Category: Jenayah

  • Lelaki Bangladesh ditipu rakan senegara dikurung, diminta wang tebusan

    Lelaki Bangladesh ditipu rakan senegara dikurung, diminta wang tebusan

    IMPIAN seorang lelaki warga Bangladesh yang mahu memulakan perniagaan di Malaysia tidak kesampaian selepas ditipu rakan senegara.

    Mangsa yang dikenali sebagai Mosharaf, 37, berkata, bagi mencapai impiannya dia terpaksa kilang aiskrim miliknya di bandar Cumilla, Bangladesh untuk membiayai kos perjalanan ke Malaysia enam tahun lalu.

    “Di Bangladesh setiap enam bulan suhu sejuk. Jadi saya bercadang hendak berniaga di sini kerana ada kawan cadangkan buka kilang di Malaysia kerana cuaca sentiasa panas,” katanya ketika ditemui pada sidang media Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), di Kuala Lumpur, hari ini.

    Dia datang ke Malaysia menggunakan visa profesional melalui seorang rakan yang bekerja sebagai ejen di Bangladesh.

    Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di lapangan terbang dia dibawa ke sebuah rumah di Shah Alam dan dikurung.

    Bapa kepada tiga cahaya mata itu memberitahu, pihak sindiket meminta sejumlah wang daripada keluarganya di Bangladesh sebagai syarat untuk melepaskannya.

    “Saya dikurung di tingkat tiga sebuah rumah pangsa di Shah Alam bersama-sama beberapa warga Bangladesh lain tanpa diberi makan. Saya cuba hubungi rakan yang bekerja sebagai ejen tetapi gagal.

    “Isteri saya terpaksa membayar sebanyak RM20,000 melalui pemindahan dalam talian kepada pihak sindiket untuk melepaskan saya,” katanya.

    Dia percaya, rakan senegaranya itu terlibat dengan ejen sindiket pemerdagangan manusia.

    Sementara itu, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, tindakan syarikat swasta mengambil kesempatan terhadap buruh asing yang ingin mencari rezeki dengan dijanjikan pendapatan lumayan tidak wajar.

    “Syarikat swasta ini berurusan dengan syarikat atau sindiket di negara sumber untuk mengutip bayaran RM15,000 ke RM20,000 satu pekerja untuk layak bekerja di negara kita.

    “Justeru, saya minta kerajaan mengkaji semula sistem kemasukan buruh asing ke negara ini termasuk tidak melantik pihak ketiga (syarikat swasta) sebagai ejen bagi menghapuskan kegiatan penyalahgunaan kuasa seumpama ini,” ujarnya.

  • Penganggur ditahan baling batu terhadap kenderaan di lebuh raya

    Penganggur ditahan baling batu terhadap kenderaan di lebuh raya

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG penganggur ditahan polis kerana disyaki terlibat dengan perbuatan membaling batu dari atas jambatan terhadap kenderaan yang melalui Lebuh Raya Utara Selatan hingga menyebabkan beberapa kenderaan rosak seperti yang tular dalam media sosial, baru-baru ini.

    Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superitendan Rodzi Abu Hassan berkata, tangkapan terhadap lelaki berusia 34 tahun itu dibuat hasil risikan dijalankan pasukan khas yang ditubuhkan bagi mengendalikan kes tersebut.

    Katanya, suspek ditahan kira-kira 1.45 petang semalam setelah dilihat memberhentikan motosikal ditunggangnya di atas jejantas lebuh raaya dari Jalan Wang Tepus menghala ke Bandar Darulaman di Jitra.

    tangkapan terhadap lelaki berusia 34 tahun itu dibuat hasil risikan dijalankan pasukan khas

    “Semasa pemerhatian dibuat, didapati penunggang motosikal tersebut telah turun dari kenderaannya dan mengambil sesuatu dari dalam raga motosikal tersebut.

    “Berikutan tindakannya itu, polis menghampiri suspek dan pemeriksaan mendapati terdapat dua ketul batu dalam raga motosikal ditunggangnya itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Isnin lalu seorang pengguna Facebook memuat naik rakaman dashcam menunjukkan bagaimana seorang lelaki dilihat membaling batu dari atas jambatan ke lebuh raya hingga mengakibatkan cermin depan kereta tersebut pecah manakala beberapa bahagian kereta pula kemek.

    Menurut pengguna Facebook tersebut, kejadian itu berlaku di Kilometer 32.6 Lebuh Raya Utara Selatan dengan dia turut membuat laporan polis berhubung perkara itu.

    Suspek memberi alasan tindakannya itu dilakukan kerana marah dan geram terhadap kenderaan berat yang sering menghimpit motosikalnya sebelum ini

    Mengulas lanjut Rodzi berkata, suspek memberi alasan tindakannya itu dilakukan kerana dia merasa marah dan geram terhadap kenderaan berat yang sering menghimpit motosikalnya sebelum ini.

    “Semakan lanjut mendapati suspek memiliki tujuh rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.

    “Selain itu, ujian saringan air kencing dijalankan juga mendapati dia positif dadah jenis Methamphetamine,” katanya.

    Tambahnya, kes tersebut kini masih disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat.

  • 1,620kg saderi mengandungi residu racun perosak dari China dilupus

    1,620kg saderi mengandungi residu racun perosak dari China dilupus

    JABATAN Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) melupuskan sebanyak 1,620 kilogram (kg) saderi yang diimport dari China kerana dikesan mengandungi residu racun perosak jenis Organonitrogen melebihi had yang dibenarkan hari ini.

    Pengarah JKNPP, Dr. Ma’arof Sudin berkata, sayuran berkenaan yang bernilai RM12,960 dibawa masuk dari China ke negeri itu menerusi pintu masuk antarabangsa Pulau Pinang.

    Menurutnya, JKNPP melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan akan terus memastikan produk hasil pertanian yang diimport masuk ke negara ini adalah mematuhi keperluan Akta Makanan 198 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

    “Perkara ini bagi memastikan pengguna dapat dilindungi daripada isu berkaitan keselamatan makanan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Tambah beliau, Kementerian Kesihatan melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) telah menjalankan pemantauan secara berkala ke atas produk pertanian yang dijual di pasaran tempatan. 

    Katanya, hasil pemantauan yang dijalankan sepanjang tahun lalu misalnya mendapati secara purata sebanyak 12.2 peratus produk melanggar residu racun perosak telah dikesan.

    “Kebolehkesanan telah dilaksanakan dan diuar-uarkan kepada pengeluar serta pengimport produk hasil pertanian berkaitan perkara ini,” katanya.

    Tambahnya, pada tahun ini pemantauan kehadiran residu racun perosak dalam produk hasil pertanian dilakukan secara berterusan dan tindakan di pelbagai peringkat telah dilaksanakan.

    “Ini bagi memastikan semua pengeluar, penjual, ejen dan pengimport produk hasil pertanian mengikut Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985,” katanya.

  • Rakyat Malaysia menanti hukuman mati akan dirawat positif Covid-19

    Rakyat Malaysia menanti hukuman mati akan dirawat positif Covid-19

    PERKHIDMATAN Penjara Singapura (SPS) mengesahkan seorang warganegara Malaysia yang dijadual dihukum gantung hari ini kerana mengedar dadah disahkan positif COVID-19 pada 9 November 2021, dan akan menerima rawatan perubatan.

    Nagaentran K. Dharmalingam, 33, hadir di Mahkamah Rayuan semalam untuk rayuan terakhir terhadap keputusan hukuman mati apabila mahkamah dimaklumkan beliau disahkan positif Covid-19.

    Menurut SPS, ujian pantas antigen (ART) dan ujian tindak balas rantai polimerase (PCR) yang dilakukan terhadap Nagaenthran pada 8 November 2021 menunjukkan keputusan negatif pada hari yang sama.

    “Beliau dibawa ke mahkamah pada tengah hari pada 9 November 2021. Selepas menerima keputusan ujian PCR positif pada petang itu, SPS segera memaklumkan mahkamah dan Nagaentran telah diasingkan,” kata SPS di laman webnya.

    Berikutan itu, Mahkamah Rayuan membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman berkuatkuasa serta-merta sehingga semua prosiding yang tertangguh selesai.

    SPS berkata Nagaenthran akan menerima rawatan perubatan dan prosiding akan disambung semula pada tarikh yang akan ditetapkan, selepas beliau pulih.

    “Nagaenthran sihat dan tanpa gejala. Dia tidak melaporkan sebarang penyakit sebelum perbicaraan mahkamahnya. Dia tidak diberi vaksin kerana memilih untuk tidak menerima mana-mana vaksin COVID-19,” kata SPS.

    Menurut SPS, sehingga 9 November, beberapa banduan dan kakitangan penjara dari Institusi A1 iaitu lokasi Nagaenthran ditempatkan disahkan positif COVID-19.

    Unit penempatan yang terjejas di Institusi A1, institusi penjara, telah ditutup untuk mengelakkan penularan virus itu.

