Category: Jenayah

  • 3 ditahan bantu siasatan kes lelaki Myanmar maut ditikam

    3 ditahan bantu siasatan kes lelaki Myanmar maut ditikam

    POLIS Pulau Pinang menahan tiga lelaki termasuk warga asing bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang lelaki warga Myanmar yang maut ditikam dalam kejadian di sebuah rumah, di Butterworth, Sabtu lalu.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Asri Shafie berkata, tiga lelaki berusia antara 28 hingga 40 tahun itu ditahan di lokasi berbeza di Butterworth dan Permatang Pauh bermula pukul 10 malam Sabtu lalu hingga 2 pagi semalam.

    Menurut beliau, polis menerima laporan dibuat oleh seorang pegawai perubatan di bahagian kecemasan Hospital Seberang Jaya (HSJ) yang memaklumkan seorang lelaki berusia 33 tahun yang mengalami kecederaan kritikal di bahagian perut dibawa ke hospital berkenaan untuk rawatan.

    “Pegawai perubatan itu telah memberi rawatan kepada mangsa, namun lelaki tersebut gagal diselamatkan dan meninggal dunia pada 2.03 pagi.

    “Hasil bedah siasat kemudian mengesahkan punca kematian disebabkan luka tikaman pada abdomen mangsa,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

    Ujar beliau, susulan kejadian itu, polis menahan tiga lelaki termasuk dua majikan yang merupakan pemilik kilang perabot dan seorang rakan sekerja mangsa bagi membantu siasatan.

    Jelasnya, siasatan lanjut mendapati lelaki itu mengaku mencederakan mangsa sebelum suspek melarikan diri untuk bersembunyi, namun berjaya ditangkap.

    “Mangsa dan suspek dikatakan pada mulanya minum bersama-sama sebelum mereka mabuk dan berlaku pertengkaran mulut seterusnya lelaki itu ditikam rakan sekerjanya,” katanya.

    Jelas beliau, polis turut merampas dua telefon bimbit, sebilah pisau, dua botol minuman keras dan pakaian yang digunakan suspek semasa kejadian tersebut.

    Tambahnya, ketiga-tiga suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    “Kita juga memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat atau saksi kejadian itu supaya tampil membantu siasatan dengan menyalurkannya ke balai polis berdekatan atau menghubungi Bilik Gerakan IPD SPU di talian 04-5759122,” katanya.

  • Simpanan KWSP, peribadi lesap, wanita rugi RM1.18 juta

    Simpanan KWSP, peribadi lesap, wanita rugi RM1.18 juta

    SEORANG wanita berusia 55 tahun rugi RM1.18 juta setelah terpedaya dengan dakwaan kononnya dia terlibat dengan jenayah berkaitan pengubahan wang haram, yang dimaklumkan kepadanya menerusi panggilan telefon.

    Menurut laporan polis dibuatnya semalam, pekerja teknologi maklumat di sebuah syarikat swasta di Bintulu itu menerima panggilan telefon pada 22 Mei lalu daripada seorang lelaki tidak dikenalinya yang mendakwa dari Putrajaya.

    Pemanggil itu mendakwa mangsa ada mendaftarkan nombor telefon di Kota Kinabalu, Sabah yang digunakan untuk memfitnah Kementerian Kesihatan, menurut laporan itu.

    Pesuruhjaya Polis Sarawak Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, panggilan berkenaan kemudiannya disambungkan kepada dua individu, kononnya ‘Sarjan Wong’ dan ‘Inspektor Khoo’ dari Kota Kinabalu, yang menuduh mangsa terlibat dengan jenayah pengubahan wang haram.

    “Setelah itu, mangsa dimaklumkan oleh suspek bahawa Bank Negara mahu memeriksa wangnya. Mangsa dikehendaki membuka akaun bank baharu atas namanya dan memindahkan wang ke akaun itu bagi tujuan siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mangsa yang panik membuka tiga akaun bank di Bintulu pada 23 Mei dan 9 Jun, kemudian memindahkan wang daripada akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan banknya, masing-masing berjumlah RM881,000 dan RM300,000, ke dalam akaun bank baharu tersebut.

    Wanita itu turut diarahkan oleh ‘lnspektor Khoo’ untuk memberikan maklumat akaun bank baharu itu berserta nama pengguna dan kata laluan perbankan dalam talian kepada suspek.

    “Mangsa juga dikehendaki mematahkan dan membuang ketiga-tiga kad ATM (bagi akaun-akaun baharunya),” kata Mohd Azman.

