Category: Jenayah

  • Ketua Polis Pulau Pinang terima enam keping ‘duit mayat’, nota amaran

    Ketua Polis Pulau Pinang terima enam keping ‘duit mayat’, nota amaran

    KETUA Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani mendedahkan bahawa Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Khaw Kok Chin baru-baru ini menerima ugutan jenayah dalam bentuk enam keping ‘duit mayat’ dan sekeping nota amaran.

    Beliau berkata nota itu, yang diterima pada 1 Jun lepas melalui perkhidmatan Pos Malaysia, meminta polis Pulau Pinang menghentikan tindakan agresif memerangi sindiket pemberi pinjam wang tanpa lesen di negeri itu.

    “Satu laporan polis telah dibuat mengenai surat yang dialamatkan kepada Ketua Polis Pulau Pinang, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang… turut dinyatakan melalui surat layang itu nota berunsur ugutan jenayah terhadap Ketua Polis Pulau Pinang dan akan membakar kedai serta balai polis jika amaran berkenaan tidak diendahkan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

    Acryl Sani berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM)  memandang serius perkara itu dan operasi melibatkan Jabatan Siasatan Jenayah, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial serta Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik sedang giat dijalankan untuk mengesan suspek yang terlibat. 

    Beliau berkata siasatan kes itu dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan.

    “PDRM tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mengugut serta mengancam pegawai PDRM dalam menjalankan tugas memerangi kegiatan haram serta jenayah di negara ini,” katanya.

  • Suami isteri ditahan bersama 7kg heroin,3kg ganja 

    Suami isteri ditahan bersama 7kg heroin,3kg ganja 

    SEPASANG suami isteri dipercayai pengedar dadah antara tiga individu ditahan bersama lebih 7 kilogram (kg) heroin dan lebih 3kg ganja dalam dua serbuan berasingan di daerah Manjung dan Kampar, semalam.

    Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata suami isteri berusia 28 dan 29 tahun itu ditahan pada 12.05 tengah malam di sebuah rumah di Sitiawan, Manjung.

    Beliau berkata hasil pemeriksaan di rumah tersebut, polis merampas dadah dipercayai heroin seberat 7.04kg dan ganja dianggar seberat 3.05kg bernilai RM64,570.

    “Polis turut merampas peralatan yang disyaki digunakan untuk membungkus dadah selain menyita sebuah kenderaan, tujuh rantai, enam cincin, empat anting-anting serta satu subang hidung yang kesemuanya dianggar berjumlah RM72,332,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor BERNAMA.

    Menurut Mohd Yusri kedua-duanya yang negatif terhadap dadah dan tidak mempunyai rekod kesalahan lampau sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

    Mohd Yusri berkata siasatan mendapati pasangan suami isteri itu mula aktif dalam aktiviti pengedaran dadah sejak awal tahun ini manakala dadah dirampas yang dipercayai untuk pasaran negeri ini dianggarkan boleh digunakan seramai 15,600 penagih dadah.

    Sementara itu, beliau berkata dalam serbuan di Kampar, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 36 tahun di sebuah rumah di Desa Lawan Kuda, kira-kira 12.30 tengah malam.

    “Hasil pemeriksaan polis merampas dadah dipercayai serbuk ekstasi sebanyak 2.7kg, kafein (1.67 kg), Methampetamine (22 gram), heroin (21 gram), pil erimin 5 (5 gram) serta pil ekstasi (6 gram) dengan nilai keseluruhan dadah dirampas berjumlah RM38,792,” katanya.

    Menurut Mohd Yusri polis turut merampas peralatan yang disyaki digunakan untuk membungkus dan menghisap dadah manakala lelaki itu didapati positif terhadap dadah jenis Methamphetamine serta memiliki 18 rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

    Katanya dadah dirampas dianggarkan boleh digunakan 6,700 penagih dan lelaki yang aktif semula dalam aktiviti pengedaran dadah sejak sebulan lepas itu kini disiasat lanjut mengikut Seksyen 39B ADB 1952.

  • Lelaki maut jatuh tebing batu dipercayai ketika cuba lari daripada polis

    Lelaki maut jatuh tebing batu dipercayai ketika cuba lari daripada polis

    SEORANG lelaki ditemui maut dipercayai terjatuh dari tebing batu bukit berhampiran kawasan Taman Jeselton, Georgetown, Pulau Pinang awal pagi kelmarin dipercayai ketika cuba melarikan diri daripada polis.

    Difahamkan, lelaki berkenaan dipercayai salah seorang ahli kumpulan jenayah pecah rumah dan samun di kawasan kediaman elit berkenaan.

