Category: Jenayah

  • Langgar SOP: 56 pengunjung kelab malam dikompaun RM320,000

    Langgar SOP: 56 pengunjung kelab malam dikompaun RM320,000

    POLIS mengeluarkan kompaun keseluruhan berjumlah RM320,000 terhadap 56 pengunjung di sebuah kelab malam di Kuala Lumpur, malam tadi.

    Tindakan itu dikenakan kerana pengunjung terbabit melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).

    Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kuala Lumpur, Datuk Azman Ayob berkata, Ops Khas Kontinjen Kuala Lumpur itu dijalankan dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19.

    “Pemilik premis dikompaun sebanyak RM25,000 kerana didapati melanggar Peraturan 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit PPN fasa empat (melakukan aktiviti terlarang dalam pub dan kelab malam).

    “Seramai 56 pengunjung terdiri daripada 36 lelaki dan 20 wanita pula dikenakan kompaun berjumlah RM320,000 keseluruhannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Azman berkata, ujian saringan air kencing yang dibuat terhadap 23 orang pengunjung yang dipilih secara rawak kesemuanya didapati negatif.

    “Operasi sedemikian akan dijalankan dari masa ke semasa dalam usaha membantu memerangi penularan Covid-19,” katanya.

  • Remaja sedang bekerja maut digilis steamroller

    Remaja sedang bekerja maut digilis steamroller

    SEORANG remaja lelaki meninggal dunia selepas digilis jentera penggelek beroda ketika bekerja meratakan tar berhampiran lampu isyarat Siong Boon Jalan Johari Sunam, Bintulu, semalam.

    Semasa kejadian, mangsa, Jeffry Jaya, 17, sedang melakukan kerja penurapan jalan sebelum dilanggar lalu digilis jentera terbabit.

    Menerut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada pukul 9.40 malam.

    “Siasatan awal mendapati mangsa dikatakan sedang menjalankan kerja di tepi jalan yang sedang dalam proses penurapan itu pada 5.15 petang.

    “Tiba-tiba jentera dikendalikan lelaki berusia 57 tahun yang bergerak perlahan dari arah hadapan merempuh mangsa menyebabkannya digilis lalu terperosok ke bawah jentera itu.

    “Rakan sekerja lain berteriak mengatakan mangsa digilis menyebabkan pengendalinya memberhentikan jentera serta-merta,” katanya.

    Mangsa katanya, parah di seluruh bahagian badan dihantar ke Hospital Bintulu sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    “Pihak polis menjalankan siasatan terperinci berhubung insiden yang meragut nyawa remaja lelaki ini,” katanya.

  • Kakitangan stesen televisyen maut kemalangan semasa berbasikal

    Kakitangan stesen televisyen maut kemalangan semasa berbasikal

    SEORANG kakitanan di stesen televisyen swasta meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta ketika berbasikal di Cyberjaya, hari ini.

    Kemalangan mangsa, Jeffry Aziz yang juga pekerja Astro Production Sdn. Bhd. (APSB)
    itu tular dalam Facebook Cyberjaya Community sejak pagi ini.

    Mangsa yang dikatakan menunggang basikal sendirian meninggal dunia di tempat kejadian.

    Berdasarkan gambar tular, basikal digunakan mangsa mengalami kerosakan teruk pada tayar bahagian belakang.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pihaknya mengesahkan kejadian itu, namun enggan mengulas lanjut kerana siasatan masih dijalankan.

  • Polis berkas lelaki ambil upah RM150 hantar pil kuda

    Polis berkas lelaki ambil upah RM150 hantar pil kuda

    IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas menaham seorang lelaki yang menerima upah sebanyak RM150 bagi setiap penghantaran pil kuda dicekup polis dalam serbuan di sebuah kedai makan di Kampung Tok Bok, Tendong, Pasir Mas, semalam.

    Menurut Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir, menerusi serbuan pukul 11.30 malam itu, polis turut merampas 400 biji pil kuda yang dianggarkan berjumlah RM4,000.

    Katanya, semasa pemeriksaan dilakukan ke atas tubuh badan suspek yang berusia 23 tahun itu, telah menemui satu beg pinggang dipakai oleh lelaki berkenaan.

    “Pemeriksaan lanjut di dalam beg tersebut telah menemui dua peket plastik warna biru yang diikat dengan satu gelang getah mengandungi pil kuda,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, hasil soal siasat, suspek mengaku mengambil upah menghantar pil kuda dengan kadar bayaran RM150 untuk setiap penghantaran.

    Katanya, suspek turut mengaku mengambil bekalan tersebut dari seorang lelaki dikenali sebagai Puyih.

    “Saringan ujian air kencing yang dilakukan mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

    “Semakan turut mendapati, suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau,” katanya.

