Category: Jenayah

  • MAQIS rampas 740 kilogram daging kerbau dari India

    MAQIS rampas 740 kilogram daging kerbau dari India

    JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor merampas 740 kilogram daging kerbau dari India bernilai RM11,700 di Pelabuhan Pasir Gudang di Pasir Gudang, semalam.

    Pengarah MAQIS Johor Edie Putra Md Yusof berkata hasil pemeriksaan dijalankan pegawai penguat kuasa jabatan itu pada 5 petang telah menemukan 37 kotak daging kerbau dalam sebuah kontena.

    “Kotak-kotak tersebut mempunyai tarikh penyembelihan, tarikh pembuatan, tarikh luput dan nama pengimport tidak sama seperti dinyatakan pada sijil halal yang dikeluarkan.

    “Susulan itu, seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30an yang merupakan ejen penghantaran ditahan, bagaimanapun dia telah dilepaskan setelah diambil keterangan,“ katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Edie Putra berkata kes disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana memberi perakuan atau dokumen lain yang tidak tepat dan mengelirukan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 13 akta sama.

    Beliau berkata pihaknya sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan di pintu masuk bagi menjamin keselamatan keluaran pertanian dalam negara dan mematuhi syarat serta peraturan ditetapkan oleh kerajaan, seterusnya memastikan biosekuriti makanan negara sentiasa terkawal dan selamat digunakan.

  • Polis tahan lelaki edar dadah bernilai lebih RM400,000 di Sibu

    Polis tahan lelaki edar dadah bernilai lebih RM400,000 di Sibu

    POLIS menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 21 tahun kerana disyaki menjalankan aktiviti pengedaran dadah, dalam satu serbuan di sebuah pangsapuri di Jalan Wong King Huo di Sibu, semalam.

    Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata serbuan pada 2.15 pagi itu dijalankan sepasukan anggota dan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu.

    Beliau berkata dalam serbuan itu, polis menemukan 71 paket plastik berwarna putih bertulis ‘Juice Master’ berisi serbuk jus diyaki campuran dadah jenis Ekstasi seberat 2.294 gram serta 1,511 biji pil pelbagai jenis disyaki dadah jenis Ekstasi (566.73g).

    “Turut dirampas 43 paket plastik lutsinar mengandungi serbuk kristal disyaki dadah jenis Ketamine (273g) dan 26 paket plastik warna putih berisi ketulan kekuningan dan serbuk putih disyaki dadah jenis Ekstasi (25,447g).

    “Nilai semasa Keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM402,052 dan polis turut menyita sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger milik suspek bernilai RM146,000,” katanya dalam sidang media di Sibu hari ini.

    Beliau berkata, ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine/Benzodiazepines (Meth/Benzo) dan hasil pemeriksaan didapati suspek mempunyai tiga kes lampau berkaitan dadah.

    Suspek yang dipercayai telah menjalankan aktiviti pengedaran dadah itu selama enam bulan kini direman dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1) akta sama.

    Menurut Zulkipli, setiap paket jus dadah itu boleh digunakan enam orang untuk tujuan hiburan dan nilai semasa adalah lebih RM500 sepaket.

    Beliau turut menyeru orang ramai agar melaporkan kepada polis sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah di pusat hiburan.

  • Warga emas putih mata, wang KWSP RM100,000 lesap ditipu ‘pegawai polis’

    Warga emas putih mata, wang KWSP RM100,000 lesap ditipu ‘pegawai polis’

    SEORANG warga emas berputih mata apabila wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) miliknya sebanyak RM100,000 lesap selepas terpedaya dengan ‘phone scam’.

    Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman berkata, kejadian bermula pada 5 Jun lalu selepas mangsa yang berumur 67 tahun menerima panggilan telefon daripada suspek yang menyamar sebagai pegawai polis.

