Category: Jenayah

  • Polis lepas 6 das tembakan kereta dipandu pengedar dadah melarikan diri

    Polis lepas 6 das tembakan kereta dipandu pengedar dadah melarikan diri

    POLIS melepaskan enam das tembakan ke arah tayar kereta dipandu seorang lelaki dipercayai pengedar dadah dalam kejadian di Ayer Tawar, Manjung, pukul 4 petagn tadi.

    Suspek, 61, yang memandu kereta bersama-sama isteri dan seorang anak lelakinya cuba melarikan diri, namun dikejar polis sejauh kira-kira 800 meter dari lokasi kejadian sebelum ditahan.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, lelaki itu ditahan bersama 33 paket syabu seberat 62.5 gram yang ditemukan dalam kereta berkenaan.

    “Kejadian berlaku ketika anggota polis dari Balai Ayer Tawar sedang melakukan rondaan cegah jenayah sebelum menahan kereta dinaiki suspek.

    “Bagaimanapun suspek bertindak agresif dengan melanggar hadapan kenderaan polis sebelum memecut laju keretanya melarikan diri. Polis terpaksa melepaskan enam das tembakan ke arah tayar kereta suspek.

    “Anggota mengejar kenderaan itu sejauh 800 meter sebelum berjaya menahannya. Turut ditahan isteri, 38, dan anak lelaki berusia dua tahun,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Mior Faridalathrash berkata, kejadian tidak membabitkan sebarang kecederaan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

  • Baru sebulan bebas, bekas banduan ditahan bersama 48,000 pil yaba

    Baru sebulan bebas, bekas banduan ditahan bersama 48,000 pil yaba

    SEORANG lelaki yang baru dibebaskan selepas menjalani hukuman penjara lebih 14 tahun di Penjara Songkhla, Thailand ditahan bersama 48,000 biji pil yaba bernilai RM480,000 di Kampung Dangar, Pasir Mas, Kota Bharu, semalam.

    Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata suspek berusia 42 tahun ditahan di tepi jalan di hadapan sebuah sekolah pada 5.30 petang, dan semasa ditahan, polis merampas sebuah beg galas yang mengandungi 48,000 biji pil yaba bernilai RM480,000.

    “Suspek dalam kes ini merupakan seorang bekas banduan yang pernah dipenjarakan di Penjara Songkhla, Thailand selama 14 tahun tiga bulan dan baru dibebaskan pada 27 April lepas,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Beliau berkata susulan penahanan itu, polis seorang lagi lelaki yang disyaki tokan dadah berusia 35 tahun di Kampung Keroh Bayu Lalang, Pasir Mas.

    “Suspek didapati positif methamphetamine, dan polis turut menyita sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda Stream bernilai RM40,000,” katanya. – Bernama

  • Polis tahan bapa durjana rogol anak sejak 4 tahun lalu

    Polis tahan bapa durjana rogol anak sejak 4 tahun lalu

    SEORANG bapa durjana ditahan polis setelah tergamak merogol anak perempuannya sendiri sejak empat tahun lalu.

    Malah, difahamkan kejadian melibatkan remaja itu berlaku ketika dia berumur 11 tahun lagi.

    Kejadian terkutuk bapa berusia 39 tahun berkenaan terbongkar apabila anak perempuannya yang kini berusia 14 tahun itu pengsan di sekolah.

    Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, laporan berhubung kejadian itu diterima pihaknya daripada guru dan pelajar berkenaan pada pukul 11.15 pagi semalam.

    “Mangsa telah pengsan di sekolah pada pagi semalam. Sebaik sahaja tersedar, gurunya bertanyakan keadaannya sebelum itu dan tanpa berselindung remaja berkenaan memberitahu dia telah menjadi mangsa rogol bapa kandungnya,” katanya.

    Beliau berkata demikian semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, Kota Bharu, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Menurut Muhamad Zaki, mangsa mendedahkan kali terakhir suspek melakukan perbuatan tersebut adalah semalam.