    Tambahnya, mangsa hanya menyedari tertipu setelah memberitahu perkara itu kepada suaminya, serta menghubungi pihak bank tentang transaksi terbabit.

  • Anggota polis maut ditembak di Pattani

    Anggota polis maut ditembak di Pattani

    SEORANG anggota polis yang bertugas di pondok pengawal landasan kereta api maut ditembak sekumpulan lelaki di Khok Pho, Pattani, selatan Thailand.

    Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari Sabtu, anggota polis yang berusia 22 tahun itu bersama dua lagi pegawai State Railway of Thailand (SRT) sedang bertugas di pondok pengawal landasan kereta api.

    Ketua Polis Na Pradu Kol.Pol.Chatchai Chanasit berkata enam lelaki yang menyamar sebagai wanita lengkap bertudung, menunggang tiga buah motosikal telah melepaskan tembakan ke arah pondok pengawal terbabit.

    “Anggota polis itu terkena tembakan di bahagian kepala dan badan manakala dua lagi pegawai SRT dilaporkan selamat. Mangsa yang cedera parah dibawa ke Hospital Khok Pho kemudian disahkan meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi Bernama.

    Beliau menambah bahawa suspek turut merampas pistol milik mangsa sebelum melarikan diri.

    “Motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

  • Polis tahan budak lelaki 11 tahun pandu kereta

    Polis tahan budak lelaki 11 tahun pandu kereta

    POLIS menahan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang tular memandu kereta Proton Saga di sebuah rumah di Pandamaran, Klang semalam.

    Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kanak-kanak itu turut ditahan bersama ayahnya berusia 49 tahun yang juga pemilik kereta terbabit oleh sepasukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan pukul 1.15 pagi.

    “Kedua-dua mereka kemudian dibawa ke Balai Trafik IPD Klang Selatan untuk direkod keterangan.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 39(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu di bawah umur dan Seksyen 111 akta sama iaitu bersubahat atau membenarkan melakukan kesalahan.

    “Siasatan juga dijalankan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa maksud melakukan perbuatan pengabaian atau mendedahkan kanak-kanak secara cuai dengan cara yang mungkin akan menyebabkan mengalami kecederaan fizikal atau emosi,” katanya dalam kenyataan, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan agar tidak leka dan sentiasa mengawasi anak-anak mereka supaya tidak melakukan tindakan yang boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri atau harta benda orang lain.

    Selain itu, katanya, perbuatan menularkan sebarang konten sama ada dalam bentuk video atau gambar secara sewenangnya adalah tidak digalakkan demi menjaga imej dan privasi orang lain, sebaliknya dinasihatkan terus ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan.

    Terdahulu, satu klip video berdurasi 1 minit 21 saat tular di media sosial berkenaan seorang kanak-kanak lelaki memandu sebuah kereta jenis Proton Saga.

  • FF 1 bernilai RM1.2 juta milik Sultan Johor

    FF 1 bernilai RM1.2 juta milik Sultan Johor

    SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menjadi pemilik nombor plat FF 1 bernilai RM1.2 juta.

    Jumlah berkenaan merupakan yang tertinggi pernah dikutip oleh kerajaan bagi satu nombor plat kenderaan.

    Perkara tersebut dimaklumkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menerusi perkongsian dalam Facebook miliknya semalam yang diterima mengadap baginda.

    “Pagi tadi, saya mengadap DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim untuk mempersembahkan secara simbolik nombor plat FF 1 kepada Tuanku yang merupakan pemilik nombor khas unik tersebut.

    “Tuanku telah perkenan untuk membayar kepada kerajaan sebanyak RM1.2 juta untuk nombor khas tersebut.

    “Untuk rekod, bayaran RM1.2 juta merupakan nilai tertinggi yang pernah dikutip setakat ini oleh kerajaan untuk pendaftaran satu nombor plat kenderaan,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Pada 2016, Sultan Johor dilaporkan memenangi bidaan nombor plat kenderaan F1 dengan nilai bidaan RM836,660 bagi turutan nombor baharu bagi Putrajaya.

    Selepas itu, pada Ogos tahun sama, baginda memenangi bidaan untuk nombor plat V1 dengan nilai RM989,780.

    Mengulas lanjut, Anthony berkata, bayaran yang diterima itu juga menjadikan jumlah kutipan hasil kerajaan untuk nombor siri FF meningkat kepada RM35.4 juta.

