Category: Jenayah

  • Tokan tukar pil kuda dengan barang curi

    Tokan tukar pil kuda dengan barang curi

    IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat menahan seorang penganggur di sebuah rumah di Taman SBJ Putra, Wakaf Bharu, Tumpat pada pukul 10.15 semalam bagi membantu siasatan kes pecah rumah.

    Suspek, 38, ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari IPD Tumpat dengan kerjasama Balai Polis Wakaf Bharu pad pukul 10.15 pagi.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Tumpat, Deputi Superintendan Mohd. Razi Rosli berkata, dalam serbuan itu, pihaknya menemui beberapa barang dipercayai barangan curi dan disimpan dalam sebuah bilik.

    “Pemeriksaan dalam bilik itu menemui sebuah jam tangan, dua bentuk cincin perak dan sebuah telefon bimbit dipercayai barangan yang hilang dari rumah dipecah masuk di Kampung Alor Pasir, Wakaf Bharu, minggu lalu.

    “Selain itu, sebatang spring tangan turut ditemui dan pemeriksaan lanjut menjumpai satu beg kecil mengandungi plastik cerah berisi 19 biji pil kuda,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Mohd. Razi berkata, soal siasat awal dijalankan mendapati suspek mengaku mengambil barang kes curi itu daripada seorang lelaki dikenali sebagai Hafiz melalui cara membuat pertukaran antara barang kes itu dengan pil kuda.

    Menurutnya, suspek yang dipercayai seorang pengedar dadah, memberitahu tidak mengetahui tempat tinggal Hafiz dan hanya mengenali ketika berurusan untuk jual beli dadah sahaja.

    “Hasil semakan, suspek mempunyai 15 rekod lampau termasuk enam berkait dadah dan tiga kes mengikut Seksyen 28(1) Akta Kesalahan Kecil (AKK) kerana memiliki peralatan pecah rumah serta dua kes curi.

    “Ujian saringan dijalankan mendapati suspek positif methampethamine dan ditahan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga 21 Oktober dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK),” katanya.

  • Kapal tangki bawa muatan minyak tanpa dokumen ditahan

    Kapal tangki bawa muatan minyak tanpa dokumen ditahan

    PERGERAKAN sebuah kapal tangki dalam keadaan mencurigakan membongkar kesalahan yang dilakukan iaitu membawa muatan diesel tanpa sebarang dokumen pelepasan di pelabuhan Perairan Kemaman, Kemaman, kelmarin.

    Kapal berkenaan ditahan Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Kemaman pada pukul 10.45 malam semasa rondaan rutin di sekitar perairan Terengganu.

    Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, hasil pemeriksaan mendapati kapten bersama tiga kru kapal gagal mengemukakan dokumen pelepasan pelabuhan (port clearance) yang sah.

    “Kapal yang berdaftar di Port Klang itu ditahan dan dibawa ke tempat berlabuh, manakala kapten bersama tiga kru yang berusia antara 29 hingga 68 tahun dibawa ke Jeti Zon Maritim Kemaman, di sini untuk siasatan lanjut

    “Hasil pemeriksaan mendapati kesemua mereka yang terdiri daripada tiga warga tempatan dan seorang warga Indonesia memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

    “Kes berkenaan akan disiasat di bawah Akta Kastam 1967, jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM 50,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

    Rashidilhadi berkata, Maritim Malaysia memandang serius perkara ini dan sentiasa meningkatkan pemantauan ke atas kapal-kapal yang berada di perairan negara ini bagi memastikan mereka sentiasa mematuhi undang-undang negara.

  • Tragedi bot karam, 17 nelayan terselamat

    Tragedi bot karam, 17 nelayan terselamat

    SERAMAI 17 nelayan tempatan terselamat selepas bot yang dinaiki karam di muara Kuala Kemaman, Kemaman semalam.

    Dalam kejadian pada jam 5.15 pagi itu, semua mereka diselamatkan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Kemaman selepas orang awam menghubungi agensi berkenaan.

    Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abdul Rashid berkata, pihaknya menerima aduan yang memaklumkan terdapat sebuah bot nelayan tempatan hampir karam.

