Category: Jenayah

  • Polis Sabah rampas dadah RM1.99 juta diisytihar peralatan akuarium

    Polis Sabah rampas dadah RM1.99 juta diisytihar peralatan akuarium

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) Sabah merampas dadah dipercayai jenis Methamphetamine bernilai RM1.99 juta berat 55.4 kilogram (kg) dalam dua serbuan di sini pada 4 dan 9 Jan lepas, dan menahan seorang penggangur lelaki tempatan berusia 50 tahun bagi membantu siasatan.

    Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata pihaknya percaya kegiatan itu didalangi satu sindiket yang menghantar dadah tersebut dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu di sini menggunakan perkhidmatan kurier yang diisytihar sebagai peralatan akuarium.

    Beliau berkata hasil perkongsian maklumat dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, serbuan dilakukan pada 4.15 petang 4 Jan lepas di tempat letak kereta sebuah syarikat penghantaran barangan di Inanam dan menahan suspek kes tersebut bersama sebuah kereta.

    “Hasil pemeriksaan, pasukan serbuan berjaya merampas tiga kotak dadah dipercayai jenis  Methamphetamine dengan berat 33.62kg bernilai RM1.21 juta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di Kota Kinabalu hari ini.

    Jauteh berkata hasil siasatan lanjut rampasan pertama, PDRM merampas dua kotak berisi dadah dipercayai jenis Methamphetamine berat 21.78kg bernilai RM784,000 dalam serbuan kedua di sebuah kawasan komersil di Bandaraya Kota Kinabalu di sini pada pukul 9.50 pagi, 9 Jan lepas.

    Beliau berkata PDRM juga menyita wang tunai berjumlah RM102,097.87 berkaitan kes itu, dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

    “Suspek yang ditahan mempunyai 17 kes lampau dalam pelbagai kesalahan antaranya dadah dan curi, suspek dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran (dadah)…siasatan masih dilakukan tentang kawasan pengedaran dadah tersebut, serta tempoh sindiket beroperasi,” katanya.

    Sementara itu, dalam kes berasingan PDRM pada pagi tadi menerima maklumat tentang sebuah bot yang meletup di Semporna dan PDRM bersama agensi terlibat masih dalam operasi mencari bot serta mangsa terlibat.

    “Kejadian dipercayai terjadi petang semalam tetapi pihak polis menerima maklumat 11.30 pagi ini…punca kejadian ini masih dalam siasatan dan pasukan mencari menyelamat masih tidak menemui apa-apa setakat ini,” katanya.

    Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri Sabah memberitahu pihaknya menerima maklumat kejadian bot meletup itu yang berlaku di Pulau Tatagan, Semporna, melibatkan dua orang mangsa menggunakan bot jenis ‘pump boat’.

    — BERNAMA

  • Ambil tindakan video tular individu sebar ajaran tasawuf ekstrem

    Ambil tindakan video tular individu sebar ajaran tasawuf ekstrem

    PIHAK berkuasa agama Islam perlu menyiasat segera berhubung isu video ajaran tasawuf ekstrem yang menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar seperti yang tular di dalam media sosial ketika ini.

    Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, langkah-langkah berkesan bagi mencegah ajaran tasawuf yang menyesatkan itu daripada disebarkan juga perlu diambil supaya akidah umat Islam di negara ini yang berlandaskan fahaman Ahli Sunnah wal Jamaah akan terus terpelihara.

    Menurut beliau, aliran pemikiran sebegitu mampu merosakkan akidah umat Islam dan membawa kepada kesesatan kerana memecahkan agama Islam kepada syariah dan hakikat.

    Jelasnya, ia juga memperleceh syariah dan para ulama syariah dengan dakwaan palsu kononnya ulama syariah itu mengubah ajaran agama Islam.

    “Jika dihalusi aliran pemikiran tasawuf yang melampau ini berpunca daripada dakwaan kononnya Rasulullah SAW mengajar kepada sahabatnya ilmu hakikat yang tidak didedahkan kepada sahabat yang lain.

    “Ini adalah satu tohmahan karut terhadap Nabi Muhammad SAW bahawa Baginda menyembunyikan ilmu yang diperintahkan kepada Baginda menyampaikannya kepada umat Baginda.

    “Sedangkan umat Islam diajar untuk mempercayai antara sifat yang wajib bagi seorang Rasul ialah amanah dan tabligh iaitu menyampaikan perintah Allah SWT kepada umatnya dengan sempurna.

    “Sementara itu, syariah pula adalah segala peraturan yang ditetapkan Allah SWT di dalam agama-Nya (Islam) yang dikehendaki setiap orang Islam mengikutinya sama ada dalam kehidupan peribadi atau kolektif,” katanya.

