Category: Jenayah

  • Polis tembak tayar kejar wanita pandu kenderaan curi

    Polis tembak tayar kejar wanita pandu kenderaan curi

    POLIS terpaksa melepaskan tembakan ke arah tayar sebuah pacuan empat roda selepas seorang wanita bertindak memandu secara agresif cuba melarikan diri daripada ditahan di Jalan Sepanggar, Kota Kinabalu pukul 10 pagi tadi.

    Pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dilaporkan sebagai kenderaan curi dikesan berada di tepi Jalan Tun Fuad Stephen, Pasar Kraftangan yang dipandu seorang wanita tidak dikenali.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abd. Rakman berkata, orang awam yang menyedari kenderaan terbabit bertindak memaklumkan kepada bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan selanjutnya.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abd. Rakman berkata, sebaik menerima laporan itu, pasukan unit peronda kenderaan pelbagai guna (MPV) polis berjaya mengesan kedudukan kenderaan yang berada di Jalan Tanjung Lipat.

    “Pasukan MPV kemudian mengarahkan suspek juga seorang wanita menghentikan kenderaan dengan menggunakan pembesar suara namun suspek tidak endah lalu terus memecut kenderaan dengan niat mahu melarikan diri.

    “Dua kenderaan MPV dibantu anggota trafik turut bertindak menahan kenderaan suspek dengan meletakkan beberapa kon di jalan raya namun suspek terus merempuh dan menuju ke Jalan Sepanggar,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Tambah George lagi, ketika suspek berada di kawasan lampu isyarat Tebobon, Jalan Sepanggar, kenderaan dipandu suspek tersekat dalam kesesakan lalu lintas.

    “Anggota MPV turun dan menghampiri kereta suspek dari arah belakang. Suspek yang menyedari kehadiran anggota berkenaan secara tiba-tiba mengundurkan pacuan empat roda dengan laju ke belakang sehingga menyebabkan salah seorang anggota hampir terjatuh serta mengalami kecederaan pada lengan kiri.

    “Bimbang dengan keselamatan diri dan berniat untuk menahan suspek, kedua-dua anggota bertindak melepaskan tembakan ke arah tayar kenderaan terbabit,” katanya.

    Ujarnya, tembakan dilepaskan itu menyebabkan kenderaan suspek tidak dapat bergerak dan anggota MPV berjaya memecahkan tingkap hadapan sebelah kiri kenderaan untuk menahan suspek.

    “Suspek wanita tempatan berusia 35 tahun dan tidak bekerja. Hasil pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan juga turut menemui syabu dipercayai untuk kegunaan suspek,” katanya.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun jika sabit bersalah.

    Sebelum itu, tular satu video durasi 15 saat memaparkan anggota polis bertindak cuba menghentikan pacuan empat roda yang dipandu suspek sebelum kenderaan itu beredar dalam kejadian di Jalan Tanjung Lipat, Likas.

  • 4 polis cedera dilibas parang, kerambit

    4 polis cedera dilibas parang, kerambit

    EMPAT anggota polis termasuk dua pegawai berpangkat Inspektor cedera akibat dilibas dengan parang dan kerambit kerambit oleh seorang lelaki mengamuk dalam pergelutan di Kampung Sedar, Tumpat, Kelantan malam kelmarin.

    Dalam kejadian pukul 8.30 malam itu, seorang daripada mangsa menerima lapan jahitan di lengan kanan, sementara seorang lagi mengalami luka sepanjang sembilan sentimeter di belakang kepala.

    Sementara dua lagi mangsa cedera ringan di belakang badan dan tangan.

    Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Mohd. Azmir Damiri memberitahu, semua mangsa berusia 20-an hingga 30-an itu bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat.

    Menurut beliau, sebelum kejadian polis menerima panggilan kecemasan mengatakan seorang lelaki dipercayai mengalami sakit mental mengamuk, lalu pegawai serta anggota terbabit bergegas ke lokasi.

