Category: Jenayah

  • Suami isteri ditahan, pandu kereta lawan arus di lebuhraya

    Suami isteri ditahan, pandu kereta lawan arus di lebuhraya

    POLIS menahan sepasang suami isteri di Mambau, Seremban pada awal pagi semalam selepas memandu kereta secara melawan arus di kilometer 17-19 Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) di Port Dickson, Negeri Sembilan.

    Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, rakaman video berdurasi 32 saat berhubung perbuatan mereka itu tular dalam media sosial Facebook semalam antara pukul 5 hingga 6 petang.

    “Berdasarkan rakaman video itu menunjukkan kereta tersebut dipandu melawan arus dari arah Teluk Kemang menghala ke Seremban.

    “Bertindak atas maklumat, pada pukul 2 pagi sepasukan polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson telah membuat tangkapan terhadap pasangan berkenaan yang terlibat sebagai pemandu dan penumpang, di kediaman mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, hasil soal siasat kedua-dua suspek memaklumkan bahawa kenderaan mereka mengalami masalah di bahagian enjin dan tindakan memandu melawan arus itu adalah untuk mencari bengkel bagi membaiki kenderaan tersebut.

    “Kedua-duanya ditahan dan sebuah kereta yang dirakam dalam video tular itu dirampas untuk tindakan lanjut.

    “Orang ramai dinasihatkan supaya tidak melanggar peraturan lalu lintas yang membahayakan diri dan pengguna jalan raya yang lain.

    “Tindakan tegas akan diambil sekiranya didapati melalukan kesalahan berkenaan,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Video tular dengan kapsyen ‘ bahayakan orang lain, Lebuhraya Seremban-Port Dickson’ itu turut mendapat pelbagai reaksi daripada pelayar media sosial itu.

  • Ayob Khan dedah ada OCPD tak puas hati Bukit Aman serbu premis judi ‘online’

    Ayob Khan dedah ada OCPD tak puas hati Bukit Aman serbu premis judi ‘online’

    KETUA polis daerah di seluruh negara diingatkan jangan jadikan ‘Surat Aku Janji’ tiada sebarang aktiviti judi di daerah pentadbiran masing-masing sebagai ‘kertas tisu’, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

    Ayob Khan berkata ini kerana ini beliau menerima maklumat bahawa ada dalam kalangan ketua polis daerah kontinjen Kuala Lumpur tidak berpuas hati apabila diminta untuk menghantar Task Force D7 JSJ Bukit Aman bagi mengambil tindakan ke atas premis judi dalam talian.

    “Sepatutnya semua OCPD yang setiap bulan menandatangani Aku Janji tiada sebarang aktiviti judi di daerah masing-masing berpegang teguh kepada Aku Janji itu.

    “Janganlah Aku Janji itu dianggap sebagai satu kertas tisu, yang tiada nilai dan tiada lagi amaran diberi,” katanya kepada pemberita selepas hadir menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.

    Ayob Khan meminta setiap ketua polis daerah perlu ada keselarasan antara tindakan dengan prinsip moral, etika dan undang-undang antara kepentingan diri serta kepentingan umum.

  • Lelaki disyaki lempar bom diburu polis

    Lelaki disyaki lempar bom diburu polis

    SEORANG lelaki diburu polis selepas videonya melempar objek seperti bom di sebuah restoran di kawasan Jalan Abdul Samad, Johor Bahru, tular dalam media sosial.

    Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Asisten komisioner Raub Selamat, berkata kejadian itu berlaku pukul 4.15 pagi kelmarin.

    Menurutnya, polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada pemilik premis yang juga lelaki tempatan pada 5.27 pagi.

    “Pengadu berusia 35 tahun memaklumkan mendengar bunyi letupan yang kuat sehingga beberapa cermin tingkap premisnya pecah.

    “Hasil semakan di kamera litar tertutup (CCTV) mendapati sebuah kereta berwarna gelap berhenti di pagar premis.

    “Kelihatan suspek keluar dari kenderaan dan melempar satu objek ke tempat kejadian,“ katanya dalam satu kenyataan, menurut Harian Metro.

    Raub berkata kejadian itu menyebabkan empat cermin tingkap pecah namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan suspek adalah seorang lelaki yang tidak dikenal pasti.

