Category: Jenayah

  • Kes jenayah turun 21.4 peratus sejak PKP pada 2020

    Kes jenayah turun 21.4 peratus sejak PKP pada 2020

    KES jenayah pada 2020 turun 21.4 peratus kepada 65,623 berbanding 83,456 pada 2019.

    Menurut Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, antara sebab penurunan kes adalah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    Beliau berkata, kes terbabit terdiri daripada jenayah kekerasan dan jenayah harta benda dengan jenayah kekerasan merekodkan penurunan 19.5 peratus kepada 13,279 kes pada 2020 dan jenayah harta benda pula menurun 21.8 peratus kepada 52,344 kes bagi tempoh yang sama.

    “Antara punca penurunan kes jenayah adalah disebabkan sekatan aktiviti sosial dan rentas sempadan daerah dan negeri berikutan PKP yang telah membataskan pergerakan individu,” menurutnya dalam kenyataan, hari ini.

    Mohd. Uzir berkata, aktiviti penguatkuasaan yang lebih ketat oleh pihak berkuasa dan kesedaran masyarakat dalam mempertingkat perlindungan daripada ancaman jenayah turut menyumbang kepada penurunan kes.

    Beliau berkata, berdasarkan rekod kes jenayah kekerasan mengikut daerah pentadbiran, didapati Seremban di Negeri Sembilan mencatat peratusan penurunan tertinggi tahun lepas iaitu 40.6 peratus kepada 326 kes berbanding 549 pada 2019.

    Ini diikuti Johor Bahru (-36.7 peratus) dan Melaka Tengah (-26.3 peratus) manakala untuk jenayah harta benda, Seberang Perai Tengah di Pulau Pinang mencatat penurunan tertinggi sebanyak 35.8 peratus kepada 982 kes tahun lepas berbanding 1,529 pada 2019. 

    Mohd. Uzir berkata, sebaliknya, bilangan aduan kes jenayah siber yang diterima oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia tahun lepas meningkat 99.5 peratus kepada 20,805 berbanding 10,426 pada 2019.

    “Antara aduan yang diterima adalah elemen lucah, palsu, jelik, sumbang dan mengancam,” katanya.

    Beliau berkata, kesemua elemen aduan menyaksikan peningkatan dengan yang tertinggi ialah elemen palsu iaitu sebanyak 117.6 peratus pada 2020.

    Katanya sebanyak 6,637 aduan direkodkan tahun lepas untuk elemen palsu berbanding 3,050 pada 2019.

    Jabatan Perangkaan Malaysia hari ini menerbitkan Statistik Jenayah, Malaysia, 2021 yang memuatkan lapan statistik jenayah terpilih iaitu jenayah indeks, dadah, rasuah, alam sekitar, kesalahan trafik, jenayah siber, jenayah maritim dan pemulihan. – Bernama

  • Ibu tunggal rugi RM85,700 diperdaya lelaki AS

    Ibu tunggal rugi RM85,700 diperdaya lelaki AS

    SEORANG ibu tunggal terpedaya dengan Love Scam dan kerugian RM85,700 selepas berkenalan dengan seorang lelaki mendakwa dari Amerika Syarikat (AS) melalui Instagram sejak Julai lalu.

    Mangsa, 59, dari Masjid Tanah dan tidak bekerja berkenalan dengan suspek melalui Instagram sebelum berhubung melalui WhatsApp.

    Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, suspek memperkenalkan diri sebagai Ahmed Hashima dari AS dan memberitahu akan mengirimkan hadiah mewah sebagai tanda persahabatan kepada mangsa.

    “Suspek mahu menghantar barang seperti beg tangan berjenama, kasut berjenama, dompet berjenama, dua utas jam tangan berjenama, seutas rantai dan gelang tangan emas dan wang berjumlah AS$15,000.

    “Pada Ogos lalu mangsa menerima mesej melalui apliksi WhatsApp yang mendakwa dari Pos Laju Kuala Lumpur dan memaklumkan barang mangsa telah sampai dan diminta untuk membuat pembayaran kerana barangan tersebut mempunyai masalah.

    “Disebabkan percaya, mangsa telah membuat bayaran secara berperingkat-peringkat ke dalam empat akaun bank berbeza berjumlah RM85,700.

    “Bagaimanapun setelah bayaran dibuat mangsa masih tidak menerima barangan tersebut, malah lelaki yang dikenalinya itu masih meminta wang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Jelas beliau, berikutan itu mangsa membuat laporan polis setelah mengesyaki diperdaya oleh individu terbabit.

    Satu kertas siasatan dibuka dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Tipu),” katanya.

  • Bot terbalik: 1 remaja perempuan hilang, 3 terselamat

    Bot terbalik: 1 remaja perempuan hilang, 3 terselamat

    SEORANG remaja perempuan dikhuatiri lemas manakala tiga lagi terselamat selepas bot dinaiki terbalik dalam kejadian di perairan Kampung Semawang, Batu 19, Sandakan, malam tadi.

    Dalam kejadian pukul 8.30 malam itu, remaja berusia 14 tahun terjatuh ke dalam laut dan hilang sehingga kini.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.50 malam.

    “Menurut laporan, terdapat sebuah bot terbalik ketika dalam perjalanan dari Kampung Semawang Laut ke Kampung Semawang Darat pada pukul 6 petang dan terdapat empat mangsa terhumban ke dalam laut.

    “Tiga berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung manakala seorang lagi mangsa hilang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Katanya, setakat ini mangsa belum ditemui dan maklumat akan dikemas kini dari masa ke masa.

  • Polis sahkan siasat Ahli Parlimen Sepanggar, Aziz Jamman

    Polis sahkan siasat Ahli Parlimen Sepanggar, Aziz Jamman

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Mohd Azis Jamman disiasat berhubung ucapannya pada persidangan Parlimen awal bulan ini.

    Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim yang mengesahkan perkara itu berkata ia merupakan siasatan biasa selepas pihaknya menerima laporan membabitkan Mohd Azis.

    “Kita terima laporan, jadi kita jalankan siasatan, selepas itu kita akan rujuk AGC (Jabatan Peguam Negara). Ini baru siasatan dan bukan ambil tindakan lagi,” katanya ketika mengulas mengenai tindakan polis yang mengambil keterangan Mohd Azis.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran di Maran hari ini, dan yang turut hadir ialah Ketua Polis Pahang Datuk Ramli Mohamed Yoosuf, timbalannya Datuk Mohd Yusri Hassan Basri dan Ketua Polis Daerah Maran DSP Norzamri Abd Rahman.

    Selasa lepas Mohd Azis pada sidang media di bangunan Parlimen berkata beliau diminta memberikan keterangan kira-kira sejam selepas membangkitkan mengenai isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pengagihan peruntukan kerajaan terhadap Sabah pada perbahasan Bajet 2022 dua minggu lepas.

    Sementara itu Mazlan memaklumkan pihaknya telah mengemukakan cadangan kepada Kementerian Dalam Negeri untuk menyewa rumah daripada pihak swasta bagi mengatasi masalah kekurangan kuarters pegawai dan anggota PDRM.

    Katanya sebagai permulaan pihaknya telah memohon lebih 200 unit rumah untuk disewa.

    “Sebagai permulaan kita akan sewa di Lembah Klang dahulu terutama di Kuala Lumpur sebelum meneruskan ke bandar besar seperti Pulau Pinang, Selangor dan Johor.

    “Jika nak bina kuarters baharu ia ambil masa, jadi ini merupakan salah satu usaha kita untuk menjaga kebajikan pegawai dan anggota PDRM…kerana ada di antara mereka yang bekerja di Kuala Lumpur tetapi menetap di Bangi, Shah Alam dan Kajang,” katanya. – BERNAMA

  • Pelajar perempuan jadi mangsa culik berjaya larikan diri

    Pelajar perempuan jadi mangsa culik berjaya larikan diri

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG pelajar perempuan berjaya melarikan diri setelah dilarikan seorang lelaki tempatan yang tidak dikenali dalam kejadian berhampiran sebuah sekolah di Taman Molek, Johor Jaya, Johor Bahru, pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd. Sohaimi Ishak berkata, dalam kejadian pukul 6.50 pagi itu, mangsa yang berusia 13 tahun dihampiri seorang lelaki yang menaiki kereta jenis Perodua Kancil ketika turun dari van sekolah menuju ke sekolahnya.

    “Lelaki itu memintanya menghantar satu borang tidak pasti ke sekolah selain meminta mangsa untuk masuk ke dalam kenderaan itu. Mangsa yang enggan kemudiannya ditarik masuk ke dalam kereta tersebut.

    “Mangsa dibawa lari sekitar Taman Molek, di sini, sebelum berjaya melepaskan diri selepas dibawa lari hampir 400 meter dari lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, mangsa kemudiannya meminta bantuan orang awam, selain tidak mengalami sebarang kecederaan.

    Pihaknya mengesahkan menerima laporan polis berkaitan insiden itu yang dibuat oleh mangsa.

    “Siasatan lanjut sedang dijalankan dan polis sedang giat mengesan suspek.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan melarikan orang yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan dikenakan denda,” katanya.

  • Pembesar suara punca lelaki maut dicekik

    Pembesar suara punca lelaki maut dicekik

    Hanya kerana pembesar suara, seorang lelaki maut disyaki dicekik dalam pergaduhan di hadapan warung pasar pagi di Flat Ashby Road, Ipoh, pagi tadi.

