Category: Jenayah

  • Polis siasat video tular tembak di Bandar Sunway

    Polis siasat video tular tembak di Bandar Sunway

    POLIS membuka kertas siasatan berhubung penyebaran video tular kejadian kes mati ditembak di kawasan Bandar Sunway.

    Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, seorang pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya terkesan beberapa video dan gambar ditularkan di laman media sosial berkenaan kejadian kes tembak di kawasan Bandar Sunway pada pukul 7 malam tadi.

    “Satu laporan polis dibuat berkaitan video yang tular itu dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

    “Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan video kejadian mati ditembak yang tular di media sosial,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Kata beliau, sekiranya didapati terdapat sebarang perlakuan yang menyalahi undang-undang, pihak polis akan mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada.

    Beliau berkata, pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah ini supaya tampil memberikan kerjasama kepada pihak polis melalui nombor telefon 03-78627100 (Pusat Kawalan Daerah, Subang Jaya) atau Pegawai penyiasat Inspektor Mohammad Faiz NaufalZakaria (019-4858907).

    “Segala identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya, lapor Harian Metro.

  • PDRM, SPRM kongsi maklumat siasatan pemimpin politik terlibat aktiviti judi dalam talian

    PDRM, SPRM kongsi maklumat siasatan pemimpin politik terlibat aktiviti judi dalam talian

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang berkongsi maklumat siasatan berhubung terdapat penglibatan pihak politik dalam aktiviti judi dalam talian.

    Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, pihaknya sentiasa memantau kegiatan yang menimbulkan kemudaratan kepada masyarakat dan negara.

    Beliau memberitahu, PDRM telah menerima maklumat bahawa terdapat penglibatan pemimpin politik dalam aktiviti judi dalam talian.

    “PDRM mengulangi komitmen yang tidak akan membiarkan kegiatan yang menimbulkan kemudaratan kepada masyarakat dan negara serta segala langkah yang diambil adalah berteraskan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Astro Awani.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail semalam mengesahkan kegiatan perjudian dalam talian dinaungi pemimpin politik.

    Menurutnya, elemen itu menjadi kekangan terbesar kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan PRDM serta kerajaan secara keseluruhannya dalam usaha membanteras kegiatan itu.

  • Maklumat siasatan bocor: SPRM perlu lapor polis buktikan tiada ‘komplot’-Wan Saiful

    Maklumat siasatan bocor: SPRM perlu lapor polis buktikan tiada ‘komplot’-Wan Saiful

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu mengambil tanggungjawab dengan membuat laporan kepada polis sekiranya berlaku kebocoran maklumat siasatan agensi itu kepada media jika benar perkara tersebut tiada kaitan dengan pihaknya.

    Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, tindakan itu perlu diambil bagi membuktikan tidak wujud sebarang kebocoran ‘terpilih’.

    “Baru-baru ini, saya bertanya di Dewan Rakyat berkenaan kebocoran maklumat siasatan SPRM kepada media. Perkara ini penting kerana ia boleh menimbulkan tanda tanya tentang adakah SPRM menjadi alat politik pihak tertentu.

    “Ketika menjawab soalan saya, pihak kerajaan menyatakan bahawa laporan polis boleh dibuat jika berlaku kebocoran. Saya menyambut baik jawapan ini, bagaimanapun ternyata ada persoalan lain pula yang timbul.

    “(Katakan) kalau nak buat laporan polis, yang sebenarnya patut buat laporan polis adalah SPRM sendiri kerana maklumat didakwa bocor daripada ‘sumber SPRM’.

    “Siapa sumber ini? Adakah terdapat anggota yang tidak berintegriti dan membocorkan maklumat? Maka SPRM lah yang perlu membuat laporan polis sebagai tanda mereka tidak merancang dan mahu menghentikan pembocoran itu,” katanya dalam kenyatan hari ini.

    Tegasnya, jika tiada tindakan dibuat oleh agensi itu, secara tidak langsung ia boleh mendatangkan andaian bahawa kebocoran maklumat siasatan tersebut dilakukan oleh sumber yang dilantik SPRM sendiri.

