SEORANG lelaki ditemukan meninggal dunia dipercayai akibat dibunuh di hadapan sebuah kedai makan di Jalan BS 6/8 Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan, Serdang, semalam.
Kejadian tersebut dilaporkan orang awam kepada pihak polis pada pukul 5.56 pagi selepas melihat seorang lelaki tidak sedarkan diri terbaring depan kedai makan tersebut.
Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner A. A. Anbalagan berkata, Siasatan awal mendapati mangsa iaitu seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun dibunuh.
“Mangsa dipercayai menggunakan senjata tajam seperti parang dan terdapat kesan tetak pada bahagian muka, leher serta tangan,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Serdang untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
“Siasatan lanjut bagi mengesan dan menahan kesemua suspek yang dikenal pasti masih bebas sedang dijalankan.
“Motif kejadian itu juga masih dalam siasatan. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
KERTAS siasatan rakaman aksi berbahaya tiga kanak-kanak berpakaian seragam sekolah yang bertindak mengeluarkan kepala ketika sebuah kereta jenis Mercedes-Benz sedang bergerak di jalan raya pada 22 Mac lalu sudah lengkap.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kertas siasatan kes itu telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk arahan dan tindakan selanjutnya.
“Siasatan selesai dijalankan dan kita telah merujuk kertas siasatan kepada TPR atau Pengarah Pendakwaan Negeri untuk arahan lanjut.
“Kita telah tahan penjaga atau bapa kepada kanak-kanak ini dan suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.
Terdahulu beliau hadir dalam program ‘First Day at School’ di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Perempuan, Jalan Batu Bungkal di Ipoh.
Beliau turut mengingatkan ibu bapa perlu lebih bertanggungjawab terhadap keselamatan anak-anak mereka.
Media melaporkan polis menahan seorang lelaki berusia 37 tahun pada 24 Mac lalu bagi membantu siasatan selepas video terbabit tular dalam media sosial.
Aksi berbahaya tiga kanak-kanak berpakaian seragam sekolah yang bertindak mengeluarkan kepala ketika sebuah kereta jenis Mercedes-Benz sedang bergerak berjaya dirakam pengguna jalan raya.
Polis membuat siasatan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan diri orang lain dan Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu mendedahkan kanak-kanak dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.
Dalam perkembangan lain, Mior Faridalathrash berkata, pemantauan prosedur operasi standard (SOP) akan terus dilaksanakan termasuk di bazar Ramadan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Meskipun negara sudah memasuki fasa endemik, SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) masih perlu dipatuhi sepenuhnya.
“Kita tidak mahu bazar Ramadan menjadi tempat penularan wabak Covid-19 ini jadi, kita akan bersama PBT pastikan semua patuhi SOP,” katanya.
PEJABAT Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Pulau Pinang memeriksa sebanyak 109 buah premis perniagaan di seluruh negeri itu pada hari pertama Op Pantau 2022 semalam.
Pengarahnya, Mohd. Ridzuan Ab. Ghapar berkata, pemeriksaan itu dibuat bagi memastikan setiap premis yang beroperasi mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan kementerian terbabit.
Ujar beliau, ia termasuk bagi memastikan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) di bawah Akta 342 iaitu Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Menurut beliau, pemeriksaan itu melibatkan premis yang beroperasi di bazar Ramadan; bazar Aidilfitri; pasar awam; pasar basah; pasar pagi; pasar raya; kedai-kedai runcit serta premis penjualan secara online.
“Operasi itu bertujuan memastikan keberadaan bekalan barang yang menjadi keperluan pengguna semasa bulan Ramadan dan menjelang Aidilfitri selain pemeriksaan dan pemantauan terhadap penandaan harga.
