Category: Jenayah

  • 5 lelaki diberkas jual 400 botol air ketum sebulan

    5 lelaki diberkas jual 400 botol air ketum sebulan

    POLIS menahan lima lelaki warga tempatan disyaki pengedar air ketum ditahan dalam serbuan di sebuah premis kediaman di kawasan perumahan sekitar Seksyen 24, Sham Alam semalam.

    Serbuan dibuat sekitar pukul 4.30 petang oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Shah Alam hasil maklumat awam dan risikan selama seminggu.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata,
    sindiket berkenaan dipercayai mampu menjual sehingga 400 botol air ketum sebulan dengan harga RM20 sebotol untuk pasaran di Shah Alam.

    “Hasil pemeriksaan pihak polis menemui sebuah tong plastik berwarna hijau, dua tong plastik warna oren dan dua kotak gabus warna putih di ruang dapur rumah tersebut mengandungi 276 botol plastik lutsinar berisi cecair disyaki ketum dianggarkan 414 liter bernilai RM4,140.

    “Sebotol air ketum dijual dengan harga RM20 kepada pelanggan di sekitar Shah Alam sejak setahun lepas dan bekalan ketum diperolehi dari negeri di utara semenanjung,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Beliau berkata, ujian saringan air kencing terhadap kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 26 hingga 48 tahun didapati negatif, seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau.

    Katanya, kesemua mereka mengenali antara satu sama lain dan tiga daripada mereka didapati sudah berkahwin.

    “Suspek pertama bekerja sebagai penghantar makanan, suspek kedua bekerja pengasuh kanak-kanak, suspek ketiga penjaga parkir, suspek keempat kelasi kapal dan suspek kelima tidak bekerja.

    “Rumah tempat kejadian disewa oleh salah seorang suspek sejak setahun lepas dengan bayaran sewa RM1,000 sebulan untuk dijadikan tempat melepak dan menjalankan aktiviti pengedaran ketum,” katanya.

    Baharudin memberitahu, kesemua suspek direman selama tiga hari bermula Selasa di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk membantu siasatan.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 jika disabitkan boleh didenda sehingga RM10,000 atau dipenjara tidak melebihi empat tahun atau keduanya sekali,” ujarnya

  • Lelaki ditetak sebelum dibakar di panggung wayang terbiar

    Lelaki ditetak sebelum dibakar di panggung wayang terbiar

    SEORANG lelaki maut dipercayai ditetak sebelum dibakar dalam satu kejadian di sebuah bangunan panggung wayang terbiar di Simpang Kuala, Alor Setar hari ini.

    Sinar Harian melaporkan, mangsa dianggarkan berusia lingkungan 50-an dipercayai dibunuh antara jam 6.30 hingga 7 pagi.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Datuk G Suresh Kumar berkata, siasatan awal mendapati terdapat kesan tetakan pada bahagian tangan dan muka mangsa sebelum lelaki itu turut dibakar di sebuah bilik di tingkat satu bangunan berkenaan.

    “Kemungkinan besar individu melakukan pembunuhan ini ingin pastikan si mangsa mati.

    “Ini susulan selepas mangsa ditetak, ada punca kebakaran menggunakan tilam dan sofa yang ditelungkup ke atas badan mangsa,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Simpang Kuala, hari ini.

    Sebelum itu, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menerima panggilan kira-kira 7 pagi berhubung kebakaran di bangunan lama berkenaan.

    Anggota bomba yang memadam kebakaran kemudian menemukan mayat seorang lelaki di bawah sofa dan tilam yang terbakar.

    Bagaimanapun, Suresh memberitahu, identiti dan kewarganegaraan mayat lelaki berkenaan belum dapat dikenal pasti berikutan keadaan mayat yang terbakar.

    “Berdasarkan maklumat awal, bangunan berkenaan dijadikan tempat gelandangan rehat ataupun datang waktu malam berdasarkan penemuan barangan dan pakaian,” katanya.

    Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pihak polis telah menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 59 tahun antara pukul 9 hingga 9.15 pagi bagi membantu siasatan kejadian tersebut.

    Pihaknya turut merampas sebilah pisau, namun siasatan masih di peringkat awal dan tidak boleh mengaitkan apa-apa penemuan dengan pembunuhan itu.

    Seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes pembunuhan di bangunan terbiar di Simpang Kuala, pada Selasa.

    “Jikalau lihat pada keadaan tempat kejadian, kejadian mungkin boleh dilakukan orang seorang ataupun paling ramai dua orang atau dibantu seorang lagi,” katanya.

    Namun beliau menegaskan kejadian berkenaan tidak melibatkan insiden berkumpulan ataupun memiliki elemen kongsi gelap atau sebagainya.

