Category: Jenayah

  • Pelajar asrama nyaris buta dicurah air sabun ketika tidur

    Pelajar asrama nyaris buta dicurah air sabun ketika tidur

    SEORANG pelajar lelaki Tingkatan Satu nyaris hilang penglihatan selepas rakannya bertindak mencurah cecair sabun mandi ketika tidur di sebuah sekolah berasrama di Gerik.

    Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, maklumat kejadian itu diterima setelah bapa mangsa membuat laporan polis sekitar pukul 12.22 tengah hari semalam.

    Jelas beliau, siasatan yang dijalankan mendapati kejadian itu berlaku pada 19 Mei lalu sekitar pukul 1.15 pagi.

    “Kedua-dua belah mata mangsa berusia 13 tahun dicurah cecair dipercayai sabun mandi dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh.

    “Pemeriksaan yang dijalankan pakar mengesahkan mangsa mengalami kecederaan ‘bilateral eye chemical injury grade 1’ dan perlu menjalani rawatan susulan,” katanya ketiak dihubungi.

    Menurut beliau, remaja lelaki terbabit telah ditahan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

    Katanya, beberapa saksi termasuk guru dan pelajar akan dipanggil bagi membantu siasatan.

    “Kertas siasatan akan dirujuk kepada pihak pendakwaan untuk tindakan lanjut,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Kanak-kanak perempuan berusia setahun jadi mangsa dera teman lelaki ibu

    Kanak-kanak perempuan berusia setahun jadi mangsa dera teman lelaki ibu

    SEORANG kanak-kanak perempuan berusia setahun mengalami kecederaan selepas dipercayai didera teman lelaki ibunya di sebuah rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang, di Sentul semalam.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju DSP Saralathan Duraisamy dalam satu kenyataan, berkata pihaknya menerima laporan berkenaan pada pukul 5.05 petang hari yang sama.

    Katanya, bayi itu cedera di bahagian belakang badan, bengkak di bibir serta lebam pada kedua-dua belah matanya.

    “Hasil maklumat awal, suspek seorang lelaki warga tempatan yang merupakan teman lelaki kepada ibu mangsa telah mendera mangsa dan telah melarikan diri sebelum pihak polis tiba di lokasi kejadian,” katanya lapor Astro Awani.

    Beliau berkata, mangsa kini menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

    Katanya, siasatan awal polis mendapati punca mangsa dipukul adalah kerana membuat bising dan ibunya dikatakan cuba menghalang teman lelakinya itu tetapi tidak berdaya.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes itu menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju menerusi talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur 03-21159999 atau balai polis berhampiran.

  • Polis kesan penumpang lelaki cabul pelajar perempuan

    Polis kesan penumpang lelaki cabul pelajar perempuan

    SEORANG penumpang lelaki yang disyaki meraba pelajar perempuan sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) dalam sebuah bas ekspres di Gerik kelmarin kini diburu polis.

    Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, maklumat kejadian itu diterima daripada mangsa berusia 22 tahun yang membuat laporan di Balai Polis Banggol Judah, Kelantan.

    “Mangsa mendakwa telah diraba seorang lelaki berusia lingkungan 20an yang duduk di kerusi belakang semasa dalam perjalanan dari Seri Iskandar ke Tanah Merah, Kelantan.

    “Kejadian itu berlaku semasa mangsa sedang tidur dan bas ekspres berada berhampiran Hentian Rehat dan Rawat Titiwangsa,” katanya dalam satu kenyataan di Gerik hari ini.

    Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan iaitu cabul, lapor Sinar Harian.

    Orang ramai yang mengetahui kejadian ini boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik di talian 05-7912222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

  • ‘Ia bukan lawak, anak saya masih bersedih kerana kehilangan ayahnya’, kata Isteri mangsa MH370

    ‘Ia bukan lawak, anak saya masih bersedih kerana kehilangan ayahnya’, kata Isteri mangsa MH370

    ISTERI mangsa MH370 kecewa dan mengecam
    tindakan pelawak Singapura, Jocelyn Chia kerana menjadikan tragedi kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 sebagai bahan jenakanya yang disifatkan keji dan menjijikkan.

