Category: Jenayah

  • Seorang nelayan dikhuatiri lemas di Sungai Jebungan

    Seorang nelayan dikhuatiri lemas di Sungai Jebungan

    SEORANG nelayan dikhuatiri hilang selepas gagal pulang ke jeti, selepas keluar menjala ikan di Sungai Jebungan, Mukah.

    Mangsa, Mohd. Rashdi Abdullah, 42, keluar menjala pada awal pagi tadi sebelum gagal dihubungi.

    Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii berkata, Bilik Kawalan Bomba dan Penyelamat Mukah menerima laporan kehilangan mangsa sekitar pukul 10.19 pagi.

    “Dua pacuan empat roda serta lima anggota kemudian segera diatur gerak ke lokasi, dengan sebuah bot bagi mengaktifkan gerakan mencari dan menyelamat.

    “Berdasarkan maklumat awal, perahu mangsa telah ditemui di tebing sungai sekitar jam 9.00 pagi, namun mangsa gagal dikesan,” katanya.

    Ini merupakan kejadian kehilangan ketiga melibatkan komuniti nelayan dan pemancing di negeri ini dalam tempoh seminggu.

  • Polis siasat kediaman Timbalan Ketua Biro MCA disimbah cat

    Polis siasat kediaman Timbalan Ketua Biro MCA disimbah cat

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEDIAMAN Timbalan Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA Malaysia, Chua Jian Boon disimbah cat dalam satu kejadian yang berlaku di Jalan Sri Putri 1/8, Taman Putri Kulai, semalam.

    Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku pada pukul 11.15 malam.

    “Antara yang disimbah dengan cat merah termasuklah dua buah kereta dan pagar kediaman berkenaan. Turut ditinggalkan sekeping nota ugutan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    .

    Tambah beliau, sehubungan itu satu pasukan siasatan telah ditubuhkan untuk mengenal pasti suspek yang terlibat dalam perbuatan tersebut.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

    Pada 23 September lalu, Jian Boon memaklumkan pihaknya menerima ugutan melalui panggilan telefon daripada pihak yang tidak dikenali selepas mengadakan sidang akhbar berkaitan seorang wanita yang menjadi mangsa sindiket ah long.

    Sekeping nota ugutan ditinggalkan ah long semasa menyimbah cat merah di rumah Jian Boon

    Katanya, ugutan tersebut dibuat menerusi panggilan telefon kepada bapanya yang berusia 58 tahun.

    “Dalam panggilan itu, individu berkenaan mengatakan kepada bapa saya untuk saya tidak sibuk membantu orang atau jika tidak mereka akan membakar rumah kami” katanya.

  • Isu royalti pasir: SPRM Melaka ambil maklumat daripada Idris Haron

    Isu royalti pasir: SPRM Melaka ambil maklumat daripada Idris Haron

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka telah bertemu dengan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang Datuk Seri Idris Haron bagi mendapatkan maklumat berhubung dakwaan berlaku pembolotan projek ekonomi dan penipuan terhadap kerajaan Persekutuan berkaitan royalti pasir di Melaka.

    Pengarahnya, Mohd Shahril Che Saad berkata perjumpaan melibatkan bekas Ketua Menteri Melaka itu dengan tiga pegawai SPRM berlangsung kira-kira dua jam bermula 3 petang semalam di sebuah lokasi di negeri iru.

    “Saya mengesahkan kita telah berjumpa dengan beliau (Idris) dan pihak kami telah mengambil beberapa maklumat berkaitan dakwaan berkenaan dan kerjasama yang diberikan adalah baik.

    “Ia lebih kepada maklumat awal berkaitan dakwaan itu dan maklumat tersebut telah dihantar ke Ibu Pejabat SPRM untuk dianalisis dan diperincikan bagi tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan ulang tahun BPR/SPRM ke-54 peringkat negeri Melaka di Masjid Al-Azim hari ini.

    Mohd Shahril berkata tiada sebarang dokumen berkaitan dakwaan berkenaan diambil daripada Idris setakat ini.

