Category: Jenayah

  • Bekas finalis MasterChef Malaysia, kontraktor didakwa bunuh pembantu rumah

    Bekas finalis MasterChef Malaysia, kontraktor didakwa bunuh pembantu rumah

    SEORANG kontraktor dan isterinya yang juga seorang jurutera dan merupakan bekas finalis program MasterChef Malaysia 2012 didakwa di Mahkamah Majistret Kota Kinablu hari ini atas dakwaan membunuh pembantu rumah mereka bulan ini.

    Mohammad Ambree Yunos, 40, dan isterinya, Etiqah Siti Noorashikeen Mohd Sulang, 33, berdepan pertuduhan tentatif mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

    Pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Jessica Ombou Kakayun itu bagaimanapun tidak mengambil sebarang pengakuan daripada kedua-dua tertuduh, manakala sebutan semula kes ditetapkan pada 10 Februari depan.

    Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa membunuh pembantu rumah mereka, Nur Afiyah Daeng Damin, 28, di kondominium di Jalan Lintas Lido, Kota Kinabalu antara 10 hingga 13 Disember lalu.

    Tertuduh, Mohammad Ambree adalah seorang kontraktor, manakala Etiqah adalah seorang jurutera dan juga bekas finalis program MasterChef Malaysia 2012.

    Mohammad Ambree diwakili peguam Ram Singh dan Kimberly Yee manakala Etiqah pula diwakili peguam Datuk Seri Rakbir Singh.

    Pendakwaan kes pula dijalankan Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah, Irwan Suainbon dan Timbalan Pendakwaraya, Ali Imran.

    Sementara itu, pasangan berkenaan turut diperintah menjalani tahanan reman lanjut sehingga kes mereka selesai.

    Berdasarkan laporan sebelum ini, pasangan berkenaan ditahan pada 14 Disember lalu, iaitu sehari selepas mereka membuat laporan polis mendakwa menemui pembantu rumah mereka di atas lantai di kondominium mereka selepas balik daripada bercuti di Kundasang, Ranau.

    Mereka kemudian dibebaskan atas jaminan polis pada 21 Disember lalu.

    Kehadiran mereka di mahkamah hari ini ditemani ahli keluarga dan tiga anak kecil.

  • Maut ditetak abang yang murung selepas bercerai

    Maut ditetak abang yang murung selepas bercerai

    SEORANG pemuda warga Thailand maut ditetak abang kandung yang dipercayai kemurungan akibat bercerai dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Sungai Rual Melayu, Jeli, pukul 1.20 pagi tadi.

    Mangsa, Mr Ma Udeng Masae, 30, meninggal dunia di lokasi dan pihak polis kemudian menerima panggilan daripada saksi iaitu seorang lagi adik mereka yang berusia 27 tahun.

    Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Ahmad Arifin berkata, sebaik tiba di lokasi, polis mendapati mangsa terbaring di bahagian dapur dalam keadaan berlumuran dan disahkan meninggal dunia.

    “Berdasarkan siasatan awal, mangsa sedang memasak di dapur rumah dan suspek yang berusia 36 tahun secara tiba-tiba menetak mangsa di bahagian leher menggunakan pedang menyebabkannya maut di tempat kejadian.

    “Seorang lagi adik mereka yang berada di luar rumah terdengar bunyi bising dan masuk ke dalam rumah melihat mangsa sudah berlumuran darah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Beliau berkata, sejurus kejadian itu, suspek melarikan diri sebelum ditemui oleh polis kira-kira dua kilometer dari rumah berkenaan sambil memegang sebilah pedang.

    “Suspek dalam keadaan kebingungan dan tidak melawan ketika ditahan polis.

    “Menurut keterangan ahli keluarga, suspek mengalami kemurungan sejak dua tahun lalu selepas bercerai dengan isteri dan mempunyai tiga anak,” katanya.

    Tambah beliau, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Jeli untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

  • Banduan ditahan semula lima jam selepas larikan diri

    Banduan ditahan semula lima jam selepas larikan diri

    POLIS berjaya menahan seorang banduan di sebuah stesen minyak di sini, kira-kira lima jam selepas menerima laporan mengenai kehilangan banduan berkenaan yang melarikan diri dari Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) Nilai, Serembang , semalam.

