Category: Jenayah

  • 27 terbabit parti liar kolam renang didapati positif dadah

    27 terbabit parti liar kolam renang didapati positif dadah

    SERAMAI 27 daripada 131 individu yang terbabit dalam parti liar di kolam renang sebuah kelab persendirian terkemuka di Kuala Lumpur semalam didapati positif dadah selepas ujian air kencing dilakukan.

    Semua mereka positif dadah amphetamine, methamphetamine, ketamin dan kanabis.

    Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, selain itu 23 warga tempatan dan empat warga asing berusia 17 tahun hingga 50 tahun direman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya melalui kenyataan, hari ini.

    Beliau turut menasihatkan orang ramai tidak melakukan aktiviti yang bertentangan dengan penetapan Majlis Keselamatan Negara bagi memastikan rantaian Covid-19 diputuskan sepenuhnya.

    “Sebarang maklumat berkaitan perlanggaran prosedur operasi standard Pelan Pemulihan Negara atau apa-apa perbuatan jenayah boleh menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

    Semalam media melaporkan polis menjalankan risikan sebelum serbuan dilakukan di kelan berkenaan pada pukul 10.50 malam.

    Difahamkan setiap individu dikenakan bayaran RM60 untuk menyertai parti yang dijemput menerusi aplikasi media sosial.

    Serbuan berkenaan diketuai Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Nasri Mansor bersama anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields.

  • Bekas tentera maut dipukul bertubi-tubi anak sendiri

    Bekas tentera maut dipukul bertubi-tubi anak sendiri

    SEORANG pesara tentera meninggal dunia selepas dicederakan dengan pisau pemotong kek selain dipukul bertubi-tubi oleh anak lelakinya yang dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental, dalam kejadian Rabu lepas di rumah mereka di Kampung Jenderam Hulu, di Sepang.

    Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata suspek yang berumur 48 tahun itu, sedang mengamuk ketika polis tiba di lokasi kejadian kira-kira 7 malam.

    “Pihak polis kemudiannya menahan lelaki itu yang juga merupakan pemegang kad orang kurang upaya (OKU), di pekarangan rumah berkenaan.

    “Mangsa, 73, ditemui terbaring dalam keadaan berlumuran darah di ruang tamu dengan kesan kecederaan teruk pada bahagian muka, dipercayai dipukul bertubi-tubi oleh suspek, selain cedera pada bahagian dada dan kedua-dua belah tangan,” katanya dalam sidang media berkaitan Operasi Cegah Jenayah di sini hari ini.

    Wan Kamarul Azran berkata, suspek dipercayai mengamuk kerana sudah lama tidak mengambil ubat penenang yang dibekalkan pihak hospital.

    Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan suspek yang ditahan bersama senjata yang digunakan, sedang menjalani tahanan reman sehingga esok.

    Tambahnya suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – BERNAMA

  • Pelajar maut tercampak selepas dilanggar guru

    Pelajar maut tercampak selepas dilanggar guru

    SEORANG pelajar lelaki yang dalam perjalanan ke sekolah maut selepas basikal ditungganginya berlanggar dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandu seorang guru di Batu 6 Jalan Changkat Jong, Teluk Intan, hari ini.

    Mangsa yang berusia 14 tahun menunggang basikal dari rumahnya di Kampung Glouster Batu 6 ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kandi sebelum kejadian itu berlaku pada pukul 7 pagi.

    Menurut Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri, keterangan awal memaklumkan mangsa keluar dari simpang sebelah kanan secara melulu hingga masuk ke laluan MPV Perodua Alza dipandu seorang guru wanita berusia 36 tahun.

    “Keadaan itu menyebabkan pemandu MPV terbabit tidak sempat mengelak dan terlanggar mangsa di bahagian hadapan.

    “Pelanggaran menyebabkan mangsa tercampak dan terjatuh ke bahu jalan,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

    Beliau berkata, petugas kesihatan telah mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah selepas tercampak manakala pemandu MPV tidak mengalami sebarang kecederaan.

    Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat dan ujian saringan Covid-19.

  • Polis tahan suami isteri aktif pecah masuk kedai, kenderaan

    Polis tahan suami isteri aktif pecah masuk kedai, kenderaan

    SEPASANG suami isteri yang aktif melakukan pecah kedai dan kenderaan di sekitar Bentong diberkas polis pada Khamis lalu.

    Menerusi penahanan pasangan itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong berjaya menyelesaikan tujuh kes pecah kedai dan kenderaan yang berlaku di sekitar daerah tersebut.