    Idris dilaporkan mendakwa terdapat pemimpin UMNO di Melaka membolot projek ekonomi dan menipu kerajaan Persekutuan berkaitan royalti pasir, yang menyebabkan beliau menarik sokongan terhadap kerajaan Melaka.

  • Polis buru pemandu e-hailing tunjuk kemaluan kepada wanita

    Polis buru pemandu e-hailing tunjuk kemaluan kepada wanita

    PADAH tayang kemaluan kepada wanita, seorang pemandu e-hailing kini menjadi buruan polis.

    Lelaki berkenaan disyaki melakukan kemaluan tidak senonoh itu kepada seorang pelanggan wanita dalam satu kejadian pada Selasa di hadapan pejabat mangsa di Subang Jaya.

    Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd. Khalid Othman berkata, berikutan kejadian itu, mangsa membuat laporan polis kira-kira pukul 6.36 petang Selasa lalu.

    Beliau berkata, berdasarkan kenyataan pengadu, dia pergi berjumpa pemandu e-hailing berkenaan untuk mengambil barang yang dipesannya.

    “Namun sejurus tiba, dia ternampak zip seluar suspek dalam keadaan terbuka sehingga menampakkan kemaluannya. Lelaki itu juga memegang pergelangan tangan kiri wanita berkenaan semasa dia mahu mengambil barang yang dipesannya.

    “Wanita itu kemudian menarik tangannya dan terus beredar dari lokasi sebelum membuat laporan polis mengenai kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

    Mengulas lanjut, Abd. Khalid berkata, suspek didapati menggunakan Perodua Bezza yang berbeza daripada rekod syarikat e-hailing terbabit.

    Sehubungan itu beliau berkata, usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.

    “Kes itu disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

    Beliau menambah, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-56210343 untuk tindakan lanjut.

  • Sindiket simpan rokok seludup dalam kebun durian

    Sindiket simpan rokok seludup dalam kebun durian

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TAKTIK sindiket penyeludupan rokok haram menjadikan kawasan kebun durian di Kampung Teratai Bukit Serampang, Tangkak, Muar terbongkar apabila diserbu polis pada Isnin lalu.

    Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras bersama-sama PGA Muar melakukan serbuan pada pukul 3.30 petang dan merampas 13,600 karton rokok yang disembunyikan dalam sebuah lori 3 tan jenis Hino dan dua van Nissan.

    Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 6 PGA Bakri, Deputi Superitendan Salehin Suleiman berkata, pemeriksaan menemukan beberapa kotak coklat mengandungi 13,600 karton.

    “Dalam 13,600 karton itu pula mengandungi 2,720,000 batang rokok jenis U2 merah. Kita merampas rokok tersebut, tiga kenderaan dan sebuah telefon bimbit.

    “Kita turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun. Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak untuk tindakan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

    Beliau memberitahu, jumlah keseluruhan rampasan termasuk kenderaan berjumlah RM3.4 juta.

    Katanya, serbuan itu berjaya melumpuhkan satu sindiket pengedaran rokok seludup yang tidak bercukai sekitar Tangkak dan Muar.

    Menurutnya, hasil siasatan mendapati suspek adalah pemandu van yang mengambil upah untuk menghantar rokok seludup ke lokasi yang ditetapkan mengikut tempahan.

    “Modius operandi Sendikit penyeludupan rokok seludup ini dengan menggunakan sebuah premis lot di kawasan kebun durian sebagai tempat simpanan dan pengedaran rokok seludup bertujuan untuk mengaburi mata pihak polis dan agensi penguatkuasaan.

    “Ini bagi memastikan sendiket penyeludupan rokok seludup ini berjalan lancar,” katanya dan kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967 dan suspek ditahan reman sehingga 19 Oktober ini bagi membantu siasatan.

  • Lelaki tinggalkan nota, motosikal atas Jambatan Pulau Pinang dipercayai lemas

    Lelaki tinggalkan nota, motosikal atas Jambatan Pulau Pinang dipercayai lemas

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menggerakkan usaha mencari seorang lelaki yang dipercayai lemas selepas terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang di Kilometer 2.5 laluan arah Perai malam tadi.