    Jelasnya, motif pembunuhan masih dalam siasatan polis.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk proses bedah siasat.

    Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menyalurkan informasi kepada Ketua Polis Daerah Kota Setar.

  • Warga emas hilang ditemui tinggal rangka, tengkorak

    Warga emas hilang ditemui tinggal rangka, tengkorak

    KEHILANGAN seorang warga emas yang menjadi misteri pada Januari lalu terjawab apabila tengkorak dan rangka dipercayai milik lelaki itu ditemukan di kawasan semak bersebelahan sebuah hotel di Tengkera, Melaka, Isnin lalu.

    Tengkorak dan rangka manusia itu ditemui seorang pekerja kedai tayar kira-kira pukul 6 petang sebelum memaklumkan kepada polis, lapor Sinar Harian.

    Menurut Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, siasatan awal di lokasi menemui MyKad dalam poket seluar mangsa dan semakan mendapati mangsa merupakan warga emas berusia 78 tahun yang pernah dilaporkan hilang oleh anak buahnya pada 31 Januari lalu.

    “Tengkorak dan rangka manusia yang ditemui dipercayai milik mangsa yang hilang itu.

    “Disyaki sebelum kejadian mangsa berjalan kaki dari rumahnya di Taman Kota Laksamana Seksyen 2, tidak berapa jauh dari tempat kejadian.

    “Mangsa kemungkinan telah terjatuh di kawasan semak samun tersebut dan meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

  • Penyeludupan PATI meningkat, lebih 50 laluan tikus dikenal pasti

    Penyeludupan PATI meningkat, lebih 50 laluan tikus dikenal pasti

    LEBIH 50 laluan tikus yang digunakan penyeludup untuk membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) terutama dari Indonesia ke negara ini dikenal pasti di sepanjang perairan Selangor hingga ke Perak.

    Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu, Asisten Komissioner Shamsol Kassim berkata, laluan tikus itu dikenal pasti bermula di sekitar perairan Klang, Sabak Bernam, Selangor sehingga ke perairan Hutan Melintang, Perak.

    Menurut beliau, pihaknya juga mendapati aktiviti penyeludupan PATI itu meningkat kebelakangan ini susulan pembukaan semula aktiviti ekonomi terutama melibatkan sektor perladangan.

    Ujarnya, hasil siasatan juga mendapati seorang PATI membayar RM1,500 hingga RM2,000 kepada penyeludup untuk masuk ke negara ini selepas dijanjikan pekerjaan dalam bidang perladangan; pembantu rumah dan sebagainya.

    “Modus operandi yang digunakan oleh penyeludup PATI ini adalah mereka memasuki perairan negara pada waktu malam tanpa menggunakan lampu.

    “Mereka juga menggunakan bot-bot nelayan yang diubah suai sehingga mampu memuatkan antara 100 hingga 200 orang PATI dalam sesebuah bot,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

    Menurut beliau, jarak antara Indonesia dengan kawasan perairan di Selangor yang hanya kira-kira empat hingga lima jam perjalanan juga menyebabkan perairan itu menjadi laluan tumpuan penyeludup.

    Dalam masa sama ujarnya, kawasan yang menjadi laluan tikus itu juga agak jauh daripada pangkalan utama polis.

    “Bagaimanapun, kita sentiasa meningkatkan rondaan di kawasan sempadan negara terutama melibatkan kawasan-kawasan yang menjadi ‘hotspot’ laluan tikus ini,” katanya.

    Dalam perkembangan berkaitan, Shamsol berkata, sejak Januari hingga semalam, pihaknya berjaya menahan seorang warga tempatan dan 12 warga Indonesia yang merupakan penyeludup serta ahli sindiket penyeludupan.

    Dalam empoh sama tambahnya, seramai 188 PATI warga Indonesia berusia 21 hingga 45 tahun termasuk 42 wanita turut ditahan dalam operasi di perairan Sungai Buluh, Tanjung Karang dan Sungai Serdang, Selangor.

  • Lelaki parah ditetak parang, 2 lelaki diburu

    Lelaki parah ditetak parang, 2 lelaki diburu

    POLIS sedang mengesan dua lelaki selepas dipercayai menetak seorang mangsa menggunakan parang di sebuah restoran di Benut, Pontian, semalam.

    Kejadian tersebut dilaporkan orang awam kepada polis pada pukul 3.20 petang sebelum sepasukan anggota dihantar ke lokasi kejadian.

    Ketua Polis Daerah Pontian, Suprintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, berdasarkan siasatan awal, saksi kejadian memaklumkan terdapat dua lelaki melarikan diri dengan menaiki Toyota Alparhd berwarna putih.

