Category: Jenayah

  • Polis rampas 77kg dadah bernilai RM3.2 juta daripada penjual ikan

    Polis rampas 77kg dadah bernilai RM3.2 juta daripada penjual ikan

    POLIS menahan seorang penjual ikan dan merampas dadah seberat 77 kilogram (kg) bernilai RM3.2 juta dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Kuala Lumpur pada 18 Mei lalu.

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Shuhaily Mohd. Zain berkata, lelaki berbangsa Cina itu ditahan dalam satu serbuan di sebuah kondominium di Selayang.

    Katanya, selepas pemeriksaan dilakukan pihak polis menemukan sebanyak 10 pil ekstasi yang disembunyikan di dalam beg silang milik suspek.

    “Susulan daripada tangkapan tersebut, polis telah menjalankan serbuan kedua dan berjaya merampas sejumlah pil ekstasi dan pil Erimin 5 dengan anggaran berat 20kg di dalam bonet kereta jenis Mercedes-Benz dipercayai milik suspek di kondominium sama.

    “Berpandukan suspek, polis telah menjalankan serbuan ketiga ke atas sebuah rumah di Batu Cave, Selangor yang dipercayai dijadikan stor untuk menyimpan pil Erimin 5,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen Kuala Lumpur, hari ini.

    Tambahnya, hasil pemeriksaan pihaknya telah menemukan sejumlah pil Erimin 5 dengan anggaran berat 57kg.

    Menurut beliau, suspek mengedar dadah sejak awal tahun.

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Shuhaily Mohd Zain menunjukkan sebiji pil estacy bertanda huruf ‘S’ yang berjaya dirampas ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Hasil ujian saringan awal, polis mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan tiada rekod jenayah lampau.

    “Suspek direman selama tujuh hari sehingga 25 Mei ini di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

    “Jumlah keseluruhan dadah tersebut mampu menampung penggunaan seramai 250,000 orang pengguna dadah,” ujarnya lagi, lapor Utusan TV.

    Menurut Shuhaily lagi, polis percaya bahawa pasaran sasaran suspek adalah sekitar Lembah Kelang selain memaklumkan pihaknya masih menyiasat rangkaian kerja suspek.

  • Lelaki ditahan e-mel ancaman bom palsu di pusat beli-belah

    Lelaki ditahan e-mel ancaman bom palsu di pusat beli-belah

    SEORANG lelaki ditahan selepas disyaki membuat ancaman bom palsu melalui e-mel kepada sebuah pusat beli-belah di Ipoh semalam.

    Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, tangkapan ke atas warga tempatan berusia 43 tahun pada pukul 11.30 malam di sebuah rumah di Kampar itu turut merampas alat komunikasi digunakan suspek.

    “Siasatan mendapati, suspek mempunyai sejarah penyakit psikiatri dan sedang menerima rawatan di klinik psikiatri Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh.

    “Saringan awal air kencing telah dilakukan dan suspek tidak berada di bawah pengaruh dadah,” katanya dalam satu kenyataan di Ipoh hari ini.

    Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan atas kesalahan menakutkan secara jenayah.

    Jelas beliau, kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

    Menuruntnya, dalam kes itu, pihak pengurusan pusat membeli belah telah menerima e-mel daripada individu tidak dikenali menyatakan terdapat ancaman bom di bangunan berkenaan.

    Katanya, dalam e-mel tersebut turut meminta agar pihak pengurusan meningkatkan langkah-langkah keselamatan.

    “Unit Pemusnah Bom dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak telah menjalankan pemeriksaan menyeluruh di bangunan pusat membeli belah itu dan mengesahkan ancaman berkenaan adalah palsu,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Duit ‘hilang’ dalam akaun bank di Johor meningkat 7 kali ganda

    Duit ‘hilang’ dalam akaun bank di Johor meningkat 7 kali ganda

    KES membabitkan kehilangan wang daripada akaun bank di Johor setakat kelmarin meningkat tujuh kali ganda membabitkan 173 kes berbanding 23 dicatatkan tahun lalu.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kes jenayah siber itu membabitkan jumlah kerugian tinggi iaitu RM4.5 juta berbanding RM500,000 dalam tempoh sama.

    “Siasatan mendapati kes wang berkurangan dari akaun bank disebabkan dua faktor utama.

    “Faktor pertama atau modus operandi digunakan ialah mangsa menerima panggilan daripada suspek mengaku sebagai penguat kuasa atau pihak tertentu yang mendakwa mangsa terbabit dalam kegiatan jenayah dan akaun bank mereka akan dibekukan.

