Category: Jenayah

  • Mayat lelaki hanya berseluar dalam ditemukan di tempat pembuangan sampah

    Mayat lelaki hanya berseluar dalam ditemukan di tempat pembuangan sampah

    SATU mayat lelaki dalam keadaan terlentang dan hanya memakai seluar dalam ditemukan di tepi jalan Felda Maokil-Bukit Kepong, Lenga, dekat Muar pada Sabtu lepas.

    Ketua Polis Daerah Muar ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata mayat yang dijumpai pada pukul 11.50 pagi itu dipercayai berada di lokasi tempat pembuangan sampah berdasarkan terdapat longgokan sampah di kawasan terbabit.

    “Pemeriksaan fizikal terhadap mayat oleh Pasukan Forensik Zon Utara dan Pasukan Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar mendapati keadaan mayat telah mereput dengan tiada sebarang identiti mangsa diperoleh,” kata beliau dalam satu kenyataan di Muar lewat malam tadi.

    Beliau berkata mayat dihantar ke unit forensik Hospital Pakar Sultanah Fatimah dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan kecederaan kepala akibat trauma tumpul dan dipercayai adanya unsur jenayah.

    “Setakat ini, pihak polis masih lagi menyiasat keberadaan sebenar mayat sama ada ia (lokasi mayat ditemukan) merupakan tempat kejadian kematian berlaku atau merupakan tempat kejadian kedua (mayat diletakkan di situ).

    Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan membawa hukuman mati.

    Justeru, polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian itu untuk tampil ke Ibu Pejabat Polis Derah Muar bagi membantu siasatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Zakini Ab Latif menerusi talian 013-233 8184.

  • Dakwaan Pulau Pinang milik Kedah, Bukit Aman rakam keterangan Sanusi esok

    Dakwaan Pulau Pinang milik Kedah, Bukit Aman rakam keterangan Sanusi esok

    SETIAUSAHA Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin berkata, polis akan merakam percakapan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor esok susulan kenyataan Menteri Besar Kedah itu bahawa Pulau Pinang adalah milik Kedah.

    Noorsiah berkata, pihaknya menerima laporan polis berhubung kenyataan Sanusi itu dan susulan tersebut satu kertas siasatan dibuka.

    “Rakaman percakapan menteri besar Kedah di bawah seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah akan dirakam pada esok.

    “Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), D5 Bukit Aman di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Kes masih di peringkat siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor FMT.

    Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan adalah berkaitan menyebarkan berita yang mampu menimbulkan ketakutan atau kegentaran kepada awam manakala Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkait penyebaran kandungan dalam talian yang bersifat lucah, palsu ataupun mengancam individu lain.

    Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan polis sudah membuka kertas siasatan berkait dakwaan Sanusi dan kini sedang menunggu tindakan susulan oleh peguam negara.

    Pada 29 Mei lepas, Sanusi dilaporkan berkata, Kedah dan Pulau Pinang tidak ada sempadan kerana Pulau Pinang masih hak Kedah dan beliau mendakwa Kedah hanya mempunyai sempadan dengan Perak dan Perlis.

    “Kenyataan menteri besar Kedah tidak bertanggungjawab dan pihak polis telah mulakan siasatan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada dan mengambil tindakan sesuai agar menghindari kenyataan berterusan yang melanggar prinsip perlembagaan dan undang-undang.

    “Sebahagian laporan telah dikemukakan kepada peguam negara dan sedang menunggu untuk diambil tindakan sesuai,” katanya di Dewan Rakyat.

  • SPRM tahan ejen hartanah sambilan minta, terima rasuah

    SPRM tahan ejen hartanah sambilan minta, terima rasuah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan seorang ejen hartanah sambilan bagi membantu siasatan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah lebih RM20,000 sepanjang dua tahun lalu.

    Menurut sumber, suspek wanita yang berusia 40 itu ditahan di pejabat SPRM Johor Bahru pada pukul 5.30 petang tadi selepas hadir memberikan keterangan.

