Category: Jenayah

  • Bagaikan mimpi, hari ini suami sudah tiada

    Bagaikan mimpi, hari ini suami sudah tiada

    ISTERI salah seorang daripada dua pemancing yang ditemukan lemas berdekatan Jeti Mados di Kota Tinggi, Johor pagi tadi, menyifatkan pemergian suaminya bagaikan satu mimpi kerana mereka baru sahaja bertemu dua hari lepas.

    Fahariah Pungut, 52, berkata memancing memang hobi suaminya, Amiruddin Abdul Malik, 53, dan kerap melakukan aktiviti itu bersama rakan-rakannya pada waktu lapang.

    “Bagaikan bermimpi, sukar untuk percaya kerana pada siang Isnin lepas dia bersama saya. Sebelum keluar pergi memancing, suami kerap tersenyum dan sempat berpesan jaga diri dan anak-anak, tetapi hari ini dia sudah tiada,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

    Terdahulu mayat Amiruddin dan rakannya, Ramdan Sulaiman, 50, yang sebelum ini dilaporkan hilang ketika memancing di atas sebuah bot berhampiran Jeti Mados, Kampung Air Putih, di sini dua hari lepas, ditemukan terapung oleh nelayan tempatan, pagi ini.

    Dalam pada itu, Fahariah berkata suaminya, yang merupakan Imam Surau Ladang Basir Ismail, Sungai Tiram sejak lebih 10 tahun lalu, seorang yang mudah didekati dan sangat disenangi oleh rakan-rakan serta penduduk setempat.

    “Dia seorang suami yang baik, penyayang dan sentiasa memanjakan dua anak perempuannya walaupun masing-masing sudah berumur 29 dan 28 tahun. Tidak sangka hanya setakat ini sahaja saya dapat hidup bersama dengannya,” katanya.

    Fahariah, yang juga pengetua sebuah sekolah menengah agama di sini, berkata beliau menerima panggilan kira-kira jam 10 malam Isnin lepas, mengatakan suami serta rakannya dilaporkan hilang ketika memancing.

    Sepanjang tempoh itu sentiasa berdoa agar kedua-duanya dapat pulang ke rumah dengan selamat.

    “Saya tercengang (bila dapat panggilan telefon) dan tidak dapat berkata apa-apa, hanya mampu berdoa banyak-banyak dan minta anak-anak turut berdoa agar bapa mereka pulang ke rumah.

    “Namun, saya reda dengan ketentuan Allah dan terus berdoa agar arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya.

    Menurutnya, apabila selesai proses bedah siasat di Unit Perubatan Forensik, Hospital Sultan Ismail, jenazah suaminya akan dibawa pulang ke kampungnya di Yong Peng dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Haji Ghaffar. – Bernama

  • Suami isteri warga Indonesia mati ditembak

    Suami isteri warga Indonesia mati ditembak

    SEPASANG suami isteri warga Indonesia ditemukan maut dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan tembak pada badan mereka dalam satu kejadian di Kampung Beraya Bekenu, Miri, Sarawak pagi ini.

    Jasad pasangan itu, masing-masing berusia 60 tahun dan 40 tahun ditemukan adik lelaki mangsa dalam bilik tidur rumah mereka kira-kira pukul 7 pagi ini.

    Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Hakemal Hawari mengesahkan kejadian itu.

    Menurut beliau, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Miri dan anggota dari Balai Polis Bekenu dikerahkan ke lokasi kejadian sejurus menerima laporan kes itu.

    “Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca dan bagaimana kejadian berlaku,” katanya kepada BH, hari ini.

    Hakemal berkata, mayat pasangan berkenaan dibawa ke Hospital Miri untuk proses bedah siasat.

    Difahamkan, mayat pasangan itu ditemui adik lelaki mangsa, selepas terdengar anak mereka menangis.

    Adik mangsa yang curiga kemudian pergi ke rumah mangsa, namun pintu berkunci dan cubaannya memanggil mereka juga tidak dibalas.

    Dia yang kemudiannya cuba meninjau melalui cermin tingkap bilik pasangan itu terkejut apabila melihat kedua-duanya berlumuran darah.

    Selaras senapang patah juga dijumpai di atas dada mangsa lelaki.

  • Penduduk masih trauma, JAS belum sedia dedah hasil analisis

    Penduduk masih trauma, JAS belum sedia dedah hasil analisis

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PENDUDUK Kampung Baru Sri Aman, Seelong, Kempas di sini masih trauma dengan insiden pencemaran sisa kimia pada minggu lalu.

    Justeru, Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan (JPKK) Kampung Baru Sri Aman, Mazlan Sulor, 58, mahu pihak yang melakukan pencemaran bahan kimia di Sungai Tawakal di kampung itu segera didakwa.