    “Suspek kemudian menawarkan untuk membantu mangsa dan meminta mangsa memberikan atau mendedahkan maklumat perbankan yang penting seperti nombor akaun bank, kod pengesahan kad (CVC) atau nilai pengesahan kad (CVV), nama pengguna dan kata laluan serta nombor laluan sekali sahaja (OTP),” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

    Selain itu katanya, modus operandi kedua pula menggunakan helah menarik mangsa untuk mendapatkan perkhidmatan yang ditemui secara dalam talian dan mangsa diarahkan menekan pautan diberikan bagi tujuan pendaftaran dan membuat pembayaran.

    Beliau berkata, mangsa memasukkan butiran perbankan masing-masing melalui pautan itu tanpa sedar maklumat dihantar kepada pihak tidak sepatutnya.

    Katanya, mangsa menyedari berlaku pengurangan wang dalam akaun bank hanya selepas membuat semakan penyata atau menerima notifikasi daripada bank.

    “Polis menasihatkan orang ramai lebih berhati-hati dan tidak mendedahkan maklumat perbankan kepada pihak tidak berkaitan,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Polis Narathiwat gagalkan cubaan seludup ‘ice’ lebih 900kg ke Malaysia

    Polis Narathiwat gagalkan cubaan seludup ‘ice’ lebih 900kg ke Malaysia

    POLIS Narathiwat menggagalkan cubaan menyeludup hampir satu tan metrik dadah jenis ‘ice’ atau kristal methamphetamine bernilai hampir 350 juta baht di Narathiwat, selatan Thailand.

    Ketua Polis Narathiwat, Mej Jen Anuruth Imarb berkata, dalam kejadian kira-kira 2.30 petang (waktu tempatan) pada 18 Mei, polis turut menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 40 tahun yang dipercayai ‘runner’ dan anggota sindiket pengedaran dadah.

    “Polis menahan sebuah pikap yang mencurigakan pada sekatan jalan raya dan menemukan dadah jenis kristal methamphetamine seberat 925 kilogram tersembunyi dalam kenderaan itu.

    “Pemandu pikap itu ditahan. Siasatan awal, lelaki itu mendapatkan stok dadah di Bangkok sebelum menghantar ke Tak Bai di Narathiwat dengan upah 400,000 baht.

    “Dadah itu dipercayai akan diseludup ke Malaysia,” katanya pada satu sidang media di Narathiwat.

    Anuruth berkata polis turut merampas tiga buah kereta, lima buah motosikal dan barangan kemas serta menyita sebuah rumah dan akaun bank milik sindiket itu.

  • Parah kena 50 peluru bebola, seorang lelaki ditahan

    Parah kena 50 peluru bebola, seorang lelaki ditahan

    SEORANG lelaki ditahan polis selepas tertembak rakannya dengan peluru penabur sehingga cedera parah ketika memburu di hutan Rasil, Hulu Besut dekat Jertih awal pagi semalam.

    Ketua Polis Besut Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata lelaki berusia 38 tahun itu dipercayai tertembak mangsa berusia 32 dalam kejadian antara 12 tengah malam dan 1 pagi, ketika mereka bersama keluar memburu pelanduk di hutan tersebut.

    “Siasatan awal mendapati suspek dan mangsa yang merupakan rakan baik masuk ke hutan tersebut dengan membawa selaras senapang patah dipercayai buatan sendiri bagi tujuan memburu pelanduk.

    “Semasa perjalanan pulang, suspek mendakwa telah tertarik picu senjata api berisi peluru yang dibawanya menyebabkan peluru terkena mangsa yang berada di belakang suspek,” katanya dalam kenyataan.

    Beliau berkata, akibat tembakan itu sebahagian badan mangsa dipenuhi lebih 50 biji peluru bebola bersaiz kecil termasuk di leher dan lengan.

    Menurut Rozak, polis menerima laporan mengenai seorang lelaki terkena tembakan yang mendapatkan rawatan di Hospital Besut, kira-kira 2 pagi hari kejadian.

    “Mangsa kemudiannya dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut dan keadaannya dilaporkan stabil,” katanya.

    Katanya susulan kejadian itu suspek yang bekerja sendiri telah ditahan dan polis turut merampas selaras senapang patah dipercayai buatan sendiri itu.

    Rozak berkata, saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah dan dia direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata 1960 iaitu mendatangkan cedera dengan sepucuk senjata tanpa alasan sah dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960 iaitu memiliki senjata api atau amunisi tanpa lesen atau permit yang sah.

  • Wang RM90,000 lesap ditipu ejen jualan kereta

    Wang RM90,000 lesap ditipu ejen jualan kereta

    SEORANG pemuda ‘berputih mata’ apabila wang untuk membeli kenderaan bernilai RM90,000 lesap selepas menjadi mangsa penipuan.

    Mangsa yang berusia 36 tahun itu ditipu ketika dalam proses membeli Honda HR-V melalui ejen jualan kereta.

    Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya menerima laporan daripada lelaki warga tempatan berkaitan penipuan urusan jual beli kenderaan.

    Menurutnya, mangsa berurusan dengan seorang lelaki tempatan yang mendakwa bekerja sebagai ejen jualan di sebuah syarikat kenderaan terkemuka di Jalan Damansara, Kuala Lumpur, 9 Januari lalu.

    “Ketika itu, mangsa sudah membuat bayaran wang tempahan berjumlah RM500 kepada suspek dan bayaran berkenaan sudah diserahkan kepada pihak syarikat.

    “Pada 29 April hingga 4 Mei pula mangsa membuat pembayaran secara tunai bernilai RM70,000 dan pindahan dalam talian sebanyak RM20,000 ke nombor akaun syarikat yang diberikan oleh suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Amihizam berkata, namun pada 11 Mei, mangsa menerima panggilan telefon daripada pengurus pusat pameran yang memaklumkan pihaknya masih belum menerima bayaran pendahuluan.

    “Mangsa turut dimaklumkan bahawa suspek tidak lagi bekerja dengan syarikat mereka,” ujar beliau.

    Tambahnya, suspek bagi kes itu sudah dikenal pasti dan tindakan lanjut sedang dijalankan.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, katanya lagi.

    “Orang ramai diminta supaya berhati-hati dengan segala taktik penipuan yang menyebabkan ramai mangsa lebih terpedaya,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Penghantar makanan tunjuk kemaluan diburu

    Penghantar makanan tunjuk kemaluan diburu

    SEORANG wanita berdepan detik mencemaskan selepas penghantar makanan menunjukkan kemaluannya ketika memandu di Jalan Yaacob, Kuala Lumpur pukul 3.45 pagi semalam.

    Mangsa, 27, sedang memandu kereta di kawasan terbabit sebelum sebuah motosikal ditunggang penghantar makanan menghampiri kenderaannya.

    Menurut sumber, suspek kemudian mengeluarkan kemaluannya ketika sedang menunggang motosikal dan menunjukkan kepada mangsa.

    “Mangsa yang terkejut dengan perbuatan suspek kemudian mengeluarkan telefon bimbit untuk merakam perbuatan lelaki itu menyebabkan dia mula memperlahankan motosikalnya.

    “Mangsa yang trauma dengan kejadian itu kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Salak Selatan untuk tindakan selanjutnya,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

    Menurutnya, setakat ini tiada tangkapan dilakukan dan siasatan masih berjalan.

  • Lima pelajar MRSM Balik Pulau ditahan, kes pukul junior

    Lima pelajar MRSM Balik Pulau ditahan, kes pukul junior

    POLIS menahan lima pelajar tingkatan lima Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Balik Pulau bagi membantu siasatan kes buli membabitkan seorang pelajar di sekolah berkenaan, Khamis lalu.

    Difahamkan, kejadian pada jam 11 malam itu berlaku di tandas lelaki Blok B bangunan sekolah berkenaan apabila seorang pelajar tingkatan tiga dipukul, dengan alasan lambat turun bagi solat Subuh.

    Mangsa dikatakan mengalami luka kecil pada bahagian badan akibat dipukul kumpulan pelajar terbabit, menggunakan kaki serta tangan dan mangsa memaklumkan kejadian itu kepada bapanya pada keesokan harinya.

    Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal, mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan dan penahanan dibuat pada hari yang sama, sebaik menerima laporan daripada bapa mangsa.

    “Semua pelajar berkenaan dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan mereka dirakam.

    “Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan iaitu merusuh,” katanya di Balik Pulau, hari ini.

    Mengulas lanjut, Kamarul Rizal berkata, siasatan polis juga mendapati kelima-lima suspek turut membuli seramai 14 mangsa lain pada tarikh sama, di antara jam 11 malam hingga 12.30 tengah malam, di tiga lokasi berbeza iaitu tandas, bilik beg dan bilik senior di Blok B.

    “Namun, tiada laporan dibuat oleh mangsa lain setakat ini,” katanya lagi.

    Sementara itu, ibu seorang pelajar berkata, kejadian buli itu hanya diketahui umum selepas ada waris meminta kenyataan balas daripada pihak MRSM berhubung isu terbabit menerusi satu aplikasi.

    Beliau berkata, setakat ini, tiada kenyataan diberi pihak MRSM berhubung kejadian itu atau mungkin kenyataan hanya dibuat kepada ibu bapa pelajar yang terbabit.

    “Anak saya tidak terbabit atau dibuli, cuma apabila ditanya, dia memberitahu ada pelajar tingkatan lima memanggil pelajar tingkatan tiga secara beramai-ramai pada Sabtu lalu.

    “Pelajar tingkatan lima itu memberi amaran supaya menghormati dan memberi salam jika berselisih dengan mereka,” katanya, lapor Berita Harian.

