Category: Jenayah

  • Pelajar tolak rakan dari tangga hingga cedera ditahan polis

    Pelajar tolak rakan dari tangga hingga cedera ditahan polis

    POLIS menahan seorang pelajar Tingkatan Dua Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Balik Pulau, Pulau Pinang kerana dipercayai menolak rakan sekelasnya dari tangga asrama dalam kejadian pada Khamis lalu.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, mangsa berusia 14 tahun terbabit dikatakan mengalami kecederaan di bawah mata dan luka di hidung.

    Difahamkan, mangsa dibawa ke Hospital Balik Pulau untuk menerima rawatan pesakit luar sebelum dirujuk ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk pemeriksaan lanjut.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, susulan kejadian itu, polis menahan suspek yang juga rakan sekelas mangsa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah.

    Jelas beliau, suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan diambil.

    “Berdasarkan siasatan, mangsa ditolak rakan sekelasnya lalu terjatuh dari tangga sehingga mengalami kecederaan.

    “Siasatan awal mendapati, kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara suspek dan mangsa dan kita masih menyiasat punca kedua-dua pelajar itu berselisih faham,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Pulau Pinang di Georgetown hari ini.

    Terdahulu, polis mengesahkan lima pelajar tingkatan lima ditahan bagi membantu siasatan kes buli yang berlaku di sekolah sama minggu lalu.

    Kejadian pada pukul 11 malam itu melibatkan seorang mangsa yang juga pelajar tingkatan tiga dan dilaporkan berlaku di tandas lelaki salah satu blok bangunan sekolah berkenaan.

    Difahamkan, mangsa dipukul oleh pelajar tingkatan lima terbabit disebabkan alasan lambat turun untuk solat Subuh.

    Susulan itu, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, semua pelajar yang terlibat dalam kes buli tersebut akan diberhentikan.

    Jelas beliau, tindakan tegas itu diambil kerana pihaknya tidak boleh berkompromi dalam isu buli khususnya melibatkan institusi di bawah agensi terbabit.

  • 10 individu termasuk 8 wanita tempatan ditahan disyaki terlibat sindiket judi online

    10 individu termasuk 8 wanita tempatan ditahan disyaki terlibat sindiket judi online

    SERAMAI 10 individu warga tempatan masing-masing dua lelaki dan lapan wanita ditahan polis di sebuah rumah kedai di George Town, Pulau Pinang pada Khamis lalu selepas dipercayai terlibat dengan sindiket judi online.

    Ketua Polis Pinang Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, kesemua tangkapan berusia antara 20-an hingga 30-an itu ditahan dalam serbuan kira-kira pukul 3.30 petang dan mereka dipercayai telah menjalankan kegiatan judi online itu sejak 10 bulan lalu.

    Menurut beliau, premis rumah kedai itu dijadikan pusat panggilan sindiket terbabit untuk mempromosi kegiatan judi online terbabit termasuk kepada pelanggan di luar negara.

    “Modus operandi sindiket ini ialah suspek akan dibekalkan nombor telefon daripada ejen di lokasi berlainan menerusi Google Drive untuk menghubungi pelanggan termasuk di luar negara untuk membuat penawaran judi online.

    “Sekiranya ada yang berminat, suspek akan memberikan pautan (link) kepada pelanggan bagi tujuan pendaftaran dan segala transaksi kewangan akan diuruskan oleh ejen lain,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.

    Tambahnya, kesemua tangkapan telah diberikan jaminan polis selepas keterangan mereka diambil dan kes disiasat di bawah Seksyen 4 Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

    Jelas beliau, dalam operasi sama, polis turut merampas pelbagai barangan antaranya 16 unit telefon bimbit, 10 unit CPU, 10 unit keyboard, skrip perbualan dan banyak lagi.

  • Baru keluar penjara tahun lalu, penganggur ditahan lagi dipercayai proses heroin

    Baru keluar penjara tahun lalu, penganggur ditahan lagi dipercayai proses heroin

    BARU kira-kira setahun dibebaskan dari penjara kerana kesalahan dadah, seorang penganggur ditahan sekali lagi atas kesalahan berkaitan dadah, kali ini kerana dipercayai memproses heroin.

