Category: Jenayah

  • Wang simpanan DJ RM419,050 lebur ditipu ‘Inspektor Ling’

    Wang simpanan DJ RM419,050 lebur ditipu ‘Inspektor Ling’

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    WANG simpanan seorang DJ wanita di sebuah Pusat Hiburan sebanyak RM419,050 lebur apabila ditipu ‘Inspektor Ling’ berkaitan tunggakan bil telefon.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Johor, Asisten Komisioner Amran Md Jusin berkata, mangsa berusia 45 tahun membuat laporan polis berhubung kejadian itu di Balai Polis Taman Pelangi, Johor Bahru, semalam.

    Beliau berkata, pengadu menerima panggilan telefon pada 1 Disember lalu, melalui talian telefon rumah daripada lelaki tidak dikenali yang memperkenalkan diri sebagai pegawai Telekom Malaysia.

    “Lelaki itu mengatakan bahawa nama pengadu akan disenarai hitam kerana tunggakan bil telefon belum dijelaskan dan akan menghubungi pengadu semula.

    “Pengadu kemudiannya telah menerima panggilan telefon dari wanita yang memperkenalkan diri sebagai ‘Inspektor Ling’ daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuantan yang memaklumkan boleh membantu pengadu membuat laporan polis secara atas talian.

    “Inspektor Ling kemudian menyatakan telah membuat semakan ke atas nama pengadu dan mendapati pengadu terlibat dalam kegiatan penggubahan wang haram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Amran memberitahu, ‘Inspektor Ling’ itu kemudian mengarahkan pengadu membuat pemindahan wang ke akaun yang diberikan atas alasan untuk siasatan dan wang itu akan dikembalikan selepas siasatan selesai.

    Katanya, mangsa yang terpedaya dengan kata-kata Inspektor Ling telah membuat 58 transaksi pindahan wang berjumlah RM419,050 ke lapan akaun pelbagai bank antara 2 hingga 9 Disember lalu.

    “Pengadu hanya menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan selepas gagal menghubungi Inspektor Ling selepas bayaran dibuat.

    “Polis mengingatkan kepada orang awam agar sentiasa berhati-hati sekiranya menerima panggilan telefon dari individu tidak dikenali yang mendakwa dari penguatkuasa,” katanya kes disiasat dibawah Seksyen 420 kanun keseksaan.

  • Rusuhan perlawanan bola sepak, polis tahan 10 lelaki

    Rusuhan perlawanan bola sepak, polis tahan 10 lelaki

    POLIS Labuan hari ini menahan 10 lelaki selepas berlakunya kejadian rusuhan yang melibatkan penyokong dan pemain ketika satu perlawanan bola sepak di Kompleks Sukan Labuan semalam.

    Timbalan Ketua Polis Labuan, Deputi Superintendan Mohd Ibrahim Ghani berkata kesemua lelaki tempatan berusia antara 17 dan 36 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian rusuhan pada satu perlawanan bola sepak bawah 23 tahun.

    Beliau berkata, lapan daripada mereka telah dikenakan perintah reman empat hari bermula hari ini oleh Mahkamah Majistret Labuan, manakala dua lagi direman sehingga esok.

    “Kami menerima laporan kejadian keganasan tidak lama selepas ia berlaku…rusuhan bermula ketika separuh masa kedua perlawanan antara pasukan Bambu 2 dan PAT United kira-kira jam 1.30 tengah hari.

    “Terdapat penyokong dari kedua-dua pasukan yang tidak berpuashati dengan kekasaran berlaku ketika permainan, menyebabkan mereka masuk ke padang dan mencetuskan pergaduhan antara penyokong dan pemain kedua-dua pasukan, dengan beberapa individu mengalami kecederaan,” katanya kepada Bernama hari ini.