    Muhamad Zakiu berkata, perbuatan itu dilakukan suspek pada pukul 2 pagi semasa mangsa tidur di dalam bilik.

    “Bertindak atas laporan tersebut, polis telah membuat tangkapan terhadap suspek yang bekerja sebagai tukang rumah di pekarangan Hospital Tanah Merah, pada petang semalam,” katanya.

    Muhamad Zaki memberitahu, siasatan awal mendapati suspek mengaku telah merogol mangsa sebanyak tiga kali dalam tempoh empat tahun.

    Katanya, mangsa tinggal bersama-sama suspek dan ibu tiri serta empat saudara tiri lain.

    “Mangsa dihantar ke Hospital Tanah Merah untuk menjalani pemeriksaan kesihatan serta mendapatkan rawatan dan hasil pemeriksaan mendapati ada kesan koyakan lama.

  • Polis bebas pemandu bas sekolah langgar mati bayi dibebas dengan jaminan

    Polis bebas pemandu bas sekolah langgar mati bayi dibebas dengan jaminan

    POLIS membebaskan pemandu bas yang terlibat dalam kejadian seorang bayi perempuan yang maut dilanggar bas sekolah di hadapan sebuah rumah di Taman Anggerik, Bandar Baru Salak Tinggi, pada Khamis lalu dengan jaminan.

    Suspek yang merupakan lelaki warga tempatan berumur 50 tahun dibebaskan pada Jumaat.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Md. Noor Aehwan Mohammad berkata, pihaknya sedang menunggu laporan berkaitan kemalangan melibatkan laporan bedah siasat dan laporan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

    “Rakaman percakapan terhadap ahli keluarga mangsa melibatkan waris dan kakak mangsa akan dijalankan selepas keluarga mangsa selesai tempoh kuarantin akibat Covid-19.

    “Siasatan terperinci sedang dijalankan dan kes akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya apabila lengkap,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Pada Khamis minggu lalu, seorang bayi perempuan maut dilanggar bas sekolah dalam kejadian di hadapan sebuah rumah di Taman Anggerik, Bandar Baru Salak Tinggi di Kuala Lumpur.

    Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, kejadian berlaku pukul 12.15 tengah hari.

  • Mayat penuntut IPTA, bakal guru ditemukan dalam Alphard

    Mayat penuntut IPTA, bakal guru ditemukan dalam Alphard

    DUA remaja yang dilaporkan hilang oleh keluarga masing-masing, ditemui dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di ruang parkir bawah tanah sebuah bangunan residensi di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur, Ahad lalu.

    Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, kedua-dua mayat remaja berusia 19 tahun ditemui selepas polis menerima aduan daripada orang awam pada pukul 8.26 malam.

    “Susulan laporan diterima, sepasukan anggota polis dari Bandar Salak Selatan ke lokasi untuk menjalankan siasatan.

    “Hasil pemeriksaan, polis menemui mayat seorang perempuan di bahagian penumpang hadapan dan mayat seorang lelaki di bahagian penumpang belakang kenderaan terbabit.

    “Hasil pemeriksaan ke atas tubuh kedua-dua mangsa serta tempat kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Berita Harian.

    Mengulas lanjut, Muhammad Idzam berkata, dua laporan polis mengenai kehilangan dua mangsa diterima daripada keluarga masing-masing pada 23 dan 24 Mei lalu, masing-masing di Klang, Selangor dan Nilai, Negeri Sembilan.

    Katanya, laporan polis dibuat selepas keluarga gagal menghubungi kedua-dua mangsa.

    Menurut beliau, seorang mangsa adalah penuntut di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) manakala seorang lagi bakal masuk ke sebuah maktab perguruan.

    “Siasatan awal mendapati hubungan kedua-dua mangsa adalah rakan dan bukan penduduk di residensi terbabit.

    “Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan lanjut diteruskan,” katanya.

    Kedua-dua mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) untuk proses bedah siasat dan pada masa ini laporan penuh bedah siasat belum konklusif.

    Muhammad Idzam berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan polis.