    Jelasnya, ini bagi menjadi pengajaran kepada pihak terbabit dan semua pihak industri supaya tidak mengulangi kesalahan yang sama.

    “Memang kami mahu semua yang bersalah diheret ke mahkamah secepat mungkin sebab bimbang ia akan berulang.

    “Kami merayu pihak berkuasa ambil berat dan jangan lepaskan walau seorang pun yang terlibat untuk kes ini,” katanya ketika dihubungi.

    Seramai 102 penduduk kampung itu dipindahkan ke Balai Raya Kampung Sinaran Baru berikutan berlakunya tumpahan bahan kimia dari sungai berhampiran kampung tersebut pada 10.30 malam Selasa lalu.

    Menerusi siasatan pada pagi kelmarin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor kemudian mengesan Methyl Alcohol dan Metanol dalam buangan sisa industri yang mengalir di tali air berhampiran kampung itu.

    Sabtu lalu, lapan suspek yang disyaki terbabit dalam insiden pembuangan itu dilepaskan daripada tahanan reman dengan ikat jamin.

    Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Dr. Mohd. Famey Yusoff berkata, pihaknya masih belum bersedia untuk mendedahkan keputusan analisis pencemaran bahan kimia di kampung tersebut.

    Walaupun pihaknya sudah menerima keputusan analisis terbabit daripada Jabatan Kimia, namun pendedahan mengenai perkara itu tidak dapat dilakukan kerana dikhuatiri menjejaskan integriti kertas siasatan kes terbabit.

    “Laporan analisis toksik insiden pembuangan sisa kimia terjadual berbahaya di Kempas sudah diterima, namun keputusannya tidak dapat diumumkan ketika ini.

    “Selalunya laporan analisis kimia kita tidak boleh umumkan terlebih dahulu kerana ia akan menjejaskan integriti kertas siasatan dan semasa pertuduhan kes.

    “Namun jika Penasihat Undang-Undang JAS membenarkan hasil analisis itu didedahkan, kita akan maklumkannya kepada masyarakat,” katanya ketika dihubungi.

  • SAR guna helikopter JBPM kesan nelayan hilang

    SAR guna helikopter JBPM kesan nelayan hilang

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    ANGGOTA pasukan penyelamat meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan seorang nelayan yang dilaporkan hilang di muara Kuala Dungun sejak petang semalam dengan menggunakan helikopter milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

    Tinjauan udara digunakan bagi mengesan mangsa, Mohd Noor Mamat, 67, selepas bot gentian kaca dinaikinya dipukul ombak ketika memasuki muara Kuala Dungun, pada pukul 1.55 tengah hari semalam.

    Menurut Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah, operasi memasuki hari kedua membabitkan 50 anggota polis, bomba, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

    Beliau berkata, gerakan mencari dan menyelamat mangsa turut diperluaskan ke perairan Marang dan Paka.

    Sementara itu, tekong bot, Mahadi Ibrahim, 56, memberitahu, ketika kejadian dia bersama mangsa dan seorang lagi awak-awak, Mohamad Ibrahim, 63, dalam perjalanan pulang dari menangkap ikan.

    “Kami bertiga keluar menangkap ikan sejak pagi semalam dan ketika pulang dan memasuki muara Kuala Dungun, bot kami dipukul ombak besar menyebabkan hampir karam.

    “Mangsa (Mohd Noor) ketika itu duduk di atas sebuah tong menyimpan ikan dan Mohamad tercampak ke dalam laut,” katanya di jeti Kuala Dungun, hari ini, lapor Harian Metro.

    Menurutnya, dalam suasana kelam-kabut, dia menimba air yang memasuki ke dalam bot sebelum kembali menghidupkan enjin dan bergegas ke lokasi kedua-dua mangsa terjatuh.

    Ujarnya, dia sempat menarik tangan Mohamad dan menyelamatkannya, manakala mangsa pula ketika itu terus dipukul ombak dan hilang dari pandangan.

    “Selepas puas mencari mangsa, saya meminta bantuan rakan nelayan lain supaya melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa.

    Sementara itu, Mohamad pula memberitahu, selepas terjatuh ke dalam laut, dia bersama mangsa berenang untuk menyelamatkan diri.

    “Memandangkan, keadaan ombak dan arus terlalu kuat, mangsa semakin jauh dan saya menjerit meminta dia supaya tidak putus mengucap.

    “Selama hampir 15 minit di dalam air, kedua-dua kaki saya mulai kejang dan kalau saya lambat diselamatkan tekong mungkin saya akan mengalami nasib sama dengan mangsa,” ceritanya.