    Ketua Polis Daerah Nilai Supt Mohd Fazley Ab Rahman berkata pada mulanya polis menerima laporan berhubung kehilangan lelaki berumur 29 tahun itu yang melarikan diri daripada PRP itu pada pukul 12.54 tengah hari.

    Beliau berkata sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai kemudiannya melancarkan operasi dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan bagi mengesannya di sekitar kawasan berhampiran.

    “Pada pukul 5.15 petang, polis menahan banduan itu di sebuah stesen minyak yang terletak kira-kira empat kilometer dari PRP berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

    Menurutnya banduan yang dijatuhi hukuman penjara lima tahun pada 2019 atas kesalahan mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 itu ditempatkan di PRP berkenaan bagi tujuan pemulihan, setelah menjalani hukuman penjara selama dua tahun di Penjara Kajang, Selangor.

    Mohd Fazley berkata kes disiasat di bawah Seksyen 224 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja lari atau mencuba larikan diri daripada tahanan yang sah. – BERNAMA

  • Polis tahan tekong utama seludup PATI di kawasan utara

    Polis tahan tekong utama seludup PATI di kawasan utara

    SEORANG lelaki warga Myanmar yang bertindak sebagai ejen dan tekong darat yang membawa masuk pendatang tanpa izin (PATI) warga Myanmar dari sempadan Malaysia-Thailand ke negara ini akhirnya ditahan polis pukul 10.30 pagi tadi.

    Suspek, 42, yang memiliki kad pelarian bangsa-bangsa Bersatu (UNCHR) itu ditahan di sebuah rumah di Bukit Mertajam, Pulau Pinang bersama-sama enam individu lain terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita warga Myanmar dalam serbuan itu.

    Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah berdasarkan maklumat risikan.

    “Tangkapan ini adalah susulan daripada penahanan tiga tekong darat warga tempatan bersama 13 Pati warga Myanmar di Napoh, Changlun, pada 22 Disember lalu.

    “Hasil pemeriksaan mendapati, hanya wanita Myanmar berusia 27 tahun itu mempunyai pasport manakala lima lelaki Myanmar berusia 20 hingga 43 tahun itu tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, hari ini.

    Kamarul Zaman berkata, hasil siasatan mendapati, lelaki yang juga suspek utama yang ditahan itu dipercayai ejen dan tekong utama di kawasan utara semenanjung yang menguruskan kemasukan Pati dari Myanmar.

    Katanya, suspek mempunyai rangkaian dengan sindiket ejen di negara jiran yang akan menguruskan kemasukan lokasi Pati yang baru meloloskan diri ke negara ini melalui sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam.

    “Suspek dikatakan menghantar transporter untuk mengambil PATI di sempadan sebelum dibawa masuk ke negara ini,” katanya.

  • Sangka bunyi kucing rupanya tangisan bayi di pondok

    Sangka bunyi kucing rupanya tangisan bayi di pondok

    SEORANG wanita menyangka bunyi kucing dari sebuah pondok berhampiran ladang kelapa sawit di Kampung Tayor Sungai Tong, Permaisuri, tengah malam tadi, namun terkejut apabila mendapati itu adalah tangisan seorang bayi.

    Wanita berusia 34 tahun itu yang menemukan bayi itu pada pukul 12.20 tengah malam kemudian melarikan diri kerana ketakutan.

    Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, wanita itu dan seorang lagi rakan mengambil keputusan kembali ke pondok berkenaan pada jam 6 pagi.

    “Mereka datang untuk membuat pengesahan dan menemui bayi yang hanya beralas dengan kain tudung masih berada di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Afandi berkata, bayi itu dibawa rumah pengadu di Kampung Teris, Kuala Berang, Hulu Terengganu sebelum wanita itu menghubungi polis untuk tindakan lanjut.

    “Pihak polis bergegas ke rumah wanita yang juga pengadu sebaik menerima maklumat mengenai penemuan bayi itu pukul 6.40 pagi,” katanya.

    Beliau berkata, bayi itu dibawa ke Hospital Hulu Terengganu namun dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu untuk pemeriksaan lanjut.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi,” katanya.

  • Long Tiger diberkas

    Long Tiger diberkas

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    PENJENAYAH dalam buruan berketurunan Rohingya yang dikehendaki polis kerana melarikan diri dari Lokap Mahkamah Majistret Tangkak di Johor pada 15 Disember lalu dipercayai sudah ditangkap.