    Beliau mengulas mengenai video ceramah seorang individu berperwatakan seperti seorang ustaz yang mendakwa pelaksanaan solat adalah menyimpang daripada ajaran Islam yang kini tular dan mendapat reaksi pelbagai daripada warga maya.

    Tambah Wan Salim, adalah jelas ajaran yang memecahkan agama Islam kepada zahir dan batin atau syariat dan hakikat adalah merupakan sejenis penyelewengan yang mampu menggugat akidah seseorang Muslim.

  • Guna basikal angkut barang curi

    Guna basikal angkut barang curi

    SEORANG lelaki hanya menggunakan basikal untuk mengangkut barang curi selepas memecah masuk sebuah rumah di Kubang Kerian, Kelantan, malam semalam.

    Suspek berjaya diberkas orang awam kira-kira dua kilometer dari situ selepas menyedari rumah sebuah keluarga dipecah masuk ketika mereka keluar untuk makan malam.

    Lelaki berusia 42 tahun itu berjaya diberkas penduduk kampung di kawasan tali air, bersama-sama beberapa barangan yang dicuri.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Mohd. Suhaimi Ali berkata, mangsa wanita berusia 47 bersama keluarga sebelum itu keluar untuk makan dalam keadaan rumah berkunci pada 8 malam.

    “Sebaik pulang pada 11 malam, mereka terkejut apabila mendapati pintu rumah terbuka serta barangan dalam keadaan berselerak dan mengesyaki ia dipecah masuk.

    “Pemeriksaan mendapati beberapa barangan hilang antaranya tiga utas jam tangan, dua unit telefon bimbit, sebentuk cincin, kasut serta beg yang keseluruhannya dianggarkan RM3,000,” katanya memetik laporan HM, hari ini.

    Mohd. Suhaimi berkata, susulan itu, dua anak lelaki mangsa bersama-sama penduduk kampung keluar mencari suspek di kawasan sekitar.

    Menurutnya, mereka menemui seorang lelaki tidak dikenali sedang menunggang basikal sebelum menemui semua barangan yang hilang dan suspek diserah kepada pihak polis.

    “Saringan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methampethamin dan memiliki 11 rekod jenayah bersabit dadah serta jenayah.

    “Suspek direman empat hari bermula hari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya. 

  • Bogel atas katil: Hakim tuduh wanita buat laporan palsu

    Bogel atas katil: Hakim tuduh wanita buat laporan palsu

    BULAN lalu, seorang wanita yang sudah berkahwin membuat laporan polis mendakwa seorang hakim kanan mencabul kehormatannya apabila berbaring dalam keadaan berbogel di dalam bilik tidur di rumahnya.

    Memetik laporan Malaysiakini, kejadian tersebut dikatakan berlaku pada Ogos 2020.

    Walau bagaimanapun, beberapa hari kemudian, hakim kanan terbabit membuat laporan polis balas terhadap wanita yang menuduhnya itu.

    Beliau mendakwa, wanita terbabit membuat laporan polis palsu terhadapnya.

    Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak.

    “Ya, saya mengesahkan bahawa hakim itu juga telah membuat laporan polis terhadap wanita itu.

    “Kami masih menyiasat kes itu,” katanya kepada Malaysiakini.

    Beliau menambah, siasatan dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, berhubung kesalahan menggunakan kekerasan jenayah dengan niat untuk mencabul kehormatan.

    Farouk memberitahu, polis telah merakamkan kenyataan daripada beberapa individu, tetapi tidak menjelaskan secara terperinci.

    Semalam, beberapa portal berita melaporkan bahawa polis telah menjalankan siasatan terhadap hakim kanan berkenaan.

    Kejadian dikatakan berlaku pada Ogos 2020 ketika hakim berkenaan melawat rumah wanita itu, yang tinggal bersama suaminya.

    Free Malaysia Today sebelum ini melaporkan kejadian itu dengan memetik laporan polis yang dilihatnya.

    Ia menyatakan hakim terbabit didakwa meminta kebenaran wanita itu untuk menggunakan bilik tidurnya.

    Apabila hakim itu tidak keluar dalam masa yang lama, wanita tersebut telah masuk untuk memeriksa sebelum mendapati lelaki itu berbaring di atas katilnya dalam keadaan berbogel.

    Lelaki itu dikatakan kemudian keluar dari rumah wanita berkenaan kira-kira pukul 3 pagi.

  • Maritim rampas 5 laras senapang angin cuba diseludup

    Maritim rampas 5 laras senapang angin cuba diseludup

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    CUBAAN satu sindiket untuk menyeludup masuk lima laras senapang angin disyaki dari Indonesia berjaya dipatahkan di perairan Pulau Sialu, Batu Pahat, semalam.

    Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Batu Pahat mendapat maklumat itu sebelum melakukan risikan dan intipan sekitar jam 7.20 malam.

    Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohammad Othman berkata, aset Maritim Malaysia kemudian melaksanakan pemantauan sekitar lokasi berkenaan.

    “Tiada sebarang pergerakan bot atau suspek mencurigakan di sekitar lokasi penemuan, namun sewaktu pasukan operasi melakukan pemeriksaan sekitar kawasan Beacon Panjang Utara telah menjumpai satu karung guni putih dan satu beg hitam.

    “Ia berisi senjata api jenis senapang angin beserta sebuah kotak besi berisi peluru jenis bearing di kedudukan lebih kurang 13.5 batu nautika barat daya Pulau Sialu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Maritim menemukan senjata api dan barang-barang itu diletakkan dalam kawasan Beacon Panjang Utara, di Pulau Sialu, Batu Pahat, semalam, selepas melakukan pemeriksaan.

    Katanya, keseluruhan barang itu dianggarkan bernilai RM10,000 dan dibawa ke Zon Maritim Batu Pahat untuk siasatan lanjut.

    Kes disiasat di bawah Akta Senjata Api 1960, jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

    Maritim Malaysia katanya, akan terus mempergiatkan lagi tugas pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan perlanggaran undang-undang dapat dibanteras dan dikurangkan.

    Sebarang aduan dan maklumat boleh disalurkan melalui talian hotline, Pusat Operasi Zon Maritim Batu Pahat menerusi talian 07-4344020 atau melalui talian bantuan kecemasan, MERS 999.

  • Kes bunuh Imam Fadi: PDRM tunggu maklumat Interpol, Kedutaan Palestin

    Kes bunuh Imam Fadi: PDRM tunggu maklumat Interpol, Kedutaan Palestin

    Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menunggu perincian maklumat melibatkan pelbagai agensi termasuk pihak berkuasa Palestin berhubung kes pembunuhan seorang pensyarah Palestin di Malaysia pada 2018.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihak berkenaan melibatkan Kedutaan Besar Palestin di Malaysia, Polis Antarabangsa (Interpol) dan lain-lain agensi di dalam dan luar negara.

    “Kami masih menunggu maklumat daripada beberapa pihak yang kami percaya dapat beri pencerahan kepada isu berkenaan dalam melengkapkan siasatan kes ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan kes itu selepas menghadiri Program Pendidikan dan Kemahiran Awal Murid Autisme di Pusat Autisme PDRM, Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur hari ini.

    Pada Isnin lepas, PDRM memaklumkan akan memohon agar suspek kes pembunuhan pada 2018 yang dilaporkan ditahan oleh pihak berkuasa Palestin pada Ahad lepas, diekstradisi ke negara ini bagi tujuan siasatan.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan dilaporkan berkata PDRM sedang mendapatkan pengesahan berhubung penangkapan suspek tersebut daripada Kementerian Luar, Kedutaan Palestin di Malaysia dan Interpol.

    Pada 21 April 2018, Dr Mohamed Fadi Al Batsh, seorang pensyarah dipercayai mempunyai kaitan dengan Hamas, maut ditembak berhampiran rumahnya di Kuala Lumpur.

    Dalam kejadian kira-kira 6 pagi itu, mangsa dalam perjalanan dari kondominiumnya di Setapak, di sini, menuju masjid berhampiran untuk menunaikan solat Subuh.

    Terdahulu, Acryl Sani bagi pihak PDRM menerima cek bernilai RM100,000 daripada Pengerusi Yayasan Bank Rakyat Datuk Megat Zulkarnain Omardin sempena Program Pendidikan dan Kemahiran Awal Murid Autisme di Pusat Autisme PDRM.

    Acryl Sani turut menzahirkan penghargaan atas inisiatif pihak Yayasan Bank Rakyat untuk menjadikan Pusat Autisme PDRM di Pulapol di sini, sebagai anak angkat bagi memperkasakan lagi kualiti pendidikan mereka.

    “Sumbangan seperti ini amat besar ertinya dan bantuan tersebut akan memberi manfaat serta harapan kepada 23 orang anak istimewa yang berdaftar di Pusat Autisme PDRM ini,” katanya. – BERNAMA

  • Kes penyata akaun palsu: Nilai kontrak lebih RM60 juta

    Kes penyata akaun palsu: Nilai kontrak lebih RM60 juta

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SERAMAI 25 individu sudah ditahan dengan 17 daripadanya kini berada di bawah perintah reman sejak kelmarin, untuk membantu siasatan terhadap kes mengemukakan penyata akaun bank milik syarikat tertentu yang mempunyai butiran palsu bagi memasuki tender pada 2018 dan 2019.

    Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), siasatan SPRM setakat ini mendapati nilai kontrak bagi kes tersebut dianggarkan lebih RM60 juta.

