Category: Jenayah

  • Seorang lagi pemilik syarikat direman SPRM kes Penjana

    Seorang lagi pemilik syarikat direman SPRM kes Penjana

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang lagi pemilik syarikat kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu secara atas talian kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk mendapatkan bayaran insentif pengambilan pekerja di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi (Penjana).

    Permohonan reman dua hari bermula hari ini sehingga esok terhadap suspek lelaki berusia 45 tahun itu dibenarkan oleh Majistret Nur Faizah Abdul Sani di Mahkamah Majistret Shah Alam pagi tadi.

    Sumber berkata, lelaki terbabit dipercayai sudah mengemukakan tuntutan palsu berjumlah kira-kira RM370,000 sekitar 2020 sehingga 2021.

    Katanya, lelaki itu ditahan di Pejabat SPRM Selangor pukul 1 tengah hari semalam, ketika diminta hadir untuk memberikan keterangan.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 471 kanun Keseksaan,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Lelaki rugi RM50,000 akibat pelaburan Bitfine

    Lelaki rugi RM50,000 akibat pelaburan Bitfine

    GARA-gara tertarik dengan pulangan lumayan ditawarkan menerusi pelaburan (Bitfine) di aplikasi Telegram, seorang lelaki terpaksa berputih mata apabila mengalami kerugian sebanyak RM58,800.

    Ketua Polis Daerah Sentul ACP Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata mangsa berusia 37 tahun itu telah berkenalan dengan seorang individu menerusi aplikasi berkenaan pada 17 Mac lepas, namun tidak melayan individu terbabit.

    “Bagaimanapun pada 27 April lepas, mangsa telah mula berkomunikasi dengan individu itu dan menunjukkan minat dan yakin dengan pelaburan Bitfine yang ditawarkan susupek selepas menerima pulangan sebanyak RM543,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata hasil siasatan mendapati, mangsa telah membuat pembayaran secara berperingkat sejak 27 April hingga 8 Mei, dengan membuat sebanyak lapan kali transaksi ke dalam lima jenis akaun bank yang berbeza berjumlah RM 58,800.

    Katanya, mangsa kemudian tampil membuat laporan polis pada Ahad lepas setelah menyedari dirinya tertipu.

    Ahmad Sukarno berkata kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana tipu dan orang ramai dinasihati agar berwaspada dengan segala taktik penipuan jenayah scammer yang menyebabkan ramai mangsa telah terpedaya.

    Beliau turut meminta jika orang ramai mempunyai sebarang pertanyaan berkaitan diminta menghubungi National Scam Response Centre di talian 997.

    “Orang ramai juga dinasihatkan untuk membuat semakan dengan melayari laman sesawang https://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ bagi membuat semakan akaun yang terlibat dalam sebarang kes penipuan,” katanya.

  • Polis tahan suami isteri proses heroin di rumah

    Polis tahan suami isteri proses heroin di rumah

    SEPASANG suami isteri yang disyaki terlibat dalam kegiatan memproses dan mengedar dadah jenis heroin diberkas polis di sebuah rumah dua tingkat itu di Jelapang, Selasa lalu.

    Serbuan yang dijalankan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak itu menemukan 25.3 kilogram (kg) heroin bernilai RM210,122.80.

    Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, rumah tersebut dipercayai menjadi tempat memproses dan pembungkusan dadah sejak Februari lalu.

    “Lelaki berusia 30 tahun dan isterinya 38 tahun berjaya ditahan bersama heroin seberat 21.67kg dan cecair disyaki heroin seberat 3.64kg.

    “Turut dirampas adalah bahan-bahan kimia dan peralatan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan itu,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Perak di Ipoh hari ini.

    Menurutnya, tindakan diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita sebuah kereta jenis Perodua Axia dan seutas rantai leher bernilai RM36,000.

    Menurutnya, hasil ujian saringan air kencing mendapati lelaki terbabit positif dadah jenis methamphetamine dan kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau.