    “Setelah semakan dibuat, nombor pendaftaran kenderaan tersebut palsu. Mangsa berusia 40 tahun telah dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

    “Mangsa mengalami parah di bahagian tangan kanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Menurut Mohammad Shofee kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

    Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian tersebut boleh menghubungi Inspektor Muhammad Syamil A. Fadzil di talian 013-7145506 bagi membantu mengesan suspek yang terlibat dengan kejadian tersebut.

  • Kerani wanita rugi RM32,000 jadi mangsa Macau Scam

    Kerani wanita rugi RM32,000 jadi mangsa Macau Scam

    LAGI penjawat awam menjadi mangsa sindiket Macau Scam.

    Kali ini membabitkan seorang kerani wanita sebuah jabatan kerajaan kerugian RM32,000 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan berkenaan yang menyamar sebagai pegawai Kementerian Kesihatan (KKM), lapor Berita Harian.

    Wanita berusia 41 tahun itu dikatakan menerima panggilan daripada individu yang menyamar sebagai pegawai farmasi kawalan ubat di Petaling Jaya, Selangor yang mendakwa mangsa pernah mengambil ubat di klinik 1Malaysia di Kampung Ampang Baru, Ipoh sebanyak lapan kali.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, mangsa menafikan perkara itu, sebelum panggilan disambungkan pula kepada dua individu kononnya anggota polis dikenali Sarjan Kuha dan Inspektor Yong.

    Menurut beliau, kerani wanita berkenaan kemudian diminta memindahkan wang daripada akaunnya ke dalam ke akaun tertentu dengan alasan untuk mengelak aset dibekukan, selain ditahan pihak berkuasa.

    Katanya, individu yang menyamar sebagai Inspektor Yong itu juga meminta maklumat pengenalan dan kata laluan iRakyat milik mangsa di mana wanita itu akhirnya mengikuti arahan saspek.

    “Pada 10 Februari lalu, mangsa memindahkan wang RM28,000 seperti diminta suspek, sebelum menyedari baki wang dalam akaun miliknya juga hilang.

    “Mangsa kemudian menghubungi pihak bank bagi menyekat akaun miliknya,” ujar Mohd Wazir menerusi kenyataan media hari ini.

    Mohd Wazir memberitahu, modus operandi penipuan adalah memperdaya mangsa dengan menyamar sebagai pegawai KKM dan pegawai polis.

    Katanya, mangsa yang kerugian RM32,000 kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, semalam.

    Sementara itu menurut beliau, dalam kes berasingan, seorang wanita berusia 33 tahun kerugian lebih RM10,000 selepas terpedaya dengan individu yang menyamar sebagai wakil sebuah syarikat penerbangan, dengan modus operandi hampir sama.

    Katanya, kedua-dua kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

  • Perbelanjaan mencurigakan dalam kad kredit korporat MARA Corp

    Perbelanjaan mencurigakan dalam kad kredit korporat MARA Corp

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati terdapatnya beberapa perbelanjaan yang mencurigakan, dalam siasatan membabitkan dakwaan penyalahgunaan kad kredit korporat MARA Corporation (MARA Corp).

    Berikutan itu sumber SPRM berkata, pihak pengurusan MARA Corp, telah diminta hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya esok, untuk menjelaskan mengenai garis panduan penggunaan kad kredit korporat agensi berkenaan.

    “Dalam siasatan SPRM berhubung penyalahgunaan kad kredit korporat MARA Corp sejak minggu lepas, didapati terdapat perbelanjaan yang mencurigakan melibatkan beberapa pembelian barangan dan perkhidmatan, yang tidak melibatkan agensi berkenaan sepanjang Mac hingga Dis tahun lepas,” katanya kepada Bernama.

    Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai barangan dan perkhidmatan yang dibeli menggunakan kad kredit itu.

    Pada Khamis lepas, media melaporkan SPRM telah memulakan siasatan dakwaan penyalahgunaan kad kredit korporat oleh pengurusan tinggi MARA Corp.

    Dalam pada itu mengulas mengenai perkembangan siasatan membabitkan dakwaan salah laku dan integriti melibatkan beberapa pegawai kanan Majlis Amanah Rakyat (MARA), beliau berkata seramai 17 individu telah selesai dirakam keterangan dan 10 lagi akan dipanggil dalam minggu ini.

    “Kita jangka pada Khamis ini, kertas siasatan berkaitan kes ini akan dapat dibentangkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

    Pada 5 Feb lepas, SPRM mengesahkan menerima satu laporan berhubung dakwaan isu integriti melibatkan beberapa pegawai kanan MARA, yang sedang disiasat secara dalaman oleh agensi itu.

