Category: Jenayah

  • Kanak-kanak lima tahun saksi ibu dibunuh secara kejam

    Kanak-kanak lima tahun saksi ibu dibunuh secara kejam

    SEORANG wanita ditemui mati dengan beberapa kesan tikaman pada anggota badan di bilik sewanya, di sebuah bangunan di Bandar Baru Batu Kawah di Kuching semalam.

    Lebih menyedihkan, menurut sumber, kematian wanita terbabit dipercayai disaksikan sendiri oleh anaknya yang berusia lima tahun.

    Memetik Astro AWANI, katanya, kejadian itu disedari oleh kenalan mangsa yang juga seorang pengusaha kedai kopi di premis berhampiran.

      “Terdahulu, anak mangsa telah berlari keluar sambil menangis menuju ke kedai kopi terbabit.

    “Bimbang sesuatu buruk berlaku, pengusaha terbabit telah membawa kanak-kanak berkenaan kembali ke rumah mereka, dan menemui mangsa berlumuran darah.

    “Pengusaha terbabit kemudian segera melaporkan kejadian terbabit kepada pihak polis,” katanya di sini, pada Ahad.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, ketika dihubungi mengesahkan telah menerima laporan kejadian sekitar jam 5.30 petang itu.

    “Polis masih menjalankan siasatan dan mengumpul maklumat lanjut mengenai kejadian terbabit.

    “Mangsa dipercayai berasal dari Kalimantan Barat dan tinggal bersama anak perempuannya berusia lima tahun,” katanya.

  • Wanita mati dibunuh, teman lelaki anak dipercayai suspek

    Wanita mati dibunuh, teman lelaki anak dipercayai suspek

    SEORANG suri rumah warga Indonesia berumur 59 tahun maut dipercayai dibunuh oleh teman lelaki anaknya sendiri di Sandakan semalam.

    Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Abdul Fuad Abdul Malek berkata, anak mangsa berumur 25 tahun itu juga cedera dalam kejadian tersebut.

    “Kejadian berlaku kira-kira 5.50 petang di sebuah rumah di Apartmen Taman Sentosa iaitu berlaku pertengkaran, lalu suspek bertindak mengelar bahagian leher mangsa dengan senjata tajam.

    “Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala anak perempuannya cedera ringan di bahagian tangan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Abdul Fuad berkata, suspek lelaki tempatan berumur 31 tahun ditahan selepas menyerah diri di Balai Polis Sandakan tidak lama kemudian.

    Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Duchess of Kent di sini dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – BERNAMA

  • Kondo mewah ‘port’ proses dadah, polis rampas ekstasi nilai RM26.5 juta

    Kondo mewah ‘port’ proses dadah, polis rampas ekstasi nilai RM26.5 juta

    POLIS menyerbu dua unit kondominium mewah yang dijadikan sebagai tempat pemprosesan dadah jenis ekstasi di sekitar ibu negara, dan menahan seorang lelaki disyaki dalang kegiatan itu, serta tiga wanita warga China yang disyaki terbabit, Khamis lepas.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua mereka yang berumur 48 hingga 56 tahun itu ditahan dalam serbuan yang bermula pada pukul 4.30 petang.

    Beliau berkata, kondominium mewah itu disewa RM2,500 sebulan setiap satu unit dan ia digunakan sebagai tempat untuk memproses dadah, sebelum dijual kepada pelanggan di kelab malam serta pasaran tempatan, dan kegiatan mereka dipercayai telah aktif sejak hujung tahun lepas.

    “Sejumlah pil dan serbuk dadah jenis ekstasi dianggarkan bernilai RM26.5 juta dan dua kenderaan, wang tunai, jam tangan serta barang kemas dirampas dalam serbuan itu,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

    Menurutnya, semakan mendapati tiga wanita warga asing itu masuk ke negara ini empat hingga lima tahun lepas menggunakan pas lawatan sosial.

    Beliau berkata, kesemua mereka yang didapati negatif dadah dan tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau itu direman tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Sementara itu, Ayob Khan berkata, pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung kes seorang bekas diplomat Malaysia bersama anak lelakinya yang ditahan kerana disyaki menanam dan memiliki ladang pokok ganja di Janda Baik, Pahang pada 21 Mei lepas.

