Category: Jenayah

  • 16 Rohingya ditahan:Selongkar tong sampah, jadikan rumah stor besi buruk

    16 Rohingya ditahan:Selongkar tong sampah, jadikan rumah stor besi buruk

    SERAMAI 16 etnik Rohingya ditahan dalam operasi yang dilakukan di empat lokasi iaitu Kampung Kubang Tin, Melor Lama, Jambu Merah serta Kok Lanas di Kota Bharu, malam tadi.

    Operasi yang dijalankan Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam (MDKPI) dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Pendaftaran Negara dan Polis Diraja Malaysia itu dilakukan bermula 5 petang semalam hingga 8 malam.

    Serbuan itu menarik perhatian orang ramai anggota penguat kuasa apabila seorang wanita warga Rohingya meraung sambil merayu supaya suaminya yang ditahan dalam operasi itu dilepaskan.

    Sambil mendukung bayi lelakinya yang berusia setahun dan diiringi dua kanak-kanak lelaki, wanita berusia 30-an itu berulang kali memanggil suaminya yang sedang disoal siasat pihak JI) Kelantan.

    Keadaan makin bingit apabila suaminya menaiki trak untuk dibawa ke depot tahan, dia antara 16 warga Rohingya yang ditahan.

    Lelaki berusia 50-an yang memiliki kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) itu ditahan di sebuah kedai makan di Kubang Tin, Melor kerana bekerja di premis berkenaan.

    Penolong Setiausaha MDKPI, Nik Muhammad Syahmi Nik Mohd Azlan berkata, operasi itu berdasarkan aduan yang diterima daripada penduduk sekitar yang melaporkan pelbagai isu yang ditimbulkan Rohingya terutama daripada segi kebersihan dan penyelongkaran tong sampah.

    “Dalam operasi ini, sebanyak enam notis kompaun dikeluarkan atas kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP), tiga kompaun kesalahan membabitkan kebersihan dan satu berniaga tanpa lesen,” katanya kepada pemberita, malam tadi.

    Nik Muhammad Syahmi berkata, pihaknya menerima banyak aduan berkaitan kegiatan menyelongkar tong sampah yang dilakukan warga asing yang mana majoritinya menjalankan kerja sebagai pengutip besi buruk.

    Seterusnya, warga Rohingya itu akan membawa pulang barangan yang diselongkar itu ke rumah dengan menjadikannya sebagai stor sekali gus mengganggu penduduk.

    Sementara itu, Ketua Operasi Bahagian Penguatkuasaan JIM Kelantan, Amran Abd Aziz berkata, seramai 46 warga asing diperiksa dan 16 daripada mereka ditahan atas kesalahan tiada dokumen perjalanan serta kad UNCHR yang tamat tempoh.

    “Daripada 16 yang ditahan itu, 10 adalah lelaki dan dua wanita manakala selebihnya adalah kanak-kanak, dengan usia bagi yang dewasa antara 20-an hingga 50-an.

    “Seorang pemilik kedai makan berusia 22 tahun turut ditahan kerana menggaji warga asing yang juga pemegang kad UNCHR dan kesemua mereka dibawa ke Depot tahanan Imigresen Tanah Merah,” katanya.

  • 14 PATI kantoi ceroboh negara ikut jalan tikus

    14 PATI kantoi ceroboh negara ikut jalan tikus

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    MESKIPUN mengetahui pihak berkuasa Malaysia melakukan kawalan ketat serta operasi khas mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI), seramai 14 individu dipercayai warga Indonesia tetap mencuba untuk melepasi negara ini melalui jalan tikus.

    Bagaimanapun, kehadiran mereka yang berusia antara 20 hingga 45 tahun itu tidak berjaya apabila dicekup Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di kawasan pantai berhampiran Teluk Punggai di Kota Tinggi, di sini.

    Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) dalam kenyataan memaklumkan, kesemua PATI itu ditahan dalam Op Benteng di kawasan tanggungjawab Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Bgd).

