Category: Jenayah

  • Polis buru tujuh penunggang motosikal buat aksi bahaya di lebuh raya

    Polis buru tujuh penunggang motosikal buat aksi bahaya di lebuh raya

    AKSI tujuh lelaki yang menunggang motosikal secara berbahaya di Lebuh Raya Seremban-Port Dickson, Port Dickson hingga tular dalam Facebook hari ini membawa padah apabila diburu polis.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintenden Muhamad Mustafah Hussin berkata, video tersebut memaparkan aksi sekumpulan penunggang motosikal seramai tujuh orang yang menunggang motosikal dengan cara membongkok badan dan bersaing sesama sendiri.

    “Mereka juga membuat aksi zig zag dipercayai membahayakan diri sendiri dan pihak lain.

    “Kejadian ini dipercayai berlaku pada Ahad antara jam 2 dan 3 petang di Lebuh Raya Seremban-Port Dickson.dari Kilometer 14 hingga 16 arah Port Dickson ke Seremban,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, pihak polis sedang mengesan kesemua penunggang motosikal itu bagi siasatan lanjut serta siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu atau menunggang kenderaan secara melulu dan berbahaya.

    “Jika sabit kesalahan, pesalah akan dikenakan tindakan penjara tidak kurang lima tahun dan denda antara RM5,000-15,000 serta hilang kelayakan lesen memandu melebihi lima tahun.

    “Orang awam boleh menyalurkan segala maklumat ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson atau menghubungi talian terus di 06-6472222,” katanya.

    Hari ini, sebuah video berdurasi lebih kurang satu minit tular di media sosial Facebook dengan memaparkan sekumpulan penunggang motosikal menunggang secara merbahaya.

    Tindakan tersebut mendapat pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya melahirkan kebimbangan kerana perbuatan tersebut boleh mengundang bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.

  • Polis berkas lelaki curi kabel di tapak pembinaan

    Polis berkas lelaki curi kabel di tapak pembinaan

    POLIS menahan seorang lelaki kerana mencuri kabel di sebuah kawasan tapak pembinaan di Taman Puchong Prima, Subang Jaya kelmarin.

    Suspek ditahan sepasukan anggota polis dari Balai Polis Bukit Puchong elepas melakukan intipan di lokasi pada pukul 12 tengah hari.

    Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, pihaknya mendapati sebuah lori jenis Hicom dalam keadaan mencurigakan sebelum menahan lelaki berusia 30-an itu itu.

    “Polis turut merampas satu alat pemotong besi,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

    Abd Khalid berkata, semakan mendapati lelaki tersebut mempunyai satu rekod masih dikehendaki di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

    “Suspek ditahan reman tiga hari bermula semalam hingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan,” katanya.

    Abd Khalid turut menasihati orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kegiatan yang mencurigakan di balai polis berdekatan untuk tindakan lanjut.

  • Lelaki tidak berpakaian pegang parang mengamuk tengah jalan

    Lelaki tidak berpakaian pegang parang mengamuk tengah jalan

    SEORANG lelaki bersenjatakan parang mengamuk di tengah jalan lama Temerloh-Maran berhampiran Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh, hari ini dan membimbangkan pengguna jalan raya.

    Tindakan lelaki yang tidak berpakaian pukul 11 pagi itu turut menyebabkan kesesakan jalan raya sehingga kira-kira tiga kilometer.

    Seorang pengguna jalan raya berkenaan, Khaidir Ahmad, 59, memberitahu, ketika kejadian, dia sedang menghala ke Batu 4 di sini atas urusan kerja.

    Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, dia terkejut apabila melihat deretan kenderaan yang berhenti hingga menyebabkan kesesakan jalan.

    “Lelaki yang tidak berpakaian itu dilihat mengacukan parang kepada kenderaan yang lalu-lalang namun saya memberanikan diri dan redah sahaja melaluinya, namun ada juga yang berpatah balik, syukur tidak berlaku apa-apa,” katanya seperti Sinar Harian, hari ini.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Azhar Mohd Yusof mengesahkan kejadian tersebut dan berkata, lelaki berusia lingkungan 30-an terbabit telah ditahan untuk siasatan lanjut.

    Ujarnya, kejadian berkenaan tidak menyebabkan kecederaan kepada orang awam dan siasatan lanjut sedang dilakukan terhadap kejadian itu termasuk sekiranya suspek mempunyai masalah mental.