    Kes berkenaan katanya, disiasat di bawah Seksyen 39A(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • Lelaki ada rekod dadah kantoi seludup 94,600 rokok

    Lelaki ada rekod dadah kantoi seludup 94,600 rokok

    SEORANG lelaki yang mempunyai tujuh rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan pernah dikenakan tindakan di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) sekali lagi ditahan selepas memiliki sebanyak 94,600 batang rokok seludup bernilai RM189,200 di Kampung Dangar, di Pasir Mas, semalam.

    Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, kesemua rokok itu dijumpai di rumah suspek berusia 49 tahun itu ketika serbuan dilakukan pada kira-kira pada pukul 11 malam.

    “Pemeriksaan badan ke atas suspek gagal menemukan sebarang barangan larangan namun selepas pemeriksaan dilakukan di dalam rumahnya, 10 kotak besar mengandungi 94,600 batang rokok putih dijumpai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Dalam kes berasingan, Mohd Nasaruddin berkata, pihaknya merampas 400 biji pil kuda selepas menahan seorang lelaki berusia 23 tahun di hadapan sebuah kedai di Kampung Tobuak di Tendong pada 11.30 malam tadi.

    Ketika ditahan dan pemeriksaan badan dilakukan, polis menemukan satu beg hitam kelabu di pinggang suspek sebelum menjumpai dua paket plastik biru berisi 400 biji pil kuda bernilai RM4,000.

    “Suspek juga didapati positif dadah jenis Methamphetamin serta memiliki satu rekod lampau berkaitan dadah,” katanya menambah kes rampasan pil kuda ini akan disiasat di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen15(1)(a) akta yang sama. – BERNAMA

  • Sembunyi rokok, minuman keras seludup dalam kontena terbongkar

    Sembunyi rokok, minuman keras seludup dalam kontena terbongkar

    SEBUAH kontena di kawasan lapang di Jalan ACC Government Quarters, Kudat yang dijadikan tempat menyimpan ratusan karton rokok dan minuman keras tidak bercukai, terbongkar selepas dua lelaki ditahan hari ini.

    Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah sebelum itu menahan suspek berusia 29 dan 37 berkenaan dalam Perodua Viva, berhampiran Pasar Besar Kudat.

    Mereka ditahan dalam operasi pada pukul 11.26 pagi dan pemeriksaan lanjut menemui beberapa karton rokok seludup dalam kereta itu sebelum kedua-duanya ditahan untuk membantu siasatan.

    Komander Briged (PGA) Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, operasi itu dijalankan anggota Batalion 16 PGA Kota Kinabalu menerusi Op Kontraban hasil maklumat awam serta risikan.

    “Selepas ditahan, kedua-dua suspek membawa pasukan operasi ke kawasan lapang yang dijadikan tempat penyimpanan sebuah kontena sebelum menemukan menemui ratusan karton rokok dan minuman keras tidak bercukai,” katanya ketika dihubungi.

    Abdul Rani berkata, kedua-dua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat untuk tindakan lanjut.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

  • Kanak-kanak 2 tahun maut motosikal ibunya dilanggar lori

    Kanak-kanak 2 tahun maut motosikal ibunya dilanggar lori

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG kanak-kanak berusia dua tahun meninggal dunia selepas motosikal ditunggang ibunya dilanggar lori dari arah belakang dalam kejadian di Kilometer 4 Jalan Mawai-Kuala Sedeli, Kota Tinggi, hari ini.

    Kemalangan pada pukul 11.55 pagi itu melibatkan motosikal Yamaha Legenda 115Z(E) ditunggang ibu mangsa, 21, dan lori jenis Nissan dipandu seorang lelaki, 21, dan kalindannya 25.

    Semasa kemalangan kanak-kanak tersebut membonceng motosikal tersebut.

    Kemalangan pada pukul 11.55 pagi itu melibatkan motosikal Yamaha Legenda 115Z(E) ditunggang ibu mangsa, 21, dan lori jenis Nissan dipandu seorang lelaki, 21, dan kalindannya

    Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Hussin Zamora berkata, kejadian itu berlaku ketika mangsa dan ibunya datang dari arah Kuala Sedeli menghala ke Mawai.

    “Tiba-tiba motosikal dinaik dua beranak itu dilanggar lori berkenaan dari arah belakang iaitu arah yang sama.

    “Akibat pelanggaran tersebut penunggang wanita itu mengalami kecederaan parah manakala manakala anaknya meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Kejadian berlaku ketika mangsa dan ibunya datang dari arah Kuala Sedeli menghala ke Mawai sebelum dilanggar dari belakang

    Menurut beliau, wanita tersebut kemudian dikejarkan ke Hospital Kota Tinggi.

    Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan boleh dipejara mininum lima tahun dan maksimum 10 tahun serta didenda RM20,000 hingga RM50,000.

    Jelas Hussin, ini termasuk juga hilang kelayakan lesen memandu selama tempoh kira-kira lima tahun.

