Category: Jenayah

  • Lelaki Bangladesh keluarkan kenyataan berbaur perkauman ditahan

    Lelaki Bangladesh keluarkan kenyataan berbaur perkauman ditahan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki warga Bangladesh yang bertindak mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman di platform Tik Tok mengundang padah setelah dicekup polis di Jalan Kempas Batu 7 1/2, Jalan Bakri, Muar, semalam.

    Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, suspek berusia 29 tahun itu ditahan pada jam 7.30 malam ketika berada di tepi jalan.

    Katanya, polis Muar telah menerima satu laporan polis berkenaan video yang tular dalam media sosial oleh suspek yang mengeluarkan kenyataan agama Hindu, Muslim dan perayaan Deepavali.

    “Tindakan lelaki warga asing itu boleh mendatangkan kegusaran dan mengganggu gugat keamanan awam.

    “Pada hari yang sama, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar telah berjaya menangkap suspek terbabit di tepi jalan.

    “Hasil siasatan mendapati permit suspek telah tamat tempoh dan telah tinggal lebih masa di negara ini,” katanya pada sidang akhbar di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Larkin, Johor Bahru, hari ini.

    Semalam, tular video lelaki berkenaan yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dalam media sosial Tik Tok namun didapati video itu tidak dapat dikesan dan dipercayai sudah dipadam.

    Ayob Khan memberitahu, suspek ditahan reman selama 14 hari untuk siasatan lanjut.

    Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

    “Semua masyarakat diingatkan supaya menghormati perpaduan kaum di Malaysia yang mempunyai pelbagai kaum dan agama, jangan bawa masuk budaya-budaya luar.

    “Jika ada pekerja asing bawa fahaman asing untuk pecah belah keharmonian kaum, tindakan tegas akan dikenakan tanpa tolak ansur,” katanya.

  • Ah long maut ditetak depan dua anak

    Ah long maut ditetak depan dua anak

    SEORANG ah long maut ditetak depan dua anaknya dalam pergaduhan di hadapan sebuah restoran di Bandar Baru Bukit Tinggi, Klang awal pagi ini.

    Orang awam yang melihat kejadian tersebut kemudian menghubungi pihak polis pada pukul 12.34 pagi.

    Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, siasatan awal dijalankan mendapati mangsa berumur 47 tahun itu datang ke restoran berkenaan bersama-sama dua anaknya yang masing-masing berumur 10 dan 18 tahun.

    “Selesai makan sekitar pukul 12.20 pagi, mangsa dan dua anaknya berjalan kaki ke kereta jenis Toyota Vellfire yang diletakkan di hadapan restoran berkenaan.

    “Ssebaik hendak membuka pintu kereta miliknya, mangsa didatangi tiga individu bersenjatakan parang sebelum dua daripadanya bertindak menetak mangsa.

    “Mangsa kemudiannya bertindak melarikan diri dan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

    Katanya, siasatan mendapati terdapat empat suspek terlibat dalam kejadian tersebut, seorang daripadanya dipercayai pemandu yang menunggu dalam kereta di belakang kereta mangsa di tepi jalan raya menghala keluar ke Persiaran Batu Nilam.

    Dalam pada itu, Shamsul Amar berkata, siasatan turut mendapati mangsa bekerja sebagai pemberi pinjaman wang atau ah long yang mempunyai pejabat di kawasan Bukit Tinggi Klang, Shah Alam dan Kajang.

    Beliau berkata, mangsa turut didapati mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau.

    “Usaha memburu suspek sedang giat dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Pesara tentera, pekerja farmasi ditipu sindiket pinjaman tidak wujud

    Pesara tentera, pekerja farmasi ditipu sindiket pinjaman tidak wujud

    SEORANG pesara tentera dan pekerja farmasi mengalami kerugian masing-masing RM6,000 dan RM2,589 pada 3 dan 4 November lalu, selepas menjadi mangsa penipuan pinjaman tidak wujud.

    Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, pesara tentera, 39, kerugian RM6,000 selepas tertarik dengan satu pinjaman peribadi menerusi Facebook.

    “Mangsa kemudian menghubungi seorang wanita dikenali Jenifer Wong untuk membuat pinjaman berjumlah RM20,000.

    “Pesara tentera itu kemudian diarahkan memasukkan sejumlah wang bagi urusan pinjaman dan membuat sebanyak enam kali pembayaran secara dalam talian pada 3 dan 4 November.

    “Mangsa akhirnya menyedari ditipu selepas dia diminta membuat pembayaran sekali lagi sebanyak RM2,000 bagi membuka akaun pinjaman berkenaan.