    Menurut ibu pelajar itu, beliau difahamkan, dalam perjumpaan berkenaan anak perempuannya tidak dibuli atau dipukul, sebaliknya hanya diberi peringatan mulut kerana mereka menyifatkan pelajar tingkatan tiga terlalu ‘manja’.

    “Namun, kami dikejutkan dengan kejadian buli yang membabitkan tangkapan pada Jumaat lalu dan ia membabitkan pelajar lelaki,” katanya.

  • 9 pelajar lelaki ditahan kes buli di sekolah

    9 pelajar lelaki ditahan kes buli di sekolah

    SERAMAI sembilan pelajar lelaki berusia antara 14 hingga 16 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan lanjut berhubung kes buli yang berlaku di sebuah sekolah menengah di Seberang Perai Utara (SPU), Pulau Pinang Jumaat lalu.

    Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Mohd. Asri Shafie berkata, siasatan awal mendapati terdapat dua kejadian berasingan membabitkan dua mangsa lelaki terdiri daripada Tingkatan Satu dan Dua yang mana kedua-dua kes itu berlaku pada hari yang sama 19 Mei lalu.

    Katanya, kes berkenaan membabitkan dua mangsa yang dipukul beberapa pelajar lain di dalam tandas lelaki dipercayai di sekolah tersebut.

    Jelas beliau, kes pertama berlaku kira-kira pukul 1 tengah hari melibatkan mangsa iaitu pelajar Tingkatan Dua yang dipukul oleh seorang pelajar Tingkatan Tiga.

    “Kes kedua pula berlaku pukul 3 petang yang mana mangsa merupakan pelajar tingkatan satu telah dipukul oleh sembilan pelajar senior.

    “Siasatan mendapati kedua-dua mangsa dipukul menggunakan tangan serta kaki tanpa sebarang objek lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi kes kedua, polis menahan sembilan remaja lelaki berusia antara 14 hingga 16 tahun yang juga pelajar Tingkatan Dua hingga Tingkatan Empat di sekolah sama.

    Selain itu, jelasnya, polis turut merampas enam telefon bimbit bagi membantu siasatan kedua-dua kes itu yang videonya masing-masing berdurasi 24 dan 34 saat turut tular di media sosial sejak Jumaat lalu.

    “Kes pertama disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencederakan orang manakala kes kedua pula disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya.

    Sebelum ini, tular di media sosial dua kejadian pergaduhan berasingan di sekolah dan mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen sejak semalam.

    Satu daripadanya berdurasi 32 saat memaparkan seorang murid lelaki ditumbuk dan ditendang bertubi-tubi oleh beberapa murid dipercayai berlaku dalam sebuah tandas sekolah.

    Kebanyakan mereka termasuk mangsa serta sekumpulan murid yang turut kelihatan menjadi ‘penonton’ aksi buli itu dilihat memakai pelitup muka dan berpakaian sukan.

  • Akaun RM3.2 juta dibeku, 67 ditahan berkait tuntutan palsu Penjana Kerjaya

    Akaun RM3.2 juta dibeku, 67 ditahan berkait tuntutan palsu Penjana Kerjaya

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan beberapa akaun bank bernilai RM3.2 juta untuk membolehkan siasatan lanjut dilakukan berhubung kes tuntutan palsu di bawah program Penjana Kerjaya.

    Ini dilakukan susulan penahanan 67 individu di seluruh negara dalam operasi khas Op Hire 2.0 sejak Selasa lalu sehingga semalam.

    Utusan Malaysia yang memetik sumber melaporkan, tangkapan terbaharu membabitkan seorang lelaki di Sarawak, semalam.

    Katanya, semua yang ditahan terdiri daripada pemilik syarikat, pengarah dan pengurus syarikat.

    “SPRM juga sedang giat mengesan aset dibeli individu berkenaan menggunakan dana kerajaan itu.

    “Ada yang dikesan menyeleweng dana kerajaan itu dipercayai untuk bagi tujuan kepentingan diri, termasuk membeli aset dan barangan mewah lain.

    “SPRM juga dipercayai ada merampas dua kenderaan mewah yang dibeli mereka hasil daripada dana berkenaan,” katanya.

    Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

    Menurutnya, mereka kini sedang melengkapkan siasatan dan dijangka akan melakukan pertuduhan.

    Katanya, semua pegawai penyiasat akan dipanggil untuk melengkapkan kertas siasatan di negeri masing-masing.

    “Kes ini dipantau dan diselaraskan oleh saya di peringkat Ibu pejabat,” katanya.

    Media sebelum ini melaporkan, lebih 100 syarikat berstatus sendirian berhad diburu SPRM kerana disyaki membuat tuntutan palsu di bawah program itu.