    Lebih mengejutkan, suspek berusia 40 tahun yang mempunyai 12 rekod jenayah lampau berkaitan dadah itu mempelajari cara-cara memproses heroin terbabit menerusi laman video YouTube.

    Dadah jenis heroin yang diperoleh dari negara jiran itu pula diproses di sebuah rumah teres dua tingkat di Seberang Jaya, Pulau Pinang, disewa kakaknya bersama suami yang juga golongan orang kurang upaya (OKU).

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, suspek ditahan di hadapan rumah teres terbabit kira-kira pukul 10.30 malam Khamis lalu.

    Jelasnya, suspek dipercayai memasak dadah jenis heroin di rumah kakaknya itu dan kegiatan tersebut dipercayai diketahui kakak dan suaminya yang kini menjadi saksi utama kes terbabit.

    “Dalam serbuan di rumah teres itu juga, kita menjumpai pelbagai peralatan serta bahan-bahan untuk memproses dadah heroin di situ,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.

    Menurut beliau, dipandu arah oleh suspek, polis kemudiannya menjumpai sebuah kereta Perodua Alza milik suspek yang diparkir di kawasan terbuka kira-kira 600 meter dari rumah kakak suspek.

    Jelasnya, siasatan lanjut kemudian menemukan satu peket plastik lutsinar berisi dadah jenis heroin seberat 7.4 kilogram bernilai RM61,420 di dalam kereta Perodua Alza tersebut.

    Tambah beliau, suspek mula terlibat dalam kegiatan berkaitan dadah sejak 2006 dan ditahan kali terakhir untuk kesalahan memproses dadah adalah pada 2017 serta dibebaskan dari penjara tahun lalu.

    Ujarnya, hasil risikan mendapati suspek kembali bergiat aktif memproses dadah heroin tahun ini untuk pasaran tempatan dan jumlah keseluruhan dadah itu boleh digunakan oleh seramai 37,000 orang jika terlepas ke pasaran.

    “Hasil ujian air kencing ke atas suspek pula didapati positif dadah dan dia ditahan reman selama tujuh hari sehingga 1 Jun ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

    Tambah beliau, dalam operasi sama, polis turut menyita sebuah kereta Honda Accord serta wang tunai bernilai RM5,050.

  • Bot rosak, 40 PATI Indonesia ditahan

    Bot rosak, 40 PATI Indonesia ditahan

    PASUKAN Polis Marin (PPM) Kampung Acheh berjaya menahan 40 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dalam sebuah bot jenis pom-pom di kedudukan 1.1 batu nautika dari pesisir pantai tanjung Beting Beras Basah di Bagan Datuk semalam.

    Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, tiga lelaki bertindak sebagai tekong dan awak-awak warga Indonesia berusia 23, 24 dan 47 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.

    “Dalam kejadian 10 pagi itu, polis menerima maklumat daripada orang awam berhubung kehadiran bot dalam keadaan mencurigakan di perairan Bagan Datuk. Pasukan PPM bergerak ke lokasi bot yang disyaki membawa sekumpulan PATI.

    “Menyedari kehadiran polis, pengemudi dan dua pembantu bertindak terjun ke dalam laut untuk melarikan diri, namun mereka berjaya ditangkap,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Menurut beliau, siasatan mendapati bot berkenaan dipercayai dalam perjalanan menuju ke Tanjung Balai, Indonesia, namun tersadai akibat kerosakan enjin.

    Katanya, pemeriksaan menemukan 22 lelaki, 11 wanita dan empat kanak-kanak berusia 1 hingga 55 tahun dalam bot berkenaan.

    Beliau berkaa, semua tangkapan dan rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Kampung Acheh untuk tindakan lanjut.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” tambahnya, lapor Sinar Harian.

  • Jam tangan Swatch dirampas tertera huruf ‘LGBTQ’

    Jam tangan Swatch dirampas tertera huruf ‘LGBTQ’

    JAM tangan Swatch yang dirampas Kementerian Dalam Negeri (KDN) awal bulan ini tertera huruf LGBTQ di permukaan jarumnya.

    Menurut sumber kementerian itu, pihak berkuasa hanya merampas jam tangan yang mengandungi huruf berkenaan.

    LGBTQ merujuk golongan lesbian, gay, biseksual, transgender dan pelik.

    “Kami merampas ratusan jam tangan dan semuanya mempunyai huruf ‘LGBTQ’ pada permukaan (jarum) jam.

    “Kami tidak merampas jam tangan itu kerana ia mempunyai warna pelangi. Jika itu berlaku, kami perlu merampas aiskrim Paddle Pop,” kata sumber dalaman yang enggan dinamakan itu, lapor FMT.

    Pada 13 dan 14 Mei lalu, KDN dilaporkan menyerbu 11 kedai Swatch di pusat beli-belah seperti Pavilion KL, 1 Utama, Sunway Pyramid, Mid Valley Megamall dan Suria Sabah berhubung ‘Pride Collection’ jenama itu.

    Lima kedai di pusat beli-belah di Alor Setar, Kuala Terengganu, Kota Bharu, Johor Bahru dan Kuching diberikan amaran.

    Serbuan itu dilaporkan berlaku selepas warganet mengaitkan koleksi itu dengan sokongan kumpulan rock British, Coldplay terhadap LGBT.

    Jumaat lalu, Malay Mail memetik Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Swatch, Nick Hayek sebagai berkata, jam tangan dirampas KDN itu tidak mengandungi sebarang rujukan kepada LGBT.

    Beliau mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan jam tangan itu dirampas kerana unsur LGBT, mendapat maklumat salah dan tiada rujukan mengenai LGBT dipaparkan pada permukaan jarum jam tangan itu.

    KDN enggan memulangkan jam tangan yang dirampas dalam serbuan itu.

    Hayek dilaporkan berkata, syarikat itu akan mengambil tindakan undang-undang bagi mendapatkan semula jam tangan ‘Pride Collection’.

  • Kastam rampas dadah bernilai lebih RM81 juta dalam 5 bulan pertama tahun ini

    Kastam rampas dadah bernilai lebih RM81 juta dalam 5 bulan pertama tahun ini

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas dadah bernilai RM81.3 juta dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini membabitkan lebih 2,410.2 kilogram (kg).

    Rampasan dadah terbesar adalah dari jenis kanabis membabitkan lebih 1,307 kg, diikuti MDA estacy (1,071.1 kg), methamphetamine (21.5 kg), heroin (3.7 kg) dan eramin 5 sebanyak 10,003 biji.

    Selain itu, JKDM menumpaskan cubaan menyeludup barang bersubsidi seperti diesel, minyak masak, petrol dan gula.

    Jumlah keseluruhan kes penyeludupan yang ditumpaskan tahun ini, setakat April lalu membabitkan 48 kes dengan nilai rampasan sebanyak RM432,659.48, manakala tahun lalu, JKDM merekodkan 100 kes dengan rampasan bernilai RM573,688.07.

    Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata JKDM tidak berkompromi berkaitan aktiviti penyeludupan di negara ini dan sentiasa tegas dalam menguatkuasakan undang-undang.

    Katanya, JKDM sentiasa berusaha memperkasakan kawalan dan penguatkuasaan dengan penggunaan teknologi bagi membendung aktiviti penyeludupan termasuk menggunakan mesin pengimbas, yang menjadi antara kaedah untuk mengekang kegiatan penyeludupan.

    Setakat ini, beliau berkata, JKDM memiliki 109 mesin pengimbas bagasi, empat mesin pengimbas badan dan enam mesin pengimbas kargo udara, menyaksikan keseluruhan adalah sebanyak 119 unit.

    Daripada jumlah itu, katanya 103 unit masih beroperasi dan enam unit masih dalam proses pembaikan membabitkan 14 mesin pengimbas bagasi serta dua mesin pengimbas badan.