  • Abang sasa kerap curi iPhone Pro Max terperangkap

    Abang sasa kerap curi iPhone Pro Max terperangkap

    POLIS menahan seorang lelaki berbadan sasa yang menggunakan pelbagai taktik sebelum melarikan iPhone terpakai dari beberapa premis di bandar Kulai, akhirnya berjaya terperangkap semalam.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Yusof Othman berkata, lelaki berusia 24 tahun itu ditahan di sebuah pasar raya di Taman Sutera Utama di Skudai, Johor Bahru, pukul 2 petang semalam sebelum merampas telefon bimbit tiruan jenama iPhone Pro Max.

    “Semakan mendapati suspek memiliki lima rekod jenayah berkaitan, dipercayai turut terbabit mencuri iPhone 14 Pro Max berharga RM7,350 dari sebuah kedai di pusat beli-belah di Bandar Indahpura, Kulai, pada pukul 5.30 petang, 9 Jun lalu.

    “Dalam kes itu, pengadu mendakwa suspek ke kedai telefon bimbit. Dia kemudian mendakwa membayar RM6,850 secara dalam talian dan menunjukkan resit pembayaran transaksi itu yang kemudian didapati palsu.

    “Pengadu bagaimanapun mengambil butiran nama dan nombor telefon suspek ketika urusan jual beli itu sebelum membuat laporan polis selepas mendapati tiada transaksi bayaran diterima dalam akaun milik syarikat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Yusof berkata, suspek ditahan reman selama empat hari sehingga 14 Jun untuk siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun dengan sebatan dan juga denda jika sabit kesalahan.

    Sementara itu, seorang peniaga, Mohd. Ibrahim, 50, berkata, dia dan rakan yang menjalankan perniagaan menjual gajet lega apabila lelaki berkenaan ditahan polis.

    “Kami menyalurkan maklumat kepada polis selepas kejadian berulang dan kami percaya ia membabitkan individu sama berikutan keadaan fizikalnya yang dirakam kamera litar tertutup (CCTV).

    “Dia terperangkap kerana selepas kes di Bandar Indahpura, Kulai, dia kemudian menghubungi pekerja sama untuk menukar telefon bimbit berkenaan kerana mendakwa isterinya tidak gemar warga ungu.

    “Lelaki itu menetapkan untuk bertemu di pusat beli-belah di Taman Sutera Utama di Skudai. Dia meletakkan telefon bimbit palsu atau klon dalam kotak untuk ditukar dengan yang baru, namun taktiknya tidak berjaya,” katanya, lapor Berita Harian.

    Modus operandi suspek yang berbadan sasa dan berkulit gelap serta selalunya memakai pelitup muka, bercermin mata serta bertopi ialah berpura-pura mahu membeli iPhone 13 Pro Max dan iPhone 14 Pro Max terpakai.

    Antara kes sebelum ini, dia melarikan iPhone 13 Pro Max terpakai dianggar bernilai RM5,000 dan menggantikannya dengan yang palsu, ketika pekerja kedai sibuk melayan pelanggan lain.

    Lelaki itu juga dipercayai melarikan iPhone 13 Pro Max terpakai pada pukul 6 petang, 21 April lalu dari sebuah kedai di sebuah pusat beli-belah di Taman Mutiara Rini di Skudai.

  • Mayat bayi ditemukan terapung di perkampungan atas air di Kota Kinabalu

    Mayat bayi ditemukan terapung di perkampungan atas air di Kota Kinabalu

    MAYAT bayi masih belum dikenal pasti jantina ditemukan terapung di sebuah perkampungan atas air di Kota Kinabalu, semalam.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Supt Kalsom Idris berkata mayat bayi berkenaan ditemukan pada pukul 6.30 petang oleh penduduk kampung yang melalui jambatan kayu di kampung berkenaan sebelum menghubungi pihak polis.

    “Sebaik menerima laporan mengenai penemuan mayat bayi terbabit, sepasukan polis digerakkan ke lokasi kejadian untuk siasatan.

    “Siasatan awal mendapati bayi itu dipercayai baru dilahirkan namun setakat ini belum ada sebarang maklumat lanjut mengenai kejadian itu. Bayi terbabit disyaki dibuang ke laut selepas dilahirkan,” katanya dalam kenyataan di Kota Kinabalu hari ini.

    Beliau berkata siasatan sedang dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

  • Wanita berubah tempat elak aktiviti judi haram dalam talian dikesan

    Wanita berubah tempat elak aktiviti judi haram dalam talian dikesan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MELAKUKAN aktiviti judi dalam talian dengan cara berpindah dari satu tempat ke satu tempat bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

    Bagaimanapun seorang wanita berusia 40 tahun yang melakukan aktiviti menjual tambah nilai dipercayai untuk permainan judi dalam talian itu berjaya dikesan di Taman Makmur, Kluang pada tengah malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pihaknya sebelum itu menerima aduan awam berkenaan wanita itu sebelum satu intipan dan serbuan dilakukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Daerah Kluang pada pukul 12.15 tengah malam.

