Category: Jenayah

  • Polis siasat kumpulan dakwa pewaris Kesultanan-KPN

    Polis siasat kumpulan dakwa pewaris Kesultanan-KPN

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menerima satu laporan polis berhubung tindakan sekumpulan penuntut yang mendakwa sebagai pewaris Kesultanan Sulu yang mengemukakan tuntutan melalui notis timbang tara melebihi US$32 bilion.

    Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata laporan itu dibuat oleh Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berikutan tuntutan yang diserahkan kepada Kerajaan Malaysia pada 30 Julai 2019.

    “Tuntutan tersebut merupakan satu ancaman kepada keselamatan negara. PDRM melalui Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USTJ), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 124(k) Kanun Keseksaan kerana sabotaj.

    “PDRM memandang serius sebarang elemen yang boleh mengganggu gugat ketenteraman awam khususnya perbuatan sabotaj terhadap keselamatan, kedaulatan dan kestabilan negara serta memberi jaminan siasatan terperinci berhubung perkara tersebut akan dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

  • Mabuk: Ada budak enam tahun jadi mangsa dera – Polis

    Mabuk: Ada budak enam tahun jadi mangsa dera – Polis

    PENGARUH alkohol, dadah dan gagal mendapatkan wang untuk membeli barang terlarang dari pasangan dipercayai antara punca peningkatan kes keganasan rumah tangga di daerah Klang Selatan sehingga April lalu.

    Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, statistik menunjukkan, majoriti mangsa keganasan rumah tangga adalah isteri, tidak kurang juga sebahagian mangsa keganasan ini dilepaskan kepada anak-anak kecil seawal usia enam tahun.

    “Pihak polis membuka 16 kertas siasatan berkaitan kes keganasan rumah tangga di daerah ini dalam tempoh Januari hingga April tahun ini.

    “Jumlah kes terbabit menunjukkan peningkatan berbanding statistik tempoh sama tahun lalu sebanyak 12 kes.

    “Dari Januari hingga April lalu, polis sudah buka 16 kertas, jika dicampur dengan (laporan) kes bulan ini (Mei) mungkin sudah melebihi 20 kes.

    “Antara kes yang kami terima, seorang suami dengan pengaruh alkohol, lepas minum kemudian mabuk lalu gagal kawal diri dan lepas geram kepada isteri.

    “Ada kebanyakan mangsa keganasan rumah tangga secara berulang, tidak tahan kemudian mangsa lapor polis..siasatan mendapati kes keganasan menjadi kebiasaan kepada suspek mencederakan mangsa.

    “Ada kes baru, kanak-kanak berumur enam tahun dipukul bapa kandung yang mana kejadian di Taman Pendamar, Pandamaran. Laporan diterima dua hari lalu, ibu mangsa melaporkan kejadian sudah beberapa berlaku. Semua ini dalam siasatan polis,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di Klang, hari ini.

    Hoong Fong berkata, siasatan kes ini meliputi kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Seksyen 324 Kanun Keseksaan, Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

    Katanya, mangsa keganasan rumah tangga dilindungi di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga 1984 yang terpakai kepada wanita, ahli keluarga lain dalam kalangan lelaki, kanak-kanak, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan warga emas.

    “Selain itu, boleh menghubungi Talian Kasih dan WhatsApp 019-2615999 yang beroperasi 24 jam atau JKM berhampiran,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Anak perempuan sesak nafas, makan biskut ‘ganja’ buatan bapa

    Anak perempuan sesak nafas, makan biskut ‘ganja’ buatan bapa

    SEORANG kanak-kanak perempuan 11 tahun dibawa ke hospital akibat sesak nafas selepas dipercayai termakan biskut dibuat bapanya yang disyaki dicampur ganja di Lawin, Gerik, malam tadi.

    Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri, berkata pihaknya menerima laporan kejadian daripada pembantu perubatan Klinik Kesihatan Lawin pada pukul 10.26 malam tadi, menyebut seorang kanak-kanak berusia 11 tahun mengalami sesak nafas, pening dan loya.

