Category: Jenayah

  • Lebih 10 juta saman masih belum dibayar di Johor

    Lebih 10 juta saman masih belum dibayar di Johor

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEBANYAK 72 peratus saman di Johor dari tahun 2000 hingga hari ini masih belum dilunaskan bayarannya.

    Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Superintenden M. Kumarasan berkata, statistik saman tertunggak di negeri ini berjumlah 10,073,023 melibatkan 7,154,780 helai saman Pol 170A .

    Beliau memberitahu, selain itu turut melibatkan melibatkan 2,918,243 helai saman Pol 257.

    “Bagi penyelesaian bayaran saman pula 3,756,975 helai saman sudah dibayar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Dalam pada itu, beliau berkata, polis Johor menawarkan diskaun kompaun saman trafik sebanyak 50 peratus bermula 1 hingga 15 Disember ini.

    Kumarasan berkata, tawaran itu tidak termasuk kes lampu isyarat merah dan saman menggunakan lorong kecemasan yang dilakukan tahun ini.

    “Begitu juga saman memotong secara bahaya, saman kemalangan, saman non compound, saman mahkamah bertanda m, saman lori bertanda ^ dan saman ubah suai ekzos yang semua kesalah itu dilakukan dalam tahun ini.

    “Orang ramai boleh membuat bayaran saman di semua kaunter di seluruh daerah kontinjen Johor bermula pukul 8 pagi hingga 4 petang waktu bekerja,” katanya.

    Beliau berharap, tawaran tersebut dapat membebankan semua pihak yang dikenakan saman dan sebagai tanda penghargaan polis terutama penduduk Johor atas kerjasama dah komitmen mereka.

    Tujuan diskaun pembayaran saman itu katanya, adalah bagi memberi ruang kepada pengguna jalan raya bagi menyelesaikan saman masing-masing.

  • Taktik kilang kosong tidak menjadi, arak tiruan RM3.7 juta dirampas

    Taktik kilang kosong tidak menjadi, arak tiruan RM3.7 juta dirampas

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    BEROPERASI secara sembunyi memproses arak tiruan di sebuah kilang kosong merupakan taktik digunakan satu sindiket di Jalan Seri Wangi, Masai, Pasir Gudang sejak enam bulan lalu.

    Bagaimanapun, taktik mereka itu gagal mengaburi pihak berkuasa apabila diserbu sepasukan Pasukan Gerakan Am (PGA) sekali gus menahan seorang lelaki tempatan dan merampas arak tiruan berjumlah RM3.7 juta di kilang tersebut, semalam.

    Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Muhammad Abdul Halim berkata, serbuan dilakukan menerusi Op Kontraban pada jam 4.45 petang melibatkan sepasukan cawangan risikan Batalion 5 PGA Simpang Renggam.

    “Serbuan dilakukan ketika seorang suspek warga tempatan berusia 20 tahun sedang memandu keluar dari pintu kilang tersebut yang dipercayai terlibat secara langsung dalam aktiviti penyeludupan minuman keras dipercayai arak tiruan.

    Sebahagian daripada 62 tong biru mengandungi 200 liter cecair pati arak yang dirampas dalam serbuan menerusi Op Kontraband di sebuah kilang.

    “Kilang tersebut dijadikan tempat memproses arak tidak bercukai. Kita merampas antaranya 62 tong biru mengandungi 200 liter cecair pati arak dan 19 kotak mengandungi arak jenis Mcdowell’s dengan kandungan 750 mililiter (ml).

    “Ini termasuk 22 kotak mengandungi arak jenis Mcdowell’s dengan kandungan 375ml dan 10 kotak arak jenis Mcdowell’s dengan kandungan 180ml,” katanya dalam sidang akhbar di kilang itu, hari ini.

    Katanya, turut dirampas satu kotak arak jenis Club 99 dengan kandungan 700 ml, dua kotak arak jenis Club 99 dengan kandungan 350ml dan dua kotak arak jenis Club 99 dengan kandungan 170ml.

    Menurutnya, turut dirampas dua kereta jenis Nissam Almera dan Nissan Cefiro, forlift jenis Toyota, pam air, telefon bimbit jenis Oppo dan pelekat kastam disyaki palsu.