    “Semakan polis mendapati akaun bank yang digunakan oleh suspek sudah mempunyai rekod penipuan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Dalam kejadian berasingan, Chang Hook berkata, seorang wanita yang juga pekerja farmasi berusia 30 tahun, turut menjadi mangsa penipuan pinjaman tidak wujud selepas berurusan dengan syarikat dari Klang, Selangor yang ditemui menerusi enjin carian Google.

    Katanya, mangsa yang berminat untuk membuat pinjaman peribadi berjumlah RM5,000 itu kemudiannya berhubung dengan seorang wanita, sebelum diarahkan membuat pembayaran bagi memproses pinjaman.

    “Pada 4 November, mangsa membuat pembayaran secara dalam talian ke dalam dua akaun bank berjumlah RM2,589.

    “Dia kemudiannya diminta untuk memasukkan lagi RM1,800, namun tidak diendahkan mangsa yang menyedari sudah ditipu,” katanya.

    Tambahnya, kedua-dua mangsa membuat laporan di Balai Polis Bandar Seri Jempol dan Batu Kikir bagi tindakan lanjut.

    Pihak polis masih lagi menjalankan siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

  • PGA tumpaskan sindiket seludup PATI

    PGA tumpaskan sindiket seludup PATI

    BATALION 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan kegiatan sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) didalangi seorang tekong darat warga tempatan tumpas di Kampung Sungai Janggut, Kuala Selangor, semalam.

    Menerusi Op Benteng Covid-19 tersebut, lelaki berusia 37 tahun itu ditahan pada pukul 5 pagi.

    Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Superintenden Rizal Mohamed berkata, hasil pemeriksaan lanjut membongkar kegiatan penyeludupan itu.

    “Kita berjaya mengesan seramai 60 pendatang asing tanpa izin (PATI) terdiri daripada 38 lelaki dan 22 wanita berusia lingkungan 16 hingga 51 tahun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Rizal berkata, operasi dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor itu mendapati kesemua individu gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah dan dipercayai masuk ke negara ini melalui laluan tidak diwartakan iaitu jalan laut menggunakan bot.

    “Turut dirampas sebuah kenderaan, dua unit telefon bimbit serta wang tunai RM147 dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM61,400,” ujarnya.

    Beliau memberitahu, semua tangkapan dan rampasan telah dibawa ke Balai Polis Jeram untuk tindakan lanjut di bawah Akta Anti Permerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 serta Akta Imigresen 1959/63.

    “Kesemua tangkapan akan menjalani ujan saringan Covid-19 bagi mencegah penularan virus dalam kalangan pesalah dan juga petugas polis,” jelasnya.

  • Pelajar IPTA dikhuatiri lemas dalam tasik

    Pelajar IPTA dikhuatiri lemas dalam tasik

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    AKTIVITI riadah sekumpulan lelaki yang melakukan aktiviti mendaki bertukar menjadi detik hitam apabila salah seorang daripada mereka telah terjatuh tebing dan masuk ke Tasik Tiga Beradik, Plentong, Johor Bahru, pagi tadi.

    Dalam kejadian itu, seorang pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Pasir Gudang dikhuatiri lemas di tasik berkenaan.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya, Saiful Bahri Safar berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 11.20 pagi menyatakan terdapat seorang lelaki dewasa berusia 20-an dipercayai lemas.

    Beliau berkata, mangsa difahamkan bersama kira-kira 40 rakannya melakukan aktiviti riadah mendaki di kawasan tersebut.

    “Mangsa dipercayai melakukan aktiviti mendaki dikawasan tersebut. Ketika mereka ingin melintasi tasik dengan melalui tebing, mangsa telah terjatuh. 

    “Rakan mangsa cuba membantu dengan menarik mangsa namun kehabisan tenaga dan pegangan tangan mangsa telah terlepas dari tangan rakan mangsa hingga menyebabkan mangsa tenggelam ke dasar tasik. 

    “Selepas cubaan menyelamat gagal, salah seorang rakan mangsa kemudian menghubungi pihak bomba,”katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Saiful Bahri, 11 anggota dari BBP Johor Jaya dan Pasir Gudang digegaskan ke lokasi bagi usaha mencari dan menyelamat yang masih dijalankan sehingga kini.

  • Bapa, anak menagih dadah dicekup

    Bapa, anak menagih dadah dicekup

    SEORANG penagih dadah ditahan bersama-sama anaknya dalam serbuan Op Jihad Dadah di sebuah rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang, Petaling Jaya, tengah malam tadi.