    Difahamkan, pada 2021 hingga 2022, suspek yang juga bertugas sebagai pegawai penguat kuasa sebuah jabatan telah meminta dan menerima wang rasuah itu daripada dua individu berlainan sebagai balasan mendapatkan tanah lot bukan bumiputera bagi sebuah projek perumahan di Johor.

    Suspek juga telah meyakinkan kedua-dua individu terbabit bahawa dirinya boleh mendapatkan lot tersebut dengan menggunakan jawatannya sebagai pegawai penguat kuasa sebuah jabatan.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

    Sementara itu, SPRM Cawangan Segamat menahan seorang pembantu tadbir kewangan, pihak berkuasa tempatan (PBT) juga bagi membantu siasatan kerana disyaki menggunakan kedudukan dan jawatannya untuk memasukkan tunggakkan gaji dan elaun ke akaun gajinya sendiri, tahun lalu.

    Suspek wanita yang berusia 32 itu ditahan di pejabat SPRM Cawangan Segamat pada pukul 2 petang tadi selepas hadir memberikan keterangan.

    Difahamkan, dia yang sepatutnya tidak layak menerima tunggakan gaji dan elaun tersebut telah memasukkan wang berkenaan ke akaun gajinya kira-kira lebih RM1,000 untuk tempoh dua bulan iaitu pada Februari dan April.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan kedua-dua penahanan terbabit.

    Kedua-dua suspek kemudian dilepaskan dengan jaminan SPRM.

  • Bot tempatan gajikan 4 PATI Myanmar ditahan

    Bot tempatan gajikan 4 PATI Myanmar ditahan

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C di perairan negeri itu semalam kerana menggajikan pekerja warga asing tanpa permit yang sah.

    Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kapten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bot itu ditahan di kedudukan 33 kilometer barat Pulau Kendi, pukul 2 petang.

    Katanya, semasa rondaan rutin di perairan pulau berkenaan, pasukan bot ronda Maritim Malaysia telah mengesan bot itu dan dirapati untuk pemeriksaan.

    Jelas beliau, hasil pemeriksaan mendapati, empat kru nelayan termasuk tekong warga Myanmar berumur antara 26 hingga 31 tahun yang berada di atas bot itu tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

    “Bot berkenaan disyaki melakukan kesalahan dibawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana telah melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan kru asing tanpa kebenaran dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki permit atau pas yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya, kesemua kru, bot, dan hasil tangkapan ikan campur sebanyak 100 kilogram ditahan serta dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin, Batu Uban untuk tindakan lanjut.

    Tambahnya, orang ramai yang mempunyai sebarang aduan, salah laku dan kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-262 6146 atau MERS 999 untuk tindakan segera.

  • Polis tahan lelaki pukul kepala pemandu wanita

    Polis tahan lelaki pukul kepala pemandu wanita

    LELAKI tular videonya memukul kepala seorang pemandu wanita semasa dalam perjalanan dari Cameron Highlands menuju ke Tapah Perak, petang semalam, ditahan polis hari ini.

    Memetik laporan AlHijrah Online, lelaki tersebut telah ditahan petang tadi dan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah bagi tindakan lanjut.

    Difahamkan Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri akan mengeluarkan kenyataan berhubung kejadian dalam masa terdekat.

    Terdahulu tular video memaparkan seorang lelaki berbaju merah keluar daripada kereta Proton Persona dipandunya dan mengetuk cermin kenderaan di belakangnya sebelum memarahi pemandu wanita serta memukul kepala mangsa.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang melibatkan pemandu wanita berusia 24 tahun berkenaan dilemparkan kata-kata kesat oleh lelaki itu sebelum kepalanya dipukul.

  • Ketua Polis Daerah ditahan terima rasuah lebih RM1 juta

    Ketua Polis Daerah ditahan terima rasuah lebih RM1 juta

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah (SPRM) Pahang menahan seorang Ketua Polis Daerah kerana disyaki menerima rasuah dianggarkan lebih RM1 juta sejak 2017 hingga 2022.

    SPRM dalam kenyataan berkata, pegawai kanan polis berusia 53 tahun tersebut disyaki menerima rasuah bagi melindungi aktiviti pusat hiburan dan pusat urut di sekitar daerah kawalannya.