    “Polis masih menyiasat punca kejadian. Kes disiasat di bawah Seksyen 435 kanun keseksaan.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh hubungi talian hotline IPD JBS 07-2182323 atau pegawai penyiasat Inspektor Nik Mohamad Amirul Fikrie 011-35202900,“ katanya.

    Terdahulu, tular dua video masing-masing berdurasi satu minit memaparkan tindakan lelaki terbabit yang membaling objek sebelum berlaku letupan.

  • Laporan kes rampasan RM789j heroin di Australia sudah diserah kepada PM – Kastam

    Laporan kes rampasan RM789j heroin di Australia sudah diserah kepada PM – Kastam

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sudah menyerahkan laporan berhubung kes rampasan heroin bernilai RM789.56 juta melalui Pelabuhan Klang ke Brisbane, Australia kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 3 Mei lalu.

    Bagaimanapun, Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Zazuli Johan berkata, laporan terbabit belum lengkap sepenuhnya memandangkan pihaknya masih memerlukan maklumat tambahan daripada Pasukan Sempadan Australia (ABF) berhubung kejadian terbabit.

    Ujar beliau, pihak ABF juga perlu mendapatkan kebenaran daripada kementerian berkaitan di negara berkenaan sebelum memberikan sebarang maklumat kepada pihak berkuasa Malaysia.

    Tambahnya, setakat ini juga belum ada sebarang tangkapan dibuat bersabit kes itu dan pihaknya percaya Malaysia dijadikan lokasi transit oleh sindiket terbabit sebelum dadah berkenaan dibawa ke Australia.

    “Berdasarkan maklumat awal yang diterima, dadah berkenaan dibawa dari negara segi tiga emas (Golden Triangle) dan siasatan lanjut akan diteruskan,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Pencegahan Negeri Pulau Pinang, di Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

    Media sebelum ini melaporkan, Perdana Menteri mengarahkan JKDM mengemukakan laporan penuh berkaitan rampasan heroin yang dilaporkan dibawa masuk menerusi kontena dari Malaysia ke Brisbane, Australia.

    Anwar mahu laporan bagaimana perkara itu berlaku dihantar kepadanya dalam tempoh dua minggu selain meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) membantu melakukan siasatan. 

    Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan pihak berkuasa Australia berjaya merampas dadah heroin seberat 336 kilogram yang dibawa masuk menerusi kontena dari Malaysia ke Brisbane pada 13 Mac lalu.

    Dadah yang dianggarkan bernilai RM789.56 juta itu ditemukan ditanam dalam dua blok konkrit di dalam kontena terbabit.

    Kontena terbabit didaftarkan membawa perkakas solat dan dialamatkan ke sebuah pusat industri di Brendale, utara Brisbane.

  • Dua anggota uniform ditahan disyaki terima rasuah RM18,000

    Dua anggota uniform ditahan disyaki terima rasuah RM18,000

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua anggota beruniform kerana disyaki menerima wang suapan berjumlah kira-kira RM18,000 daripada pemilik sebuah syarikat.

    Menurut sumber, mereka disyaki menerima rasuah daripada pihak syarikat yang mengendalikan kerja-kerja menyediakan kemudahan berkaitan elektrik dan bumbung di sebuah bangunan di Sarawak.

    Sumber memaklumkan, kedua-dua suspek lelaki yang berusia 30-an dan 50-an itu ditahan kira-kira pukul 11 malam semalam di Pejabat SPRM Kuching ketika hadir memberi keterangan.

    “Kedua-dua suspek yang juga penjawat awam dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2022,” kata sumber berkenaan, lapor Sinar harian.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Sarawak, Mohd. Zaki Hassan ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009.

    Beliau berkata, kedua-dua suspek bagaimanapun dilepaskan dengan jaminan SPRM, selepas kenyataan suspek direkodkan oleh pegawai SPRM.

  • Lebih 1 tan pil esktasi bernilai RM78j dirampas di pelabuhan P. Pinang

    Lebih 1 tan pil esktasi bernilai RM78j dirampas di pelabuhan P. Pinang

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang berjaya mematahkan cubaan menyeludup lebih satu tan pil dadah jenis Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) atau ekstasi bernilai lebih RM78 juta di Pelabuhan Pangkalan Kontena Butterworth (NBCT), Sabtu lalu.

    Ia merupakan kejayaan rampasan dadah terbesar di Malaysia bagi tahun ini.

