik namanya dalam pertuduhan terhadap seorang ‘datuk seri’ semalam bertujuan untuk mencemarkan reputasinya.

    “Pertuduhan rasuah terhadap individu bernama Sim Choo Thiam menyebutkan bahawa ia membabitkan projek-projek di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) semasa saya menjadi menteri. Malah, pertuduhan tersebut juga menyebutkan nama saya.

    “Itulah yang janggal dan menghairankan saya kenapa nama saya disebut sedangkan saya tiada pembabitan langsung.

    “Bila diperhalusi keempat-empat pertuduhan tersebut ia menyebut bahawa suapan adalah untuk ‘mendapatkan apa-apa projek milik agensi-agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri’,” katanya.

  • Pelajar cedera dibelasah kerana tak hormat senior

    Pelajar cedera dibelasah kerana tak hormat senior

    POLIS sedang menyiasat kes seorang pelajar yang dibelasah sekumpulan senior hingga mengalami beberapa kecederaan di muka dan kepala, dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di Taman Melawati, Isnin lalu.

    Kejadian itu dipercayai berlaku apabila mangsa didakwa tidak menghormati sekumpulan pelajar tingkatan 5 sekolah terbabit.

    Ketua Polis Ampang Jaya, Mohamad Farouk Eshak berkata, pada awalnya mangsa ditumbuk di bahagian dada kiri, dicekik dan ditendang bahagian belakang badan oleh seorang pelajar dikenalinya ketika berada di tangga sekolah, kira-kira 9.30 pagi.

    Katanya, mangsa turut diugut akan disiku bahagian muka sekiranya tidak berjumpa di Anjung Selera.

    Selepas itu ujar beliau, terdapat lima suspek mengajak mangsa ke Bukit Mar Mar Kemensah, lalu dipukul.

    “Mangsa mengalami kecederaan bahagian dahi kepala, luka di bahagian tepi kening kiri, rahang di bahagian muka kiri serta belakang tengkuk mengalami kesakitan dan bengkak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya, seorang suspek menumbuk muka mangsa sebanyak empat kali dan kejadian itu dilihat oleh kira-kira 10 hingga 15 pelajar.

    “Kes kini disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya lapor FMT.

    Terdahulu, tular satu video dikongsi warganet di Instagram yang memaparkan seorang pelajar teruk dipukul sekumpulan pelajar lain sehingga mencetuskan kemarahan orang ramai.

  • PDRM sedang teliti laporan salah laku polis oleh SPRM

    PDRM sedang teliti laporan salah laku polis oleh SPRM

    JABATAN Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) PDRM sedang menyediakan laporan lengkap susulan pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa polis mengabaikan laporan salah laku anggota pasukan itu.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya juga sedang meneliti laporan salah laku dikatakan tidak diambil tindakan.

    “Dalam masa sama, kita juga sedang meneliti mana laporan yang dikatakan kita tidak maklumkan kepada SPRM untuk tindakan yang patut diambil kepada mereka terlibat.

    “Saya ingin memberi jaminan bahawa PDRM tidak pernah berkompromi atau leka malah sentiasa bekerjasama erat dengan setiap agensi untuk memastikan integriti dalam PDRM sentiasa ditegakkan,” katanya ketika ditemui pemberita di Kuantan, Pahang hari ini.

    Terdahulu, beliau menyaksikan majlis pemakaian pangkat dan serah terima tugas ketua polis Pahang dan pengerusi persatuan keluarga polis (Perkep) Pahang.

    Bekas Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Yahaya Othman menerima tugas sebagai Ketua Polis Pahang yang baru, menggantikan Ramli Mohamed Yoosuf yang akan bertukar ke Bukit Aman sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial.

    Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dalam temubual dengan New Straits Times mendedahkan beberapa agensi kerajaan mengabaikan lebih 500 laporan salah laku kakitangan mereka, walaupun pihaknya mengesyorkan diambil tindakan.

    Berdasarkan statistik, daripada 533 laporan, sebahagian besar (125) membabitkan jabatan-jabatan polis manakala di tempat kedua adalah Jabatan Pengangkutan Jalan.

    Bagaimanapun, Azam berkata, jumlah besar laporan berhubung polis boleh difahami memandangkan jumlah anggota penguatkuasanya yang besar.

    Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Acryl Sani menegaskan pihaknya tidak pernah mengambil ringan isu berkaitan tindakan terhadap mana-mana pegawai dan angota yang didapati melakukan kesalahan tata tertib.

    “Kita akan sentiasa berikan kerjasama kepada bukan sahaja SPRM tetapi juga kepada SIAP (Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasa) untuk memaklumkan kepada mereka tindakan yang sepatutnya dan sewajarnya diambil.

    “Mungkin ada dalam proses, ada yang lambat dihantar tetapi tidak ada laporan yang kita ketepikan atau kita tidak susuli dengan tindakan kerana kita memandang serius apa juga pelanggaran tata tertib oleh mana-mana pihak.

    “Seperti yang saya katakan tadi, kita sentiasa berpegang teguh dengan integriti dalam apa juga yang kita lakukan,” katanya, lapor Malaysiakini.

  • Rugi RM2.6 juta filem ‘bocor’ di media sosial, Floor 88 lapor polis

    Rugi RM2.6 juta filem ‘bocor’ di media sosial, Floor 88 lapor polis

    KUMPULAN Floor 88 membuat laporan polis terhadap pemilik saluran YouTube atas dakwaan memuat naik secara haram rakaman penuh filem Bas Terakhir Malam Raya terbitan syarikat produksi, Floor 88 Holdings dalam media sosial.

    Pemain keyboard kumpulan itu, Eric Fuzi berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab pemilik saluran YouTube berkenaan membuatkan syarikat yang bekerjasama dua produksi lain, Silentkaiju Studio dan Motion Studio dalam pembikinan filem mengalami kerugian sebanyak RM2.6 juta.

    “Laporan polis dibuat berikutan kebocoran filem di platform media sosial seperti Telegram, TikTok dan YouTube ketika filem masih lagi disiarkan di saluran Astro First. Isu ini bermula apabila pautan filem ini tersebar di aplikasi Telegram dan TikTok. Bila mendapat tahu kami membuat laporan dan pautan itu diturunkan.

    “Bagaimanapun, saluran yang satu ini mengambil masa agak lama untuk diturunkan iaitu enam hari. Kami mendapati sepanjang tempoh itu, filem yang ditayangkan secara percuma itu mendapat jumlah tontonan sebanyak 168,000.

    “Jumlah tontonan jika kita darab dengan jumlah langganan untuk menyaksikan filem iaitu RM15.90, nilainya adalah RM2.6 juta.

    “Disebabkan sikap tidak bertanggungjawab pemilik akaun, kami mengalami kerugian besar,” kata Eric pada sidang media selepas membuat laporan polis di Balai Polis Travers, petang ini.

    Turut bersama Eric, ahli kumpulan Floor 88, pengarah filem, Irwan Rauf serta dua wakil produksi, Silentkaiju Studio dan Motion Studio.

    Eric yang juga pengarah bersama filem mendakwa, kemungkinan kebocoran filem ada kaitan dengan ‘orang dalam’.

    “Berdasarkan video dimuat naik, ia langsung tidak mempunyai logo Astro First seperti yang sering kita lihat.

    “Jika rakaman dibuat dengan menggunakan kaedah ‘screen recording’, saya percaya mesti ada logo yang tertera.

    “Saya tak pasti apakah ia membabitkan orang dalam atau pun penggodam. Namun, besar kemungkinan berkaitan dengan mereka yang dekat dengan produksi filem ini,” ujarnya, lapor BH Online.

    Sehubungan itu, Eric mengharapkan kes ini dapat disiasat agar pelaku dapat dibawa ke muka pengadilan.

    “Isu hak cipta bukanlah perkara main-main. Memandangkan ini adalah julung kali kami menerbitkan filem, sudah tentu kami mengharapkan pulangan lebih untuk dijadikan modal pusingan pembikinan projek sepenuhnya.

    “Lagipun, kerja pembikinan filem tidak mudah dan kos pembikinannya juga sangat tinggi kerana menggunakan teknik kesan khas.

    “Saya harap kes ini dapat diselesaikan segera demi hak kami sebagai penggiat seni,” dakwa Eric.

    Filem Bas Terakhir Malam Raya yang disiarkan di platform OTT itu sempena Aidilfitri, baru-baru ini menampilkan lakonan Floor 88, Syasya Rizal, Joey Daud, Hawa Rizwana, Ropie, Amir Masdi dan penampilan istimewa, Datuk Syafinaz Selamat.

  • Tiga lelaki curi kabel TM depan Kolej Sultan Abdul Hamid ditahan

    Tiga lelaki curi kabel TM depan Kolej Sultan Abdul Hamid ditahan

    TIGA lelaki ditahan selepas dipercayai terbabit dengan kegiatan mencuri kabel milik Telekom Malaysia (TM) di hadapan Kolej Sultan Abdul Hamid, di Kuala Lumpur hari ini.

    Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, ketiga-tiga suspek ditahan ketika sedang menarik kabel daripada sebuah lubang untuk dinaikkan ke atas lori pada pukul 3.30 pagi tadi.

    “Kegiatan semua suspek sudah dikenal pasti dan diburu Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar dan sepasukan anggota telah bertindak menyerbu selepas melihat ketiga-tiga suspek dalam keadaan mencurigakan.

    “Hasil serbuan polis merampas sejumlah kabel TM yang telah dipotong, alat pemotong kabel (cutter), alatan lain dan sebuah lori,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Astro Awani.

    Ahmad Shukri berkata, ketiga-tiga suspek berusia 26 hingga 44 tahun direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 13 Mei untuk siasatan lanjut.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 7 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

  • Lelaki ditahan lakukan hubungan seks dengan anak tiri

    Lelaki ditahan lakukan hubungan seks dengan anak tiri

    SEORANG lelaki dipercayai melakukan hubungan seks bersama anak tirinya di Sungai Buloh diberkas polis hari ini.

    Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, turut ditahan seorang wanita di mana sebelum ini dia juga diberkas berkaitan kes amang seksual di Puncak Alam.

    “Lelaki warga tempatan berumur lingkungan 30-an itu ditahan susulan laporan polis yang dibuat mangsa berusia 15 tahun berkaitan kejadian tersebut.

    “Wanita tersebut turut ditahan kerana dipercayai turut terlibat dalam kejadian itu.

    “Siasatan dijalankan mendapati kejadian itu berlaku di sebuah hotel pada Januari lalu dan polis akan mendapatkan perintah reman melibatkan kedua-dua suspek pada Khamis,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

    Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita direman lima hari bermula Rabu lalu hingga Ahad ini bagi membantu siasatan berhubung kes amang seksual fizikal terhadap anak lelakinya berusia 14 tahun.

    Pada Jumaat lalu, seorang penganggur ditahan bagi membantu siasatan penyebaran rakaman video amang seksual tersebut di sebuah restoran di Bandar Puncak Alam di Sungai Buloh.

  • Wanita disyaki amang seksual anak ditahan lagi

    Wanita disyaki amang seksual anak ditahan lagi

    SEORANG ibu yang disyaki melakukan amang seksual terhadap anaknya di Puncak Alam, sekali lagi ditahan bagi siasatan kes sama di sekitar Sungai Buloh, selepas dibebaskan daripada reman hari ini.

    Turut ditahan, seorang lelaki berusia 30-an yang dipercayai bapa tiri mangsa.

    Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Shafa’aton Abu Bakar berkata, penahanan itu susulan laporan dibuat mangsa melibatkan remaja perempuan berusia 15 tahun di Balai Polis Saujana Utama kelmarin.

    “Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku di sebuah hotel pada Januari lalu dan mangsa tidak bersekolah.