    Katanya, sehingga kini terdapat sebanyak 25 syarikat dipercayai terlibat dalam kes tersebut.

    “Jumlah syarikat itu tidak mustahil akan bertambah kerana SPRM kini giat mencari mereka yang mungkin turut terbabit dalam kes ini.

    “Siasatan mendapati ada dalam kalangan pihak yang dicari itu sudah menukar alamat namun beberapa usaha sedang dijalankan bagi mengesan mereka,” katanya.

    Selepas 15 individu direman antara tiga hingga lima hari semalam, hari ini dua lagi pemilik syarikat direman selama enam hari bagi membantu siasatan kes sama.

    Perintah tahanan reman tersebut dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Rendah Alor Setar, Eliana Ismail.

    Daripada 25 individu ditahan sejak kelmarin, hanya 17 yang direman manakala selebihnya dibebaskan dengan jaminan SPRM.

    Penyata akaun bank syarikat yang mempunyai butiran palsu tersebut dipercayai dikemukakan kepada sebuah syarikat pembersihan bagi melayakkan syarikat-syarikat terlibat memasuki tender penswastaan pengumpulan sisa pepejal dan pengurusan pembersihan awam di wilayah utara.

    Individu yang ditahan terdiri daripada pelbagai jawatan antaranya pemilik syarikat, pengurus, pengarah, kontraktor serta beberapa lagi yang bekerja sendiri,

    Kesemua mereka berusia antara 31 hingga 77 tahun.

    Dalam pada itu Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap memaklumkan, secara keseluruhannya terdapat 22 individu ditahan kelmarin manakala tiga yang lain ditangkap semalam.

    Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan banyak perkara memandangkan siasatan masih berjalan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

  • Lelaki lari masuk hutan gara-gara takut polis

    Lelaki lari masuk hutan gara-gara takut polis

    SEORANG lelaki dikhuatiri hilang di kawasan hutan selepas terserempak dengan polis yang sedang melakukan rondaan di Kampung Nelayan, Tok Bali, Pasir Puteh, kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Ediansha Endal berkata, ketika kejadian Ahmad Zul Mukriz Zakaria, 22, dikatakan pergi ke kawasan pembuangan sampah berhampiran untuk membuang sampah pukul 12 tengah hari.

    “Melihat kehadiran anggota polis yang membuat rondaan, lelaki itu terus melarikan diri dengan memasuki hutan berhampiran,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi hari ini.

    Katanya, sehingga kini lelaki berkenaan masih belum ditemui dan operasi mencari dan menyelamat mangsa (SAR) terus digerakkan sebaik sahaja menerima laporan daripada keluarganya di Balai Polis Cherang Ruku, semalam.

    “Seramai 44 anggota polis, bomba, Angensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan, Angkatan Pertahan Awam Malaysia (APM), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Jabatan Sukarelawan Rakyat (Rela) digerakkan hari ini untuk SAR,” katanya.

  • Sijil vaksinasi palsu: Pembantu pejabat direman tujuh hari

    Sijil vaksinasi palsu: Pembantu pejabat direman tujuh hari

    SEORANG pembantu pejabat direman tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan dakwaan menerima rasuah daripada orang awam bagi tujuan pendaftaran Sijil Digital Vaksinasi COVID-19 di dalam aplikasi MySejahtera pada Oktober tahun lepas.

    Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Jessica Ombou Kakayun di sini hari ini, selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Lelaki berusia 31 tahun itu ditahan pada kira-kira 1.30 tengah hari semalam di pejabat SPRM di sini ketika hadir untuk memberi keterangan.

    Suspek juga dipercayai memberi rasuah kepada sukarelawan di satu pusat pemberian vaksin sebagai balasan mendaftarkan nama individu yang tidak menerima suntikan vaksin COVID-19 bagi mendapatkan sijil digital berkenaan. – Bernama

  • Siasat dakwaan anggota polis peras ugut warga asing

    Siasat dakwaan anggota polis peras ugut warga asing

    POLIS sedang menyiasat dakwaan anggota polis memeras ugut warga asing di sebuah pasar raya di Kampung Baru Subang, Sungai Buloh.

    Perbuatan itu tular dalam Twitter kelmarin selepas dimuat naik oleh seorang pemilik akaun laman sosial itu yang mendakwa anggota polis memeras ugut warga asing.

    Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar bagaimanapun memberitahu, masa dan tarikh kejadian tidak dijelaskan dengan tepat.

    “Semakan juga dibuat mendapati pemilik akaun telah memadamkan isu tersebut dari laman Twitter miliknya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurutnya, semakan mendapati tiada laporan polis dibuat berhubung kejadian itu.

    “Kita memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh,” katanya.