Category: Jenayah

  • Maritim tahan 3 kapal tangki asing pindah minyak secara haram

    Maritim tahan 3 kapal tangki asing pindah minyak secara haram

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TIGA buah kapal asing ditahan kerana melakukan pemindahan minyak secara haram kedudukan 9.1 batu nautika timur Tanjung Siang, Kota Tinggi antara jam 12 tengah hari hingga 7 malam tadi.

    Kapal yang berdaftar dari Singapura, Malabo dan Monrovia itu ditahan dalam operasi melibatkan sebuah pesawat udara milik maritim Malaysia dan tujuh anggota Pasukan Tindakan Khas Maritim Malaysia.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, penahan terpaksa dilakukan semua kru dari kapal berkenaan tidak memberikan kerjasama semasa pemeriksaan.

    “Penahanan terpaksa dilakukan secara ‘force boarding’ oleh Pasukan Tindakan Khas Maritim Malaysia berikutan kedegilan kru kapal itu memberikan kerjasama untuk diperiksa penguat kuasa.

    Kapal tangki itu dikendalikan 39 kru warga Indonesia, Singapura dan Rusia berumur di antara 24 hingga 62 tahun

    “Kapal tangki itu dikendalikan 39 kru warga Indonesia, Singapura dan Rusia berumur di antara 24 hingga 62 tahun dan mempunyai pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Menurut Nurul Hizam, kes akan disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(K) bagi kesalahan melakukan aktiviti kapal ke kapal (STS) tanpa kebenaran dan 491B(1)(L) bagi kesalahan bersauh tanpa kebenaran.

    “Jika didapati bersalah, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

    “Nakhoda ketiga-tiga kapal turut disiasat di bawah Sekyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM 10,000 atau kedua-duanya sekali sekiranya bersalah,” katanya.

  • KPDNHEP Melaka tumpaskan sindiket penyelewengan diesel

    KPDNHEP Melaka tumpaskan sindiket penyelewengan diesel

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka menumpaskan sindiket penyelewengan diesel selepas merampas 10,000 liter diesel bernilai RM21,500 tidak termasuk subsidi kerajaan dalam satu serbuan di sebuah premis di Kawasan Perindustrian Krubong, semalam.

    Pengarahnya, Norena Jaafar bagaimanapun berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 7 petang itu, dua lelaki meloloskan diri dengan memanjat pagar belakang premis yang dijadikan stor haram menyimpan dan memindahkan diesel.

    Beliau berkata, pihaknya turut merampas 18 tangki minyak tambahan yang setiap satunya berkapasiti 1,000 liter, dua motosikal, dua lori dan paip penyambung bernilai kira-kira RM135,000.

    “Berdasarkan intipan dan risikan selama seminggu, modus operandi sindiket itu didapati ialah mengisi diesel di stesen minyak sekitar Melaka antara RM300 hingga RM500 menggunakan kad kredit dan aktiviti itu dilakukan secara kerap dalam seminggu,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar hari ini.

    Mengulas lanjut, Norena berkata, diesel itu kemudiannya akan dijual kepada pihak industri pada harga RM4 hingga RM4.30 seliter berbanding harga semasa diesel yang dibeli di stesen minyak iaitu RM2.15.

    Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi 3 tahun jika sabit kesalahan bagi individu dan denda tidak melebihi RM3 juta bagi kesalahan pertama melibatkan pertubuhan.

    “Kita memandang serius aktiviti penyeludupan atau penyelewengan diesel kerana ia melibatkan subsidi oleh kerajaan sekali gus menyebabkan kerugian besar sekiranya aktiviti ini terus berleluasa,” katanya.

    Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai pertanyaan lanjut atau aduan yang ingin disalurkan, boleh menghubungi Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) KPDNHEP Melaka di talian 06-2345869 atau WhatsApp ke 019-279 4317 yang beroperasi setiap hari dari 8 pagi hingga 6 petang. – Bernama

  • Empat tokan dadah diberkas polis bersama rampasan bernilai RM11,550

    Empat tokan dadah diberkas polis bersama rampasan bernilai RM11,550

    POLIS Kelantan menahan empat tokan dadah dalam tiga serbuan berasingan yang dilakukan di Tumpat dan Kota Bharu, semalam.

    Menurut Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, dadah bernilai RM11,000 itu berjaya dirampas bersama-sama suspek lelaki berusia dari 26 hingga 48 tahun itu.

    Menurut beliau, serbuan pertama membabitkan penahanan dua lelaki di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Belukar, Wakaf Bharu, Tumpat pada pukul 1 pagi.

    “Jumlah dadah dalam serbuan pertama adalah sebanyak 1,020 pil kuda dan empat biji pil epam bernilai RM10,220,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di Kota Bharu, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Menurut Muhamad Zaki, dalam serbuan kedua pula, polis menahan seorang lelaki di belakang sebuah rumah di Kampung Jal Kechik, Tumpat pada pukul 2.30 pagi.

    Sementara serbuan kedua pula katanya, menemukan 23 biji pil kuda dan tiga gram dadah bernilai RM730.

    “Kemudian dalam serbuan ketiga, seorang lelaki ditahan di sebuah rumah di Kampung Sireh Bawah Hilir, Kota Bharu dan polis merampas 55 biji pil kuda bernilai RM550,” ujarnya.

    Tambah Muhamad Zaki, kesemua suspek direman lima hari bermula Ahad sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan.

    Beliau berkata, keseluruhan rampasan dadah dalam ketiga-tiga serbuan tersebut berjumlah RM11,550 selain sebuah motosikal jenis RS 150 berwarna hitam bernilai RM6,000 disita.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B, 39A (1) dan 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • Instafamous Cik Lala ditahan anjur tarian separuh bogel

    Instafamous Cik Lala ditahan anjur tarian separuh bogel

    POLIS menahan seorang pesohor Instagram atau instafamous berhubung kejadian sekumpulan lelaki berperwatakan wanita yang menari separuh bogel dan membakar bunga api pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di sebuah unit di I-City di sini, Jumaat lepas.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata, ‘instafamous’ dikenali sebagai ‘Cik Lala’ yang juga penganjur majlis tersebut, ditahan semalam dan direman sehingga esok bagi membantu siasatan selepas tular beberapa rakaman video yang dimuat naik di laman sosial TikTok.

    Katanya, siasatan awal mendapati kejadian itu didakwa berlaku pada 27 Mei sekitar pukul 8 malam hingga 11.30 malam di sebuah unit di Centralwalk I-City, di sini.

    “Pengadu yang merupakan pengurus Badan Pengurusan Bersama (JMB) I-Soho I-City membuat laporan polis pada 28 Mei setelah menerima pesanan WhatsApp mengenai aktiviti yang menjatuhkan imej I-City sebagai satu tarikan pelancong di Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya, aktiviti yang diiringi muzik kuat itu dilakukan di kawasan awam berhampiran rumah penduduk dan ‘Cik Lala’ adalah individu yang menyewa unit berkenaan pada harga RM4,000 bagi menganjurkan majlis berkenaan dengan jemputan kira-kira 50 orang.

    Mohd Iqbal berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes boleh menghubungi Insp Nur Syuhada di talian 017-6942736. – BERNAMA

  • Pil yaba paling popular, permintaan tinggi di Kelantan

    Pil yaba paling popular, permintaan tinggi di Kelantan

    PIL yaba merupakan dadah paling popular di Kelantan dan mendapat permintaan tinggi kerana senang digunakan selain mudah dibawa.

    Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, dadah jenis itu lebih terkenal di negeri itu heroin.

    “Selain daripada segi mudah dibawa, harga yang murah juga menyumbang kepada faktor permintaan tinggi.