    Terdahulu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, sepasukan polis dari Bahagian D9, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang bersama pasukan Gerakan Am menjalankan Op Rantau Dawai di kawasan tersebut kira-kira pukul 12.30 tengah malam Sabtu lalu.

    Jelasnya, semasa sedang melakukan rondaan di dalam hutan berhampiran, pasukan berkenaan telah terserempak dengan tiga suspek lelaki yang berada dalam keadaan mencurigakan.

    ”Pasukan berkenaan kemudian meminta suspek berhenti bagi membuat pemeriksaan, namun mereka terus melarikan diri ke arah yang tidak diketahui kerana keadaan gelap,” katanya dalam kenyataan di sini malam tadi.

    Menurutnya, pasukan berkenaan telah membuat pencarian di sekitar kawasan tersebut, namun tidak menjumpai apa-apa.

    Bagaimanapun, ujar beliau, kira-kira pukul 4.45 pagi hari sama, polis menjumpai seorang lelaki dalam keadaan tertiarap dan tidak bergerak di lereng bukit berhampiran.

    Tambahnya, pemeriksaan lanjut telah menjumpai sebuah bag galas yang berada di sebelah mayat.

    ”Di dalam beg ini mengandungi beberapa keratan dawai berwarna hijau, beberapa peralatan seperti pemotong, pemutar skru dan sarung tangan yang disyaki digunakan untuk tujuan pecah rumah.

    ”Turut dijumpai sebilah pisau pemotong daging, namun pihak polis tidak menjumpai sebarang dokumen diri. Bantuan daripada pasukan forensik dan Unit K9 juga gagal menemukan sebarang petunjuk,” katanya.

    Kok Chin berkata, mayat lelaki berkenaan telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi tujuan bedah siasat dan cap jari serta DNA lelaki berkenaan diambil bagi tujuan mengesan identit.

    Jelasnya, kes itu diklasifikasi sebagai mati mengejut.

    “Polis juga menasihati orang awam sentiasa peka dengan keadaan persekitaran serta mengambil langkah keselamatan bagi mencegah daripada menjadi mangsa pecah rumah dan samun,” katanya.

  • Wanita curi rantai kanak-kanak di karnival ditahan

    Wanita curi rantai kanak-kanak di karnival ditahan

    SEORANG wanita ditahan susulan video tular tindakannya mencuri rantai seorang kanak-kanak perempuan di tapak karnival di Stadium Shah Alam, semalam.

    Ketua Polis Shah Alam, Mohd Iqbal Ibrahim, berkata kejadian berlaku pada 5.40 petang dengan suspek mengambil rantai dipakai kanak-kanak perempuan berusia empat tahun dengan cara memotongnya menggunakan objek lain, sebelum barang kemas itu ditarik.

    “Sejurus kejadian suspek wanita tempatan berusia 35 tahun berjaya ditangkap di lokasi terbabit berdasarkan rakaman video,” katanya lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau bersabit kes curi.

    “Suspek direman tiga hari hingga Selasa untuk siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

    Semalam, tular video berdurasi 17 saat menunjukkan tindakan seorang wanita menarik rantai seorang kanak-kanak.

  • Warga asing suspek kes rogol ditahan di KLIA ketika mahu melarikan diri

    Warga asing suspek kes rogol ditahan di KLIA ketika mahu melarikan diri

    SEORANG lelaki warga asing yang menjadi suspek kes rogol ditahan di Pintu Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ketika mahu melarikan diri balik ke negara asal selepas melakukan jenayah tersebut.

    Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dalam kenyataan di Facebook berkata, polis menahan suspek yang cuba melarikan diri dalam tempoh 48 jam selepas disyaki merogol seorang wanita.

    Menurut kenyataan itu, suspek melakukan perbuatan tersebut ketika berada di rumah mangsa bagi melakukan kerja penyelenggaraan.

    “Mangsa yang sempat merakam wajah suspek menggunakan telefon bimbit terus menghubungi ibu saudara bagi memaklumkan kejadian.

    “Hasil daripada maklumat itu, pasukan operasi JSJ dapat mengesan suspek yang dalam perancangan melarikan diri untuk balik ke negara asal dengan menggunakan pesawat,” kata kenyataan itu.

    Kata kenyataan itu, suspek diberkas dalam tempoh kurang 48 jam ketika berada di pintu pelepasan lapangan terbang dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.

    “Kes disiasat mengikut seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol. Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dihukum penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak lebih daripada 20 tahun serta hukuman sebat,” kata kenyataan tersebut

  • Ugut sebar gambar aib, remaja perempuan ditahan

    Ugut sebar gambar aib, remaja perempuan ditahan

    REMAJA perempuan ditahan selepas disyaki mengugut seorang wanita untuk menyebarkan gambar tidak senonoh di Taman Seri Nilai, Tangkak, semalam.