    Lelaki dikenali dengan panggilan Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab. Hamid, 32, itu dipercayai ditahan dalam satu operasi khas.

    Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dijangka mengadakan sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, esok mengenai butiran penangkapan suspek.

    Dalam kejadian pada pukul 11.55 pagi, 15 Disember lalu, Long Tiger berjaya meloloskan diri melalui pintu utama Mahkamah Majistret Tangkak sebelum perbicaraan terhadapnya bermula.

    Long Tiger yang diambil dari Penjara Sungai Udang, Melaka itu sepatutnya berdepan proses perbicaraan di bawah Seksyen 388 Kanun Keseksaan pada hari kejadian.

    Lelaki itu juga masih mempunyai status perbicaraan di Mahkamah Sesyen Muar membabitkan kesalahan rogol di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan kini disiasat mengikut Seksyen 224 kanun sama kerana lari daripada tahanan.

    Baru-baru ini, polis turut menahan sepasang suami isteri yang disyaki rakan subahat kepada Long Tiger.

    Pasangan warga tempatan berusia 41 dan 43 tahun itu ditahan di Balai Polis Bukit Gambir, kira-kira pukul 12.30 tengah malam.

    Selain itu, dua daripada empat anggota polis yang ditahan sebelum ini kerana disyaki terlibat secara langsung dengan aspek kecuaian sehingga Long Tiger meloloskan diri, kini ditahan kerja sehingga habis proses rayuan sebelum tindakan selanjutnya diambil.

  • Mangsa terlibat kebakaran tongkang maut

    Mangsa terlibat kebakaran tongkang maut

    SEORANG pekerja disahkan maut dalam kejadian kebakaran melibatkan sebuah tongkang di Gat Lebuh Macallum, Pengkalan Weld, Pulau Pinang kira-kira pukul 10.45 pagi tadi.

    Mangsa, Yaser Abdullah, 60, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas kira sejam dikejarkan ke hospital.

    Dalam kebakaran itu, lima lagi kru tongkang yang masing-masing berusia antara 35 hingga 72 tahun dilaporkan mengalami kecederaan melecur pada bahagian tangan.

    Mereka ialah Lee Hock Kheng; Mohd. Din Awang Senik; Yeap Yu Poo; Lee Eng Hock; dan Mohd. Bukri Rahim.

    Difahamkan ketika kejadian, kesemua mereka sedang membaiki tongkang berkenaan sebelum tiba-tiba berlaku letupan.

    Sementara itu, Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai, Mohamad Yahaya Murad berkata, mangsa yang maut sempat diberikan rawatan awal di lokasi kejadian sebelum dibawa ke hospital.

    Katanya, kebakaran itu melibatkan sebuah tongkang dengan anggaran peratusan kemusnahan kira-kira 20 peratus.

    “kebakaran dapat dikawal pukul 11.08 pagi sebelum dipadamkan sepenuhnya pukul 11.30 pagi.

    “Operasi pemadaman turut dibantu pasukan bomba sukarela (PBS) berdekatan dan kerja-kerja ‘overhaul’ masih dijalankan,” katanya.

  • Petis udang berulat, logo halal pula tidak sah

    Petis udang berulat, logo halal pula tidak sah

    TONG penyimpanan petis udang mengandungi ulat berengga dan berbau busuk serta meloyakan.

    Lebih menjijikkan, stok petis udang lama yang berulat itu turut disimpan dalam stor sama dengan produk baharu malah pengusahanya turut menggunakan logo halal tidak sah.

    Perkara itu terbongkar ketika operasi sekumpulan pegawai Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) di sebuah kilang memproses petis udang yang sudah beroperasi lebih 50 tahun di Pantai Acheh, Balik Pulau hari ini.

    Menurut Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM), JKNPP, Mohd. Wazir Khalid, siasatan lanjut pihaknya juga mendapati terdapat produk petis udang yang turut digunakan sebagai kuah rojak itu sudah rosak meskipun tarikh luputnya pada 2024.

    Tambah beliau, kilang itu pernah diserbu pihaknya tahun lalu dan pengusahanya diarahkan membersihkan kilang supaya mengikut piawaian namun keadaan hari ini didapati masih seperti sebelum ini.

    “Antara alasan yang diberikan pemiliknya adalah mereka tidak sempat membuang produk lama yang telah berulat kerana perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sebelum ini.