    “Sebiji pil yaba berharga RM10 sahaja. Namun jika permintaan tinggi dan bekalan sukar diperoleh susulan kawalan ketat, harga akan meningkat sehingga mencecah RM20 sebiji.

    “Kita akan meningkatkan operasi bagi membuat tangkapan terhadap tokan dadah terbabit dalam usaha membanteras jenayah dadah di negeri ini,” katanya pada sidang media di Kota Bharu, hari ini, lapor Harian Metro.

    Pada sidang media berkenaan, Muhamad Zaki turut memaklumkan, pihaknya menahan empat lelaki yang juga pengedar dadah menerusi tiga serbuan berasingan di Kota Bharu dan Tumpat semalam.

    Katanya, hasil serbuan pukul 1 pagi hingga 12 tengah hari itu membawa kepada 1,098 biji pil kuda, 3 gram heroin dan empat biji Epam yang keseluruhannya bernilai RM11,550.

    “Pemeriksaan mendapati, tiga daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan kesemua mereka berusia antara 26 hingga 48 tahun itu ditahan reman sehingga Khamis ini.

    “Sekiranya dadah ini terlepas, ia boleh digunakan seramai 580 orang penagih dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.


  • 3 pengawal keselamatan diugut, diikat sebelum samun

    3 pengawal keselamatan diugut, diikat sebelum samun

    TIGA pengawal keselamatan diugur dan disamun dalam dua siri kejadian di sebuah kilang mesin bitcoin di Meru, Klang pada 27 April dan 20 Mei lalu yang berlaku antara pukul 2 hingga 3 pagi.

    Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, siasatan yang dijalankan kemudian berjaya menangkap 12 individu di sekitar Klang termasuk seorang lelaki warga Indonesia dipercayai terlibat dalam kejadian.

    “Penangkapan kesemua suspek berumur antara 20 hingga 40-an ini sekali gus berjaya menyelesaikan beberapa siri jenayah samun di sekitar kawasan Klang

    “Laporan berkaitan kejadian dibuat oleh pengarah syarikat kilang tersebut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara di Klang, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata, laporan berkaitan kejadian dibuat oleh pengarah syarikat kilang tersebut.

    “Siasatan mendapati kejadian melibatkan 180 mesin bitcoin dianggarkan bernilai lebih RM180,000.

    “Tiga pengawal keselamatan yang telah diugut dan diikat ketika kejadian pada 27 April serta 20 Mei itu merupakan warga tempatan berumur lingkungan 30-an. Kesemua mereka bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

    Menurutnya, susulan tangkapan yang dijalankan, polis berjaya menemukan pelbagai barangan termasuk mesin bitcoin yang telah disamun.

    “Selain itu, polis turut merampas dua buah kenderaan jenis Proton Wira dan Nissan Sentra, telefon bimbit serta pelbagai barangan lain.

    “Semakan rekod mendapati 11 daripada 12 suspek yang ditahan mempunyai pelbagai rekod kesalahan lampau melibatkan jenayah serta dadah,” katanya.

    Pihaknya turut mengesan empat lagi suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu.

    “Keempat suspek ini mempunyai hubung kait dengan kejadian dan dipercayai berumur sekitar 30-an.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Polis bongkar sindiket edar dadah, empat termasuk warga Ukraine ditahan

    Polis bongkar sindiket edar dadah, empat termasuk warga Ukraine ditahan

    Kegiatan sindiket pengedaran dadah di Lembah Klang yang dipercayai beroperasi sejak enam bulan lalu terbongkar dalam serbuan di bangunan kedai di Batu 11, Cheras, Kajang, 24 Mei lalu.

    Harian Metro melaporkan, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor, Asisten Komisioner Ahmad Jefferi Abdullah berkata, pihaknya menjalankan serbuan di lokasi berkenaan kira-kira pukul 6 petang.