Operasi bertujuan memastikan keberadaan bekalan barang yang menjadi keperluan pengguna semasa Ramadan dan menjelang Aidilfitri selain pemeriksaan dan pemantauan terhadap penandaan harga
“Ini bagi memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barang dan hasil pemeriksaan mendapati, kesemua 109 premis yang diperiksa mematuhi undang-undang yang telah dikuatkuasakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Mohd. Ridzuan turut mengingatkan pihaknya bersedia mengambil tindakan terhadap mana-mana peniaga atau individu yang mengambil kesempatan menaikkan harga atau cuba menyorokkan barang kawalan semasa bulan Ramadan serta menjelang sambutan Aidilfitri.
Sehubungan itu, beliau meminta orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti perniagaan yang tidak beretika tersebut melaporkan kepada pihaknya.
“Aduan boleh dibuat dengan menghubungi bilik gerakan PPDNHEP negeri di talian 04-3840245 atau hadir sendiri ke mana-mana 73 buah PPDNHEP di seluruh negara.
“Selain itu, aduan juga boleh dikemukakan menerusi aplikasi Whatsapp di nombor 019-2794317 atau melalui portal e-aduan yang diperkenalkan oleh kementerian dan sebagainya,” katanya.
SINDIKET penjualan kad pengeluaran wang automatik (ATM) bagi kegiatan jenayah tumpas setelah polis melakukan dua serbuan yang dijalankan di sekitar Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru, pada semalam dan kelmarin.
Serbuan hasil risikan dan maklumat yang diterima Polis Johor Bahru Selatan itu berjaya menahan sembilan individu berusia antara 32 hingga 40 tahun yang berperanan sebagai ejen penjualan kad ATM tersebut.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mereka dipercayai mendapat bayaran sehingga RM600 untuk penjualan setiap kad ATM yang diperolehi.
Menurutnya, kad berkenaan akan dijual semula kepada sindiket ‘money game’ atau pelaburan atas talian dengan harga kira-kira RM1,600 hingga RM1,900 bagi setiap keping kad.
“Siasatan mendapati tujuh daripada sembilan suspek mempunyai rekod lampau melibatkan kes jenayah dan penyalahgunaan dadah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambah Raub, menerusi serbuan tersebut, pihaknya berjaya merampas 19 keping kad ATM dan enam telefon bimbit pelbagai jenama.
“Kesemua suspek telah ditahan reman selama empat hari bermula semalam, manakala kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan tidak lebih 10 tahun, sebatan dan denda.
“Sehubungan itu, polis menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak menyerahkan kad ATM kepada individu tidak dikenali.
“Adalah menjadi satu kesalahan sekiranya seseorang individu menyerahkan kad ATM atas urusan penjualan dan juga untuk kegiatan jenayah kepada pihak lain,” tambahnya.
KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor menahan sebuah lori tangki yang melakukan penyelewengan minyak diesel bersubsidi di stesen minyak di Pelabuhan Klang, Klang, 11 pagi Rabu lalu.
Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, menerusi Ops Lipan sepasukan anggota KPDNHEP Selangor bertindak hasil aduan yang diterima pihaknya.
“Operasi terbabit telah mengesan sebuah lori tangki yang sedang mengisi bahan api jenis diesel ke dalam tangki simpanan lori itu.
“Anggota operasi kemudian bertindak menahan pemandu lori terbabit iaitu seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 50-an yang mengaku bertanggungjawab ke atas lori itu.
“KPDNHEP telah bertindak menyita lori, diesel, resit belian yang dianggar bernilai RM8,500 untuk tindakan lanjut,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.
Selain itu katanya, KPDNHEP turut menyiasat premis stesen minyak terbabit dan telah merekod keterangan pengurus stesen terbabit.
Jelasnya, kes disiasat di bawah Peraturan 18 dan 21(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti sama ada stesen minyak terbabit terlibat bersubahat dengan kegiatan itu,” ujarnya.
Tegasnya, inisiatif di bawah Ops Lipan ini memfokuskan kepada pemantauan khusus di stesen minyak di sekitar Selangor dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung salah laku peniaga yang tidak beretika khususnya melibatkan perlakuan barangan bersubsidi boleh mengemukakan aduan melalui saluran rasmi.