    Usaha menyelamat digerakkan menggunakan Bot Perkasa 1221 ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima maklumat dari Maritme Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, mangsa berusia 24 tahun itu dikatakan meninggalkan sebuah motosikal di tepi jalan di atas Jambatan Pulau Pinang sebelum dilaporkan jatuh kira-kira pukul 11.20 malam.

    Katanya, turut dijumpai bersama motosikal mangsa adalah sekeping nota yang memaklumkan dia tinggal di Pangsapuri Kejora Teluk Kumbar.

    ota dan motosikal ditinggalkan atas Jambatan Pulau Pinang sebelum dipercayai lemas

    “Operasi mencari dan menyelamat yang mula diaktifkan tengah malam tadi turut membabitkan pasukan Jabatan Bomba Dan Penyelamat serta Polis Marin Batu Uban,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Sementara itu Abd. Razak meminta orang awam melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut dengan menghubungi talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146.

  • Lelaki hilang selepas bot terbalik di Kuala Selangor

    Lelaki hilang selepas bot terbalik di Kuala Selangor

    SEORANG lelaki warganegara Indonesia dikhuatiri hilang di laut selepas bot yang dinaikinya terbalik akibat dilambung ombak kira-kira 13.6 batu nautika barat daya Kuala Selangor, pada Rabu lepas.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor Kepten Maritim Mohd Rosli Kassim berkata pihaknya yang menerima laporan kejadian itu semalam, menggerakkan operasi mencari dan menyelamat mangsa dikenali sebagai Sutri, 21.

    “Mangsa bersama tekong dan seorang lagi kru bot jatuh ke laut apabila bot yang dinaiki dilambung ombak sebelum terbalik di lokasi kejadian, tekong dan kru bot tersebut berjaya menyelamatkan diri manakala mangsa masih gagal ditemukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohd Rosli berkata operasi bagi hari kedua yang dikoordinasikan Sub Pusat Penyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru disambung pada 7 pagi tadi membabitkan bot Maritim Pengawal 26 dan aset udara Maritim dengan dibantu Pasukan Polis Marin (PPM) serta Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

    “Operasi hari ini meliputi keluasan 143.4 batu nautika persegi dengan tumpuan di kawasan perairan Kuala Selangor. Cuaca di lokasi cerah dengan kelajuan angin sekitar 10 hingga 20 kilometer sejam,” katanya.

    Beliau berkata pihaknya telah menubuhkan Pengkalan Hadapan Carilamat di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Selangor.

    Pihak Maritim Malaysia juga meminta orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan jenayah dan kecemasan laut menerusi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 dan MERS 999 yang beroperasi  24 jam. – Bernama

  • Polis siasat pemalsuan dokumen urusan pertukaran wang asing guna nama TMJ

    Polis siasat pemalsuan dokumen urusan pertukaran wang asing guna nama TMJ

    POLIS Johor melakukan siasatan berhubung kes pemalsuan dokumen surat aku janji bagi menjalankan urusan pertukaran mata wang asing yang dipercayai palsu dan melibatkan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

    Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata siasatan dijalankan susulan polis menerima laporan berhubung dokumen berkenaan daripada Ketua Unit Media, Pejabat Komunikasi Keluarga Diraja Johor pada 7 malam, semalam.

    Katanya, dokumen itu didapati telah dikeluarkan dan ditandatangani oleh seorang wanita tempatan yang bergelar Datuk Seri.

    “Wanita terbabit mendakwa menerima mandat daripada Tunku Ismail untuk menjalankan urusan pertukaran mata wang 200 bilion sehingga 5 trilion Dolar Amerika Syarikat kepada Ringgit Malaysia.

    “Urusan tersebut didapati turut melibatkan satu akaun bank atas nama seorang lelaki,” katanya menerusi kenyataan, di Johor Bharu hari ini. 

    Ayob Khan berkata hasil siasatan menerusi laman web www.istiadat.gov.my mendapati, wanita terbabit tidak berdaftar sebagai Datuk Seri dan merupakan individu yang disyaki terlibat dalam kes penipuan Draf Bank Of Tokyo pada 2011.

