Category: Jenayah

  • Siasat masalah pencemaran di Kuala Kurau jejas pendapatan nelayan

    Siasat masalah pencemaran di Kuala Kurau jejas pendapatan nelayan

    PERSATUAN Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak menyiasat segera masalah pencemaran sisa buangan dari kilang memproses udang dan sotong di Batu 12½, Jalan Pantai Kuala Kurau.

    Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, masalah yang berlarutan sejak lebih 10 tahun yang itu telah menimbulkan kebimbangan lebih 100 nelayan pantai di kawasan tersebut kerana mencemarkan laut berhampiran yang menjadi tempat mereka mencari rezeki.

    Ujar beliau, pihaknya dimaklumkan nelayan terlibat ketika tinjauan dilakukan yang mana pengusaha kilang di situ membuang sisa itu ke laut melalui saluran paip dan parit berdekatan.

    Tambahnya, nelayan terbabit turut mendakwa sumber pendapatan mereka berkurangan hampir 50 peratus setiap kali kawasan tangkapan di situ dilanda pencemaran terbabit.

    “Selain itu, mereka turut mengalami kerugian besar kerana sisa buangan dari kilang berkenaan melekat pada jaring dan tidak boleh digunakan lagi.

    “Bahan buangan tersebut juga menimbulkan bau busuk disamping menjejaskan pembiakan ikan, udang, ketam serta siput yang menjadi sumber tangkapan utama nelayan-nelayan di situ dan penduduk tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tambah Mohideen, CAP kesal dengan kejadian itu walaupun sudah lama berlaku dan dihadapi oleh nelayan-nelayan di kawasan terbabit, namun hingga sekarang tidak ada tindakan berkesan yang diambil.

    Jelasnya, CAP percaya jika masalah itu dibiarkan akan merebak dan boleh mengancam alam sekitar serta menjejaskan kehidupan nelayan dengan lebih serius lagi pada masa akan datang.

    “Kita berharap siasatan segera dilakukan oleh JAS Perak dan tindakan tegas perlu diambil jika pengusaha kilang di situ didapati bersalah melanggar peraturan-peraturan yang termaktub dibawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya.

    Dalam masa sama jelasnya, pemantauan yang berterusan perlu dilakukan oleh JAS Perak; Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memastikan pihak kilang tidak sewenang-wenangnya membuang sisa buangan dan masalah itu tidak berulang.

    Selain itu tambahnya, Jabatan Perikanan juga perlu campur tangan supaya nasib nelayan-nelayan di kawasan berkenaan terbela dan pampasan yang setimpal wajar diberikan kepada mereka yang mengalami kerugian akibat pencemaran itu.

  • SPRM tahan pengurus syarikat kemuka butiran palsu

    SPRM tahan pengurus syarikat kemuka butiran palsu

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Batu Pahat telah menahan seorang pengurus sebuah syarikat bagi membantu siasatan kerana disyaki mengemukakan butiran palsu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di sebuah daerah bagi mendapatkan kerja-kerja membaik pulih jambatan di Yong Peng bernilai lebih RM150,000.

    Menurut sumber, suspek lelaki yang berusia 35 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Johor Bahru kira-kira pada pukul 5 petang tadi selepas hadir memberikan keterangan.

    Difahamkan, suspek telah mengemukakan kebenaran menyertai tender yang mengandungi butiran palsu kepada PBT terbabit bagi mendapatkan kerja-kerja berkenaan pada April tahun lalu.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 (ASPRM 2009)

    Sementara itu, dalam kes berasingan, SPRM Batu Pahat juga telah menahan seorang warga Bangladesh berusia 34 tahun kerana disyaki menyogok pegawai penguat kuasa sebuah PBT berjumlah hampir RM300.

    Suspek lelaki yang juga bekerja sebagai seorang pembantu kedai runcit di Skudai telah melakukan perbuatan itu sebagai dorongan untuk tidak dikenakan kompaun oleh pegawai penguat kuasa terbabit kerana telah menjual arak dan rokok tanpa cukai yang melanggar Seksyen 107 Akta Kerajaan Tempatan 1976.

    Suspek telah ditahan di Pejabat SPRM Johor pada pukul kira-kira 2.30 petang tadi selepas hadir memberikan keterangan.