    Mohd. Yusri berkata, siasatan awal mendapati mangsa termakan biskut dipercayai dicampur ganja dibuat bapanya yang bekerja sebagai penoreh getah.

    “Bapa kanak-kanak itu reman lima hari bermula hari ini manakala saringan ujian awal air kencing mendapati suspek berusia 38 tahun itu positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC).

    “Selepas dibawa ke Klinik Kesihatan oleh bapanya, mangsa dihantar ke Hospital Gerik dan seterusnya dirujuk ke Hospital Taiping untuk pemeriksaan dan rawatan selanjutnya.

    “Keadaan kanak-kanak itu kini stabil,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor BH Online.

    Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • Kes songlap RM24.8 juta: Polis ambil keterangan 9 kakitangan Kesedar

    Kes songlap RM24.8 juta: Polis ambil keterangan 9 kakitangan Kesedar

    POLIS mengambil keterangan sembilan kakitangan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) bagi membantu siasatan berhubung kes pecah amanah membabitkan nilai RM24.8 juta.

    Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, identiti sembilan individu berkenaan dikatakan digunakan oleh penolong akauntan Kesedar untuk tujuan pecah amanah.

    “Ya sudah tentu kita rekod keterangan semua, sebagai saksi dan keterangan untuk kes berkenaan.

    “Setakat ini tiada tangkapan dilakukan dan kita percaya jenayah ini dilakukan berseorangan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Semalam Malaysiakini melaporkan seorang lelaki ditahan atas dakwaan menggelapkan RM24.8 juta daripada Kesedar dengan menyalahgunakan pengenalan diri sembilan kakitangan lain untuk memindahkan wang berkenaan.

    Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, penolong akauntan itu telah melakukan ‘perbuatan licik’ itu selama lapan tahun.

    Pendedahan Timbalan Perdana Menteri itu susulan penahanan seorang penolong akauntan Kesedar selepas dipercayai pecah amanah berjumlah RM24.8 juta.

    Sabtu lalu lelaki berusia 37 tahun itu ditahan pada pukul 12.21 tengah malam oleh pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang.

  • Skandal LCS: Kenapa tiada dakwaan?

    Skandal LCS: Kenapa tiada dakwaan?

    PELBAGAI pihak mendesak kerajaan menjelaskan masalah yang dihadapi membabitkan projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) berikutan terdapat beberapa persoalan tadbir urus dan ketelusan masih tidak terjawab.

    Mereka turut mempersoalkan kenapa sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil bagi menangani pelbagai persoalan dibangkitkan, termasuk mengheret dan mendakwa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

    Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr. Muhammad Mohan dalam satu kenyataan semalam berkata, kerajaan perlu telus dalam menjelaskan permasalahan projek LCS selepas menyahklasifikasikan Laporan Perolehan dan Siasatan Kewangan oleh bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang.

    “Malah beliau (Ambrin) menyatakan bahawa kerajaan tidak sepatutnya bersembunyi di belakang Akta Rahsia Rasmi atau menggunakan alasan ‘keselamatan negara’ sekiranya penyalahgunaan kuasa atau rasuah dikesan,” katanya.

    Isu LCS menarik semula perhatian apabila Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan mengumumkan Jumaat lalu bahawa Kementerian Kewangan telah menubuhkan syarikat bertujuan khas (SPV) bagi mengambil alih syarikat yang bertanggungjawab terhadap projek LCS iaitu Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS), sebagai anak syarikat kepada Kementerian Kewangan (MOF).

    Bagaimanapun, Mohamad berkata, pelaksanaan projek LCS tetap akan dipantau melalui Jawatankuasa Pemantauan Projek (PMC) yang dipengerusikan bersama oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan.

    Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak mempunyai pilihan, selain mengambil alih syarikat yang bertanggungjawab terhadap projek LCS iaitu BNS supaya projek dapat diselesaikan.

    Perdana Menteri berkata, ia berikutan kerajaan telah membelanjakan RM6 bilion bagi projek LCS.

