IMPIAN seorang penjaga stor sebuah syarikat kurier untuk memiliki sebuah motosikal musnah selepas diperdaya dalam urusan pembelian kenderaan yang dipercayai tidak wujud, kelmarin.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa, 26, bukan sahaja gagal menerima motosikal jenis Yamaha Y125Z yang dibeli malah turut menanggung kerugian RM5,500.
“Mangsa berminat untuk memiliki motosikal tersebut selepas melihat iklan penjualannya melalui laman sosial Facebook.
“Kemudian mangsa menghubungi penjual bernama Firdaus melalui nombor telefon yang tertera pada ilkan untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang harga dan cara pembayaran.
“Selepas berbincang, mangsa bersetuju untuk membeli motosikal itu dengan harga RM5,500 dan segera membuat pembayaran sebagai tanda jadi.
“Mangsa membuat bayaran sebanyak dua kali melalui mesin deposit tunai di cawangan sebuah bank di Kuantan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd. Wazir berkata, selepas bayaran dibuat, mangsa menghubungi penjual namun lelaki itu gagal dihubungi.
“Mangsa curiga dan syak telah ditipu tampil membuat laporan polis di Balai Polis Kuantan semalam dan kes dibuka kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
SEORANG pendatang asing tanpa izin (PATI) bertindak lari meninggalkan anaknya untuk menyelamatkan diri selepas panik ketika pasukan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) melakukan serbuan tidur di sebuah rumah di perkampungan setinggan di Segambut Bahagia Tambahan, Kuala Lumpur awal pagi ini.
Semasa serbuan wanita berkenaan tidak sempat membawa lari anak lelakinya yang berusia tujuh tahun dan sedang nyenyak tidur dalam sebuah bilik.
Bagaimanapun, pegawai Imigresen berjaya menemui ibunya yang merupakan seorang warga Indonesia sedang bersembunyi dalam sebuah lubang yang digali di bawah rumahnya.
Pelbagai helah digunakan, antaranya ada yang terjun ke dalam longkang, menyorok di dalam almari, dan memanjat bumbung untuk mengelak daripada ditahan.
Sementara itu, Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Syamsul Badrin Mohshin berkata, seramai 211 individu diperiksa manakala 106 PATI warganegara Indonesia, terdiri daripada 45 lelaki dan 61 wanita berusia lingkungan sebulan hingga 55 tahun ditahan dalam operasi yang bermula sekitar jam 2 pagi.
“Kita terima aduan berkenaan penempatan haram ini dan selepas itu pegawai kita pun dah masuk buat risikan sebelum serbuan,” katanya kepada media ketika ditemui di lokasi serbuan, hari ini.
Beliau berkata, rata-rata PATI terbabit bekerja dalam sektor pembersihan dan pembinaan serta dipercayai ada yang sudah menetap secara haram di perkampungan setinggan tersebut sehingga lima tahun.
“Mereka (PATI) ini menyewa di sini antara RM200 hingga RM300 sebulan malah ada antara mereka yang tiada langsung dokumen perjalanan,” katanya.
Katanya, penempatan tersebut dipercayai sudah wujud sejak 15 tahun lalu dan kini dianggarkan sekitar 100 buah rumah setinggan dibina secara bertingkat-tingkat di kawasan tersebut.
“Dulu warga Malaysia duduk tetapi lama-kelamaan dipenuhi PATI, mungkin warganegara kita sewakan kepada mereka dan kita akan siasat dengan siapa dia menyewa serta kenal pasti siapa yang bina rumah berkenaan,” ujarnya.
Kesemua tangkapan akan ditahan di Depoh Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) kerana tiada dokumen perjalanan yang sah dan Seksyen 15(1)(c) kerana tinggal lebih masa.
SEORANG bekas pembantu penguat kuasa sebuah agensi kerajaan direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes memalsukan butiran dalam penyata akaun bank syarikat sejak 2019.
Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), permohonan reman terhadap suspek lelaki berusia 35 tahun itu dibenarkan Majistret Mohamad Farid Lateef bermula hari ini sehingga 27 Jan depan.
“Suspek ditahan semalam pada 10.30 pagi di Pejabat SPRM Kuala Lumpur semasa hadir memberi keterangan siasatan ke atasnya dipercayai menerima rasuah kira-kira RM20,000 setiap bulan untuk tempoh 20 bulan sejak Julai 2019.
