Category: Jenayah

  • Impian bergelar jutawan lebur selepas jadi mangsa penipuan nombor ramalan

    Impian bergelar jutawan lebur selepas jadi mangsa penipuan nombor ramalan

    IMPIAN seorang lelaki untuk bergelar jutawan segera musnah selepas tiket loteri dikatakan memenangi wang tunai RM1.1 juta, hanya helah penipuan nombor ramalan yang mencari mangsa di media sosial. 

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa  berusia 45 tahun juga kerugian RM65,180 yang didakwa diserahkan kepada suspek bagi mendapatkan nombor ramalan itu. 

    “Mangsa mendakwa mengetahui mengenai perkhidmatan menilik nombor ramalan semasa melayari Facebook pada awal Mac lepas, dan menghubungi nombor WhatsApp tertera di akaun media sosial  itu bagi mendapatkan maklumat lanjut. 

    “Suspek lelaki yang berurusan dengan mangsa mendakwa dirinya mempunyai nombor ramalan tiket loteri akan memenangi wang tunai RM1.1 juta, menyebabkan mangsa tertarik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

    Mohd Wazir berkata suspek dikatakan telah meminta mangsa membuat bayaran atas alasan pembelian tiket loteri, bayaran cukai serta kos pentadbiran sebelum wang kemenangan boleh dikreditkan ke akaun mangsa.

    Mangsa mendakwa membuat bayaran itu menerusi transaksi pemindahan dalam talian secara ansuran sebanyak 16 kali bermula Mac hingga awal minggu ini tanpa menyedari jumlah keseluruhan ialah RM65,180. 

    “Bagaimanapun, mangsa mula curiga apabila belum memperoleh wang kemenangan itu selain mendakwa suspek mengugut mahu menghantar orang mencarinya jika tidak meneruskan bayaran seperti diminta apabila ditanya,” katanya.

    Mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong semalam, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan. – BERNAMA 

  • 3 tahanan positif Covid-19 lolos PKRC diburu

    3 tahanan positif Covid-19 lolos PKRC diburu

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    POLIS sedang memburu tiga tahanan warga asing selepas melarikan diri dari Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Dewan Arena Tawau, Jalan Utara, Tawau, Sabah, tengah malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 12.30 tengah malam apabila mereka melarikan diri melalui tingkap tandas.

    Katanya, tiga suspek warga asing itu dikenali sebagai Niko Matheus, 25; Jimnajir Annor, 23; dan Hasyim Muhamad Syata, 34.

    “Ketiga-tiga tahanan itu disahkan positif Covid-19 dan ditempatkan di PKRC di daerah ini,” katanya ketika dihubungi.

    Peter berkata, susulan itu polis melancarkan operasi Op Tutup dan Op Kesan bagi memburu semua suspek.

  • Padah salah guna kuasa projek bekal toner RM1 juta

    Padah salah guna kuasa projek bekal toner RM1 juta

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    TINDAKAN seorang bekas pembantu tadbir gred N19 di sebuah pejabat kerajaan negeri menyalahgunakan kedudukan dan kuasanya menerima padah apabila ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Lelaki berusia 35 tahun itu ditahan kerana disyaki terlibat dalam projek pembekalan toner bernilai lebih RM1 juta dari tahun 2016 hingga dua tahun lalu.

    Menurut sumber, suspek ditahan SPRM kira-kira pukul 11.30 pagi di Pejabat SPRM Johor hari ini.

    “Hasil siasatan yang dijalankan mendapati suspek semasa bertugas sebagai pembantu tadbir di pejabat kerajaan negeri telah menggunakan kedudukannya sebagai urusetia dalam Jawatankuasa Sebutharga untuk mendapatkan kerja-kerja pembekalan toner.

    “Suspek bertindak dengan memalsukan butiran pemilikan tiga syarikatnya untuk mendapatkan projek membekalkan toner bernilai RM1.03 juta,” katanya di Johor Bahru, hari ini.