    Kata kenyataan itu, pergerakan PATI tersebut berjaya dikesan pada pukul 2 pagi selepas Radar Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) mengesan bot yang mencurigakan menghala ke arah Teluk Punggai.

    “Sekitar pukul 3.30 pagi, anggota petugas pos pemerhati turut mengesan pergerakan bot yang mencurigakan di perairan tersebut serta mengesan kelibat orang sedang menuruni bot menuju ke arah pantai.

    “Hasil serbuan yang dilakukan pada pukul 4.40 pagi telah berjaya menahan dan membuat tangkapan ke atas sembilan PATI dipercayai baru saja tiba ke negara ini melalui jalan yang tidak sah,” kata kenyataan itu hari ini.

    Tambahnya, Tim Quick Reaction Force (QRF) bersama tim Drone Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) kemudian telah diatur gerak bagi membuat penjejakan untuk mencari kemungkinan saki baki PATI yang masih bersembunyi.

    Hasilnya, sekitar pukul 9 pagi hari sama, Tim QRF telah berjaya menangkap lima lagi PATI berhampiran kawasan tangkapan pertama yang dipercayai saki baki mereka yang baru tiba ke negara ini.

    “Kesemua mereka telah menjalani saringan Covid-19 di Pos Tanjung Sepang dan hasil ujian saringan mendapati kesemuanya negatif Covid-19.

    “Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM 8,063 melibatkan matawang Malaysia RM1,635.00, Indonesia IDR 10,338,330 (RM 3,048.00) bersama 11 buah telefon bimbit serta barangan kemas,” katanya.

    Kesemua PATI dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia Setia Tropika, Kempas dan laporan polis juga telah dibuat di Balai Polis Bayu Damai.

    Tambahnya pasukan kemudian meneruskan atur gerak Tim QRF dan Tim Dron BSPP serta bantuan dari pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi menjejak kemungkinan saki baki PATI di sekitar kawasan tangkapan.

  • Penunggang langgar lari motosikal lain dikesan

    Penunggang langgar lari motosikal lain dikesan

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    POLIS sedang mencari individu yang terlibat dalam kemalangan langgar lari sehingga mengakibatkan seorang penunggang motosikal maut dalam kejadian di Kilometer 58, Jalan Batu Pahat – Mersing, malam tadi.

    Dalam kemalangan pada pukul 8.15 malam itu, mangsa yang berusia 47 tahun disahkan meninggal dunia kurang dua jam kemudian selepas dihantar ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), di sini.

    Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Low Hang Seng berkata, polis sedang mengenal pasti identiti suspek yang turut menaiki motosikal dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian terbabit agar tampil membantu.

    “Kemalangan melibatkan dua buah motosikal iaitu jenis Suzuki RCI IOS dan sebuah lagi tidak pasti jenisnya. Ketika siasatan, motosikal tersebut tiada di tempat kejadian kerana dipercayai telah melarikan diri.

    “Berdasarkan siasatan, kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa dari arah Mersing menghala ke Kluang tiba di tempat kejadian telah berlanggar motosikal lain yang secara tiba-tiba melintas dari arah kanan ke kiri jalan,” katanya di sini, hari ini.

    Tangkap layar rakaman video yang tular

    Akibat pelanggaran tersebut, penunggang motosikal jenis Suzuki RCI 10S itu mengalami kecederaan di bahagian kepala dan dihantar ke HEBHK untuk menerima rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 9.45 malam.

    Hang Seng berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan melulu atau merbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian.

    “Usaha mengesan pihak yang terlibat sedang giat dijalankan dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian tersebut boleh menyalurkannya ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang,” katanya.

    Sementara itu, sebuah klip video kemalangan terbabit yang berdurasi 22 saat tular di media sosial dan mendapat reaksi pelbagai daripada warganet.

    Menerusi video itu, motosikal mangsa yang tiba di persimpangan lampu isyarat tiba-tiba dirempuh sebuah motosikal lain sehingga menyebabkan kedua-dua penunggang terpelanting ke atas jalan raya.