“Ia sebagai dorongan bagi meluluskan tender kontrak sebuah syarikat pembersihan di Kedah yang dianggarkan bernilai RM3.1 juta,” menurut sumber itu.
SPRM kini sedang memperoleh penyata akaun bank terbabit, selain merakam pernyataan beberapa saksi dan tidak menolak kemungkinan tangkapan susulan akan dilakukan dalam masa terdekat.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Shaharom Nizam Abd Manap mengesahkan tangkapan berkenaan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 kerana menerima rasuah.
Pada 11 Jan lalu, SPRM telah menahan 21 individu manakala seorang lagi ditahan reman pada 16 Jan lalu bagi membantu siasatan kes sama.
JAWATANKUASA Pilihan Khas Parlimen mengenai Kewangan dan Ekonomi (PSSC) akan memanggil Suruhanjaya Sekuriti (SC) bagi mendapatkan penjelasan berkenaan kes pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.
Timbalan Pengerusinya, Wong Cheng berkata, proses untuk mengadakan siasatan telah dimulakan pada hari ini dan perkara itu telah dibincangkan dengan Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Hasan Arifin.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Subang juga dilaporkan berkata, ini bagi membawa kepada keputusan untuk memanggil SC supaya menjelaskan siasatannya yang baru selesai terhadap Azam.
“Jadi proses sudah bermula, saya bercakap dengan urusetia PSSC pagi ini. Sekretariat sedang menulis surat kepada Kementerian Kewangan sebagai ihsan.
“Mereka juga sedang menghubungi semua ahli Parlimen yang terlibat untuk menentukan tarikh dan masa yang sesuai untuk mereka (mengadakan sesi siasatan),” katanya memetik Malaysiakini.
Sementara itu, Wong Cheng menerusi ciapan di Twitter berkata, langkah memanggil SC adalah disebabkan kenyataan pihak berkuasa mengenai kes Azam tidak memuaskan dan SC perlu memberikan keterangan dan butiran lanjut.
“Soalan utama yang perlu dijawab oleh SC ialah apakah ‘bukti bebas’ yang mereka kumpulkan yang kemudian membimbing mereka kepada kesimpulan bahawa Azam Baki tidak melakukan kesalahan.
“Adakah mereka menemu bual Azam Baki? Adakah mereka bercakap dengan mana-mana pihak ketiga lain seperti broker dan jurubank? Dokumen perdagangan apa yang mereka semak?” katanya.
Menurutnya, persoalan itu penting untuk dijawab SC, terutama sama ada mereka telah menemu bual Azam sebelum menyelesaikan siasatan atau tidak kerana ia akan menentukan sama ada Azam telah berbohong kepada orang ramai apabila mendakwa beliau bertindak sebagai penama untuk adiknya.
“Sekiranya SC menemu bual Azam Baki, maka Azam Baki pasti telah meyakinkan SC bahawa perdagangan itu adalah semata-mata miliknya dan bukan bagi pihak adiknya.
“Jika ini yang sebenarnya berlaku, SC akan berada dalam kedudukan untuk tidak membenarkan apa-apa lagi tindakan terhadap Azam Baki,” katanya.
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seramai 22 individu berhubung kes penyelewengan geran dana program pembangunan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) di bawah Kementerian Perpaduan Negara.
Suspek ditahan sekitar negeri Perak, Selangor, Kedah, Johor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka dalam operasi Mitra 2.0 semalam.
Menurut sumber SPRM, suspek ditahan bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana peruntukan bagi program pembangunan sosioekonomi masyarakat India B40 di bawah Kementerian Perpaduan Negara.
“Individu yang ditahan melibatkan pengarah syarikat, presiden serta setiausaha persatuan dan pertubuhan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Difahamkan operasi yang dinamakan Mitra 2.0 ini menumpukan kepada baki 17 syarikat dan pertubuhan yang tergolong dalam kumpulan yang telah menerima dana berjumlah RM1 juta hingga RM9 juta.