    Menurut sumber itu, suspek akan disiasat di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009 yang memperuntukan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun, jika sabit kesalahan.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

  • Bayi 16 bulan mangsa dera bawah jagaan JKM

    Bayi 16 bulan mangsa dera bawah jagaan JKM

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    BAYI 16 bulan yang dipercayai didera ibu bapanya dalam kejadian di Felda Jalor Air Kuning Selatan, Tampin, Negeri Sembilan, dilaporkan stabil dan telah dibenarkan keluar wad semalam.

    Mangsa dikatakan telah diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan untuk tindakan lanjut.

    Menurut Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Anuwal Ab. Wahab, bayi terbabit dipindahkan ke Hospital Hospital Tengku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah untuk menerima rawatan lanjut.

    Katanya, mangsa juga turut diberi bantuan pernafasan kerana sukar bernafas pada 25 Ogos lalu.

    “Bayi itu dilaporkan stabil dan telah dibenarkan keluar wad semalam. Dia diserahkan kepada JKM sebelum ditempatkan di pusat jagaan kanak-kanak di Seremban,” katanya menurut laporan Berita Harian.

    Menurut beliau, ibu bapanya yang masing-masing berusia 17 dan 23 tahun akan didakwa di mahkamah Tampin esok.

    Terdahulu, media melaporkan seorang bayi bukan sahaja ditumbuk pada muka, malah terpaksa menahan kesakitan apabila turut dicucuh puntung rokok.

    Kesan ditekap dengan seterika turut kelihatan pada badan bayi lelaki berkenaan.

    Mangsa yang mengalami sesak nafas dibawa ke klinik kesihatan berhampiran sebelum doktor yang merawatnya membuat laporan polis.

    Polis kemudiannya menahan pasangan itu dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) dan Seksyen 33 Akta Kanak-kanak 2001 kerana pengabaian kanak-kanak. 

  • Sudah raih RM91,000, kakitangan kontraktor Petronas direman 4 hari

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    KAKITANGAN kontraktor di Petronas Pengerang sudah meraih kutipan sumbangan sehingga RM91,000 setelah membuat dakwaan palsu 14 ahli keluarganya mati akibat Covid-19.

    Lelaki berusia 45 tahun itu dipercayai mendapatkan sumbangan derma tersebut bermula bulan Jun lalu kononnya setelah dia mula kehilangan isteri dan tiga anaknya.

    Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi telah menahan suspek semalam selepas lelaki itu hadir di Balai Polis Bayu Damai.

    Katanya, suspek ditahan dipercayai ketika ingin membuat laporan ‘covering’ bagi dirinya tentang kejadian itu.

    “Siasatan awal mendapati suspek setakat ini dipercayai telah menerima sumbangan sebanyak RM91,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Hussin berkata, hasil maklumat dan siasatan mendapati suspek menyebarkan berita palsu berkenaan 14 ahli keluarga meninggal dunia akibat Covid-19 bagi mendapatkan sumbangan derma.

    Katanya, suspek kini direman selama empat hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    “Jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari sepuluh tahun dan dengan sebat juga boleh dikenakan denda.

    “Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan membuat penilaian sebelum membuat apa-apa sumbangan atau derma supaya tidak menjadi mangsa penipuan,” katanya.

    Sejak malam kelmarin, media sosial terutama Facebook dan WhatsApp dihebohkan dengan berita yang tular mendakwa seorang lelaki sedang berhadapan ujian berat apabila kehilangan 14 ahli keluarganya akibat Covid-19 sejak Jun lalu.

    Perkongsian yang turut memaparkan senarai nama 14 ahli keluarga itu turut ditularkan kononnya kematian itu melibatkan isteri, ibu, kakak, abang ipar serta anak-anaknya dan anak saudara kepada lelaki itu.

    Malah, difahamkan baru-baru ini satu majlis bacaan Yasin dan tahlil secara maya turut diadakan oleh pihak pengurusan tempat kerja lelaki itu yang kini berkhidmat di syarikat minyak dan gas negara, Petronas di Pengerang, Kota Tinggi.

  • Tarik balik 29 tuduhan ikut fakta yang disahkan – SPRM

    Tarik balik 29 tuduhan ikut fakta yang disahkan – SPRM

    KEPUTUSAN menarik balik 29 pertuduhan rasuah terhadap bekas Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid oleh pihak pendakwaan adalah berasaskan fakta yang disahkan daripada siasatan lanjut.

    Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan hari ini berkata perkara itu bermula apabila tertuduh mengemukakan representasi dan pernyataan pembelaannya di bawah Seksyen 62 Akta SPRM 2009 semasa perbicaraan berlangsung.

    Susulan itu, SPRM telah menjalankan siasatan lanjut berkenaan pernyataan pembelaan berkenaan.

    “Berdasarkan dapatan baharu menerusi keterangan baharu yang dikemukakan, tertuduh berjaya membuktikan bahawa beliau telah membayar balik wang yang didakwa sebagai rasuah itu sebelum siasatan dimulakan (dan) saksi utama turut mengesahkan perkara tersebut sebagai wang pinjaman.

    “SPRM merujuk kembali kes berkenaan kepada Pejabat Peguam Negara dan diputuskan perbicaraan tidak diteruskan berdasarkan perkembangan terbaharu siasatan tersebut. Keputusan itu dibuat kerana keterangan saksi utama tidak konsisten,” menurut kenyataan itu.

    Menurut SPRM, pihak pendakwaan telah memaklumkan kepada Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berhubung penarikan balik kesemua 29 pertuduhan itu semasa prosiding perbicaraan kes di hadapan Hakim Suzana Hussin pada 21 Mei lepas.

    Pada 1 September lepas, Noor Ehsanuddin dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini atas 29 pertuduhan rasuah, selepas pihak pendakwaan menarik balik kesemua pertuduhan itu.

  • 3 lelaki warga India langgar SOP cuba sogok polis

    3 lelaki warga India langgar SOP cuba sogok polis

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    TIGA lelaki warga India yang berkumpul tanpa kebenaran dan telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) ditangkap selepas cuba merasuah polis bagi mengelak diambil tindakan.

    Kesemua mereka yang berusia lingkungan 30-an hingga 40-an itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor, hari ini.

    Menurut sumber, salah seorang suspek cuba memberi rasuah berupa wang tunai kepada anggota polis yang sedang mengambil tindakan terhadap mereka.

    “Salah seorang suspek telah cuba memberi wang sogokan sebanyak RM2,900 kepada anggota polis supaya tidak diambil tindakan terhadap mereka.

    “Perbuatan itu menyebabkan SPRM Johor menahan tiga orang warga India kerana kesalahan memberi wang rasuah kepada anggota polis,” katanya hari ini.

    Kata sumber, ketiga-tiganya ditahan kira-kira pukul 3.30 petang di Pejabat SPRM Johor ketika hadir bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.

    “Mereka telah melanggar Peraturan PPN 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020,” katanya.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 yang boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun, jika disabit kesalahan.

    Sementara itu, Pengarah SPRM negeri, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

  • Beberapa buah kampung, 13 sekolah di Sarawak dinaiki air

    Beberapa buah kampung, 13 sekolah di Sarawak dinaiki air

    SEKURANG-kurangnya 13 buah sekolah dan beberapa kampung di pedalaman Miri dinaiki air susulan hujan berterusan sejak Jumaat malam.

    Memetik Astro AWANI, situasi itu telah mengakibatkan limpahan air sungai Baram sekali gus membanjiri beberapa penempatan di sekitarnya.

    Setakat pagi Sabtu, trend paras air masih lagi tinggi ditambah cuaca mendung.

    Menurut kemas kini Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak, Kampung Ekang Baram telah dinaiki air di ketinggian empat kaki setakat pukul 10.40 pagi.

    Turut terjejas Kampung Kuala Tutoh, Baram serta Kampung Long Loyang, Tinjar di daerah Beluru yang dinaiki air setinggi lapan kaki dan air masih naik secara perlahan biarpun cuaca cerah pada pagi Sabtu.

    Sekolah-sekolah yang terkesan pula adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Morek, SK Long Laput, SK Long Panai, SK Long Jegan, SK Long Sobeng, SK Kuala Bok, SK Pengarah Enteri, SK Long Loyang, SK Ubong Imang, SK Long Teru, SK Long Sepiling, SK Long Wat dan SMK Tutoh Apoh.

    Bagaimanapun tiada murid-murid dan warga sekolah berada di sekolah ketika hujung minggu di samping pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selain keadaan di sekolah dilaporkan terkawal.

