Category: Jenayah

  • Duit lesap, hajat guru tadika jadi isteri ‘menteri’ tak kesampaian

    Duit lesap, hajat guru tadika jadi isteri ‘menteri’ tak kesampaian

    SEORANG guru tadika mendakwa kerugian RM4,200 selepas berkenalan dengan seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai ‘menteri’ menerusi laman Facebook pada awal bulan ini.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa guru tadika wanita berusia 59 tahun itu mendakwa telah ditawarkan wang tunai RM1 juta dan kereta mewah Rolls-Royce sekiranya bersetuju menjadi isteri ‘menteri’ berkenaan.

    Beliau berkata, mangsa turut diminta untuk berurusan dengan seorang individu bernama Siti yang memperkenalkan dirinya sebagai pengurus bank sebelum diminta wang kononnya sebagai yuran pemprosesan sebagai isteri suspek.

    “Mangsa seterusnya telah memasukkan wang sebanyak RM4,200 ke dalam nombor akaun milik seorang lelaki pada Jumaat lepas.

    “Bagaimanapun, mangsa yang berasa ditipu dan tidak berpuas hati kerana suspek telah mempergunakan nama menteri untuk memperdayanya bertindak membuat laporan polis di Balai Polis Temerloh semalam,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

    Polis kini sedang mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan. – BERNAMA

  • Pegawai SPRM disyaki terlibat kes rompakan RM700,000

    Pegawai SPRM disyaki terlibat kes rompakan RM700,000

    DUA individu termasuk seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) direman, masing-masing tiga dan empat hari bagi membantu siasatan kes rompakan melibatkan kerugian RM700,000.

    Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, kedua-dua individu berumur lingkungan 30 tahun itu ditahan pada Sabtu dan semalam oleh sepasukan anggota daripada bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Dang Wangi.

    Beliau berkata, setakat ini, seramai 12 individu telah dipanggil memberi keterangan untuk membantu siasatan berhubung kes itu.

    “Siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Semalam, SPRM dalam kenyataan mengesahkan seorang pegawainya ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung satu kes rompakan secara berkumpulan di ibu negara, Jumaat lepas.

    Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan dua individu termasuk seorang pegawai sebuah agensi penguat kuasa ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kes rompakan secara berkumpulan di sebuah rumah di Jalan Ampang, di sini melibatkan kerugian hampir RM1 juta. – BERNAMA

  • Mayat pekerja pembinaan jambatan ditemui

    Mayat pekerja pembinaan jambatan ditemui

    MAYAT seorang lelaki ditemukan orang awam di Sungai Perak berhampiran Kampung Sawa, Gerik, pada pukul 8.41 pagi ini.

    Pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lenggong dalam satu kenyataan, mengesahkan mayat berkenaan adalah Nabil Haikal Nazarrudin, 21,

    Nabil Haikal mangsa bersama-sama rakan mandi di sungai tersebut pada petang kelmarin sebelum hilang.

    Ketua BBP Lenggong, Farizul Anuar Razali berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan selepas menerima panggilan berhubung kejadian tersebut pada pukul 5.44 petang.

    “Berdasarkan maklumat rakan mangsa, mangsa yang bekerja membina jambatan di lokasi tersebut mandi bersama-sama rakan lain sebelum didapati hilang.

    “Operasi mencari dilakukan kelmarin dan mayat mangsa dijumpai hari ini sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

    Menurutnya, operasi mencari mangsa disertai 16 pegawai dan anggota BBP Gerik dan Lenggong dibantu enam penyelam Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Kuala Kangsar.

    “Operasi yang turut mendapat kerjasama pihak polis, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) itu tamat pada pukul 10 pagi,” katanya.

  • Maritim Malaysia gagalkan cubaan seludup 695 kg ketum

    Maritim Malaysia gagalkan cubaan seludup 695 kg ketum

    Oleh RIZQI ZABIDI

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya mematahkan percubaan menyeludup kira-kira 695 kilogram daun ketum di kedudukan 5.0 batu nautika, timur Pulau Tanjung Dendang dekat Langkawi, awal pagi semalam.

    Pengarah Maritim Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd. Zawawi Abdullah berkata, kejayaan itu merupakan hasil maklumat risikan dan intipan berterusan kegiatan penyeludupan tersebut yang dilihat kian aktif di kawasan perairan berhampiran sempadan negara jiran.

    Katanya, pihaknya berjaya mengesan sebuah bot yang bergerak dalam keadaan gelap dan mencurigakan kira-kira pukul 3.30 pagi.

    Pemeriksaan dilakukan terhadap objek dibuang menemukan sebanyak 57 bungkusan plastik hitam berisi daun ketum seberat kira-kira 695 kilogram

    “Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, tekong bot tersebut bertindak memecut laju ke arah perairan sempadan Malaysia-Thailand dan meloloskan diri dengan cara membuang sejumlah objek ke laut.