Media pada 7 Disember melaporkan bahawa siasatan berhubung penyelewengan dana Mitra berada di peringkat akhir.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihak pendakwa raya bersetuju untuk membuat pendakwaan dan lebih sembilan individu yang terlibat bakal dituduh di mahkamah awal tahun ini.
Isu Mitra mula hangat diperdebatkan semasa sesi penggulungan Bajet 2022 Kementerian Perpaduan di Parlimen berikutan beberapa ahli Parlimen pembangkang tidak berpuas hati dengan jawapan Datuk Halimah Mohamed Sadique berhubung perkara tersebut.
Menurut sumber berkenaan lagi, sebanyak 337 syarikat, persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) dikenal pasti menerima peruntukan dari dana dianggarkan berjumlah RM203 juta sejak tahun 2019 hingga 2021.
Katanya, peruntukan paling tinggi yang diluluskan ialah pada 2019 iaitu melebihi RM90 juta yang diberikan kepada 205 syarikat, persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) dengan lapan daripada mereka menerima dana melebihi RM1 juta.
“Fokus siasatan dalaman ini akan meneliti semua bentuk permohonan, laporan perbelanjaan dan program yang dikatakan telah dilaksanakan oleh penerima geran peruntukan Mitra dari tahun 2019 hingga 2021.
“SPRM telah bekerjasama dengan Kementerian Perpaduan Negara dengan menubuhkan pasukan khas siasatan dalaman bagi memberikan tumpuan ke atas 310 syarikat yang telah menerima peruntukan di bawah RM1 juta,” katanya.
Menurutnya, daripada 22 suspek tersebut, seramai enam individu direman antara empat ke enam hari manakala 16 lagi dibebaskan dengan jaminan SPRM.
POLIS sedang melakukan siasatan terhadap perkongsian seorang lelaki menerusi Facebook Live di sebuah kedai di Sayong Lembah, Kuala Kangsar yang mendakwa bakal berlaku perhimpunan ulama dan Imam Mahdi akan muncul.
Siasatan awal polis mendapati, siaran langsung berdurasi 8 minit 56 saat itu dilakukan ketika individu berkenaan mengunjungi sebuah kedai yang menjual pelbagai senjata antaranya pedang dan keris.
Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, pihaknnya telah mengarahkan ketua jabatan siasatan jenayah negeri dan Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar untuk jalankan siasatan.
“Benda ini (video) memang dibuat di Sayong Lembah, Kuala Kangsar. Polis akan dapatkan maklumat lanjut berhubung perkara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Program High Profile Policing (HPP) Solat Jumaat Polis Perak bersama penduduk Lubuk Merbau di Masjid Jamek Al-Marbawi, Kuala Kangsar, hari ini.
Ditanya kemungkinan perkongsian video itu ada kaitan dengan ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) Sittah Annur, Mior Faridalathrash berkata, perkara itu masih dalam siasatan.
“Biar kita siasat dulu, nanti kita akan kongsikan (butiran siasatan).
“Siasatan perkara berkaitan tular menggunakan rangkaian tidak wajar ini biasanya akan dilakukan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
Sejak Khamis tular dalam media sosial video seorang lelaki menunjukkan koleksi pedang dan keris yang dijual di sebuah kedai di Sayong Lembah, Kuala Kangsar.
Dalam rakaman itu, individu terbabit memberitahu bakal berlaku sebuah perhimpunan dihadiri hampir 300 ulama untuk menyaksikan kebangkitan khalifah Allah iaitu Imam Mahdi.
Dia turut meminta agar orang ramai mempersiapkan diri dengan busur panah dan pedang bagi menyahut seruan jihad daripada Imam Mahdi.
“Sesiapa yang belum ada busur dan pedang, silalah dapatkan sekarang.
“Kalau tak ada busur panah, ikhtiarlah untuk miliki pedang, RM265 sahaja siap pos,” kongsinya merujuk kepada pedang yang dijual di premis itu.
PIHAK polis telah memutuskan untuk menutup beberapa jalan utama dan stesen kereta api di Kuala Lumpur pada Sabtu sebagai langkah untuk menghalang perancangan beberapa pihak tertentu untuk mengadakan demonstrasi terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam baki.
Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, semua trafik akan dilencongkan dari Jalan Kuching, Jalan Kinabalu, Jalan Maharajalela, Jalan Hang Tuah, Jalan Imbi dan Jalan Sultan Ismail mulai 7 pagi.