    “Dadah yang dirampas adalah untuk diedarkan di pasaran tempatan sekitar negeri dan boleh digunakan lebih 47,000 penagih dadah,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Mohd. Yusri berkata, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari sehingga Selasa ini untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • Penumpang Vietnam ‘kantoi’ bawa masuk 10kg tikus salai

    Penumpang Vietnam ‘kantoi’ bawa masuk 10kg tikus salai

    JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan (Maqis) Pulau Pinang merampas 10 kilogram tikus salai yang dibawa seorang penumpang Vietnam di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).

    Pengarahnya, Muhammad Ikram Abdul Talib, berkata rampasan tikus salai bernilai RM1,000 itu dilakukan dengan kerjasama Jabatan Kastam.

    “Ia dikesan dengan bantuan mesin pengimbas Jabatan Kastam dan pemeriksaan pegawai Maqis di LTAPP semalam.

    “Tikus salai tersebut dijumpai semasa pemeriksaan bagasi seorang penumpang dari Vietnam. Kita merampas tikus salai berkenaan selepas mendapati ia dibawa masuk ke negara ini tanpa kebenaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, tindakan mengimport keluaran hasilan haiwan tanpa permit sah merupakan kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 yang boleh dihukum bawah Seksyen 11(3) akta sama.

    Jika sabit kesalahan, katanya, individu itu boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau dipenjarakan tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya.

    Ikram berkata, tikus boleh menyebabkan penyakit berjangkit secara langsung dan tidak langsung.

    “Maqis sentiasa mengambil langkah serius bersama agensi penguatkuasaan di sempadan dalam isu melibatkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam sektor pertanian negara,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

  • Kantoi tanam 1.5 kilogram syabu dekat sawah padi

    Kantoi tanam 1.5 kilogram syabu dekat sawah padi

    POLIS menahan seorang pengedar dadah yang menanam syabu di seberang sungai kecil berhampiran sawah padi di sebuah kampung di kawasan Tandek, Kota Marudu bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

    Perbuatan suspek lelaki tempatan berusia 46 tahun itu terbongkar selepas dia ditahan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu, pada 3 petang, kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Kota Marudu Superintendan Zairolnizal Ishak berkata, hasil siasatan mendapati, suspek terbabit dipercayai aktif mengedar dadah sekitar kawasan Kota Marudu, Tandek dan Pitas.

    “Dengan tertangkapnya suspek terbabit, polis merampas dadah jenis syabu dengan berat 1,509.0 gram bernilai RM49,500.

    “Hasil soal siasat terhadap suspek, membawa kepada penemuan 10 paket plastik lutsinar saiz sederhana dan satu bungkusan plastik lutsinar saiz besar berisi dadah jenis Methamphetamine atau syabu.

    “Dadah syabu seberat 1,509.0 gram itu disembunyikan dan ditanam oleh suspek di kawasan seberang sungai kecil berhampiran sawah padi di sebuah kampung di kawasan Tandek,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Zairolnizal berkata, suspek bersama barang rampasan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu untuk siasatan lanjut.

    Katanya, hasil ujian saringan air kencing terhadap suspek juga mendapati positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.

    “Suspek kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Bahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1) akta sama,” katanya lapor Harian Metro.

  • Sindiket upah tonto tumpas, KPDN rampas 31,000 liter diesel bersubsidi

    Sindiket upah tonto tumpas, KPDN rampas 31,000 liter diesel bersubsidi

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi menerusi Op Tiris di sebuah kilang papan, di Kampung Chuar Hulu, Sauk, Kuala Kangsar semalam.

    Serbuan berkenaan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN pada pukul 10.30 pagi.

    Pengarah KPDN Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata, pihaknya menyita 31,000 liter diesel bersubsidi dengan nilai rampasan keseluruhan RM101,400, selepas menyerbu premis terbabit.

    “Maklumat risikan mendapati, sindiket itu juga dipercayai mengupah ‘tonto’ bagi memastikan aktiviti mereka beroperasi tanpa disedari oleh pihak berkuasa.

    “Hasil pemeriksaan ke atas premis tersebut menemukan dua buah ‘skid tank’ yang di dalamnya terdapat cecair disyaki minyak diesel.

    “Turut ditemui dua kenderaan, sebuah lori loader lima tan dan van yang telah diubah suai dengan meletakkan tangki lain selain tangki asal lori tersebut.

    “Bagaimanapun pemilik premis tiada di tempat kejadian semasa serbuan.