    “Pemeriksaan dilakukan terhadap objek dibuang menemukan sebanyak 57 bungkusan plastik hitam berisi daun ketum seberat kira-kira 695 kilogram.

    “Kesemua daun ketum itu dianggarkan bernilai RM125,000,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Tambahnya, harga pasaran yang tinggi di negara jiran sehingga mencecah RM180 sekilogram dilihat sebagai faktor pendorong kepada aktiviti ini.

    Kesemua daun ketum yang dirampas maritim dianggarkan bernilai RM125,000

    “Selain itu, upah tinggi diterima ‘transporter’ iaitu dianggarkan mencecah antara RM350 hingga RM800 bergantung kepada berat muatan dilihat menjadi pendorong kepada kegiatan penyeludupan ini,” katanya.

    Tambahnya, semua hasil rampasan dibawa ke jeti Maritim Malaysia di Bukit Malut, Langkawi untuk tindakan lanjut.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain.

    “Jika sabit kesalahan, individu terlibat boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya,” katanya.

  • RM600,000 lesap kerana bitcoin

    RM600,000 lesap kerana bitcoin

    SEORANG pengurus kanan sebuah syarikat insurans kerugian lebih RM600,000 akibat ditipu sindiket pelaburan bitcoin sejak Oktober lepas.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Fakhrudin Abdul Hamid berkata wanita berusia 40 tahun itu terlibat dalam pelaburan tersebut melalui sebuah aplikasi telefon bimbit yang diperkenalkan oleh seorang lelaki warga asing.

    Beliau berkata mangsa mengenali lelaki berkenaan melalui nombor telefon antarabangsa pada awal Oktober lepas.

    “Mangsa telah memuat turun aplikasi tersebut dan telah memindahkan wang RM1,000 ke dalam aplikasi tersebut dan berjaya memperoleh keuntungan RM800. Sejak dari itu, mangsa mula yakin apa yang dikatakan suspek dan telah melakukan 31 transaksi ke lapan akaun berbeza melibatkan wang berjumlah RM648,800.

    “Mangsa mula curiga apabila kesemua wang pelaburannya tidak lagi memperoleh keuntungan dan bertindak membuat laporan polis semalam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Sehubungan itu beliau menasihati orang ramai supaya berhati-hati dalam setiap perkenalan dalam talian dan tidak terpedaya dengan janji-janji manis kenalan alam maya. – Bernama

  • SPRM nafi tahan Presiden Parti Bumi Kenyalang

    SPRM nafi tahan Presiden Parti Bumi Kenyalang

    prn sarawak

    DAKWAAN bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan Presiden Parti Bumi Kenyalang (PBK), Voon Lee Shan pagi tadi adalah tidak benar.

    SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan dakwaan agensi itu mengejar Voon juga tidak benar.

    Menurut SPRM, agensi itu telah beberapa kali cuba menghubungi Voon sebelum ini namun gagal dan hari ini, beliau dikesan berada sekitar Kenyalang Park di Kuching.

    Kenyataan itu menyebut pihak SPRM juga telah menjelaskan kepada Voon mengenai keperluan beliau hadir ke pejabat agensi berkenaan bagi membantu siasatan berhubung klip video yang disebarkannya dalam tempoh kempen Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12.

    “Beliau juga turut diserahkan notis hadir pemeriksaan Seksyen 30(1)(a) Akta SPRM 2009 sebagaimana kehendak undang-undang.

    “SPRM hanya menyampaikan notis pemakluman untuk beliau memberikan kerjasama dalam siasatan. Voon juga telah memberi kerjasama dan telah menghadirkan diri ke pejabat SPRM Kuching pada pagi ini untuk membantu siasatan,” menurut kenyataan itu.

    SPRM menjelaskan pihaknya sentiasa menjaga etika dan bersifat profesional semasa menjalankan tugas berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

    Terdahulu, Voon dilaporkan mendakwa beliau telah ditahan oleh pegawai SPRM ketika memandu melintasi Kenyalang Park selepas kenderaannya diarahkan berhenti. – BERNAMA

  • Rompakan berkumpulan, seorang pegawai SPRM ditahan

    Rompakan berkumpulan, seorang pegawai SPRM ditahan

    Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengesahkan seorang pegawainya ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung satu kes rompakan secara berkumpulan di ibu negara, Jumaat lepas.

    SPRM dalam satu kenyataan berkata pihaknya telah memberi kerjasama penuh kepada pihak polis untuk mengesan pegawai terbabit dan menyerahkannya kepada agensi penguat kuasa itu, petang semalam.

    SPRM menegaskan bahawa pihaknya tidak berkompromi atau melindungi mana-mana pegawai yang terlibat dengan sebarang perlakuan jenayah.