    Pemangku Ketua Polis Tangkak, Superintenden Idris Abdul Rahman berkata, suspek berusia 17 tahun diberkas kira-kira 4 petang semalam susulan laporan dibuat wanita terbabit di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak Isnin lalu.

    Beliau berkata, suspek menggunakan Facebook milik individu lain untuk mengugut menularkan gambar tidak senonoh wanita berusia 20 tahun itu jika gagal menyerahkan sejumlah wang.

    “Kejadian berlaku selepas mangsa mengenali suspek melalui Instagram bermula 28 Jan lalu. Sejak itu, wanita berkenaan menyerahkan RM27,000 kepada suspek melalui 32 transaksi dan tiga akaun berlainan selepas suspek terus mengugutnya,” katanya menurut Harian Metro.

    Beliau berkata, ugutan terakhir suspek pada 11.20 malam Rabu lalu apabila meminta wang RM600 menyebabkan mangsa nekad memberitahu ibunya berhubung perkara itu sebelum membuat laporan polis.

    “Siasatan mendapati mangsa tidak pernah bertemu secara bersemuka dengan suspek.

    “Ketika tangkapan, polis merampas pelbagai barangan termasuk sebuah telefon beserta kad sim, sekeping kad bank dan wang tunai berjumlah RM152 daripada suspek,” katanya.

    Beliau berkata, suspek direman tiga hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

  • Kertas siasatan isu ‘hina raja’ Tun M dirujuk ke AGC minggu depan

    Kertas siasatan isu ‘hina raja’ Tun M dirujuk ke AGC minggu depan

    KERTAS siasatan ke atas Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung isu beliau didakwa menghina institusi raja sudah disiapkan.

    Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, selaras dengan peruntukan undang-undang kertas siasatan tersebut akan dirujuk ke Jabatan Peguam Negara (AGC) minggu depan.

    “PDRM telah melengkapkan kertas siasatan terhadap Tun Dr. Mahathir bersabit kes penghinaan terhadap institusi diraja.

    “Kertas siasatan akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara pada 6 Jun ini selari dengan peruntukan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan media, lapor Malaysiakini.

    Noorsiah memberitahu, bagi isu membabitkan Proklamasi Orang Melayu, PDRM masih di peringkat siasatan.

    Katanya, polis akan merakamkan percakapan dua ahli politik lagi iaitu Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, dan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy.

  • Pengasuh, pemilik taska dituduh kasari bayi

    Pengasuh, pemilik taska dituduh kasari bayi

    SEORANG pengasuh ditahan kerana mengasari bayi di sebuah pusat asuhan di Taman Samudera, Batu Caves seperti tular dalam media sosial kelmarin.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintenden Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, satu laporan polis telah dibuat oleh ibu bayi tersebut pada 21 Mei lalu selepas mendapati terdapat beberapa kesan lebam pada paha dan pipi anaknya.

    “Hasil siasatan yang dijalankan mendapati kejadian tersebut berlaku pada 21 Mei lalu di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di taman berkenaan.

    “Polis telah menahan seorang perempuan warga tempatan berumur 23 tahun yang merupakan pengasuh di pusat jagaan tersebut.

    “Kes disiasat bawah seksyen 31(1)(a) Akta Kanak – Kanak 2001, Seksyen 6(2) Akta Taman Asuhan Kanak – Kanak 1984 dan Undang-Undang 3, Undang-Undang Kecil Tred Perlesenan, Perniagaan Dan Industri (Majlis Perbandaran Selayang) 2007 kerana menjalankan operasi pusat jagaan tanpa lesen yang sah,” katanya menerusi kenyataan.

    Menerusi satu video tular berdurasi satu minit 32 saat itu memaparkan perbuatan wanita terbabit yang dilihat beberapa kali menampar dan menekup muka seorang bayi yang sedang menangis.

    Katanya, suspek telah dituduh di Mahkamah Selayang pada 30 Mei lalu di bawah seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

    “Suspek mengaku salah dan dijatuhkan hukuman denda RM10,000 dan bon kelakuan baik selama tiga tahun serta dikenakan Perintah Khidmat Masyarakat,” katanya.

    Sementara itu, beliau berkata, pemilik pusat jagaan tersebut turut telah dituduh di bawah Seksyen 6(2) Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984.

    “Suspek tidak mengaku salah dan sebutan kes pada 7 Ogos 2023.