    “Bekas diplomat berusia 78 tahun itu telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh remannya tamat semalam, dan anaknya masih ditahan reman sehingga esok, mungkin akan disambung reman,” katanya.

    Katanya, kertas siasatan akan diserahkan kepada pejabat Pejabat Peguam Negara dalam masa terdekat.

    Selasa lepas media melaporkan polis menahan seorang bekas diplomat bergelar Datuk dan anak lelakinya berusia 53 tahun yang dipercayai terlibat menanam 102 pokok disyaki ganja di sebuah rumah di Kampung Sum Sum, Janda Baik, Bukit Tinggi, Pahang. – BERNAMA

  • Rugi RM4 juta ditipu ‘Datin Ida’ sertai pelaburan Hari Raya

    Rugi RM4 juta ditipu ‘Datin Ida’ sertai pelaburan Hari Raya

    SEORANG peniaga mendakwa ditipu individu dikenali sebagai “Datin Ida” untuk menyertai skim pelaburan Hari Raya secara dalam talian melibatkan kerugian terkumpul kira-kira RM4 juta.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Terengganu, Supt M Zambri Mahmud, berkata wanita berusia 31 tahun itu membuat laporan polis pada 6 Mei lalu, apabila pulangan dijanjikan selepas pelaburan dibuat tidak diterima dalam tempoh dijanjikan.

    Beliau berkata, mangsa dijanjikan keuntungan sebanyak RM55,000 bagi RM30,000 yang dilaburkan dalam masa tiga hari.

    “Pengadu telah melabur sebanyak RM100,000 seminggu sebelum raya (tarikh tidak dinyatakan) dan pada masa sama pengadu telah mengiklankan pelaburan tersebut ke dalam kumpulan WhatsApp.

    “Ramai yang berminat untuk menyertai pelaburan itu dan sebanyak 296 individu telah menyertai skim pelaburan tersebut melibatkan nilai pelaburan oleh rangkaian bawahan pengadu sebanyak lebih kurang RM4 juta,” katanya dalam kenyataan malam ini.

    Zambri berkata, mangsa menyerahkan semua kutipan wang kepada pihak urusan pelaburan melalui akaun diarahkan “Datin Ida”.

    “Semua transaksi kemasukan wang oleh pengadu ada dalam simpanan pengadu. Hasil keuntungan pelaburan itu, pengadu turut diberi bonus daripada Datin Ida sebanyak RM190,000 atas kutipan yang besar dalam tempoh singkat,” katanya.

    Namun, menurut Zambri sehingga hari ini mangsa masih tidak mendapat apa-apa pulangan daripada wang yang telah dilaburkan dan merasakan dirinya ditipu.

    Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan menjanjikan pulangan tidak masuk akal dalam tempoh singkat.

  • Empat GRO ditahan dalam serbuan di pusat hiburan

    Empat GRO ditahan dalam serbuan di pusat hiburan

    BAHAGIAN Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Kuala Lumpur melakukan serbuan dan menahan empat wanita pelayan pelanggan (GRO) di sebuah pusat hiburan di Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur, tengah malam tadi.

    Menerusi serbuan pada pukul 12.50 tengah malam itu pihak polis membuat pemeriksaan terhadap 24 individu membabitkan 15 pelanggan dan sembilan pekerja premis bagi tujuan dokumentasi.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, daripada jumlah itu, mpat wanita disyaki GRO membabitkan seorang warga Thailand dan tiga warga Vietnam berusia 22 hingga 39 tahun ditahan.

    “Kami turut menahan seorang lelaki tempatan yang bekerja sebagai pengurus di pusat hiburan terbabit.

    “GRO terbabit dipercayai menerima bayaran antara RM100 hingga RM150 bagi satu jam layanan mereka kepada pelanggan.

    “Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti sama ada GRO itu digajikan oleh premis berkenaan yang juga tidak berlesen atau dibawa dari luar oleh pengunjung.

    “Semua individu yang ditahan itu dibawa ke balai polis berhampiran untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan (AHWP) 1992,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

  • Pekerja empangan lemas ketika menjala ikan

    Pekerja empangan lemas ketika menjala ikan

    SEORANG lelaki yang hilang selepas perahu dinaiki bersama tiga rakan karam ketika menjala ikan berhampiran Empangan Baleh, Putai, Kapit pada malam Rabu lalu ditemukan lemas pukul 4.11 petang semalam.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit, Timoty Barat berkata, mangsa, Julius Melina, 35, dijumpai terapung oleh orang awam berhampiran Klinik Kesihatan Nanga Merirai.