    “Setakat ini tiada individu yang tampil membuat laporan polis dan siasatan sedang dijalankan termasuk melakukan ujian urin terhadap suspek,” katanya.

  • Lelaki mengamuk cederakan jiran, pecahkan cermin kereta

    Lelaki mengamuk cederakan jiran, pecahkan cermin kereta

    IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Setar menahan seorang lelaki selepas disyaki melakukan perbuatan khianat dan mencederakan jirannya di kawasan perumahan Bee Bee Park, Alor Setar semalam.

    Suspek warga tempatan, 52, ditahan sekitar pukul 7.50 malam selepas mangsa berusia 46 tahun membuat laporan polis pukul 2.09 petang di Balai Polis Alor Setar.

    Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, suspek didakwa mencederakan mangsa dan memecahkan cermin kereta serta perkakas perniagaan iaitu rak cermin dan peti ais tiga pintu.

    “Polis turut merampas sebiji batu bata berwarna kelabu serta sebatang besi berwarna coklat sepanjang 75 sentimeter yang disyaki digunakan oleh suspek dalam kejadian berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Menurutnya, suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 323/427 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan melakukan khianat.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian terbabit juga diminta berhubung dengan pegawai penyiasat Inspektor Syazwani Sazali,” katanya.

  • Bukit Aman siasat rakyat Malaysia ditahan seludup dadah di Australia

    Bukit Aman siasat rakyat Malaysia ditahan seludup dadah di Australia

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Australia bagi menjalankan siasatan lanjut berhubung penahanan seorang rakyat Malaysia yang disyaki menyeludup dadah ke negara itu.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, siasatan sedang dilakukan melalui kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PDRM dan pihak Polis Persekutuan Australia (AFP).

    Beliau berkata, semua tindakan akan diambil oleh PDRM dalam memastikan kegiatan pengedaran dan penyeludupan dadah dapat dibanteras tanpa kompromi.

    “Media melaporkan seorang warga Malaysia telah ditahan pihak berkuasa Australia kerana cuba menyeludup masuk 450 kilogram heroin bernilai RM431.8 juta ke negara berkenaan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

    Semalam, media melaporkan pihak berkuasa Australia telah merampas dadah terbabit dalam satu siri serbuannya dan menurut kenyataan AFP, dadah itu ditemukan dalam kontena yang membawa jubin dari Malaysia ke Melbourne.

    Lelaki yang tidak dinamakan dalam kenyataan itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Melbourne pada Jumaat. – BERNAMA

  • Lelaki Orang Asli pulang selepas 4 hari merajuk dalam hutan

    Lelaki Orang Asli pulang selepas 4 hari merajuk dalam hutan

    SEORANG lelaki Orang Asli yang bersembunyi dalam hutan selama empat hari selepas bergaduh dan merajuk dengan isteri, akhirnya pulang ke rumah kakaknya, malam tadi kerana terlalu lapar.

    Sebelun itu, Zali Yasa, 19, meninggalkan motosikalnya di tepi jalan dan melarikan diri masuk ke dalam hutan di Kampung Kundang, Muadzam Shah sehingga operasi mencarinya dilakukan selepas menerima laporan keluarganya.

    Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Pahang, Johari Alwi berkata, pihaknya dimaklumkan oleh Tok Batin Kampung Kundang, Wahid Abdullah menyatakan pemuda itu datang ke rumah kakaknya yang terletak kira-kira dua kilometer dari kawasan hutan, malam tadi.

    “Lelaki itu bertindak demikian kerana terlalu lapar dan dahaga selepas lebih 96 jam bersembunyi dalam hutan, selain kesejukan berikutan hujan lebat dan angin kencang petang semalam.

    “Saya bertemu dengan keluarga pemuda berkenaan bagi mendapatkan cerita sebenar kenapa dia (Zali) melarikan diri ke dalam hutan hingga mencetuskan kebimbangan banyak pihak.

    “Selain konflik rumah tangga yang berlarutan, sifat pemuda berkenaan yang mudah merajuk menjadi faktor dia bertindak nekad bersembunyi dalam hutan,” katanya, hari ini.