  • Maqis P. Pinang rampas 2.7 tan makanan haiwan dari Thailand

    Maqis P. Pinang rampas 2.7 tan makanan haiwan dari Thailand

    JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang merampas 2.7 tan makanan haiwan dari Thailand yang cuba dibawa masuk tanpa dokumen import sah semalam.

    Maqis Pulau Pinang merampas makanan haiwan yang cuba dibawa masuk dari Thailand ketika operasi di Gudang Zon Bebas Dermaga Air Dalam, Butterworth petang semalam.

    Rampasan produk membabitkan nilai kira-kira RM85,600 itu dilakukan dalam operasi dan pemeriksaan di Gudang Zon Bebas Dermaga Air Dalam, Butterworth pukul 4.30 petang.

    Jabatan itu dalam satu kenyataan di sini memaklumkan, produk tersebut disita untuk siasatan lanjut kerana didapati cuba dibawa masuk ke negara ini tanpa dokumen sah seperti Permit Import.

    “Kesemua barang dagangan adalah untuk dipasarkan di negara ini,” demikian menurut kenyataan itu.

    Jabatan itu menjelaskan, perbuatan mengimport keluaran pertanian dan haiwan tanpa permit yang sah adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

    Jika sabit kesalahan tambahnya, individu boleh didenda tidak melebihi RM100,000  atau dipenjarakan tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

  • Warga emas kerugian lebih RM1 juta ditipu ‘pegawai LHDN’

    Warga emas kerugian lebih RM1 juta ditipu ‘pegawai LHDN’

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG warga emas kerugian lebih RM1 juta selepas ditipu seorang lelaki yang menyamar sebabgai Pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kononnya terlibat dengan aktiviti penggubahan wang haram awal bulan ini.

    Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya menerima laporan kejadian tersebut semalam iaitu wanita berusia 69 tahun itu menjadi mangsa terbaharu Macau Scam.

    “Mangsa menerima panggilan daripada seorang lelaki yang menyamar sebagai Pegawai LHDN memaklumkan mangsa terlibat dengan aktiviti penggubahan wang haram pada awal September 2021.

    “Panggilan yang dibuat kemudian disambung kepada Mr. Yong yang juga menyamar sebagai polis. Mangsa berasa takut dan mengikut arahan untuk membuka akaun HSBC atas nama mangsa dan memberikan no siri serta kad ATM serta nombor pin HSBC kepada suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Katanya, antara 3 hingga 17 September, mangsa telah membuat pemindahan wang daripada akaun OCBC, RHB, CIMB, AM Bank dan Public Bank ke akaun ke akaun HSBC dengan jumlah RM1,032,513.

    Mangsa juga katanya, menyerahkan semua nombor tac kepada suspek dan semalam wanita berkenaan pada baki akaun bank HSBC tersebut dan mendapati semua wang tersebut sudah lesap.

    Kes tersebut katanya, disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara setahun hingga 10 tahun selain denda dan sebatan.

    Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dan peka dengan trend jenayah semasa terutama melibatkan transaksi belian online, pelaburan dan perkenalan dalam talian.

  • PGA7 rampas karkas babi hutan bernilai RM50,000

    PGA7 rampas karkas babi hutan bernilai RM50,000

    PASUKAN Gerakan Am (PGA) Batalion ke-7 berjaya merampas sebanyak 2,000 kilogram (kg) karkas babi hutan dianggarkan bernilai RM50,000 yang dipercayai cuba diseludup ke Thailand berdekatan Kampung Degong, Lubok Setol, dekat sini malam tadi.

    Pegawai Pemerintah PGA7 Supt Azhari Nusi berkata dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, sebuah van jenis Econovan dilihat dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan sebelum anggota PGA Batalion ke-7 yang sedang menjalankan rondaan bertindak mengekorinya.

    “Sebaik van itu berjaya diberhentikan di hadapan sebuah rumah dan pemeriksaan dilakukan didapati terdapat timbunan karkas babi hutan disyaki cuba diseludup ke Thailand,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata pemandu van yang juga seorang lelaki berketurunan Siam ditahan setelah gagal menunjukkan sebarang dokumen mengenai barangan yang dibawanya.

    Menurut Azhari kesemua barangan termasuk kenderaan telah disita dan satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Lubok Setol. Jumlah keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dianggarkan sekitar RM58,000.

    Barangan rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidup Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 60 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716), katanya.

    Dalam perkembangan lain, Azhari berkata pihaknya juga menahan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang disyaki menjadi ‘tentera semut’ dalam kegiatan penyeludupan beras Siam di Kampung Periuk dekat Tumpat, malam tadi.

