Category: Jenayah

  • Pasangan remaja buang bayi dalam bakul motosikal

    Pasangan remaja buang bayi dalam bakul motosikal

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG bayi dipercayai dibuang pasangan kekasih ditemukan dalam bakul motosikal milik di Kampung Siol Kandis, Kuching pagi tadi.

    Dalam kejadian sekitar jam 6 pagi itu, bayi perempuan itu dalam keadaan baik dan sempurna sifat dipercayai dilahirkan cukup bulan.

    Menurut sumber, bayi malang itu dipercayai dibuang pasangan kekasih remaja kedua-duanya berusia 16 tahun dari kampung yang sama.

    “Remaja wanita itu dipercayai melahirkan bayi berkenaan dalam tandas rumahnya sekitar pukul 2 pagi sebelum menghubungi teman lelakinya memohon pertolongan.

    “Mereka membersihkan dan membalut bayi dengan kain tuala sebelum meletakkanya dalam bakul motosikal seorang penduduk,” katanya, hari ini.

    Sementara itu, kakak mangsa memberitahu,mereka tidak mengetahui adik perempuannya mengandung.

    Difahamkan, ketika adiknya melahirkan bayi berkenaan dalam tandas, pagi tadi mereka tidak mendengar bunyi tangisan bayi.

    Pihak polis juga berada di lokasi bagi menyiasat kejadian dan mengesan ibu bayi berkenaan.

  • Menyamar Ketua Polis Johor untuk kegiatan penipuan

    Menyamar Ketua Polis Johor untuk kegiatan penipuan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    IBU Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor mengesan terdapat pihak menyamar dan menggunakan nama Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay untuk kegiatan penipuan.

    Menurut Ayon Khan, pihak berkenaan menyamar dengan menggunakan nombor telefon 016-4818565 dan 010-8368223.

    “Adalah diingatkan semua masyarakat dan orang awam tidak terpedaya dengan mana-mana orang yang menyamar sebagai Ketua Polis Johor.

    “Sekiranya terkesan perbuatan demikian sila laporkan kepada ke mana-mana balai polis berdekatan atau pusat kawalan menerusi talian 07-2254047 atau hubungi Pegawai Khas Ketua Polis Johor 013-9058124,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

  • Empat ditahan terlibat samun, pecah rumah

    Empat ditahan terlibat samun, pecah rumah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    POLSI menahan empat lelaki yang terlibat dalam kes samun kedai serbaneka di kawasan perumahan Tampoi dan kedai ubat di Taman Ungu Tun Aminah, Skudai, Johor Bahru baru-baru ini.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd. Wahid berkata, pihaknya menerima laporan kedai serbaneka itu dipecah masuk pada 28 Julai lalu.

    “Dalam kejadian tersebut suspek telah melarikan barangan runcit, rokok dan wang tunai RM2,500 dan jumlah kerugian dianggarkan RM15,000. Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

    “Sementara dalam kes berasingan pada jam 6.30 petang di kedai ubat itu pada 8 Ogos lalu, dua suspek bersenjatakan pisau pemotong sayur telah melakukan samun dengan melarikan seutas rantai tangan dan wang tunai RMRM1,500 daripada mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Katanya, mangsa tidak mengalami kecederaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan.

    Susulan itu katanya, sebuah pasukan petugas khas ditubuhkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Baharu Utara bagi mengesan suspek kedua-dua kes berkenaan.

    Hasilnya kata beliau, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD berkenaan membuat tiga serbuan berasingan di sekitar Skudai dan Iskandar Puteri pada 24 Ogos lalu.

    Pihaknya menahan tiga lelaki berusia 27 hingga 36 tahun yang terlibat dalam kes pecah kedai serbaneka tersebut dan merampas sejumlah dadah daripada mereka.

    Semua mereka katanya, mempunyai rekod berkaitan dadah dan jenayah serta seorang daripadanya dikehendaki polis kerana berkait kes dadah.

    Menurutnya, pihak polis kemudian berjaya menahan seorang lelaki berusia 30-an menerusi serbuan di kawasan Bandar Selesa Jaya yang terlibat dalam kegiatan samun kedai ubat manakala seorang lagi rakannya yang terlibat masih bebas.

    Polis merampas sebuah motosikal, topi kaledar, beg silang yang digunakan semasa melakukan samun selain turut merampas dadah.

    Suspek berkenaan katanya, masih dikehendaki kerana bersabit kes kesalahan dadah selain mempunyai rekod jenayah dan dadah.

    Asisten Komisioner Rupiah Abd. Wahid

    “Dengan tertangkapnya semua suspek berkenaan, pihak polis berjaya menyelesaikan 11 kejadian pecah rumah dan pecah kedai serta lima kes samun sekitar Wilayah Pembangunan Iskandar. Semuanya direman untuk membantu siasatan polis,” katanya.