    Suspek lelaki yang berusia 31 tahun ditahan di sebuah stesen minyak di Klang, Selangor, manakala isterinya, 37, ditahan di pekarangan IPD Bentong.

    Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd. Kahar berkata, suspek ditahan selepas pihak polis memeriksa kenderaan dipandunya dan menemui beberapa barangan dilaporkan hilang seperti yang direkodkan di Balai Polis Genting Highlands.

    “Hasil siasatan mendapati suspek terlibat dalam satu kes kejadian curi dalam bangunan dan tiga kes pecah kenderaan di Genting Highlands.

    “Polis juga menemui dadah jenis syabu seberat 1.88 gram dan ganja seberat 3.25 gram pada badan suspek,” katanya pada sidang akhbar di IPD Bentong, hari ini.

    Zaiham berkata, polis merampas wang tunai berjumlah RM400, lima telefon bimbit pelbagai jenama, perkakasan audio kenderaan, tiga beg mengandungi tiga rangkaian kunci, sebuah walkie talkie dan satu beg kulit dalam kenderaan suspek.

    “Selain itu, polis menemui beberapa peralatan di dalam kenderaan suspek seperti alat pemotong wayar, testpen, pisau, drill, lampu suluh yang dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah.

    “Polis juga menyita kereta jenis Perodua Bezza yang didakwa disewa oleh suspek bermula 29 November hingga 27 Januari tahun depan,” katanya.

    Beliau berkata, suspek didapati positif dadah selain mempunyai lima rekod lampau yang membabitkan tiga kes ragut dan masing-masing satu kes dadah serta imigresen.

    “Pasangan ini akan direman tujuh hari di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan suspek turut berdepan tuduhan tambahan berkaitan kes di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

  • Bot hampir tenggelam, sembilan kru terselamat

    Bot hampir tenggelam, sembilan kru terselamat

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEMBILAN kru warga Indonesia berdepan detik cemas apabila bot barter trade yang dinaiki mereka dimasuki air sehingga hampir tenggelam dalam kejadian di perairan Tanjung Pungai, Kota Tinggi, semalam.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima maklumat kejadian menerusi Zon Maritim Tanjung Sedili (ZMTS) pada 11 pagi.

    “Bot barter trade membawa muatan bekalan runcit itu dalam perjalanan dari Singapura ke Pulau Natuna, Indonesia berdepan dengan cuaca buruk di laut.

    Sebahagian daripada sembilan kru warga Indonesia diselamatkan maritim selepas bot mereka dinaiki dimasuki air dan hampir tenggelam di perairan Tanjung Pungai, Kota Tinggi, semalam.

    “Bot ronda Perkasa 30 milik Maritim Malaysia segera bertindak untuk menyelamatkan mereka. Bot barter trade itu dikendalikan sembilan kru warga Indonesia berumur antara 19 tahun hingga 48 tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Kata Nurul Hizam, kesemua kru terbabit dibawa ke Pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili bagi urusan penyerahan kepada Konsulat Indonesia di Johor Bahru.

    Dalam pada itu, beliau berkata, MRSC Johor Bahru menasihatkan komuniti marin agar sentiasa berhati-hati dan memakai jaket keselamatan sewaktu berhadapan cuaca buruk di laut.

    Sebarang kecemasan di laut boleh segera menghubungi talian Pusat Operasi Maritim Negeri Johor menerusi talian 07-2199401 atau talian kecemasan MERS 999.

  • Negara rugi hampir RM1 bilion akibat penyeludupan

    Negara rugi hampir RM1 bilion akibat penyeludupan

    MALAYSIA kehilangan nilai cukai hampir RM1 bilion akibat aktiviti penyeludupan haram termasuk rokok dan minuman keras sejak 2020 sehingga kini.

    Timbalan Menteri Kewangan I, Mohd. Shahar Abdullah berkata, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (atau JKDM) merekodkan jumlah perolehan rampasan rokok dan minuman keras tidak sah sebanyak 2,842 kes pada tahun 2020 dan 2,518 kes setakat September lalu.

    “Keseluruhannya kerugian mencecah RM97.34 juta dan melibatkan nilai kehilangan cukai sebanyak RM707.14 juta.

    “Bagi tahun 2021, statistik sama mencatatkan rampasan bernilai 41.43 juta ringgit, dengan jumlah kehilangan cukai terlibat adalah sebanyak 281.69juta ringgit,” katanya dalam sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

    Sebelum itu, Nga Kor Ming (Teluk Intan-PH) meminta supaya kementerian itu menyatakan jumlah kerugian hasil negara akibat dari aktiviti penyeludupan haram termasuk arak dan rokok serta langkah-langkah yang sedang diambil oleh kerajaan untuk mengatasi masalah tersebut.

    Mohd. Shahar berkata, dalam usaha membendung ketirisan hasil cukai akibat aktiviti penyeludupan rokok dan minuman keras, JKDM sentiasa mempergiat kawalan.

    “Tindakan penguatkuasaan dilaksanakan melalui pelbagai aktiviti serbuan, rondaan darat dan air, sekatan jalan raya, pemeriksaan kapal, bot atau kenderaan di samping melakukan pelbagai Operasi Khas dan Operasi Outlet Rokok dan Minuman Keras.

    “Sungguhpun negara sedang menghadapi pandemik Covid-19, usaha menangani aktiviti penyeludupan terus dipertingkat oleh JKDM dari semasa ke semasa melalui pelbagai aktiviti termasuk Op Benteng, Operasi Portcullis, Operasi Sepadu Marin Kastam dan Ops Pacak,” katanya. 

  • USJKT kendali kes mati dalam tahanan polis-Hamzah

    USJKT kendali kes mati dalam tahanan polis-Hamzah

    JABATAN Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman menubuhkan Unit Siasatan Jenayah Kematian dalam Tahanan (USJKT) bertujuan mengendalikan dan menyiasat kes kematian dalam tahanan polis yang akan berfungsi bermula 1 Januari 2022.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, unit itu akan ditubuhkan diketuai oleh seorang pegawai polis berpangkat Superintendan dan dianggotai seramai 12 anggota dan juga seorang pegawai awam.

    “Kita sering menerima rungutan tentang kematian dalam tahanan dan lokap, oleh itu kita sedang merancang untuk melakukan sesuatu.

    “Kita memerlukan pendekatan penambahbaikan lagi untuk menangani kes jenayah seksual, cedera dan kematian dalam tahanan, kita bincang dengan PDRM untuk mewujudkan satu lagi unit iaitu USJKT di bawah JIPS,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Kuala Lumpur, hari ini.

    Hamzah berkata, langkah tersebut sebagai keprihatinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap segala rungutan yang diluahkan rakyat mengenai insiden kematian dalam tahanan.

    “Penubuhan unit baharu itu akan membantu kerajaan meningkatkan integriti dan imej polis,” katanya.

    Menurutnya, unit itu akan memberi tumpuan kepada siasatan polis yang telus membabitkan unsur jenayah, mengenal pasti suspek, kecuaian, kelalaian anggota, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan arahan yang dikeluarkan.

    “Saya difahamkan sebanyak 176 kes kematian dilaporkan iaitu 82 daripadanya membabitkan kematian dalam lokap manakala 94 lagi dalam tahanan sejak 2015 hingga 2021,” katanya.

    Hamzah berkata, kematian lokap yang berlaku bukan disebabkan isu perkauman seperti didakwa sesetengah pihak.

    “Ia (kematian) tidak ada kena mengena dengan jantina serta perkauman sebaliknya ia adalah perkara yang tak boleh dielakkan atas pelbagai faktor antaranya sakit dan sebagainya,” katanya.

    Hamzah berkata, pihaknya sedang mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan untuk melantik doktor panel bagi membolehkan mana-mana individu yang ditahan polis dirujuk segera ke klinik swasta.

    “Jika ikutkan SOP sedia ada, kita perlu menunggu doktor atau pegawai perubatan yang akan dihantar oleh Kementerian Kesihatan yang mana ia akan mengambil masa yang lama.

    “Jika khidmat doktor panel klinik swasta dibenarkan maka seorang tahanan boleh segera dirujuk kepada panel untuk proses saringan kesihatannya bagi mengetahui status kesihatan semasa tahanan itu sebelum dibawa ke lokap,” katanya.

  • Dua pemandu lori syarikat pembersihan parah ditetak

    Dua pemandu lori syarikat pembersihan parah ditetak

    HANYA kerana menegur seorang lelaki yang menendang kereta miliknya sendiri, dua pemandu lori syarikat pembersihan parah ditetak dalam kejadian di tempat letak motosikal Flat Taman Permata, Dengkil, semalam.

    Kejadian awal berlaku pukul 7.40 pagi apabila kedua-dua mangsa melihat suspek dalam keadaan marah dan menendang sebuah kereta.