    “Dalam serbuan itu, kami menahan seorang lelaki warga Ukraine dan tiga lelaki tempatan berusia antara 30 hingga 44 tahun yang sedang leka mengangkat kotak.

    “Kami turut menemui satu kotak bungkusan teh cina serta plastik lut sinar mengandungi syabu seberat 39 kilogram dianggarkan bernilai RM1.4 juta yang diletakkan di dalam sebuah kereta Perodua Bezza.

    “Kami turut menyita tiga kereta iaitu Mercedes Benz, Toyota Vios serta Perdua Bezza; wang tunai berjumlah RM20,380; wang tunai 35,000 baht atau RM4,503 dan beberapa barang kemas bernilai RM109,200 menjadikan nilai keseluruhan sitaan sebanyak RM389,083,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, hari ini. Turut hadir, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan.

    Ahmad Jefferi berkata, siasatan awal mendapati bekalan dadah berkenaan dipercayai diperoleh dari negara jiran sebelum diedarkan kepada pengedar dadah kecil-kecilan di sekitar Lembah Klang.

    “Semakan dilakukan mendapati pasport milik individu warga Ukraine berkenaan adalah sah. Dia sudah dua kali datang ke Malaysia iaitu pada April lalu sebelum keluar ke Thailand dan datang semula awal bulan lalu (Mei).

    “Hasil ujian saringan dilakukan mendapati dua daripada empat suspek berkenaan positif dadah dan dua daripada mereka juga mempunyai rekod kesalahan kes dadah serta jenayah,” katanya.

    Katanya, pihaknya tidak menolak kemungkinan ada saki baki sindiket ini yang masih bebas dan usaha mengesan mereka giat dijalankan.

    “Semua suspek direman selama tujuh hari bermula 25 Mei lalu hingga esok dan permohonan untuk melanjutkan reman akan dilakukan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

  • PGA 8 rampas 541 burung murai batu bernilai RM541,000

    PGA 8 rampas 541 burung murai batu bernilai RM541,000

    BATALION 8 Pasukan Gerakan Am (PGA 8) berjaya merampas sebanyak 541 burung murai batu bernilai RM541,000 dari negara jiran sebelum bertindak menahan seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun di Kampung Jubakar Tumpat, Kelantan petang semalam.

    Menurut Penolong Pegawai Pemerintah PGA 8, Deputi Superintendan K. Ramesh, rampasan dan penahan lelaki tersebut dibuat pada pukul 4 petang selepas anggotanya menahan kereta jenis Chery Eastar dalam keadaan mencurigakan.

    Menurut beliau, hasil pemeriksaan anggotanya menemui 32 bakul plastik mengandungi 541 burung murai batu dipercayai diseludup dari Thailand melalui Sungai Golok.

    “Hasil soal siasat, semua burung itu akan dibawa ke utara untuk pasaran di sana. Semua barangan dirampas, manakala pemandu kenderaan yang beralamat di Grik, Perak itu pula ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media hari ini, lapor Berita Harian.

    Menurut Ramesh, semua burung berkenaan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dan kes disiasat mengikut Seksyen 60 (1) (A) Akta Perhilitan 1972.

    Beliau berkata, dalam penugasan PGA sempena Op Wawasan bermula 26 Mei lalu, sebanyak sembilan kes direkodkan membabitkan nilai keseluruhan lebih RM2 juta.

    “Sebanyak 12 tangkapan dilakukan dan tujuh kenderaan turut dirampas.

    “Kita akan terus mempertingkat dan mengetatkan kawalan sempadan dengan memantau pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin serta jenayah rentas sempadan,” ujar beliau.

  • Cemburu, samun disyaki punca wanita warga asing dibunuh

    Cemburu, samun disyaki punca wanita warga asing dibunuh

    POLIS tidak menolak kemungkinan kes bunuh seorang wanita asing di sebuah bilik sewa di premis rumah kedai di Bandar Baru Batu Kawah, Kuching Ahad lalu berpunca daripada cemburu dan samun.

    Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Abang Zainal Abang Ahmad berkata berdasarkan siasatan awal di lokasi kejadian, didapati beberapa barangan milik mangsa hilang, menurut laporan aSTRO Awani.

    Namun, dalam kenyataan yang dibuat beliau, tiada kesan pecah masuk di lokasi kejadian, namun siasatan lanjut masih dijalankan pihak forensik.

    “Tindakan yang akan diambil termasuk mendapatkan makluman daripada saksi kejadian termasuk merakam percakapan anak mangsa.

    “Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan kejadian juga akan dibuat,” katanya.

    Sementara itu, anak mangsa akan diletakkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sepanjang tempoh siasatan.

    “Kes ini telah dimaklumkan kepada pihak Konsulat Indonesia di Sarawak dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

    Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang Ahad, seorang wanita warganegara Indonesia ditemui mati di rumah sewanya dengan beberapa kesan tikaman di badan.

    Mangsa dikenali sebagai Dea Noviyanti, 35, dipercayai berasal dari Kalimantan Barat dan kini tinggal bersama anaknya berusia lima tahun di rumah sewa tersebut.

    Lebih menyedihkan, menurut sumber, kematian wanita itu dipercayai disaksikan sendiri oleh anaknya.

    Sumber itu turut berkata kejadian disedari oleh kenalan mangsa yang juga seorang pengusaha kedai kopi di premis berhampiran.

    Mangsa dipercayai maut akibat kecederaan luka besar yang dialami di bahagian leher, disyaki dikelar dengan senjata tajam.

  • Nenek rugi RM565,700 selepas terperdaya ‘Love Scam’ seorang ‘doktor’

    Nenek rugi RM565,700 selepas terperdaya ‘Love Scam’ seorang ‘doktor’

    SEORANG wanita warga emas mengalami kerugian sebanyak RM565,700 dipercayai akibat diperdaya oleh seorang ‘doktor’ yang dikenalinya melalui platform media sosial tahun lepas.

    Ketua Polis Daerah Taiping ACP Osman Mamat berkata mangsa berusia 68 tahun bekerja sebagai penjaga stor kilang diperdaya suspek melalui modus operandi Love Scam atas talian sejak tahun lepas hingga Mei tahun ini.

    “Mangsa terpedaya setelah berkenalan dengan seorang pengguna Facebook yang menggunakan nama sebagai Ding Nai Wei yang mendakwa seorang doktor sedang bekerja di Iraq,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Osman berkata suspek telah merayu kepada mangsa untuk  memasukkan sejumlah wang untuk dibayar kepada pihak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu supaya suspek dapat keluar dari Iraq dan berjanji akan memberikan wang sebanyak RM5 juta kepada mangsa apabila suspek sampai di Malaysia.

    “Rayuan suspek telah menjerat mangsa sehingga mangsa melakukan 69 kali transaksi ke dalam 13 akaun bank iaitu 12 kali transaksi melalui Maybank dan sekali melalui CIMB Bank,” katanya.

    Menurut Osman sebanyak 11 kali transaksi dilakukan ke dalam akaun penama Brayen Robson Anak Sito dan sekali atas akaun penama Ho Yee Mun serta satu kali transaksi mengunakan CIMB Bank di akaun penama Clayton Roland.

    Katanya semua transaksi wang berkenaan dilakukan mangsa melalui mesin ATM di Maybank Cawangan Taiping bermula dari 4 Okt 2021 hingga 21 Mei tahun ini.

    “Mangsa tidak pernah bertemu dengan doktor tersebut sepanjang perkenalan mereka dan mangsa hanya berhubung di aplikasi WhatsApp melalui dua nombor talian iaitu +1(786)6526776 dan +1(984)3683962,” katanya.

    Osman berkata mangsa telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini semalam setelah menyedari dirinya telah diperdaya suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    — BERNAMA