    Katanya, jika berterusan, ada kemungkinan rakyat akan sangsi sejauh mana SPRM boleh dipercayai.

    Sebab itulah tanggungjawab membuat laporan adalah terletak di bahu mereka, jelas Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu lagi.

    “Kita tidak mahu rakyat mempersoalkan integriti SPRM. Saya menyeru kerajaan dan SPRM untuk mengambil serius isu ini supaya tidak timbul tuduhan bahawa ini kebocoran yang disengajakan dan ini adalah kebocoran terpilih yang sengaja dirancang atas tujuan tertentu,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Polis tahan pelancong asing rogol pekerja pusat peranginan di Genting Highlands

    Polis tahan pelancong asing rogol pekerja pusat peranginan di Genting Highlands

    SEORANG pelancong asing ditahan bagi membantu siasatan kes rogol di sebuah hotel di Genting Highlands, di Bentong.

    Penahanan itu susulan laporan diterima daripada gadis berusia 20 tahun bekerja di pusat peranginan itu yang mendakwa diperkosa suspek dalam kejadian pukul 5.20 pagi Isnin lalu.

    Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd. Kahar berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada pukul 9 pagi hari sama.

    “Berdasarkan laporan, mangsa mendakwa dipanggil seorang lelaki tidak dikenali untuk bertanya mengenai kemudahan yang disediakan pihak hotel. Suspek kemudian mengajak mangsa untuk tidur bersama, namun mangsa menolak pelawaan itu.

    “Suspek bertindak menarik tangan mangsa secara paksa dan membawanya masuk ke dalam bilik lalu merogolnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Zaiham berkata, siasatan mendapati suspek adalah warga asing berusia 41 tahun yang datang ke Malaysia untuk tujuan melancong.

    Katanya, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong menahan suspek berhampiran hotel terbabit, pukul 1 tengah hari kejadian.

    “Suspek direman tujuh hari bermula 13 Jun dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya, lapor Berita Harian.

  • Hina anggota: Pegawai polis wanita dipanggil bantu siasatan

    Hina anggota: Pegawai polis wanita dipanggil bantu siasatan

    SEORANG pegawai polis wanita yang mengeluarkan kata-kata berunsur hinaan kepada anggota polis menerusi video tular dipanggil untuk memberi keterangan.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek telah dikenal pasti dan dipanggil ke Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.

    “Kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 12 tengah hari di sebuah kedai makan di Taman Seri Gombak, Batu Caves, semalam.

    “Siasatan awal mendapati seorang individu didatangi suspek yang bertindak memarahi dirinya kerana mendakwa telah membuat bising berhampiran rumah jiran berhampiran.

    “Suspek yang memperkenalkan diri sebagai penjawat awam itu mengeluarkan nada suara tinggi dan menyatakan ingin menahan individu berkenaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Katanya, suspek turut bertindak mengugut hendak memukul individu tersebut selain memarahi beberapa individu lain yang turut berada di lokasi kejadian.

    “Anggota polis yang turut berada di lokasi telah meminta suspek menunjukkan kad kuasanya namun suspek tidak memberikan kerjasama.

    Menurutnya, suspek bertindak mempersenda anggota polis tersebut ketika diminta memberikan kerjasama.

    Tambah beliau, dua kertas siasatan dibuka bagi siasatan lanjut berkaitan kejadian.

    Kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, klatanya.

    “Siasatan lanjut turut mendapati terdapat dua video tular berkaitan kejadian dan orang ramai dinasihatkan agar tidak terus menularkan video tersebut dan memberikan komen-komen yang boleh menggugat ketenteraman awam dan menggangu siasatan,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Hari ini tular video memaparkan seorang wanita didakwa mengeluarkan kata-kata berbentuk hinaan kepada anggota polis dalam kejadian baru-baru ini dipercayai berlaku di sekitar kawasan Gombak.

    Video berdurasi 25 saat itu memaparkan individu berkenaan dipercayai merupakan seorang pegawai polis telah meninggikan suara dengan mengatakan anggota polis berkenaan tidak layak menegurnya.