    “Dalam perbualan, suspek menyatakan mangsa membuat penghantaran bungkusan melalui pos laju yang mengandungi kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan kad pengenalan serta hasil semakan mendapati mangsa mempunyai rekod penyalahgunaan dadah dan penggubahan wang haram.

    “Mangsa berasa takut dan telah mengikut arahan suspek dengan memindahkan wang berjumlah RM100,000 ke dua akaun bank suspek yang diberikan,” katanya di Kuantan hari ini.

    Menurut Yahaya kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan giat dilakukan.

    Katanya berdadasarkan siasatan awal mendapati mangsa telah memindahkan wang simpanan KWSP miliknya kepada suspek selepas terpedaya dengan helah suspek.

    Sementara itu dalam kes berasingan di Temerloh, seorang lelaki berusia 32 tahun mengalami kerugian sebanyak RM95,200 selepas terpedaya dengan ‘phone scam’.

    Katanya kejadian bermula pada 1 Januari lalu selepas mangsa menerima panggilan telefon daripada suspek yang menyamar sebagai pegawai sebuah syarikat kurier yang menyatakan nama mangsa digunakan dalam penghantaran bahan terlarang ke Perlis.

    “Kemudian panggilan tersebut telah disambung kononnya kepada pihak polis dan mahkamah dan mangsa diminta membuat pinjaman peribadi dan wang tersebut dipindahkan ke satu akaun juruaudit Bank Negara Malaysia untuk siasatan.

    “Dalam tempoh seminggu mulai 14 April 2023 mangsa telah membuat empat kali transaksi berjumlah RM 95,200.00 ke empat akaun yang berbeza,”ujarnya.

  • Wanita ‘rembat’ barang kemas saudara sendiri bernilai RM90,000 ditahan

    Wanita ‘rembat’ barang kemas saudara sendiri bernilai RM90,000 ditahan

    SEORANG wanita ditahan polis Pulau Pinang kelmarin selepas disyaki mencuri barang kemas milik ahli keluarganya sendiri bernilai RM90,000.

    Suspek berusia 34 tahun itu ditahan susulan laporan polis yang dibuat mangsa yang juga saudara kepada suspek berhubung kehilangan barangan kemasnya.

    Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, wanita itu menyedari barang kemas bernilai RM90,000 yang diletakkan dalam beg hitam di dalam almari ruang tamu di rumah ibu mentuanya di Halaman Mayang 6, Bayan Baru, hilang 25 November tahun lalu.

    ”Pengadu membuat laporan polis pada Sabtu lalu dan suspek ditahan keesokan harinya.

    ”Siasatan awal mendapati suspek yang tidak bekerja itu telah mencuri barang kemas tersebut pada 5 November tahun lalu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Menurut beliau, berdasarkan siasatan, suspek serta mangsa tidak tinggal bersama, namun suspek sering ke rumah ibu mentua mangsa.

    Katanya, susulan penahanan wanita itu, polis merampas sebanyak 11 helai resit pajak gadai, seutas rantai leher emas anggaran berat 79 gram dan satu loket emas seberat 26 gram.

    “Suspek kini direman selama tiga hari bermula 11 Jun bagi membantu siasatan dan kes tersebut disiasat menurut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • 2 bot, 8 nelayan Indonesia ditahan ceroboh perairan negara

    2 bot, 8 nelayan Indonesia ditahan ceroboh perairan negara

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan dua buah bot nelayan asing serta lapan kru warga Indonesia kerana menceroboh perairan negara kelmarin.

    Katanya, bot-bot itu dikesan di kedudukan 51 kilometer dan 55 kilometer barat daya Pulau Kendi, Pulau Pinang, pukul 10.13 pagi.

    Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, mereka ditahan selepas Kapal Maritim Burau melakukan rondaan di bawah Op Pertiwi telah mengesan dan merapati bot berkenaan untuk pemeriksaan.

    ”Bot pertama dikesan sedang leka melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan Malaysia.