    Ketua Pengarah JKDM, Datuk Zazuli Johan berkata, rampasan itu dilakukan sekumpulab anggota Bahagian Penguatkuasaan JKDM Pulau Pinang yang menahan sebuah kontena yang dibawa masuk melalui pelabuhan itu kira-kira pukul 9 pagi.

    Katanya, hasil pemeriksaan mendapati kontena terbabit diisi dengan 20 unit pemampat senyap piston (silent compressor).

    Bagaimanapun, ujar beliau, pemeriksaan lanjut mendapati sebahagian unit itu telah diubah suai ruang dalamannya yang mana bungkusan berisi pil-pil dadah terbabit disembunyikan.

    Jelasnya, siasatan awal mendapati, kontena itu dibawa masuk dari negara Eropah dan pihaknya kini sedang mengenal pasti pihak lain yang terlibat dalam pengimportan dadah secara besar-besaran terbabit.

    “Seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun yang juga ejen turut ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Pencegahan Negeri Pulau Pinang, Butterworth hari ini.

    Dalam pada itu, Zazuli menggesa orang ramai membantu pihak berkuasa memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan sebagainya.

    Katanya, jenayah penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

    “Orang awam boleh memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau membuat laporan di pejabat kastam terdekat di semua negeri,” katanya.

    Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan pihak berkuasa Australia berjaya merampas dadah heroin seberat 336 kilogram yang dibawa masuk menerusi kontena dari Malaysia ke Brisbane pada 13 Mac lalu.

    Dadah yang dianggarkan bernilai RM789.56 juta itu ditemukan ditanam dalam dua blok konkrit di dalam kontena terbabit.

    Kontena terbabit didaftarkan membawa perkakas solat dan dialamatkan ke sebuah pusat industri di Brendale, utara Brisbane.

  • SPRM tahan penulis blog disyaki terima rasuah RM1.3 juta

    SPRM tahan penulis blog disyaki terima rasuah RM1.3 juta

    SURUHANJAYA  Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang ‘blogger’ bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah membabitkan satu projek bernilai lebih kurang RM41 juta di sebuah kementerian.

    Majistret Puan Irza Zulaikha Rohanuddin mengeluarkan perintah reman selama dua hari bermula hari ini hingga 13 Mei terhadap suspek selepas SPRM membuat permohonan reman di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi ini.

    Menurut sumber, suspek lelaki yang merupakan penulis blog itu dipercayai menerima rasuah kira-kira RM1.3 juta daripada sebuah syarikat teknologi maklumat (IT) sekitar tahun 2020.

    Sumber menambah permintaan dan pembayaran rasuah tersebut dipercayai dilakukan sebagai dorongan kepada suspek melobi supaya syarikat berkenaan berjaya dalam perolehan kontrak berkaitan.

    Difahamkan, selain isu jenayah rasuah, SPRM turut akan melihat bagaimana tatacara perolehan projek tersebut dilaksanakan.

    Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

  • Gaduh selepas kemalangan, 6 ahli keluarga mangsa ditahan

    Gaduh selepas kemalangan, 6 ahli keluarga mangsa ditahan

    SERAMAI enam individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pergaduhan melibatkan ahli keluarga mangsa yang terbabit dalam kemalangan antara sebuah motosikal dan kereta di Tanjung Bungah, Pulau Pinang pada 8 Mei lalu.

    Video kejadian kemalangan dan pergaduhan itu tular di media sosial Facebook hari ini selepas dimuat naik pemilik akaun Facebook Alex Law kira-kira pukul 2 petang.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kesemua individu berkenaan bagaimanapun telah diberikan jaminan polis.

    Menurut beliau, hasil semakan polis mendapati kejadian itu berlaku kira-kira pukul 11.20 pagi di Jalan Loh Poh Heng, Tanjung Bungah.

    ”Pergaduhan berpunca daripada pertengkaran mulut antara ahli keluarga kedua-dua pihak yang terlibat dalam kemalangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menerusi video yang tular itu, terdapat sekumpulan individu bergaduh di lokasi kemalangan maut melibatkan penunggang motosikal dan sebuah kereta.

    Menurut Soffian, kemalangan melibatkan sebuah motosikal ditunggang oleh seorang wanita tempatan dengan sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki tempatan.

    Katanya, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

    Sehubungan itu, tambah beliau, polis membuka siasatan kemalangan maut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara selama 10 tahun dan denda sehingga RM50,000.

