Category: Jenayah

  • Geng Ayoi aktif curi motosikal tumpas

    Geng Ayoi aktif curi motosikal tumpas

    GENG Ayoi yang aktif melakukan kegiatan mencuri motosikal tumpas susulan penahanan tiga lelaki secara berasingan di Setapak dan Gombak pada 12 Mei lalu.

    Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari berkata, kesemua individu yang ditahan itu berusia 24 hingga 32 tahun.

    Susulan itu kata Ahmad Sukarno, pihaknya berjaya menjumpai 26 rangka motosikal dan dua enjin bernilai RM100,000 di Sungai Kampung Mulia, Gombak.

    “Kumpulan penjenayah itu disyaki membuang rangka motosikal ke dalam sungai adalah untuk menghapuskan bukti.

    “Hasil semakan nombor casis oleh forensik Polis Diraja Malaysia, pihaknya telah mengenal pasti 10 rangka motosikal yang dilaporkan hilang di sekitar Lembah Klang.

    “Selebihnya tidak dapat dikenal pasti kerana nombor casis tersebut telah dikacau ganggu,” ujarnya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul hari ini.

    Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Ahmad Sukarno berkata, hasil siasatan mendapati modus operandi sindiket itu menyasarkan motosikal jenis Yamaha 125z dan Yamaha LC135.

    “Setelah sesebuah motosikal dikenal pasti, salah seorang daripada suspek akan menggunakan peralatan ‘allen key’ yang diubah suai untuk mencuri motosikal terbabit.

    “Kesemua motosikal yang telah dicuri akan dileraikan terlebih dahulu sebelum dijual kepada individu yang berminat dengan anggaran harga RM2,000 hingga RM5,000 bergantung kepada model sesebuah motosikal,” jelasnya.

    Menurutnya, kesemua suspek yang ditangkap mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau.

    “Kita telah berjaya menyelesaikan 23 kes kecurian motosikal, di mana 19 kes dilaporkan di Kuala Lumpur dan empat kes di Selangor.

    “Kesemua suspek ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • 3 ditahan termasuk pesara tentera laut, Geng Sasi Navy curi kenderaan tumpas

    3 ditahan termasuk pesara tentera laut, Geng Sasi Navy curi kenderaan tumpas

    TIGA lelaki termasuk seorang pesara Tentera Laut ditahan secara berasingan kerana disyaki terlibat dengan sindiket curi kenderaan di sekitar Lembah Klang, Perak dan Negeri Sembilan sejak hujung tahun lalu.

    Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari berkata, dalang sindiket yang dikenali sebagai Sasi Navy, 40, ditahan di Kampung Gajah, Perak manakala dua lagi rakannya ditahan di Ipoh dan Nilai, Negeri Sembilan pada 13 Mei lalu.

    “Susulan daripada tangkapan itu, kita turut merampas dua buah kenderaan dan peralatan untuk mencuri serta beberapa keping nombor plat pendaftaran palsu.

    Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari (kanan) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian kenderaan yang dirampas selepas berjaya menumpaskan geng Sasi Navy yang terlibat dalam kegiatan mencuri kenderaan ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Hasil siasatan mendapati sindiket itu menyasarkan kenderaan jenis Honda Civic dan Mitsubishi Pajero,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul hari ini.

    Ahmad Sukarno berkata, setelah sesebuah kenderaan itu dikenal pasti, salah seorang daripada suspek akan menggunakan peralatan khas (jammer) untuk membuka kunci kenderaan tersebut.

    Sebahagian daripada peralatan mencuri kenderaan yang dirampas selepas polis berjaya menumpaskan Geng Sasi Navy yang terlibat dalam kegiatan mencuri kenderaan ketika Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Katanya, kenderaan yang dicuri itu akan dijual semula dengan harga lebih murah ke Thailand.

    Beliau berkata, kesemua suspek mempunyai pelbagai rekod kesalahan jenayah lampau dan telah direman bermula 14 Mei hingga 18 Mei lalu bagi membantu siasatan.

    Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Kini kesemua suspek telah diserah kepada IPD Ipoh bagi membantu siasatan beberapa kes di sana. Susulan daripada penahanan itu, polis berjaya menyelesaikan tujuh kes kecurian yang dilaporkan sebelum ini,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Tipu pakej Umrah: PDRM terima lebih 100 laporan sejak Januari

    Tipu pakej Umrah: PDRM terima lebih 100 laporan sejak Januari

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah menerima 105 laporan di seluruh negara sejak Januari tahun ini berhubung penipuan pakej umrah yang ditawarkan oleh sebuah syarikat.

    Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Saaduddin berkata sehingga kini, polis sudah membuka enam kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

    “Hasil siasatan mendapati syarikat berkenaan mempunyai lesen perniagaan yang sah. Jumlah kerugian keseluruhan sebanyak RM3,932,440.68,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Hari ini, media melaporkan syarikat umrah berkenaan sedang mengemas kini jadual umrah dan membuat pembayaran balik kepada bakal jemaah yang terjejas penerbangan mereka.

  • Mayat terbakar ditemukan dalam kebun kelapa sawit

    Mayat terbakar ditemukan dalam kebun kelapa sawit

    MAYAT tanpa identiti ditemui terbakar di tepi kebun di zon kelapa sawit berhampiran kandang lembu di Kampung Sungai Limau, Sungai Besar, hari ini.

    Penemuan mayat tersebut disedari orang awam yang ternampak asap dalam semak ketika melalui kawasan berhampiran pada pukul 7 pagi.

    Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Agus Salim Mohd. Alias berkata, polis yang menerima maklumat terbabit bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan.

    “Kita masih menjalankan siasatan awal berhubung penemuan mayat berkenaan,” katanya ketika dihubungi.

    Sehubungan itu, beliau berkata, orang awam dinasihatkan membuat laporan polis sekiranya terdapat ahli keluarga mereka yang hilang atau tidak pulang ke rumah.

    “Selain itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam bagi membantu siasatan,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

    Tegas beliau, semua pihak dinasihatkan tidak membuat sebarang andaian berhubung motif kejadian terbabit dan orang awam juga diminta tidak menyebarkan sebarang spekulasi kerana motif sebenar kejadian belum dapat dipastikan.

  • SPRM siasat anak bekas PM berhubung aktiviti perniagaan

    SPRM siasat anak bekas PM berhubung aktiviti perniagaan

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan telah memanggil anak kepada seorang bekas Perdana Menteri bagi membantu satu lagi siasatan berhubung aktiviti perniagaannya.

    Memetik sumber yang rapat dengan siasatan itu, akhbar The Star melaporkan individu itu disoal siasat selama beberapa jam.

    “Kenyataan telah dirakamkan dan saya percaya akan ada sesi lain dengannya,” kata sumber itu.

    Utusan Malaysia pula melaporkan individu berkenaan adalah anak kepada seorang bekas Perdana Menteri.

    Beliau dipanggil untuk disoal siasat pada pukul 10 malam di ibu pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya.

    The Star berkata, nama lelaki itu disenaraikan dalam Panama Papers tetapi tidak dapat dipastikan jika SPRM sedang meneliti dakwaan yang dibuat dalam dokumen tersebut.

    Panama Papers merujuk kepada kebocoran besar sebanyak 11.5 juta dokumen yang didedahkan daripada firma guaman yang berpangkalan di Panama pada 2016.

    Ia mendedahkan bagaimana ahli politik, bintang sukan dan penjenayah terkemuka menyembunyikan kekayaan mereka menggunakan tempat perlindungan cukai luar pesisir.

    Ketika itu, Malaysiakini telah melaporkan bahawa anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sedang meringkuk di penjara, Datuk Mohd. Nazifuddin Mohd. Najib adalah antara mereka yang dinamakan.

    Turut dinamakan ialah Fakhri, anak sulung bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, serta Datuk Mirzan, anak sulung bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

    Sebelum ini, seorang wakil Mirzan melalui salah satu syarikatnya, Crescent Capital, menafikan penglibatan Mirzan dalam Sergio International Ltd – firma British Virgin Islands yang dikaitkan dengannya.

    Minggu lalu, Bernama melaporkan SPRM sedang menyiasat seorang bekas menteri kanan dan ahli perniagaan terkemuka bergelar Tan Sri atas dakwaan penyelewengan dana negara bernilai lebih RM2.3 bilion.

    Agensi berita nasional itu, yang turut memetik sumber berkata, siasatan itu adalah kesinambungan dan lanjutan daripada pendedahan dokumen-dokumen sulit oleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) berhubung transaksi-transaksi yang disyaki berlaku di beberapa pusat kewangan luar pesisir.

    “Tumpuan siasatan adalah berhubung dengan pembelian dan pemilikan saham di sebuah syarikat tersenarai oleh sebuah syarikat gergasi negara yang dikatakan didalangi oleh bekas menteri kanan itu.

    “Difahamkan, transaksi pembelian dan pemilikan saham ini dipercayai menjadi punca kepada kemerosotan ekonomi negara serta kejatuhan matawang ringgit pada hujung 1990-an dan telah diseleweng untuk kepentingan individu terbabit untuk diselamatkan (bail out) daripada mengalami kerugian yang lebih teruk,” menurut sumber itu.