  • 20 penduduk Palestin cedera bertempur dengan Israel di Gaza

    20 penduduk Palestin cedera bertempur dengan Israel di Gaza

    Susunan ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEKURANG-KURANGNYA 20 penduduk Palestin cedera dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan Israel di sempadan Gaza semalam.

    Menurut laporan AFP, pasukan keselamatan rejim Zionis melepaskan peluru hidup sekali gus menyebabkan sebahagian penduduk Palestin cedera.

    Sejak tahun 2018, penduduk Gaza telah memulakan bantahan bagi menuntut rejim Zionis menamatkan sekatan dan hak-hak mereka untuk kembali ke tanah air selepas diusir keluar rejim Zionis apabila terbentuknya negara haram Israel pada tahun 1948.

    Tunjuk perasaan yang diadakan itu kadangkala bertukar menjadi ganas sehingga 350 penduduk Palestin telah dibunuh pasukan keselamatan Israel di Gaza dalam tempoh lebih daripada setahun.

  • Sindiket pemalsuan dokumen perjalanan didalangi warga Pakistan tumpas

    Sindiket pemalsuan dokumen perjalanan didalangi warga Pakistan tumpas

    JABATAN Imigresen (JIM) menumpaskan sindiket pemalsuan dokumen perjalanan serta menahan tiga warga Pakistan yang mendalanginya di Setapak, Kuala Lumpur dan Seri Kembangan, Selangor dalam satu operasi khas pada 16 dan 17 Ogos hasil risikan selama tiga bulan.

    Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata sindiket pemalsuan dokumen perjalanan seperti visa dan pasport negara asing menggunakan aplikasi media sosial sebagai medium mencari pelanggan, menetapkan pertemuan serta transaksi lain.

    JIM menumpaskan sindiket pemalsuan dokumen perjalanan serta menahan tiga warga Pakistan yang mendalanginya di Setapak, Kuala Lumpur dan Seri Kembangan, Selangor baru-baru ini. Foto JIM

    Beliau berkata dua daripada mereka ditahan ketika melakukan transaksi penyerahan dokumen palsu di dalam sebuah kereta di Setapak, yang membawa kepada penahanan seorang lagi warga Pakistan disyaki sebagai pembuat dokumen palsu untuk sindiket itu di sebuah kawasan perumahan mewah di Taman Mesra, Seri Kembangan pada 17 Ogos.

    Mereka yang ditahan berumur lingkungan 32 hingga 56 tahun dengan dua adalah pemegang Pas Lawatan Sosial yang telah tamat tempoh manakala seorang lagi memiliki Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang yang disyaki palsu, menurutnya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata seorang daripada mereka juga pernah diusir dari Kanada pada 2008 atas kesalahan imigresen.

    Khairul Dzaimee berkata sindiket itu berkemahiran menghasilkan pelbagai dokumen palsu negara asing seperti pasport, visa serta lesen memandu dan dokumen tersebut akan digunakan sebagai satu kelebihan dalam sejarah perjalanan pemegang pasport semasa memohon visa untuk perjalanan ke negara ketiga.

    “Sindiket ini memberi fokus kepada negara maju seperti Amerika Syarikat, Kanada dan Jepun kerana visa negara-negara ini mempunyai nilai yang tinggi dan boleh meyakinkan negara ketiga yang ingin dilawati bahawa pemegang pasport adalah pengembara yang kerap melakukan perjalanan ke negara-negara maju di atas,” katanya.

    Beliau berkata sindiket itu turut dipercayai menjalankan kegiatan memalsukan pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) sejak dua tahun lepas dan kebanyakan pelanggan terdiri daripada pendatang tanpa izin warga Pakistan, Myanmar dan Bangladesh yang bekerja sebagai buruh binaan serta pekerja kedai.

    “Sindiket menggunakan aplikasi WhatsApp serta In My Opinion (IMO) sebagai medium untuk mencari pelanggan dan akan berjumpa dengan pelanggan bagi tujuan transaksi,” katanya.

    Khairul Dzaimee berkata kadar bayaran yang dikenakan sindiket kepada pelanggan ialah antara RM100 dan RM300 bagi sekeping pelekat PLKS palsu manakala bayaran bagi dokumen negara asing seperti visa, lesen memandu, kad pelarian dan pasport ialah antara RM100 hingga RM1,000.

    Turut ditemukan dalam operasi itu ialah 2,320 keping dokumen yang disyaki palsu, dua set komputer meja, dua unit mesin pencetak, satu unit mesin lamina, satu unit pembaca pasport, lima keping plat plat mengecap pelbagai negara, 20 unit pemidang saring sutera pelbagai negara dan satu unit meja pencetak saring sutera.