    Menurutnya, sebuah Bot Penggalang 16 digerakkan ke lokasi bagi menyelamatkan bot berkenaan yang dinaiki 17 nelayan tempatan berusia antara 17 hingga 51 tahun.”Hasil siasatan awal mendapati bot itu mengalami kebocoran dan hampir karam selepas terlanggar sesuatu di laut,” katanya.

    Sementara itu, saksi kejadian Hazrul Haziq, 30, berkata, semasa kejadian dia bersama isteri dan seorang anak sedang berehat di tepi pantai iaitu kira-kira 300 meter jarak dari lokasi bot tersebut.

    “Memang ketika itu, saya nampak sangat jelas kedudukan bot tersebut hampir tenggelam. Tanpa berlengah saya segera menghubungi pihak Maritim Malaysia untuk mendapatkan bantuan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

  • Seorang maut, konvoi motosikal ke Cameron Highlands terlibat kemalangan

    Seorang maut, konvoi motosikal ke Cameron Highlands terlibat kemalangan

    KESERONOKAN sekumpulan pemuda dari Pulau Pinang berkonvoi ke Cameron Highlands, Pahang bertukar tragedi selepas seorang daripada mereka maut apabila motosikal ditunggang mereka bergesel sesama sendiri.

    Kejadian itu berlaku di Kilometer 157.4 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan dekat Nibong Tebal kira-kira pukul 9 pagi semalam.

    Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern, dalam kejadian itu pelajar kolej, Muhammad Zikrikhan Rizadhan, 18, terbunuh di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

    Jelasnya, siasatan mendapati kejadian itu melibatkan empat buah motosikal jenis Yamaha Y15ZR dari arah Juru menuju ke Cameron Highlands.

    Kemalangan berlaku apabila sebuah motosikal bergesel dengan motosikal mangsa di sebelah kanan sebelum bergesel dengan sebuah motosikal lain.

    Tambah beliau, kemalangan berlaku apabila sebuah motosikal bergesel dengan motosikal mangsa di sebelah kanan sebelum bergesel dengan sebuah motosikal lain.

    “Motosikal mangsa turut bergesel dengan motosikal keempat di sebelah kiri sebelum kesemua kenderaan itu terseret di atas jalan dan terhenti di lokasi kejadian.

    “Kesemua motosikal terlibat berada di lorong kiri sebelum kemalangan berlaku,” katanya kepada pemberita di sini.

    Menurut beliau, tiga penunggang lain yang terlibat dalam kemalangan itu masing-masing berusia 19, 21 dan 23 tahun mengalami kecederaan dan mendapatkan rawatan di hospital.

    Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Bomba selamatkan lelaki sesak nafas, melecur dalam kebakaran

    Bomba selamatkan lelaki sesak nafas, melecur dalam kebakaran

    SEORANG lelaki terselamat selepas mengalami sesak nafas dalam rumahnya yang terbakar di Taman Desa Karunmas, Kajang hari ini.

    Lelaki tersebut yang terperangkap dalam rumah itu tidak mampu menyelamatkan diri sebelum pihak bomba datang menyelamatkannya.

    Tindakan pantas pihak bomba selepas menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 4.23 pagi berjaya menyelamatkan mangsa.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dikejarkan ke lokasi.

    “Sebaik tiba, kami dimaklumkan mengenai sebuah rumah teres dua tingkat yang terbakar di bahagian ruang tamu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Norazam berkata, ketika mereka tiba, kebakaran itu sudah dipadamkan.

    “Dalam kejadian itu, terdapat dua mangsa lelaki, masing-masing berusia 50-an. Seorang daripada mereka ditemui di dalam bilik tidur di tingkat satu rumah berkenaan.

    “Ketika ditemui, lelaki itu mengalami sesak nafas serta sedikit melecur di bahagian kaki. Seorang lagi mangsa pula berjaya menyelamatkan diri sebelum pihak bomba tiba di lokasi,” katanya.

    Katanya, mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia untuk rawatan lanjut.