    Stok petis udang lama yang berulat itu turut disimpan dalam stor sama dengan produk baharu malah pengusahanya turut menggunakan logo halal tidak sah

    “Ini juga sebenarnya alasan yang sering kita terima dalam mana-mana operasi jadi kita telah mengarahkan mereka membersihkan produk mengikut piawaian kesihatan yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas menyertai operasi itu hari ini.

    Menurut Mohd. Wazir, susulan operasi itu pihaknya mengarahkan kilang tersebut ditutup selama 14 hari di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 untuk kerja-kerja pembersihan selain turut mengeluarkan dua notis kompaun berjumlah RM5,000 kepada pemiliknya.

    Dalam masa sama tambah beliau, pihaknya juga akan merujuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi kesalahan menggunakan logo halal secara tidak sah.

    Sementara itu dalam satu lagi serbuan di kilang kicap di Jalan Batu Maung, Bayan Lepas, pihaknya turut mendapati premis itu beroperasi tanpa mematuhi standard kebersihan dan keselamatan yang ditetapkan.

    Antaranya kata beliau, penemuan bahan asing seperti sarang labah-labah di dalam tong penapaian kacang soya serta najis tikus di lantai yang dikhuatiri boleh menyebabkan pencemaran silang.

    “Kilang ini juga diarahkan tutup selama 14 hari bagi kerja-kerja pembersihan selain turut dikenakan dua kompaun berjumlah RM5,000.

    “Pemilik kilang juga diarahkan menjalankan pembersihan serta kawalan serangga perosak menggunakan khidmat syarikat yang bertauliah,” katanya.

  • Seorang parah, 5 cedera ringan tongkang terbakar

    Seorang parah, 5 cedera ringan tongkang terbakar

    SEORANG pekerja dilaporkan parah manakala lima yang lain cedera ringan selepas sebuah tongkang terbakar dalam kejadian di Gat Lebuh Macallum, Pengkalan Weld, Pulau Pinang pagi tadi.

    Jurucakap Pasukan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pukul 10.54 pagi sebelum bergegas dan tiba di lokasi kejadian kurang 10 minit kemudian.

    Menurutnya, kebakaran itu melibatkan sebuah tongkang dengan anggaran peratusan kemusnahan kira-kira 20 peratus.

    “Terdapat enam mangsa terlibat dalam kejadian itu dengan seorang daripada mereka mengalami kecederaan parah dan diberi rawatan awal di lokasi kejadian.

    Kebakaran dapat dikawal pukul 11.08 pagi sebelum dipadamkan sepenuhnya pukul 11.30 pagi.

    “Sementara itu, lima mangsa lagi mengalami kecederaan ringan pada bahagian tangan,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Menurut jurucakap itu, kebakaran dapat dikawal pukul 11.08 pagi sebelum dipadamkan sepenuhnya pukul 11.30 pagi.

    Ujarnya, operasi pemadaman turut dibantu pasukan bomba sukarela (PBS) berdekatan dan kerja-kerja ‘overhaul’ masih dijalankan ketika ini.

  • Lelaki warga emas hilang ketika mencari lokan di sungai

    Lelaki warga emas hilang ketika mencari lokan di sungai

    SEORANG lelaki warga emas hilang ketika mencari lokan di Sungai Kanawai, Sundar, Lawas pukul 7 malam tadi.

    Mangsa, Amit Matasan, 71, pada mulanya keluar bersama-sama rakannya, Roseli Sahari, 49. pada pukul 6 pagi untuk mencari lokan di sungai berkenaan dengan menggunakan bot gentian kaca.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pada pukul 2.40 petang mereka kemudiannya bergerak berasingan dan berjanji untuk bertemu semula di satu lokasi.

    “Bagaimanapun, sehingga 7 malam, mangsa tidak muncul di tempat yang dijanjikan dan rakannya kemudian pulang namun mendapati mangsa tiada di rumah

    “Berikutan itu, Roseli membuat laporan kehilangan Amit di Balai Polis Sundar pada 8.40 malam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Jurucakap itu memaklumkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan membabitkan lima anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas.

    “Operasi terpaksa ditangguhkan pada 10.30 malam tadi berikutan keadaan gelap dan pencarian disambung semula 7 pagi ini.

    “SAR hari ini turut dibantu penduduk kampung dengan tumpuan pencarian di permukaan,” katanya.