    Mohd Ibrahim berkata kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. – BERNAMA

  • Tasik Cermin ditutup mulai hari ini susulan tular lelaki terjun

    Tasik Cermin ditutup mulai hari ini susulan tular lelaki terjun

    TASIK Cermin di Ipoh, Perak yang sering menjadi tumpuan pelancong kerana keindahan alam semula jadinya, ditutup bermula hari ini gara-gara tular video menunjukkan seorang lelaki terjun ke dalam tasik berkenaan.

    Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata kawasan tersebut ditutup sehingga siasatan kes itu selesai dijalankan dan pembukaan semula untuk kunjungan pelancong akan diumumkan kepada orang ramai.

    “Majlis Perbandaran Ipoh (MBI) telah menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat kejadian itu dan kes masih dalam siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

    Katanya identiti pelaku masih dalam siasatan dan tindakan akan dikenakan mengikut undang-undang pihak berkuasa tempatan yang bersesuaian.

    Kawasan Tasik Cermin berada di bawah pengurusan Geopark Kinta dan orang ramai tidak dibenarkan mandi-manda di kawasan tasik berkenaan.

    Baru-baru ini, video berdurasi 15 saat menunjukkan seorang lelaki berpakaian serba hitam terjun ke dalam tasik berkenaan tular di aplikasi TikTok.

    Rata-rata netizen meluahkan rasa kurang senang dengan tindakan lelaki itu kerana perbuatannya itu boleh menyebabkan kawasan rekreasi itu ditutup kepada pengunjung.

    Sebelum ini, Tasik Cermin pernah ditutup kepada pengunjung pada Mac tahun lalu atas faktor keselamatan.–Bernama

  • Lelaki ditemui mati dengan beberapa kesan tikaman

    Lelaki ditemui mati dengan beberapa kesan tikaman

    SEORANG lelaki ditemui mati dengan beberapa kesan tikaman di paha kanan di Taman Usahawan Kepong, Kuala Lumpur, hari ini.

    Kejadian dalam sebuah premis di taman tersebut dimaklumkan rakan mangsa kepada pihak polis pada pukul 3.57 pagi.

    Ketua Polis Daerah Sentul, Beh Eng Lai berkata, hasil siasatan polis menemui mangsa berusia 49 tahun dalam keadaan terbaring di atas lantai dan berlumuran darah.

    “Mangsa tidak memakai baju, hanya berseluar jeans panjang serta berkasut telah mati di tempat kejadian dan terdapat beberapa kesan tikaman di paha kanan.

    “Hasil siasatan mendapati premis itu telah tutup pada pukul 12 tengah malam. Mangsa bersama dua rakannya telah minum minuman keras di dalam premis tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Katanya, hasil rakaman kamera litar tertutup pada pukul 3.04 pagi, mangsa telah mengambil sebilah pisau dalam premis tersebut dan menikam paha kanannya beberapa kali sebelum dia rebah.

    Beliau berkata, terkejut dengan insiden itu, rakan mangsa segera menghubungi 999 untuk meminta bantuan.

    “Mayat mangsa telah dirujuk ke Bahagian Forensik Hospital Kuala lumpur untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian sebenar,” katanya.

    Katanya, kertas siasatan dibuka sebagai laporan mati mengejut pada ketika ini kerana siasatan awal mendapati ia tidak melibatkan unsur jenayah.

    “Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes ini boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-4048 2222 atau di Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999,” katanya.

  • TNB rugi RM220,521 lombong bitcoin guna elektrik curi

    TNB rugi RM220,521 lombong bitcoin guna elektrik curi

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    MESKIPUN dikatakan mata wang digital atau bitcoin bernilai berkali-kali ganda lebih tinggi daripada wang fizikal sesetengah negara, namun kegiatan premis yang menjadi pusat melombong wang kripto itu dengan menggunakan elektrik curi terus berlaku.

    Bagaimanapun, nasib sebuah pusat perlombongan di Taman Berjaya, Skudai di Johor Bahru tidak dapat bertahan lama apabila polis dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyerbu premis itu, awal pagi tadi.