  • Tukar nama, paparan pada botol wiski TIMAH sentuh sensitiviti umat Islam

    Tukar nama, paparan pada botol wiski TIMAH sentuh sensitiviti umat Islam

    MUFTI Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor menggesa kerajaan mengarahkan syarikat pengeluar minuman beralkohol TIMAH supaya segera menukar jenama berserta gambar pada botolnya kepada yang tidak menyentuh sensitiviti umat Islam.

    Menurutnya, tindakan itu demi memelihara suasana harmoni dalam hubungan antara pelbagai kaum di negara ini.

    Dalam masa sama tambahnya, beliau turut berharap para pemimpin politik terutama yang beragama Islam akan turut menyatakan bantahan terhadap tindakan tidak sensitif oleh syarikat pengeluar minuman beralkohol terbabit.

    Menjelaskan lebih lanjut, Wan Salim berkata, beliau terkejut dan kecewa dengan iklan sejenis wiski buatan tempatan yang diberi nama TIMAH dengan paparan wajah seorang lelaki berjanggut dan memakai kopiah itu yang tular dalam media sosial.

    “Termaklum bagi masyarakat Melayu ‘Timah’ adalah singkatan daripada Fatimah iaitu nama puteri Nabi Muhammad SAW yang amat dihormati oleh umat Islam sama ada sunni atau syiah.

    “Justeru menjenamakan arak sengan TIMAH dianggap oleh umat Islam sebagai satu penghinaan yang tidak seharusnya berlaku,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurut Wan Salim, pengeluar wiski berkenaan sepatutnya peka terhadap sensitiviti umat Islam berkaitan dengan isu itu.

    Jelasnya, bagi masyarakat Islam, Malaysia yang di dalam Perlebagaannya dinyatakan Islam sebagai Agama Persekutuan tidak sepatutnya menjadi sebuah negara pengeluar wiski.

    Apatah lagi tambahnya, umat Islam dituntut menghindari arak serta dinyatakan beberapa kesannya yang buruk terhadap peminumnya daripada sudut fizikal, sosial dan spiritual.

    “Malah di dalam sebuah hadis sohih riwayat Thabarani, arak disifatkan sebagai ‘ibu segala kekejian’ dan sesiapa yang meminumnya tidak diterima solatnya selama 40 hari.

    “Hal ini mudah difahami kerana seorang penagih arak boleh melakukan pelbagai jenayah dan kejahatan dalam keadaan mabuk,” katanya.

    Tambah beliau, seorang peminum arak bukan sahaja merosakkan akal fikirannya dan kesihatan tubuhnya sendiri, malah mampu memudaratkan orang-orang di sekelilingnya terutama ahli-ahli keluarganya.

    “Kita juga sering membaca dan mendengar berita kemalangan jalan raya disebabkan pemandu yang mabuk sehingga ada yang kehilangan nyawa,” katanya.

  • Seorang maut, dua cedera motosikal terbabas

    Seorang maut, dua cedera motosikal terbabas

    SEORANG lelaki berusia 27 tahun maut selepas motosikal yang ditunggangi hilang kawalan sebelum terbabas melanggar penghadang besi di Kilometer 29.8 Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) dari arah Seremban menghala ke Nilai, malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata pada masa sama dua orang lelaki lain masing-masing berusia 26 dan 27 tahun yang menunggang motosikal dari arah sama cuba mengelak mangsa namun terbabas lalu terjatuh di atas jalan.

    Beliau berkata mangsa dikenali sebagai Muhamad Luqmanul Hakim Abdul Hadi, 27, mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala Muhammad Tat Termizi Yusof, 26, dan Muhammad Faris Ahmad Pauzi, 27, mengalami kecederaan parah pada bahagian muka dan tangan.

    “Dalam kejadian kira-kira 9.30 malam telah berlaku satu kemalangan maut melibatkan melibatkan tiga buah motosikal jenis yang sama iaitu Yamaha Y15.