    “Ada projek yang on-going yang mesti kita (kerajaan) selesaikan termasuk LCS. Kita tiada pilihan, dah belanja RM6 bilion. Kita tidak boleh tutup, kita kena ambil alih untuk menyelesaikan projek,” katanya lapor BH.

    Muhammad juga berkata, Anwar berkali-kali menyatakan komitmen tegas beliau untuk memerangi rasuah dan menambah baik amalan tadbir urus dan integriti dalam sektor awam.

    “(Justeru) memastikan projek LCS tidak terbengkalai adalah penting. Memastikan mereka yang bertanggungjawab untuk projek bermasalah ini dan mengenakan tindakan ke atas mereka juga adalah penting,” katanya.

    TI-M terima keputusan

    Tambahnya, TI-M menerima pakai rasional keputusan yang dibuat kerajaan untuk menubuhkan SPV yang akan mengambil alih tanggungjawab BNS, syarikat yang diberi kontrak pada 2011 untuk membina dan membekalkan enam LCS bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

    Katanya, ia kerana RM6.083 bilion wang pembayar cukai sudah pun dibayar. Namun, Muhammad mendakwa melalui semakan yang dibuat berkaitan status projek berkenaan mendapati terdapat beberapa hasil keputusan yang tidak memuaskan.

    “Antara persoalan yang timbul adalah kapal pertama antaranya dijadualkan untuk dihantar pada April 2019, selepas empat tahun, namun tiada satu kapal pun yang diterima.

    “Projek yang menelan belanja RM9 bilion sudah meningkat kepada RM11.2 bilion dan kini TLDM hanya akan menerima lima kapal LCS berbanding rundingan awal enam,” katanya.

    Sebelum ini, pembinaan kapal LCS terpalit kontroversi apabila Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada 7 Ogos 2022 mendedahkan, tiada seunit pun telah disiapkan walaupun kerajaan telah membelanjakan RM6.083 bilion menerusi BNS.

    Pengerusi PAC ketika itu, Wong Kah Woh berkata, terdapat elemen kelemahan dan penyelewengan dalam projek itu dan PAC mendapati BNS tidak menggunakan sepenuhnya bayaran daripada kerajaan untuk projek berkenaan.

    Laporan PAC turut menyenaraikan sembilan rumusan sebagai punca kepincangan projek LCS, antara perolehan terbesar negara yang digariskan di bawah Pelan Transformasi Armada 15 hingga 5 TLDM.

    Pembongkaran skandal LCS turut memaksa kerajaan ketika itu mendedahkan laporan audit dan laporan forensik berkaitan projek berkenaan, sekali gus kemungkinan wujud penyelewengan dana kerajaan sepanjang projek berkenaan berjalan.

    Dalam nada sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4), Pushpan Murugiah, berkata kerajaan perlu memastikan tindakan tegas diambil ke atas individu yang terbabit dalam skandal berkenaan.

    “Tindakan mendakwa mereka yang bertanggungjawab dalam skandal ini penting dalam usaha membanteras gejala rasuah yang sedang berleluasa.

    “Pendakwaan itu akan memastikan Perdana Menteri benar-benar serius dalam membanteras rasuah dan bukan sekadar retorik,” katanya.

    Murugiah berkata, usaha memperkasa keselamatan dan aset pertahanan negara adalah keutamaan penting, tambahan pula TLDM menunggu sekian lama untuk memperoleh kapal berkenaan.

  • Warga emas ditahan disyaki ikat,heret anjing hingga mati

    Warga emas ditahan disyaki ikat,heret anjing hingga mati

    SEORANG lelaki warga emas disyaki menyebabkan kematian seekor anjing di Kampung Sri Parit, Lukut pada Sabtu ditahan pihak polis semalam.

    Ketua Polis Daerah Port Dickson, Suptendan Aidi Sham Mohamed, berkata polis menerima aduan daripada seorang lelaki berusia 44 tahun yang melihat seekor anjing telah diperlakukan dengan kejam sehingga cedera dan berdarah.

