SEORANG anggota polis maut berpangkat Koperal maut selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggangnya terbabas dan melanggar konkrit pembahagi jalan di Kilometer 58 Jalan Kuching- Sri Aman, Serian, hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 10.04 pagi itu dan Zairulizan Ismail, 38, beralamat di Kampung Melayu Tebakang meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.
Jelasnya, kemalangan berlaku ketika motosikal Kawasaki Z1000 ditunggang mangsa dari arah Kuching menuju ke Serian.
“Sampai di tempat kejadian, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke tepi jalan dan melanggar konkrit pembahagi jalan.
“Mangsa terbabas dan mengalami kecederaan serius di kepala dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang ke lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, mayatnya dibawa ke hospital Serian untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
TINJAUAN dron berjaya menjejaki empat pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Thailand yang cuba keluar dari negara ini di kawasan pangkalan haram Guchil, Jeram Perdah, Rantau Panjang, malam kelmarin.
Menerusi rondaan menggunakan dron yang dilakukan Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu berjaya mengesan sekali gus menumpaskan penyeludupan PATI.
Pegawai Pemerintah Batalion 9 PGA Kuala Terengganu, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, dalam serbuan pukul 11.30 malam itu, pihaknya berjaya menahan empat PATI warga Thailand.
“Selain itu, PGA turut menahan seorang lelaki tempatan yang bertindak sebagai ‘tekong darat’ untuk membawa PATI tersebut menggunakan kereta jenis Honda Civic,” katanya dalam satu kenyatan, hari ini.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati pasport yang dimiliki oleh tiga PATI itu telah tamat tempoh.
Beliau berkata, salah seorang daripada PATI tersebut tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri secara sah.
Nor Azizan berkata, kesemua individu yang ditahan itu dibawa balik ke Balai Polis Jeram Perdah untuk tindakan lanjut.
“Kesemua PATI itu kemudian diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan berikutnya.
“Kes disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
SEORANG lelaki warga Indonesia lari meninggalkan isterinya akibat panik dan bimbang ditahan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Plaza Tol Jalan Duta, Kuala Lumpur, 8.30 malam tadi.
Lelaki berusia 30 tahun yang menunggang motosikal jenis Honda Vario bertindak melarikan diri selepas diminta mengemukakan lesen motosikal dan dokumen pengenalan diri oleh pihak penguat kuasa ketika Op Bersepadu.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Aedy Fadly Ramli, lelaki terbabit diminta memberhentikan motosikal ditunggang bersama-sama isterinya sebelum dia berpura-pura membuat panggilan telefon.
Beliau berkata, suspek kemudian melarikan diri sejauh 200 meter menghala ke tengah lebuh raya sebelum berjaya ditahan beberapa anggota penguat kuasa.
“Semakan lanjut mendapati pasangan suami isteri itu berasal dari Surabaya, Indonesia dan masing-masing tidak mempunyai dokumen sah. Mereka sedang dalam perjalanan dari Shah Alam ke Segambut,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.
Aedy Fadly berkata, 318 notis kesalahan dikeluarkan dalam operasi bermula pada pukul 8 malam hingga 12 tengah malam.
“Daripada jumlah itu, 158 kes melibatkan kesalahan Lesen Kenderaan Motor diikuti nombor pendaftaran kenderaan sebanyak 73 kes; cermin gelap (66); sembilan kesalahan teknikal; tujuh kesalahan lampu HID; dan cermin sisi sebanyak lima kes,” katanya.
Pemeriksaan lain turut dijalankan agensi terlibat termasuk pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN), mengenal pasti pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menetap lebih masa, penyalahgunaan pas lawatan sosial dan tiada dokumen pengenalan diri.
Ini termasuk penyalahgunaan dadah serta penguatkuasaan Peraturan Kualiti Alam Sekitar (Bunyi Bising Kenderaan Motor) 1987 dan Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Motosikal) 2003.
Operasi Bersepadu berkenaan melibatkan 129 anggota daripada pelbagai agensi penguatkuasaan termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Agensi Antidadah Kebangsaan dan Jabatan Alam Sekitar.
MAYAT seorang bayi perempuan yang cukup sifat ditemukan dalam longgokan sampah di tong sampah di kawasan Flat B4 Taman Bagan, Butterworth, Pulau Pinang pukul 9.35 pagi ini.