    Kes disiasat dibawah Seksyen 17 (b) ASPRM 2009

    Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Dato’ Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan kedua-dua penahanan terbabit.

  • Lapan individu ditahan bantu siasatan penjualan sijil digital vaksin tidak sah

    Lapan individu ditahan bantu siasatan penjualan sijil digital vaksin tidak sah

    POLIS menahan lapan individu termasuk tiga pekerja sebuah klinik swasta di sini bagi membantu siasatan berkaitan aktiviti penjualan sijil digital vaksin COVID-19 tidak sah dan tanpa suntikan, pada Isnin hingga semalam.

    Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata enam wanita dan dua lelaki berusia lingkungan 24 hingga 42 tahun termasuk lima pembeli itu ditahan berasingan selepas polis menerima laporan mengenai kegiatan tersebut daripada pemilik klinik pada 10.53 malam, Ahad lepas. 

    Beliau berkata pihaknya kini sedang memburu 30 individu yang telah membeli sijil vaksin digital tanpa suntikan temasuk seorang lelaki berusia 44 tahun yang dipercayai menjadi dalang. 

    “Kegiatan penjualan sijil digital vaksin COVID-19 tidak sah itu dipercayai telah beroperasi selama sebulan dan menyasarkan golongan yang enggan menerima suntikan vaksin atau antivaksin.

    “Difahamkan setiap individu yang ingin mendapatkan sijil itu perlu membayar antara RM300 hingga RM650 manakala orang tengah yang bertindak mencari pelanggan pula akan menerima komisen RM125 bagi setiap sijil digital yang diperoleh,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

    Kamarul Zaman berkata dua pekerja klinik terbabit direman empat hari hingga Jumaat ini manakala pihaknya akan memohon reman ke atas seorang lagi pekerja hari ini.

    Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan/Seksyen 511 Kanun Keseksaan dan siasatan juga menjurus kepada kesalahan di bawah Seksyen 22 (d) Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988.

    Sehubungan itu, beliau turut menyeru individu yang telah membeli sijil digital vaksin tanpa suntikan supaya tampil dan menyerah diri di balai polis berhampiran.

    — BERNAMA

  • Kemuka dokumen palsu kepada sebuah kementerian, pengarah syarikat ditahan SPRM

    Kemuka dokumen palsu kepada sebuah kementerian, pengarah syarikat ditahan SPRM

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan seorang pengarah sebuah syarikat bagi membantu siasatan kerana disyaki mengemukakan dokumen palsu kepada sebuah kementerian di Putrajaya bagi proses tuntutan pembayaran balik subsidi minyak masak sawit tulen berjumlah lebih RM25,000.

    Menurut sumber, suspek wanita yang berusia 47 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Johor Bahru pada pukul 2 petang tadi selepas hadir memberikan keterangan.

    Difahamkan, suspek telah mengemukakan dokumen palsu berbentuk invois dengan menggunakan nama syarikat lain kepada kementerian terbabit bagi proses tuntutan tersebut, sepanjang tahun 2019.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Dato’ Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan berkata kes disiasat dibawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

    Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, esok, bagi mendapatkan permohonan reman.

  • Gangguan seksual: Kertas siasatan babitkan ADUN dilengkapkan minggu ini

    Gangguan seksual: Kertas siasatan babitkan ADUN dilengkapkan minggu ini

    SIASATAN berhubung kes gangguan seksual membabitkan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini terhadap seorang wanita ahli sebuah parti politik, akan dilengkapkan minggu ini.

    Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata setakat ini, beberapa individu termasuk ADUN serta wanita berkenaan sudah dipanggil bagi memberi keterangan dan melengkapkan siasatan berkaitan dakwaan itu. 

    “Setakat ini, siasatan masih dijalankan dan beberapa individu telah kami panggil untuk merakam percakapan berhubung kes ini.

    “Kami masih lagi menyiasat, insya-Allah siasatan dilakukan secara adil dan mungkin memerlukan masa dua tiga hari untuk diselesaikan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini. 

    Isnin lepas, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora mengesahkan menerima laporan polis dibuat wanita berusia 26 tahun itu di Balai Polis Kota Tinggi.

    Sebelum ini, tular mengenai gangguan seksual seorang mangsa dipercayai ahli sebuah parti politik di Johor, yang mendakwa telah beberapa kali diganggu secara seksual oleh ADUN terbabit. 

    Bagaimanapun, ADUN berkenaan telah menafikan dakwaan itu dan menyatakan ia satu konspirasi politik, fitnah serta cubaan untuk menjatuhkan maruahnya sebagai ahli politik. 

    — BERNAMA

  • Imigresen tahan 14 pelacur warga asing di Subang Jaya

    Imigresen tahan 14 pelacur warga asing di Subang Jaya

    JABATAN Imigresen menahan 13 wanita dan seorang lelaki warga asing yang disyaki terlibat dalam kegiatan pelacuran dalam serbuan di dua hotel bajet di Subang Jaya, Selangor, malam tadi.

    Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata mereka yang terdiri daripada 12 wanita warganegara Thailand, seorang wanita Myanmar serta seorang lelaki Britain berusia 21 hingga 69 tahun ditahan pada 8.45 malam menerusi Ops Gegar yang dijalankan serentak di kedua-dua premis.

    Beliau berkata pihak Imigresen turut mengeluarkan notis hadir memberi keterangan kepada tiga pelanggan lelaki tempatan dan hasil risikan mendapati premis itu dikunjungi pelanggan terdiri daripada warga tempatan dan asing.

    “Pakej perkhidmatan seks ditawarkan pada harga RM200 hingga RM270 bagi tempoh 45 minit dan RM950 bagi langganan ‘outcall’ bermula dari 10 malam hingga 7 pagi. Pelanggan membuat tempahan melalui laman sesawang dan Telegram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Khairul Dzaimee berkata semasa serbuan, kesemua wanita berkenaan enggan membuka pintu bilik dan membuat provokasi serta memberikan pelbagai alasan untuk melepaskan diri.

    Beliau berkata serbuan turut menemukan sejumlah kondom dan cecair pelincir bagi tujuan layanan seks.

    Katanya semua mereka dihantar ke Depot Imigresen Bukit Jalil, di sini untuk siasatan mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

    — BERNAMA

  • Kehilangan budak perempuan Orang Asli masih misteri

    Kehilangan budak perempuan Orang Asli masih misteri

    KEHILANGAN kanak-kanak perempuan Orang Asli dalam hutan di Kampung Selaur berhampiran Kampung Padang Jeri di Gerik masih menjadi misteri apabila operasi mencari dan menyelamat (SAR) gagal menemukannya walaupun sudah memasuki hari keenam hari ini.

    Kamaliah Anab, 10, yang berambut keriting dan tinggal di Hutan Temenggor Kampung Selaur kali terakhir dilihat memakai baju kuning dan berseluar biru.

    Ketua Polis Daerah Gerik, Supt Zulkifli Mahmood berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kehilangan Kamaliah pada kira-kira 10 pagi Jumaat lepas iaitu sehari selepas dia keluar mencari sumber makanan dan hasil hutan seperti rotan bersama keluarga dan rakan sebayanya.

    “Mangsa (Kamaliah) disedari hilang selepas keluarganya pulang ke rumah. Pada hari kejadian, orang kampung ada mencari mangsa di kawasan sekitar berdekatan Hutan Temenggor namun gagal menjumpainya,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Beliau berkata, polis bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta pihak Sapura telah memulakan pencarian selepas menerima laporan namun belum memperoleh sebarang petunjuk.

    “Pasukan SAR turut dipergiat dengan penglibatan Batalion 3 Pasukan Gerakan Am Senoi Praaq dan Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM,” katanya.

    Sementara itu, Jurucakap JBPM Perak berkata operasi pencarian yang diketuai pihak polis diteruskan pada 8.40 pagi tadi dalam jarak lapan kilometer.

    “Operasi hari ini dijalankan dengan bantuan unit dron dari agensi luar bagi memudahkan pencarian di udara,” katanya. – BERNAMA

  • 3 nelayan asing ditahan ceroboh perairan negara

    3 nelayan asing ditahan ceroboh perairan negara

    Oleh RIZQI ZABIDI

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis menahan tiga nelayan asing yang menceroboh perairan negara dan menangkap ikan secara haram dekat Langkawi, Ahad lalu.