    Kebocoran Kertas Pandora berlaku pada 2021 apabila sumber tanpa nama berkongsi dengan ICIJ 2.94 terabait fail kewangan sulit, berjumlah lebih daripada 11.9 juta dokumen dan rekod lain, daripada 14 penyedia perkhidmatan luar pesisir yang menubuhkan dan mengurus syarikat cengkerang (shell) dan amanah di kawasan perlindungan cukai sekitar dunia.

    Berikutan kebocoran itu, bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin membidas Malaysiakini atas apa yang didakwanya sebagai ‘obsesi yang tidak berkesudahan’ portal berita ini terhadapnya.

    Ini selepas Malaysiakini menyiarkan laporan mengenai pegangannya di luar pesisir.

  • Pasangan kekasih bawa syabu ditahan selepas terlibat dalam aksi kejar-mengejar dengan polis

    Pasangan kekasih bawa syabu ditahan selepas terlibat dalam aksi kejar-mengejar dengan polis

    SEPASANG kekasih ditahan selepas dikejar polis  di Jalan Persiaran Bandar Baru Bangi, Seksyen 9, semalam.

    Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada pukul 12.30 tengah hari.

    Beliau berkata, kereta peronda polis telah mengesan sebuah kereta Proton Satria warna coklat yang dipandu dalam keadaan mencurigakan di sekitar Kajang Utama.

    “Kejadian bermula apabila polis meminta kenderaan tersebut untuk berhenti bagi tujuan pemeriksaan, namun suspek enggan memberhentikan kenderaan.

    “Suspek kemudian memecut laju kenderaan ke Jalan Kajang Utama lalu masuk ke Lebuhraya Sistem Lingkaran- Kajang (SILK) seterusnya menghala ke Plaza Tol Sungai Ramal dan melanggar palang tol,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, suspek kemudian melarikan diri lagi dengan memandu secara melulu melalui Lebuhraya SILK dan masuk ke Jalan Ikram, Universiti Tenaga Nasional sebelum berhenti di Jalan Persiaran Bandar Baru Bangi dengan bantuan kereta peronda polis yang lain.

    “Suspek telah memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan sebelum kenderaan suspek berjaya diberhentikan.

    “Sebanyak lima buah kenderaan telah dikenalpasti terlibat dalam kemalangan termasuk sebuah kereta polis dan pemeriksaan mendapati tiada sebarang kemalangan jiwa direkodkan,” ujarnya.

    Mohd Zaid berkata, empat anggota polis yang berada di lokasi telah menahan pemandu iaitu seorang wanita Melayu dan penumpang seorang lelaki Melayu masing-masing berusia 26 dan 38 tahun.

    “Kedua-dua suspek telah dibawa ke Balai Polis Bandar Bangi dan pemeriksaan mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

    “Pemeriksaan dalam kenderaan suspek turut menemui beberapa hablur kristal seberat 2.1 gram dipercayai syabu,” ujarnya.

    Jelasnya, kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan dadah dan direman selama tiga hari bagi membantu siasatan.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 12(3) / 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Polis kesan suspek simbah asid di 10 kedai kenderaan terpakai

    Polis kesan suspek simbah asid di 10 kedai kenderaan terpakai

    POLIS Pulau Pinang sedang mengesan suspek yang terlibat dalam kes menyimbah asid membabitkan 10 buah premis menjual kenderaan terpakai di kawasan Green Lane dan Pulau Tikus.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihaknya menerima 11 laporan berhubung kejadian tersebut yang dilaporkan berlaku sejak awal bulan ini dengan kejadian terbaru beberapa hari lalu.

    Menurut beliau, kejadian itu menyebabkan kerosakan kepada beberapa buah kenderaan terpakai yang dijual di premis terlibat.

    ”Usaha mengesan suspek masih dilakukan dan kita juga sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai punca kejadian ini dan meneliti kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di kawasan kejadian.

    “Kita tidak menolak kemungkinan kejadian menyimbah asid ini dilakukan suspek yang sama.

    “Jumlah kerugian yang dialami oleh pemilik premis kenderaan terpakai itu juga masih dalam siasatan,” katanya kepada pemberita di George Town hari ini.

    Menurut Soffian, berdasarkan siasatan awal, semua pemilik premis menjual kenderaan terpakai itu mendakwa tidak berhutang dengan ah long.

    Malah, ujar beliau, mereka juga mendakwa tidak bermusuh, bergaduh atau berselisih faham dengan mana-mana pihak sehingga premis mereka disimbah asid.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi polis bagi menyalurkan maklumat.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat,” katanya.

