Category: Jenayah

  • Kejam! Anak tergamak penggal kepala ibu sendiri

    Kejam! Anak tergamak penggal kepala ibu sendiri

    MENGERIKAN! Seorang wanita mati akibat dipenggal kepala oleh anaknya sendiri di Kampung Baru Pasir Penambang, Kuala Selangor petang semalam.

    Memetik laporan BH, suspek berusia 28 tahun itu dipercayai positif dadah.

    Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, polis menerima maklumat kira-kira pukul 5.45 petang berhubung kejadian seorang wanita berusia 56 tahun dicederakan oleh anaknya.

    Menurut beliau, siasatan awal mendapati suspek dipercayai membunuh mangsa ketika berada di ruang tamu berikutan terdapat kesan darah di sekitarnya.

    Ramli menambah,, suspek yang juga penganggur tinggal bersama mangsa dan suaminya, manakala anak mangsa yang lain pula menyewa di kawasan berhampiran.

    “Kejadian disedari seorang daripada anak mangsa yang gagal menghubunginya, sebelum pergi ke rumah. Sebaik tiba, anak mangsa melihat keadaan rumah berlumuran darah dan suspek yang terkejut terus melarikan diri ke belukar di belakang rumah.

    “Polis dengan bantuan penduduk berjaya menahan suspek yang bersembunyi dalam belukar itu dan siasatan lanjut sudah dijalankan oleh pasukan forensik,” katanya.

    Beliau memberitahu, polis turut merampas parang disyaki digunakan suspek untuk memenggal kepala ibunya yang ditemui dalam tandas rumah berkenaan.

    “Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

    “Permohonan reman dibuat di Mahkamah Majistret Kuala Selangor dan suspek direman selama tujuh hari sehingga 22 Januari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Enggan beli rokok, makanan:Teman wanita dibelasah dengan topi keledar

    Enggan beli rokok, makanan:Teman wanita dibelasah dengan topi keledar

    HANYA kerana enggan membelikan makanan dan rokok, seorang wanita cedera dibelasah dengan topi keledar oleh teman lelakinya di Kampung Tanjung Che Lat, Tumpat, semalam.

    Selain itu mangsa yang 38 tahun turut disepak di peha kanan dan kiri serta dicakar pada muka termasuk luka pergelangan tangan.

    Kejadian berlaku pukul 2 petang apabila mangsa diminta datang ke rumah suspek sebelum berlaku perselisihan faham.

    Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Mohd. Azmir Damiri berkata, suspek berusia 30 tahun dikatakan bercinta dengan mangsa sejak dua tahun lalu.

    “Ketika mangsa berada di luar pagar rumah suspek, berlaku selisih faham antara mereka menyebabkan lelaki itu menyepak beberapa kali di bahagian peha kanan dan kiri teman wanitanya.

    “Mangsa juga mendakwa dipukul dengan menggunakan topi keledar di lengan kiri sebelum diheret dan turut dicakar di bahagian muka serta pergelangan tangan kanan untuk membawa wanita itu masuk ke halaman hadapan rumahnya.

    “Punca perselisihan faham berlaku adalah disebabkan mangsa enggan membeli makanan dan rokok seperti diminta suspek yang mengadu kelaparan,” katanya kepada BH, hari ini.

    Mohd. Azmir berkata, mangsa mendakwa teman lelakinya seorang panas baran serta penagih dadah.

    Katanya, mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Tumpat sebelum tampil membuat laporan di Balai Polis Tumpat pukul 4.15 petang semalam.

    “Polis sedang mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK),” katanya.

  • Kilang fabrikasi logam dikompaun RM32,000 cemar longkang awam

    Kilang fabrikasi logam dikompaun RM32,000 cemar longkang awam

    JABATAN Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang mengeluarkan kompaun sebanyak RM32,000 ke atas pemilik sebuah kilang fabrikasi logam di Kawasan Perindustrian Perai semalam selepas didapati mencemar longkang awam.

    Pengarah JAS Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, kilang itu didapati membasuh buangan skrap logam yang dicemari minyak mineral terpakai (kod SW 422) dan membuang efluen tanpa rawatan ke dalam longkang.

    Katanya, selain dikompaun pihaknya turut menahan operasi kelengkapan premis tersebut turut semasa siasatan dijalankan bertujuan menghentikan pencemaran perairan daratan daripada berterusan.

    kilang itu didapati membasuh buangan skrap logam yang dicemari minyak mineral terpakai (kod SW 422) dan membuang efluen tanpa rawatan ke dalam longkang

    “Pihak premis juga telah diarah untuk mengambil tindakan serta-merta bagi memastikan semua buangan terjadual yang dihasilkan diuruskan mengikut perundangan yang berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Jelas Sharifah Zakiah, premis tersebut didapati melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 dan bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009.

    Dalam pada itu, beliau  turut mengingatkan semua pengeluar buangan terjadual di Pulau Pinang supaya sentiasa menguruskan buangan terjadual yang dihasilkan mengikut tatacara pengurusan yang betul sebagaimana yang ditetapkan Ketua Pengarah Alam Sekeliling.

  • ADUN DAP mengaku ditahan polis tapi nafi ambil dadah

    ADUN DAP mengaku ditahan polis tapi nafi ambil dadah

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar, Terence Naidu menolak dakwaan beliau mengambil dadah di sebuah kelab malam di Perai, Bukit Mertajam Pulau Pinang.

    Sebagai wakil rakyat yang dipilih selama dua penggal, beliau amat menyedari tanggungjawab sebagai pemimpin dengan salah satunya mematuhi undang-undang negara.

    Dalam kenyataan media yang dikongsi menerusi Facebook miliknya hari ini, wakil rakyat DAP itu turut menegaskan akan mempertahankan diri untuk membuktikan dirinya tidak bersalah berhubung insiden penahanannya itu.

    “Sepertimana dilaporkan media, sayalah ADUN yang ditahan polis itu. Saya faham kekecewaan mereka di sekeliling saya yang berpunca daripada insiden ini bahawa saya dilaporkan ditahan kerana didapati positif dadah.

    “Saya tidak mengambil sebarang bentuk bahan terlarang dan sebenarnya saya sendiri juga terkejut ketika dimaklumkan bahawa ujian air kencing saya positif kerana saya ini merokok pun tidak.

    “Keadilan bukan sahaja perlu dilaksanakan, malah perlu nampak sebagai terlaksana. Jadi saya akan mempertahankan diri untuk membuktikan bahawa saya tidak bersalah,” katanya.

    Beliau berkata, satu laporan polis telah dibuat untuk menyatakan bahawa dirinya berkemungkinan terdedah kepada anasir mencurigakan yang membawa kepada insiden itu.

    Katanya, ada saksi mendakwa terdapat seseorang telah datang ke mejanya dan mengisi gelas minuman miliknya yang disifatkan sebagai minuman ‘aneh’.

    “Saksi tersebut telah pun memberi kenyataan kepada polis. Berikutan itu, saya telah memohon polis untuk menyiasat perkara tersebut dan orang ramai boleh menilai keadaan sebenar yang berlaku.

    “Saya diundang ke sana untuk perjumpaan dan makan Tahun Baharu Cina bersama rakan-rakan. Di sana saya dihidangkan minuman yang ‘aneh’. Saya tidak meminumnya selepas merasa sedikit,” katanya.

    Dalam kenyataan itu, Terence Naidu, 54, turut menyatakan kesediaan untuk digantung keahlian dalam DAP demi menjaga nama baik parti agar tidak terheret sama dalam kes itu.

    Bagaimanapun jelasnya, tugas sebagai wakil rakyat akan terus dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab selain tetap berpendirian bahawa dadah adalah masalah sosial yang harus ditentang.

    “Saya berterima kasih kepada kepimpinan parti atas sokongan dan kepercayaan mereka. Berkenaan dengan pendirian DAP Perak menuntut saya memberi penjelasan akan saya patuhi.

    “Buat penyokong yang mengenali saya secara peribadi terutamanya penduduk Pasir Bedamar, saya dengan rendah hati memohon maaf kerana meletakkan diri dalam posisi yang berbahaya,” katanya.

  • Mayat tersangkut pada ranting pokok di tepi sungai

    Mayat tersangkut pada ranting pokok di tepi sungai

    SEORANG pemancing terkejut apabila menemukan satu mayat tersangkut pada ranting pokok di tepi Sungai Kuala Selangor, Kuala Selangor, hari ini.

    Kejadian pada pukul 9.20 pagi itu disedari pemancing yang mencari udang di sekitar kawasan berkenaan.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 9.31 pagi.

    “Sepasukan tujuh anggota dan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor dikerahkan ke lokasi kejadian dalam operasi mencari mangsa berusia lingkungan 40-an.

    “Pemeriksaan mendapati mayat lelaki yang belum dikenal pasti identiti tersangkut di ranting pokok tepi sungai terbabit.

    “Anggota bomba dengan bantuan polis dan bot nelayan tempatan berjaya mengeluarkan mayat mangsa pada 1 petang,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, mayat kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

    “Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tanjong Karang (HTK) untuk bedah siasat,” katanya.

  • Penganggur rogol remaja selepas kenal menerusi Instagram

    Penganggur rogol remaja selepas kenal menerusi Instagram

    SEORANG penganggur merogol seorang remaja perempuan berusia 13 tahun yang dikenalinya di Selama, Lumut, Selasa lalu.

    Difahamkan mangsa mula mengenali suspek yang juga penduduk tempatan di kawasan itu sejak setahun lalu menerusi aplikasi Instagram.

    Kejadian itu bagaimanapun terbongkar apabila ibu mangsa terbaca mesej yang mencurigakan dalam telefon bimbit anaknya itu sebelum membuat laporan polis.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

    Menurutnya, suspek yang berusia 30-an itu ditangkap Selasa lalu dan merampas sebuah kereta yang digunakan dalam kejadian itu.

    “Suspek direman selama tujuh hari sehingga Isnin ini dan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

    “Siasatan kes ini sudah pun lengkap dan kertas siasatan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika ditemui pada Program High Profile Policing (HPP) dan kayuhan komuniti Ketua Polis Perak di Pulau Pangkor, hari ini.

  • Ketirisan bekalan minyak masak bersubsidi: KPDNHEP sedang siasat – Rosol

    Ketirisan bekalan minyak masak bersubsidi: KPDNHEP sedang siasat – Rosol

    PERMINTAAN tinggi minyak masak terpakai untuk pasaran biodiesel menyebabkan ada pemborong dan syarikat pembungkus semula disyaki sanggup menjual minyak masak bersubsidi demi mengaut keuntungan mudah.

    Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Rosol Wahid berkata harga sekilogram minyak masak terpakai untuk pasaran biodiesel ialah kira-kira RM4.50.

    “Harga minyak masak bersubsidi dalam peket satu kilogram pula hanya RM2.50. Mereka dipercayai mendapat keuntungan yang banyak dengan tindakan tidak bertanggungjawab ini.

    “Taktik baharu itu dikesan hasil siasatan pegawai kementerian yang turun padang susulan berlakunya kekurangan bekalan minyak masak bersubsidi di beberapa negeri seperti Perak, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan ketika ini.

    “Siasatan terperinci sedang dilakukan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Program Jualan Keluarga Malaysia di Pusat Dagangan Ajil yang turut dihadiri Pengarah KPDNHEP Terengganu Saharuddin Mohd Kia, di Kuala Berang, hari ini.

    Beliau berkata kekurangan bekalan di negeri terbabit juga adalah disebabkan penyelewengan oleh segelintir pemborong atau pembungkus semula yang disyaki menjual minyak masak bersubsidi secara terus kepada pengusaha restoran dan kedai makan.

    “Kita masih siasat siapa sebenarnya yang lakukan kesalahan ini sama ada pemborong atau pembungkus semula kerana minyak masak bersubsidi dalam peket adalah untuk kegunaan isi rumah sahaja dan bukan untuk golongan peniaga.

    “Perkara ini dilaporkan berlaku di bandar-bandar besar dan KPDNHEP sedang menjalankan siasatan terperinci.

    “Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang terlibat,” katanya sambil menambah sejak 2020, sebanyak 15 syarikat pemborong dan pembungkus semula minyak masak bersubsidi telah digantung lesennya manakala lesen lima lagi syarikat ditarik balik kerana pelbagai kesalahan yang dilakukan.

    Rosol berkata ketirisan bekalan stok minyak masak bersubsidi dalam peket juga berlaku kerana tindakan pemborong atau pembungkus semula memindahkannya ke dalam botol untuk dijual pada harga lebih mahal yang berjaya dibongkar melalui operasi selama ini.

    “KPDNHEP memandang serius perkara ini dan ia sangat menyedihkan kerana menjejaskan golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) untuk mendapatkan minyak masak pada harga berpatutan.

    “Sepanjang siasatan dijalankan, pemborong atau pembungkus semula yang terlibat akan digantung sementara lesen mereka dan kuota pengeluaran minyak masak bersubsidi akan diambil alih oleh syarikat lain bagi memastikan bekalan adalah stabil di pasaran,” katanya.- Bernama

  • Tular OKT cuba lari, polis siasat anggota disyaki cuai

    Tular OKT cuba lari, polis siasat anggota disyaki cuai

    SIASATAN akan dilakukan terhadap anggota polis yang disyaki cuai membabitkan kejadian seorang orang kena tahan (OKT) cuba melarikan diri di hadapan Klinik Kesihatan Beranang, Semenyih, Selasa lalu.

    Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, siasatan perlu dilakukan sebelum tindakan tatatertib diambil.

    “Sebelum tindakan tatatertib diambil, kita kena siasat mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi.

    Media sebelum ini melaporkan seorang OKT cuba melarikan diri ketika menaiki lori polis di hadapan klinik berkenaan selepas melakukan ujian saringan Covid-19.

    Bagaimanapun, cubaan itu gagal apabila OKT berkenaan berjaya ditahan semula pada jarak 50 meter dari lokasi kejadian.

    Kejadian itu turut tular menerusi satu video berdurasi 38 saat yang dimuat naik di aplikasi TikTok.

  • Kertas siasatan ADUN Perak positif dadah dijangka siap minggu depan

    Kertas siasatan ADUN Perak positif dadah dijangka siap minggu depan

    KERTAS siasatan kes melibatkan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak yang ditahan di Pulau Pinang susulan positif dadah dalam serbuan di sebuah pusat karaoke keluarga di Perai dijangka diserahkan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya minggu hadapan.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, pihaknya ketika ini sedang melengkapkan kertas siasatan kes tersebut.

    Jelas beliau, siasatan lanjut berhubung kes itu masih dijalankan dan pihaknya sedang menunggu laporan patologi untuk tindakan selanjutnya.

    “Kes ini masih dalam siasatan dan kita sedang menunggu laporan patologi, kertas siasatan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwaraya setelah siasatan dilengkapkan dan laporan patologi diperolehi pada minggu hadapan,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Mustafa Kamal Gani berkata, ADUN berusia 54 tahun itu juga sudah dibebaskan semalam selepas direman sehari.

    Turut dibebaskan tambahnya, dua anggota polis masing-masing dari kontinjen Pulau Pinang dan Perak yang turut ditahan dalam serbuan sama.

    Katanya, kesemua 36 yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB )1952.

    Semalam, polis mengesahkan seorang ADUN Perak ditahan susulan positif dadah dalam serbuan di pusat hiburan keluarga di Perai, Pulau Pinang oleh sepasukan polis dari Jabatan Integriti dan pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.

    Seramai 48 individu ditahan dengan 36 daripadanya berkaitan kes narkotik manakala 12 lagi berkaitan kes jenayah.

  • 18 PATI warga Myanmar ditahan depan sekolah agama

    18 PATI warga Myanmar ditahan depan sekolah agama

    CUBAAN membawa 18 pendatang tanpa izin (PATI) warga Myanmar dengan menggunakan dua buah kenderaan gagal apabila berjaya ditahan Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan di hadapan sebuah sekolah agama di Pasir Mas, semalam.

    Menurut Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA Kuantan, Superintendan Azhari Nusi, menerusi serbuan pukul 1 petang itu, PATI berkenaan dibawa menggunakan dua buah kenderaan utiliti serbaguna jenis Starex dan dipandu dua pemandu warga tempatan beralamat di Johor Bahru.

    “Pemeriksaan mendapati kenderaan pertama dinaiki sembilan individu termasuk pemandu manakala kenderaan kedua dinaiki 11 individu termasuk pemandu.

    “Hasil pemeriksaan mendapati kesemua warganegara Myanmar berkenaan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan dipercayai diseludup masuk ke Malaysia dari negara jiran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, turut dirampas sebuah telefon bimbit Iphone, Huawei dan Poco F3 dengan nilai keseluruhan sebanyak RM165,000 termasuk dua kenderaan tersebut.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 26A Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.