    “Dalam insiden itu, mangsa gagal menyelamatkan diri manakala dua rakan mangsa selamat selepas berjaya berenang ke tebing sungai yang berlaku sekitar tengah malam Rabu lalu.

    “Mayat mangsa dijumpai terapung oleh orang awam kira-kira 40 kilometer daripada lokasi perahu mereka karam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Utusan Borneo.

    Timoty berkata, mangsa berasal dari Nanga Ibau, Kapit dan merupakan seorang pekerja Empangan Balleh Putai.

    Katanya, mayat kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi pencarian telah ditamatkan semalam.

    Operasi pencarian tersebut juga dibantu oleh pasukan polis (empat), Angkatan Pertahanan Awam (dua orang) dan tiga orang dari Lembaga Sungai-Sungai Sarawak.

  • Lihat rakan baik terkapai-kapai sebelum tenggelam

    Lihat rakan baik terkapai-kapai sebelum tenggelam

    SEORANG rakan tidak dapat melupakan detik-detik menyaksikan rakan baiknya terkapai-kapai sebelum tenggelam semasa mereka mandi di kolam terbiar berhampiran sebuah pasar raya di Mergong, Alor Setar, pukul 6 petang semalam.

    Muhammad Yazid Mohd Marwan, 15, dan rakan yang lain cuba menyelamatkan rakannya, Muhammad Hadwan Iman Abdul Hadi, 17, yang sedang terkapai-kapai tetapi tidak berjaya.

    “Saya nampak sendiri depan mata rakan baik saya, Muhammad Hadwan Iman terkapai-kapai di tengah kolam terbiar itu sebelum dia hilang dari pandangan.

    “Dalam suasana panik itu, beberapa rakan lain cuba terjun untuk menyelamatkan mangsa tapi mereka berpatah balik kerana kawasan itu semakin dalam,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, lapor Harian Metro, hari ini.

    Dalam kejadian semalam, Muhammad Yazid bersama-sama lima rakannya termasuk Muhammad Hadwan Iman mandi di kolam terbiar itu sebelum mangsa tenggelam.

    Mayat mangsa ditemui pada pukul 10.49 malam oleh sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar yang melakukan pencarian menggunakan teknik gripping iron menyebabkan tali tersangkut pada seluar mangsa yang ketika itu berada di dasar kolam.

    Menurut Muhammad Yazid, mereka berlima mandi di kawasan kolam terbiar itu, namun hanya mangsa menaiki tong polistirena yang dijadikan pelampung kerana tidak tahu berenang.

    “Muhammad Hadwan kelihatan seronok ketika itu kerana dapat naik tong polistirena itu sambil melihat kami mandi kerana mulanya paras air cetek namun tidak lama selepas itu tong polistirena itu dimasuki air dan dia tenggelam ke dasar kolam yang dalam.

    “Saya dan rakan-rakan lain terkilan kerana tidak dapat menyelamatkannya dan saya pulang ke rumah untuk memberitahu perkara itu kepada bapanya sebelum bergegas ke sini,” katanya.

    Dia dan arwah berkawan baik sejak lapan tahun lalu, malah tinggal di tempat sama iaitu di Flat Seri Gemilang, Alor Setar, walaupun berlainan sekolah.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir ketika ditemui di lokasi pencarian berkata, kawasan kolam terbiar itu tidak berpagar dan dipercayai menjadi tempat orang memancing serta mandi walaupun terdapat papan tanda amaran dilarang mandi.

    Beliau berkata, mangsa dipercayai menaiki tong polistirena itu yang dijadikan pelampung sebelum terjatuh ke dalam kolam dan lemas.

    “Jasad mangsa yang ditemui pasukan bomba dan kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk tindakan lanjut,” katanya.

  • Rampas rokok seludup bernilai lebih RM1 juta dirampas

    Rampas rokok seludup bernilai lebih RM1 juta dirampas

    BRIGED Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 7,146 karton rokok seludup bernilai lebih RM1 juta termasuk cukai dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Wakaf Tapai, Marang, pukul 3 petang semalam.

    Serbuan itu dilakukan dalam Op Kontraban Pantai Timur dan pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan berkenaan.