    Beliau berkata pihak kedutaan negara terbabit mengesahkan bahawa dokumen yang dirampas adalah palsu.

    Katanya mereka ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 55(D) Akta Imigresen 1959/63 iaitu membuat, memalsukan atau meminda suatu pengendorsan atau suatu dokumen untuk digunakan sebagai suatu visa, permit, pas atau kelayakan di bawah akta.- BERNAMA

  • Lebih 3,600 insiden ancaman keselamatan siber setakat April – ATM

    Lebih 3,600 insiden ancaman keselamatan siber setakat April – ATM

    Lebih 3,600 insiden ancaman keselamatan siber dilaporkan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, kata Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang.

    Beliau berkata angka yang tinggi itu membimbangkan perancang dan pengamal pertahanan.

    “Berikutan kewujudan dan kemunculan bahaya tersebut, pihak kerajaan dan ATM telah mempertingkat kapasiti keselamatan siber masing-masing dalam meramal, mengesan, mencegah dan bertindak terhadap ancaman ini.

    “Seperti kita sedia maklum usaha mengekang ancaman siber ini bukanlah murah, berikutan teknologi dan modus operandi pelanggaran keselamatan siber berkembang dengan begitu pantas, melampaui masa yang diambil untuk melaksanakan langkah memeranginya,” katanya.

    Affendi berkata demikan dalam ucaptamanya menerusi  seminar bertajuk “It Is Safe To Outsource Cyber Security Outside Your Borders?” (Adakah Selamat Untuk Penyumberluaran Keselamatan Siber di Luar Sempadan) anjuran Defence Services Asia (DSA) menerusi aplikasi Zoom, hari ini. 

    Beliau berkata kerajaan Malaysia telah memperuntukkan RM1.8 bilion untuk mentransformasikan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) bagi menangani ancaman tersebut, selari dengan aspirasi Strategi Keselamatan Siber Malaysia 2020-2024.

    Katanya, penilaian NACSA dalam Strategi Keselamatan Siber Malaysia 2020-2024 itu telah menjangkakan berlakunya peningkatan ancaman siber.

    Justeru, bagi menangani isu berkenaan, Affendi berkata ATM telah menubuhkan Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (BSEP) selaras dengan Kertas Putih Pertahanan, sebagai sebahagian daripada langkah untuk memastikan keupayaan menghadapi ancaman siber.

    Beliau berkata kerajaan dan agensi-agensi keselamatan lebih cenderung memilih untuk mengekalkan langkah keselamatan siber dalam lingkungan sempadan nasional, dalam mematuhi undang-undang dan strategi keselamatan siber negara, bagi membolehkan pihak tersebut mempunyai kawalan yang lebih baik ke atas persekitaran dan infrastruktur.

    “Sedia maklum, perang dingin moden berlaku dalam talian pada masa kini, dalam keseluruhan persekitaran kerajaan secara kaedah perang hibrid. Oleh yang demikian, menggunakan sumber luar untuk menjaga keselamatan siber berisiko mendedahkan negara kepada bahaya,” tambahnya.- BERNAMA

  • Rugi RM46,000 diperdaya kenalan Facebook sertai pelaburan Forex

    Rugi RM46,000 diperdaya kenalan Facebook sertai pelaburan Forex

    PADAH mempercayai individu yang dikenali menerusi laman sosial Facebook, seorang wanita berusia 28 tahun di Butterworth, Pulau Pinang kerugian kira-kira RM46,000 akibat ditipu individu berkenaan.

    Wanita yang bekerja sebagai jurujual itu mula terjerat selepas berkenalan dengan seorang individu di laman sosial terbabit pada pertengahan Julai lalu yang kemudian mengajaknya menyertai pelaburan tukaran wang asing.

    Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor, mangsa dan suspek telah berhubung melalui aplikasi Messenger di Facebook sebelum bertukar-tukar nombor telefon dan berhubung menerusi aplikasi WhatsApp.

    Katanya, mangsa dipujuk menyertai pelaburan Forex yang akan didagangkan sendiri oleh suspek melalui aplikasi Cainvest dan dijanjikan keuntungan tinggi beserta pulangan modal.

    “Wanita tersebut yang sudah meletakkan kepercayaan kepada kenalan Facebooknya itu membuat sembilan transaksi pindahan wang berjumlah RM45,979 ke dalam lima akaun bank tempatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Noorzainy berkata, mangsa bagaimanapun menyedari ditipu selepas suspek gagal dihubungi.

    Malah ujar beliau, aplikasi Cainvest yang digunakan untuk melihat aktiviti dagangan tukaran wang asing juga telah dinyah aktif.

    Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

  • Eksperimen kedai makan: Premis tak patuh SOP diarah tutup

    Eksperimen kedai makan: Premis tak patuh SOP diarah tutup

    POLIS Diraja Malaysia akan mengarahkan premis makanan yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditutup, susulan tindakan pasangan suami isteri yang tidak divaksin melakukan eksperimen di sebuah kedai makan baru-baru ini.

    Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, kerajaan telah memberi kelonggaran SOP ini bagi merancakkan semula ekonomi dan berharap masyarakat dapat memanfaatkannya dengan betul, dan tidak mengambil kesempatan.

    “Polis dan pihak berkuasa tempatan melakukan rondaan bersama dan mana-mana premis yang tidak patuh (SOP) akan diarah tutup,” katanya dalam sidang media di Kem Batalion 4 Pasukan Gerakan Am, dekat sini, hari ini.

    Pada 8 Ogos lepas, kerajaan mengumumkan individu yang telah menerima vaksinasi lengkap diberi kelonggaran termasuk solat berjemaah di masjid dan surau serta makan di restoran.

    Sehubungan itu katanya, polis meningkatkan pemantauan dan pemeriksaan terhadap premis awam berikutan kelonggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) terhadap individu yang telah lengkap vaksinisasi.

    Susulan kelonggaran berkenaan juga pihaknya akan mengurangkan sekatan jalan raya (SJR) antara daerah-daerah secara berperingkat, bagaimanapun SJR antara negeri akan dikekalkan.

    “Saya telah mengarahkan kontinjen-kontinjen polis negeri untuk mempertingkatkan tinjauan dan pemeriksaan ini untuk pastikan SOP yang baharu ini dipatuhi semua.

    Pada Isnin lepas, pasangan suami isteri itu masing-masing berusia 35 dan 36 tahun ditahan polis pukul 5 petang di sebuah premis makanan.- BERNAMA

  • Warga Bangladesh kerugian RM28,200 ditipu ejen kiriman wang

    Warga Bangladesh kerugian RM28,200 ditipu ejen kiriman wang

    SEORANG pekerja am warga Bangladesh terpaksa berputih mata selepas kerugian RM28,200 akibat ditipu ejen kiriman wang ke luar negara menerusi laman Facebook, pada akhir Jun lepas.

    Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata lelaki berusia 31 tahun itu mendakwa dia melihat sebuah iklan perkhidmatan kiriman wang ke luar negara menerusi pemilik akaun Facebook bernama ‘Anika Topup’.

    Katanya, pengadu yang tinggal di Ladang Bahau itu berminat dengan tawaran berkenaan kemudian berurusan dengan individu tersebut menerusi aplikasi WhatsApp.

    “Lelaki berkenaan mahu menghantar wang kepada keluarganya di Bangladesh, telah melakukan sebanyak lima kali transaksi ke beberapa akaun bank berjumlah RM28,200 bermula 7 hingga 11 Ogos lepas,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

    Hoo berkata mangsa menghubungi keluarganya di Bangladesh pada 14 Ogos dan dimaklumkan tidak menerima sebarang wang daripada ejen berkenaan.

    Beliau berkata pengadu terus menghubungi ejen tersebut namun dimaklumkan perlu membuat pembayaran sebanyak RM5,000 bagi urusan insurans dan sekiranya gagal membuat pembayaran tersebut wang milik mangsa tidak dipulangkan kepada keluarganya.

    Katanya, mangsa yang menyedari ditipu kemudian membuat laporan polis semalam dan kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.- BERNAMA

  • Imigresen tahan 55 pendatang asing di kilang seramik

    Imigresen tahan 55 pendatang asing di kilang seramik

    JABATAN Imigresen Negeri Sembilan (JIMNS) menahan 55 pendatang asing tanpa izin dalam satu operasi di sebuah kilang pembuatan seramik di Kawasan Perindustrian Nilai, dekat sini semalam.

    Pengarahnya Kennith Tan Ai Kiang berkata kesemua 48 warga Bangladesh dan tujuh warga Nepal itu ditahan dalam operasi bermula 7.30 pagi selepas disyaki melanggar Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa di negara ini dan tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

    Beliau berkata serbuan oleh seorang pegawai kanan dan 17 anggota imigresen itu mendapati kilang berkenaan memiliki seramai 241 pekerja warga asing dari Bangladesh dan Nepal.

    “Kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 bagi siasatan lanjut dan pendakwaan.

    “Mereka turut didapati tidak memohon untuk menyertai program Rekalibrasi Tenaga Kerja yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, orang ramai diminta menyalurkan maklumat mengenai pendatang asing tanpa izin supaya tindakan penguatkuasaan dapat dijalankan.- BERNAMA