    “Kesemua kenderaan, peralatan penyedut minyak dan cecair yang disyaki minyak diesel dengan anggaran sebanyak 31,000 liter telah disita,” katanya kepada pihak media semalam.

    Beliau percaya sindiket tersebut membeli diesel di beberapa stesen minyak sekitar Kuala Kangsar dengan harga subsidi secara berulang, kemudian mengumpul dan menyimpannya di dalam tangki sebelum dijual kepada pihak industri.

    “KPDN juga akan melakukan siasatan lanjut ke atas stesen minyak yang berkaitan dan akan mengambil tindakan jika didapati terlibat dalam penyelewengan ini,” tambahnya, lapor Astro Awani.

    Menurut Kamalludin, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
    Beliau turut menyarankan masyarakat agar menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa sekiranya mempunyai sebarang maklumat khususnya mengenai aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi.

  • Datuk antara enam direman tipu hasil lombong emas RM25 juta

    Datuk antara enam direman tipu hasil lombong emas RM25 juta

    ENAM individu termasuk seorang bergelar Datuk ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan melibatkan penjualan deklarasi penjualan hasil perlombongan emas bernilai RM25 juta.

    Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Leona Dominic Mojiliu bermula hari ini hingga Jumaat selepas pegawai pendakwa SPRM Asmawi Kulup Lam membuat permohonan itu di Mahkamah Majistret Tawau di Tawau.

    Kesemua suspek terdiri lima lelaki dan seorang wanita berusia antara 42 hingga 67 tahun sebelum itu ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan di Pejabat SPRM Tawau pada tengah malam tadi, lapor Sinar Harian.

    Kesemua suspek termasuk ketua pegawai eksekutif dan pengarah syarikat disyaki memperdaya kerajaan Sabah dengan mengemukakan penyata penjualan yang mempunyai butiran palsu bagi mengelak serta membayar royalti sebenar kepada kerajaan negeri terhadap hasil emas yang di lombong di Bukit Mantri di Tawau.

    Difahamkan emas sebanyak 100 kilogram bernilai RM25 juta itu tidak dilaporkan penghasilannya yang sepatutnya menyumbang pembayaran royalti sebanyak RM1.25 juta kepada kerajaan Sabah bagi tempoh bermula 2020 hingga 2022.

    Penipuan itu dibuat melalui pakatan dua syarikat yang mana semua suspek mempunyai kepentingan di dalamnya.

  • 12 lagi ditahan SPRM kemuka tuntutan palsu Penjana Kerjaya

    12 lagi ditahan SPRM kemuka tuntutan palsu Penjana Kerjaya

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 12 lagi individu dipercayai terlibat dalam kes tuntutan palsu membabitkan dana insentif Program Penjana Kerjaya di seluruh negara melibatkan nilai keseluruhan RM63 juta.

    Menurut sumber, penahanan suspek berusia 29 sehingga 53 tahun itu dilakukan malam tadi secara serentak di seluruh negara menerusi operasi khas Op Hire 2.0.

    Katanya, tambahan tangkapan tersebut menjadikan jumlah keseluruhan yang diberkas adalah seramai 59 individu termasuk 18 wanita.

    “Tangkapan terbaru ini terdiri daripada pemilik, pengarah, pengurus syarikat yang dikesan SPRM melakukan tuntutan dana terlibat.

    “Kesemua mereka akan dibawa ke mahkamah pagi ini bagi mendapatkan perintah reman,” kata sumber memetik laporan Sinar Harian.

    Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan mengenai penahanan itu.

    Kata beliau, SPRM masih lagi meneruskan operasi Op Hire 2.0 bagi mengekang penyelewengan dan ketirisan dana kerajaan yang dilihat sebagai isu yang serius.

    Media sebelum ini melaporkan, lebih 100 syarikat berstatus sendirian berhad dipercayai berada dalam pemerhatian SPRM selepas disyaki membuat tuntutan palsu membabitkan dana insentif Program Penjana Kerjaya.

    Syarikat daripada pelbagai sektor dan bidang itu dikenal pasti oleh SPRM hasil operasi dan risikan berterusan bersama Skim Keselamatan Sosial Pekerja (PERKESO) dalam operasi khas Op Hire.