    “Muhamad Luqmanul Hakim yang menunggang motosikal dari arah Seremban menghala ke Kuala Lumpur telah hilang kawalan, lalu melanggar penghadang jalan di sebelah kanan lebuh raya. Susulan itu, Muhammad Tat Termizi dan Muhammad Faris yang datang arah sama cuba mengelak mangsa lalu terbabas jatuh di atas jalan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

    Jelasnya, Muhammad Tat Termizi dan Muhammad Faris yang mengalami kecederaan parah dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban untuk menerima rawatan lanjut, manakala mayat Muhamad Luqmanul Hakim dibawa ke Unit Forensik hospital yang sama untuk bedah siasat.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- Bernama

  • Dua penuntut IPT, seorang pelajar sekolah ditahan berparti

    Dua penuntut IPT, seorang pelajar sekolah ditahan berparti

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEORANG pelajar lelaki sebuah sekolah menengah serta seorang penuntut lelaki dan perempuan institusi pengajian tinggi (IPT) antara 18 individu ditahan polis selepas terlibat dalam parti liar di sebuah inap desa di Alai, Melaka, semalam.

    Dalam serbuan pada pukul 1.25 pagi itu, kesemua 14 lelaki dan empat wanita termasuk penuntut perempuan itu berusia dalam lingkungan 15 hingga 24 tahun.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Superintendan Zulkiflee Rashid berkata, tiga pelajar dan penuntut IPT itu juga antara 13 individu yang positif dadah jenis methamphetamine dan ganja menerusi ujian saringan air kencing yang dijalankan.

    “Ketika serbuan dilakukan, kesemua individu berkenaan sedang leka dan khayal, pemeriksaan turut menemukan pembesar suara dipercayai untuk tujuan berparti.

    “Hasil pemeriksaan lanjut, dua daripada mereka turut didapati memiliki satu bungkusan plastik lutsinar dipercayai pil ekstasi seberat 0.45 gram dan satu ketulan mampat ceraian daun kering disyaki ganja seberat 2.60 gram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Zulkiflee, kedua-dua mereka direman empat hari hingga 20 Oktober ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12(3) dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952.

    “Kesemua individu lain yang didapati positif dadah hasil saringan awal air kencing itu pula disiasat mengikut Seksyen 15 (1)(a) akta sama,” katanya.

  • Tukang gunting maut dalam nahas 3 kenderaan, kereta terputus dua

    Tukang gunting maut dalam nahas 3 kenderaan, kereta terputus dua

    SEORANG tukang gunting rambut meninggal dunia selepas kereta dipandu terlibat kemalangan dengan sebuah kereta dan kenderaan pelbagai guna (MPV) di kilometer 28 Jalan Kuala Selangor-Kuala Lumpur, Kuala Selangor, malam tadi.

    Kemalangan pada pukul 10 malam itu melibatkan kereta Proton Wira dipandu tukang gunting tersebut, Mohamad Zulkhairin Syazwan Abdullah, 22, yang beralamat di Kampung Bahagia Mersing dengan MPV Volkswagen Golf dan kereta Proton Wira.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa, ketika kejadian kereta dipandu mangsa dalam perjalanan dari Bestari Jaya menuju ke Sungai Buloh bergesel dengan sebuah kereta Proton Wira di laluan sama.

    “Kejadian itu mengakibatkan kereta mangsa hilang kawalan lalu melanggar pembahagi jalan konkrit di sebelah kanan dan memasuki laluan bertentangan sebelum dirempuh Volkswagen Golf.

    “Rempuhan itu menyebabkan kereta mangsa terputus dua dan berpusing 50 meter dari tempat kejadian,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

    Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

  • Rantai wanita warga emas diragut depan rumah

    Rantai wanita warga emas diragut depan rumah

    SEORANG wanita warga emas yang sedang berehat sendirian di halaman rumahnya di Kampung Masjid Raja, Bukit Besar, Hulu Terengganu, Rabu lalu, terkejut apabila diragut seorang lelaki secara tiba-tiba.

    Sinar Harian melaporkan, semasa kejadian pukul 1 petang itu, mangsa, 69, sedang duduk sebelum dihampiri seorang lelaki yang datang dari arah belakang lalu meragut rantai emas dipakainya.

    Suspek kemudian melarikan diri dengan sebuah motosikal jenis Honda EX5.

    Mangsa mengalami kerugian RM20,000 akibat kejadian tersebut.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun,” katanya.