    “Tindakan tegas termasuk pertuduhan di mahkamah dan tindakan tatatertib dengan hukuman buang kerja akan dikenakan jika terlibat,” menurut kenyataan itu.

    Semalam, sebuah portal berita melaporkan dua individu termasuk seorang pegawai sebuah agensi penguat kuasa ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kes rompakan secara berkumpulan di sebuah rumah di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, yang membabitkan kerugian hampir RM1 juta. – BERNAMA

  • Mangsa kedua insiden bot bertembung ditemukan

    Mangsa kedua insiden bot bertembung ditemukan

    OPERASI mencari dan menyelamat mangsa kedua kejadian sampan bertembung dengan sebuah bot berdekatan Jeti Tok Kuning, ditamatkan selepas mayat nelayan itu ditemukan pada 3.27 petang tadi.

    Ketua Polis Daerah Kangar Supt Wari Kiew berkata mangsa Abdul Rashid Md Derus, 45, ditemukan di kawasan Denai Larian, Sungai Perlis, Pengkalan Asam kira-kira lima kilometer dari Jeti Tok Kuning.

    “Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan terapung di kawasan itu dan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat,” katanya.

    Terdahulu pada pagi tadi, seorang lagi mangsa yang terlibat dalam insiden itu Mohd Faizal Hisham, 39, ditemukan kira-kira 7.46 pagi pada jarak kurang 20 meter dari tempat kejadian.

    Dua nelayan itu sebelum ini dikhuatiri lemas selepas sampan yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah bot dalam kejadian kira-kira 10 malam Khamis lepas. – Bernama

  • Kes buli: Empat lagi ditahan, enam pelajar dibebaskan

    Kes buli: Empat lagi ditahan, enam pelajar dibebaskan

    POLIS menahan empat lagi pelajar bagi membantu siasatan kes buli didakwa berlaku di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, seperti yang tular dalam media sosial semalam.

    Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata seorang pelajar berusia 15 tahun dan tiga orang berusia 13 tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar hari ini.

    Katanya, ia menjadikan keseluruhan tangkapan seramai 10 orang setakat ini selepas enam pelajar ditahan semalam.

    “Enam daripadanya dibebaskan petang ini manakala empat lagi akan dibebaskan esok selepas siasatan selesai,” katanya.

    Tindakan beberapa remaja yang dipercayai pelajar asrama menumbuk dan menendang seorang pelajar lain secara beramai-ramai, tular dalam media sosial menerusi beberapa video berdurasi 13 hingga 30 saat, sehingga menerima kecaman orang ramai.

    Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada kira-kira pukul 1 hingga 2 pagi pada 9 Dis melibatkan seorang mangsa yang juga berusia 13 tahun.

    Susulan itu, pihak polis memanggil kesemua pelajar yang terlibat dan pemilik akaun media sosial yang menularkan video berkenaan bagi memberi keterangan untuk membantu siasatan kes di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – Bernama

  • Kes buli: Mangsa letih, belum bersedia kongsi pengalaman

    Kes buli: Mangsa letih, belum bersedia kongsi pengalaman

    PELAJAR yang menjadi mangsa buli di asrama Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Kangsar, Perak kini menjalani rawatan di sebuah hospital dan berada dalam keadaan lemah.

    Mangsa yang berusia 13 tahun, difahamkan berada di wad sebuah hospital di Kajang, Selangor untuk pemeriksaan lanjut, susulan ditumbuk bertubi-tubi sekumpulan pelajar lain.

    Ketika SatuBerita menghubunginya, mangsa tidak boleh berbual panjang kerana mengakui masih lemah.

    Pada masa sama, dia juga perlu menyelesaikan isu berkaitan dengan kejadian itu yang menyaksikan enam pelajar kini berada dalam tahanan polis untuk siasatan.

    Difahamkan, mangsa belum bersedia untuk berkongsi pengalaman ngeri itu dan pada masa sama, mahu mengelak memberi kenyataan yang menggangu siasatan polis.

    Setakat ini juga, belum ada sebarang maklumat berhubung tahap kecederaan yang dialami mangsa.

    Kejadian itu tular dalam media sosial selepas tersebarnya rakaman video yang menunjukkan mangsa ditumbuk secara berulang kali oleh pelajar lain.

    Setakat ini, belum dapat dipastikan punca sebenar kejadian.

    Berikutan kejadian itu, semua pelajar terbabit tingkatan Satu dan Tiga MRSM Sultan Azlan Shah itu disoal siasat polis dan enam daripadanya ditahan, termasuk penular video.

    MRSM mengambil tindakan segera dengan menggantung persekolahan selama dua minggu kepada semua pelajar terbabit dan berkemungkinan akan dipecat daripada MRSM.