    “Bayaran rasuah ini disyaki bagi melindungi pusat hiburan dan pusat urut yang tidak berlesen daripada sebarang tindakan dan gangguan pihak berkuasa,” menurut kenyataan tersebut, hari ini.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang, Hairuzam Amin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan namun enggan mengulas lanjut.

    “Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009,” katanya, lapor Harian Metro.

  • 3 ditahan termasuk ahli perniagaan wanita dalang sindiket pengedaran dadah

    3 ditahan termasuk ahli perniagaan wanita dalang sindiket pengedaran dadah

    KEGIATAN satu sindiket yang menghantar dadah dengan kenderaan selepas mendapat pesanan tumpas selepas pihak polis menahan seorang wanita di sebuah rumah di Iskandar Puteri, Johor, pada Khamis lalu.

    Anggota Jabatan Siasatan Jenayah NArkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dengan kerjasama JSJN IPK Johor menahan wanita berusia 45 tahun yang juga ibu kepada dua orang anak itu dalam operasi khas bermula pukul 2 petang hingga 11.30 malam.

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Shuhaily Mohd. Zain berkata, wanita berkenaan ditahan susulan penahanan dua lelaki berusia 30 dan 40 tahun di tempat letak kereta di Jalam Cemur, di Kuala Lumpur, pada hari sama.

    “Dalam serbuan pertama polis menahan dua lelaki terbabit dan merampas ganja seberat 52 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM160,000 dalam sebuah kereta Perodua Beza selain merampas sebuah kereta jenis Honda HR-V dan wang tunai RM485.

    “Susulan ke atas maklumat serbuan itu, polis kemudian melakukan serbuan kedua di sebuah rumah di Nusajaya, Johor, sebelum menahan wanita terbabit yang juga seorang ahli perniagaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, sindiket pengedaran dadah ini dikesan bergerak aktif sejak sebulan lalu dan menjadikan Kuala Lumpur sebagai kawasan pengedaran dadah kepada pelanggan.

    “Modus operandi sindiket ini adalah membuat penghantaran dadah kepada pelanggan dengan menggunakan kenderaan selepas mendapat pesanan.

    “Dua lelaki yang ditahan itu bertindak sebagai penghantar manakala suspek wanita terbabit adalah perancang utama kumpulan ini dan menjadikan aktiviti pengedaran dadah sebagai punca pendapatan utama,” katanya.

    Menurutnya, kedua-dua suspek terbabit direman selama tujuh hari sehingga 9 Jun ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

    “Orang ramai boleh menyalurkan terus sebarang maklumat berkaitan dadah dengan menghubungi Hotline JSJN melalui aplikasi WhatsApp di talian 012-2087222 (24 jam),” katanya, lapor Harian Metro.

  • Pegawai bank rugi RM53,700 ditipu sindiket kerja sambilan

    Pegawai bank rugi RM53,700 ditipu sindiket kerja sambilan

    SEORANG pegawai bank mengalami kerugian sebanyak RM53,700 akibat diperdaya sindiket penipuan yang menawarkan pekerjaan sambilan secara dalam talian pada Ahad.

    Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, pihaknya menerima aduan berkaitan kejadian itu daripada seorang lelaki berusia 41 tahun pada hari yang sama.

    Beliau berkata, pengadu menyertai tawaran kerja sambilan dalam Facebook pada pukul 11 pagi.

    Menurutnya, mangsa telah dijanjikan komisen sebanyak 30 peratus daripada jumlah pembayaran.

    “Bagi tugasan pertama pengadu mendapat pulangan sebanyak RM130, selepas itu, dia telah membuat enam kali transaksi ke dalam dua akaun berbeza.

    “Pengadu gagal mendapat pulangan dan bayaran balik serta mensyaki dirinya telah ditipu kerana jumlah bayaran yang diminta semakin besar.