    Komandernya, Datuk Hasan Basri Ahmad Safar berkata, ketika serbuan, lelaki yang tidak mempunyai rekod lampau itu sedang memunggah beberapa kotak besar disyaki rokok tidak bercukai dalam bonet dan tempat duduk belakang sebuah kereta di pekarangan rumah tersebut.

    “Hasil pemeriksaan dalam kereta dan rumah, kami berjaya menemui kotak-kotak yang di dalamnya mengandungi 1,429,200 batang pelbagai jenis rokok berharga RM114,336 dengan nilai cukai sebanyak RM975,564.

    “Nilai keseluruhan rampasan ini adalah sebanyak RM1,092,900 melibatkan rokok putih, kereta dan telefom bimbit,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Hasan Basri berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 yang membawa hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda nilai atau RM100,000, mana lebih tinggi atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

    Sementara itu, beliau berkata, sebanyak empat kes tangkapan dan rampasan kontraban di bawah Akta Kastam 1967 direkodkan Briged Tenggara PGA dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.

    Katanya, tiga lelaki tempatan telah ditahan sepanjang tempoh berkenaan dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM3.1 juta.

  • Kes penyelewengan dana kerajaan:tiada pemimpin politik Melaka disiasat-SPRM

    Kes penyelewengan dana kerajaan:tiada pemimpin politik Melaka disiasat-SPRM

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menyiasat mana-mana ahli politik di Melaka berhubung salah laku rasuah berhubung dakwaan kes penyelewengan dana kerajaan serta pelaksanaan projek mega di negeri itu.

    Pengarah SPRM Melaka, Mohd. Shahril Che Saad berkata, pihaknya tidak menerima sebarang aduan atau laporan daripada mana-mana pihak terhadap mana-mana ahli politik setakat ini.

    “Suka saya nyatakan di sini, sehingga hari ini, tiada sebarang siasatan terhadap ahli politik di Melaka. Itu (dakwaan) lebih kepada khabar angin, kita tak tahu apa yang berlaku, (namun) kita boleh sahkan tidak ada sebarang siasatan membabitkan ahli politik atau mana-mana pihak (berkepentingan),” katanya, lapor Berita Harian.

    Mohd. Shahril ditemui media selepas menyertai program Ujian Melepaskan Tembakan dan Kemahiran Pengendalian Senjata Api SPRM Melaka bersama media di Lapang Sasar, Akademi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Tiang Dua, Melaka, hari ini.

    Beliau mengulas dakwaan terdapat beberapa ahli politik Melaka bergelar Datuk dan Datuk Seri sama ada sudah dan akan disiasat oleh SPRM dalam tempoh terdekat berkaitan kes berkenaan.

    Sementara itu, Mohd Shahril berkata, jumlah senjata api bagi kegunaan pegawai SPRM Melaka dalam menjalankan tugas pencegahan jenayah rasuah masih mencukupi.

    “Walaupun sedikit, ia masih mampu menampung keperluan tugasan pegawai, terutama ketika menjalankan operasi di negeri ini.

    “Untuk kapasiti dan jenis senjata yang digunakan, ia sudah mencukupi kerana sekiranya ada operasi besar membabitkan agensi lain, pasukan masing-masing akan bawa senjata sendiri, jadi tiada isu,” katanya.

  • Lelaki lemas selepas perahu dinaiki karam

    Lelaki lemas selepas perahu dinaiki karam

    SEORANG lelaki yang dilaporkan hilang selepas perahu dinaikinya karam berdekatan projek Empangan Baleh, di Putai, Kapit tengah malam Rabu lalu, ditemukan lemas, pukul 4.11 petang tadi.

    Mayat Julius Melina, 36, ditemui terapung oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di hilir sungai berdekatan Klinik Kesihatan Nanga Merirai, yang terletak kira-kira 40 kilometer dari tempat perahunya karam.

    Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, “mayat mangsa sudah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.”

    Katanya, berdasarkan maklumat yang diterima daripada pihak polis, mangsa bersama dua rakannya menaiki sebuah perahu untuk menangkap ikan pada tengah malam, Rabu lalu.

    “Sampai di satu lokasi perahu yang mereka naiki karam menyebabkan mangsa hilang manakala dua rakannya berjaya menyelamatkan diri,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Katanya, operasi SAR membabitkan empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit, empat anggota polis, tiga anggota Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) serta dua anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM).