Category: Jenayah

  • Persenda OKU: 4 individu dijangka beri keterangan petang ini

    Persenda OKU: 4 individu dijangka beri keterangan petang ini

    EMPAT individu dipercayai terlibat dalam dua video berasingan yang tular di media sosial sejak Rabu lepas, kerana mempersendakan golongan Orang Kurang Upaya (OKU), dijangka hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, petang ini.

    Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata kesemua suspek berjaya dihubungi oleh pengawai penyiasat semalam, berhubung video tersebut.

    “Mereka akan hadir untuk dirakam percakapan petang ini,” katanya ringkas kepada Bernama hari ini.

    Kes terbabit diklasifikasikan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, kerana kesalahan dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan, dan penggunaan media sosial secara tidak wajar.

    Khamis lepas, Presiden OKU Sentral Senator Datuk Ras Adiba Radzi membuat laporan polis terhadap beberapa individu yang mempersendakan golongan OKU, walaupun mereka telah memohon maaf secara terbuka.

    Sebelum ini, tular di media sosial dua lelaki menggunakan tempat meletak kereta khas untuk OKU di sebuah pusat beli-belah, dengan menyamar sebagai OKU untuk menggunakan parkir berkenaan.

    Selain itu, dua wanita yang merupakan penunggang basikal, mengambil kesempatan menggunakan tandas OKU dengan membuat pergerakan yang mempersendakan golongan tersebut.- Bernama

  • 2 ditahan tikam mati warga emas mahu tunai solat Jumaat

    2 ditahan tikam mati warga emas mahu tunai solat Jumaat

    DUA suspek yang menikam seorang lelaki warga emas hingga mati di hadapan rumahnya di Kampung Idaman, Klang, semalam, direman seminggu bermula hari ini.

    “Permohonan reman sehingga 17 Disember terhadap kedua-dua suspek itu dipohon di Mahkamah Klang,” ujar Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong, ketika dihubungi hari ini.

    Media sebelum ini melaporkan, lelaki warga emas yang mahu menunaikan solat Jumaat di masjid maut apabila dipercayai ditikam dua lelaki berhampiran pintu pagar kediamannya.

    Menurut Hoong Fong, mangsa, 69, ditemui terbaring berlumuran darah di hadapan rumahnya sekitar jam 12.38 tengah hari semalam.

    Katanya, kedua-dua suspek yang disyaki menikam mangsa berusia 33 tahun berjaya diberkas di dua lokasi berasingan sekitar Klang dan Shah Alam dalam tempoh empat jam selepas kejadian.

    “Siasatan mendapati, suspek utama dalam kes ini mempunyai tiga rekod jenayah lampau membabitkan satu rekod jenayah dan dua rekod dadah.

    “Senjata yang digunakan suspek untuk menikam si mati juga berjaya ditemui,” katanya dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    Semalam, tular dalam media sosial seorang lelaki warga emas tidak sempat ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat apabila ditikam lelaki dikenali secara tiba-tiba.

  • MRSM gantung pelajar buli serta-merta, dicadang tamat pengajian

    MRSM gantung pelajar buli serta-merta, dicadang tamat pengajian

    SERAMAI enam pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang sudah dikenal pasti terlibat dalam kes buli, digantung serta merta selama dua minggu persekolahan.

    Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) turut mencadangkan pelajar terbabit ditamat pengajian mereka di institusi itu.

    “Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) MRSM telah pun memanggil 10 pelajar yang terlibat dengan insiden berkenaan.

    “Dalam laporan yang disediakan, enam pelajar terlibat memukul mangsa buli berkenaan manakala 4 pelajar yang berada di lokasi kejadian didapati bersubahat dan membuat provokasi, pelajar-pelajar ini berada di tingkatan 1 hingga tingkatan 3,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Padang Terap, Padang Terap, hari ini.

    Mahdzir ketika berucap menyempurnakan majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Padang Terap, Padang Terap, hari ini

    Sejak semalam video berdurasi 10 saat itu tular dalam media sosial memaparkan seorang pelajar menumbuk seorang pelajar lain dalam asrama yang dikatakan berlaku di sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar.

    Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, pihak Mara mengambil serius kejadian buli membabitkan pelajar di institusi pendidikan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar itu.

    Ditanya mengenai siasatan polis terhadap kes berkenaan, Mahdzir berkata, pihaknya tidak mencampuri urusan siasatan dan menyerahkan kepada pihak berkenaan berdasarkan siasatan luaran.

    Pihak Mara jelas beliau, mengambil tindakan penggantungan itu berdasarkan siasatan dalaman dan mengikut peruntukan hukuman yang telah ditetapkan JDM.

    “Malang bagi Maktab Rendah Sains Mara mempunyai pelajar-pelajar yang pandai, dipanggil temuduga sebagai saringan, kualiti pendidikan, ko-kurikulum dan jatidiri mereka diambil kira untuk kemasukan ke MRSM,

    “Tetapi masih juga berlaku lagi kejadian seumpama itu, jadi saya rasa amat kecewa kerana mereka tidak sepatutnya terdedah dengan perbuatan itu,” katanya.

  • Wanita diperdaya RM34,936 dengan tawaran kerja sambilan

    Wanita diperdaya RM34,936 dengan tawaran kerja sambilan

    SEORANG wanita rugi sebanyak RM34,936 selepas diperdaya dengan tawaran kerja sambilan menerusi platform dalam talian yang diiklankan di laman sosial, bulan lalu.

    Mangsa, 34, yang merupakan pembantu tadbir sebuah syarikat swasta tertarik untuk menyertai kerja sambilan tersebut selepas melihat iklan berkenaan pada November lalu.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa kemudian berurusan dengan seorang wanita yang merupakan suspek melalui WhatsApp dan diterima untuk menyertainya dengan tawaran komisen sebanyak 20 peratus.

    “Tugasan diberikan cukup mudah iaitu mangsa hanya perlu membuat tangkap layar gambar produk yang ingin dibeli dan menghantarnya kepada suspek bersama wang pendahuluan.

    “Selain wang pendahuluan akan dikembalikan, mangsa akan menerima keuntungan melalui komisen mengikut kadar ditetapkan.

    “Mangsa membuat tugasan pertama dengan bayaran RM30 dan wang yang diterima kembali ialah RM33,” katanya melalui satu kenyataan, hari ini.

    Mohd. Wazir berkata, mangsa kemudian menyelesaikan beberapa tugasan dengan bayaran pendahuluan lebih RM34,000.

    “Malangnya, dia gagal menerima kembali wang pendahuluan dan komisen yang dijanjikan.

    “Mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Kuantan pada Jumaat selepas menyedari ditipunya. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    “Polis sedang mengesan dua pemilik akaun bank yang digunakan dalam kes tersebut bagi membantu siasatan,” kata beliau.

  • 54 tan keratan ayam sejuk beku dari Thailand dirampas

    54 tan keratan ayam sejuk beku dari Thailand dirampas

    SEJUMLAH 13,281 ekor ayam hidup dan kira-kira 54 tan keratan ayam sejuk beku yang cuba dibawa masuk dari Thailand dirampas di Kelantan sejak Januari hingga November tahun ini.

    Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dalam kenyataan, hari ini, memaklumkan pihaknya telah menahan kemasukan kira-kira 54 tan keratan ayam sejuk beku bernilai RM768,000 itu kerana gagal mematuhi syarat-syarat kemasukan yang ditetapkan.

    Menurut Maqis, kesemua ayam hidup bernilai kira-kira RM100,000 pula dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pasukan Polis Marin ketika cuba dibawa masuk melalui pengkalan haram tebing Sungai Golok.

    “Kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana mengimport keluaran pertanian tanpa permit import yang sah daripada Maqis.

    “Di bawah Seksyen 11(3) akta sama, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali,” menurut kenyataan itu.

    Menurut Maqis, pihaknya dengan kerjasama agensi penguatkuasaan di sempadan yang lain akan terus komited dan mengambil langkah serius dalam mempertingkat kawalan dan penguatkuasaan di sempadan khususnya di pintu masuk negara.

    Ini bagi memastikan isu melibatkan kawalan penyakit, keselamatan makanan, pengiktirafan halal dan risiko kemasukan perosak berbahaya yang boleh mengancam industri pertanian serta penternakan negara ini dapat dibendung serta dikawal. – Bernama

  • Warga asing baring atas jalan maut dilanggar MPV

    Warga asing baring atas jalan maut dilanggar MPV

    SEORANG lelaki warga asing yang sedang baring atas jalan raya maut dilanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Phileo Damansara, Petaling Jaya, malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, mangsa, 40, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian pada pukul 10.54 malam.

    “Siasatan awal mendapati mangsa merupakan seorang lelaki warga asing sedang baring atas jalan raya dan dilanggar oleh kereta yang keluar dari bangunan tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian.

    Mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat dan beliau meminta saksi kejadian diminta untuk tampil bagi membantu siasatan.

    “Kepada sesiapa yang melihat atau berada di tempat kejadian mohon tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan pegawai penyiasat trafik, Inspektor Rozilah Hussin di talian 016 267 9025,” katanya.

  • Saman tertunggak di Johor RM3 bilion, termasuk libatkan warga Singapura

    Saman tertunggak di Johor RM3 bilion, termasuk libatkan warga Singapura

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    POLIS Johor merekodkan sebanyak 10,073,023 keping saman yang masih tertunggak berjumlah sebanyak RM3.021 bilion atas pelbagai kesalahan jalan raya sejak tahun 2000 hingga kini.

    Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Johor, Deputi Superintenden Khairul Azhar Ismail berkata, daripada jumlah itu, RM58.07 juta adalah saman tertunggak melibatkan warga Singapura.

    Katanya, jumlah itu melibatkan sebanyak 193,583 saman yang dikeluarkan pihaknya terhadap pemandu republik berkenaan.

    “Sejak tahun 2000 hingga kini, jumlah saman tertunggak bagi Kontinjen Johor adalah sebanyak 10,073,023 keping saman melibatkan pelbagai kesalahan.

    “Antara kesalahan direkodkan termasuk memandu laju, menghalang lalu lintas, melanggar lampu isyarat, tiada lesen memandu, lesen tamat tempoh, ubah suai kenderaan dan mengguna telefon bimbit,” katanya kepada pemberita di Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, hari ini.

    Terdahulu, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay meluangkan kira-kira 20 minit melihat proses pembayaran saman sempena diskaun 80 peratus di Ibu Pejabat Polis Trafik Johor.

    Khairul Azhar memberitahu, sejak 1 Disember hingga semalam, pihaknya telah mengutip pembayaran saman berjumlah RM4.8 juta dengan RM1.6 juta dikutip semalam iaitu sejak diskaun 80 peratus bermula.

    “Daerah yang paling banyak mencatat kutipan saman membabitkan Johor Bahru Selatan dengan kutipan RM730,960 diikuti Batu Pahat (RM539,380) dan Muar (RM469,500).

    “Bagi memudahkan urusan pembayaran saman, orang ramai boleh mengunjungi 14 cawangan trafik di mana-mana Ibu Pejabat Polis Daerah negeri Johor untuk urusan berkenaan.

    “Saya berharap masyarakat akan menggunakan sepenuhnya peluang yang diberi ini untuk menjelaskan saman mereka pada harga diskaun 80 peratus iaitu sehingga Ahad ini,” ujarnya.

  • 4 ahli sindiket edar dadah ditahan, ganja 107kg dirampas

    4 ahli sindiket edar dadah ditahan, ganja 107kg dirampas

    POLIS Pulau Pinang berjaya menumpaskan sindiket dadah yang didalangi tiga beranak termasuk pasangan suami isteri dalam serbuan di sekitar negeri itu serta Kedah dan merampas 107 kilogram (kg) dadah jenis ganja bernilai RM267,500.

    Turut ditahan dalam serbuan kelmarin dan semalam itu ialah seorang lagi suspek lelaki yang merupakan kenalan kepada tiga beranak berkenaan yang kesemua mereka berusia antara 25 hingga 33 tahun.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad berkata, tangkapan pertama melibatkan dua individu dilakukan pukul 8.40 malam kelmarin di Kampung Lahar Yooi yang mana polis menemukan lima ketulan ganja seberat lima kilogram bernilai RM12,500.

    Katanya, tangkapan itu membawa kepada serbuan di sebuah rumah di Bukit Selambau, Sungai Petani, Kedah pukul 9.50 malam hari sama yang mana seorang wanita iaitu kakak kepada salah seorang suspek pertama ditahan bersama empat guni berisi 100 ketul ganja bernilai RM255,000.

    Tangkapan terakhir pula katanya, melibatkan suami wanita berkenaan yang berjaya ditahan dalam serbuan di Sungai Ara, Bayan Lepas pukul 12.45 pagi semalam.

    “Keempat-empat suspek itu didapati menjadi dalang kepada aktiviti pengedaran dadah untuk pasaran tempatan sejak Jun lalu.

    “Hasil siasatan mendapati dua daripada mereka memiliki rekod lampau berkaitan dadah manakala seorang suspek positif methapethamin,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat polis daerah SPU, Kepala Batas hari ini.

    Menurut Mohd. Radzi, dalam kesemua serbuan itu polis turut menyita sebuah kereta dan dua buah motosikal serta sejumlah wang tunai dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan  RM340,500.

    Tambahnya, kesemua suspek kini direman tujuh hari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

  • Nelayan gagal seludup 40kg dadah bernilai lebih RM2 juta

    Nelayan gagal seludup 40kg dadah bernilai lebih RM2 juta

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    CUBAAN satu sindiket menyeludup keluar 40 kilogram dadah jenis syabu gagal selepas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melakukan serbuan di Jeti Nelayan Parit Jawa, Muar, semalam.

    Serbuan dan penahanan dibuat Zon Maritim Batu Pahat itu pada pukul 7 malam selepas mendapat maklumat selain risikan dan intipan aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah melalui perairan melibatkan bot-bot nelayan tempatan.

    Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, mulanya pasukan operasi darat mengesan sebuah bot Kelas A mencurigakan dan disyaki sedang menyelusuri masuk ke Jeti Nelayan Parit Jawa.

    “Berikutan itu, pasukan serbuan diatur gerak ke lokasi dan telah menahan bot berkenaan bersama-sama dua suspek warga tempatan.

    “Penggeledahan ke atas bot telah menemukan satu karung guni putih mencurigakan yang disembunyikan di bawah alat kemudi bot tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, pemeriksaan ke atas guni terbabit menemukan 30 bungkusan mampat berisi hablur putih disyaki dadah jenis syabu dengan berat anggaran lebih kurang satu kilogram setiap bungkusan.

    Maritim menemukan dadah yang disembunyikan dalam bot nelayan untuk diseludup ke negara jiran

    Kedua-dua suspek katanya, mengakui dadah tersebut dalam proses transit untuk dipindahkan ke bot nelayan lain di perairan Parit Jawa sebelum diseludup keluar ke negara jiran.

    Dua nelayan tempatan yang berumur 45 dan 48 tahun itu katanya, ditahan dan semua 30 bungkusan dadah turut dirampas seterusnya dibawa ke Zon Maritim Batu Pahat untuk siasatan lanjut.

    Kes disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

    Antara yang tunai yang dirampas dalam sebuan di Jeti Parit Jawa, Muar, semalam selain dadah, bot nelayan, sebuah tefleon bimbit, menjadikan nilai keseluruhan rampasan lebih RM2 juta.

    “Keseluruhan barang yang dirampas merangkumi lebih kurang 40 kilogram dadah dipercayai jenis syabu, bot nelayan tempatan kelas A berwarna biru berukuran 12.45 meter panjang dan 2.76 meter lebar serta satu unit enjin model Yanmar 24 kuasa kuda, sebuah tefon bimbit dan wang tunai RM1,706 dirampas. Ini menjadikan nilai keseluruhan rampasan lebih RM2 juta,” katanya.

    Beliau berkata, pihak maritim akan terus mempergiatkan lagi tugas pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan perlanggaran undang-undang dapat dibanteras dan dikurangkan

    Sebarang aduan dan maklumat boleh disalurkan melalui talian hotline, Pusat Operasi Zon Maritim Batu Pahat menerusi talian 07-4344020 atau melalui talian bantuan kecemasan, MERS 999.

  • JKDM rampas arak seludup, motosikal mini bernilai RM1.4 juta

    JKDM rampas arak seludup, motosikal mini bernilai RM1.4 juta

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak merampas arak seludup dan motosikal mini pelbagai jenama bernilai RM1.4 juta dalam serbuan di empat lokasi di Selangor dan Perak, bermula 3 Disember lalu.

    Menurut Pengarah Kastam negeri, Datuk Dr. Mohamad Saprin, serbuan di Pelabuhan Klang, Selangor dan Ipoh, Perak berjaya merampas 48,720 tin minuman keras dan 45 unit motosikal import yang disyaki barang larangan kastam.

    “Serbuan pertama dilakukan pada 3 Disember lalu sekitar pukul 1.30 petang di tiga lokasi sekitar Pusing oleh Bahagian Penguatkuasaan JKDM Perak Stesen Ipoh membabitkan dua buah rumah dan sebuah rumah kedai.

    “Hasil pemeriksaan rapi yang dilakukan di tiga lokasi itu mendapati terdapat 45 unit motosikal import dengan nilai cukai, duti dan harga dianggarkan RM100,000 yang disyaki barang larangan kastam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Dalam serbuan itu katanya, JKDM turut berjaya menahan dua lelaki dan seorang wanita warga tempatan bagi membantu siasatan.

    Beliau berkata, hasil maklumat awam, Kastam Perak melakukan pemeriksaan ke atas sebuah kontena di Pelabuhan Klang, Selangor sekitar pukul 12.30 tengah hari, pada 7 Disember lalu.

    Katanya, pemeriksaan itu menjumpai 48,720 tin minuman keras berjenama dengan anggaran nilai cukai RM1.3 juta disyaki barang larangan kastam.

    Kedua-dua kes akan disiasat di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967 dan boleh didakwa di bawah peruntukan sama, jika disabit kesalahan boleh dihukum di bawah peruntukan Seksyen 135(1)(v)(aa), katanya.

    “Di bawah seksyen ini memperuntukkan denda tidak melebihi 10 kali ganda nilai barangan atau RM100,000 mana lebih tinggi dan tidak lebih 20 kali ganda nilai barangan atau RM500,000 mana lebih tinggi atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.

    Mohamad meminta orang awam untuk terus memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan barang terlarang seperti rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan bagi membantu jabatan itu memerangi jenayah penyeludupan.

    Menurutnya, sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau mana-mana Pejabat Kastam yang berhampiran di semua negeri.