    “Pengadu juga dimaklumkan sekiranya dia berhenti membuat kerja tersebut wangnya akan hangus,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    A. Asmadi berkata, laporan polis dibuat mangsa dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

  • Dua ditahan menyamar polis termasuk penjawat awam

    Dua ditahan menyamar polis termasuk penjawat awam

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DUA lelaki termasuk seorang penjawat awam ditahan selepas disyaki terbabit dalam insiden menahan kenderaan orang awam dengan menyamar sebagai polis yang videonya tular semalam.

    Sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai memberkas dua suspek berkenaan iaitu dua lelaki tempatan berusia 43 dan 48 tahun pukul 6 petang semalam.

    Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, tangkapan dibuat di sebuah kawasan perumahan di Permas, Kukup, Pontian.

    Jelas beliau, eorang suspek adalah penjawat awam manakala seorang lagi iaitu suspek ketiga masih bebas dan sedang dikesan.

    “Semakan rekod jenayah lampau mendapati penjawat awam berkenaan tiada rekod, namun suspek kedua mempunyai rekod bersabit kes dadah.

    “Polis turut merampas sehelai baju pantulan cahaya, satu ‘beacon light’ mudah alih, lampu suluh, ‘headlight’ dan sebuah Honda City serta anak kunci.

    “Permohonan reman ke atas kedua-dua suspek dibuat di Mahkamah Majistret Kulai pagi tadi dan seorang suspek direman dua hari.

    “Permohonan reman ke atas suspek yang juga penjawat awam pula ditolak,” katanya menerusi kenyataan akhbar, hari ini.

    Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai polis dan Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967 kerana disyaki terbabit dalam penyeludupan barang.

    Pada pukul 1.52 tengah hari semalam, polis menerima laporan berhubung satu video tular di Facebook memaparkan sekumpulan lelaki menyamar sebagai polis dalam cubaan menahan sebuah kenderaan di Kilometer (KM) 41.5 Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke utara.

    Dalam video berkenaan, tiga lelaki yang menyamar sebagai polis itu menggunakan lampu ‘beacon’ seakan polis dan cuba mengarahkan mangsa untuk menghentikan kenderaannya.

    Pemilik akaun bernama Freeman Gan memaklumkan dia dikejar kereta seperti pasukan polis ketika dalam perjalanan dari Singapura ke Genting Highlands melalui lebuh raya itu.

    Sementara itu, Kamarul Zaman menyeru masyarakat supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah dan penyeludupan yang berlaku di kawasan sekitar.

    Pihaknya juga memohon bantuan orang ramai mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas.

    “Polis tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak mengikut undang-undang dalam usaha membanteras kejadian jenayah,” tegas beliau.

  • Remaja 13, 15 tahun pandu lori RORO ditahan

    Remaja 13, 15 tahun pandu lori RORO ditahan

    JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor menahan seorang lelaki berusia 13 tahun ketika memandu lori Roll On Roll Off (RORO) di Persiaran Mokhtar Dahari pukul 12.30 tengah hari Sabtu.

    Pengarah JPJ Selangor, Datuk Khairul Khar Yahya berkata, remaja berkenaan ditahan ketika pihak anggota JPJ sedang melakukan rondaan
    selepas mengesan kenderaan berat tanpa muatan itu dalam keadaan mencurigakan.

    “Hasil pemeriksaan mendapati lori berkenaan dipandu remaja lelaki bersama abangnya berusia 15 tahun sebagai kelindan.

    “Selain memandu bawah umur, kita turut mengesan pelbagai kesalahan lain antaranya Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, cermin gelap, memasang lampu mata arah (strobe light) serta tiada tanda had laju,” katanya memetik laporan Berita Harian.

    Beliau berkata, siasatan awal mendapati remaja yang masih bersekolah itu melakukan kerja secara sambilan memandu lori RORO milik syarikat keluarganya.

    Katanya, JPJ bertindak menyita lori terbabit mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

    Kenderaan itu ujar beliau, dibawa ke Stesen Penguatkuasa Ijok untuk tindakan lanjut.

    Khairul Khar menegaskan memandu di bawah umur boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 39 APJ 1987.

    Tambahnya, bagi sebarang aduan trafik, orang awam boleh menyalurkan kepada [email protected] atau platform aplikasi e-aduan@JPJ beserta butiran pengadu dan butiran aduan.