Category: Jenayah

  • 2,000 liter diesel bernilai RM54,300 dirampas

    2,000 liter diesel bernilai RM54,300 dirampas

    PASUKAN Polis Marin Wilayah 5 (PPMW5) Bintulu berjaya merampas 2,000 liter diesel yang dianggarkan bernilai RM54,300 selepas menahan sebuah lori di Jalan Bintulu-Bakun, semalam.

    Pemeriksaan terhadap lori tiga tan itu dilakukan pasukan Unit Risikan Marin (URM) dalam Op Kontraban di tepi Jalan Simpang Daiken.

    Komander PPMW5 Sarawak, Asisten Komisioner Zulfikar Mohd. Ghazali berkata, hasil pemeriksaan telah menemukan sejumlah 2,000 liter diesel yang diletakkan dalam dua buah tong segi empat berwarna putih di bahagian belakang lori.

    “Hasil soal siasat terhadap pemandu yang berumur 31 tahun mendapati dia gagal mengemukakan sebarang bukti berdokumen kebenaran dari pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk memiliki, menyimpan atau membawa barang kawalan.

    “Suspek serta barangan rampasan kemudiannya diserahkan kepada pihak KPDNHEP Bintulu untuk siasatan lanjut. Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya memetik laporan Utusan Borneo, hari ini.

  • Polis berkas pekerja syarikat kurier buli lelaki OKU

    Polis berkas pekerja syarikat kurier buli lelaki OKU

    POLIS menahan seorang pekerja syarikat perkhidmatan kurier semalam kerana membuli Orang Kurang Upaya (OKU) susulan video kejadian itu tular dalam media sosial.

    Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, suspek yang berusia 24 tahun diberkasn selepas laporan dibuat terhadapnya selepas video berkenaan tersebar.

    “Dalam video tersebut, suspek dilihat menakutkan mangsa lelaki berusia 40 tahun terbabit menggunakan mercun dan objek tumpul.

    “Suspek berjaya ditangkap dan kini ditahan reman selama empat hari untuk siasatan lanjut di bawah Sekyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera ke atas mangsa dengan menggunakan objek.

    “Jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda,” katanya dalam sidang media berhubung tangkapan tersebut, hari ini, lapor Utusan Borneo.

    Tambahnya, siasatan juga dijalankan di bawah Seksyen 286 Kanun Keseksaan kerana membabitkan bahan letupan iaitu mercun.

    Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda.

    “Suspek juga telah diarahkan menjalankan saringan awal air kencing dan hasil ujian mendapati dia negatif dadah,” katanya.

    Selain itu, polis juga telah mengenal pasti individu yang merakamkan kejadian tersebut.

    “Si perakam juga sudah dikenal pasti dan dia akan dipanggil untuk membantu siasatan,” katanya.

    Bercakap mengenal motif kejadian, Ahsmon memberitahu siasatan awal polis mendapati kes adalah lebih kepada suspek yang bertindak membuli mangsa dan tiada unsur dendam atau lain-lain.

    “Justeru kita mohon orang ramai agar tidak membuat spekulasi dan kes ini adalah kes terpencil,” katanya lagi.

  • Polis lepas tembakan, dua pengedar dadah dicekup

    Polis lepas tembakan, dua pengedar dadah dicekup

    DUA pengedar dadah yang cuba merempuh kereta polis semasa cuba melarikan diri berjaya diberkas dalam kejadian di Kampung Limbawang, Beaufort.

    Kedua-dua lelaki berusia 31 dan 35 tahun itu berjaya ditahan selepas kereta dinaiki mereka terbabas di tepi jalan yang sedang dinaiki air banjir.

    Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki berkata, kejadian itu berlaku semasa pemerhatian dijalankan di sebuah rumah tanpa nombor oleh pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort.

    “Hasil pemerhatian, sebuah kereta jenis Proton Saga yang dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan masuk ke kawasan rumah berkenaan.

    “Pasukan serbuan mendekati kereta itu dan mengarahkan pemandu (suspek) berhenti namun suspek bertindak agresif dan terus memandu laju ke arah pasukan serbuan sehingga hampir melanggar anggota polis.

    “Polis kemudian melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar bagi tujuan keselamatan diri dan untuk menghalang kereta berkenaan. Namun, kereta itu terus memecut laju menghala ke Jalan Melulugus,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Astro Awani.