    Seorang wanita yang melihat kejadian tersebut melaporkan kepada polis pada pukul 9.50 pagi bagi meleraikan pergaduhan itu.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, bagaimanapun mangsa, Muhammad Noor Faqih Mohamed Ariffin, 29, didapati maut di lokasi kejadian dan disahkan petugas kesihatan yang hadir selepas itu.

    Menurutnya, berdasarkan temubual saksi yang juga pemilik gerai di tempat kejadian memaklumkan datang satu lelaki menaiki kenderaan jenis Perodua Kenari kira-kira pukul 7 pagi bertanyakan mangsa.

    “Kira-kira pukul 9 pagi mangsa tiba seorang diri dengan berjalan dan duduk di kerusi di bawah khemah depan kedai sebelum memesan minuman.

    “Setengah jam kemudian datang satu lagi lelaki (berjumpa mangsa). Lelaki itu kemudian beredar namun datang semula dengan bapa saudaranya untuk berjumpa mangsa.

    “Kemudiannya berlaku pertengkaran (mangsa dan suspek) sebelum berlaku pergelutan antara mereka. Kedua-dua suspek berjaya memegang mangsa,” katanya.

    Mior Faridalathrash berkata, tidak lama kemudiannya datang seorang lagi lelaki yang juga bapa kepada salah satu suspek di situ yang turut memegang mangsa.

    “Suspek itu (baru tiba) memeluk leher (mangsa) dari belakang sementara anaknya duduk atas belakang badan mangsa yang berada dalam keadaan meniarap.

    “Suspek memaut leher mangsa hampir 15 minit sehingga lemah. Tidak lama kemudian, kawan mangsa datang dan suspek melepaskannya (mangsa) namun ketika itu dia sudah tidak bergerak,” katanya.

    Katanya, susulan itu polis menahan tiga suspek lelaki berusia 60, 47 dan 34 tahun dilokasi kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    “Polis turut merampas pisau lipat milik mangsa di lokasi kejadian,” katanya.

    Menurutnya, punca kejadian dikatakan mangsa mencuri portable speaker (pembesar suara mudah alih) di warung milik salah seorang suspek.

    “Mangsa yang berada ditempat kejadian dikatakan memasang speaker milik suspek dengan kuat sehinggalah berlaku pergaduhan. Mangsa juga di katakan agak kurang siuman,” katanya.

    Katanya, hasil siasatan mendapati mangsa mempunyai tujuh rekod lampau pelbagai kes jenayah termasuk berkaitan dadah.

    “Pemeriksaan awal ke atas tubuh badan mangsa terdapat luka kecil di dahi kanan dan di pergelangan tangan kiri.

    “Mayat mangsa dibawa ke hospital HRPB untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian dan siasatan masih diteruskan,” katanya.

  • 5 termasuk kontraktor bergaduh bersenjatakan payung, gergaji di tepi jalan

    5 termasuk kontraktor bergaduh bersenjatakan payung, gergaji di tepi jalan

    HANYA kerana kurang sabar dan enggan bertolak ansur, lima individu termasuk seorang wanita ditahan polis kerana bergaduh akibat salah faham ketika memandu di jalan raya.

    Semua yang ditahan disyaki terlibat dalam satu pergaduhan di tepi jalan raya di kawasan Bulatan Taman Seraya, Ampang, Selangor.

    Suspek yang berumur lingkungan 16 hingga 48 tahun ditahan di Taman Bukit Teratai dan Taman Pandan Mewah, Ampang

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, punca kejadian dipercayai akibat salah faham ketika menggunakan jalan raya dan kurangnya sikap bertolak ansur sehingga menyebabkan pergaduhan.

    “Seorang lelaki tempatan berumur 48 tahun bekerja sebagai kontraktor pendawaian bersama anaknya menaiki lori dalam perjalanan ke tempat kerja telah berlaku perselisihan faham dengan sebuah kereta perodua Myvi yang dipandu oleh dua lelaki dan seorang perempuan.

    “Pengadu bertindak menyekat kereta dan mengarahkan mereka berhenti sehingga berlakunya pertengkaran dan pergelutan. Semasa kejadian juga kedua-dua pihak ada memegang payung dan gergaji sebagai senjata,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, polis turut merampas sebuah lori dan sebuah motokar serta senjata yang digunakan semasa kejadian.

    Hasil ujian air kencing semua mereka didapati negatif dadah dan semakan terhadap salah seorang yang ditahan didapati mempunyai rekod jenayah lampau.

    Semua mereka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Ampang untuk permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

    Kes disiasat bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan, iaitu merusuh menggunakan senjata. Jika sabit kesalahan boleh dipenjara selamat tempoh lima tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali,” katanya.

    Sebelum ini, tular video di media sosial menunjukkan sekumpulan individu bergaduh di tepi jalan raya.