“Bagi memastikan keselamatan awam dan ketenteraman awam, termasuk daripada risiko dijangkiti Covid-19, polis akan melakukan beberapa tindakan penguatkuasaan termasuk lencongan jalan raya,” kata Noor Dellhan pada sidang media di Kuala Lumpur pada Jumaat.
Beliau turut memaklumkan, semua pengendali rel juga telah diarah menghentikan perkhidmatan di stesen terpilih di sepanjang laluan LRT Ampang-Sri Petaling, LRT Kelana Jaya, MRT Sungai Buloh, monorel dan KTM.
Stesen LRT termasuk Bandaraya yang menghubungkan terus ke kompleks beli-belah Sogo di mana penganjur merancang untuk mengadakan perhimpunan ‘Tangkap Azam Baki’ mulai 11 pagi esok.
Noor Dellhan berkata, perhimpunan yang dirancang itu melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara yang tidak membenarkan perarakan atau perhimpunan besar-besaran.
Selain itu, kata beliau, polis Dang Wangi telah mendapat perintah mahkamah berkuat kuasa selama tujuh hari mulai esok bagi menghalang sebarang perhimpunan di Sogo, Dataran Merdeka dan Masjid Jamek.
“Polis tidak akan berkompromi atau teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang didapati masih berdegil dan menganjurkan atau menyertai mana-mana perhimpunan,” katanya.
Noor Dellhan dalam masa sama memberitahu, polis setakat ini telah merekodkan kenyataan daripada 16 individu, termasuk lima ahli politik, berhubung siasatan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Bagaimanapun, Noor Delhan berkata, polis tidak mengenal pasti penganjur perhimpunan kerana tiada notis rasmi dikemukakan seperti yang dikehendaki di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.
Protes #TangkapAzamBaki hadir susulan skandal pemilikan saham yang membabitkan ketua pesuruhjaya SPRM.
Azam menjadi tumpuan baru-baru ini selepas timbul dakwaan mengenai dia memiliki saham dalam dua syarikat pada 2015.
Menurut laporan tahunan 2015 Excel Force Bhd, Azam memiliki 2,156,000 waran dalam syarikat itu pada 21 Mac 2016. Pada masa itu, Azam adalah ketua bahagian siasatan SPRM.
Bagaimanapun, dalam sidang media pada 5 Januari lepas, Azam berkata dia tidak melakukan apa-apa kesalahan kerana saham itu dibeli adiknya yang hanya menggunakan namanya.
JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan satu sindiket pemalsuan dokumen dan pasport antarabangsa susulan penahanan seorang lelaki warga Iran, Rabu lalu.
Ketua Pengarah JIM Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, suspek berusia 58 tahun yang dipercayai dalang utama sindiket itu, ditahan dalam satu operasi khas di premis perniagaan di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.
“Hasil semakan lanjut mendapati, lelaki ini telah tinggal di Malaysia lebih 30 tahun dengan menggunakan pas lawatan sosial, dan merupakan suami kepada seorang wanita warga tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, ketika serbuan dilakukan, lelaki itu sedang menyerahkan dokumen yang telah dipalsukan kepada pelanggan di luar premis berkenaan, dan siasatan lanjut membawa kepada serbuan di sebuah pangsapuri yang terletak di Bandar Baru Ampang, yang dijadikan tempat menyimpan dan memalsukan dokumen.
Khairul Dzaimee berkata, pihaknya turut menemui lapan pasport antarabangsa pelbagai negara, 29 keping pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang belum dicetak dan dipercayai palsu, cop ‘keluar’ Jabatan Imigresen Malaysia dipercayai palsu, pelbagai jenis cop, sebuah laptop dan sebuah mesin pencetak, selain 24 keping lesen memandu antarabangsa serta wang tunai sebanyak RM4,000.
“Kesemua barang yang dirampas dipercayai berkait dengan aktiviti sindiket ini. Modus operandi sindiket adalah dengan menyasarkan pelanggan warga asing, khususnya warga Iran yang ingin mendapatkan pas dan dokumen untuk tinggal dalam negara ini,” jelasnya.