    ”Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, bot tersebut dikendalikan oleh empat kru termasuk tekong warga Indonesia bersama hasil perikanan kira-kira 400 kilogram (kg),” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya, tangkapan kedua dilakukan oleh KM Burau pukul 10.30 pagi semalam yang mana pemeriksaan lanjut mendapati, empat kru warga Indonesia termasuk tekong berada di atas bot itu bersama hasil tangkapan ikan dianggarkan 100 kg.

    ”Kesemua kru yang berada di kedua-dua bot berkenaan berumur antara 13 hingga 20 tahun dan mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.

    Tambahnya, kedua-dua bot itu disyaki melakukan kesalahan dibawah Seksyen 15 (1)(A) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di dalam perairan Malaysia tanpa permit yang sah dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu memasuki Malaysia tanpa memiliki pas yang sah.

    Tambahnya, kesemua kru, bot, dan hasil tangkapan ikan campur sejumlah 500 kg ditahan dan dibawa ke Jeti Limbongan Batu Maung untuk tindakan lanjut.

    ”Sebarang aduan, salah laku dan kecemasan di laut orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-262 6146 atau MERS 999 untuk tindakan segera,” katanya.

  • Operasi Judi online di kondominium, bangunan pejabat masuk ‘jerat’ polis

    Operasi Judi online di kondominium, bangunan pejabat masuk ‘jerat’ polis

    KEGIATAN tiga sindiket judi dalam talian yang beroperasi di sebalik kondominium dan bangunan pejabat di sekitar ibu negara terbongkar selepas digempur polis baru-baru ini.

    Lima premis itu diserbu Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) bermula 29 Mei hingga 11 Jun lalu.

    Menurut sumber, operasi khas yang dijalankan telah berjaya menahan 17 individu berusia lingkungan 20 hingga 42 tahun yang terdiri daripada tujuh lelaki dan 10 wanita dengan rampasan pelbagai jenis set komputer, komputer riba, telefon bimbit dan tablet serta kredit limit dengan keseluruhan anggaran nilai RM4.9 juta.

    “Semakan mendapati suspek membabitkan empat warga Indonesia, seorang Thailand dan selebihnya warga tempatan.

    “Soal siasat mendapati mereka ini berperanan menjalankan promosi, menerima dan memindahkan wang pertaruhan yang diterima daripada pelanggan tanpa bersemuka dan semua transaksi di alam maya,” katanya hari ini, lapor Sinar Harian.

    Tambah sumber, operator bertindak sebagai orang tengah bagi pemudahcara kepada pelanggan. Pelanggan akan berhubung hanya perlu melalui WhatsApp atau Telegram bagi jenis permainan yang ingin dimainkan bersama kemasukan wang pertaruhan melalui pindahan dalam talian.

    Katanya, operator akan membuka satu akaun baharu kepada pelanggan dengan memberikan ID dan kata laluan pelanggan setelah pelanggan menyatakan untuk mendaftar.

    “Operator akan membuat pembayaran wang kemenangan terus kepada akaun pelanggan.

    “Dipercayai suspek ini menerima gaji bulanan sekitar RM2,000 hingga RM5,000 bergantung peranan masing-masing,” ujarnya.

    Kata sumber, soal siasat mendapati kondominium dan premis pejabat disewa untuk dijadikan sebagai pusat panggilan dengan bayaran RM2,000 hingga RM3,000 selain dilengkapi dengan kawalan kamera litar tertutup (CCTV), pengawal keselamatan selain akses kad.

    “Mereka ini dipercayai daripada sindiket berlainan iaitu sindiket Eric, Grand 777 dan BBC 63 yang telah aktif sejak dua hingga tujuh bulan lalu. Kita percaya sindiket ini kerap berpindah-pindah bagi elak dikesan pihak berkuasa,” katanya.

    Sementara itu, Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terbabit.

    “PDRM tidak berkompromi dan akan terus menggempur aktiviti judi tanpa lesen sah secara berterusan serta tindakan tegas akan diambil terhadap sindiket perjudian termasuk mengambil tindakan undang-undang sedia ada dan pencegahan.

    “Antaranya, Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca), Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA),” tegasnya.

  • Polis minta bantuan Interpol kesan pelawak Jocelyn Chia

    Polis minta bantuan Interpol kesan pelawak Jocelyn Chia

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan membuat permohonan kepada Interpol untuk mendapatkan butiran dan lokasi terkini pelawak Jocelyn Chia, yang baru-baru ini dikecam kerana memperlekehkan Malaysia dalam persembahannya di Amerika Syarikat.

    Ketua Polis Negara,Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, permohonan akan dibuat untuk mendapatkan identiti penuh dan lokasi terkini wanita berasal dari Singapura itu, lapor FMT.

    Terdahulu tular dalam media sosial klip video memaparkan seorang pelawak itu memperlekeh Malaysia dalam persembahan komediri bertajuk ‘Singapore vs Malaysia’ yang diadakan di New York, baru-baru ini.

    Pelawak itu antaranya mengeluarkan kenyataan termasuk jenaka keterlaluan menyentuh kehilangan pesawat Malaysia, MH370 yang dikatakan ‘tidak mendarat’.

    Berita lanjut menyusul

  • Polis tahan penganggur terlibat kes pecah tadika di Kulai

    Polis tahan penganggur terlibat kes pecah tadika di Kulai

    SEORANG penganggur ditahan malam tadi selepas dipercayai terlibat dalam kes pecah masuk sebuah tadika di Bandar Putra, Kulai pada Ogos tahun lepas.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Kulai Supt Yusof Othman berkata lelaki tempatan berusia 31 tahun itu, ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota Balai Polis Kulai pada kira-kira pukul 7.30 malam di hadapan sebuah kedai runcit di jalan utama Felda Bukit Ramun, Gugusan Felda Taib Andak di sini.

    Beliau berkata satu laporan polis dibuat seorang guru pada 16 Ogos tahun lepas selepas mendapati terdapat kesan umpil pada pintu tadika di Jalan Kenari, Bandar Putra di Kulai, sebelum mendapati sebuah komputer riba serta sebuah projektor telah hilang.

    “Mangsa yang kemudiannya membuat pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati terdapat seorang lelaki yang tidak dikenal pasti bangsanya telah menceroboh masuk tadika berkenaan, membabitkan kerugian dianggarkan RM2,000.

    “Hasil siasatan awal mendapati, lelaki terbabit mengaku terlibat dalam kegiatan pecah tadika di kawasan Bandar Putra pada 15 Ogos tahun lepas, dan siasatan lanjut akan dijalankan dalam penglibatan kes jenayah lain di daerah ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Yusof berkata pihaknya turut merampas dua komputer riba dan enam telefon bimbit pelbagai jenama dan pengecaman terhadap barangan rampasan akan dilakukan oleh mangsa.

    “Hasil saringan awal air kencing mendapati lelaki terbabit positif dadah jenis Methamphetamine dan mempunyai enam rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah serta rekod orang dikehendaki melibatkan kes 15 (1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952.

    “Dia akan ditahan reman tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat bagi kesalahan kali kedua, jika disabit bersalah,” katanya.

  • Terkejut jumpa bayi lelaki atas reban ayam

    Terkejut jumpa bayi lelaki atas reban ayam

    SEORANG bayi lelaki dipercayai baharu dilahirkan ditemui di atas reban ayam di kawasan Kampung Jawa dekat Lahad Datu hari ini.

    Bayi seberat tiga kilogram itu ditemui tanpa sebarang pakaian oleh seorang penduduk kampung kira-kira pukul 6.30 pagi.

    Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, lelaki berusia 51 tahun melaporkan bayi yang ditinggalkan itu ditemuinya ketika sedang melihat reban ayam miliknya.

    “Sepasukan pegawai polis dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Lahad Datu telah ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan lanjut.

    “Bayi itu kemudian dibawa ke Hospital Lahad Datu bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana penjaga yang bertanggungjawab terhadap bayi itu berniat membuangnya.

    Jelasnya, sekira sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

    “Pihak kita sedang mengesan suspek sebenar kes ini dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini boleh

    berhubung terus di talian Hotline IPD Lahad Datu 089-881255 atau pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Sophia Thomas Kasau di talian 013-9392505, ” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Kastam rampas kokain 302kg bernilai RM60.44 juta

    Kastam rampas kokain 302kg bernilai RM60.44 juta

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JDKM) menumpaskan satu Sindiket pengedaran dadah mengaburi mata pihak berkuasa dengan menyorok bahan terlarang itu dalam kontena berisi bungkusan guni kacang soya di Pelabuhan Klang, awal bulan ini.

    Ketua Pengarah JDKM, Datuk Zazuli Johan berkata, rampasan dadah jenis kokain seberat 302.20 kilogram itu bernilai RM60.44 juta.

    “Kita telah menerima maklumat risikan daripada Direktorat Jeneral Kawalan Narkotik, Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi mengenai sebuah kontena berukuran 6.1 meter (20 kaki) yang tiba di Pelabuhan Klang pukul 9.45 malam, 6 Jun lalu.

    “Pemeriksaan dilakukan pasukan dari Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM telah menjumpai 10 beg guni mengandungi serbuk putih disyaki dadah jenis kokain,” katanya pada sidang media di JKDM di Kampung Jijan di Nilai hari ini.

    Menurutnya, sindiket itu telah mengikrarkan barangan terbabit sebagai kacang soya sedangkan dalamnya telah disorokkan dengan guni-guni mengandungi serbuk putih disyaki kokain.

    Ujarnya, hasil siasatan awal mendapati kontena berkenaan dibawa dari sebuah negara di Amerika Selatan sebelum transit ke sebuah negara di Asia Tenggara, namun telah ditahan sebaik tiba di Pelabuhan Klang, Selangor.

    “Kontena tersebut dipercayai untuk dihantar ke sebuah negara di Asia Selatan,” katanya.

    Sementara itu katanya, pihaknya juga turut berjaya merampas dadah jenis ketamin seberat 151.85 kilogram bernilai RM9.113 juta dalam dua kes berbeza minggu lalu.

    Zazuli berkata, dalam kes pada 6 Jun, sebanyak 15 buah kotak telah disita di Kompleks Kargo Udara KLIA, Sepang, Selangor.

    Katanya, hasil pemeriksaan ke atas kotak tersebut menjumpai 107 bungkusan plastik mengandungi bahan ketulan putih disyaki dadah jenis ketamin seberat 126.55 kilogram yang dianggarkan bernilai RM7.593 juta.

    Bagi mengaburi mata pihak berkuasa ujar beliau, sindiket itu telah mengikrarkan barang berkenaan sebagai periuk dan pasu seramik sedangkan di dalamnya terdapat kotak mengandungi dadah.

    Jelasnya, siasatan awal mendapati, ia diimport dari sebuah negara di Eropah dan mendarat di Kompleks Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebagai destinasi terakhir.

    Tambahnya, pengimport juga menggunakan maklumat palsu di dalam dokumen pengimportan yang telah menyukarkan lagi tangkapan dibuat ke atas pengimport dagangan.

    “Namun siasatan masih dilakukan bagi mengesan suspek bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

    Selain itu katanya, dalam kes di Pelabuhan Klang, Selangor JKDM dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman telah menyita satu kotena sejuk beku 4 Jun lalu.

    Ujar beliau, pemeriksaan dilakukan telah menjumpai 25 peket mengandungi serbuk putih disyaki dadah jenis ketamin seberat 25.30 kilogram.

    “Bungkusan paket berkenaan disorok di dalam dinding kontena sejuk beku yang berisi makanan laut,” katanya, lapor Sinar Harian.