    “Pengadu telah melihat anjing tersebut diikat dan diheret dengan menggunakan kereta. Akibat kejadian itu, anjing tersebut telah mati,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya tangkapan dilakukan terhadap pemilik anjing berusia 61 tahun itu kira-kira 10.05 malam semalam di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Port Dickson dan direman sehari.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan, lapor SatuBerita.

  • Bekas tunang dibunuh kerana enggan teruskan hubungan

    Bekas tunang dibunuh kerana enggan teruskan hubungan

    TIDAK puas hati kerana ikatan diputuskan dipercayai menjadi motif seorang lelaki menikam bekas tunangnya hingga mati di sebuah pusat beli-belah di Kota Kinabalu semalam.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, wanita berusia 21 tahun yang juga pembantu kedai di premis berkenaan ditemui terbaring dengan beberapa kesan tikaman.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris berkata, mangsa memutuskan pertunangan dengan suspek tiga hari lalu atas alasan peribadi.

    “Suspek dikatakan sering mengganggu mangsa hingga mencarinya di tempat kerja kerana tidak puas hati pertunangan diputuskan.

    “Mangsa yang merupakan warga tempatan yang bekerja sebagai pembantu sebuah kedai dan bekerja sendirian ketika kejadian sebelum didatangi bekas tunangnya yang dikenali selama setahun.

    “Suspek dikatakan memujuk mangsa namun wanita itu enggan meneruskan perhubungan mereka.

    “Suspek dipercayai mendekati mangsa sebelum menikamnya beberapa kali, menyebabkan wanita itu rebah ke lantai berhampiran kaunter juruwang,” katanya memetik laporan Berita Harian, hari ini.

    Kalsom berkata, mangsa menjerit meminta tolong dan anggota keselamatan yang kebetulan berada berhampiran bergegas ke tempat kejadian.

    “Saksi melihat mangsa terlantar di lantai manakala suspek berdiri di sebelahnya sambil memegang satu objek berlumuran darah,” katanya.

    Anggota polis membawa keluar mayat mangsa untuk dihantar ke Hospital Queen Elizabeth 1 bagi proses bedah siasat.

    Pihak keselamatan ujar beliau, menghubungi polis dan suspek warga tempatan ditangkap di lokasi kejadian.

    Sejurus menerima maklumat, sepasukan anggota polis ke lokasi dan menemui mangsa sebelum menghubungi paramedik.

    “Pasukan paramedik yang tiba pukul 12.50 tengah hari cuba memberi bantuan pernafasan kecemasan (CPR) namun tidak berjaya sebelum mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 1 tengah hari.

    Katanya, selain menahan suspek, pihak polis turut menemui sebilah pisau dipercayai digunakan suspek untuk menikam mangsa.

    “Mayat mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth 1 (QEH1) untuk bedah siasat manakala suspek ditahan untuk proses reman,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

  • Pecah amanah RM24.8 juta: Penolong Akauntan Kesedar guna identiti 9 individu – Zahid

    Pecah amanah RM24.8 juta: Penolong Akauntan Kesedar guna identiti 9 individu – Zahid

    PENOLONG akauntan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) yang ditahan berkait pecah amanah RM24.8 juta menggunakan identiti sembilan individu dalam badan berkanun itu.

    Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, yang mendedahkan perkara itu berkata ia tindakan licik suspek lebih-lebih lagi dilakukan dalam tempoh lama.

    Sehubungan itu Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah memberitahu tindakan tegas akan diambil selain tidak berkompromi kerana perkara itu membabitkan wang rakyat.

    “Saya mengambil tindakan tegas dan tidak akan pernah berkompromi kerana ini adalah wang cukai rakyat yang sepatutnya digunakan untuk peneroka Kesedar tetapi sebaliknya individu berkenaan guna untuk kepentingan peribadi. Tangkapan sudah dibuat, saya juga mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian mengambil tindakan perundangan segera,” katanya lapor Berita Harian.