    Beliau mengarahkan batin dan keluarga kedua belah pihak supaya berusaha membantu menyelesaikan konflik rumah tangga Zali dan isterinya, bagi memastikan tidak berlaku lagi perkara tidak diingini.

    Beliau turut mengucapkan terima kasih pada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang serta Unit K9 JBPM yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Mohd. Azahari Mukhtar berkata, pihaknya memutuskan menamatkan SAR mencari orang hilang di Kampung Kundang

  • Anggota polis ditemukan maut dalam kereta

    Anggota polis ditemukan maut dalam kereta

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG anggota polis berpangkat Lans Koperal yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar ditemukan maut selepas dipercayai menembak diri sendiri dalam kejadian di Jalan Abdullah, Muar hari ini.

    Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya mengetahui kejadian tersebut selepas anggota yang berusia 29 tahun itu menghantar mesej melalui aplikasi WhatsApp memberitahu tindakannya itu.

    Sehubungan itu katanya, satu operasi mengesan anggota berkenaan dijalankan sebelum mangsa ditemui mati dalam kenderaannya dengan kesan tembakan di leher kira-kira pukul 11.18 pagi.

    “Pada pukul 8.20 pagi pihak polis daerah Muar ada menerima satu maklumat berkaitan seorang anggota polis ingin membunuh diri melalui pesanan ‘WhatsApp’.

    “Bertindak atas maklumat tersebut, satu operasi dijalankan dan anggota berkenaan ditemui mati dalam kenderaanya di lot parkir di pekan Muar dengan kesan tembakan di leher,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, polis turut menemui sepucuk pistol jenis Revolver 38 bersama mayat mangsa.

    Katanya, siasatan lanjut berhubung kes berkenaan sedang dijalankan.

  • Lelaki Myanmar maut ditikam rakan ketika mabuk

    Lelaki Myanmar maut ditikam rakan ketika mabuk

    SEORANG lelaki warga Myanmar maut selepas dipercayai ditikam ketika mabuk bersama-sama tiga rakan senegaranya dalam kejadian di sebuah kilang di Mahsan, hari ini.

    Dalam kejadian pada pukul 1 pagi itu, mangsa, Moe Naing, 36, dipercayai meninggal dunia di lokasi selepas mengalami kecederaan parah akibat ditikam di beberapa bahagian badan.

    Pemeriksaan di kilang tempat kejadian mendapati lima pekerja asing termasuk tiga suspek sudah menghilangkan diri.

    “Siasatan awal mendapati suspek merupakan tiga lelaki warga Myanmar tetapi dua lagi yang dipercayai bekerja di kilang sama turut melarikan diri.

    “Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Jempol untuk proses bedah siasat,” kata sumber kepada Sinar Harian, hari ini.

    Sementara itu, Ketua Polis daerah Jempol, Hoo Chang Hook ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian.

    “Usaha mengesan suspek sedang dipergiat dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta melaporkannya di balai polis berhampiran.

    “Kes di siasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Kastam rampas alat ganti kenderaan, minuman keras bernilai RM2.6 juta

    Kastam rampas alat ganti kenderaan, minuman keras bernilai RM2.6 juta

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEJUMLAH alat ganti kenderaan dan minuman keras bernilai RM2.6 juta yang cuba diseludup masuk ke negara ini berjaya dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor dalam dua operasi berasingan pada akhir bulan lepas dan 8 Oktober lalu.

    Kegiatan itu berjaya dikesan Kastam di pintu sempadan Malaysia-Singapura, namun tangkapan dan serbuan itu hanya dilakukan setelah sindiket berkenaan memasuki negara ini.

    Pengarah JKDM Johor, Sazali Mohamad berkata, tindakan itu bagi mengukuhkan lagi pendakwaan terhadap pihak terlibat dalam sindiket tersebut.

    “Dalam operasi pertama pada 30 September lalu, JKDM Johor telah merampas 9,364 alat ganti kenderaan mewah dengan menahan sebuah lori kontena di Jalan Bertingkat Skudai, Kampung Pasir, Johor Bahru pada pukul 5.30 petang.

    “Pemeriksaan dibuat mendapati pihak berkenaan mengikrar jumlah alat ganti kenderaan yang bernilai lebih rendah untuk mengelak membayar cukai sepatutnya.

