SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan berhubung dakwaan rasuah melibatkan projek Petronas dan syarikat minyak dan gas antarabangsa.
Menurut SPRM, Petronas telah memberikan kerjasama penuh untuk menjalankan siasatan melibatkan projek bernilai RM399 juta di Sarawak.
“Setakat ini, SPRM telah menemukan beberapa kelemahan dalam amalan, sistem, dan tatacara kerja berhubung isu itu.
“SPRM mencadangkan penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) sebagai langkah-langkah pencegahan,” katanya dalam kenyataan, lapor FMT.
Awal bulan ini, satu portal dalam talian melaporkan Petronas didakwa terlibat dalam pemberian kontrak RM399 juta kepada sebuah syarikat beroperasi di 14 negara untuk membina loji gas darat di Sarawak.
Laporan itu mendakwa, syarikat itu dikatakan terlibat dalam kesalahan rasuah serius sehingga dilarang beroperasi di negara lain.
SPRM menggesa sesiapa yang mempunyai maklumat untuk tampil menyalurkan bagi membantu siasatan mengikut Akta SPRM 2009.
SEORANG lelaki berbaju kurung bersenjatakan pisau antara dua suspek diburu disyaki menyamun sebuah kedai runcit di MJC Batu Kawah di Padawan, Sarawak, pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, polis juga mengesan satu video rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) kejadian itu yang tular di Twitter.
“Polis mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut daripada seorang wanita berusia 20 tahun yang juga pekerja premis itu pada 22 Mei lalu.
“Ketika kejadian pengadu bersama rakan sekerja didatangi seorang lelaki berpakaian seperti wanita dan membawa senjata dipercayai pisau.
“Suspek terus merampas peti wang tunai di kaunter juruwang dan terus melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal ditunggang seorang lagi suspek yang menunggu diluar,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, kedua-dua suspek dipercayai warga tempatan berdasarkan dialek pertuturan mereka dan semua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.
Abang Zainal berkata, polis menubuhkan pasukan khas untuk mengesan suspek dengan kerjasama pasukan IPD lain serta Jabatan Siasatan Jenayah JSJ IPK Sarawak.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Padawan di talian 082-862233, ujarnya.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan jika disabit bersalah boleh dihukum penjara selama 20 tahun dan sebat,” katanya lapor FMT.
SEORANG Kontraktor berputih mata berusia 63 tahun kerugian RM571,000 selepas terpedaya dengan tawaran gelaran Datuk Seri.
Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman berkata, berdasarkan laporan, mangsa menerima panggilan telefon daripada suspek yang menyamar sebagai Datuk Pengelola Bijaya Istana Pahang pada pertengahan Februari lalu.
“Suspek menawarkan anugerah kebesaran negeri Pahang dengan membawa gelaran Datuk Seri,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, suspek menyatakan mempunyai enam kuota anugerah kebesaran terbabit dan mangsa dimaklumkan perlu membuat sumbangan bagi program istana.
Mangsa ujar beliau, berminat dengan tawaran dinyatakan dan turut mempelawa empat kenalan untuk mendapatkan gelaran itu.
“Bermula Februari lalu hingga bulan ini, suspek meminta mangsa melaksanakan beberapa sumbangan untuk program dibuat pihak Istana Negeri Pahang,” katanya.
Yahaya berkata, sebanyak 32 transaksi dilakukan kepada lima akaun bank yang berbeza berjumlah RM571,000.
“Sumber kewangan terbabit adalah hasil daripada kutipan dan wang simpanan mangsa dan rakan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya, lapor Harian Metro.
Dalam kes terbabit, beliau menasihati orang ramai yang menerima panggilan meragukan untuk membuat semakan dengan polis atau agensi kerajaan bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.
Orang ramai juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima dipautan https://semakmule.rmp. gov.my terlebih dulu sebelum membuat sebarang transaksi.
WANITA warga emas ditemukan maut dengan kesan tikaman pada leher dalam bilik tidur di rumahnya di Kampung Tersusun Simpang Lima, Parit Buntar, semalam.
Jiran mangsa berkenaan yang menyedari kejadian tersebut melaporkan kepada pihak polis pada pukul 6.45 petang.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, mangsa yang berusia 61 tahun ditemukan dalam keadaan separuh bogel dengan kesan darah pada bantal, tilam dan dinding.
“Pemeriksaan lanjut menemukan kesan luka potong dan luka tikaman pada telinga, leher dan pipi mangsa.
“Terdapat juga kesan lebam di lengan mangsa dipercayai berlaku pergelutan dengan suspek ketika cuba mempertahankan diri,” katanya dalam satu kenyataan di Parit Buntar hari ini.
Menurut beliau, siasatan lanjut mendapati suspek memecah masuk rumah mangsa berikutan terdapat kesan umpil pada tingkap.
“Bagaimanapun, tiada barang berharga milik mangsa yang hilang. Mangsa tinggal sendirian di rumah berkenaan.