  • Lelaki ditahan cabul anak tiri berusia 6 tahun

    Lelaki ditahan cabul anak tiri berusia 6 tahun

    IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan menahan seorang lelaki kerana disyaki mencabul anak tirinya yang berusia enam tahun di rumahnya di Klang, pada malam tadi.

    Suspek yang merupakan warga tempatan berusia dalam lingkungan 30-an ditahan pada pukul 8 malam.

    Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, ibu bapa mangsa telah bercerai dan mereka bergilir-gilir untuk menjaga kanak-kanak perempuan berkenaan.

    “Mangsa tinggal bersama ibunya dan kejadian itu berlaku semasa mangsa bersama-sama suspek dalam bilik pada 22 November lalu selepas pulang dari taska.

    “Mangsa telah memberitahu bapa kandungnya bahawa suspek telah menyentuh bahagian kemaluannya dan bapa kandung mangsa telah membuat laporan polis,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Klang Selatan, hari ini.

    Hoong Fong berkata, ibu mangsa berkahwin dengan suspek sejak Januari lalu dan pihak polis sedang menyiasat sama ada kejadian tersebut merupakan yang pertama kali atau pernah terjadi sebelum ini.

    Sehubungan itu, beliau berkata, suspek direman enam hari dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

  • Polis siasat instagram ‘datosrig’

    Polis siasat instagram ‘datosrig’

    Oleh RIZQI ZABIDI

    POLIS kini membuka siasatan terhadap pemilik akaun Instagram ‘datosrig’ berhubung muat naik artikel dan poster berkaitan satu program yang tidak tidak wujud dalam laman media sosial tersebut melibatkan Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, siasatan awal mendapati poster dan artikel tersebut turut memaparkan nama serta gambar kerabat diraja Kedah, Tunku Nur Muhammad Ibni Almarhum YTM Lt. Kol. Tunku Adnan serta Pengerusi Agro Kedah, Datuk Wan Zulkifli.

    “Turut dimuat naik bersama poster itu adalah artikel mengenai ‘Program Presiden Agro Malaysia Turun Padang Jumpa Usahawan Agro di Sungai Petani’ pada 25 November 2021.

    “Semakan dibuat melalui pihak berkaitan mendapati program tersebut adalah tidak wujud,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Tambahnya, antara pengisian program tersebut kononnya adalah majlis penanaman pokok, pembukaan restoran dan majlis penyerahan bantuan bakul makanan Agro Malaysia.

    “Kami menafikan penglibatan Ketua Polis Kedah dalam program tersebut. Mereka yang terlibat akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda dalam masa terdekat bagi dirakam percakapan,” katanya.

    Menurutnya, orang ramai dinasihati supaya jangan mudah terpengaruh dan percaya dengan apa-apa program yang dianjurkan sebelum membuat semakan dengan pihak berkenaan.

  • Polis nafi Johor Bahru tidak selamat, rakyat Singapura akan diragut

    Polis nafi Johor Bahru tidak selamat, rakyat Singapura akan diragut

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    POLIS memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab sama adamenyebarkan kandungan, khabar angin atau berita tidak sahih.

    Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menjelaskan, itu merujuk kepada kenyataan yang tular dalam media sosial berhubung kemungkinan rakyat Singapura akan diragut di Johor Bahru apabila sempadan Malaysia-Singapura dibuka.

    Tegasnya, polis Johor menafikan perkara tersebut malah perkembangan terkini juga menunjukkan indeks jenyah di negeri ini menurun.

    Beliau berkata secara keseluruhan, indeks jenayah di Johor bagi tempoh Januari 2021 hingga semalam menunjukkan penurunan sebanyak 2,610 kes iaitu 39.67 peratus dan berada dalam keadaan terkawal.

    “Kes samun ragut di Johor bagi tempoh sama juga mencatatkan penurunan sebanyak 125 kes bersamaan 77.64 peratus berbanding tahun lepas. Begitu juga kes curi motosikal yang menurun sebanyak 1,099 kes iaitu 51.05 peratus,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

    Menerusi kenyataan yang tular itu, mendakwa terdapat beratus-ratus pencuri yang menaiki motosikal di daerah ini bersedia untuk meragut pelancong dari Singapura apabila sempadan Malaysia-Singapura dibuka semula.

    Selain itu kenyataan itu mendakwa polis tidak akan mengambil tindakan berikutan terdapat terlalu banyak pencuri di Johor.

    Namun pihaknya akan terus bertindak secara agresif bagi membanteras kegiatan jenayah sekali gus memastikan Johor selamat didiami dan dikunjungi.

    Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai agar tidak mudah mempercayai apa jua perkara yang ditularkan dan perlu menyemak terlebih dahulu bagi mendapatkan kesahihan maklumat.