Mayat bayi yang dibalut dengan sehelai kain itu ditemukan seorang penduduk bersama-sama dua lelaki warga Myanmar yang sedang menjalankan kerja-kerja pembersihan dan mengutip sampah di kawasan flat tersebut.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, sepasukan polis segera ke lokasi penemuan mayat bayi tersebut sebaik sahaja menerima laporan dan mendapati mayat bayi berkenaan berada dalam longgokan sampah.
Tambahnya, siasatan lanjut kini sedang dijalankan untuk mengesan ibu serta pihak yang membuang mayat tersebut.
“Polis dengan bantuan penduduk setempat juga sedang mencari penduduk di sekeliling yang dalam pantang selepas bersalin atau yang diketahui hamil bagi membantu siasatan kes itu,” katanya kepada pemberita, hari ini.
POLIS memberkas empat lelaki selepas terlibat melakukan samun terhadap seorang guru wanita di Jalan Pulai 2, Kangkar Pulai, Iskandar Puteri pada 9 Oktober lalu.
Semua suspek yang berusia 23 hingga 36 tahun itu memecah masuk rumah keluarga guru sekolah rendah itu pada pukul 2.45 pagi.
Menurut Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar, tangkapan itu dilakukan susulan laporan polis diterima menerusi panggilan MERS daripada guru wanita itu yang berusia 30-an.
“Semasa kejadian mangsa yang masih bujang itu seorang diri di rumah sebelum didatangi lima lelaki berkulit gelap bersenjatakan parang lalu mengikat kaki dan tangannya menggunakan sarung bantal.
Polis turut merampas satu unit pemutar skru, satu unit pemotong besi, dua bilah parang panjang dan empat pasang sarung tangan kain
“Kumpulan lelaki itu didakwa melarikan pelbagai barangan termasuk beberapa kamera, lensa dan pelbagai aksesori kamera dipercayai milik kakak ipar mangsa yang bekerja di Singapura. Mangsa mendakwa kerugian RM70,000 akibat kejadian itu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, hari ini.
Dzulkhairi berkata, bertindak atas maklumat, pada pukul 3.30 petang hingga 10 malam sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri melakukan serbuan dan tangkapan di dua lokasi berbeza.
Beliau berkata, serbuan pertama di hadapan restoran Jalan Mutiara Mas 1/2, Taman Mutiara Mas, Skudai dan pihaknya berjaya menahan dua lelaki serta merampas kereta jenis Honda Accord bernombor pendaftaran JTQ1263 serta anak kunci dan alat kawalan jauh.
Menurutnya, serbuan kedua di sekitar Taman Universiti, Skudai, pihaknya menahan dua lelaki serta merampas pelbagai barangan dipercayai hasil kegiatan samun.
Katanya, ini termasuk tiga beg jenama Nsmo, empat lensa kamera Canon, tiga unit kamera Canon, dua unit lampu flash tanpa wayar, dua unit bateri, dua unit adapter, sebuah speedlite transmitter camera jenis Canon, satu unit lampu flash Witstro jenama Nsmo, satu unit flash point dan satu unit bulb flash jenama Nsmo.
“Polis turut merampas satu unit pemutar skru, satu unit pemotong besi, dua bilah parang panjang dan empat pasang sarung tangan kain. Tiga daripada suspek yang ditahan mempunyai rekod lampau.
Empat lensa kamera Canon, tiga unit kamera Canon, dua unit lampu flash tanpa wayar, dua unit bateri dan dua unit adapter antara barang yang dicuri
“Seorang daripadanya mempunyai 24 rekod melibatkan kes jenayah dan penyalahgunaan dadah manakala dua lagi mempunyai rekod lampau iaitu masing-masing lapan dan satu.
Dzulkhairi berkata, siasatan awal mendapati kumpulan berkenaan baru diwujudkan dan tangkapan itu dipercayai dapat menyelesaikan beberapa kes samun di sekitar kawasan berkenaan kebelakangan ini.
Beliau berkata, kumpulan berkenaan dipercayai memilih kediaman mangsa secara rawak dengan beranggapan rumah berkenaan tidak berpenghuni.
Menurutnya, mangsa tidak dicederakan dalam kejadian itu dan dalam keadaan selamat.