    Isteri kepada pramugara pesawat MH370, Mohd. Hazrin Mohamed Hasnan iaitu Intan Maizura Othaman menyifatkan tindakan pelawak solo berkenaan juga tidak peka terhadap sensitiviti kehilangan kapal terbang berkenaan.

    “Jocelyn Chia mengetahui bahawa lawak yang digunakan menyinggung perasaan orang ramai namun tetap mahu menjadikannya sebagai jenaka.

    “Lihatlah dia (Jocelyn) tertawa dengan gurauannya sendiri. Ia bukan lawak. Seteruk mana pun kamu, tetapi jangan buat jenaka dengan menyebut MH370. Anak saya Muhammad masih bersedih sehingga hari ini disebabkan kehilangan ayahnya.

    “Tahukah kamu berapa ramai lagi ibu yang masih menangis hingga sekarang. Kamu memang tidak tahu sebab tiada empati dan perasaan.

    “Atau mungkin anda juga tidak mempunyai keluarga. Jika kamu ada keluarga pun saya pasti mereka malu dengan tindakan bodoh kamu,” katanya menerusi hantaran video di TikTok dan tulisan dalam Facebook.

    Katanya, secara peribadi dia melihat jenaka Jocelyn sebagai tangisan yang mahukan pertolongan daripada manusia terdesak dan keji.

    Pada masa sama, Intan Maizura turut berkata, orang ramai akan mendapat lawak hambar apabila menghadiri sesuatu acara dengan menampilkan seseorang yang tidak mengetahui cara sebenar berjenaka.

    Menurutnya, tiada keperluan menggunakan isu kontroversi semata-mata mahu meraih populariti dengan begitu cepat dan normalisasi menggunakan topik mengguris perlulah dihentikan.

    “Ingatlah bahawa perasaan rendah diri dan tidak yakin kepada diri sendiri kadangkala boleh mengubah perilaku seseorang.

    “Ia boleh membuatkan seseorang membenci diri sendiri dan mencerminkan diri sebagai individu yang tidak berhati perut atau mungkin tiada otak,” katanya.

  • Dua penyamun berparang ditembak mati di Cheras

    Dua penyamun berparang ditembak mati di Cheras

    POLIS menembak mati dua penyamun bersenjatakan parang sebelum mereka sempat memecah masuk sebuah rumah di Cheras awal pagi tadi.

    Harian Metro melaporkan, polis menerima maklumat awam berkaitan pergerakan mencurigakan empat lelaki, disyaki warga asing di sekitar Lorong Jintan, Taman Supreme, kira-kira 3.30 pagi.

    Sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, yang membuat rondaan kemudian diarahkan melakukan pemeriksaan.

    Apabila polis tiba di lokasi, empat penyamun dianggarkan berusia 30 hingga 40-an itu cuba menyerang anggota menggunakan parang.

    Dalam usaha mempertahankan diri, polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah suspek dan membunuh dua daripada mereka, sementara dua lagi suspek lolos.

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, anggotanya menemukan beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan pecah rumah, termasuk pemotong besi dan parang.

    Bagaimanapun, tiada senjata api dijumpai pada kedua-dua suspek yang ditembak mati.

    Shuhaily berkata, pihaknya masih melakukan siasatan lanjut dan dalam usaha mengenal pasti identiti suspek.

    “Selepas kita buat siasatan lanjut dan kenal pasti identiti mereka, baru kita boleh tahu siapa dia (suspek) dan kaitkan dengan kes lain.

    “Kita dapat maklumat…dua (suspek lain) melarikan diri guna sebuah kereta dengan nombor plat palsu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

    Menurutnya, usaha mengesan suspek yang meloloskan diri giat dijalankan.

  • Polis tahan lima sekeluarga, rampas dadah dan pistol

    Polis tahan lima sekeluarga, rampas dadah dan pistol

    POLIS menahan lima sekeluarga termasuk seorang budak lelaki berusia 11 tahun dan remaja perempuan berusia 13 tahun selepas penemuan sepucuk pistol, 11 peluru serta 952 pil kuda bernilai RM10,472 di sebuah rumah di Kampung Takang, Tawang, Bachok pada 30 Mei lalu.

    Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, turut ditahan suspek utama yang juga bapa saudara kepada kanak-kanak tersebut iaitu seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun, isterinya warganegara Thailand (22 tahun) dan ibu wanita itu warganegara sama (53 tahun).

    “Serbuan pada pukul 7 malam itu menemukan pistol jenis Steyr Mannlicher M004124 bersama kelopak dan peluru berukuran sembilan milimeter.

    “Siasatan awal motif pemilikan senjata api dipercayai ada kaitan dengan kegiatan pengedaran dadah dan menjadi keperluan jika berlaku pertikaian dalam kalangan mereka.

    “Berdasarkan penemuan pistol itu, suspek berkemungkinan terlibat dengan rangkaian yang lebih besar seperti sindiket dan bukan sekadar pusher,” katanya dalam sidang akbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di Kota Bharu hari ini.

    Katanya, siasatan lanjut bagaimanapun masih diteruskan dan ujian urin suspek utama didapati positif dadah.

    Muhamad Zaki berkata, turut dirampas ialah sebotol kecil bertulis weapons oil medium, dua berus, barangan kemas bernilai RM4,300 dan sebuah kereta jenis Proton Wira bernilai RM6,500.

    “Kesemua suspek dewasa ialah penganggur. Mereka direman bermula 31 Mei lalu sehingga Selasa ini bagi membantu siasatan,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1971.

  • Polis kesan lelaki bantu siasatan kes bunuh di Klang

    Polis kesan lelaki bantu siasatan kes bunuh di Klang

    POLIS Klang Selatan sedang mengesan seorang lelaki tempatan yang disyaki terbabit dengan kejadian bunuh di sebuah rumah di Taman Sentosa Utama, Klang, bulan lepas.

    Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong berkata lelaki itu ialah B Perkas Rao @ Rider, 41, yang memiliki empat rekod jenayah lampau dan dua rekod berkaitan dadah.

    “Hasil siasatan mendapati mangsa yang berusia 34 tahun dipukul suspek di dalam rumah berkenaan pada 26 Mei lepas.

    “Mangsa mengalami 27 kesan pelbagai kecederaan pada seluruh badan dan patah tulang kaki kiri yang menjadi punca kematiannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkannya kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di talian 03-3376 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

  • Dua mayat ditemui dalam tasik di Kepong

    Dua mayat ditemui dalam tasik di Kepong

    PASUKAN bomba membantu polis mengeluarkan dua mayat yang ditemui dalam Taman Tasik Metropolitan Kepong di Kuala Lumpur, hari ini.

    Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Peyelamat Kuala Lumpur dalam kenyataan, memaklumkan menerima panggilan kecemasan kes itu menerusi talian MERS999 pada pukul 10.21 pagi tadi.

    Katanya, seramai 14 anggota serta jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jinjang serta BBP Jalan Hang Tuah ke lokasi untuk operasi membawa naik dua mayat berkenaan.

    “Mangsa pertama, seorang wanita dewasa warga tempatan berumur 30 tahun ditemui terapung, berjaya dikeluarkan dan diserah kepada polis.

    “Pada operasi sama, Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) bomba turut menemui seorang lagi mangsa yang tenggelam dalam tasik berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Katanya, mangsa dikenal pasti sebagai seorang lelaki warga emas berusia 72 tahun dan mayatnya juga diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

    Setakat ini belum dapat dipastikan punca kejadian dan sedang menunggu maklumat lanjut daripada pihak polis lapor BH.