    Katanya, semasa proses tangkapan dibuat, suspek yang bersenjata sebilah parang dan kerambit bertindak agresif sebelum berlaku pergelutan.

    “Dalam pergelutan itu, semua mangsa mengalami kecederaan selepas dilibas suspek yang berada di bawah pengaruh dadah,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis serah terima tugas Ketua Balai Polis Wakaf Bharu antara Sarjan Mejar Mohd. Sakri Abdul Ghani yang menggantikan Sub Inspektor Abd. Halim Shafai.

    Menurut Mohd. Azmir, suspek berjaya ditahan dan polis turut merampas sebilah parang berukuran 0.6 meter serta sebilah kerambit sepanjang tujuh sentimeter.

    Beliau berkata, saringan ujian air kencing mendapati suspek yang memiliki kad pesakit mental itu positif dadah jenis methampethamine.

    Katanya, semakan juga mendapati suspek memiliki satu rekod jenayah di bawah Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan (KK) kerana curi kenderaan.

    “Lelaki itu kini direman empat hari bermula semalam babgi membantu siasatan mengikut Seksyen 353 KK serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958,”jelas beliau.

  • Suami isteri ditahan tidak sampai 24 jam rompak kedai emas

    Suami isteri ditahan tidak sampai 24 jam rompak kedai emas

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TINDAKAN pantas polis berjaya menahan sepasang suami isteri dan seorang wanita ditahan selepas tidak sampai 24 jam memecah masuk kedai emas di Bandar Batu Pahat, pukul 4 pagi semalam.

    Ketua Polis Daerah Batu Pahat Assisten Komisioner Ismail Dollah berkata, mereka berjaya diberkas antara 9.30 malam hingga 12 tengah malam tadi selepas pihak polis mendapat maklumat awam.

    “Anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat menerima laporan pukul 2 petang semalam, menyatakan premis membeli dan menjual emas dipecah masuk.

    “Pihak polis telah ke lokasi kejadian dan menjalankan siasatan dengan dibantu bersama oleh pasukan Forensik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor.

    “Siasatan mendapati beberapa barang kemas dan wang tunai yang dianggarkan bernilai RM55,000 telah hilang daripada simpanan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Ismail berkata, hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kejadian dipercayai berlaku kira-kira 4 pagi, semalam.

    “Rakaman berkenaan mendapati dua orang memecah masuk premis terbabit melalui pintu hadapan.

    “Hasil maklumat orang awam pada pukul 9.30 malam hingga 12 tengah malam tadi pihak polis mengesan dan menangkap ketiga-tiga suspek yang berumur di antara 20 hingga 26 tahun,” katanya.

    Katanya, ketika serbuan di Kampung Kenangan Dato Onn Batu Pahat dan Taman Putera Indah, Tokang Pechah polis turut merampas beberapa cincin, subang dan rantai emas serta wang tunai RM 8,415.

    “Semakan mendapati dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau iaitu berkaitan kes jenayah dan dadah.

    “Kesemua suspek kemudiannya ditahan reman selama tujuh hari sehingga 20 Februari 2022 bagi pihak polis meneruskan siasatan serta kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Lelaki Iraq suspek bunuh wanita Somalia di Ampang

    Lelaki Iraq suspek bunuh wanita Somalia di Ampang

    POLIS menahan seorang lelaki warga Iraq yang merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR) bagi membantu siasatan kejadian kes bunuh seorang wanita warga Somalia di sekitar Ampang Point, Ampang, semalam.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek berumur 25 tahun yang bekerja sebagai pembantu restoran itu ditahan di Jalan Ampang Putra, Ampang pada 11.20 malam tadi.

    Katanya, turut dirampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

    “Siasatan mendapati mangsa dan suspek saling mengenali kerana sama-sama bekerja di sebuah restoran makanan Arab. Dengan tertangkapnya suspek, kita berjaya menyelesaikan kes ini dalam tempoh 24 jam,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Beliau berkata, suspek warga Iraq itu direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga Isnin depan bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

    Mohamad Farouk meminta orang ramai supaya menghubungi balai polis berdekatan sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu bagi membantu siasatan.