Khairul Dzaimee berkata, bayaran yang dikenakan bagi setiap pas yang dipalsukan antara RM300 hingga RM500 sekeping, yang akan dibuat secara dalam talian ke akaun bank pihak ketiga yang bersubahat dengan dalang ini.
Katanya sindiket ini dipercayai telah beroperasi hampir dua tahun dan berselindung di sebalik perniagaan menjual kain cadar tilam berdasarkan iklan yang diletakkan di hadapan premis yang diserbu.
“Ini merupakan kes sindiket pertama yang melibatkan warga Iran sebagai dalang utama sindiket pemalsuan dokumen. Suspek ditahan dan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966,” katanya. – Bernama
POLIS menahan 220 lelaki termasuk tiga warga asing dipercayai terlibat dalam aktiviti berkaitan dadah menerusi Ops Tapis di sekitar Kampung Melayu Pandan di Johor Bahru, hari ini.
Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata kesemua mereka yang berumur 21 hingga 45 tahun, ditahan dalam operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor bermula pukul 3 pagi tadi.
Beliau berkata lokasi diserbu kerana ia merupakan satu daripada 12 kawasan tumpuan atau ‘hotspot’ bagi lokasi penjualan dan pengedaran dadah dalam kalangan penagih dadah sejak sekian lama.
“Kesemua mereka yang ditahan hari ini melakukan pelbagai kesalahan membabitkan dadah dan mereka kebanyakannya bekerja sebagai pengawal keselamatan, buruh, pekerja pasar borong serta penjual ikan dan sayur,” katanya pada sidang media di lokasi Op Tapis berkenaan hari ini.
Katanya kesemua yang ditahan akan di siasat di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985 dan Akta Racun 1952, selain akan diserahkan kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi mendapatkan rawatan pemulihan.
Sementara itu mengulas mengenai siasatan berhubung kes gangguan seksual membabitkan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini terhadap seorang wanita anggota sebuah parti politik, beliau berkata 11 individu dipanggil untuk dirakam percakapan.
“Macam saya cakap sebelum ini, siasatan dijangka siap hujung minggu ini dan kita telah berbincang dengan bahagian perundingan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memperkemaskan lagi siasatan,” katanya.
Isnin lepas, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora mengesahkan menerima laporan polis dibuat wanita berusia 26 tahun itu di Balai Polis Kota Tinggi mengenai gangguan seksual melibatkan ADUN berkenaan.
Bagaimanapun ADUN berkenaan telah menafikan dakwaan dan menyatakan ia satu konspirasi politik, fitnah serta cubaan untuk menjatuhkan maruahnya sebagai ahli politik.
SERAMAI 11 individu sudah dipanggil polis bagi memberi keterangan berhubung kes gangguan seksual melibatkan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor, baru-baru ini.
Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, siasatan berhubung kes itu masih lagi sedang dilengkapkan selain pihaknya akan menggunakan semua sumber bagi mendapatkan laporan siasatan yang lebih terperinci.
“Kes ini masih dalam siasatan, memang kita maklum akan siap minggu ini tetapi maklumat masih dikumpul. Kita juga sedang berbincang dengan pihak perundangan untuk kemaskan lagi siasatan.
“Buat masa ini kita telah memanggil seramai 11 individu untuk memberi keterangan,” katanya ketika ditemui pemberita pada sidang media Op Tapis di Kampung Pandan, Johor Bahru, hari ini.
Pada Isnin, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora mengesahkan satu laporan polis telah dibuat seorang wanita berusia 26 tahun di Balai Polis Kota Tinggi.
Laporan polis yang kemudiannya tular di laman sosial Facebook itu mendakwa wanita yang juga mangsa telah diganggu secara seksual berulang kali oleh ADUN berkenaan pada 2, 3 dan 12 Januari lalu.
Kemudian, pada 18 Januari lalu, ADUN Sedili, Rasman Ithnain dalam satu kenyataan telah menafikan tuduhan melibatkan dirinya dengan kes gangguan seksual terhadap wanita berkenaan.
Beliau yang juga Ketua Bersatu Bahagian Kota Tinggi berkata, dakwaan wanita tersebut tidak benar dan menyifatkannya sebagai konspirasi politik untuk mencemarkan reputasi dirinya.