  • Bayi perempuan berusia tiga bulan meninggal dunia, polis tahan pengasuh

    Bayi perempuan berusia tiga bulan meninggal dunia, polis tahan pengasuh

    Polis menahan seorang wanita yang disyaki melakukan pengabaian ketika mengasuh seorang bayi perempuan berusia tiga bulan, sehingga mengakibatkan bayi itu meninggal dunia, di sekitar Sungai Way di Kuala Lumpur, pada 9 Mei lepas.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata wanita berumur 31 tahun itu ditahan di kediamannya di Petaling Jaya pada 5.30 petang, selepas polis menerima laporan daripada bapa bayi itu pukul 3.56 petang, pada hari kejadian.

    “Siasatan diteruskan bagi mengetahui punca kematian bayi berkenaan manakala suspek dibebaskan dengan jaminan polis selepas selesai diambil keterangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi balai berhampiran atau menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya dengan menelefon 03-79662222 bagi membantu siasatan.

  • Kastam rampas 6,990,000 batang rokok seludup di Gua Musang, Tumpat

    Kastam rampas 6,990,000 batang rokok seludup di Gua Musang, Tumpat

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan berjaya merampas 6,990,000 batang rokok seludup bernilai RM805,200 dalam tiga serbuan berasingan di Gua Musang dan Tumpat, minggu lalu.

    Pengarah JKDM Kelantan Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata serbuan di Gua Musang dilakukan pada hari Khamis lepas, manakala dua rampasan lagi di Tumpat dibuat pada hari Sabtu, dan semua rokok berkenaan melibatkan duti/cukai berjumlah kira-kira RM4.6 juta (RM4,693,920).

    Beliau berkata serbuan di Gua Musang melibatkan rampasan 4,940,000 batang rokok, manakala yang kedua di Tumpat melibatkan 1,250,000 batang rokok, dan rampasan ketiga juga di Tumpat melibatkan 800,000 batang rokok.

    “Anggota operasi turut menahan seorang suspek lelaki warga tempatan berusia 42 tahun dan merampas tiga lori,” katanya pada sidang media di Wisma JKDM Padang Bongor, di Kota Bharu, hari ini.

    “Siasatan awal mendapati modus operandi yang digunakan ialah dengan membawa masuk rokok-rokok seludup itu dari negara jiran melalui jalan laut dan sungai untuk dipasarkan ke luar Kelantan, dan ketiga-tiga kes ini disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

    Katanya jika disabit kesalahan pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang dari sepuluh kali nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar atau 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar.

    “Mereka yang didapati bersalah boleh dipenjarakan tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama,” katanya.

  • Hantar ganja guna balang biskut raya, 2 ditahan

    Hantar ganja guna balang biskut raya, 2 ditahan

    SINDIKET dadah menggunakan taktik baharu menyembunyikan ketulan ganja mampat dalam balang biskut raya untuk dihantar ke Sabah dan Sarawak menggunakan syarikat penghantaran barang.

    Pengarah Kastam Johor, Misbahudin Parmin berkata, susulan risikan selama tiga bulan hasil maklumat Jabatan Kastam Sarawak, sebuah pejabat syarikat penghantaran di Johor Bahru diserbu bulan lalu yang membawa kepada penemuan sembilan bungkusan biskut raya dan kacang disasarkan untuk pasaran Sabah serta Sarawak.

    “Pemeriksaan ke atas sembilan bungkusan kuih raya berkenaan mendapati 10 ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja disembunyikan dalam bekas lutsinar bersama biskut raya.

    “Ini kali pertama sindiket penyeludupan dadah dikesan menggunakan modus operandi menghantar dadah disembunyikan bersama biskut raya yang dihantar menggunakan syarikat penghantar barang bagi mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya dalam sidang akhbar di Johor Bahru hari ini.

    Susulan itu, beliau berkata, seorang lelaki berusia 27 tahun yang membuat penghantaran biskut raya itu ditahan untuk siasatan lanjut.

    Katanya, penahanan itu kemudian membawa kepada serbuan di sebuah rumah di Johor Bahru dijadikan pusat pembungkusan ganja untuk dihantar menerusi syarikat penghantaran bersama biskut raya berdasarkan tempahan dan seorang lelaki berusia 29 tahun yang positif dadah ditahan.

    “Ketulan mampat dipercayai ganja seberat 24kg dianggarkan bernilai RM82,874 ditemui di rumah itu dan kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

    “Jika sabit kesalahan, ia membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan hendaklah sekiranya tidak dihukum mati, dihukum dengan 15 sebatan maksimum,” katanya menurut Harian Metro.