    Serbuan pukul 12 tengah malam itu menahan lelaki berusia 38 tahun bersama-sama anak lelakinya yang berusia 17 tahun.

    Suspek berusia 38 tahun itu dipercayai sempat membuang serbuk disyaki dadah.

    Lelaki tersebut meronta-ronta dan meraung semasa hendak ditahan anggota serbuan memaksa isterinya yang turut berada dalam rumah membuat keputusan untuk pergi ke balai supaya suaminya memberi kerjasama kepada pihak polis.

    Difahamkan, lelaki terbabit dan anak lelakinya yang berusia 17 tahun itu pernah ditahan di kediaman tersebut sebelum ini atas kesalahan sama malah kes berkenaan masih di peringkat perbicaraan di mahkamah namun kedua-dua mereka masih tidak serik.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Fakhruddin Abdul Hamid berkata, Op Jihad Dadah merupakan yang pertama kali seumpamanya diadakan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

    “Jihad dadah ini bertujuan menangkap pengedar dan penagih dadah yang bergiat aktif di dalam daerah Petaling Jaya dan menyekat kemunculan penagih baharu serta memberi pendidikan dan kesedaran kepada kumpulan sasaran.

    “Kawasan Lembah Subang dipilih kerana terdapat banyak aduan yang diterima berkaitan dengan masalah penagihan dadah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di IPD Petaling Jaya, malam tadi.

    Mohd. Fakhruddin memberitahu, pihaknya berjaya merampas syabu (81.03 gram), heroin (21.07 gram), ganja (0.30 gram) dan air ketum (10 liter) di Lembah Subang sejak Januari hingga Oktober 2021.

    Tambahnya, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Petaling Jaya turut mencatatkan sebanyak 59 tangkapan melibatkan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dalam tempoh sama di sini.

    Op Jihad Dadah itu melibatkan 123 orang pegawai kanan dan anggota polis dari bahagian dan cawangan serta balai-balai di bawah Petaling Jaya.

    Operasi tersebut dijalankan dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) melibatkan anggota dari kedua-dua agensi.

  • PDRM buru Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown

    PDRM buru Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown

    EDITOR Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown kini menjadi orang yang dikehendaki Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, Rewcastle-Brown yang juga warga United Kingdom (UK) dikehendaki bersabit waran tangkap eTA3507737 yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Terengganu pada 23 September lalu.

    Menurut beliau, waran tangkap tersebut dikeluarkan terhadap Editor Sarawak Report itu berikutan kegagalan untuk hadir pertuduhan kes fitnah terhadap Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

    “Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai penama ini diminta menghubungi Ketua Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Superintendan Junainah M Kasbolah di talian 019-7051222 atau Pegawai Penyiasat Kes, Asisten Superintendan Mohd Khairul Ridzuan Khiruddin di talian 017-6404440,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Pada 23 September lalu, Mahkamah Majistret Kuala Terengganu mengeluarkan waran tangkap terhadap Rewcastle-Brown, kerana gagal menghadirkan diri untuk dituduh berkaitan kes fitnah terhadap Sultanah Nur Zahirah.

    Perintah itu dikeluarkan Majistret Nordiana Abd Aziz selepas pihak pendakwaan memohon satu waran tangkap dikeluarkan terhadap Rewcastle-Brown, 62.

    Rewcastle-Brown berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah melalui buku The Sarawak Report-The Inside Story of the 1MDB Expose.

    Nordiana kemudian menetapkan 23 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah, Noor Haslinda Che Seman dan Nadia Zulkefli.

    Terdahulu, Sultanah Nur Zahirah memfailkan saman fitnah terhadap Rewcastle-Brown berhubung fitnah dalam buku ‘The Sarawak Report-The Inside Story of the 1MDB Expose’ dan menuntut ganti rugi am sebanyak RM100 juta.

    Sultanah Nur Zahirah yang memfailkan saman pada 21 November 2018, mendakwa kenyataan berbaur fitnah itu antara lain bermaksud baginda terbabit dalam amalan rasuah dan mencampuri urusan pentadbiran Kerajaan Terengganu, selain menggunakan status baginda untuk mempengaruhi penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) yang kemudian dikenali sebagai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Sultanah Nur Zahirah juga mendakwa kenyataan itu membawa maksud baginda membantu ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low menjadi penasihat TIA.

  • ST serbu empat gudang, rampas barang elektrik RM2 juta

    ST serbu empat gudang, rampas barang elektrik RM2 juta

    SURUHANJAYA Tenaga (ST) merampas pelbagai peralatan elektrik bernilai kira-kira RM2 juta dalam serbuan di empat gudang di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor pada Selasa lepas kerana disyaki mengedar peralatan elektrik yang tidak mendapat kelulusan.