POLIS menumpaskan geng along selepas menahan lapan lelaki kerana menawarkan pinjaman wang tanpa lesen, dalam serbuan di sebuah premis di Bayan Lepas, Pulau Pinang, Jumaat lepas.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, kesemua lelaki berusia 20 hingga 30-an itu ditahan oleh sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pulau Pinang dan Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya, hasil risikan dan maklumat awam.
“Berdasarkan siasatan awal, selain menawarkan pinjaman tanpa lesen dengan faedah yang tinggi, mereka juga mengugut mangsa yang gagal membuat bayaran balik pinjaman,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya susulan penahanan lapan lelaki itu, polis merampas 19 unit telefon bimbit pelbagai jenama, 15 keping kad ATM pelbagai bank, tiga buku cek, lapan keping cek atas nama peminjam, senarai nama peminjam, empat kereta dan 14 salinan kad pengenalan peminjam.
Katanya kesemua lelaki itu kini direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951.
Dalam perkembangan lain, Kamarul Rizal berkata pihaknya menahan dua lelaki berusia 20-an kerana berlumba haram dalam Op Samseng Jalanan di Bayan Baru-Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, bermula pukul 11 malam tadi hingga 7 pagi hari ini.
“Kami menahan dua lelaki berkenaan kerana selain berlumba, mereka juga melakukan aksi menunggang secara berbahaya. Suspek kini direman dan kes disiasat menurut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya menambah dua motosikal turut disita selain lapan saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas dalam operasi berkenaan.
Polis daerah Barat Daya akan menjalankan operasi secara berterusan dan sentiasa memantau aktiviti samseng jalanan terutama pada hujung minggu, katanya.- BERNAMA
KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak berkompormi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha stesen minyak yang didapati menjual minyak petrol bersubsidi kepada kenderaan asing.
Tegas Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, mana-mana pihak yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961(Akta 122) dan (Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974) akan dikenakan penalti.
“Pemilik stesen minyak berdepan penalti berjumlah tidak melebihi RM1 juta atau dikenakan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-dua sekali manakala bagi perbadanan atau syarikat akan didenda tidak melebihi RM2 juta.
“KPDNHEP mengambil maklum mengenai gambar tular sebuah kenderaan dengan nombor pendaftaran negara sempadan dikatakan mengisi minyak petrol bersubsidi di sebuah stesen minyak di dalam negara.
“Berdasarkan aduan tular, kenderaan bernombor pendaftaran Singapura itu dikatakan mengisi minyak Petrol RON 95 yang merupakan minyak bersubsidi,” katanya, memetik laporan Sinar Harian, hari ini.
Kata beliau, kementerian memandang serius isu itu dan sudah pun mengarahkan Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP untuk menjalankan siasatan dengan serta merta.
“Saya juga telah mengarahkan pemantauan yang lebih agresif dijalankan di semua stesen minyak, terutama yang berdekatan dengan negeri bersempadan bagi mengelakkan ketirisan penjualan minyak petrol bersubsidi kepada kenderaan asing,” katanya.
Jelas beliau, ativiti penguatkuasaan yang lebih agresif juga akan dilaksanakan dengan pelancaran Ops Pantau 2022.
Katanya, selain memastikan bekalan barangan mencukupi dan dijual pada harga munasabah, operasi berkenaan juga bagi memastikan pematuhan yang tinggi oleh peniaga berikutan pembukaan sepenuhnya sektor ekonomi dan pintu sempadan negara bermula semalam.
“KPDNHEP dari semasa ke semasa telah mengeluarkan arahan kepada semua syarikat minyak dan pengusaha stesen minyak yang bersempadan dengan Singapura bagi memastikan pematuhan larangan penjualan Petrol RON 95 kepada semua kenderaan termasuklah motosikal yang bernombor pendaftaran asing.
“Kementerian juga telah mengarahkan semua KPDNHEP negeri yang bersempadan dengan Singapura dan Thailand supaya mempergiatkan pemantauan dan pemeriksaan serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar akta,” ujarnya.