  • Ugut, pukul kepala wanita:Abang sado baju merah direman 3 hari

    Ugut, pukul kepala wanita:Abang sado baju merah direman 3 hari

    LELAKI berbadan tegap yang tular dalam rakaman memukul kepala dan mengugut seorang pemandu wanita semasa dalam perjalanan dari Cameron Highlands ke Tapah direman selama tiga hari.

    Perintah reman bermula hari ini sehingga Jumaat itu dikeluarkan Majistret Siti Hanum Mohmad Sah di Mahkamah Majistret Tapah, lapor Sinar Harian.

    Lelaki berusia 29 tahun terbabit tiba di mahkamah sekitar pukul 8.35 pagi berpakaian lokap warna ungu dengan tangan bergari dan diiringi anggota polis.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan bagi kesalahan mendatangkan cedera serta Seksyen 506 dan 509 kanun sama kerana melakukan ugutan jenayah dan perbuatan mengaibkan kehormatan.

    Semalam, lelaki terbabit ditahan di sekitar Serdang, Selangor selepas mangsa berusia 24 tahun itu membuat laporan polis berhubung insiden terbabit.

    Lelaki yang bekerja sebagai penyelia kilang di Serdang itu kemudiannya di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah untuk siasatan lanjut.

    Siasatan awal polis mendapati, kejadian itu berlaku sekitar pukul 5.33 petang kelmarin ketika mangsa dalam perjalanan turun dari Cameron Highlands menuju ke Tapah bersama adik lelakinya berusia 17 tahun.

    Kejadian dikatakan berlaku akibat salah faham di atas jalan raya sekitar pusat peranginan Lata Iskandar apabila mangsa cuba memotong sebuah kereta Proton Persona yang berada di hadapannya, namun tidak dapat berbuat demikian.

  • Mahkamah tolak permohonan SPRM tahan reman bekas Ketua Polis Daerah

    Mahkamah tolak permohonan SPRM tahan reman bekas Ketua Polis Daerah

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang gagal mendapatkan kebenaran daripada mahkamah untuk menahan reman seorang pegawai kanan polis, hari ini.

    Sebelum itu pegawai kanan polis terbabit yang disyaki terbabit dalam kegiatan rasuah membabitkan nilai lebih RM1 juta dibawa ke Mahkamah Majistret Kuantan.

    Bagaimanapun majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman menolak permohonan dikemukakan SPRM kerana masalah teknikal.

    Agensi antirasuah itu sepatutnya mengemukakan permohonan reman menggunakan akta mereka sendiri, iaitu Seksyen 49 Akta SPRM.

    Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Rifah Izzati Abdul Mutalif, ketika mengemukakan permohonan reman pagi tadi menggunakan Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

    Peguam mewakili suspek, Bob Arumugam, ketika ditemui di luar mahkamah selepas prosedur selesai memberitahu, SPRM boleh mengkehendaki suspek menandatangani bon atau ikat jamin jika mereka tidak dapat menyelesaikan siasatan.

    Katanya, selepas gagal mendapatkan kebenaran menahan reman suspek, SPRM hanya mempunyai masa 24 jam untuk melengkapkan siasatan mereka sebelum membebaskan pegawai kanan polis terbabit.

    “Ini bermakna mereka (SPRM) boleh menahan anak guam saya sehingga jam 4 petang ini bagi tujuan siasatan,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Pegawai kanan polis yang juga ketua polis daerah itu ditahan petang semalam ketika dipanggil untuk dirakam keterangan di pejabat SPRM Pahang.

    Suspek dikatakan menerima suapan lebih RM1 juta sejak 2017 hingga 2022.

    Suapan itu didakwa bagi melindungi kegiatan pusat hiburan dan pusat urut yang beroperasi dalam daerah diketuainya.

    Semalam, Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman memberitahu, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota yang terbukti melakukan kesalahan membabitkan integriti.

    Beliau turut memberi jaminan polis Pahang akan memberi kerjasama kepada SPRM untuk melengkapkan siasatan kes itu.