    Pengarah Penguatkuasaan dan Operasi Kawasan ST, Mohd Elmi Anas berkata, serbuan dibuat susulan aduan mengenai penjualan kelengkapan elektrik yang menggunakan label SIRIM palsu di pasaran serta dalam talian.

    Beliau berkata, kelengkapan elektrik seperti kabel pendawaian pelbagai saiz, lampu LED, soket alir keluar dan adapter elektrik itu dirampas kerana gagal mematuhi keperluan undang-undang seperti tidak mempunyai Perakuan Kelulusan mengimport atau mengilang dari ST sebelum ia dibawa masuk atau dikilang.

    “Peralatan elektrik yang dirampas itu juga tidak dilekatkan dengan label SIRIM-ST serta menggunakan label SIRIM-ST palsu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, tindakan undang-undang akan diambil ke atas pengimport, pengilang atau penjual yang didapati gagal mematuhi Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447) dan Peraturan-Peraturan Elektrik 1994.

    Bagi kes pemalsuan label, tindakan undang-undang akan diambil oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730), katanya.

    “Pihak pengimport, pengilang dan penjual kelengkapan elektrik pula perlu mematuhi perundangan negara ini dan memastikan hanya kelengkapan elektrik yang telah diperakui selamat, dijual di premis jualan ataupun dalam talian,” katanya. – Bernama

  • Pesara pensyarah rugi RM1.87 juta diperdaya ‘Pegawai TM’

    Pesara pensyarah rugi RM1.87 juta diperdaya ‘Pegawai TM’

    SEORANG pesara pensyarah rugi RM1.87 juta selepas diperdaya seorang lelaki yang menyamar ‘Pegawai’ Telekom Malaysia (TM), Selasa lalu.

    Mangsa yang merupakan seorang wanita berusia 80 tahun mendakwa, suspek sebelum itu memaklumkan namanya digunakan dalam aktiviti perjudian dalam talian dan pengubahan wang haram.

    Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Superintendan Tan Poh Cheok, mangsa diminta untuk membuat beberapa transaksi secara pindahan berjumlah RM730,000 dan menyerahkan kad mesin juruwang automatik (ATM).

    “Selepas itu, wanita berkenaan mendapati terdapat transaksi pindahan wang daripada akaunnya berjumlah RM1.87 juta,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, wanita berkenaan membuat laporan polis pada Selasa lalu dan polis sudah membuka kertas siasatan kes tersebut.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, katanya.

    Poh Cheok menasihatkan orang ramai mendapatkan butiran terperinci pihak berkuasa yang berhubung mengenai sebarang siasatan seperti nama dan pangkat pemanggil, selain tempat bertugas bagi mengelak menjadi mangsa Macau Scam.

    “Mereka juga dinasihatkan membuat panggilan semula kepada agensi berkenaan melalui talian rasmi dan tidak mendedahkan maklumat akaun serta OTP dan TAC (laluan guna sekali dan kod verifikasi) kepada pihak ketiga melalui panggilan telefon,” katanya.

    Orang ramai mempunyai maklumat kegiatan jenayah boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/0585 atau mana-mana balai polis berdekatan.

  • Kapal tunda dari Singapura ditahan ceroboh perairan, bersauh tanpa kebenaran

    Kapal tunda dari Singapura ditahan ceroboh perairan, bersauh tanpa kebenaran

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor menahan sebuah kapal tunda kerana gagal mempamerkan insuran dan bersauh tanpa kebenaran di perairan Tanjung Penawar, Kota Tinggi, semalam.

    Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal tunda itu ditahan dalam satu operasi pada kedudukan 5.5 batu nautika timur Tanjung Penawar pada pukul 8.45 pagi.

    “Kapal tunda itu dikendalikan enam kru warga Indonesia berumur di antara 20 tahun hingga 50 tahun serta mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

    Kapal tunda itu dikendalikan enam kru warga Indonesia berumur di antara 20 tahun hingga 50 tahun

    “Pemeriksaan lanjut terhadap dokumen bot mendapati nakhoda telah gagal mempamerkan insuran dan juga gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh.

    “Nakhoda serta Ketua Jurutera bot dibawa ke Pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Kes disiasat dibawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 untuk kesalahan bersauh tanpa kebenaran dan Seksyen 361(6) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 untuk kesalahan gagal mempamerkan dokumen berkaitan polisi insuran maritim.