Katanya, polis berjaya mengesan kumpulan itu menerusi siasatan dan intipan termasuk berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah plaza tol di Gelang Patah di sini.
“Keempat-empat suspek ditahan reman sehingga bermula semalam hingga 26 Oktober bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. Polis masih memburu seorang lelaki dipercayai ahli Kumpulan berkenaan yang masih bebas,” katanya.
SEORANG pembantu rumah warga Indonesia mendakwa didera majikannya ya ng juga pengarah sebuah agensi penguat kuasa, Isnin lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya mengesahkan kejadian itu dan mengakui ada menerima laporan membabitkan insiden itu.
“Ya, siasatan sedang giat dilakukan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Difahamkan wanita berkenaan mendakwa dipukul kepala, sebelum dikurung dalam sebuah bilik.
Bagaimanapun, wanita itu dikatakan dapat melarikan diri dan terus menuju ke Kedutaan Indonesia sebelum membuat laporan polis terhadap pegawai agensi penguat kuasa itu.
AKIBAT mengejar keuntungan dalam masa singkat, seorang ahli perniagaan mengalami kerugian berjumlah RM191,000.
Mangsa yang berusia 30-an itu menjadi mangsa skim pelaburan mata wang kripto pada awal Oktober lalu.
Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafein Mamat, mangsa ditawarkan oleh kenalannya yang merupakan seorang wanita tempatan untuk menyertai satu skim pelaburan menggunakan mata wang kripto tersebut.
Jelasnya, mangsa dijanjikan dengan pulangan satu peratus sehari mengikut tempoh waktu yang telah ditetapkan.
“Dalam tempoh seminggu, mangsa telah membuat beberapa transaksi pelaburan berjumlah RM242,000 ke empat akaun bank milik seorang individu untuk membeli mata wang kripto bagi membuat pelaburan.
“Ia dibuat melalui satu aplikasi yang dimuat turun melalui laman sesawang pelaburan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, status pelaburan yang dibuat itu boleh dipantau oleh mangsa melalui aplikasi e-wallet terbabit.
Beliau berkata, dalam tempoh kurang dari tiga minggu, mangsa juga telah berjaya membuat pengeluaran wang pulangan pelaburan berjumlah RM51,000 dengan membuat pindahan dari aplikasi e-wallet pelaburan berkenaan ke akaun bank miliknya.
Bagaimanapun, katanya, pada pada Isnin lalu, mangsa mendapati aplikasi pelaburan yang dimuat turun menggunakan telefon pintar serta laman sesawang pelaburan berkenaan tidak lagi boleh diakses.
Shafien berkata, mangsa yang mengalami kerugian RM191,000 telah membuat laporan polis semalam selepas mengesyaki dia telah tertipu.
“Kes kini dalam siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan kami ingin mengingatkan kepada masyarakat supaya berhati-hati dalam membuat pelaburan secara dalam talian mahupun bersemuka.
“Nasihat kami, sentiasalah membuat semakan dengan Suruhanjaya Sekuriti (SC), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum membuat satu-satu keputusan,” katanya.
Beliau berkata, langkah lain yang boleh diambil untuk mencegah diri daripada menjadi mangsa penipuan atau scam adalah dengan memuat turun aplikasi ‘Check Scammers CCID’ untuk membuat semakan nombor akaun bank dan nombor talian telefon yang digunakan sama ada pernah terlibat dengan kes-kes jenayah komersil.
SEORANG anggota polis meninggal dunia selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam satu kemalangan di KM 20.9 Lebuh Raya Utara Selatan (arah Utara) di Kulai, hari ini.
Nahas membabitkan Lans Koperal Mohd Sofian Mohd Saad, berusia 35 tahun yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara itu berlaku kira-kira pukul 12 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, pihaknya menerusi anggota trafik yang bertugas di kawasan itu menerima laporan berhubung kejadian itu 15 minit kemudian.
Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang menaiki motosikal jenis Yamaha R25 gagal mengelak kereta jenis Produa Alza di hadapannya.
“Kereta itu dipercayai secara tiba-tiba mengubah laluan pemanduan ke lorong kiri setelah memotong kenderaan yang lain.
“Mangsa yang bertugas di cawangan komandan IPD Johor Bahru Utara disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beng Yeow berkata, semasa kejadian tersebut mangsa sedang bertugas.
