SEBANYAK 108 kilogram (kg) herba Cina dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang selepas didapati cuba dibawa masuk ke negara ini tanpa permit import yang sah.
herba Cina jenis Yushania Qiaojiaensis
Rampasan itu dilakukan menerusi pemeriksaan rutin jabatan terbabit di Pelabuhan Pangkalan Kontena Butterworth (NBCT), kira-kira pukul 3.15 petang semalam.
Maqis Pulau Pinang dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, herba Cina jenis Yushania Qiaojiaensis dengan anggaran nilai RM2,484 itu telah disita untuk siasatan lanjut.
“Kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728],” demikian menurut kenyataan itu.
Tambahnya, di bawah akta itu mereka yang didapati bersalah boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum enam tahun atau kedua-duanya sekali.
POLIS menafikan kenyataan mengelirukan pemilik akaun instagram ‘Vieshantiekhan’ yang mendakwa tidak perlu surat rentas negeri dari Selangor ke Janda Baik, Bentong, Pahang.
Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar berkata susulan itu satu kertas siasatan telah dibuka berhubung isu yang tular di media sosial melibatkan wanita tempatan berusia 35 tahun itu.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Perkara 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawal Penyakit Berjangkit (PPDPPB) 2021 yang boleh dikompaun RM5,000, jika disabit kesalahan.
“Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan insiden ini dan sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan Majlis Keselamatan Negara.
“Sebarang aktiviti yang bertentangan dengan prosedur operasi standard (SOP) termasuk penyalahgunaan permit rentas negeri boleh dikenakan tindakan undang-undang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Baru-baru ini tular di media sosial berhubung kenyataan Vieshantiekhan menerusi laman instagram yang memaparkan gambarnya sedang beriadah di Rimba Valley, Janda Baik dengan status: “Tidak perlu surat sebab di Plaza Tol Gombak masih lagi sempadan Selangor, yang nak lintas negeri tetap kena ada surat ya”. – BERNAMA
SERAMAI 67 pendatang asing tanpa izin (PATI) terpaksa berputih mata apabila cubaan mereka untuk lolos masuk ke negara ini secara haram berjaya dipatahkan pihak berkuasa yang dapat menghidu kegiatanitu.
Lebih mengejutkan, dalam kalangan 67 PATI tersebut, seorang bayi perempuan berusia setahun turut dibawa bersama ketika mereka menggunakan jalan laut untuk memasuki Malaysia melalui Jeti Parit Karang, Tangkak.
Pegawai Pemerintah Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 6 Bakri, Superintenden Rozasin Ramlan berkata, dalam operasi membabitkan Pasukan Polis Marin Muar (PPM), kesemua PATI terbabit ditahan pada pukul 6.30 petang.
“Hasil siasatan awal mendapati kesemua mereka baru mendarat dari negara jiran dan masuk ke Malaysia menggunakan bot tongkang melalui jalan laut yang tidak diwartakan.
“PATI yang ditahan ini terdiri daripada 44 lelaki dan 22 perempuan dewasa serta seorang bayi perempuan. Kesemuanya berumur antara setahun hingga 53 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tongkang yang digunakan oleh PATI.
Tambah beliau, seorang lelaki tempatan dipercayai berperanan sebagai tekong darat turut ditahan bersama dengan sebuah kenderaan yang disyaki menjalankan khidmat pengangkutan kepada PATI.
“Selain itu, seorang lelaki dewasa warga asing yang berada dalam kenderaan tersebut dipercayai sebagai penumpang juga ditahan.
“Rampasan melibatkan sebuah bot berukuran 36 kaki bersama-sama sebuah kereta jenis Nissan dan dua buah telefon bimbit,” katanya.
Kereta yang dirampas.
Rozasin berkata, jumlah anggaran nilai keseluruhan rampasan adalah sebanyak RM202,000 dan kes disiasat di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 26A Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Mirgan 2007.
“Mereka diuruskan oleh tekong darat dari Tanjung Balai, Indonesia dengan anggaran bayaran RM1,000 hingga RM 2,800 setiap seorang,” katanya.
Kesemua tangkapan dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak untuk tindakan lanjut.
BEBERAPA dokumen berkaitan wang RM13 juta milik Menteri Besar Incorporated (MBI) Kedah yang dikatakan dipindahkan ke akaun di luar negara sedang diteliti oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Memetik laporan BH, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap berkata, dokumen itu diperoleh selepas pegawainya menemui Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor di pejabatnya semalam.
“Sebelum ini kita hanya mengetahui mengenai perkara ini melalui media sosial dan sumber luar sebelum SPRM berkunjung ke Pejabat Menteri Besar pagi semalam. Beliau memberi kerjasama yang baik.