    Ahmad Zahid sebelum itu menghadiri majlis pelancaran jerayawara program advokasi antigangguan seksual di Putrajaya.

    Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, suspek akan dikenakan tindakan berdasarkan tatakelola sedia ada oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) termasuk digantung tugas.

    Sabtu lalu, seorang Penolong Akauntan Kesedar ditahan selepas dipercayai pecah amanah berjumlah RM24.8 juta sejak lapan tahun lalu.

    Lelaki berusia 37 tahun itu ditahan pada 12.21 tengah malam oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Gua Musang.

    Ketua Polis Kelantan, Muhamad Zaki Harun, berkata suspek ditahan di rumahnya di bandar Gua Musang dan direman tujuh hari bermula Sabtu lalu.

    Katanya, penahanan dilakukan susulan laporan polis diterima berkait salah laku oleh kakitangan Kesedar.

    Ia berhubung kehilangan wang kerajaan yang diuruskan oleh bahagian kewangan Kesedar melalui Kumpulan Wang Amanah dan Kumpulan Wang Pembangunan dari Disember 2016 hingga Mei 2023.

  • Polis tahan wanita warga emas suspek utama skim penipuan pelaburan

    Polis tahan wanita warga emas suspek utama skim penipuan pelaburan

    POLIS menahan seorang wanita warga emas disyaki suspek utama kegiatan penipuan skim pelaburan perbankan pada Khamis lalu.

    Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin berkata, pihaknya telah menerima dua laporan berkaitan kes penipuan skim pelaburan terbabit.

    Jelas beliau, berdasarkan siasatan, skim pelaburan terbabit mula beroperasi sejak awal tahun ini dan menawarkan pulangan sebanyak 30 hingga 70 peratus dari modal pelaburan yang dikeluarkan.

    “Skim pelaburan ini turut menawarkan slot-slot saham yang menjanjikan keuntungan sehingga 100 peratus dalam tempoh 72 jam. Setelah mangsa membuat pindahan wang, keuntungan yang dijanjikan tidak dibayar.

    “Suspek berusia 60 tahun itu telah ditahan reman selama lima hari bermula Jumaat hingga esok (Selasa) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, hasil semakan mendapati suspek juga mempunyai rekod lampau berkait dua kes penipuan pelaburan berkaitan penjualan minyak diesel.

    Katanya, orang ramai yang mungkin menjadi mangsa skim pelaburan tersebut diminta tampil segera membuat laporan di mana-mana balai polis berhampiran.

    Menurutnya, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan sentiasa membuat semakan secara terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan.

    “Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dari sumber rasmi seperti portal semak mule, alert list Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sebelum membuat keputusan untuk menyertai skim pelaburan yang meragukan,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Wanita maut ditikam bekas tunang

    Wanita maut ditikam bekas tunang

    SEORANG wanita maut selepas ditikam berkali-kali oleh bekas tunangnya dalam kejadian di sebuah kedai di pusat beli-belah di Jalan Haji Saman, Kota Kinabalu.

    Timbalan Ketua Polis Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris berkata, sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima laporan kira-kira 12 tengah hari tadi mengenai seorang wanita ditemui terbaring berlumuran darah di premis itu.

    Katanya, sampai di lokasi kejadian polis mendapati mangsa yang bekerja sebagai pembantu kedai masih bernyawa dan seorang lelaki dipercayai suspek masih berada di premis itu.

    “Pegawai perubatan yang tiba memberi bantuan kecemasan kepada wanita berkenaan tetapi mangsa meninggal dunia tidak lama selepas itu akibat kecederaan dialaminya.

    “Polis turut menahan seorang lelaki berusia 33 tahun yang juga bekas tunang mangsa di lokasi kejadian untuk siasatan lanjut,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

    Katanya, polis turut merampas sebilah pisau dipercayai digunakan suspek untuk menikam mangsa berusia 22 tahun.

    Kalsom berkata, polis masih menjalankan siasatan termasuk mengenal pasti motif suspek membunuh mangsa.

    “Mayat mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya, menurut Harian Metro.