    “Kita akan menahan kedua-dua suspek yang kini berada dalam tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor. Kebenaran tempoh ke atas kedua-dua suspek akan diperoleh dari mahkamah esok.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya menurut Utusan Malaysia.

    Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Ramli Kasa berkata, siasatan kes terhadap dua individu terbabit sudah dilengkapkan.

    Bagaimanapun katanya, tindakan pendakwaan akan diambil selepas selesai kes baharu di Sungai Buloh.

    “Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 14 dan 5 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya.

    Media sebelum ini melaporkan perbuatan jijik seorang ibu dipercayai melakukan amang seksual dengan anak lelakinya terbongkar sebelum dicekup polis 2 Mei lalu.

    Suspek dikatakan turut merakam aksi dengan remaja berusia 14 tahun itu menerusi telefon bimbit, manakala seorang lelaki yang juga penganggur berusia 35 tahun diberkas Jumaat lalu bagi membantu siasatan kes itu di sebuah restoran di Bandar Puncak Alam.

  • Rasuah: 2 bekas ketua pengarah syarikat direman

    Rasuah: 2 bekas ketua pengarah syarikat direman

    DUA bekas ketua pengarah sebuah syarikat swasta berkaitan industri getah direman bagi membantu siasatan selepas disyaki menerima rasuah lebih RM100,000 daripada kontraktor bagi mendapatkan projek pembelian mesin dan pembekalan barang.

    Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Mohd
    Dinie Shazwan Shukor terhadap suspek berusia 80-an selama tiga hari mulai sehingga 12 Mei ini manakala seorang lagi suspek berusia 45 tahun, direman empat hari sehingga 13 Mei ini.

    Perintah reman itu dikeluarkan selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan terbabit pada pagi tadi di Mahkamah Majistret Putrajaya.

    Terdahulu, kedua-dua suspek ditahan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya kira-kira 9 malam tadi, selepas hadir memberi keterangan.

    Menurut sumber, suspek masing-masing dipercayai meminta daripada kontraktor wang suapan berjumlah kira-kira RM83,000 dan RM50,000 bagi tujuan kontraktor mendapatkan projek pembelian mesin pemotong serta barangan perindustrian getah, antara tahun 2019 hingga 2020.

    Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

  • Polis selamatkan remaja 11 bulan dilarikan teman lelaki

    Polis selamatkan remaja 11 bulan dilarikan teman lelaki

    SEORANG remaja perempuan berusia 17 tahun yang dilarikan teman lelakinya sejak 11 bulan lalu diberkas dalam serbuan di sebuah rumah di Banting, semalam.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, mangsa dipercayai tinggal bersama suspek di sebuah di stor besi buruk di sekitar Banting sejak dilarikan suspek pada Julai lalu.

    “Hasil maklumat risikan, polis berjaya mengesan dan menahan suspek di sebuah kampung di Banting sebelum berjaya menemui mangsa di sebuah kampung di daerah sama.

    “Siasatan awal mendapati motif kejadian dipercayai suspek yang bercinta dengan mangsa sejak 2014 mengesyaki gadis itu mempunyai teman lelaki lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, mangsa dipercayai memang mengikut suspek, namun kes disiasat mengikut Seksyen 52 Akta Kanak-kanak 2001 kerana mangsa masih bawah umur berusia 17 tahun.

    Menurutnya, hasil maklumat risikan, polis berjaya mengesan dan menahan suspek di sebuah kampung di sekitar Banting dan berjaya menemui mangsa di Jalan Bukit Perah, Kampung Olak Lempit, Banting

    Sepanjang dilaporkan hilang ujarnya, mangsa tidak pernah menghubungi keluarganya di Desa Mentari, Petaling Jaya dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sekiranya berlaku perlakuan seksual.

    “Mangsa ditemui dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan. Suspek yang bekerja sebagai pembantu kedai besi buruk tidak mempunyai rekod lampau,” katanya, lapor Harian Metro.

    Tambahnya, suspek direman dua hari sejak semalam untuk membantu siasatan yang turut dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.