“Kita sudah dapatkan beberapa dokumen penting berkaitan untuk penelitian awal, namun belum ada siasatan rasmi dibuat.
“SPRM juga belum terima sebarang laporan rasmi (berhubung pemindahan wang) daripada mana-mana pihak,” katanya, hari ini.
Pada sidang media selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) kelmarin, Muhammad Sanusi mendakwa wang milik MBI berjumlah RM13 juta dipindahkan ke akaun luar negara ketika Datuk Seri Mukhriz Mahathir masih memegang jawatan Menteri Besar Kedah.
Muhammad Sanusi berkata, wang berkenaan dipindahkan ke sebuah akaun bank di Kanada dan terdapat slip pemindahan masih disimpan pihaknya sebagai bukti.
Walau bagaimanapun, Mukhriz dalam sidang media semalam, meminta Muhammad Sanusi membuat laporan polis dan kepada SPRM berhubung dakwaan itu.
Mukhriz berkata, beliau memandang serius dakwaan terbabit kerana ia memberi gambaran buruk terhadapnya dan kerajaan negeri terdahulu ketika beliau menerajui Kedah.
ENAM krew kapal MV Ocean Serene warga Indonesia berjaya diselamatkan oleh sebuah bot milik orang awam setelah kapal yang dinaiki mereka karam di Pelabuhan Klang dekat sini, malam tadi.
Jabatan Laut Malaysia melalui Jabatan Laut Malaysia Wilayah Tengah mengesahkan telah menerima satu laporan kecemasan berkenaan sebuah kapal layar yang telah tenggelam pada 7.30 malam.
Menurut kenyataan Jabatan Laut Malaysia, siasatan awal mendapati angin kuat telah menolak kapal ke arah kiri kapal berkenaan dan air masuk terlalu laju dari sebelah port melalui lubang di transom (bahagian enjin) kapal.
“Pam telah digunakan tetapi tidak berupaya untuk mengepam keluar air yang masuk terlalu laju dan kapal terus tilt (condong) ke portside (belah kiri) dan tenggelam di sebahagian kapal,” menurut kenyataan itu.
Jabatan Laut Wilayah Tengah diarahkan untuk melakukan pemantauan pada pagi ini untuk mengesan tumpahan minyak di kawasan sekitar dan sebarang pergerakan kapal karam tersebut.
Jabatan Laut akan melakukan proses penandaan Special Mark Buoy di kawasan berkenaan bagi memastikan masyarakat perkapalan tidak menggunakan laluan tersebut buat masa ini serta satu pasukan penyiasat ditubuhkan bagi mengenal pasti punca kejadian dan kos terlibat.- BERNAMA
HUJAN lebat dan angin kencang yang melanda lewat petang hingga malam semalam menyebabkan insiden pokok tumbang di beberapa kawasan di negeri Perak.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata pihaknya menerima panggilan mengenai pokok tumbang di beberapa lokasi di Ipoh, Kampar, Seri Manjung, Pantai Remis dan Teluk Intan pada kira-kira pukul 6.30 petang hingga 11 malam.
“Di Ipoh, pokok tumbang merintangi jalan di Taman Rapat Setia, Balai Polis Buntong, Hospital Raja Permaisuri Bainun, Jalan Jelapang, Taman Perpaduan dan Persiaran Pulai Baru.
“Kami turut menerima panggilan pokok tumbang yang menghempap kenderaan di Persiaran Agasia 1, Kampar namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata insiden pokok tumbang yang merintangi jalan turut dilaporkan berlaku di Jalan Lumut dan Kampung Cina serta Jalan Teluk Senangin di Seri Manjung dan Pekan Langkap di Teluk Intan.
Katanya pihak bomba telah menggunakan gergaji rantai untuk memotong pokok yang tumbang dan mengalihkan ke tempat yang selamat.
“Operasi turut melibatkan pasukan Bomba Sukarela, Polis Diraja Malaysia, pihak majlis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan orang awam,” katanya.- BERNAMA
MAYAT nelayan yang hilang ketika keluar menangkap ikan kira-kira satu batu nautika dari Jeti Kuala Lukut, dekat sini semalam ditemukan terapung di pesisiran Pantai Bagan Kurnia, Port Dickson pagi ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson Mohd Hairul Izam Mazelan berkata mayat Yap Fok Swe, 64, yang berpakaian lengkap ditemukan kira-kira 2.5 kilometer daripada lokasi kejadian, oleh pasukan penyelamat kira-kira pukul 7.50 pagi tadi.
“Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) telah memulakan pencarian seawal 6.30 pagi tadi dan kemudiannya kami mendapat petunjuk setelah dimaklumkan oleh orang awam ternampak objek terapung di sekitar lokasi berkenaan.
“Tiada sebarang kecederaan ditemukan pada badan mangsa dan operasi SAR ditamatkan kira-kira pukul 9.20 pagi. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Port Dickson untuk tindakan lanjut,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi semalam, Yap telah hilang dan dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam laut ketika keluar untuk menangkap ikan, yang mana kehilangannya disedari seorang nelayan yang menjumpai sebuah bot tiada pemilik berserta peralatan menangkap ikan sahaja.
Operasi SAR yang memasuki hari kedua hari ini turut melibatkan anggota penyelamat daripada pelbagai agensi termasuk polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia selain komuniti nelayan setempat.
Dalam pada itu Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan Kapten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata Sub Pusat Penyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru telah mengaktifkan operasi CARILAMAT di perairan Kuala Lukut pada pukul 4.30 petang semalam, melibatkan aset Maritim Malaysia iaitu bot Petir 91 dan Benteng 04 bagi membantu usaha pencarian.
“Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang kecemasan di laut secara terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730,” katanya.- BERNAMA
ALASAN sakit kaki untuk dibawa ke klinik nyata tidak dapat menutup perbuatan seorang wanita warga Nepal, yang menyembunyikan kelahiran bayinya berusia dua hari yang ditemukan mati di asrama pekerja asing di sebuah kilang di sini.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Arshad Abu berkata pihaknya menerima laporan kejadian pada 9.10 pagi semalam daripada pekerja kilang tersebut, sebelum bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan siasatan.
“Tiba di tempat kejadian, pihak polis menemui mayat bayi lelaki cukup sifat yang masih bertali pusat di dalam plastik hitam di atas katil asrama berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau hasil siasatan awal mendapati, suspek berusia 28 tahun itu telah meminta pemandu van kilang untuk membawanya ke klinik panel kilang pada Isnin lepas (20 Sept) sekitar 1.30 pagi atas alasan sakit kaki.
“Mengesyaki suspek baru sahaja lepas keguguran, pihak klinik tersebut merujuk wanita tersebut ke Hospital Alor Gajah, sebelum kemudiannya dibawa ke Hospital Melaka.
Susulan itu, suspek ditahan sekitar 12 tengah hari semalam dan kini mendapatkan rawatan di Hospital Melaka, manakala mayat bayi itu telah dibawa ke bahagian Forensik hospital itu untuk dibedah siasat.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran bayi dan pihak polis juga sedang mengesan teman lelaki suspek yang juga merupakan warganegara Nepal, untuk membantu siasatan,” katanya.- BERNAMA
SEORANG wanita warga emas lengkap berpakaian ditemukan di tepi pantai di Jalan Sultan Ibrahim, Stulang, Johor Bahru, hari ini.
Orang awam yang melihat kejadian tersebut kemudian menghubungi pihak bomba pada jam 11.27 pagi untuk mendapatkan bantuan.
Mayat warga emas yang ditemui dikenali sebagai Tham Foong Seong@Ng Siew Leng, 74
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Pegawai Bomba Kanan II Syuhaidy Fazli Yahaya berkata, seramai lapan anggota, sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.
“Pihak bomba bertindak mengangkat mangsa dengan memakai pakaian perlindungan diri dan menyerahkan mayat tersebut kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Mayat berkenaan dikenali sebagai Tham Foong Seong@Ng Siew Leng, 74, operasi tamat pada jam 12.23 tengah hari,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
POLIS telah membuka kertas siasatan berhubung isu penahanan tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes membabitkan seorang bekas ketua jabatan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, pihaknya turut meminta kepada polis supaya siasatan ini dipercepatkan selain bersetuju ia diklasifikasikan sebagai kes curi.
“Isu ini timbul dalam masa terdekat sebab itu saya jawab kertas siasatan sudah kita buat dan dibuka. Polis akan lihat kembali kertas laporan dan saya bersetuju kalau kes curi, akan dimasukkan dalam kes curi.
“Kita mahu pastikan kes ini dipercepatkan. Kerajaan ini adalah kerajaan yang mengekalkan sikap benar-benar berintegriti,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja peringkat Kementerian Dalam Negeri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja peringkat Kementerian Dalam Negeri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan oleh Ahli Parlimen Puchong, Gobind Deo (PH) berhubung tindakan SPRM yang menyiasat sendiri kes melibatkan tiga pegawainya berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes membabitkan seorang bekas ketua jabatan.