Katanya, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim di Kulai untuk proses bedah siasat.
“Dalam kemalangan ini, pemandu kereta Produa Alza itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kedua-dua kenderaan turut dibawa ke Puspakom Senai untuk diperiksa. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
SEORANG lelaki menikam isterinya hingga parah dalam kejadian di belakang gereja St Mark Batu Kawa, Kuching, malam semalam.
Wanita itu, 35, beberapa kali ditikam dengan senjata tajam pada pukul 7.30 malam dan cedera di belakang badan, luka di kepala dan leher.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, mangsa sebelum itu meminta izin ibunya untuk keluar dari rumah di Taman Desa Wira, Kuching bagi bertemu suspek, 35, di lokasi kejadian.
“Mangsa dan suaminya difahamkan dalam proses perceraian dan mereka tidak tinggal bersama.
“Tidak lama kemudian ibu mangsa menerima panggilan daripada orang awam mengatakan anak perempuannya mengalami kecederaan teruk akibat ditikam menggunakan objek tajam.
“Mangsa yang ditemui oleh orang awam berlumuran darah di lokasi kejadian lalu dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) bagi rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, berikutan itu polis mengesan suspek dikenali sebagai Aloysius Sinlair Aden beralamat di Kampung Apar Singai, Bau untuk membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan di talian 082-862233.
RAHSIA hidup seorang penganggur hidup mewah walaupun tidak bekerja terbongkar dua kediaman mewah miliknya di Jalan Bukit Palma 2, Kajang, Selangor, diserbu pada Selasa lalu.
Serbuan pada pukul 1.30 tengah hari itu membawa kepada penemuan dadah disyaki jenis methaphetamin seberat 1.05 kilogram (kg) dalam bungkusan teh cina.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yong Lei Choo berkata, serbuan itu selepas pihaknya melakukan risikan terhadap sindiket pengedaran dadah berpusat di Brickfields, Kuala Lumpur yang dipercayai aktif sejak September lalu.
Sebahagian daripada dadah serta wang tunai dengan nilai keseluruhan hampir RM 1.17 juta yang berjaya dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat
Selepas maklumat diterima katanya, pihak polis melakukan serbuan pertama di rumah mewah tersebut dan menahan suspek yang 31 tahun.
“Hasil soal siasat terhadap lelaki berkenaan, kami membuat satu lagi serbuan di unit kediaman di residensi berkenaan pada hari sama.
“Kami menemui 18 bungkusan dadah dipercayai heroin seberat 8.05 kg serta 3.12 kg dadah jenis methamphetamin yang diletakkan di dalam sebuah bilik di kediaman itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yong Lei Choo (tengah) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian daripada dadah serta wang tunai dengan nilai keseluruhan hampir RM 1.17 juta yang berjaya dirampas ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat
Lei Choo berkata, pihaknya membuat serbuan ketiga di unit kediaman di residensi mewah di Taman Teknologi Mint, Bangi, Selangor.
“Kami merampas 20 bungkusan teh cina mengandungi dadah jenis methamphetamin seberat 21.1 kg serta 28 bungkusan plastik lutsinar mengandungi dadah jenis heroin seberat 12.61 kg di dalam sebuah bilik di rumah berkenaan.
“Dalam serbuan keempat pula, kami merampas wang tunai berjumlah RM60,520 di rumah teres dua tingkat di Jalan Taming Jaya, Balakong, Selangor,” katanya.
Sebahagian daripada wang tunai dan dadah dengan nilai keseluruhan hampir RM 1.17 juta yang berjaya dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat
Beliau berkata, modus operandi sindiket itu adalah menyewa dua kediaman mewah sebagai tempat penyimpanan dadah yang dibayar pada harga RM1,200 hingga RM1,800 sebulan.
“Semua dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM1.17 juta dan boleh digunakan seramai 91,860 penagih.
“Hasil saringan awal dilakukan mendapati suspek positif dadah jenis Tetra Hydrocannibol (THC) dan tiada rekod jenayah.
“Suspek direman selama tujuh hari bermula Rabu lalu hingga 26 Oktober ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti dari mana bekalan dadah berkenaan diperolehi serta individu lain yang terbabit dengan sindiket terbabit.