  • Jangan sensasikan kejadian bakar senaskah al-Quran

    Jangan sensasikan kejadian bakar senaskah al-Quran

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    POLIS meminta orang ramai tidak mensensasikan atau membuat spekulasi liar berkenaan kejadian senaskah al-Quran yang dibakar di kawasan riadah Tasik Taman Sri Impian, Kluang, semalam.

    Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Low Hang Seng berkata, perbuatan tersebut hanya akan menimbulkan kegusaran orang ramai.

    Beliau memberitahu, setakat ini pihaknya sudah menerima enam laporan polis daripada saksi kejadian dan lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung kes berkenaan.

    “Satu daripada laporan daripada seorang wanita yang memaklumkan kejadian itu ketika bersenam di kawasan tasik berkenaan.

    “Wanita berkenaan terjumpa senaskhah al-Quran yang dibakar dan hanya tinggal cebisan kertas dan ayat saja.

    “Setakat ini belum ada tangkapan dilakukan dan kita minta mana-mana pihak yang menyaksikan kejadian itu tampil bagi membantu siasatan polis.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan dan pihak polis sedang giat menjalankan siasatan kes ini dari pelbagai sudut,” katanya ketika dihubungi.

    Dalam kejadian pukul 7.45 pagi semalam, seorang pengunjung, Syarifuddin Kasimin, 41, bersama-sama isterinya sedang berjoging melalui kawasan riadah berkenaan sebelum ternampak kepulan asap seperti sampah terbakar.

    Dia dan isteri, Siti Wahidah Wahid, 36, mendakwa, mereka menghampiri objek tersebut dan buat pemeriksaan mendapati benda yang terbakar itu adalah senaskah al-Quran yang dibakar individu tidak bertanggungjawab.

    Selepas berbincang pasangan berkenaan akhirnya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang semalam.

    Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, pihaknya sedang menyiasat kejadian tersebut dan telah mengarahkan Pejabat Kadi Daerah untuk mengambil tindakan selanjutnya.

  • Pengedar air ketum dicekup, 222 botol air ketum dirampas

    Pengedar air ketum dicekup, 222 botol air ketum dirampas

    POLIS menahan seorang lelaki dan merampas 222 botol plastik berisi cecair dipercayai air ketum dianggarkan bernilai RM2,220 selepas melakukan serbuan di sebuah rumah di Jalan Kebun, Shah Alam, Isnin lalu.

    Operasi sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam itu dijalankan pada pukul 8.30 malam berdasarkan maklumat awam dan risikan selama dua minggu.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, hasil pemeriksaan, polis menemui tiga tong berwarna oren iaitu tong simpanan ais dan di dalamnya mengandungi 222 botol plastik dengan isi padu 1.5 liter.

    “Botol berkenaan mengandungi cecair disyaki air ketum dianggarkan berjumlah 333 liter dan difahamkan suspek menjual air ketum itu pada harga RM10 sebotol.

    “Anggaran rampasan air ketum berjumlah RM2,220,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Katanya, suspek yang berusia 25 tahun didapati sudah berkahwin dan menyewa rumah berkenaan sejak tiga tahun lalu.

    Bekalan air ketum itu katanya, dijual kepada pelanggan di sekitar Shah Alam dan Pelabuhan Klang manakala bekalan daun ketum dipercayai diperoleh dari negeri di utara Semenanjung.

    “Difahamkan, suspek boleh menjual sehingga mencecah 400 botol sebulan dan setiap 10 kilogram daun ketum diproses dapat menghasilkan 60 hingga 70 botol air ketum.

    “Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah serta tidak mempunyai rekod lampau.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan jika disabitkan boleh didenda sehingga RM10,000 atau dipenjara tidak melebihi empat tahun atau keduanya sekali,” katanya.

  • Engggan beri wang, ibu dipukul hingga patah pergelangan tangan

    Engggan beri wang, ibu dipukul hingga patah pergelangan tangan

    IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menahan seorang penagih dadah selepas mencenderakan ibunya di rumah mereka di Pelangi Damansara, Petaling Jaya, Sabtu lalu.

    Suspek yang berusia 45 tahun itu memukul ibunya, 73, dengan sebatang kayu dan mengakibatkan pergelangan tangan warga emas tersebut patah.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, wanita berkenaan disahkan mengalami kecederaan itu sewaktu mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

    Menurut Mohamad Fakhrudin, suspek memukul ibu kandungnya itu selepas ibunya enggan memberikan wang kepadanya.

    “Warga emas berusia 73 tahun itu membuat laporan polis sekitar pukul 3.24 petang, pada Selasa. Pada hari sama iaitu sekitar pukul 11.30 malam, polis dari Balai Damansara menahan suspek yang berusia 45 tahun.

    “Siasatan awal mendapati suspek yang tidak bekerja sering bertindak agresif dengan memukul dan meminta wang daripada pengadu untuk membeli dadah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Katanya, suspek direman empat hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.