    Beliau berkata dalam kejadian itu pasukannya telah terserempak dengan sebuah Proton Iswara berdekatan Kampung Kajang Sebidang sebelum pemandunya memecut ke arah Cabang Empat Tumpa namun keretanya telah terbabas ke dalam parit di tepi jalan sebelum suspek berjaya ditahan.

    “Pemeriksaan yang dilakukan mendapati terdapat beras di dalam kereta disyaki diseludup dari Thailand ke Malaysia dan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM11,000 dan barang rampasan diserahkan kepada pihak berkaitan.

    Kesemua barangan rampasan dibawa balik ke Kompeni Taktikal (Komtak) Kuala Jambu untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 20 Akta Kawalan Padi dan Beras 1994, katanya.- BERNAMA

  • Kapal tangki asing ditahan bersauh tanpa kebenaran

    Kapal tangki asing ditahan bersauh tanpa kebenaran

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    MESKIPUN Op Jangkar Haram yang dilakukan secara berterusan menyaksikan penurunan ketara aktiviti kapal dagang berlabuh secara haram di kawasan Tompok Utara yang dahulunya menjadi ‘hotspot’ bagi kapal-kapal dagang asing.

    Namun, masih ada pihak yang ingkar dan berdegil seolah-olah mahu mencabar kedaulatan dan keselamatan negara serta pihak berkuasa yang dipertanggungjawab mengawal perairan tanah air.

    Terbaharu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah kapal tangki yang bersauh tanpa kebenaran pada kedudukan 26 batu nautika timur Tanjung Sedili Kechil di Kota Tinggi, petang semalam.

    Menurut Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria, kapal berkenaan ditahan pada pukul 3.36 petang.

    “Kapal tangki itu dikendalikan tujuh kru warga Myanmar dan Indonesia berumur antara 22 tahun hingga 59 tahun serta mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

    “Pemeriksaan lanjut mendapati nakhoda kapal telah gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh dari Pengarah Laut Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

    Kata Nurul Hizam, kapal tangki dan semua kru berkenaan ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

    Beliau berkata, Maritim Johor akan meneruskan penguatkuasaan Op Jangkar Haram dan sentiasa memastikan kedaulatan serta keselamatan perairan negeri Johor sentiasa dipelihara.

  • Warga Bangladesh maut terlibat kemalangan

    Warga Bangladesh maut terlibat kemalangan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki warga Bangladesh meninggal dunia selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas ke dalam longkang di Kilometer 52, Jalan Ipoh – Taiping, Kuala Kangsar, tengah malam tadi.

    Kemalangan pada pukul 12.05 tengah malam itu mengakibatjkan Md. Oasim Uddin, 25, yang bekerja sebagai pembantu kedai runcit disahkan maut di tempat kejadian.

    Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda itu dalam perjalanan dari Kuala Kangsar ke Padang Rengas.

    Menurutnya, ketika melalui kawasan kejadian, motosikal mangsa hilang kawalan lalu terbabas hingga melanggar batu penghadang jalan.

    “Mangsa terjatuh ke dalam longkang bersama-sama motosikalnya.

    “Dia berjaya dibawa keluar oleh pasukan bomba tetapi disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Omar Bakhtiar berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat yang akan dijalankan selepas menerima keputusan ujian calitan Covid-19.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Banjir: 125 mangsa dipindahkan di dua daerah di Sabah

    Banjir: 125 mangsa dipindahkan di dua daerah di Sabah

    MANGSA banjir di Sabah terus meningkat kepada 125 orang  daripada 38 keluarga pagi ini berbanding 54 orang daripada 17 keluarga malam tadi.

    Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataannya hari ini memaklumkan, semua mangsa banjir ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah iaitu Kota Belud dan Sipitang.

    Katanya, 37 mangsa daripada 12 keluarga dipindahkan ke PPS Dewan Mini Mesapol di Sipitang, manakala 88 mangsa lagi ditempatkan di tiga lagi PPS di Kota Belud.

    “Tiga PPS di daerah Kota Belud iaitu Dewan Muhibah Kampung Tombol menempatkan 22 mangsa daripada sembilan keluarga, Dewan SRJK Chung Hwa, 30 mangsa daripada lapan keluarga dan Dewan Sk Tamau, 36 mangsa daripada sembilan keluarga,” kata kenyataan itu.

    Sebanyak 40 kawasan di Kota Belud dan 13 kawasan di Sipitang terjejas selepas hujan berterusan menyebabkan paras air sungai naik dan melimpah ke kawasan kampung yang berdekatan.

    Keadaan cuaca di daerah berkenaan tidak hujan namun semua agensi penyelamat sentiasa bersiap siaga jika berlaku sebarang pemindahan ke PPS. – Bernama