Tambah Alexander, orang ramai digalakkan untuk membuat aduan dan melaporkan kepada KPDNHEP jika terdapat aktiviti penyelewengan penjualan minyak bersubsidi kepada pihak yang tidak sepatutnya.
Sementara itu, KPDNHEP Johor dalam satu kenyataan di Johor Bahru memberitahu, 200 anggota penguat kuasanya akan memantau dan melaksanakan pemeriksaan agar tidak berlaku ketirisan berlaku melibatkan barang kawalan terutamanya petrol dan diesel.
Pengarahnya, Mohd. Hairul Anuar Bohro berkata stesen-stesen minyak berhampiran sempadan Malaysia- Singapura akan dipantau susulan isu tular melibatkan kenderaan pendaftaran asing membuat pengisian minyak RON95.
AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah bot penumpang dan memberkas tiga individu termasuk dua warga Indonesia di perairan Tanjung Harapan di Pelabuhan Klang, pukul 6.15 petang semalam.
Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, seorang warga tempatan dan dua kru warga Indonesia yang mengendalikan bot itu berumur lingkungan 36 hingga 58 tahun.
“Tekong juga gagal mengemukakan sebarang dokumen bot yang lengkap manakala kedua-dua kru tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.
Katanya, bot dan kesemua suspek kemudian dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah seksyen 474(1) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu beroperasi tanpa lesen bot dan Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.
Beliau mengingatkan pemilik dan tekong bot mematuhi undang-undang di laut dengan memastikan bot memiliki lesen dan berdaftar dengan pihak berkuasa.
POLIS Johor menafikan rakyat Malaysia melakukan samun dan mencederakan warga Singapura seperti yang tular dalam media sosial ketika ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, hasil semakan mendapati video dan gambar yang tular itu adalah video dan gambar lama tetapi ditularkan semula.
Menurutnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman pernah mengeluarkan kenyataan media berkaitan berita palsu itu menerusi Facebook rasminya pada 2 November 2021.
“Perbuatan ini dilihat sebagai satu cubaan menimbulkan ketakutan dan kebimbangan orang ramai khususnya pelancong Singapura untuk datang ke Malaysia melalui negeri Johor.
“Perbuatan menyebarkan dan membuat spekulasi palsu adalah menyalahi undang-undang dan boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara atau kedua-duanya sekali.
Pihaknya menasihatkan orang ramai agar tidak mempercayai dakwaan yang diperoleh daripada sumber tidak sah dan menggunakan maklumat palsu.
SEORANG lelaki warga asing yang cuba melanggar polis sebelum melarikan diri berjaya diberkas di kawasan Bandar Pinggiran Subang, Petaling Jaya, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang apabila suspek berumur lingkungan 40-an itu didapati memandu sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan.
“Anggota polis dari Unit Kereta Peronda IPD Petaling Jaya mengesan kenderaan dipandu suspek berdekatan Jalan Sungai Buloh menghala ke Subang di kawasan Kota Damansara.
“Polis kemudiannya menahan suspek dan ketika melakukan pemeriksaan, suspek bertindak memecut kenderaannya dan cuba melanggar anggota polis yang bertugas,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.
Katanya, anggota polis bertugas kemudiannya melepaskan tembakan ke arah tayar suspek.
“Suspek kemudiannya dikejar oleh anggota unit kereta peronda tersebut, situasi berkenaan turut dihebahkan Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.
“Suspek berjaya diberkas di kawasan Bandar Pinggiran Subang dengan bantuan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) IPD Petaling Jaya dan Unit Kereta Peronda IPD Sungai Buloh,” katanya.
Katanya, suspek yang ditahan berumur lingkungan 40-an dan merupakan warga asing.
“Turut dirampas adalah sebuah kereta jenis Proton Wira Aeroback untuk siasatan lanjut.
“Suspek kini direman empat hari untuk siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 188 Kanun Keseksaan, Seksyen 26(2) Akta Polis 1967 dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.