    Suspek dilihat menangkat motosikalnya dan segera melarikan diri tanpa mempedulikan mangsa yang terbaring di atas jalan raya sebelum dibantu pengguna lain.

  • Bersatu Balik Pulau buat laporan polis terhadap portal

    Bersatu Balik Pulau buat laporan polis terhadap portal

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Balik Pulau membuat laporan polis berhubung satu artikel disiarkan oleh sebuah portal yang disifatkan tidak tepat dan palsu mengenai Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.

    Laporan polis itu dibuat oleh Setiausaha Bersatu Bahagian Balik Pulau, Rosmady Mat Abu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya, jam 2.00 petang tadi.

    Beliau berkata, kandungan artikel tersebut adalah tidak lain ingin menjatuhkan kredibiliti Menteri Kanan Pendidikan itu selain berniat jahat dan mahu mencemarkan nama baik Kementerian Pendidikan (KPM) keseluruhannya.

    Katanya artikel yang disiarkan pada 21 Nov lepas bertajuk “Gempar! Bermula esok guru boleh dihukum sekiranya berleter terhadap murid” jelas tidak benar dan berniat jahat serta boleh mencemarkan reputasi KPM.

    “Diharap pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan serius ke atas pemilik portal terlibat kerana menyebarkan berita palsu dengan harapan tidak menimbulkan kegusaran awam,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini. – BERNAMA

  • Kilang roti guna kotak bertanda halal secara tidak sah

    Kilang roti guna kotak bertanda halal secara tidak sah

    SELAMBA guna kotak roti bertanda halal sedangkan tidak pernah memohon sijil halal daripada pihak berkuasa berkaitan.

    Lebih menjijikkan, najis tikus turut dijumpai di atas plastik membungkus roti manakala sisa minyak yang telah digunakan menitik ke atas roti yang baharu dimasak.

    Itu antara keadaan yang dikesan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) di sebuah kilang membuat roti di Jalan Kedah, Georgetown, Pulau Pinang dalam pemeriksaan awal pagi ini.

    Sehubungan itu, kilang yang sudah beroperasi sejak 50 tahun lalu diarah tutup dua minggu kerana tidak menepati standard keselamatan dan kualiti makanan di bawah Program Jaminan Keselamatan Makanan yang boleh menyebabkan pencemaran dan keracunan makanan.

    Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan JKNPP, Mohd. Wazir Khalid berkata, kilang roti itu pernah diberikan amaran tahun lalu kerana isu kebersihan dan keselamatan yang sama.

    “Namun, dalam pemeriksaan sekali lagi hari ini kita dapati keadaan kebersihan di kilang ini tidak memuaskan dan arahan penutupan selama dua minggu bagi kerja-kerja pembersihan telah dikeluarkan.

    “Selain itu, pemilik kilang itu juga diarahkan untuk membuang kesemua plastik bungkusan roti itu yang dicemari najis tikus kerana boleh memudaratkan kesihatan orang ramai,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu hari ini.

    Sementara itu dalam satu lagi pemeriksaan di kedai pembuatan mi di Jalan Pintal Tali, Georgetown, kedai yang sudah beroperasi sejak 80 tahun lalu itu turut diarahkan tutup dua minggu kerana kesalahan membabitkan keselamatan dan kebersihan makanan.

    Mohd. Wazir berkata, arahan itu dikeluarkan selepas pemiliknya didapati meletakkan makanan yang telah siap diproses di atas lantai selain produk keluarannya tidak mempunyai label.

    Ujarnya, kedai yang sama juga pernah diserbu tahun lalu dan pemiliknya diberi amaran supaya meningkatkan mutu kebersihan dan keselamatan makanan, namun didapati masih mengabaikan aspek itu kali ini.

    “Tindakan ke atas kedua-dua premis itu dibuat dibawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 yang mana kita turut mengeluarkan tiga kompaun berjumlah hampir RM3,000 terhadap pemilik kedua-dua premis,” katanya.