    “JKDM sedang dalam proses tender sewaan untuk tiga mesin pengimbas ‘back scatter’ untuk kegunaan Bahagian Penguatkuasaan dan Cawangan Narkotik. Dijangkakan tender akan bermula pada Ogos 2023.

    “Selain itu JKDM sedang dalam proses mengkaji dan menguji keberkesanan penggunaan teknologi baharu iaitu eseal bagi menggantikan sil timah yang telah digunakan sejak bertahun-tahun lamanya. Teknologi ini penting bagi memantau pergerakan logistik kontena dan lori sekali gus dapat membanteras aktiviti penyeludupan dan meningkatkan pungutan hasil negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Ahmad berkata penggunaan eseal telah meluas diguna pakai di Negara Afrika Timur seperti kastam Kenya, Uganda , Rwanda , Burundi dan Congo.

    Beliau berkata pelaksanaan eseal di negara berkenaan telah meningkatkan kutipan cukai sebanyak 20 peratus.

    “Sekiranya eseal dilaksanakan penggunaannya di JKDM, secara tidak langsung dapat meningkatkan keselamatan kargo dan kebolehkesanan pergerakan kontena dan lori sekali gus dapat memastikan dagangan dapat tiba ke destinasi dengan tepat pada masanya dan maklumat pergerakan juga dapat dipantau,” katanya, lapor BH Online.

  • Reman lelaki bunuh, bakar teman wanita hamil disambung 5 hari

    Reman lelaki bunuh, bakar teman wanita hamil disambung 5 hari

    SUSPEK lelaki yang disyaki membunuh dan membakar teman wanitanya yang hamil empat bulan di kebun kelapa sawit di Kampung Sungai Limau, Sungai Besar disambung reman lima hari sehingga Jumaat.

    Ketua Polis Sabak Bernam, Superintenden Agus Salim Mohd Alias berkata, Mahkamah Majistret Kuala Selangor membenarkan lanjutan reman terhadap suspek berusia 20 tahun hari ini.

    Katanya, tempoh reman yang berakhir hari ini disambung kerana masih dalam siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    “Kita akan merujuk kertas siasatan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan pendakwaan,” katanya ketika dihubungi lapor Sinar Harian.

    Suspek yang berpakaian lokap ungu itu hadir ke mahkamah dengan dikawal ketat anggota polis, kira-kira pukul 8.10 pagi.

    Sementara itu, Agus Salim dalam kenyataannya meminta orang ramai tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan sebarang kenyataan tidak sahih di media sosial mengenai kes berkenaan.

    Beliau menegaskan, tindakan menyebarkan spekulasi itu hanya akan mengganggu siasatan polis yang sedang dijalankan ketika ini.

    “Polis tidak teragak-agak membuka kertas siasatan ke atas individu itu mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

    Media semalam melaporkan, polis akan membuat permohonan lanjutan reman suspek yang berakhir hari ini.

    Khamis lalu, polis mengesahkan telah mengambil keterangan 10 individu bagi membantu siasatan kes terbabit.

    Mangsa yang berusia 21 tahun sebelum ini dilaporkan dibunuh pada 22 Mei lalu dipercayai kerana teman lelakinya yang mahu merahsiakan kehamilan selepas melakukan hubungan sulit bersama mangsa.

    Mayat mangsa kemudiannya ditemui keesokan harinya selepas polis menerima panggilan daripada orang awam pukul 8.15 pagi.

    Polis menahan suspek berusia 20 tahun pada hari yang sama di sekitar Sungai Besar, Sabak Bernam.

  • Maritim tahan kapal pengangkut dari China muatan besi buruk, peluru meriam lama zaman Perang Dunia Kedua

    Maritim tahan kapal pengangkut dari China muatan besi buruk, peluru meriam lama zaman Perang Dunia Kedua

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia
    (Maritim Malaysia) menahan sebuah kapal pengangkut dari China kerana menceroboh dan bersauh tanpa kebenaran pada kedudukan 20.1 batu nautika timur Tanjung Siang di Kota Tinggi semalam.

    Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, pemeriksaan anggota bot Zon Maritim Tanjung Sedili Malaysia pada pukul 12.45 tengah hari yang melakukan rondaan mendapati kru kapal berkenaan tidak mempunyai kebenaran bersauh daripada Jabatan Laut Malaysia.

    “Kapal tersebut dikendalikan 32 kru lelaki termasuk nakhoda terdiri daripada 21 warga China, 10 warga Bangladesh dan seorang warga Malaysia berusia antara 23 hingga 57 tahun.

    “Pemeriksaan lanjut ke atas kapal mendapati terdapat besi buruk dan telah menjumpai peluru meriam disyaki mempunyai kaitan kes penemuan Unexploded Ordnance (UXO) di Tanjung Belungkor pada 19 Mei lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, Maritim Malaysia akan bekerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Laut Malaysia dan Jabatan Warisan Negara untuk mengenal pasti peluru yang dijumpai di atas kapal tersebut.

    Katanya, kes akan disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000
    atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

    “Pihak maritim akan terus memantau dan memastikan perairan Johor timur bebas daripada segala aktiviti yang menyalahi undang-undang serta tidak akan berkompromi untuk mengambil tindakan yang lebih tegas,” ujar beliau.

  • Tikam rakan syak ada ‘skandal’ dengan isteri

    Tikam rakan syak ada ‘skandal’ dengan isteri

    SEORANG lelaki menikam rakan sekerja selepas mengesyaki mangsa menjalin hubungan dengan isterinya dalam kejadian di sebuah kilang kayu di Bakar Arang, Sungai Petani.

    Kejadian berlaku di pekarangan asrama pekerja pada 1.30 tengah hari semalam, melibatkan suspek berusia 35 tahun dan mangsa 34 tahun warga Myanmar yang tinggal bersebelahan bilik, dalam kawasan kilang berkenaan.

    Ketua Polis Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan, berkata mangsa maut selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kiri perutnya akibat ditikam dengan sebilah pisau.

    “Saksi kejadian iaitu isteri mangsa juga warga Myanmar berkata, dia terkejut apabila melihat suaminya memasuki bilik asrama mereka dalam keadaan berlumuran darah dan luka di bahagian kiri perutnya tengah hari semalam,” katanya menurut Kosmo.

    Beliau berkata, sebelum meninggal dunia mangsa sempat memberitahu dia ditikam suspek selepas bergaduh kerana dituduh mempunyai hubungan dengan isteri lelaki itu.

    Zaidy berkata, suspek tinggal berseorangan di bilik berkenaan kerana isterinya bekerja di luar daerah dan dia dikatakan sering bertengkar dengan mangsa sebelum ini kerana tidak berpuas hati berikutan mangsa selalu memuji kecantikan isterinya setiap kali mereka bertemu.

    Katanya, selepas menerima maklumat kejadian, pihaknya melakukan siasatan dan berjaya menahan suspek yang bersembunyi di kawasan kilang itu empat jam kemudian.

    “Suspek mengaku menikam mangsa dan menunjukkan sebilah pisau berhulu hitam berukuran 29cm yang digunakan dalam kejadian itu,” ujarnya.

    Katanya, suspek direman enam hari bermula hari ini hingga Jumaat depan bagi membantu siasatan kes bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

  • Penagih dadah menyamar polis diberkas

    Penagih dadah menyamar polis diberkas

    CUBAAN penagih dadah menyamar sebagai polis mengundang padah apabila ditahan di sebuah apartmen di Ukay Perdana, di Ampang Jaya, Khamis lalu.

    Suspek berusia 27 tahun itu menyamar sebagai polis dengan menunjukkan plat besi berlogo Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika berurusan dengan pegawai keselamatan di apartmen terbabit.

    Bagaimanapun mereka yang menyedari suspek menyamar kemudian menahan lelaki berkenaan sebelum menghubungi polis.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, hasil semakan mendapati suspek memiliki lima rekod jenayah lampau membabitkan kes jenayah dan narkotik.

    “Polis kemudian membuat tangkapan ke atas suspek dan rampas barang kes itu untuk siasatan selanjutnya.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya, lapor Harian Metro.