    Seorang lelaki berusia 40 tahun yang dipercayai bertindak sebagai penjaga premis turut ditahan dalam operasi terbabit yang dilakukan kira-kira pukul 2 pagi.

    Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, polis turut merampas 170 buah mesin melombong bitcoin dan sebuah mesin pembekal tenaga yang dipercayai menggunakan sambungan elektrik haram untuk beroperasi.

    “Berdasarkan siasatan dibuat, premis berkenaan tidak berdaftar dengan TNB dan sambungan bekalan elektrik dibuat adalah secara terus daripada kotak TNB ke premis berkenaan.

    “Anggaran jumlah kerugian terhadap TNB adalah RM73,507 sebulan di mana dalam tempoh tiga bulan sejak premis berkenaan beroperasi, jumlah keseluruhan kerugian TNB adalah RM220,521,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Ayob Khan berkata, suspek yang ditahan berperanan sebagai penyelia premis tersebut dan menerima gaji sebanyak RM3,000 sebulan.

    “Kegiatan membuat sambungan haram secara ‘bypass meter’ boleh mendatangkan risiko kebakaran, kerosakan dan gangguan bekalan elektrik pada premis berdekatan.

    “Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan melakukan khianat terhadap harta benda milik TNB, malah TNB turut mahu kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 37(3) Akta Bekalan Elektrik 1990,” ujarnya.

    Sementara itu, Ayob Khan memberitahu sejak Januari 2021 hingga kini, sebanyak 33 serbuan melibatkan premis perlombongan bitcoin haram dengan sembilan suspek telah berjaya ditahan.

    “Dalam tempoh berkenaan, sebanyak 2,673 mesin melombong bitcoin bernilai RM2 juta telah dirampas.

    “Polis Johor terus komited untuk membanteras kegiatan mencuri bekalan elektrik secara haram dan memohon kerjasama orang awam untuk menyampaikan sebarang maklumat berhubung kegiatan berkenaan di kawasan mereka,” tambahnya.

  • Pemandu bas ditahan kerana memandu melulu, dipercayai di bawah pengaruh syabu

    Pemandu bas ditahan kerana memandu melulu, dipercayai di bawah pengaruh syabu

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG pemandu bas henti-henti berusia 44 tahun ditahan polis setelah klip video memaparkan dia memandu secara melulu, dirakam oleh orang awam baru-baru ini.

    Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Sazalee Adam berkata, kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 11.40 pagi, Ahad lalu dengan bas itu pada mulanya dikesan melanggar lampu isyarat merah di simpang tiga Batu 8, Lunas sebelum dipandu secara laju dan gopoh melalui pekan Padang Serai hingga ke Sungai Karangan.

    Katanya, orang awam yang mengekori dan merakam pergerakan bas tersebut cuba memberhentikan bas itu namun pemandunya enggan berbuat demikian malah bergerak ke tengah dan tepi jalan hingga melanggar cermin sisi sebuah kereta yang diletak di tepi jalan.

    “Bas tersebut berjaya ditahan di depan Balai Polis Sungai Karangan. Saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenih Meth.

    “Semakan juga mendapati suspek dikehendaki polis kerana kesalahan tidak hadir ke Mahkamah Johor Bahru atas pertuduhan menagih dadah di bawah Seskyen 15(1)(a), Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 pada 2019,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Tambahnya, ketika kejadian tiada penumpang menaiki bas tersebut yang beroperasi bagi laluan Sungai Petani ke Baling.

    “Pemandu itu dipercayai berada di bawah pengaruh syabu ketika memandu bas tersebut. Semakan juga mendapati dia memiliki 51 rekod saman kesalahan trafik dengan lima daripadanya berstatus waran tangkap.

    “Siasatan awal mendapati lelaki itu telah bekerja di syarikat bas berkenaan sejak lebih dua tahun lalu dan memiliki lesen memandu yang sah,” katanya.