    Beliau memberitahu, jumlah anggaran nilai arak RM3.747 juta, nilai cukai arak RM1.4 juta manakala jumlah rampasan lain RM117,000 dan keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM5.327 juta.

    PGA merampas arak tiruan berjumlah RM3.7 juta di kilang tersebut, semalam

    Menurutnya, siasatan mendapati kegiatan tersebut berselindung di sebalik kilang di kawasan industri dan menjadikannya sebagai tempat memproses arak tidak bercukai.

    Minuman keras tiruan itu katanya, untuk pasaran sekitar Johor Bahru dan kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 75 Akta Eksais 1976 (kesalahan membuat, memproses arak dan memiliki peralatan membuat arak).

    Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sejak Januari hingga Selasa, pihaknya telah menahan 172 lelaki dewasa melibatkan 51 tangkapan melibatkan siasatan Akta Kastam 1967, Akta Atipsom 2007, Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Eksais 1967.

    “Nilai keseluruhan rampasan Batalion 5 PGA dari Januari hingga hari ini (Selasa) berjumlah RM29.896 juta,” katanya.

  • Ketua-ketua sindiket penyeludupan haiwan liar dalam radar polis

    Ketua-ketua sindiket penyeludupan haiwan liar dalam radar polis

    SERAMAI 127 pemburu haram berjaya ditahan sepanjang tahun ini menerusi 11 siri Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang dijalankan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di seluruh negara.

    Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, daripada jumlah itu sebanyak 69 kertas siasatan telah dibuka dan 293 jerat hidupan telah dimusnahkan di lapangan sepanjang tempoh tersebut.

    Jelas beliau, sebanyak RM31.86 juta nilai sitaan juga berjaya dilakukan tahun ini iaitu paling besar berbanding dua tahun lalu iaitu sebanyak RM4.25 juta.

    “Kejayaan ini adalah adalah hasil OBK yang dijalankan dengan kerjasama pelbagai agensi lain antaranya PDRM, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan banyak lagi,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar  Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di Batu Feringghi, Pulau Pinang hari ini yang turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim dan Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir.

    Dalam pada itu, Abdul Kadir memberi jaminan ketua-ketua sindiket penyeludupan haiwan liar di negara ini kini berada dalam radar dan pemantauan pihaknya serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    Ujar beliau, pihaknya mendapati ketua-ketua sindiket itu yang masih gagal ditahan setakat ini hanya berjumlah kurang daripada 10 orang.

    “Begitupun kita yakin mereka dapat ditahan dengan kerjasama daripada pihak polis dan JKDM,” katanya.

    Jelas beliau, hidupan liar seperti tenggiling merupakan antara haiwan yang sering diseludup masuk ke negara ini yang mana dua tan haiwan berkenaan berjaya dirampas pihaknya tahun lalu.

    Tambahnya, pihaknya mendapati Malaysia menjadi transit penyeludupan bagi beberapa hidupan liar terutama tenggiling yang dibawa masuk dari Indonesia sebelum diseludup menerusi jalan udara dan laut ke beberapa negara khususnya Vietnam dan China.

    “Selain itu, negara kita juga menjadi tumpuan pemburu haram untuk mencuri beberapa spesis burung antaranya spesis murai batu untuk diseludup ke luar negara kerana mendapat permintaan yang tinggi,” katanya.

  • 19 kes keganasan ah long di Serdangdisiasat

    19 kes keganasan ah long di Serdang
    disiasat

    IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang menyiasat 19 kes sindiket pemberi pinjaman wang tidak berlesen di Serdang pada tahun ini yang membawa kepada tindakan pendakwaan terhadap dua individu mengikut Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951.

    Menurut Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A. A. Anbalagan, sebanyak 18 kes disiasat pada tahun lalu dan enam individu didakwa termasuk dua diambil tindakan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959.

    “Jumlah kerugian melibatkan kes pemberi pinjaman wang tanpa lesen sejak tahun lalu adalah sebanyak RM114,750. Modus operandi sindiket itu adalah menggantung poster di beberapa lokasi tertentu.

    “Sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen juga mempamerkan nombor di media sosial untuk dihubungi mangsa,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Bandar Puchong, Serdang hari ini.