  • Mayat penumpang Myvi ditemukan

    Mayat penumpang Myvi ditemukan

    MAYAT seorang lelaki ditemukan dalam kereta Perodua Myvi yang dihanyutkan arus deras di Jalan Kionsom Lama, Inanam di sini lewat petang semalam, selepas kenderaan itu berjaya dikeluarkan dari dalam air pada 11.28 pagi tadi.

    Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan terbaru memaklumkan, mangsa yang ditemukan merupakan penumpang kereta tersebut iaitu Juning Maturun, 37, dan mayat mangsa telah diserah kepada pihak polis.

    “Operasi pencarian bagi mangsa kedua (pemandu Simon Sanga Tupe, 68) masih dijalankan bersama Unit K9, Pasukan Penyelamat di Air, pihak polis dan penduduk kampung,” menurut kenyataan itu.

    Semalam tular video kereta berkenaan cuba menyeberangi sebuah jambatan yang dilimpahi air sebelum dihanyutkan arus deras ke dalam sungai berhampiran dalam kejadian kira-kira 6 petang.- BERNAMA

  • Ketua ajaran sesat Perjalanan Mimpi Yang Terakhir dicekup

    Ketua ajaran sesat Perjalanan Mimpi Yang Terakhir dicekup

    SEORANG wanita berumur 39 tahun yang disyaki ketua ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) bergelar Sittah Annur ditahan polis di Kuala Lumpur, pagi tadi.

    Memetik laporan Harian Metro, sumber memaklumkan, wanita itu ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields yang melakukan serbuan di rumahnya di Shah Alam, Selangor.

    Sumber itu memberitahu, peniaga wanita yang sudah berumah tangga itu disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan atas kesalahan yang menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemuliharaan keadaan harmoni atau perpaduan, atas alasan agama.

    Selain itu, dia juga disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan dan kenyataan lanjut mengenai penahanan itu akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

    Malam tadi, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan mengesahkan pihaknya sedang menjalankan siasatan terhadap pemilik akaun Facebook (FB) Masitah Ab Jalar atau dikenali dengan nama Sittah Annur yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan ajaran sesat PMYT.

    Menurutnya, siasatan menjurus kepada penularan beberapa rakaman video mengandungi kenyataan yang menyentuh aqidah serta ajaran Islam melalui akaun YouTube Cahaya Islam dan S’ttah An Nur PMYT serta di pelbagai platform media sosial sejak beberapa hari yang lalu.

    “Antara kandungan rakaman video yang tular adalah pengakuan wanita terbabit mendakwa dirinya boleh berhubung terus dengan Allah, malaikat dan Nabi Muhammad SAW.

    “Beliau turut mendakwa mimpi perjalanan terakhir diturunkan kepada dirinya sebagai panduan untuk umat yang lain dan sesiapa yang menyakiti atau menghalang dirinya dari menyampaikan ajaran boleh dicabut nyawa oleh Allah,” katanya.

    Ajaran PMYT mula didedahkan secara eksklusif akhbar ini pada 29 Ogos lalu yang pendedahannya disambut dengan siri laporan polis terhadap kumpulan itu di seluruh negara. Untuk rekod, terdapat 13 laporan polis dibuat terhadap kumpulan itu.

    Wanita berasal dari Kelantan dan menetap di Shah Alam itu dikesan sejak enam bulan lalu menggunakan media sosial seperti Facebook (FB), YouTube dan Telegram untuk berkongsi pelbagai ramalan termasuk Perang Dunia Ketiga kononnya berlaku di Sabah sebelum dia memimpin pasukannya untuk mencari Imam Mahdi bagi melawan musuh.

    Selain bercerita mengenai peperangan itu, Sittah Annur turut mendakwa dirinya beryaqazah dengan malaikat dan bertemu secara jaga (sedar) dengan Nabi Muhammad SAW dan merangka pelan keluar bersama pengikutnya jika peperangan berlaku.

    Malah, bagi meyakinkan pengikutnya, Sittah Annur turut dikesan menjaja nama beberapa orang pemimpin negara, pemimpin dunia dan tokoh agama sebagai khalifah kepada ajarannya itu.