  • Bekas pensyarah usia 81 tahun didakwa edar kokain 2.643kg

    Bekas pensyarah usia 81 tahun didakwa edar kokain 2.643kg

    SEORANG bekas pensyarah di sebuah universiti awam, didakwa di Mahkamah Majistret di Sepang hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis kokain seberat 2.643 kilogram di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), minggu lalu.

    Tertuduh yang juga warga emas berusia 81 tahun itu, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan.

    Tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh kerana itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi, lapor Sinar Harian.

    Mengikut pertuduhan dia didakwa melakukan kesalahan itu, di balai Ketibaan Dalam Negeri KLIA, di Sepang pada pukul 6 petang, 6 Jun lalu.

    Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 398(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 398(2) akta sama yang membawa hukuman mati mandatori.

    Pendakwaan dalam kes ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Jamilah Shuhadah Tohet.

  • ‘Kau lans koperal tak layak cakap dengan aku’

    ‘Kau lans koperal tak layak cakap dengan aku’

    TULAR video memaparkan seorang wanita didakwa mengeluarkan kata-kata berbentuk hinaan kepada anggota polis dalam kejadian baru-baru ini dipercayai berlaku di sekitar kawasan Gombak.

    Video berdurasi 25 saat itu memaparkan individu berkenaan dipercayai merupakan seorang pegawai polis telah meninggikan suara dengan mengatakan anggota polis berkenaan tidak layak menegurnya.

    “Kau lans koperal lah, tak layak cakap dengan aku, cara cakap macam OCPD, kau tak layaklah.

    “Kau jadi pegawai dululah lans koperal, hei lans koperal berlagak macam apa, pangkat dah la rendah,” katanya kepada anggota polis tersebut.

    Bagaimanapun tidak dinyatakan punca wanita terbabit bertindak sedemikian menerusi video tular berkenaan.

    Tinjauan Sinar Harian dalam media sosial mendapati rata-rata netizen mengecam tindakan wanita terbabit.

    Mereka turut mempersoalkan tindakan wanita itu yang disifatkan tidak sopan selain memalukan anggota polis berkenaan.

    Sinar Harian sedang berusaha mendapatkan pengesahan pihak polis berhubung kejadian tersebut.

  • Wanita baharu tamat PhD ditemui mati di apartmen

    Wanita baharu tamat PhD ditemui mati di apartmen

    SEORANG wanita warga Bangladesh ditemui mati di sebuah apartment di Seri Kembangan, Serdang, semalam.

    Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, pihaknya dimaklumkan kejadian itu selepas menerima panggilan pada pukul 3.06 petang.

    “Siasatan awal mendapati mangsa berusia 34 tahun dilihat berada dalam keadaan kemurungan ketika menghadiri majlis makan malam bersama rakannya.

    “Rakan mangsa memaklumkan mangsa telah kematian ibu dan hanya tinggal bapa dan suaminya di kampung.

    “Mangsa dikatakan tidak gembira untuk pulang ke Bangladesh atas masalah peribadi dan keluarga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, mayat mangsa yang baharu tamat ijazah doktor falsafah (PhD) dalam lulusan perniagaan itu ditemui penjaga apartment terbabit setelah dimaklumkan mangsa tidak dapat dihubungi sebelum memaklumkan kepada pihak polis.

    Menurutnya, siasatan masih dijalankan untuk memastikan punca kematian dan motif sebenar kejadian.

    “Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

  • 38 suspek termasuk 4 wanita ditahan polis dipercayai terlibat sindiket ah long

    38 suspek termasuk 4 wanita ditahan polis dipercayai terlibat sindiket ah long

    SERAMAI 38 suspek termasuk empat wanita ditahan selepas dipercayai menjadi ahli sindiket ah long dalam operasi khas yang dijalankan polis Pulau Pinang bermula 5 Jun lalu sehingga semalam.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, kesemua suspek berusia antara 21 hingga 72 tahun itu ditahan di sekitar Pulau Pinang dan negeri jiran dalam usaha berterusan pihaknya membanteras aktiviti pinjaman wang tidak berlesen di negeri itu.