  • 2 lelaki dikhuatiri lemas ketika lari daripada serbuan polis

    2 lelaki dikhuatiri lemas ketika lari daripada serbuan polis

    DUA lelaki yang belum dikenal pasti identiti dikhuatiri lemas di Sungai Muda berdekatan Kompleks Pasar Bisik di Penaga, Pulau Pinang ketika cuba melarikan diri daripada serbuan polis awal pagi tadi.

    Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pukul 5.32 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Muda bergegas ke lokasi.

    “Berdasarkan laporan, terdapat dua mangsa lelaki dikhuatiri lemas sewaktu berenang ketika melarikan diri semasa operasi yang dijalankan oleh pihak polis.

    “Bomba ketika ini sedang melakukan usaha mencari dan menyelamat dengan kaedah pencarian pada permukaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tambah kenyataan itu, usaha pencarian turut dibantu Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Butterworth.

  • Rampas 4.03 tan daun ketum cuba diseludup

    Rampas 4.03 tan daun ketum cuba diseludup

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEBANYAK 4.03 tan daun ketum bernilai kira-kira RM120,000 berjaya dirampas daripada diseludup ke negara jiran oleh Batalion 3, Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara bermula 24 Oktober lalu hingga hari ini.

    Menurut laporan Sinar Harian, tindakan rampasan tersebut dilakukan menerusi kawalan dilakukan dalam Op Benteng Kawalan Sempadan Darat Malaysia-Thailand.

    Pegawai Pemerinta Batalion 3, Superitendan Azhar Hashim berkata, pihak berkuasa juga menahan enam individu yang cuba menyeludup barangan ke negara jiran membabitkan nilai rampasan keseluruhan RM135,855.

    “Daun hijau disyaki daun ketum dirampas di kawasan Wang Kelian, Perlis seberat 2.5 tan. Selebihnya 0.5 tan dirampas di Padang Besar manakala 0.7 tan lagi di Chuping, Perlis.

    “Selain itu, barangan lain yang dirampas adalah sebuah kenderaan bernilai RM10,000, telefon bimbit, beg galas dan dompet,” katanya dalam sidang akhbar di Bangunan PGA Bukit Kayu Hitam, hari ini.

    Hadir sama, Timbalan Komander Pasukan Simpanan Persekutuan, Asisten Komisioner Rosman Kasman; Pegawal Pemerintah Unit Berkuda, Deputi Superintendan Nurhidayah Damanhoori dan juruterbang Unit Udara PDRM, Superintendan Ras Nazrin Shah Abdullah.

    Beliau dalam pada itu memaklumkan, Batalion 3 PGA itu turut menahan enam individu membabitkan berkaitan kes Pendatang Asing Tanpa Izin melibatkan tiga lelaki warganegara Myanmar di Bukit Kayu Hitam serta tiga lagi individu warganegara Thailand dan tempatan di KTM Padang Besar.

  • Dua rumah setinggan jadi makmal proses pelbagai jenis dadah

    Dua rumah setinggan jadi makmal proses pelbagai jenis dadah

    POLIS berjaya membongkar kegiatan sindiket dadah yang memproses dan membungkus dadah di kawasan setinggan berhampiran lebuh raya di Kuala Lumpur selepas melakukan serbuan baru-baru ini.

    Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJ) Bukit Aman dan JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur melancarkan serbuan di dua lokasi di rumah setinggan yang dijadikan sebagai makmal pemprosesan bahan haram itu.

    Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Yahaya Othman berkata, operasi terancang itu bermula 2.30 petang pada 17 November lalu bagi membanteras kegiatan memproses dan membungkus dadah jenis heroin, syabu dan ganja yang dipercayai untuk edaran pasaran tempatan.

    “Serbuan pertama di Batu 3 1/2 Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban dan menahan tiga lelaki tempatan serta seorang lelaki warga asing berusia antara 24 hingga 38 tahun.