    Katanya, pasukan serbuan kemudian mengejar kereta berkenaan sehingga di Jalan Melulugus berhampiran sebuah kolej dan kereta berkenaan terbabas di tepi jalan yang sedang dinaiki air banjir.

    Tambahnya, kedua-dua suspek bertindak untuk melarikan diri namun berjaya diberkas.

    “Hasil pemeriksaan di dalam kereta dinaiki suspek menemukan satu paket plastik lutsinar sederhana besar mengandungi ketulan hablur jernih disyaki dadah syabu seberat 6.11 gram di atas tempat duduk sebelah pemandu.

    “Kedua-dua tangkapan dan rampasan dibawa balik ke IPD Beaufort untuk tindakan lanjut dan suspek juga didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau berkata, kes kini disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

  • Sindiket PATI tunggu tengah malam masuk ke negara ini

    Sindiket PATI tunggu tengah malam masuk ke negara ini

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor mengesan modus operandi sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) membawa masuk mereka masuk secara haram pada waktu tengah malam hingga awal pagi.

    Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Mohd. Rosli Kassim berkata, mereka menunggu untuk menceroboh perairan negara bermula pukul 12 tengah malam sehingga 4 pagi bagi mengaburi kegiatan itu daripada mudah dikesan pihak berkuasa.

    “Modus operandi sindiket itu dikesan hasil risikan, maklumat dan tangkapan yang dijalankan pihak maritim.

    “Mereka (sindiket) menggunakan bot pom-pom, bot pancung, bot nelayan tempatan atau bot barter trade.

    “Bot nelayan tempatan ini berperanan untuk melakukan pemindahan PATI di sempadan perairan negara sebelum dibawa masuk ke dalam negara,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Beliau berkata, PATI yang mendarat kemudian akan menggunakan khidmat kenderaan e-hailing bagi urusan pengangkutan ke rumah penampungan atau ke lokasi tertentu.

    Katanya, Maritim Selangor mengenal pasti terdapat enam hotspot pendaratan PATI iaitu persisiran pantai Sabak Bernam, Sekinchan, Jeram, Pulau Carey, Morib dan Tanjung Rhu.

    “Ini berikutan hasil tangkapan 88 PATI bagi tempoh empat bulan pada tahun ini sehingga April.

    “PATI terdiri daripada 82 warga Indonesia dan enam Myanmar itu termasuk penahanan dua kanak-kanak,” ujarnya.

    Tegasnya, pihak Maritim mengingatkan agar jenayah ini dihentikan termasuklah kepada pemandu e-hailing agar tidak bersekongkol dengan sindiket kerana mengejar upah lumayan hingga sanggup menjadi pengkhianat negara.

    “Kita sentiasa pertingkat risikan dan sekiranya tertangkap, individu terlibat akan dikenakan hukuman berat.

    “Orang ramai juga disaran untuk salur maklumat dalam membantu penguat kuasa dalam usaha membenteras jenayah ini.

    “Jika terlihat atau pun mengetahui apa-apa aktiviti yang mencurigakan sila lapor kepada agensi penguat kuasa,” katanya.

  • Lima anggota polis disyaki curi barang kemas, wang tabung ketika serbu rumah

    Lima anggota polis disyaki curi barang kemas, wang tabung ketika serbu rumah

    SEKUMPULAN lima anggota polis disyaki mencuri barang kemas dan wang di dalam tabung ketika melakukan serbuan di sebuah rumah di Kedah, pada Sabtu lalu.

    Memetik laporan Harian Metro, seorang suri rumah berusia 36 tahun telah membuat laporan polis setelah mendakwa pasukan serbuan dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) itu mencuri seutas rantai dan gelang emas yang bernilai lebih RM8,000.

    Wanita berkenaan turut mendakwa wang kertas dalam tabung milik anaknya yang dianggarkan bernilai RM700 juga lesap dan hanya tinggal syiling selain dua barang kemas terbabit.

    Menurut sumber, pasukan polis yang diketuai seorang pegawai pada mulanya menyerbu rumah teres dua tingkat dihuni wanita berkenaan bersama suami dan dua anak mereka pada 1.20 pagi Sabtu lalu.

    “Ketika serbuan, pasangan terbabit sedang tidur di bilik tingkat atas dan wanita berkenaan membuka pintu sebelum membawa polis yang mahu melakukan pemeriksaan terhadap suaminya.