    Maklumat boleh disalurkan terus kepada Ketua Polis Balai Salak Selatan, Inspektor Muhd Arfizan Ab. Aziz di talian 019-9198729 atau Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051.

    Selain itu, maklumat juga boleh disalurkan menerusi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.

  • Polis tahan lelaki menyamar pegawai tentera ceroboh kem

    Polis tahan lelaki menyamar pegawai tentera ceroboh kem

    SEORANG lelaki yang menyamar sebagai tentera dan menceroboh sebuah kem tentera darat di Tampin berjaya ditahan di sebuah rumah di Perumahan Rakyat Kampung Sungai Layang, Rembau, semalam.

    Suspek ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Tampin dalam serbuan pukul 5.50 petang.

    Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab. Wahab berkata, pihaknya datang ke rumah suspek dan menahannya untuk siasatan lanjut.

    “Selain itu turut dirampas pakaian seragam tentera beserta aksesori tentera yang disyaki dimiliki suspek termasuk pistol tiruan, sarung tangan dan satu beg berlogo polis berisi gari,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Menurutnya, suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Tampin untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan.

    Ujarnya, hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku terbabit dalam kes menyamar sebagai pegawai tentera berpakaian uniform Pasukan Gerakan Khas berpangkat Kolonel Angkatan Tentera (ATM).

    Media pada tahun 2018 melaporkan polis memburu seorang lelaki bagi mengenal pasti motif suspek menceroboh kem berkenaan untuk berjumpa dengan Kompeni Sarjan Mejar dan Penolong Pegawai Pemerintah.

    Petugas di kem berkenaan cuba meminta suspek menunjukkan identiti, namun lelaki terbabit gagal berbuat demikian sebelum melarikan diri.

  • Pemain bola sepak digugurkan jika terbukti bersalah kes rogol remaja

    Pemain bola sepak digugurkan jika terbukti bersalah kes rogol remaja

    PEMAIN bola sepak liga tempatan yang didakwa terbabit dalam kes rogol seorang remaja perempuan berusia 18 tahun bakal digugurkan daripada pasukan jika disabitkan bersalah.

    Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat berkata, sekiranya terdapat kesamaran dalam kes tersebut, pemain berusia 28 tahun itu akan diberikan peluang.

    Beliau berkata, secara rasminya belum mengetahui pemain daripada pasukan mana dan meminta minta pihak pengurusan lakukan siasatan.

    “Pemain yang langgar peraturan harus dikenakan tindakan sewajarnya seperti yang telah ditetapkan oleh pihak pengurusan dan juga negeri.

    “Saya rasa terkilan dengan kejadian itu dan sebagai negeri membangun bersama Islam, pihaknya banyak berusaha supaya atlet faham tanggungjawab sebagai manusia,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Kelantan di Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Menurutnya, pemain yang langgar peraturan harus dikenakan tindakan sewajarnya seperti yang telah ditetapkan oleh pihak pengurusan dan juga negeri.

    Wan Roslan turut melahirkan rasa terkilan dengan kejadian itu dan sebagai negeri membangun bersama Islam, pihaknya banyak berusaha supaya atlet faham tanggungjawab sebagai manusia.

    Beliau berharap semua atlet dapat mematuhi syariah yang telah ditetapkan.

    “Dalam usaha kita ke arah itu kadang-kadang ada yang terlanggar peraturan. Biasalah dalam kita buat sesuatu perkara sentiasa berdepan dengan ujian dan yang kita hendak tidak semua boleh dicapai,” katanya.

    Semalam, media melaporkan polis menahan seorang pemain bola sepak liga tempatan bagi membantu siasatan kes rogol seorang remaja perempuan.

    Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, tangkapan lelaki berusia 28 tahun itu dibuat di Jalan Pantai Cahaya Bula, Kota Bahru malam Ahad lalu, selepas mangsa berusia 18 tahun membuat laporan.

  • Penuntut IPT lemas di Pantai Shahbandar

    Penuntut IPT lemas di Pantai Shahbandar

    SEORANG penuntut di sebuah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Tuaran, Sabah yang hilang semasa mandi bersama-sama tiga rakannya ditemukan lemas di pantai Shahbandar, Tuaran semalam.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Misran Bisara berkata, mangsa, Md. Habibullah Jihadi Maksum, 21, dilaporkan hilang pukul 6.54 petang kelmarin.

    “Bertindak dengan kejadian, 10 anggota dan pegawai bersama jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) ke lokasi kejadian.

    “Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) kemudian segera dijalankan di kawasan sekitar mangsa dilaporkan bermandi-manda bersama rakannya,” katanya memetik laporan Utusan Borneo, hari ini.

    Beliau berkata, mangsa berjaya ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh orang awam di kawasan pantai pada pukul 12.16 tengah malam.

    Tambahnya, mangsa ditemukan pada kedudukan kira-kira 700 meter dari lokasi terakhir mangsa dilihat bersama rakannya.

    “Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut hadir membantu operasi berkenaan.

    “Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya. Operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 1.17 pagi,” katanya.

  • Kertas siasatan kes gaduh dua lelaki sudah dibuka

    Kertas siasatan kes gaduh dua lelaki sudah dibuka

    POLIS sudah membuka kertas siasatan berkaitan kes pergaduhan dua lelaki di tepi Jalan Gasing di Petaling Jaya, kelmarin.

    Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana melakukan gaduh gempar.

    Jelasnya, jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai enam bulan atau denda atau kedua-duanya sekali.

    “Polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa bertoleransi sesama sendiri agar tidak berlakunya sebarang pergaduhan yang boleh mengakibatkan diri dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Semalam, media melaporkan, kedua-dua individu tersebut telah tampil membuat laporan polis pada pukul 6.31 petang kelmarin.

    Mohamad Fakhrudin memaklumkan, pihaknya terkesan satu video berdurasi tiga minit 31 saat yang tular di media sosial.

    Dalam video tersebut, salah seorang lelaki didakwa mencetuskan provokasi dan menggunakan perkataan kesat, sebelum berlaku pergelutan antara mereka.

  • Lagi terjun Jambatan Pulau Pinang, kali ini babitkan pemuda 22 tahun

    Lagi terjun Jambatan Pulau Pinang, kali ini babitkan pemuda 22 tahun

    JAMBATAN Pulau Pinang terus menjadi lokasi pilihan individu untuk terjun apabila satu lagi kejadian dilaporkan berlaku awal pagi tadi.

    Kali ini melibatkan seorang pemuda berusia 22 tahun yang dikhuatiri lemas setelah dikatakan bertindak terjun dari di Kilometer 2.2 jambatan itu menghala ke arah pulau.

    Menurut Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, mangsa yang merupakan lelaki tempatan sebelum itu dipercayai meninggalkan sebuah kereta jenis Peugeot berwarna merah bersama barangan peribadi di tepi jambatan berkenaan sebelum bertindak terjun.

    Katanya, bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 5.39 pagi dan tiba di lokasi kejadian kurang 10 minit kemudian.

    “Sebaik sahaja tiba, anggota bomba membuat pemantauan dari atas jambatan bagi mengesan kedudukan mangsa, namun dia dikhuatiri telah dihanyutkan arus laut.

    “Kerja-kerja mencari dan menyelamat sedang dijalankan dan Pos Kawalan Bomba (PKB) telah dibuka di Jeti Pengkalan Marin JBPM Mak Mandin di Butterworth” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Untuk rekod, kejadian mangsa terjun jambatan hari ini adalah kali yang ke-16 dilaporkan sejak Januari lalu dan sepanjang bulan lalu sahaja, hampir 10 kes terjun dan cubaan terjun dari Jambatan Pulai Pinang dicatatkan.

    Kejadian paling terbaharu adalah pada 25 Mei lalu yang mana seorang wanita dijumpai mati selepas hampir 33 jam dilaporkan terjun dari kilometer 8.0 Jambatan Pulau Pinang kira-kira pukul 12.39 tengah hari.