    “Kebanyakan tangkapan dibuat di Pulau Pinang, bagaimanapun terdapat beberapa tangkapan yang dibuat di negeri jiran selepas mereka melarikan diri.

    “Mereka yang ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, di Georgetown, Pulau Pinanh hari ini.

    Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan sedang memburu sindiket pemberi pinjaman wang tidak berlesen yang menghantar sepucuk surat amaran dan ugutan jenayah kepada Kok Chin.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya memandang serius tindakan ahlong yang berani mencabar serta mengugut pegawai tertinggi PDRM di Pulau Pinang.

    Surat layang tersebut yang ditujukan kepada Kok Chin dimasukkan di dalam sampul surat dan diterima pada 1 Jun lalu melalui perkhidmatan Pos Malaysia.

    Sementara itu, ditanya sama ada suspek-suspek yang ditahan itu terlibat dalam kes ugutan jenayah terhadap beliau, Kok Chin berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut terhadap mereka.

    “Kita sedang menyiasat sama ada mereka terlibat, cuma apa yang saya boleh maklumkan, kita ada modus operandi untuk mengesan (ahlong) yang terlibat dengan ugutan jenayah ini,” katanya.

  • Polis rampas 18.6 kg syabu di inap desa

    Polis rampas 18.6 kg syabu di inap desa

    Oleh RIZQI ZABIDI

    DUA lelaki ditahan bersama 18.6 kilogram dadah dalam serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sebuah inap desa dekat Kampung Sungai Jagung, Sungai Petani, Kedah kelmarin.

    Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh, kedua-dua individu berkenaan yang berumur 34 dan 35 tahun ditahan kira-kira pukul 11.55 malam ketika sedang mengeluarkan sebuah kotak dari bonet sebuah kereta jenis Honda City di pekarangan inap desa tersebut.

    Katanya, pemeriksaan dijalankan terhadap kotak itu menemukan 18 bungkusan plastik teh cina berwarna hijau mengandungi bahan disyaki dadah jenis syabu seberat kira-kira 18.6 kilogram bernilai RM671,220.

    “Selain dadah tersebut, pihak kami turut merampas dua kenderaan jenis Honda City dan Perodua Bezza serta wang tunai RM500.

    “Mereka dipercayai mula aktif dalam kegiatan tersebut sejak Januari lalu. Dipercayai mereka menyewa inap desa tersebut untuk dijadikan lokasi transit dadah sebelum dipasarkan di negeri ini.

    “Jika terlepas ke pasaran, dadah itu boleh digunakan oleh kira-kira 40,000 penagih. Kedua-dua suspek yang ditahan kini direman selama tujuh hari dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan individu lain yang mungkin terlibat dalam kegiatan itu,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Kedah, hari ini.

    Tambahnya, ujian urin dijalankan terhadap dua lelaki tersebut mendapati kedua-duanya positif syabu dan memiliki rekod jenayah lampau.

    “Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

    Dalam pada itu beliau berkata, seramai 20 individu ditahan ketika asyik bermain judi belangkas di kawasan ladang kelapa sawit, Kampung Titi Akar di Pendang, pada hari sama.

    Menurutnya, tangkapan itu dilakukan kira-kira pukul 7.15 petang oleh sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Pencegahan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) IPK Kedah bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang.

    “Hasil serbuan tersebut, pihak polis berjaya merampas pelbagai peralatan digunakan dalam permainan judi belangkas serta wang tunai berjumlah RM28,624. Mereka yang ditahan berusia antara 18 hingga 78 tahun.

    “Kesemua tangkapan dibawa ke IPD Pendang untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. Jika sabit kesalahan, mereka yang terlibat boleh didenda tidak lebih RM5,000, penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya.

    Tambahnya sejak Januari 2023, sebanyak 955 serbuan pelbagai jenis judi dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah melibatkan 982 tangkapan.

    “Sebanyak 955 kertas siasatan dibuka dengan 477 kes telah berjaya dituduh di mahkamah iaitu 251 kes judi ekor haram, 222 judi dalam talian dan empat kes lain-lain judi,” katanya.