    “Pihak polis menahan wanita suspek berkenaan selepas dikesan menjalankan aktiviti tersebut dari dalam sebuah kereta.

    “Turut dirampas sebuah kereta Toyota Vios serta wang tunai bercampur-campur bernilai RM250.

    “Kegiatan ini mula dikesan melakukan aktiviti secara berpindah randah kawasan jualan bagi mengelak daripada dikesan pihak polis,” katanya melalui kenyataan hari ini.

    Bahrin berkata, hasil soal siasat ke atas tangkapan mengaku menjalankan penjualan tambah nilai perjudian atas talian di lokasi tangkapan tersebut.

    Katanya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953 yang boleh dikenakan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih daripada RM200,000 jika sabit kesalahan.

    “Tahanan dikenakan reman selama tiga hari sehingga hari Selasa ini bagi membantu siasatan,” katanya.

  • Pesara berputih mata kerugian RM1.2 juta diperdaya ‘Sarjan Wong’

    Pesara berputih mata kerugian RM1.2 juta diperdaya ‘Sarjan Wong’

    SEORANG pesara di Miri kerugian RM1.2 juta selepas terpedaya dengan penyamaran melalui panggilan telefon.

    Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd. Azman Ahmad Sapri berkata, pihaknya menerima laporan daripada lelaki berusia 66 tahun berhubung kes itu semalam.

    Katanya, mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki tidak dikenali mengaku daripada Kementerian Kesihatan (KKM) pada 18 April lalu.

    “Panggilan itu kemdian disambungkan kepada suspek yang mengaku sebagai Sarjan Wong dan Inspektor Khoo dari Kota Kinabalu, Sabah.

    “Suspek mengatakan mangsa terbabit dengan penggubahan wang haram, namun mangsa menafikannya.

    “Selepas itu, suspek meminta mangsa memberikan maklumat perbankan dan butiran kewangan miliknya sebelum diarahkan suspek membuka dua akaun bank baharu bagi memudahkan siasatan dijalankan ke atas mangsa,” katanya dalam kenyataan.

    Beliau berkata, mangsa kemudian membuka akaun bank baru pada 19 dan 20 April sebelum memberikan maklumat akaun baru serta pengenalan diri (ID) bersama kata laluan perbankan atas talian kepada suspek selepas itu.

    Menurutnya, mangsa diarahkan memindahkan wang keseluruhan berjumlah RM1.2 juta melalui empat transaksi dari akaun Ambank dan akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja miliknya ke akaun baharu dibuka itu.

    Mangsa ujar beliau, hanya menyedari ditipu selepas memeriksa baki wang di dalam kedua-dua akaun bank baru miliknya kelmarin sudah tiada dan mendapati dipindahkan ke akaun tidak dikenali secara berperingkat antara 19 April hingga 3 Mei lalu.

    “Mangsa kemudian tampil membuat laporan polis untuk siasatan,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Lelaki mengamuk dalam restoran ditahan selepas video tular

    Lelaki mengamuk dalam restoran ditahan selepas video tular

    POLIS  menahan seorang lelaki tempatan selepas tular videonya mengamuk serta membaling bungkusan makanan dan minuman di sebuah restoran di sini Ahad lepas.

    Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata lelaki berusia 50 tahun ditahan pada 1 pagi tadi di Jalan Samudera Utara 2, Taman Samudera, Batu Caves, Selangor.

    Beliau berkata penahanan lelaki itu berikutan satu laporan polis yang dibuat seorang wanita pada Selasa lalu setelah mendapati insiden suspek mengamuk tular di media sosial.

    “Dalam video berkenaan, kira-kira 9 pagi, semasa pengadu bersama pekerja sedang melayan pelanggan di sebuah restoran, seorang lelaki iaitu suspek secara tiba-tiba bertindak agresif.

    “Lelaki itu menjerit dan membaling bungkusan makanan serta air minuman panas ke dalam kedai dan terkena anak pengadu yang berumur empat tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Wan Azlan berkata hasil siasatan mendapati suspek yang tidak bekerja itu mempunyai lima rekod berkaitan jenayah.

    Suspek kini direman sehingga 14 Jun depan bagi membantu siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506/352 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan menggunakan kekerasan jenayah.