    Sazalee memaklumkan, mahkamah telah membenarkan suspek untuk direman selama empat hari dengan bas tersebut turut disita sementara untuk siasatan lanjut.

    “Kes ini kini disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebh lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000.

    “Selain itu siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(a), ADB 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun dan denda tidak lebih RM5,000,” katanya.

  • Jangan buat hal di PD jika tidak mahu dipanggil ke balai

    Jangan buat hal di PD jika tidak mahu dipanggil ke balai

    KESALAHAN ringan trafik seperti memotong barisan menggunakan laluan kecemasan selalu diambil ringan kerana kesalahan itu jarang diambil tindakan.

    Namun tidak di Port Dickson. Bukan hanya saman, anda mungkin perlu datang ke balai.

    Hal tersebut berlaku kepada sembilan pemilik kenderaan termasuk sebuah treler yang diarah datang ke balai selepas didapati memotong barisan menggunakan lorong kecemasan.

    Video kejadian yang berlaku dari arah Senggala ke Sua Betong dan di lebuh raya Seremban-Port Dickson itu tular sejak semalam.

    Ini bukan kali pertama pengguna jalan raya di Port Dickson yang melakukan kesalahan trafik dipanggil datang ke balai.

    Sebelum ini dalam dua kejadian berasingan, beberapa individu berlagak marsyal memberhentikan kenderaan lain dipanggil ke balai dan dikenakan hukuman.

    Rakaman papan pemuka yang tular pada 21 November lalu memaparkan sekumpulan penunggang motosikal yang bertindak seperti marsyal dengan memberhentikan kenderaan awam di persimpangan lampu isyarat Sua Betong, Port Dickson untuk memberi laluan kepada kumpulan konvoi mereka.


    Pada 23 November lalu, lima ‘marsyal’ dikompaun selepas tampil menyerahkan diri di IPD Port Dickson.

    Pada 5 Disember lalu, sekali lagi sekumpulan lelaki bertindak marsyal diburu polis Port Dickson kerana melakukan kesalahan sama selepas video mereka tular di media sosial.

    Sehubungan itu, polis menahan dua lelaki termasuk salah seorang berpangkat Datuk setelah mereka menyerahkan diri mereka di IPD.

    Sementara itu Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superitendan Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya telah mengenal pasti butiran pemilik dan jenis kenderaan yang melakukan kesalahan memotong barisan menggunakan laluan kecemasan.

    Beliau berkata, pihaknya meminta pemandu yang berkenaan untuk tampil ke IPD Port Dickson bagi membantu siasatan yang disiasat di bawah Seksyen 279 Kanun Keseksaan /Kaedah 53(1) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

    Dalam pada itu, beliau menyeru agar pengguna jalan raya tidak mementingkan diri dan mengamalkan sikap bersabar serta mematuhi peraturan lalu lintas dalam apa jua keadaan bagi mengelak sebarang kesulitan.

    “Pihak polis juga tidak berkompromi pada mana-mana pemandu atau penunggang yang mengambil ‘jalan pintas’ dan berlagak sebagai ‘raja’ di lebuh raya bagi menjamin keselamatan pengguna yang lain” tegasnya.

  • Wanita warga emas maut jatuh flat

    Wanita warga emas maut jatuh flat

    SEORANG wanita berusia 62 tahun maut dipercayai terjatuh dalam kejadian di sebuah flat perumahan di Cheras, Kuala Lumpur, hari ini.

    Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras Kuala Lumpur menerima panggilan kejadian tersebut melalui Mers 999 berkenaan pada pukul 7.22 pagi.

    Ketua Polis Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Idzam Jaafar berkata, warga emas itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di atas sebuah kenderaan di kawasan tempat letak kereta flat tersebut.

    “Mangsa dipercayai terjatuh dari flat tersebut dan disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) yang hadir di lokasi kejadian,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa mengalami masalah mental dan tiada unsur jenayah dalam kejadian tersebut.