    Beliau berkata, mangsa yang tertarik dengan iklan berkenaan akan menyerahkan dokumen peribadi melalui WhatsApp tanpa bersemuka dan tidak menandatangani dokumen perjanjian.

    “Sindiket akan mengenakan kadar faedah tinggi dan kegagalan peminjam untuk membayar balik wang akan menyebabkan berlaku jenayah kekerasan terhadap mangsa dengan melakukan ugutan.

    “Sindiket itu turut merosakkan harta benda, menyimbah cat, membakar premis atau kenderaan milik mangsa,” katanya.

    Dalam pada itu, Anbalagan turut menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dengan khidmat pinjaman wang ditawarkan menerusi media sosial dan poster diiklankan.

    “Orang ramai boleh membuat pengesahan di laman di ccid.rmp.gov.my/semakmule.

    “Selain itu, individu yang mempunyai masalah boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK),” katanya.

  • PDRM tubuh Unit WCB tumpaskan sindiket penyeludupan liar

    PDRM tubuh Unit WCB tumpaskan sindiket penyeludupan liar

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan menubuhkan Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar (WCB) bagi menyiasat dan menumpaskan sindiket penyeludupan hidupan liar di negara ini.

    Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, unit itu akan berpusat di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan bakal dianggotai seramai 50 anggota polis termasuk pegawai.

    Jelas beliau, Unit WCB itu akan menggunakan kepakaran yang ada dalam pasukan polis untuk membantu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menumpaskan sindiket yang mempunyai rangkaian penyeludupan hidupan liar.

    “Unit ini akan ditubuhkan dalam masa terdekat dan kertas kerja mengenai penubuhannya juga telah pun siap,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sidang akhbar Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di Batu Feringghi, Pulau Pinang hari ini.

    Hadir sama Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim dan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir.

    Menurut Mazlan, polis akan menggunakan undang-undang sedia ada seperti Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram  (AMLA) untuk menyita aset-aset yang dimiliki sindiket rangkaian penyeludupan hidupan liar.

  • Dua pendaki Kinabalu cedera, terjatuh ketika aktiviti paragliding

    Dua pendaki Kinabalu cedera, terjatuh ketika aktiviti paragliding

    DUA pendaki cedera selepas terjatuh ketika melakukan aktiviti paragliding di Gunung Kinabalu, Kundasang, Sabah, pagi tadi.

    Dalam kejadian 7 pagi itu, kedua-dua mangsa ditemui di Kilometer 7.5 Summit Trail dalam keadaan sedarkan diri.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.30 pagi dan empat anggota bersama empat malim gunung berkejar ke lokasi.

    “Sebaik tiba di lokasi pada 9.30 pagi, mangsa pertama didapati cedera di bahagian lutut, namun masih mampu bergerak sendiri turun ke kaki gunung.

    “Mangsa kedua pula didapati bengkak di bahagian lutut kanan dan disyaki mengalami retak tempurung lutut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Jurucakap itu berkata, mangsa diberikan rawatan awal dan lukanya dicuci serta dibalut sebelum dibawa turun dengan ‘stretcher’.

    “Ketika ini, kedua-dua mangsa bersama pasukan penyelamat masih dalam perjalanan turun,” katanya.

  • Kanak-kanak austisme ditemukan lemas

    Kanak-kanak austisme ditemukan lemas

    SELEPAS dua hari dilaporkan hilang, sorang kanak-kanak austisme ditemukan lemas di Sungai Sarawak, hari ini.

    Mangsa dilaporkan hilang di Kampung Rantau Panjang, Batu Kawa, di Kuching sejak Ahad.

    Muhd. Ramadhan Muhd. Ridhwan, 8, dijumpai tersangkut pada pukat nelayan, kira-kira lima kilometer dari pos kawalan bomba (PKB) di Kampung Rantau Panjang, 7.20 pagi tadi.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Batu Lintang, Raffy Saibi berkata, anggota yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) menaiki bot bergegas ke lokasi penemuan.

    “Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke PKB dan disahkan oleh ibu dan bapanya.

    “Keadaan mayat ditemui dalam keadaan sempurna tanpa ada sebarang kesan kecederaan,” katanya.

    Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat.

    Pada Ahad lalu, mangsa disedari hilang dari kediaman mereka di Kampung Rantau Panjang, Batu Kawa, kira-kira 2 petang.

    Ketika kejadian itu, mangsa tinggal di rumah bersama ibu saudaranya manakala bapanya keluar berniaga.

    BBP Batu Lintang menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 7 malam sebelum sepasukan anggota dikerah ke lokasi bagi melancarkan operasi SAR.

  • Remaja maut kereta bertembung SUV

    Remaja maut kereta bertembung SUV

    SEORANG remaja maut apabila kereta yang dipandunya dipercayai bertembung dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Taman Hijau, Sitiawan, Perak, awal pagi tadi.

    Mangsa yang dikenali sebagai Nga Hu Chen, 18, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, mereka menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 1.12 pagi.

    Setibanya di lokasi kejadian, didapati kemalangan melibatkan dua buah kenderaan bertembung menyebabkan pemandu Perodua Myvi tersepit, manakala pemandu Proton X70 mengalami kecederaan dan telah dikeluarkan orang awam,” katanya dalam kenyataan.

    Anggota bomba terpaksa menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

    Bagaimanapun, katanya, mangsa disahkan maut di tempat kejadian dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

  • SPRM tahan pengurus besar agensi kerajaan

    SPRM tahan pengurus besar agensi kerajaan

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pengurus besar di sebuah agensi kerajaan di Sabah di pejabat SPRM Tawau semalam.

    Suspek berusia lingkungan 40-an itu ditahan pada jam 9 pagi selepas disyaki menerima suapan sebanyak kira-kira RM8,000.

    Lelaki tersebut dikatakan telah menggunakan kedudukannya untuk meluluskan baucar bayaran pada tahun 2018 sedangkan kerja-kerja itu dilakukan oleh suspek sendiri.

    Difahamkan, suspek dilepaskan dengan bon jamin SPRM sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

    Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

    “Lelaki itu ditahan di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009 dan akan dituduh di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Tawau pada 3 Disember ini,” katanya.

  • Mini makmal diserbu, polis rampas, sita dadah & aset bernilai lebih RM10 juta

    Mini makmal diserbu, polis rampas, sita dadah & aset bernilai lebih RM10 juta

    POLIS menumpaskan satu sindiket pemprosesan dan pengedaran dadah jenis heroin dan pil ekstasi menerusi enam siri serbuan di sekitar Selangor, hasil penahanan 10 lelaki tempatan pada 22 Nov lalu.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Razarudin Husain berkata kegiatan sindiket yang aktif sejak enam bulan lalu itu berjaya dibongkar pihaknya, menerusi serbuan yang dijalankan serentak oleh JSJN Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, antara jam 12.10 hingga 4.30 petang sekitar Gombak dan Puchong.

    Menerusi serbuan tersebut pihaknya juga turut membongkar aktiviti pemprosesan dadah dipercayai jenis heroin, yang dijalankan di sebuah premis rumah kedai di sekitar kawasan Bukit Puchong, Puchong.

    “Hasil serbuan di kesemua lokasi itu, pihak kami telah berjaya merampas sejumlah 19.7 kilogram (kg) dadah heroin base; 43.1kg dadah heroin; 3.2kg pil ekstasi dan 110kg serbuk dadah MDMA dianggar bernilai RM8.09 juta,” katanya pada sidang media di IPK Selangor, hari ini yang turut dihadiri Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed.

    Razarudin berkata bekalan dadah tersebut dipercayai dibawa masuk dari negara jiran.

    Selain itu, katanya polis turut merampas dan menyita aset-aset sindiket berkenaan termasuk pelbagai jenis kenderaan mewah, barang kemas serta tindakan pembekuan akaun bank serta wang tunai, bernilai lebih RM2.039 juta.

    “Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta dianggarkan lebih RM10 juta,” katanya.

    Razarudin berkata saringan awal pihaknya terhadap 10 suspek tersebut mendapati salah seorang daripadanya positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan ketamin dan lapan daripadanya mempunyai rekod lampau dadah serta jenayah.

    Katanya kes tersebut kini disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua suspek telah direman selama lima hingga 11 hari bermula 23 Nov lalu.

    — BERNAMA