    Tambahnya, kes pergaduhan pula disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan
    (kesalahan merusuh) yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman
    penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

    “Siasatan juga dibuat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan (mendatangkan cedera) yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara selama setahun atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-duanya,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau menasihati ramai agar tidak menularkan rakaman video kejadian tersebut untuk mengelakkan sebarang spekulasi.

  • Anak gagal bayar hutang, ibu bapa diugut along

    Anak gagal bayar hutang, ibu bapa diugut along

    SEPASANG suami isteri hidup dalam ketakutan selepas diugut beberapa pemberi pinjaman wang secara haram atau ‘along’ kerana tindakan anak lelakinya yang gagal membuat bayaran selepas meminjam wang daripada pihak terbabit.

    Mangsa yang mahu dikenali sebagai Miss Khong, 54, menyatakan dia dan suaminya menerima ugutan termasuk mahu membakar kediaman mereka di Taman Desa Pengkalan selain menyimbah najis ke rumah itu sekiranya tidak membayar pinjaman anak mereka.

    “Anak saya berusia 31 tahun sebelum ini memang pernah berhutang dengan along sejak 10 tahun lepas dan sebelum ini kami sudah pernah melangsaikan hutang anak lebih RM5,000 tetapi tabiat meminjam masih berterusan sehingga dia melarikan diri pada 14 April 2021. 

    “Selepas dia menghilangkan diri, ada beberapa along daripada tiga syarikat menghubungi saya dan menuntut kami menjelaskan hutang berkenaan termasuk ugutan menyebabkan saya terpaksa membuat kenyataan di akhbar mengenai perkara itu, selain laporan di Balai Polis Pekan Baharu kerana tidak tahan dengan gangguan mereka,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Ipoh Timur dekat Ipoh hari ini. 

    Miss Khong berkata terbaharu pada Rabu lepas, beliau menerima ugutan menerusi panggilan termasuk melalui aplikasi WhatsApp agar melunaskan pinjaman yang dilakukan anaknya yang tidak diketahui jumlah sebenar, atau individu terbabit menularkan muka anaknya. 

    “Saya merayu kepada individu yang meminjamkan wang kepada anak saya supaya tidak mengganggu keluarga kami memandangkan kami tidak lagi berhubungan dengan anak kami sejak dia menghilangkan diri dua tahun yang lepas.

    “Sekarang saya sudah tiada wang untuk membantunya lagi. Saya juga tidak tahu anak saya berada di mana, malah saya bimbang kalau-kalau nyawa saya dan suami terus terancam,” katanya. 

    Sementara itu, Pegawai Khas Ahli Parlimen Ipoh Timur Yeong Seng Hoong berkata wanita berkenaan datang membuat aduan ke pejabatnya mengenai perkara itu Rabu lepas.

    “Kami nasihatkannya untuk membuat laporan polis dan berharap siasatan polis dapat membantu keluarga ini.

    “Dalam kes seperti ini, along sepatutnya mencari penghutang dan bukan secara terus mengganggu ahli keluarga,” katanya.

  • Siasatan terhadap Jho Low masih berjalan, kata KPN

    Siasatan terhadap Jho Low masih berjalan, kata KPN

    KETUA Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, siasatan polis terhadap ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low berkaitan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd masih berjalan.

    “Pada masa ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih berusaha membawa pulang Jho Low.

    “Kertas siasatan terhadap Jho Low dibuat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA).

    “Bagi Polis Diraja Malaysia (PDRM) kertas siasatan terhadap Jho Low iaitu di bawah Seksyen 4(1) Akta Pengubahan Wang Haram, masih berjalan.

    “Pertuduhan ke atasnya (Jho Low) sudah dibuat di mahkamah pada Ogos 2018,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman hari ini.

    Pada masa ini katanya, beliau masih belum berkesempatan untuk bertemu dengan Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berhubung usaha membawa pulang Jho Low untuk dibicarakan.

    “Apa yang saya tahu usaha membawa balik Jho Low sedang giat dilakukan oleh SPRM, namun saya masih belum mempunyai butiran lanjut kerana belum berkesempatan bertemu Tan Sri Azam Baki,” katanya, lapor Astro Awani.

    Beliau berkata tiada sebab untuk siasatan kes berkenaan ditutup sehingga Jho Low dihadapkan ke mahkamah.