    “Siasatan lanjut akan diteruskan bagi mengetahui punca kematian mangsa.

    “Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian ini diminta untuk menyalurkannya dengan cara menghubungi Ketua Polis Balai Cheras Asisten Superintendan Mohd Redzuan Md Darus di talian 03-92050301 sambungan 302,” katanya.

  • 16 PATI Indonesia baru mendarat ditahan

    16 PATI Indonesia baru mendarat ditahan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    CUBAAN pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia masuk ke negara ini selepas mendarat di pantai Kampung Baru, Teluk Ramunia, Kota Tinggi, malam tadi gagal apabila kehadiran mereka disedari penduduk setempat.

    Penduduk yang melihat pegerakan mencurigakan itu kemudian menghubungi pihak Tentera Darat Malaysia (TDM) mengenai kemasukan PATI di kampung tersebut pada pukul 8.15 malam.

    Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen) dalam satu kenyataan memberitahu, Tim rondaan motosikal dikerahkan membuat rondaan di sekitar kawasan itu bersama-sama Tim Quick Reaction Force (QRF) dan Tim Dron Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

    “Serbuan dilakukan sekitar pukul 8.55 malam tadi berjaya menahan sembilan PATI yang cuba masuk ke negara ini melalui jalan yang tidak sah.

    “Kemudian pada pukul 4.20 pagi tadi, kita mendapat maklumat daripada Pasukan Polis Marin mengenai tangkapan dua PATI di kawasan yang sama,” demikian menurut kenyataan itu yang dikeluarkan hari ini.

    Kemudian pada pukul 6.30 pagi, tim QRF berjaya membuat tangkapan lima lagi PATI yang merupakan saki baki daripada tangkapan yang pertama.

    Pada pukul 4.20 pagi Pasukan Polis Marin memberkas dua PATI di kawasan yang sama

    Tambah kenyataan itu, kesemua 16 PATI merupakan lelaki warga Indonesia berusia sekitar 17 hingga 56 tahun.

    Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM5,827 melibatkan RM751, matawang Rupiah Indonesia IDR7,573,100 (RM2,234.10) bersama-sama lapan buah telefon bimbit bernilai RM2,762 serta jam tangan bernilai RM80.

    Kesemua PATI katanya, ditahan dan dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan serta saringan Covid-19 dan didapati negatif, sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia Setia Tropika, Kempas, Johor Bahru.

    Laporan kejadian tersebut pula katanya, telah dibuat di Balai Polis Bayu Damai.

    “Pasukan meneruskan atur gerak Tim QRF dan Tim Dron Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) serta bantuan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi menjejak kemungkinan saki baki PATI sekitar kawasan tangkapan,” katanya.

  • Hanya tersalah hantar nombor TAC, jururawat rugi RM30,000

    Hanya tersalah hantar nombor TAC, jururawat rugi RM30,000

    SEORANG jururawat kerugian RM30,000 selepas membantu menghantar semula nombor kod pengesahan transaksi (TAC) yang tersalah hantar ke telefonnya, kelmarin.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, nasib malang menimpa jururawat itu berlaku selepas dia menerima panggilan daripada pemanggil tidak dikenali ketika berada di rumah pada petang kelmarin.

    Menurutnya, pemanggil langsung tidak memperkenalkan diri sebaliknya terus meminta mangsa menghantar kembali nombor TAC yang diterima.

    “Pemanggil memberi alasan dia tersalah daftar nombor telefon dalam maklumat akaun banknya kepada nombor telefon mangsa.

    “Mangsa segera berbuat demikian tanpa menyedari ia taktik sindiket penipuan untuk melesapkan wang dalam akaun banknya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Hasil semakan mendapati berlaku penolakan RM15,000 daripada akaun itu dan RM15,000 lagi daripada akaun Tabung Haji.

    Mohd. Wazir berkata, susulan kejadian mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Mentakab, semalam.

    “Polis membuka kertas siasatan kes di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.