    Semalam, beliau berkata pihaknya menerima laporan sekitar 12 tengah hari berhubung kejadian seorang wanita warga asing berusia 28 tahun ditemukan mati dipercayai dibunuh di hadapan sebuah kedai di Jalan Memanda 2, Ampang.

    Beliau dalam kenyataan berkata maklumat orang ramai mengatakan mangsa pada mulanya dilihat bertengkar dengan seorang lelaki di hadapan premis itu sebelum dilihat ditikam dengan objek tajam. – BERNAMA

  • Polis tahan bapa dua beradik maut makan sisa dari tong sampah

    Polis tahan bapa dua beradik maut makan sisa dari tong sampah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG lelaki berusia 36 tahun iaitu bapa kepada dua beradik yang maut akibat memakan sisa makanan dari tong sampah di Kampung Baru Sungai Tepa, Bukit Malut, Langkawi semalam, ditahan polis.

    Menurut Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner (ACP) Shariman Ashari, bapa kanak-kanak itu yang berasal dari Myanmar ditahan malam tadi bagi membantu siasatan kes tersebut.

    “Siasatan terhadapnya dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. Selain itu dia turut disiasat mengikut Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen masuk ke negara ini.

    “Polis turut melakukan ujian urin terhadapnya dan dia didapati positif dadah. Sehubungan itu siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    Semalam Warta Rakyat melaporkan mengenai kematian dua kanak-kanak berusia empat dan dua tahun dipercayai tidak lama selepas mereka menjamah sisa makanan dari tong sampah.

    Kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 5.40 petang dengan kanak-kanak tersebut didakwa ditemukan dalam keadaan terhuyung-hayang oleh bapa mereka dan mulut kedua-duanya berbuih.

    Shariman memaklumkan, mayat dua beradik itu akan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk dibedah siasat, hari ini.

  • Tiga nelayan Myanmar ditahan berhampiran Pulau Terong

    Tiga nelayan Myanmar ditahan berhampiran Pulau Terong

    TINDAKAN sebuah tiga nelayan warga Myanmar menceroboh ke perairan negara ini untuk menangkap ikan membawa padah apabila bot mereka ditahan berhampiran Pulau Terong, Kuala Kurau, malam kelmarin.

    Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kurau mengesan pergerakan mereka pada kedudukan 14 batu nautika barat Pulau Terong pukul 8.10 malam lalu menahannya.

    Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Sharenliza Ghazali berkata, tangkapan dilakukan bot Maritim Malaysia yang membuat rondaan rutin selepas mendapati mereka dalam keadaan mencurigakan.

    “Hasil pemeriksaan mendapati tiga kru termasuk tekong warga Myanmar berumur lingkungan 24 hingga 29 tahun.

    “Pemeriksaan lanjut juga mendapati, kesemua kru tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah serta gagal mengemukakan dokumen kebenaran penggunaan kru warga asing oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia,” katanya memetik laporan Astro Awani, hari ini.

    Mohd. Sharenliza berkata, pemeriksaan turut menemukan 150 kilogram ikan campur.

    Ekoran itu, katanya kesemua kru bot, peralatan menangkap ikan dan hasil ikan campur dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985, kerana menggunakan kru warga asing tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

  • Dua beradik maut makan sisa makanan dari tong sampah

    Dua beradik maut makan sisa makanan dari tong sampah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Dua beradik meninggal dunia selepas kedua-duanya dipercayai memakan sisa makanan dari tong sampah di Kampung Baru Sungai Tepa, Bukit Malut, Langkawi, petang tadi.

    Menurut Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 5.45 petang apabila bapa k mereka yang dikenali sebagai Jamaludin, 36, ternampak anak-anaknya berjalan dalam keadaan terhuyung-hayang.