    Menurutnya, selain wanita terbabit, kes dipercayai turut melibatkan seorang lelaki tempatan iaitu seorang peguam yang merupakan proksi berkaitan dokumen berkenaan.

    Ayob Khan menjelaskan siasatan bagi mengesan individu yang terlibat sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    Beliau pada masa sama menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan mana-mana individu yang kononnya mempunyai hubungan baik dengan pihak istana Diraja Johor tanpa usul periksa bagi mengelakkan sebarang penipuan.

    — BERNAMA 

  • PGA rampas 9,700 kotak cecair vape cuba diseludup bernilai RM150,000

    PGA rampas 9,700 kotak cecair vape cuba diseludup bernilai RM150,000

    BATALION 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) merampas 9,700 kotak cecair vape pelbagai jenama bernilai RM150,000 yang dipercayai cuba diseludup keluar berikutan permintaan tinggi di negara jiran, semalam.

    Pegawai Pemerintah Medan Supt Azhari Nusi berkata rampasan dilakukan di Kampung Simpangan, Tumpat pada pukul 5 petang.

    Beliau berkata terdahulu semasa melakukan rondaan, anggota Strike Force Kompeni ‘C’ PGA9 melihat sebuah kereta dalam keadaan mencurigkan di hadapan sebuah rumah di kampung berkenaan.

    “Hasil pemeriksaan menemukan kotak berwarna coklat mengandungi 9,700 kotak cecair vape yang disyaki ingin diseludup ke Thailand melalui jalan yang tidak diwartakan. Setelah menunggu kira-kira 30 minit, seorang lelaki warga tempatan berusia 53 tahun datang dan mengaku barangan itu miliknya.

    “Berikutan itu anggota pasukan telah bertindak merampas 9,700 kotak cecair vape pelbagai jenama, satu pod vape jenama RELX bernilai RM60 dan sebuah kereta Proton Wira bernilai RM7,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Azhari berkata lelaki serta seluruh barangan rampasan yang dianggar bernilai RM157,060 itu dibawa ke Kompeni Taktikal (Komtak) Kuala Jambu untuk siasatan lanjut, dan kes disiasat mengikut Seksyen 13 (a) Akta Racun 1952.

  • Pegawai sumber manusia maut, pemandu bas kilang direman hari ini

    Pegawai sumber manusia maut, pemandu bas kilang direman hari ini

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG lelaki maut selepas kereta dipandu merempuh pokok dalam kemalangan membabitkan bas kilang dan sebuah lagi kereta di Jalan Kulim-Baling, Ladang Bukit Salarong, dekat sini, semalam.

    Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, mangsa, Muhamad Syafiq Sariff, 33, yng bekerja sebagai pegawai sumber manusia sebuah syarikat meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan badan.

    Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Sazalee Adam berkata, mangsa yang berasal dari Parit Buntar, Perak itu tersepit dalam kereta yang remuk teruk selepas merempuh pokok dan anggota bomba dipanggil untuk memberi bantuan mengeluarkan mangsa.

    Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu bas kilang berusia 36 tahun yang datang dari Kulim Hi-Tech hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar kereta dipandu mangsa.

    “Pelanggaran itu turut menyebabkan sebuah lagi kereta dipandu seorang wanita berusia 24 tahun yang berada di belakang tidak sempat mengelak sebelum melanggar bahagian tepi kereta mangsa.

    “Akibatnya, kereta dipandu mangsa berpusing dan melanggar pokok di bahu jalan membuatkan dia tersepit dan meninggal dunia dalam kenderaannya yang remuk,” katanya dalam satu kenyataan.

    Sazalee berkata, pemandu bas yang berasal dari Pelabuhan Klang dan pemandu wanita yang bekerja sebagai eksekutif serta berasal dari Kilang Lama, di sini tidak mengalami kecederaan.

    “Mayat dihantar ke Hospital Kulim dan ujian saringan Covid-19 akan dilakukan sebelum proses bedah siasat.

    “Setakat ini, kita menahan pemandu bas kilang terbabit dan dia akan direman hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.