Category: Jenayah

  • Pengawal keselamatan maut, seorang cedera ditembak perompak bank

    Pengawal keselamatan maut, seorang cedera ditembak perompak bank

    POLIS mengesahkan seorang pengawal keselamatan sebuah syarikat van membawa wang tunai maut ditembak manakala seorang lagi cedera berhampiran sebuah bank di Puchong Prima, Kuala Lumpur, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, kedua-dua pengawal keselamatan berkenaan dipercayai sedang mengawal keselamatan van yang membawa sejumlah wang tunai.

    “Setakat ini, polis masih menyiasat sama ada mereka hendak mengambil wang dari bank atau mengeluarkan wang dari van untuk di bawa ke bank berkenaan.

    “Suspek yang terlibat berjaya meloloskan diri,” katanya kepada Bernama.

  • Tanah runtuh: Mangsa keempat, kelima ditemukan meninggal dunia

    Tanah runtuh: Mangsa keempat, kelima ditemukan meninggal dunia

    MANGSA keempat dan kelima tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang, Kuala Lumpur, ditemukan dan disahkan meninggal dunia.

    Kedua-kedua lelaki itu merupakan korban ketiga dan keempat dalam insiden tanah runtuh.

    Sebelum itu seorang wanita warga emas dan seorang lelaki turut maut manakala seorang lelaki cedera.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata kedua-dua mangsa merupakan lelaki warga tempatan dengan seorang daripada mangsa merupakan pekerja Syarikat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd.

    Beliau berkata mangsa keempat ditemukan pada pukul 12.46 tengah malam manakala mangsa kelima dijumpai pada pukul 1.59 awal pagi ini.

    Identiti kesemua mangsa yang meninggal dunia masih belum dikenal pasti, katanya.

    “Oleh itu, operasi mencari dan menyelamat kesemua mangsa ditamatkan pada awal pagi ini,” katanya dalam sidang media di lokasi kejadian.

    Beliau berkata polis akan membuat kawalan keselamatan selama 24 jam bagi memastikan barang-barang milik penghuni terjejas tidak hilang dan rumah mereka tidak diceroboh.

    Mohamad Farouk meminta jika ada penghuni-penghuni yang rumahnya diceroboh untuk membuat laporan polis.

    Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata pihaknya akan menggunakan Unit Anjing Pengesan K-9 di tapak runtuhan bagi memastikan tiada mangsa lain yang terlibat.

    “Kerja-kerja pembersihan tanah runtuh akan dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya,” katanya.

    Tinjauan Bernama mendapati sebilangan ahli pasukan mencari dan menyelamat daripada pasukan polis dan Angkatan Pertahanan Awam dilihat mula bersurai dari lokasi kejadian susulan penemuan kesemua lima mangsa.

    Pada masa sama, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia juga mula mengemas khemah rawatan khas susulan penamatan operasi mencari dan menyelamat (SAR) oleh polis kira-kira 2 pagi. – Bernama

  • Penghantar makanan nyaris diterkam harimau di Dungun

    Penghantar makanan nyaris diterkam harimau di Dungun

    SEORANG penghantar makanan mendakwa dirinya nyaris diterkam seekor harimau belang dalam kejadian di Taman Bersekutu dekat Dungun, malam tadi.

    Dalam kejadian pada 8.40 malam itu, Mohd Shafiq Mamat, 27, berkata dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Permint Indah, sejurus selesai menghantar pesanan pelanggan di sekitar kawasan tersebut.

    “Tiba-tiba saya ternampak kelibat harimau di sebelah kanan motosikal dan ia dilihat cuba menerkam ke arah saya, tak fikir panjang, saya terus pecut selaju yang mampu untuk selamatkan diri.

    “Saya mengucap banyak-banyak dan berdoa agar tidak berlaku sebarang kejadian tidak diingini. Saya sempat menoleh ke arah harimau itu semula, jaraknya dengan saya lebih kurang lima meter sahaja, mujurlah akhirnya ia berhenti mengejar,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Dia yang hampir dua tahun bekerja sebagai penghantar makanan menyifatkan insiden itu sebagai pengalaman paling ngeri pernah dilaluinya setakat ini dan mengakui masih trauma dengan kejadian tersebut.

    Menurut Mohd Shafiq, pada anggarannya saiz harimau belang itu lebih besar daripada motosikalnya dan ketinggiannya pula lebih kurang paras paha lelaki dewasa.

    Katanya lagi, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Taman Bersekutu telah membuat laporan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu untuk tindakan lanjut.

    Sementara itu, Pengarah Perhilitan Terengganu Loo Kean Seong berkata kakitangan jabatan itu telah ke lokasi tersebut untuk menjalankan siasatan dan membuat pemantauan.

    “Saya berharap kejadian seperti ini akan segera dilaporkan kepada Perhilitan, bukan sekadar dikongsi dan tular di media sosial semata-mata kerana lebih cepat laporan dibuat lebih memudahkan siasatan,” katanya. – Bernama

  • Pasangan suami isteri ditemui maut dalam bilik air

    Pasangan suami isteri ditemui maut dalam bilik air

    SEPASANG suami isteri ditemui maut dalam bilik air di rumahnya di Taman Puncak Teringkap, Cameron Highlands, Kuantan, hari ini.

    Kejadian tersebut dimaklumkan kepada pihak bomba pada pukul 9.20 pagi sebelum tujuh pegawai dan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

    Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, apabila tiba di lokasi kita mendapati pasangan terbabit telah jatuh di dalam bilik air.

    “Kedua-dua mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai kesihatan. Saya difahamkan pasangan itu antara berusia 35 dan 40 tahun,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Beliau menjelaskan, mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya

  • 14 PATI Indonesia cuba masuk masuk Malaysia ikut jalan laut ditahan

    14 PATI Indonesia cuba masuk masuk Malaysia ikut jalan laut ditahan

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan seramai 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba memasuki perairan negara ini pagi semalam.

    Pengarah Maritim Malaysia Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan Op Pertiwi menerima maklumat daripada komuniti nelayan berhubung sebuah bot yang sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan kira-kira pukul 9.30 pagi.

    Menurut beliau, hasil maklumat tersebut anggota bot ronda Maritim Malaysia telah menahan bot kayu terbabit yang dipercayai dari Indonesia bersama 14  penumpang di kedudukan 2.9 batu nautika barat daya Sungai Pinang.

    “Ketika bot ronda Maritim Malaysia menghampiri bot tersebut untuk pemeriksaan, empat individu dalam bot berkenaan telah bertindak terjun laut  untuk melarikan diri, namun cubaan mereka gagal selepas diselamatkan dan kemudian ditahan bersama PATI yang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut beliau, hasil pemeriksaan awal mendapati bot yang dinaiki oleh 14 lelaki dipercayai warga Indonesia berumur antara 21 hingga 51 tahun termasuk tekong itu dalam perjalanan dari pangkalan daerah Seruway, Acheh dan cuba memasuki Malaysia melalui jalan laut yang tidak diwartakan.

    Sehubungan itu jelasnya, kesemua PATI berkenaan ditahan dan dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

    “Kes akan disiasat di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Akta Imigresen 1959/63 iaitu kesalahan melakukan aktiviti penyeludupan migran dan memasuki Malaysia melalui pintu yang tidak diwartakan,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau berterima kasih kepada komuniti maritim yang prihatin dalam menyalurkan maklumat atau aduan segera yang melibatkan aktiviti jenayah di persekitaran mereka dan berharap dapat dikekalkan dan dipertingkatkan demi kesejahteraan bersama.

    Tambah beliau, sebarang aduan salah laku jenayah maritim di laut  atau sebarang kecemasan boleh disalurkan di talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian (04-2626146) atau talian kecemasan MERS 999.

  • Lelaki maut tergelincir jatuh sungai semasa cuci motosikal

    Lelaki maut tergelincir jatuh sungai semasa cuci motosikal

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki maut selepas terjatuh dari tebing sungai dipercayai tergelincir semasa membasuh motosikalnya di Estet Gemas Baru, Gemas, Segamat, semalam.

    Kejadian tersebut dilaporkan kepada pihak bomba pada pukul 6.56 petang sebelum 16 anggota dengan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian.

    Menurut Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Segamat, Penolong Penguasa Bomba Muhd Hazim Abdul Razak, operasi mencari dan menyelamat remaja lelaki tersebut, G. Hematharshan, 19, digerakkan malam tadi.

    “Hasil pencarian secara ‘surface searching’ oleh pasukan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), mangsa berjaya ditemui pada pukul 2.27 pagi pada jarak lebih kurang 10 meter dari lokasi mangsa dilaporkan jatuh.

    “Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi tamat pada jam 3.40 pagi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

  • Bekas pengarah ditahan SPRM terima rasuah RM1.2 juta

    Bekas pengarah ditahan SPRM terima rasuah RM1.2 juta

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang bekas pengarah sebuah jabatan kerajaan negeri kerana dipercayai meminta dan menerima rasuah lebih RM1.2 juta pada 2017 dan 2018.

    Astro Awani melaporkan, bekas pengarah berkenaan menerima suapan membabitkan kerja-kerja perkhidmatan daripada dua buah syarikat.

    Lelaki berusia dalam lingkungan 50-an itu ditahan di pejabat SPRM Sabah di Kota Kinabalu kira-kira pukul 10 pagi tadi.

    Katanya, lelaki itu yang kini berkhidmat dengan sebuah agensi kerajaan lain disyaki menerima habuan itu sebagai balasan memberi projek perkhidmatan penundaan di jabatan tersebut antara tahun 2017 hingga 2018.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi, mengesahkan tangkapan itu.

    Beliau berkata, bekas pengarah itu disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

  • Lelaki menganggur lastik kenderaan di lampu isyarat

    Lelaki menganggur lastik kenderaan di lampu isyarat

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Polis menahan seorang lelaki setelah klip video memaparkan tindakannya melastik ke arah kenderaan lain tanpa sebab, menjadi tular di media sosial sejak semalam.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner (ACP) Adzli Abu Shah berkata, kejadian itu dipercayai berlaku ketika lelaki berkenaan yang merupakan seorang penganggur berusia 49 tahun, memberhentikan motosikalnya di lampu isyarat Amanjaya, Sungai Petani, Kedah kira-kira pukul 6.20 petang.

    “Ketika kejadian, lelaki itu dipercayai melastik ke arah sebuah lori yang berada di laluan bertentangan. Perbuatannya itu turut dirakam seorang pengguna jalan raya lain yang turut memuat naik klip video berkenaan di Facebook bagi mengingatkan orang ramai agar berhati-hati.

    “Laporan polis turut dibuat terhadap kejadian tersebut. Susulan itu, sepasukan pegawai dan anggota polis telah menahan suspek di sebuah rumah di Taman Desa Aman, Sungai Lalang, Bedong kira-kira pukul 11 malam tadi,” katanya.

    Adzli menambah, suspek didakwa mengaku terlibat dalam kes tersebut dengan rampasan barang kes iaitu lastik serta batu turut dibuat setelah ia ditemukan dalam raga motosikal miliknya.

    “Suspek mendakwa mengalami halusinasi ketika melakukan perbuatan tersebut. Ujian urin mendapati dia positif dadah jenis MOP dan turut mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan kes dadah,” katanya.

    Kes lelaki melastik kenderaan tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • Jurujual parah ditikam rakan mabuk

    Jurujual parah ditikam rakan mabuk

    Oleh RIZQI ZABIDI

    BAHANA mabuk, seorang jurujual lelaki parah ditikam rakannya selepas kedua-dua mereka menikmati minuman keras di sebuah restoran, Jalan Simpang Empat, Alor Setar, Kedah, semalam.

    Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner (ACP) Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, mangsa yang berusia 38 tahun dikatakan minum bersama suspek berusia 60-an di restoran tersebut sebelum kedua-duanya dipercayai mabuk.

    “Saksi mendakwa, kedua-dua mereka berperang mulut dalam keadaan mabuk sebelum berlaku pergelutan.

    “Dalam pergelutan itu, mangsa dikatakan ditikam suspek yang merupakan seorang mekanik menggunakan gunting. Ekoran itu, mangsa kemudiannya mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta Alor Setar,” katanya.

    Berikutan kejadian itu katanya, mangsa mengalami kecederaan parah dengan kesan tikaman di beberapa bahagian badan selain terdapat pendarahan di paru-paru kanan.

    “Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk mendapatkan rawatan lanjut. Suspek pula berjaya diberkas dan pihak kami turut merampas gunting yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu,” katanya.

    Kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dengan suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.