“Mayat dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah disebabkan kesan luka tikaman pada leher,” katanya, lapor Sinar Harian.
Kata Mohd. Yusri, usaha mengesan suspek giat dijalankan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian itu.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan bunuh.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi balai polis berhampiran atau di talian 05-721222 bagi membantu siasatan.
SEORANG lelaki berusia 60-an ditahan selepas melepaskan beberapa das tembakan di Taman Delima, Kluang semalam.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, anggota di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang menerima aduan daripada jiran warga emas itu yang terdengar letupan di belakang rumahnya pada pukul 7 petang.
Katanya, susulan itu sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kluang melakukan pemeriksaan di belakang rumah jiran warga emas tersebut.
Satu tangki air berlubang dipercayai terkena tembakan di Taman Delima, Kluang, semalam
“Pemeriksaan mendapati tangki air dan bingkai tingkap mengalami kerosakan seperti kesan tembakan.
“Polis kemudian menahan warga emas berusia 60 tahun itu pada jam 9 malam tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pihaknya turut merampas selaras senapang patah jenis shot gun, tiga butir peluru jenis SME Mega, satu buah buku lesen dan resit memperbaharui lesen senjata api.
Seorang penduduk menunjukkan tinkap rumanya yang berlekuk dipercayai terkena tembakan di Taman Delima, Kluang, semalam
Bahrin berkata, siasatan masih dijalankan punca lelaki berkenaan melepaskan tembakan.
“Siasatan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kejadian jenayah,” tambahnya.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39 Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman setahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
SEJUMLAH 25 kilogram dadah jenis ganja seberat 25 kilogram bernilai RM77,630, dirampas dalam tiga siri serbuan dilakukan pihak polis di Alor Setar dan Sungai Petani, Kedah dalam tempoh dua hari lalu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, selain ganja yang dirampas, pihaknya turut menahan empat individu yang dipercayai merupakan ahli sindiket pengedaran dadah tersebut.
Menurutnya, tangkapan pertama dilakukan kelmarin kira-kira pukul 8.30 malam melibatkan dua individu yang berada dalam sebuah kereta di tempat letak kenderaan di sebuah restoran, dekat Jalan Langgar, Alor Setar.
“Pemeriksaan di tempat duduk depan telah menemukan beg hitam yang di dalamnya mengandungi lima ketulan mampat plastik lutsinar berisi tumbuhan disyaki dadah jenis ganja seberat kira-kira lima kilogram.
“Hasil maklumat lanjut katanya, pihak polis kemudiannya telah menahan dua lagi lelaki menaiki motosikal jenis Honda EX5 berwarna biru di tepi jalan Lorong Seruling, Taman Seruling di Sungai Petani kira-kira pukul 12.40 pagi semalam,” katanya.
Antara dadah yang dirampas dalam tiga siri serbuan dilakukan pihak polis di Alor Setar dan Sungai Petani, Kedah dalam tempoh dua hari lalu.
Tambahnya, pemeriksaan terhadap dua lelaki itu menemukan lima ketulan mampat plastik lutsinar berisi tumbuhan kering disyaki dadah jenis ganja, juga seberat kira-kira lima kilogram.
Hasil soal siasat dilakukan katanya, sepasukan pegawai dan anggota polis kemudiannya membuat pemeriksaan terhadap sebuah kereta jenis Proton yang diletakkan di sebuah lorong di Kawasan Perumahan Kampung Batu Dua, Sungai Petani.
“Di situ, pihak kami menemukan 15 bungkusan plastik lutsinar berisi tumbuh-tumbuhan kering disyaki dadah jenis ganja seberat kira-kira 15 kilogram di ruangan khas, tempat duduk penumpang bahagian belakang kenderaan tersebut,” katanya.
Menurutnya, kesemua yang ditahan direman selama tujuh hari hingga 29 Mei depan bagi siasatan lanjut.
“Secara keseluruhannya jumlah rampasan ganja adalah sebanyak kira-kira 25 kilogram dan nilai rampasan dadah berjumlah RM77.630. Nilai sitaan harta pula berjumlah kira-kira RM4,100,” katanya.
SEPASANG kekasih yang berkelakuan tidak senonoh dan jelik kawasan letak kenderaan Taman Tasik Bandar, Pasir Gudang ditahan polis semalam.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitenden Mohd. Sohaimi Ishak berkata, pihaknya mengesan video berdurasi 42 saat yang tular itu menerusi akaun Facebook Izwan Mansur dalam kumpulan Komuniti Scientex Pasir Gudang.
Beliau berkata, siasatan lanjut pihaknya mendapati kejadian itu berlaku pada 11 pagi, Ahad lalu tempat letak kenderaan tersebut.
“Siasatan mendapati mereka masih belum berkahwin dan melakukan perbuatan jelik dalam sebuah kereta.
“Bertindak atas maklumat pihak polis melakukan tangkapan antara jam 11 sehingga 11.45 malam Selasa. Sepasukan pegawai dari Balai Polis Pasir Gudang telah membuat tangkapan di Tanjung Puteri Resort dan Taman Rinting.