    Ketua Polis Daerah (IPD) Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, mereka kemudiannya menegur suspek dan berlaku pertengkaran.

    “Selepas kedua-dua mangsa selesai bekerja kira-kira jam 12 tengah hari, mereka didatangi suspek yang membonceng sebuah motosikal yang ditunggang seorang remaja,” katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Cyberjaya, hari ini.

    Wan Kamarul Azran berkata, suspek kemudiannya turun dari motosikal dan mengeluarkan sebilah parang.

    “Suspek bertindak melibas ke arah kedua-dua mangsa mengakibatkan mereka tercedera dan suspek bertindak melarikan diri.

    “Mangsa pertama mengalami kecederaan di bahagian tangan sebelah kanan dan patah tulang tangan kanan manakala mangsa kedua mengalami kecederaan di bahagian telinga.

    “Kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Cyberjaya untuk rawatan lanjut,” katanya.

    Menurutnya, suspek berumur 28 tahun berjaya diberkas di tepi premis KFC KIP Mall Kota Warisan, Bandar Baru Salak Tinggi kira-kira pukul 11.30 malam.

    “Semakan rekod dijalankan mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau antaranya melibatkan Seksyen 3 Akta Culik 1961 dan Seksyen 506/427 Kanun Keseksaan.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Kereta terbabas elak van lawan arus di Jambatan Pulau Pinang

    Kereta terbabas elak van lawan arus di Jambatan Pulau Pinang

    SEBUAH van dirakam dipandu secara melawan arus di atas Jambatan Pulau Pinang dari arah tanah besar menghala ke bahagian pulau dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi tadi.

    Lebih malang, tindakan pemandu van berkenaan turut menyebabkan sebuah kereta lain dipercayai Honda City terbabas hingga melanggar tembok pembahagi jambatan dipercayai kerana terkejut dan cuba mengelak van berkenaan.

    Kejadian itu dirakam menerusi kamera papan pemuka pemandu awam lain dan tular di dalam media sosial hari ini.

    Ketika kejadian, keadaan trafik dilihat masih lengang disebabkan awal pagi.

    Bagaimanapun setakat ini tiada maklumat lanjut daripada pihak berkuasa berhubung kejadian sebenar dan keadaan mangsa yang terlibat dalam kejadian tersebut.

    Kejadian memandu secara lawan arus kerap berlaku di Pulau Pinang dengan yang terbaharu pada pertengahan bulan lalu melibatkan sebuah kereta Perodua Kancil di Plaza Tol Juru, Simpang Ampat, pukul 8.15 pagi.

    Dalam kejadian yang juga sempat dirakam pengguna lain itu, pemandu Perodua Kancil berkenaan dilihat berada di laluan paling kanan dan hampir-hampir melanggar kenderaan yang berada di laluan tersebut.

  • Anggota maritim didakwa 32 pertuduhan menerima suapan RM26,200

    Anggota maritim didakwa 32 pertuduhan menerima suapan RM26,200

    SEORANG anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini atas 32 pertuduhan menerima suapan RM26,200 daripada seorang nelayan empat tahun lalu.

    Tertuduh, Mohd Norizan Yahaya, 46, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd. Zani.

    Berdasarkan kertas pertuduhan pertama hingga ke- 32, Mohd. Norizan yang berpangkat Bintara Muda Maritim yang bertugas di Agensi Penguatkuasaan Maritim, Zon Maritim Kuala Kedah telah menerima suapan yang berjumlah RM26,200 daripada Neo Siang Joo melalui pindahan wang secara dalam talian ke dalam akaun Bank Islam miliknya.

    Suapan itu didakwa diterima tertuduh sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap bot milik Siong Joo.

    Mohd. Norizan didakwa melakukan perbuatan terbabit di Bank Islam Malaysia Berhad Cawangan Mahkota Square Jalan Mahkota, antara 13 Mei 2018 hingga 30 Mei 2019.

    Kes pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika didapati bersalah.

    Dalam prosiding itu, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Fauzee Azizan menawarkan ikat jamin RM20,000 terhadap semua pertuduhan dengan seorang penjamin.

    Bagaimanapun Mohd. Norizan yang tidak diwakili peguam meminta agar wang ikat jamin dikurangkan atas alasan menanggung isteri dan anak yang masih bersekolah.

    Tertuduh juga memberitahu, isterinya menghidap kanser rahim dan memerlukan perbelanjaan yang banyak setiap bulan