    “Hasil pemeriksaan, polis menemui syabu yang dianggarkan seberat hampir empat gram dalam kotak rokok milik suami wanita terbabit sebelum lelaki itu digari di ruang tamu rumah,” katanya.

    Tambah sumber itu, anggota polis kemudian menggeledah rumah yang mempunyai tiga bilik di tingkat atas rumah itu dengan masing-masing dijadikan bilik tidur, bilik menjahit dan bilik komputer.

    Katanya, ketika polis menggeledah rumah dan tidak menjumpai dadah serta bahan bukti lain, wanita berkenaan sedang menyusu anaknya dalam bilik utama.

    “Anggota polis kemudian membawa suami wanita terbabit ke IPD untuk tindakan lanjut bagi membantu siasatan kerana memiliki dadah,” katanya.

    Namun, pada pukul 5 pagi hari yang sama, wanita tersebut yang memasuki bilik menjahit digeledah polis terkejut apabila mendapati barang kemas yang disimpan dalam kotak hilang manakala tabung besi milik anaknya pecah.

    “Wanita terbabit yang tidak berpuas hati kemudian pergi ke IPD untuk bertanyakan mengenai barang kemas dan wang yang hilang itu namun kecewa apabila tiada sesiapa di bilik bahagian narkotik.

    “Bagaimanapun, dia berjaya menghubungi seorang pegawai polis keesokannya sebelum dinasihatkan membuat laporan berhubung kejadian itu,” katanya lagi.

    Sementara itu, Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan memberitahu siasatan lanjut mengenainya masih lagi dijalankan.

    “Siasatan menyeluruh sedang dijalankan dan jika benar seperti didakwa kita akan mengambil tindakan tegas terhadap pegawai dan anggota yang melakukan perbuatan terbabit,” katanya.

  • Arkitek rugi RM121,000 ditipu sindiket Macau Scam

    Arkitek rugi RM121,000 ditipu sindiket Macau Scam

    SEORANG arkitek sebuah syarikat swasta di Kuching kerugian RM121,000 setelah diperdaya satu sindiket Macau Scam yang kononnya dapat menyelesaikan satu kes jenayah kewangan melibatkannya.

    Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri hari ini berkata lelaki berumur 35 tahun itu, membuat laporan polis semalam di sini setelah menyedari dirinya ditipu sindiket itu yang menghubunginya bermula 1 Mac lepas.

    “Mangsa telah menerima panggilan telefon dari seorang lelaki memperkenalkan dirinya sebagai Mohd Rizuan dari Mahkamah Langkawi pada 1 Mac, mengatakan mangsa telibat dalam satu kes pengubahan wang,” katanya dalam satu kenyataan.

    Setelah mangsa menafikan penglibatannya, panggilan itu disambungkan kepada seorang lagi suspek yang mendakwa dirinya Sarjan Farah dari Balai Polis Langkawi dan akan membantu mangsa membuat laporan penafian dengan syarat, mangsa membuat pembayaran untuk audit dan siasatan.

    “Mangsa kemudian dihubungi beberapa individu melalui telefon bagi mengarahkannya membuat bayaran itu. Mangsa melakukan 11 transaksi wang keseluruhannya berjumlah RM121,000 ke empat akaun bank atas nama individu yang berlainan di antara 1 Mac dan 12 April,” kata Mohd Azman.

    Menurutnya mangsa hanya menyedari dirinya ditipu setelah nombor-nombor telefon yang digunakan suspek-suspek itu tidak dapat dihubungi selepas beliau membuat pembayaran berkenaan.

    — BERNAMA

  • Tahanan dalam lokap meninggal dunia akibat Covid-19

    Tahanan dalam lokap meninggal dunia akibat Covid-19

    JABATAN Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman mengesahkan punca kematian tahanan di lokap Balai Seri Alam, Johor Bahru, kelmarin adalah disebabkan radang paru-paru akibat dijangkiti Covid-19.

    Pengarah JIPS Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad berkata, bedah siasat terhadap tahanan berkenaan sudah dilakukan di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru, semalam dan mendapati tiada sebarang kecederaan.

    “Susulan itu, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Harian Metro.

    Azri berkata, bagaimanapun pihaknya akan meneruskan siasatan daripada pelbagai sudut sebelum menyerahkan hasil siasatan kepada koroner.

    Kelmarin, Azri dilaporkan berkata, lelaki tempatan berusia 48 tahun itu yang ditahan atas kesalahan dadah ditemui lemah dalam lokap berkenaan.

    “Pada pukul 8.35 pagi, tahanan itu berada dalam keadaan lemah dan pegawai bertugas menghubungi Klinik Kesihatan Masai, Johor.

    “Hasil pemeriksaan pegawai kesihatan mengesahkan tahanan itu meninggal dunia pada 9.35 pagi,” katanya.

  • Guru wanita pukul murid hingga lebam di lengan, bengkak pipi

    Guru wanita pukul murid hingga lebam di lengan, bengkak pipi

    SEORANG murid perempuan Tahun Lima lebam lengan kiri serta bengkak pipi selepas dipukul guru wanita ketika sesi pembelajaran dalam kelas di sebuah sekolah rendah, Kulim, semalam.

    Murid berkenaan dipukul kerana menghilangkan buku matematik sebelum kejadian itu ibu mangsa membuat laporan polis pada pukul 5 petang kerana tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku.

    Harian Metro melaporkan, menurut sumber, hasil siasatan awal mendapati ibu kanak-kanak itu mengetahui perkara berkenaan daripada nenek mangsa yang menghubungi dan memaklumkan kejadian menimpa murid terbabit.

    “Mendengarkan anaknya mengalami kecederaan akibat dipukul guru, ibu mangsa kemudian membuat laporan polis sebelum mangsa dibawa menjalani pemeriksaan di Hospital Kulim.

    “Setakat ini, siasatan awal polis mendapati kanak-kanak itu dipukul gurunya kerana dia menghilangkan buku matematik,” katanya.

    Sehingga kini katanya, siasatan menyeluruh sedang serta masih dijalankan termasuk akan mengambil keterangan daripada guru wanita berusia 40-an yang didakwa memukul mangsa itu.

    “Selain itu, kita juga sudah memaklumkan kejadian terbabit kepada pegawai perhubungan serta pihak sekolah itu sendiri bagi memudahkan siasatan dilakukan,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd. Redzuan Salleh ketika dihubungi mengesahkan kejadian berhubung kes terbabit namun enggan mengulas lanjut mengenainya kerana masih dalam siasatan.

    Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

  • Lelaki terbaring tepi jalan mangsa samun, pukul

    Lelaki terbaring tepi jalan mangsa samun, pukul

    SEORANG lelaki yang dijumpai terbaring di tepi jalan di Taman Tenaga, Cheras dalam keadaan tidak sedarkan diri, dengan klip video keadaannya itu tular di media sosial hari ini, dipercayai dipukul dan disamun.

    Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, isteri lelaki itu sudah membuat laporan polis berhubung kejadian, dan lelaki itu kini dirawat di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Cheras, Kuala Lumpur.

    “Berdasarkan siasatan awal kita percaya lelaki itu dipukul dan disamun oleh dua lelaki warganegara tempatan, dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan berkaitan jenayah samun hingga mendatangkan kecederaan,” katanya ketika dihubungi.

    Beliau berkata polis percaya dua lelaki dilihat menaiki motosikal, yang dipaparkan dalam rakaman video yang tular itu, adalah suspek utama kejadian.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil bagi membantu siasatan. Sekiranya terdapat sebarang maklumat, sila hubungi Hotline Polis Cheras dengan menelefon 03-9284 5050/ 5051, atau Hotline Polis Kuala Lumpur 03-2115 9999 atau tampil di balai polis berdekatan bagi membantu siasatan,” katanya. – Bernama

  • 8,207 karton rokok seludup dirampas

    8,207 karton rokok seludup dirampas

    KEGIATAN satu sindiket menjadikan sebuah rumah di Kepong Baru, Kuala Lumpur sebagai tempat menyimpan rokok seludup terbongkar apabila diserbu pukul 11 pagi semalam.

    Menerusi serbuan itu Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah merampas 8,207 karton rokok pelbagai jenama disyaki tanpa cukai.

    Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Zulkifli Jonit berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 55 tahun.

    “Kita merampas sebanyak 8,207 karton rokok pelbagai jenama, sebuah telefon bimbit dan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang disyaki digunakan dalam menjalankan aktiviti pengedaran rokok tidak bercukai.

    “Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM2,022,632.20,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Zulkifli berkata, sindiket pengedaran rokok tidak bercukai itu menyewa kediaman untuk dijadikan sebagai stor penyimpanan rokok.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967,” katanya.