“Pelaku merupakan seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun dan wanita tersebut yang juga warga tempatan berusia 19 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau memberitahu, semakan mendapati suspek lelaki mempunyai satu rekod kesalahan lampau.
Menerusi tangkapan itu katanya, pihak polis merampas sebuah kereta Perodua MyVi putih.
Menurut Mohd Sohaimi, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 337D Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara selama dua tahun.
Tambahnya, kedua-dua suspek sedang direman selama empat hari mulai hari ini sehingga Sabtu ini.
“Orang ramai diingatkan agar tidak melakukan perbuatan yang melanggar norma kehidupan dan undang-undang,” katanya lagi.
SATU sindiket penyeludupan dadah didalangi warga asing bernilai RM1.08 juta dalam sebuah bot tumpas selepas pihak polis menyerbu sebuah jeti nelayan di Sekinchan Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Agus Salim Mohd. Alias berkata, empat lelaki warga Indonesia berusia lingkungan 25 hingga 41 tahun itu dipercayai ingin mengedar dan menyeludup keluar dadah ke Indonesia.
“Semua suspek yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah itu ditahan kira-kira pukul 10 malam dalam bot berkenaan.
“Hasil serbuan itu polis merampas dadah disyaki syabu kira-kira 30 kilogram yang disimpan dalam bungkusan teh Cina,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam, Sungai Besar hari ini.
Beliau berkata, semua suspek bekerja sebagai nelayan direman selama tujuh hari sehingga 26 Mei ini bagi membantu siasatan.
Ujar beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 61 (c) Akta Imigresen 1959/63.
Dalam kes berasingan, Agus Salim memberitahu, pihaknya menahan seorang peniaga kedai runcit berusia antara 30 hingga 40-an atas kesalahan memiliki sepucuk pistol di sekitar daerah ini pada 18 Mei lalu.
Lelaki tempatan itu katanya, memiliki pistol jenis Pietro Baretta Gardone secara tidak sah dipercayai sejak lima atau enam tahun lalu.
“Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Hukuman Lebih Berat) 1971,” katanya memetik laporan Sinar Harian.
PENGELUAR jam dari Switzerland, Swatch Group akan mengambil tindakan undang-undang untuk mendapatkan kembali koleksi jam bertema warna pelangi dari ‘Pride Collection’ yang dirampas Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada awal bulan ini.
Menurut Reuters, CEO Swatch Nick Hayek berkata beliau kecewa dengan kejadian itu dan menegaskan koleksi jam warna pelangi dengan mesej keamanan dan kasih sayang itu tidak membahayakan sesiapa.
Reuters yang memetik akhbar Switzerland, Tages-Anzeiger sebagai berkata, syarikat itu akan mengambil tindakan undang-undang untuk mendapatkan semula koleksi jam yang dirampas itu.
Terdahulu, KDN menyerbu 11 butik Swatch di pusat beli belah, antaranya Pavilion KL, One Utama, Sunway Pyramid, Mid Valley Megamall, dan Suria Sabah pada 13 dan 14 Mei lalu.
Lima butik di pusat beli belah di Alor Setar, Kuala Terengganu, Kota Bharu, Johor Bahru, dan Kuching diberi amaran.
Serbuan itu dilaporkan susulan warganet mengaitkan koleksi berkenaan dengan sokongan kumpulan rock Britain, Coldplay, terhadap masyarakat lesbian, gay, bisexual dan transgender (LGBT).
Timbalan Presiden Muda Amira Aisya Abdul Aziz menggesa Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan pendirian Putrajaya berhubung serbuan itu dan melahirkan kebimbangan dengan ‘kesamaran’ terhadap apa yang boleh ditafsirkan sebagai ‘berbahaya’.
“Adakah kita akan mula menyerbu semua kedai yang menjual apa-apa dengan hiasan pelangi/’pride’, termasuk perniagaan kecil?,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa itu, lapor FMT.
SEORANG lelaki maut dipercayai akibat terkena tembakan selepas bertindak agresif menyerang anggota polis dengan parang dalam kejadian di Hutan Melintang di Bagan Datuk semalam.
Difahamkan, kejadian sekitar jam 10.30 malam itu berlaku apabila suspek penagih dadah itu enggan memberi kerjasama kepada polis malah menjadikan ibunya sebagai tebusan dalam cubaan melepaskan diri.
Sumber berkata, usaha polis memujuk suspek turut gagal, malah amaran diberikan tidak dihiraukan.
Suspek bertindak mengacukan parang pada leher ibunya dan bertindak agresif menghayun parang kepada pasukan polis.
“Polis kemudian terpaksa melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri. Suspek yang cedera parah bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” katanya di Bagan Datuk hari ini, lapor Astro AWANI.
Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri ketika dihubungi memaklumkan satu kenyataan media berhubung kejadian itu akan dikeluarkan dalam masa terdekat.