    “Melihat keadaan itu, Jamaludin mengangkat kedua-dua anaknya iaitu Nizambudin, 4, dan Ngei, 2, ke rumah jiran. Ketika itu, mulut kedua-duanya didapati berbuih.

    “Dalam beberapa minit, didapati anak-anaknya sudah tidak bernafas. Sehubungan itu penduduk kampung menghubungi pihak polis bagi melaporkan mengenai kejadian itu,” katanya.

    Shariman menambah, siasatan awal mendapati Jamaludin yang berasal dari Myanmar bekerja mengambil upah membaiki kelengkapan bot dan melakukan kerja-kerja kampung.

    “Mereka tiada rumah tetap dan hanya menumpang di rumah jiran. Kanak-kanak yang meninggal dunia itu dipercayai memakan sisa makanan di tong sampah berhampiran,” katanya.

    Katanya, pengesahan kematian kedua-dua anak Jamaludin dibuat oleh kakitangan Hospital Sultanah Maliha (HSM).

    “Mayat kedua-dua mereka dihantar ke Unit Forensik HSM untuk saringan ujian Covid-19 sebelum dibedah siasat.

    “Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

  • Perempuan, wang jadi habuan pemenang lumba haram

    Perempuan, wang jadi habuan pemenang lumba haram

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    POLIS Johor berjaya menumpaskan kegiatan lumba haram yang dipercayai didalangi satu sindiket dengan menjadikan lebuh raya di negeri itu sebagai litar untuk berlumba hasil operasi khas yang dilakukan awal pagi ini.

    Malah, sindiket tersebut yang menganjurkan perlumbaan jenis ‘drag race’ dipercayai turut menawarkan habuan berupa wanita selain hadiah wang tunai kepada pemenang.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, sindiket dan peminat-peminat lumba haram terbabit menjadikan Plaza Tol Skudai sebagai tempat permulaan sebelum berlumba sejauh 500 meter di jalan lurus menghala ke arah selatan.

    Beliau berkata, polis melakukan intipan sejak sebulan lalu sebelum menyerbu lokasi perlumbaan terbabit yang menjadikan pukul 1 hingga 4 pagi pada setiap hujung minggu sebagai waktu untuk berlumba.

    “Dalam serbuan yang dijalankan bermula pukul 2 pagi itu, seramai 126 orang ditahan dengan tiga daripadanya positif penyalahgunaan dadah selain sebanyak 66 buah kenderaan disita atas pelbagai kesalahan.

    “Sebanyak enam buah kenderaan pula sedang berlumba ketika serbuan itu dengan mereka yang lain sama ada sedang menunggu giliran ataupun hanya menjadi penonton di tepi jalan. Kita sedang menyiasat secara terperinci termasuk hadiah yang ditawarkan itu,” katanya dalam sidang akhbar di Johor Bahru, hari ini.

    Katanya, operasi bersepadu itu turut disertai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

    Tambah Kamarul Zaman, tindakan mereka menggunakan kenderaan yang telah diubah suai untuk memecut laju bukan sahaja membahayakan kepada pemandu tetapi juga kepada pengguna jalan raya lain

    “Orang ramai khususnya anak-anak muda dinasihatkan agar tidak terlibat dengan aktiviti perlumbaan haram walaupun hanya menjadi penonton kerana itu juga adalah satu kesalahan,” ujarnya.

    Sementara itu, Pegawai Turus Jabatan Siasatan dan Pengangkutan Trafik (JSPT) Johor, Asisten Superintendan Mohd. Zainuddin Abu Bakar berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 107 lelaki dan 19 wanita berusia antara 19 hingga 45 tahun.

    “Seramai enam orang yang berusia antara 22 hingga 25 tahun telah ditahan melibatkan lima kes di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (1987 dan satu kes di bawah Seksyen 81 akta sama.

    “Sementara itu, polis turut mengeluarkan sejumlah 55 keping saman atas pelbagai kesalahan,” jelasnya.