    Pengarah Maritim Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi bin Abdullah berkata, bot nelayan asing tanpa nombor pendaftaran itu dikesan pada kedudukan kira-kira dua batu nautika barat laut, Tanjung Langgun pada jam 11.32 malam.

    Katanya, sebaik menerima pengesanan bot tersebut dari radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA), sebuah aset APMM yang sedang melakukan rondaan diatur gerak ke lokasi kejadian dan mendapati sebuah bot dalam keadaan mencurigakan sedang leka menarik pukat.

    “Hasil pemeriksaan mendapati bot nelayan asing berwarna merah tanpa nombor pendaftaran itu dikendalikan tiga lelaki warga Thailand berusia antara 21 hingga 49 tahun tanpa sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

    “Pemeriksaan lanjut ke atas dokumen kapal mendapati tekong bot turut gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran yang sah dan disyaki telah melakukan aktiviti menangkap ikan secara haram,” katanya dalam kenyataan di, sini, hari ini.

    Mohd Zawawi berkata, pihaknya kemudian mengambil tindakan merampas bot yang berukuran 15 meter panjang dan 2.7 meter lebar bersama 10 kilogram hasil tangkapan.

    Katanya, bot itu diiringi masuk ke Jeti Maritim, Bukit Malut untuk siasatan lanjut.

    Jelas beliau, kes itu akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

    “APMM memandang serius aktiviti jenayah rentas sempadan terutamanya di jalur perairan negara jiran.

    “Pihak kami juga mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim setempat untuk melaporkan sebarang jenayah mahupun kecemasan di laut secara terus ke talian Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-9662750 atau MERS 999,” katanya.

  • Video tular kanak-kanak tahan kenderaan, polis minta buat laporan

    Video tular kanak-kanak tahan kenderaan, polis minta buat laporan

    ORANG ramai diminta membuat laporan sekiranya mempunyai maklumat berhubung video tular seorang kanak-kanak yang meluru ke jalan raya dan menahan kenderaan dipercayai berlaku di Pasir Gudang, petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, video berdurasi 27 saat yang dirakam menggunakan kamera perakam video sebuah kenderaan itu, tular di Facebook sebuah portal berita hari ini.

    Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku semalam pada 5.46 petang di Jalan Bandar, Pasir Gudang berhampiran Taman Tasik Layang-Layang di sini.

    “Bagaimanapun, setakat ini pihak polis tidak menerima sebarang laporan mengenai kejadian tersebut dan berdasarkan video tersebut tiada sebarang kemalangan direkodkan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

    Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu tampil membuat laporan di balai polis berhampiran.

    Terdahulu, video tersebut memaparkan seorang kanak-kanak yang kelihatan seperti kanak-kanak lelaki secara tiba-tiba meluru ke lorong kanan jalan lalu menahan kenderaan dan kemudiannya terus beredar. – Bernama

  • Polis siasat video tular, lelaki dibelasah sekumpulan individu

    Polis siasat video tular, lelaki dibelasah sekumpulan individu

    POLIS sedang menyiasat video tular dalam media sosial yang memaparkan kejadian seorang lelaki dipukul sekumpulan individu lain, dipercayai berlaku di sebuah pusat beli-belah di Ipoh.

    Video terbabit disebarkan oleh pemilik akaun laman media sosial Facebook bernama Melvin Zheng Wenxin sehingga mendapat perhatian umum.

    Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan: “Polis mengesahkan satu laporan polis diterima dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan atau Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    “Pada masa yang sama, siasatan dijalankan bagi mengesan individu yang terbabit dalam kejadian itu untuk membantu siasatan,” katanya.

    Juateru katanya, orang awam disarankan tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes ini kerana akan menjejaskan siasatan polis.

    “Kita ingin menyeru kepada mangsa dalam kes ini dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian terbabit untuk tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh atau menghubungi pegawai penyiasat kanan, Asisten Superintendan Norshaharah Marzuki menerusi talian 012-5077026 bagi membantu siasatan polis.

    Terdahulu tular media sosial video berdurasi satu minit lima saat memaparkan video seorang lelaki dipukul sekumpulan individu.