    SPS menyebut Nagaentran mempunyai kontak seketika dengan dua kakitangan yang telah disahkan positif.

    Melihatkan kepada bilangan kes dalam komuniti semasa fasa pandemik ini lebih banyak kes jangkitan dijangka berlaku di penjara juga, dan SPS berkata ia mengambil langkah-langkah untuk memastikan keadaan terus terkawal. – Bernama

  • Pemilik bengkel buntu 40 motosikal pelanggan hangus

    Pemilik bengkel buntu 40 motosikal pelanggan hangus

    SEORANG pemilik bengkel motosikal buntu apabila lebih 40 motosikal pelbagai jenis milik pelanggannya yang dianggarkan bernilai lebih RM100,000 hangus dalam kebakaran di Jalan Sultanah Zainab, Kota Bharu, malam tadi.

    Wee Jit Hwa, 38, berkata kejadian itu berlaku sekelip mata sehingga mengakibatkan bengkel motosikal yang telah diusahakan bapanya sejak lebih 30 tahun lepas, terbakar 100 peratus.

    Katanya, ketika kejadian berlaku beliau tiada di situ kerana keluar membeli makanan.

    “Ketika hendak membeli nasi, saya menerima panggilan daripada jiran dan rakan terdekat memaklumkan kedai milik saya terbakar. Tanpa berlengah lagi saya terus bergegas pulang.

    “Setibanya di tempat kejadian, saya cuba memasuki kawasan berkenaan untuk melihat keadaan bengkel namun tidak dapat menghampirinya kerana api sedang marak selain anggota bomba juga sedang memadamkan kebakaran,” katanya ketika ditemui pemberita di Masjid Pakistan,Kota Bharu, hari ini.

    Bercerita lanjut, Wee berkata beliau tidak tahu bagaimana ingin memberitahu pelanggannya mengenai kejadian itu dan resah memikirkan kerugian yang dialami.

    “Membaiki motosikal ini satu-satunya pendapatan saya untuk menyara keluarga. Sebelum ini saya mampu meraih sekitar RM200 hingga RM300 sehari membaiki motosikal pelanggan,” kata bapa kepada seorang anak yang berusia satu setengah tahun itu. 

    Terdahulu, Imam Besar Negeri Kelantan Ustaz Muhammad Hana Pizi Abdullah mewakili Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menyampaikan bantuan kecemasan bernilai keseluruhan RM14,000 kepada tujuh keluarga yang terlibat bagi meringankan beban yang ditanggung.

    “Setakat ini pada peringkat awal pihak kami mengesan seramai tujuh keluarga yang terlibat. Sekiranya, ada lagi keluarga yang terlibat, kita akan menyalurkan sumbangan kepada mereka,” katanya.

    Kebakaran yang berlaku kira-kira 7.22 malam itu mengakibatkan 10 rumah kediaman dan empat rumah kedai musnah sekelip mata, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.– Bernama

  • Anggota polis cedera, rebah dilastik penjenayah

    Anggota polis cedera, rebah dilastik penjenayah

    SEORANG anggota polis yang berpangkat lans koperal cedera di mata kiri akibat dilastik dengan batu dalam kejadian di Kampung Tersusun Sungai Kerang, Padang Gajah, Trong, Taiping, malam tadi.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Anuar Othman berkata, semasa kejadian pada pukul 8 malam, anggota berkenaan sedang bertugas mengesan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dengan kes jenayah.

    “Mangsa berusia 33 tahun bersama-sama rakan setugasnya membantu untuk mengesan suspek berusia 58 tahun di rumahnya.

    “Suspek dipercayai terlibat dalam kes yang disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan.

    “Apabila sampai di alamat berkenaan, suspek enggan memberi kerjasama dengan tidak membuka pintu.

    “Tiba-tiba suspek menyerang anggota dengan melastik batu secara bertubi-tubi hingga terkena mata kiri dan belakang kepala mangsa. Akibat serangan itu mangsa telah rebah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Katanya, mangsa dibawa ke klinik kesihatan berhampiran untuk mendapatkan rawatan awal sebelum dirujuk ke Hospital Taiping.

    Dalam kejadian itu katanya, suspek berjaya ditahan dan direman selama empat hari untuk siasatan lanjut.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan iaitu sengaja menyebabkan cedera bagi menakutkan penjawat awam, katanya.

  • 16,229 PATI ditahan ceroboh sempadan negara

    16,229 PATI ditahan ceroboh sempadan negara

    OPERASI Benteng berjaya menahan 16,229 pendatang asing tanpa izin (PATI), manakala 3,666 lagi diusir ketika cubaan membolosi sempadan darat dan perairan negara.

    Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, berkata angka itu berdasarkan pelaksanaan Operasi Benteng selama 18 bulan, iaitu sehingga 31 Oktober lalu.

    Katanya, operasi itu juga berjaya mengekang penyeludupan di sempadan dengan anggaran nilai rampasan RM668.47 juta.

    Beliau yang juga Ahli Parlimen Tanah Merah berkata, ini membabitkan rampasan barang terlarang dan kenderaan.

    Ikmal Hisham berkata, operasi itu membabitkan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguat kuasa Maritim Malaysia, Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen dan agensi lain.

    “Objektif utama pelaksanaan operasi ini bertujuan menghalang kemasukan PATI, bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

    “Pada masa sama, inisiatif ini dapat mengukuhkan lagi kawalan keselamatan persempadanan negara sama ada sempadan darat atau perairan negara.

    “Bagi memastikan Operasi Benteng terus berkesan, kementerian akan memperkukuh untuk menambah baik keupayaan ATM melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan meneruskan peruntukan belanjawan tahunan kepada operasi ini,” katanya.

    Beliau menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (Pas-Sik) mengenai keberkesanan operasi berkenaan pada sesi lisan di Dewan Rakyat hari ini.

    Menjawab soalan tambahan, Ikmal Hisham berkata, tiga perkara membabitkan risikan, pemantauan dan pengawasan akan dipertingkat dalam pelaksanaan Operasi Benteng, bagi menjejaki jenayah rentas negara.

    “Kita menyediakan peruntukan Operasi Benteng secara prinsipnya dan akan fokus kepada peningkatan keupayaan pasukan keselamatan melaksanakan tugas di sempadan, bagi memastikannya tidak mudah dibolosi.

    “Ini juga selaras hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika pembentangan RMK-12 yang menyentuh fokus keempat, iaitu memantapkan keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.

  • 11 ditahan dalam serbuan di premis jalankan seks songsang

    11 ditahan dalam serbuan di premis jalankan seks songsang

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SERAMAI 12 individu ditahan termasuk tujuh warga asing dalam serbuan di sebuah premis yang menjalankan perkhidmatan seks songsang luar tabii di Taman Pelangi, Johor Bahru, kelmarin.

    Serbuan pukul 9.30 malam itu dilakukan cawangan Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan bersama-sama anggota dari Balai Polis Taman Pelangi IPD Johor Bahru Selatan.

    Ketua Polis daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, dalam serbuan yang sama, seorang lelaki berusia 30 tahun mengaku bekerja sebagai penjaga premis turut ditahan.

    “Lelaki itu gagal mengemukakan lesen perniagaan yang sah. Hasil pemeriksaan lanjut di dalam premis itu, polis menahan dua lelaki tempatan dan tujuh lelaki warganegara asing berumur dalam lingkungan 20 tahun hingga 40 tahun yang bekerja sebagai tukang urut. 

    “Turut ditahan dalam serbuan tersebut dua lelaki tempatan berumur 25 tahun dan 32 tahun yang disyaki sebagai pelanggan untuk mendapatkan khidmat urut dan seks,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Menurut Raub, pelbagai peralatan yang dipercayai bagi kegunaan khidmat urut dan seks dirampas antaranya dua tuala, botol minyak urut (2), kondom pelbagai jenama (6), tiub pelincir (1), kertas mempunyai catitan aktiviti pekerjaan (1), gambar iklan lelaki (4) dan wang tunai sebanyak RM139.

    “Semakan rekod pergerakan keluar dan masuk ke Malaysia terhadap tujuh warganegara asing yang ditahan mendapati salah satu daripadanya tidak mempunyai pasport perjalanan yang sah. 

    “Kesemua yang ditahan dan dikompaun, penjaga premis sebanyak RM10,000, manakala pelanggan dikompaun sebanyak RM 2,000 setiap seorang kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara Fasa 4,” katanya.

    Kes disiasat dibawah Seksyen 3 (1) Undang-Undang Kecil Tred, Perniagaan Dan Perindustrian (UUKTPP), Seksyen 372 B Kanun Keseksaan dan 55B Akta Imigresen dan 6 (1) (c) Akta Imigresen.

  • Penagih dadah mati dilanggar lori lepas kelar leher ibu

    Penagih dadah mati dilanggar lori lepas kelar leher ibu

    Oleh RIZQI ZABIDI

    ANAK jenis apakah yang tergamak mengelar leher ibunya selain memotong cuping telinga wanita yang menanggung segala kesusahan sepanjang mengandungkannya selama sembilan bulan 10 hari?

    Seorang warga emas maut akibat dikelar di leher oleh anak kandungnya sendiri yang merupakan seorang penagih dadah serta pesakit mental di rumah mereka di Kampung Batu 5, Sik, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, mayat mangsa, Sarah Jon, 70 ditemukan dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan kelar di leher selain kecederaan di tangan serta telinga.

    Menurutnya, suspek yang berusia 31 tahun pula bertindak membunuh diri tidak lama selepas kejadian itu berlaku.

    Anggota forensik polis memeriksa lokasi kejadian seorang wanita maut selepas leher dikelar anaknya sendiri di Kampung Batu 5, Sik, Kedah, hari ini.

    “Kejadian dipercayai berlaku antara pukul 6.30 hingga 7 pagi. Hasil temu bual bersama ahli keluarga dan jiran, kedua-dua mereka dipercayai telah tinggal berdua di rumah tersebut sejak 10 tahun lalu.

    “Kedua-duanya dikatakan memang selalu bergaduh terutamanya melibatkan soal wang. Selain mayat mangsa, kami turut menemukan peralatan menghisap dadah selain baki dadah jenis syabu berhampiran pintu masuk utama rumah tersebut” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

    Tambahnya, pemeriksaan lanjut mendapati tiada tanda-tanda rumah itu dipecah masuk.

    “Terdapat kesan kelar sepanjang kira-kira 12.7 sentimeter di leher mangsa. Suspek dipercayai menggunakan pisau tumpul dalam kejadian itu bagaimanapun senjata tersebut masih belum ditemukan,” katanya.

    Mengulas mengenai kematian suspek, Adzli berkata lelaki itu yang merupakan pesakit mental dan memiliki enam rekod jenayah lampau dipercayai menunggang motosikal sejauh satu kilometer dari rumah tersebut sebelum berhenti di tepi jalan.

    “Apabila sebuah lori tangki lalu di situ, dia tiba-tiba masuk ke tengah jalan mengakibatkan sebahagian badannya hancur akibat dilanggar,” katanya.

    Tambahnya setakat ini kes masih disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

    “Kedua-dua mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk dibedah siasat,” katanya.

  • Felda di Negeri Sembilan jadi ‘port’ penagihan dadah – Polis

    Felda di Negeri Sembilan jadi ‘port’ penagihan dadah – Polis

    JABATAN Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) mengenal pasti kawasan Felda menjadi antara sarang aktiviti penyalahgunaan dadah di Negeri Sembilan yang menyumbang 30 peratus daripada keseluruhan tangkapan berkaitan dadah di negeri itu pada tahun ini.

    Ketua JSJN Negeri Sembilan, Superintendan Mohd. Faisal Mohd. Noor berkata, pengedar dadah menjadikan kawasan Felda yang berada di pedalaman sebagai tempat untuk mereka mengedar dadah.

    “Lagipun di kawasan Felda banyak laluan tikus yang memudahkan mereka mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.

    “Sebab itulah tumpuan kita sekarang adalah di kawasan Felda dan JSJN Negeri Sembilan turut melancarkan operasi jihad dadah sepanjang tahun ini yang mana sebanyak empat serbuan dilakukan melibatkan daerah Seremban, Tampin, Jelebu dan Jempol,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Pelupusan Barang Kes Dadah 2021 di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Seremban, hari ini.

    Menurutnya, daripada operasi dilakukan seramai 162 individu telah ditahan iaitu 14 adalah pengedar, memiliki dadah (28), penagih (21) manakala dikenakan waran tangkap (82).

    Selain itu katanya, berdasarkan statistik, seramai 4,334 individu telah ditangkap bagi tempoh Januari hingga Oktober membabitkan pengedar seramai 1,298, memiliki dadah (734) dan penagih (2,303).

    Katanya, seramai 80 individu pula ditangkap mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985 dan 238 individu mengikut Seksyen 39 C (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi tempoh sama.

    “Jumlah anggaran keseluruhan nilai rampasan dadah adalah RM2.64 juta dan nilai sitaan aset-aset sebanyak RM5.5 juta.

    Mengulas berkenaan pelupusan dadah, beliau berkata, dadah pelbagai jenis dan peralatan memproses dadah bernilai RM23.5 juta akan dilupuskan di Pusat Kualiti Alam, di sini.

    “Pelupusan barang kes dadah ini adalah yang sudah selesai perbicaraan dan masih tersimpan di stor membabitkan 1,469 kertas siasatan bagi tahun 2020 dan 2021,” katanya.