    Pada 7 Feb pula, SPRM menyerbu dan merampas beberapa dokumen daripada MARA, MARA Corp dan sebuah syarikat setiausaha korporat. – BERNAMA

  • Pejabat UMNO Mersing dipecah masuk, data PRN Johor hilang

    Pejabat UMNO Mersing dipecah masuk, data PRN Johor hilang

    PEJABAT UMNO Bahagian Mersing yang terletak di Jalan Ismail di Mersing dipercayai dipecah masuk selepas beberapa kelengkapan berharga premis itu didapati hilang.

    Ketua Puteri UMNO Bahagian Mersing, Rina Farhana Abdullah berkata, kejadian itu disedari kira-kira pukul 8 pagi tadi, ketika dia dan seorang lagi kakitangan hendak memulakan tugas sebelum mendapati pintu utama premis itu tidak berkunci.

    “Saya lihat pintu pejabat telah dipecah dan mendapati beg berwarna putih yang mengandungi enam unit telefon bimbit jenama Nokia, 10 keping kad sim pelbagai jenis, data Pilihan Raya Negeri Johor, baucar sagu hati petugas dan sebuah fail berisi senarai nama serta laporan sikap petugas telah hilang.

    “Bagaimanapun, beberapa laptop yang terletak berdekatan beg berkenaan tidak dicuri selain keadaan pejabat yang seperti biasa (tidak berselerak),” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mersing Supt Cyrill Edward Nuing mengesahkan pihaknya ada menerima laporan berhubung kejadian dan berkata kes itu masih dalam siasatan. – BERNAMA

  • Dua tokan diberkas, 3 kilogram dadah dirampas

    Dua tokan diberkas, 3 kilogram dadah dirampas

    POLIS memberkas dua lelaki yang aktif mengedar dadah sekitar Kamunting, Taiping dalam serbuan di sebuah premis pada Khamis lalu.

    Sinar Harian melaporkan, kedua-duanya ditahan pada pukul 9.30 malam oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, suspek berusia 24 dan 29 tahun itu ditahan bersama tiga kilogram dadah jenis heroin dan methamphetamine bernilai RM121,939.85.

    “Suspek pertama berperanan sebagai ‘runner’ didapati mengedar dadah sejak tiga bulan lalu dan pemeriksaan menjumpai dadah jenis heroin seberat 2.75 kilogram dan sebungkus methamphetamine seberat 256.89 gram.

    “Tindakan susulan berjaya menangkap lelaki berusia 29 tahun dipercayai tokan dalam sebuah kereta di hadapan premis,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping, Taiping hari ini.

    Menurutnya, siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis tetra hydrocannibol (THC) menerusi ujian saringan air kencing.

    “Polis turut menyita rantai emas, sebuah kereta dan motosikal dan dua telefon bimbit bernilai RM45,434.24. Tindakan itu diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

    “Dadah yang dijual untuk pasaran tempatan itu boleh dibekalkan kepada lebih 10,000 penagih,” katanya.

    Mior Faridalathrash berkata, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari sehingga Khamis ini untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • Penyeludup ketum nekad guna bot mewah rempuh bot Maritim Malaysia

    Penyeludup ketum nekad guna bot mewah rempuh bot Maritim Malaysia

    DUA penyeludup daun ketum warga tempatan yang menaiki bot penumpang mewah bertindak nekad merempuh bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam cubaan meloloskan diri, di kedudukan 5.8 batu nautika barat pantai Kurung Tengar di Kuala Perlis, semalam.

    Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 6.50 pagi itu, suspek mengemudi bot secara berbahaya dan bertindak merempuh bot penguat kuasa Maritim Malaysia.

    “Maritim Malaysia berjaya menahan dua suspek lelaki berumur 37 dan 48 tahun, setelah bot yang mereka naiki mengalami kerosakan teruk pada bahagian hadapan dan bocor akibat rempuhan itu.

    “Hasil pemeriksaan lanjut, kami menemukan 300 bungkusan plastik berwarna hitam serta 13 bungkusan plastik berwarna putih yang disyaki daun ketum dengan berat 3.2 tan metrik dianggarkan bernilai RM576,000 dan dipercayai cuba diseludup ke negara jiran,” katanya kepada pemberita, hari ini.

    Menurutnya, turut dirampas tiga enjin sangkut dianggarkan bernilai RM380,000 dan bot fiber bernilai RM180,000.

    Mohd Hashim berkata, ini merupakan kali pertama penyeludup menggunakan bot penumpang mewah berkuasa tinggi bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa.

    “Daripada hasil siasatan, kami dapati bot tersebut akan berlabuh di negara jiran dan hanya bergerak ke Malaysia untuk menyeludup keluar daun ketum,” katanya.

    Beliau berkata kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan daun ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut. – BERNAMA