    “Dalam serbuan itu, polis merampas 58 kilogram (kg) dadah disyaki ganja, 11 kg heroin gred tiga, 181 gram heroin gred empat, 2.6 kg methamphetamine dan 50 kg kafein bersama peralatan memproses dadah,” katanya pada sidang media di IPK Kuala Lumpur, hari ini.

    Yahaya berkata, serbuan kedua pula di Kampung Udara dekat Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban dan menahan seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing berusia 21 serta 25 tahun.

    “Warga asing yang ditahan itu positif syabu yang mana nilai rampasan dadah adalah RM419,920.

    “Kita turut menyita tiga kereta iaitu Perodua Myvi, Perodua Alza dan Perodua Bezza. Mereka ini aktif sejak Julai lalu,” katanya.

    Menurutnya, siasatan mendapati kumpulan sindiket itu memilih lokasi berkenaan sebagai makmal bagi mengelak dikesan dan mengaburi mata pihak berkuasa.

    “Semua suspek direman seminggu bermula 18 November lalu hingga esok dan akan disambung reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

  • Mayat bayi membengkak, membusuk ditemukan di sawah

    Mayat bayi membengkak, membusuk ditemukan di sawah

    SEORANG pemilik sawah terkejut apabila menemukan mayat bayi perempuan dalam keadaan membengkak dan membusuk di kawasan sawah berdekatan lorong Taman Serai Muda ke Kampung Padri di Bagan Serai, semalam.

    Bayi berkenaan yang dipercayai dibuang di situ ditemukan pemilik tanah berkenaan sekitar pukul 8.30 pagi dalam keadaan tidak berbaju yang dianggarkan berusia lebih kurang sembilan bulan.

    Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, siasatan di lokasi kejadian tidak menemui sebarang dokumen atau kain balutan berkaitan kes itu.

    “Status hidup atau mati semasa dilahirkan tidak dapat dipastikan kerana organ dalaman mayat bayi berkenaan telah hancur.

    “Setakat ini punca kematian bayi tidak dapat dipastikan dan polis sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Menurutnya, kali terakhir pemilik tanah melalui kawasan itu kelmarin sekitar jam 4.30 petang untuk menjalankan kerja membaja, tetapi masih belum terlihat mayat bayi tersebut.

    “Mayat bayi telah di bawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk tujuan bedah siasat.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan dan membuang mayat,” katanya.

  • 1.7 juta batang rokok tidak bercukai bernilai hampir setengah juta dirampas

    1.7 juta batang rokok tidak bercukai bernilai hampir setengah juta dirampas

    POLIS Pulau Pinang merampas sebanyak 1,718,8000 batang rokok iaitu bersamaan 85,940 kotak rokok tidak bercukai pelbagai jenama bernilai RM482,000 dalam beberapa serbuan di sekitar Bukit Mertajam dan Butterworth semalam.

    Rampasan itu dilakukan dalam serbuan bermula pukul 7.50 pagi di premis rumah kedai dan di dalam empat buah van yang mana empat lelaki warga tempatan turut ditahan.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Shafee Abdul Samad berkata, serbuan pertama dibuat di sebuah premis kosong di Taman Kota Permai yang mana pelbagai jenama rokok disyaki tidak bercukai dijumpai disimpan di dalam premis berkenaan manakala tiga lelaki berusia lingkungan 30-an turut ditahan.

    Ekoran tangkapan itu katanya, polis menyerbu beberapa premis lain di sekitar Bukit Mertajam dan Butterworth dengan seorang lagi suspek lelaki tempatan berusia 30-an ditahan selain sejumlah rokok pelbagai jenama turut dirampas.

    “Hasil siasatan awal mendapati premis-premis tersebut dijadikan gudang penyimpanan rokok tidak bercukai untuk dijual kepada pelanggan mengikut permintaan khususnya di sekitar Pulau Pinang.

    “Pemeriksaan lanjut juga mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan penyalahgunaan dadah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurut Shafee, kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPT untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.