    Operasi khas itu mengesan mana-mana individu yang mengambil kesempatan melakukan jenayah rasuah, pemalsuan dokumen dan penipuan bagi mendapatkan dana kerajaan di bawah program Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) ketika negara berdepan ancaman COVID-19 pada 2020.

    Media semalam melaporkan SPRM telah menahan 47 individu terdiri pengarah syarikat di seluruh negara dalam operasi Op Hire 2.0 yang dijalankan sejak petang kelmarin.

    Difahamkan, jumlah tuntutan yang terlibat antara RM450,000 hingga RM2 juta dan pelaksanaan Op Hire 2.0 adalah lanjutan daripada Op Hire 1.0 yang dilakukan pada 2022.

  • Gaya hidup mewah penggangur bongkar rahsia edar dadah

    Gaya hidup mewah penggangur bongkar rahsia edar dadah

    RAHSIA seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun yang hidup mewah termasuk memandu kereta berharga ratusan ribu ringgit meskipun merupakan penganggur akhirnya terbongkar selepas dia ditahan bersama sejumlah dadah.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, lelaki berkenaan ditahan polis dalam serbuan di Bukit Tengah, Georgetown pada Sabtu lalu bersama-sama dadah jenis heroin dan syabu bernilai RM42,550.

    Jelasnya, lelaki itu ditahan ketika berada di atas sebuah motosikal sewaktu polis bertindak menyerbu sebuah premis perniagaan di Bukit Tengah pukul 5.25 petang yang mana tujuh peket plastik berisi syabu seberat 520 gram (g) bernilai RM20,500 turut dirampas bersama suspek.

    Katanya, hasil soal siasat ke atas suspek, polis kemudiannya menyerbu kawasan parkir kereta sebuah apartment yang terletak kira-kira satu kilometer dari lokasi serbuan pertama.

    “Dalam serbuan ini, kita merampas empat peket heroin seberat 1,820 gram yang bernilai RM20,050 dalam sebuah kereta dipercayai milik suspek yang diparkir di kawasan itu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.

    Jelas beliau, suspek disyaki menjalankan kegiatan pengedaran dadah dengan mendapatkan bekalan daripada rangkaian sindiket sebelum membungkus semula dan mengedar kepada pembeli.

    Ujarnya, lelaki itu disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah jenis syabu dan heroin sejak tahun lalu.

    Dalam operasi sama, tambahnya, polis turut menyita tiga buah kenderaan bernilai RM198,000 termasuk dua buah kereta mewah bernilai RM180,000 yang dipercayai dimiliki suspek.

    “Suspek didapati mempunyai tiga rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah dan direman selama tujuh hari sehingga 20 Mei ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

    “Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan sindiket yang membekalkan dadah kepada lelaki itu, namun kita percaya dia menjalankan kegiatan pengedaran dadah dengan bergerak sendirian,” katanya.

    Dalam perkembangan lain, Kok Chin berkata, seramai 37 individu daripada 90 orang yang diperiksa ditahan di sebuah pusat hiburan di Bukit Mertajam semalam selepas ujian saringan air kencing mereka didapati positif dadah.

  • Pegawai, 6 anggota polis ditahan disyaki terlibat judi ekor haram

    Pegawai, 6 anggota polis ditahan disyaki terlibat judi ekor haram

    SERAMAI tujuh anggota polis termasuk seorang pegawai di sebuah balai polis di daerah Timur Laut, George Town, Pulau Pinang ditahan kerana disyaki terlibat dengan aktiviti judi ekor haram.

    Selain mereka, turut ditahan ialah lima orang awam.

    Kesemua mereka ditahan dalam operasi selama dua hari bermula Sabtu lalu yang dijalankan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.

    Difahamkan, ketika ditahan kesemua mereka sedang bermain judi ekor haram dan polis turut merampas peralatan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti tersebut.

    Antara barangan yang dirampas termasuk telefon bimbit, wang tunai, komputer riba, mesin mengira wang kertas, buah mahjong, dadu dan sebagainya.

    Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, mengesahkan penahanan anggota dan pegawai polis terbabit, namun enggan mengulas lanjut.

    “Saya sahkan, namun tidak dapat ulas lanjut kerana masih dalam siasatan polis,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.