  • Suami isteri salah guna kuasa, buat tuntutan palsu ditahan SPRM

    Suami isteri salah guna kuasa, buat tuntutan palsu ditahan SPRM

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Kluang menahan sepasang suami isteri bagi membantu siasatan berkaitan kes salah guna kuasa dan tuntutan palsu berjumlah kira-kira hampir RM40,000.

    Menurut sumber, suspek wanita yang berusia 30 tahun dan suaminya yang berusia 32 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Johor pada pukul 11.30 pagi tadi selepas hadir memberikan keterangan.

    Difahamkan, pada tahun 2020 hingga tahun lalu, wanita tersebut yang bertugas sebagai seorang pembantu tadbir di sebuah jabatan kerajaan telah menggunakan kedudukannya dengan memberikan kerja-kerja pembekalan kepada syarikat suaminya.

    Walau bagaimanapun, kerja-kerja pembekalan yang sepatutnya dibuat oleh syarikat tersebut didapati tidak dilaksanakan.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 23 dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

    Kata beliau, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, esok bagi mendapatkan permohonan reman.

  • Kes keganasan rumah tangga, jenayah seksual meningkat semasa Covid-19

    Kes keganasan rumah tangga, jenayah seksual meningkat semasa Covid-19

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KES keganasan rumah tangga dan kes jenayah seksual meningkat di seluruh negara pada tahun lalu akibat pandemik Covid-19.

    Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, bagi kes keganasan rumah tangga mencatatkan 7,468 kes dicatatkan pada 2021 berbanding 5,260 kes pada 2020.

    Jelas beliau, jumlah tersebut menunjukkan peningkatan 2,208 kes atau 42 peratus sepanjang pada tahun lalu.

    Katanya, turut mencatatkan peningkatan ialah kes jenayah seksual yang merekodkan 3,271 kes pada 2021 berbanding 3,177 kes pada 2020.

    “Keadaaan ini didorong perubahan norma baharu kehidupan akibat berlakunya pandemik Covid-19 yang membataskan pergerakan serta aktiviti sosial dalam kalangan masyarakat.

    “Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksana itu memberi impak bukan sahaja pada tingkah laku seseorang bahkan terhadap emosi dan kesihatan mental juga,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) kementerian itu, Mohd. Yusri Mohd. Yusoff pada Majlis Pelancaran Skuad Waja Johor di Johor Bahru, hari ini.

    Katanya, berdasarkan situasi semasa itu pihak kementerian mengambil inisiatif menubuhkan Skuad Waja (Skuad Wanita Anti Jenayah) yang berperanan sebagai ‘first responder’ dan pendengar yang baik.

    Menurutnya, sejak skuad tersebut dilancarkan pada tahun lalu sehingga 3 Februari tahun ini, seramai 123,721 individu di seluruh negara mendaftar sebagai sukarelawan.

    Jelasnya, peranan skuad tersebut adalah menyantuni dan membantu komuniti bagi mengelakkan berlakunya perkara yang lebih buruk.

    Hasil daripada pelaksanaan skuad tersebut katanya, sebanyak 945 kes telah berjaya dibimbing manakala seramai 6,837 individu berjaya disantuni menerusi program psikososial.

    “Saya juga difahamkan bahawa seramai 5,331 individu telah dibantu oleh Skuad Waja dari seluruh negeri menerusi Misi Skuad Waja Santuni Mangsa Banjir,” katanya.

    Rina berkata, pelaksanaan skuad itu di Johor mendapat penglibatan seramai 8,886 ahli yang berdaftar melibatkan 8,727 wanita dan 159 lelaki.

    Ahli Skuad Waja Johor ujarnya, turut bergiat aktif dengan menyantuni komuniti dan mangsa yang memerlukan dengan seramai 1,113 orang telah dibantu dan disantuni melibatkan 84 program psikososial.

    “Sebanyak 52 kes juga telah dilaporkan dan dibantu merangkumi kes keseimbangan, kewangan, kemahiran dan kepimpinan,” katanya.