    “Barangan alat ganti kenderaan yang dirampas sebanyak RM363,340, manakala lori kontena bernilai RM80,000 dengan nilai duti dan cukai terlibat berjumlah RM145,763.25,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

    Seorang lelaki tempatan yang merupakan pemandu lori berkenaan berusia 51 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967.

    Sementara itu, dalam operasi kedua pula, Kastam Johor telah menggagalkan cubaan menyeludup minuman keras pelbagai jenama yang dianggarkan sebanyak 12,988 liter.

    “Dalam operasi pada pukul 9 pagi itu, JKDM Johor merampas sebuah lori kontena di Plaza Tol Kempas mengala ke utara yang dipercayai sedang dalam perjalanan ke ibu negara.

    “Pemeriksaan mendapati 17,000 botol minuman keras dianggarkan bernilai RM324,720 dengan jumlah duti dan cukai sebanyak RM1,722,954.82,” katanya yang memaklumkan turut merampas lori kontena bernilai RM100,000.

    Tambah Sazali, sindiket terbabit bertindak mengikrar barangan dibawa sebagai ‘mineral nutrien mixture’ dengan tujuan mengelak dikesan agensi penguatkuasaan.

    “Dalam operasi tersebut, dua lelaki warganegara tempatan berusia 34 dan 56 tahun yang merupakan pemandu dan kelindan lori ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967,” katanya.

    Dalam pada itu, Sazali turut menggesa masyarakat untuk membantu JKDM Johor memerangi jenayah penyeludupan khususnya melibatkan rokok, minuman keras dan lain-lain.

    “Kedua-dua operasi itu juga hasil maklumat awam dan orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti berkenaan dengan menghubungi talian bebas tol Kastam iaitu 1800-88-8855 atau pejabat JKDM terdekat,” katanya.

  • Bomoh tua rogol bakal pengantin muda ditahan polis

    Bomoh tua rogol bakal pengantin muda ditahan polis

    POLIS menahan seorang bomoh berusia 67 tahun selepas didakwa merogol seorang wanita berusia 23 tahun, ketika proses rawatan tradisional dalam kejadian di rumah suspek di Kampung Tendong di Pasir Mas, Kelantan pada Jumaat lepas.

    Difahamkan, dalam kejadian pukul 3 petang itu mangsa bersama ibu dan bakal suaminya, telah ke rumah bomoh berkenaan untuk mendapatkan rawatan tradisional.

    Ketua Polis Daerah Pasir Mas ACP Mohd Nasaruddin M Nasir berkata apabila tiba di rumah itu mangsa telah berjumpa dengan suspek yang dikenali sebagai ‘Ayahsu’ dan isterinya, ‘Maksu’ berusia 60-an.

    Beliau berkata, suspek kemudian telah meminta mangsa untuk masuk ke dalam sebuah bilik rawatan melalui pintu belakang rumah.

    “Semasa mangsa berada di dalam bilik rawatan seorang diri, suspek telah meminta wanita itu supaya menanggalkan seluar.

    “Suspek kemudiannya telah menggosok paha mangsa sebelum bertindak merogol mangsa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas di sini hari ini.

    Mohd Nasaruddin berkata, suspek turut memberi amaran supaya tidak menceritakan kejadian itu kepada sesiapa, selain berpesan kepada mangsa supaya datang sekali lagi untuk rawatan susulan.

    “Mangsa yang berasa tertipu telah menceritakan kejadian itu kepada bakal suaminya serta keluarga, sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Bunut Susu di sini dan pihak polis menahan suspek kira-kira 12 tengah malam,” katanya.

    Menurutnya, suspek yang juga pesara itu direman bermula semalam hingga 22 Okt ini, dan kes disiasat mengikut 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

    Menjelas lanjut, beliau berkata berdasarkan siasatan awal, suspek sebelum ini berkenalan dengan mangsa di sebuah kedai dan mengatakan mangsa mengalami gangguan makhluk halus dan perlu dirawat secara tradisional olehnya.

    “Suspek juga dipercayai pernah melakukan perbuatan yang sama terhadap wanita lain, memandangkan sudah menyediakan khidmat perawatan tradisional sejak 1995,” katanya.

    Justeru, beliau berharap kepada mana-mana individu yang pernah diperlakukan perkara sama oleh suspek supaya hadir membuat laporan polis. – BERNAMA