    “Selain itu, bagi pertuduhan di bawah Undang-Undang 3, Undang-Undang Kecil Tred Perlesenan, Perniagaan dan Industri (Majlis Perbandaran Selayang) 2007, suspek mengaku salah dan dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM 1,000,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Imigresen pertahan tindakan pegawai ‘pecah masuk’ rumah warga emas

    Imigresen pertahan tindakan pegawai ‘pecah masuk’ rumah warga emas

    JABATAN Imigresen mempertahankan tindakan pegawainya yang memecah masuk ke dalam pangsapuri pasangan warga emas di Kuala Lumpur semasa serbuan rutin pagi semalam.

    Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Syamsul Badrin Mohsin berkata, proses serbuan tersebut dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) biasa yang ditetapkan.

    “Pegawai imigresen bertindak atas aduan yang dibuat ke atas unit kondominium pasangan itu dan telah mengetuk pintu mereka selama 10 hingga 15 minit tetapi tiada jawapan.

    “Apabila pegawai melihat banyak selipar di luar rumah, dan tiada sesiapa yang membuka pintu, kami memecahkan pintu itu.

    “Dakwaan bahawa kami tidak memperkenalkan diri adalah tidak benar. Apabila kami mengetuk pintu itu sendiri, kami memperkenalkan diri dari Jabatan Imigresen.

    “Kami mempunyai SOP apabila kami memasuki rumah. Kami bertindak berdasarkan aduan dan maklumat. Kami beruniform, bukan baju biasa. Jadi mustahil perkara ini (tidak mengenal pasti diri kami) berlaku,” katanya memetik laporan FMT, hari ini.

    Syamsul berkata, pegawainya akan berhubung dengan pemilik rumah untuk menyelesaikan isu berkenaan.

    “Kita perlu bercakap dengan pemiliknya terlebih dahulu untuk melihat apa ceritanya. Kami akan menyiasat perkara itu terlebih dahulu,” katanya.

    Ketika ditanya sama ada pintu itu akan diganti dan pampasan akan diberikan, Syamsul berharap ia dapat dilakukan tetapi berkata: “Kami perlu bercakap dengan pemiliknya. Dan jika mereka bersetuju, kami berharap mereka akan menarik balik laporan polis mereka.”

    Dalam kejadian pukul 3 pagi semalam di Kondominium Putra Majestic, pasangan warga tempatan itu berkata seorang lelaki yang mendakwa sebagai pegawai imigresen memecah pintu unit kondominium mereka dan menyerbu masuk ke dalam bilik tidur mereka.

    Pasangan itu memberitahu FMT, lelaki itu mengarahkan mereka untuk menunjukkan MyKad mereka tetapi mendakwa dia tidak memberikan sebarang bentuk pengenalan diri.

    Mereka kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul sebelum menghubungi pihak imigresen berhubung serbuan itu.

    Polis telah merujuk semula kes itu ke Jabatan Imigresen untuk tindakan susulan.

  • Sumbat mayat anak saudara dalam mesin basuh

    Sumbat mayat anak saudara dalam mesin basuh

    MISTERI kehilangan seorang budak lelaki ketika berada di bawah pengawasan bapa saudaranya terjawab apabila mayatnya ditemui dalam sebuah mesin basuh.

    Insiden mengejutkan itu berlaku di Las Pinas, Filipina pada Jumaat lalu.

    Agensi yang memetik laporan media tempatan memberitahu, sebelum dilaporkan hilang, Prince Gray Monderno bermain dengan sepupunya.

    Bapa saudara mangsa, Patrick Sucgang mendakwa tidak mengetahui keberadaan mangsa sebelum keluarganya membuat laporan polis.

    Namun, dua hari selepas kehilangan mangsa, ibu Sucgang terhidu bau busuk dari bilik remaja itu.

    Wanita itu mengesan bau busuk tersebut datang dari mesin basuh yang sudah tidak digunakan.

    “Ibu suspek menemui mayat mangsa disumbat di dalam mesin basuh tersebut.

    “Suspek diserahkan kepada polis oleh ibunya sendiri dan mengaku membunuh mangsa,” kata Ketua Polis Las Pinas, Jaime Santos.

    Motif pembunuhan masih disiasat, namun polis diberitahu suspek merupakan peminat fanatik drama bersiri Netflix bertajuk Dahmer – Monster: The Jeffrey Dahmer Story yang menceritakan kisah pembunuh bersiri Amerika Syarikat (AS), Jeffrey Dahmer yang mengganas antara tahun 1978 dan 1991.

    Suspek didakwa membunuh di bawah Akta Antipenderaan dan Eksploitasi Kanak-kanak.

    Namun, disebabkan usianya, prosiding undang-undang terpaksa digantung sehingga umurnya mencapai 18 tahun.